Saturday, August 19, 2023

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun, adalah satu program istimewa yang dianjurkan oleh Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) bertempat di Zoo Negara, sebagai inisiatif untuk menyelamatkan spesis orang utan yang kian pupus.

Lindungi Orang Utan

Menurut jurucakap MPOGCF, tujuan sambutan ini adalah untuk menguar-uarkan kepada semua bahawa kita bukan sahaja memberi keutamaan kepada industri sawit, tetapi turut memelihara biodiversiti hidupan liar antaranya Orang Utan.

Kita mahu menangkis dakwaan pihak luar bahawa industri sawit ialah satu industri yang mengancam kepada hidupan liar, katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pemuliharaan Orang Utan dengan mengutamakan produk sawit mampan yang mendapat pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ancaman terbesar populasi Orang Utan ialah aktiviti pemburuan haram dan Orang Utan Borneo dikategorikan haiwan kritikal terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) dengan populasi dianggarkan berjumlah 104,700 ekor.

Laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019, berdasarkan tinjauan ke atas sarang Orang Utan dalam tempoh Mei 2014 hingga Mac 2017 mendapati populasi Orang Utan di Sabah adalah stabil selama 15 tahun.

Namun, hasil kajian sama bagaimanapun mendapati populasi Orang Utan Borneo di hutan yang dikelilingi ladang sawit menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan hasil kajian WWF itu, industri sawit Malaysia menerusi MPOGCF menjalankan beberapa aktiviti pemuliharaan terhadap haiwan yang dilindungi itu.

Antaranya, program penanaman sejuta pokok untuk rehabilitasi habitat Orang Utan melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Lahad Datu.

MPOGCF juga membiayai Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menyelamatkan dan memindahkan Orang Utan ke habitat selamat.

Sebanyak 61 Orang Utan berjaya diselamatkan WRU dalam tempoh 2010 hingga 2020.

Lingkungan hidup Orang Utan

Orang utan adalah binatang cerdas yang hidup di hutan hujan tropika dan kerana lingkungan mereka dirosakkan, maka populasi Orang Utan menjadi semakin sedikit.

Di hutan hujan tropika, biasanya Orang Utan tinggal di pepohonan kawasan rendah, dataran yang terdapat banyak sungai kecil dan berlumpur.

Orang Utan boleh ditemui di Asia Tenggara, di seluruh Kalimantan serta di Sumatera.

Spesies

Orang Utan hanya memiliki 1 spesies tapi memiliki 2 subspesies iaitu Orang utan Kalimantan yang berwajah lebih bulat dan lapisan pipinya lebih menonjol ke depan jadi terkesan cekung dan Orang utan Sumatera, berwajah panjang tapi sempit serta rambut lebih tebal panjang dan terang daripada Orang Utan Kalimantan.

Spesies terancam

Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok

Untuk melihat orang utan di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di Sandakan, pengunjung perlu berjalan antara 10 hingga 15 minit meniti laluan papan menuju ke pelantar yang dikelilingi hutan.

Kini selepas lebih 50 tahun, pusat berkenaan yang terletak dalam hutan simpan Kabili-Sepilok seluas 4,294 hektar bukan saja menguruskan orang utan, malah sebagai 'ibu' kepada bayi orang utan yang kehilangan ibu.

Susulan pelbagai cabaran termasuk kemusnahan habitat, pemburuan haram dan perdagangan haiwan peliharaan haram, jumlah orang utan di Borneo ketika ini dianggarkan cuma 57,000 ekor, manakala di Sabah antara 11,000 hingga 15,000.

Mengikut senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), orang utan kini berada pada tahap kritikal terancam berdasarkan jumlah yang semakin berkurangan, manakala pemburuan dan kehilangan habitat terus berlaku pada tahun 2016.

Jika inisiatif melindungi orang utan tidak terus diperkasa, mungkin kita boleh kehilangan haiwan ini apabila status orang utan dalam kawasan liar naik satu tahap lagi ke tahap pupus dalam senarai merah IUCN.

Orang utan antara mamalia mempunyai paling rendah jangka hayat iaitu 62 tahun dan dari segi tabiat, ia bukan jenis keluarga.

Bagi orang utan betina, ia hanya boleh melahirkan satu anak dalam jangka enam hingga sembilan tahun dan mengambil masa lebih lama untuk menjaga bayinya.

Sebab itu, usaha perlu diambil bagi melindungi Orang Utan kerana potensi kematian lebih tinggi berbanding populasinya.

Semoga memberi manfaat.

Saturday, April 16, 2022

Sambutan Hari Suara Sedunia

Sambutan Hari Suara Sedunia

Hari Suara Sedunia, World Voice Day disambut di seluruh dunia pada 16 April setiap tahun untuk meraikan fenomena suara, bertujuan untuk menonjolkan kepentingan suara dalam kehidupan, kerana suara dianggap instrumen penting bagi golongan pengguna suara profesional seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara dan guru.

Sambutan Hari Suara Sedunia

Namun, penjagaan suara sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan ini sahaja kerana suara merupakan aset yang mempengaruhi kehidupan dan kerjaya seseorang, malah boleh dianggap identiti seseorang individu.

Occupational hazard di Malaysia masih belum diterima sebagai hazard. Di luar negara, syarikat insuran ada menawarkan suara sebagai sebahagian daripada penjagaan.

Sebagai contoh, seorang guru di London berjaya menerima pampasan kerana dia mengajar di kelas bersebelahan dengan jalan besar yang bising, mengakibatkan dia mengalami masalah suara.

Kesedaran seperti ini masih kurang di Malaysia, walaupun pada hakikatnya suara yang baik penting untuk kualiti hidup.

Kajian menunjukkan kualiti hidup mereka yang mengalami masalah peti suara suara dan suara serak, jauh lebih rendah berbanding mereka yang mengalami penyakit lain contohnya masalah buah pinggang, kencing manis dan lain-lain.

Selain pengguna suara profesional, khalayak umum juga berisiko mengalami masalah suara terutama bagi mereka yang merokok dan minum minuman keras, masalah alahan atau kesihatan seperti resdung serta faktor tekanan.

Penggunaan teknik yang betul merupakan sebahagian daripada aspek penjagaan suara bagi golongan penyanyi.

Bakat dan teknik sama penting, tetapi dengan adanya teknik yang betul, ia boleh membantu penyanyi yang average menjadi bagus.

Penyanyi average maksudnya dia boleh menyanyi, tidak sumbang dan boleh ikut tempo tetapi kualiti suara mungkin kurang.

Penyanyi yang sudah ada bakat semulajadi pun, jika ada teknik yang baik, dia boleh mempertingkatkan lagi kemampuannya, malah akan membantu memberikannya keyakinan untuk menyanyi dengan selesa.

Matlamat utama menyanyi dengan teknik yang betul ialah untuk mengelak ketegangan dan kecederaan suara, bagi membolehkan seorang penyanyi menggunakan suaranya selama yang boleh.

Bakat dan teknik, disokong oleh musicianship (pengetahuan tentang nada, ritma dan tempo) dan stail, akan membantu seorang menjadi penyanyi yang baik.

Selamat menyambut Hari Suara Sedunia.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, November 16, 2020

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Kemurungan dan stres adalah dua situasi melibatkan masalah mental yang berbeza, tetapi sebelum seseorang itu mengalami masalah kemurungan, dia akan melalui fasa stres terlebih dahulu. Itulah bahayanya apabila kita gagal mengawal dan merawat tahap stres, kerana ia akan menjadi kemurungan yang menjadi punca sebahagian orang membunuh diri.

Minggu Stres

Selain itu, individu yang merasakan diri mengalami kemurungan perlu mendapat pengesahan dari pakar terlebih dahulu.

Minggu Kesedaran Stres Sedunia yang disambut pada setiap 4-8 November setiap tahun, menekankan pengurusan stres di tempat kerja dan peribadi.

Kenalpasti antara punca-punca stres di tempat kerja:
  • Tidak mahir dengan kerja.
  • Hasil kerja tidak dihargai.
  • Persekitaran tidak selesa.
  • Tiada keseronokan bekerja.
  • Selalu dimarahi tanpa sebab.
  • Rakan sekerja tidak membantu.
  • Beban kerja berlebihan.
  • Menangguh kerja.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah ini:
  • Bertenang.
  • Bernafas dengan dalam.
  • Berkata 'relakslah' atau 'tak mengapa'.
  • Beribadat.
  • Bercakap dengan seseorang.
  • Berurut.
  • Berehat dan mendengar muzik.
  • Beriadah.
  • Bersenam.
  • Berfikiran positif.

Stres Itu Menyeksakan

Sayangnya, tidak semua orang tahu bagaimana cara menghadapi rakan atau keluarga yang sedang stres atau tertekan.

Ketidaktahuan tersebut akhirnya membuatkan orang yang sedang stres merasa sendirian dan tidak mendapatkan sokongan dari sesiapa.

Terlebih lagi, jika orang yang mengalami stres juga tidak menunjukkan bahawa dirinya sedang tertekan.

Ini kerana mereka biasanya sering berkelakuan normal di depan orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, October 29, 2020

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia, diraikan pada 29 Oktober setiap tahun dengan tujuan menekankan kesan buruk kepada penghidap penyakit Strok, sekali gus dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit tersebut.

Hari Strok

Hari Strok Sedunia juga dapat memperingati tentang kecekalan dan perjuangan seseorang pesakit Strok, penjaga dan keluarganya.

Dianggarkan bahawa di seluruh dunia, satu juta serangan Strok setiap setahun dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal.

Dengan mendapatkan jumlah senaman yang disyorkan setiap minggu, anda akan mengurangkan risiko mengalami Strok.

Angin Ahmar

Strok atau Angin Ahmar, berlaku apabila aliran darah ke otak tersekat yang disebabkan oleh urat atau arteri tersumbat atau berlakunya pendarahan di dalam otak.

Tisu otak akan kekurangan oksigen, di mana ia berlaku secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah atau kekurangan kesedaran anggota badan atau muka, kurang keseimbangan dan kesukaran bertutur yang boleh menyebabkan maut.

Jenis-jenis Strok

Terdapat dua jenis Strok iaitu:
  • Strok Darah Beku Iskemia, yang mana saluran darah tersumbat dari bahagian dalam, menyebabkan pengurangan aliran darah secara mendadak.
  • Strok Pendarahan, iaitu saluran darah yang telah pecah dan menyebabkan kebocoran darah di dalam otak.
Punca Strok

Antara faktor risiko Strok ialah:
  • Tekanan darah tinggi.
  • Diabetes.
  • Kolesterol tinggi.
  • Obesiti.
  • Jenis-jenis perubatan tertentu.
  • Penyakit Jantung.
  • Kurang bersenam.
  • Stres.
  • Pengambilan minuman beralkohol berlebihan.
Simptom Strok

Antara tanda-tanda Strok iaitu:
  • Ada kesulitan melihat.
  • Perubahan penglihatan.
  • Wajah menjadi senget atau rasa kebas sebelah muka.
  • Tangan kebas atau lemah.
  • Amat sukar bercakap.
Kita seharusnya terus berusaha dalam mencegah, merawat dan mengawal penyakit ini bagi mengurangkan beban pesakit kerana penyakit Strok dapat dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada masa ini, penyakit Strok adalah antara punca kematian tertinggi dan penyebab utama kekurangan upaya di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: PB

Sunday, June 14, 2020

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia, World Blood Donors Day oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia disambut 14 Jun setiap tahun bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, dan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi menyelamatkan orang lain.

Hari Penderma Darah Sedunia

Kempen menggalakkan rakyat yang layak menderma darah perlu digandakan apatah lagi Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan pemindahan darah.

Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan bahawa menderma darah adalah suatu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya.

Darah adalah cecair berwarna merah yang mengalir di dalam tubuh manusia mempunyai 'kuasa' menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin.

Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah dan dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia yang akan dapat menggantikannya.

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.

Uniknya Darah Manusia

Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB:
  • Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja, bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.
  • Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah.

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah dan individu yang mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut.

Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa yang sedang kekurangan darah adalah melalui proses pemindahan darah.

Justeru itu, amatlah penting bagi setiap anggota masyarakat memahami kepentingan untuk menderma darah kerana setiap darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa.

Menderma Darah Mampu Cegah Penyakit Kronik

Derma darah selamatkan nyawa

Mutakhir, statistik yang dikeluarkan hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah tetap berbanding lima peratus penderma di kebanyakan negara lain di dunia, menunjukkan betapa rakyat Malaysia kurang menderma darah.

Sepatutnya, keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.

Pelbagai persepsi wujud akibat menderma darah, antaranya mendatangkan banyak penyakit kronik.

Tanggapan ini salah kerana menderma darah tidak membahayakan penderma, bahkan memelihara kesihatan.

Hakikatnya, penderma darah akan memperoleh pelbagai kebaikan, antaranya pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur, memperoleh maklumat mengenai pendidikan kesihatan, menggalakkan seseorang mengekalkan gaya hidup sihat selain membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baru sekali gus menyegarkan kembali sistem tubuh.

Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan yang akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah baru bagi menggantikan darah yang hilang.

Bahkan, menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi berlebihan dalam tubuh seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga.

Dengan pelbagai manfaat diperoleh hasil pendermaan darah, masyarakat seharusnya tampil melakukan tanggungjawab sosial ini.

Ketepikan hal remeh-temeh atau persepsi yang salah, sebaliknya terus bermatlamat membantu golongan memerlukan.

Setitik darah mungkin boleh membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, January 04, 2020

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun bertujuan bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan tulisan braille terhadap orang cacat penglihatan.

Hari Braille Sedunia

Selain itu, orang ramai juga perlu dididik bagi mengelak rasa prejudis terhadap golongan berkenaan, terutama dalam sektor pekerjaan kerana mereka juga mampu bekerja dengan baik seperti orang normal.

Orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, terutamanya di negara ini juga berhadapan masalah mendapatkan ilmu dan maklumat penting berikutan kurangnya kemudahan braille untuk mereka.

Keadaan tersebut merupakan antara cabaran terbesar kepada golongan cacat penglihatan.

Bahan bacaan dalam tulisan braille juga begitu kurang di pasaran, malah mesin braille untuk sekolah pendidikan khas juga masih tidak mencukupi.

Kekurangan kemudahan tulisan Braille juga menyukarkan golongan berkenaan mengetahui maklumat dan berita dalam dan luar negara.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab disarankan agar memperbanyakkan maklumat dalam tulisan braille supaya OKU cacat penglihatan mempunyai peluang mendapatkan ilmu sama seperti orang normal, selain mempertingkatkan kemudahan awam kepada golongan berkenaan.

Malah, banyak kemudahan untuk orang kelainan upaya ini disalahgunakan, tempat pejalan kaki yang dikhaskan untuk orang buta dijadikan parkir motor, diletakkan meja makan dan sebagainya yang yang tidak patut dilakukan.

Sejarah Tulisan Braille

Braille adalah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta, telah dicipta oleh seorang lelaki Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan bagi memudahkan tentera untuk membaca ketika gelap.

Sistem ini dinamakan sistem Braille, namun ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

Abjad Braille

Braille terdiri daripada sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut:

Angka Braille

Kehadiran atau ketiadaan titik itu akan memberi kod untuk simbol tersebut.

Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapati secara terus.

Contohnya, perkataan orang dipendekkan kepada org. Ini membolehkan buku Braille yang lebih nipis boleh dicetak.

Simbol Braille juga telah diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

Huruf dan Nombor Braille

Kini Braille telah diubahsuai dengan menambah dua lagi titik menjadikan Braille menjadi kod 8 titik.

Ini memudahkan pembaca Braille mengetahui huruf tersebut adalah huruf besar atau kecil.

Selain itu, penukaran ini membolehkan huruf-huruf ASCII ditunjukkan dan kombinasi 8 titik ini diekodkan dalam standard Unicode.

Braille boleh dihasilkan menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus), dimana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

Braille juga boleh dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tuesday, May 28, 2019

Sambutan Hari Afrika Bagi Meraikan Kejayaan Memerangi Penjajahan Dan Apartheid

Sambutan Hari Afrika Bagi Meraikan Kejayaan Memerangi Penjajahan Dan Apartheid

Sambutan Hari Afrika disambut pada 25 Mei setiap tahun yang dimulakan pada 25 Mei 1963 di Addis Ababa, Habsyah dengan semua 32 negara di benua Afrika telah bebas serta merdeka dan menandatangani piagam Persatuan Afrika Bersatu (OAU).

Sambutan Hari Afrika

Pada tahun 1991, OAU menubuhkan Komuniti Ekonomi Afrika (AEC) dan pada 2002 OAU digantikan dengan Kesatuan Afrika (AU).

Sambutan Hari Afrika juga disambut untuk menghormati tokoh-tokoh pejuang yang membebaskan Afrika dan memperkukuh martabatnya.

Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menentukan kemerdekaan menjadi realiti di benua tua itu dan berhadapan dengan pelbagai cabaran bersama seperti kemiskinan, perdagangan, pelaburan dan komunikasi.

Di Malaysia, kebiasaannya rakyat Afrika di negara ini menyambut Hari Afrika pada 25 Mei setiap tahun bagi meraikan ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kesatuan Afrika (OAU), kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika (AU) yang ditubuhkan pada tahun 1963.

Bagi tahun 2019, dengan bertemakan ‘Year of Refugees, Returnees and Internally Displaced Persons: Towards Durable Solutions to forced displacement in Africa’, sambutan tahun ini bakal diserikan dengan majlis dianjurkan Ketua Misi Afrika di Kuala Lumpur pada 26 Jun.

Kedutaan Senegal merangkap ahli jawatakankuasa kecil sambutan dalam satu kenyataan menyebut, "Sambutan Hari Afrika, di samping menggambar dan menyerlahkan tema yang dipilih, ia bertujuan mewujudkan serta meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai kepelbagaian dan kekayaan budaya dari benua Afrika.

Selain itu, sambutan Hari Afrika adalah untuk mengiktiraf dan meraikan kejayaan OAU dalam memerangi penjajahan dan apartheid, selain kemajuan dicapai Afrika sejak ia ditubuhkan pada Mei 1963.

AU telah menyaksikan banyak pembangunan dari sudut sosio-ekonomi dan politik, termasuk peningkatan keusahawanan, akses pendidikan lebih baik dan penurunan kadar kematian kanak-kanak.

Selain itu, usaha juga dibuat untuk melihat lebih ramai wanita berkhidmat di Parlimen dan pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan di beberapa negara Afrika.

Pada hari sambutan Hari Afrika, ia biasanya disertai, antaranya utusan dan diplomat dari Kedutaan Afrika dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia, wakil kerajaan, ahli-ahli diaspora Afrika, wakil syarikat Afrika di Malaysia serta orang awam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, May 15, 2019

Sambutan Hari Spesies Terancam Sedunia

Sambutan Hari Spesies Terancam Sedunia

Sambutan Hari Spesies Terancam, Endangered Species Day, disambut pada bulan Mei setiap tahun adalah sebagai promosi dan usaha untuk pemuliharaan hidupan liar oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mengiktiraf sambutan hari-hari berkaitan hidupan liar dan habitatnya.

Hari Spesies Terancam

Sambutan ini adalah sebagai salah satu kaedah mudah bagi mendidik generasi masa hadapan tentang biodiversiti dengan mempamerkan senarai spesies terancam di sekolah dan merayakan sambutan hari-hari tertentu yang diiktiraf antarabangsa seperti hari harimau, hari tapir, hari penyu, hari tenggiling, hari gajah, hari memerang dan lain-lain.

Selain lawatan ke zoo, pameran dalam bentuk poster atau tayangan video pendek boleh diadakan agar semua generasi akan datang tahu tentang spesies haiwan yang terancam dan bagaimana mereka boleh membantu melindungi dan memulihara haiwan terancam berkenaan sekali gus menyokong program pemuliharaan hidupan liar kerajaan.

Di Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) boleh bekerjasama mengeluarkan bahan-bahan kempen diedarkan ke sekolah di seluruh negara bagi mempromosikan spesies terancam di Malaysia.

Sambutan Hari Spesies Terancam merupakan pendedahan penting untuk pendidikan dan kesedaran menyeluruh rakyat Malaysia tentang hidupan liar.

Sekiranya semua hari-hari berkaitan hidupan liar dan hari spesies terancam diberikan peringatan kepada pelajar sudah tentu maklumat tentang hidupan liar dan pemuliharaannya akan ada dalam pengetahuan mereka.

Di Malaysia misalnya, banyak haiwan yang didaftarkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sebagai haiwan terancam. Antaranya ialah orang utan, harimau, gajah, tenggiling, pelanduk, tapir malaya dan cencurut hitam.

Hari spesies terancam disambut bagi mengingatkan semua orang tentang status haiwan terancam dan usaha pemuliharaan haiwan dan habitat mereka.

Undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak memadai dalam mengawal kepupusan haiwan terancam.

Banyak laporan media tentang kes berkaitan hidupan liar yang dilindungi, pihak berkuasa sekadar menyebut tentang status haiwan dilindungi undang-undang dan denda yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah, namun kejadian seperti kemalangan jalan raya dan penyeludupan terus juga berlaku.

Satu sistem pendidikan secara lebih berkesan perlu dilakukan terutamanya menggunakan media baharu dan merentasi jabatan kerajaan serta komuniti tempatan dan antarabangsa.

Lokasi strategik seperti lapangan terbang, tempat menunggu di agensi kerajaan, pasar raya dan sekolah boleh diadakan promosi melalui video pendek secara berterusan. Maklumat tentang undang-undang perlu dimaklumkan kepada semua orang.

Di Semenanjung Malaysia, spesies hidupan liar yang dilindungi adalah spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama dan Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Selain haiwan mamalia besar yang bakal pupus sekiranya tidak dijaga, haiwan lain seperti burung, serangga, reptilia dan amfibia juga perlu diberi perhatian.

Banyak lagi haiwan berkenaan yang kita tidak tahu. Burung botak upeh misalnya sudah pupus di habitat liar.

Sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi mesti memberikan perhatian serius tentang kepupusan haiwan liar di habitat semula jadi.

Bagi memulihara haiwan yang hampir pupus, pembiakan dalam kurungan mungkin perlu dilakukan untuk dilepaskan ke habitat liar.

Perubahan alam sekitar, pemangsaan yang berlebihan, pemburuan haram, perubahan habit manusia dan bencana alam boleh mengancam populasi haiwan.

Sesetengah haiwan boleh dibiakkan di dalam kurungan tetapi sukar untuk menambahkan populasi di habitat luar.

Perhilitan dan zoo ada menjalankan program pembiakan spesies terancam untuk tujuan pemuliharaan.

Tanggungjawab IUCN

Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menyenaraikan cencurut hitam (Suncus ater) sebagai spesies yang sangat terancam pada tahun 1996.

Haiwan yang saiznya dikatakan antara 20 hingga 100 sentimeter (sm) ini sangat jarang dilihat dan tidak banyak maklumat tentangnya.

Maklumat yang ada hanyalah daripada Medway tahun 1965 berdasarkan kepada satu spesimen yang dijumpai di Gunung Kinabalu, Sabah pada ketinggian 1,650 meter (m) dari paras laut.

Spesies ini mungkin juga boleh ditemui di kawasan tanah tinggi Borneo atau mungkin sudah pupus.

Begitu juga dengan status badak sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) yang mengikut Mogabay.com sudah tiada di Sabah.

Pada tahun 2008 dianggarkan 50 ekor dan lima tahun kemudian bilangan berkurangan kepada hanya 10 dan sekarang mungkin sudah tiada.

Pengurangan habitat dan pemburuan haram kerana tanduknya adalah punca utama kepupusan. IUCN menyenaraikannya sebagai spesies terancam sejak 1986 lagi.

Berdasarkan statistik IUCN, tapir malaya (Tapirus indicus) spesies terancam sejak 1986.

Haiwan yang masih ada di habitat liar di Semenanjung berhadapan dengan pengurangan dan gangguan habitat yang cepat akibat pembangunan.

Orang utan (Pongo pygmaeus) memang sudah menarik perhatian dunia kerana populasinya terus terancam akibat habitatnya terus terganggu oleh aktiviti pembalakan dan pembakaran hutan.

IUCN menyenaraikannya dalam spesies terancam sejak 1986. Taburannya juga terhad di Sumatera dan Borneo sahaja.

Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok Sabah adalah model pemuliharaan spesies terancam orang utan.

Harimau malaya (Panthera tigris jacksoni) sudah hangat dibincangkan kerana populasinya yang cepat berkurangan.

Sejak tahun 1950-an bilangan harimau dianggarkan sebanyak 3,000 ekor dan berkurang kepada antara 250 hingga 340 pada 2013.

Taman Negara, Kompleks Hutan Endau-Rompin dan Kompleks Hutan Belum-Temenggor merupakan kawasan utama untuk pemuliharaan harimau malaya.

Harimau malaya diletakkan dalam senarai spesies terancam pada tahun 2008.

Gajah Asia (Elephas maximus) yang disenarai sebagai spesies terancam sejak 1986.

Gajah memerlukan kawasan keliaran yang luas dan banyak sumber makanan. Kawasan keliaran berkurang menimbulkan pelbagai konflik dengan dengan manusia.

Monyet belanda (Nasalis larvatus) disenaraikan sebagai spesies terancam pada tahun 2008.

Populasinya menurun 80 peratus dalam masa 30 tahun dan sekarang dijangkakan hanya ada 7,000 ekor sejak tahun 2000 akibat daripada kehilangan habitat seperti hutan bakau di pantai.

Tenggiling terus terancam kerana sisik, daging dan kulitnya yang dikatakan mempunyai nilai perubatan. Harga yang tinggi menggalakkan pemburuan haram.

Pada tahun 2016 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) mengharamkan sepenuhnya perdagangan tenggiling sunda (Manis javanica).

Mengawal kepupusan haiwan adalah tanggunggjawab semua. Program pendidikan, penyelidikan dan kesedaran mestilah dilaksanakan dengan lebih agresif dan sistematik.

Satu pelan tindakan umum dan khusus perlu diadakan dengan jelas serta mampu dilaksanakan.

Selamat menyambut Hari Spesies Terancam Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Saturday, April 27, 2019

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, World Tapir Day disambut pada 27 April setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman kepupusan spesies ini termasuk Tapir Malaya kerana populasi Tapir Malaya (Tapirus Indicus) kian kritikal kesan dari aktiviti pembangunan yang pesat dan bilangannya terus merosot.

Gambar Tapir

Pada Disember tahun 2015 lepas, kerajaan Malaysia telah meminjamkan dua ekor Tapir Malaya kepada Kerajaan Jepun untuk tempoh 10 tahun menerusi Program Konservasi Tapir Malaya dan hasil program tersebut, seekor tapir jantan telah dilahirkan pada 14 Mac 2016 di Nagasaki Biopark, Jepun.

Tapir Malaya juga dikenali sebagai Badak Lampong, Tenuk atau Cipan merupakan spesis tapir terbesar di dunia dan spesis ini boleh didapati di Kemboja, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Punca tapir hampir pupus

Jika menyebut soal tapir, umum sebelum ini mungkin hanya mendengar berita mengenai mamalia hitam putih itu yang kerap mati akibat dilanggar kenderaan.

Namun, tidak ramai menyedari haiwan dikenali sebagai Tapir Malaya itu hakikatnya tergolong daripada kumpulan spesies yang kian pupus berikutan jumlahnya hanya antara 1,200 hingga 1,500 ekor di seluruh Semenanjung ketika ini.

Spesies paling besar dalam keluarga tapir itu memiliki purata berat badan antara 300 hingga mencecah 540 kilogram (kg) dan satu-satunya versi yang memiliki warna berbelang apabila dewasa.

Haiwan Dilindungi

Tapir tidak tergolong sebagai haiwan yang diburu secara haram namun sudah dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mamalia itu berperanan penting dalam ekosistem sebagai ejen penyebaran biji benih di dalam hutan tempatan.

Tenuk Malaysia

Tapir (Tenuk) Malaysia (Tapirus indicus), merupakan tapir terbesar di dunia dan hanya spesies tapirinilah satu-satunya berasal dari Asia. Nama saintifiknya berasal dari Hindia Timur yang bermaksud habitat semula jadi spesies.

Tapir Malaysia menetap di Asia Tenggara khususnya Malaysia, selatan dan bahagian tengah Sumatera (Indonesia), Myanmar (latitud selatan pada titik 18° U) dan Thailand (sepanjang sempadan barat hinggalah ke selatan sempadan Thailand-Malaysia.

Selain itu tapir turut kelihatan di kawasan selatan Kemboja dan Vietnam walaupun tiada pengesahan dibuat dan mungkin juga terdapat di Laos.

Tapir Malaysia hanya tinggal di kawasan pergunungan terpencil dan habitat asalnya sudah pupus akibat pemburuan manusia dan pembangunan.

Corak

Haiwan ini mudah dikenali berdasarkan coraknya iaitu putih dan hitam. Warna putih menyaluti dari bahagian bahu hinggalah ke bahagian punggung. Manakala selebihnya berwarna hitam kecuali hujung telinga di mana sepunya dengan spesies tenuk yang lain yang berwarna putih.

Corak sebegini amat berguna sebagai penyamaran di mana corak tersebut membuatkan ia sukar dikenalpasti sebagai tapir dan pemangsa mungkin mengecamnya sebagai batu yang besar lebih-lebih lagi jika tapir ini duduk telentang untuk berehat mahupun tidur.

Kitaran hidup

Musim mengawan berlaku pada bulan April hingga Jun. Tempoh kehamilan Tapir Malaysia ialah kira-kira 390 hingga 403 hari (lebih kurang 13 bulan), di mana anak pertamanya mempunyai berat sekitar 15 paun (6.8 kg).

Kebiasannya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata 2 tahun sekali. Tapir Malaysia merupakan tenuk terbesar ketika lahir dan membesar lebih cepat berbanding spesies tapir yang lain.

Ketika muda, tapir ini tinggal bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan. Sama seperti spesies tapirmuda yang lain, tapir ini mempunyai bulu berwarna perang dengan bejalur putih dan berbintik-bintik di mana corak ni membolehkan mereka untuk berssembunyi dengan berkesan ketika berada di kawasan hutan yang kelihatan bertelau-telau cahayanya.

Perubahan warna tapir muda kepada perwarnaan tapir dewasa berlaku antara 4 hingga 7 bulan selepas lahir. Tempoh bercerai susu pula berlaku ketika berumur 6 hingga 8 bulan.

Tempoh kematangannya kira-kira 2.5 hingga 3.5 tahun. Tapir Malaysia mampu hidup lebih 30 tahun sama ada hidup dalam kurungan ataupun hidup liar.

Tingkah laku

Tapir Malaysia merupakan haiwan yang suka bersendirian dan mempertahankan kawasan daratan yang luas sebagai wilayahnya walaupun sebenarnya kawasan tersebut pernah dijajah oleh tenuk lain.

Tapir menandakan kawasan wilayahnya dengan mengencing atas tumbuh-tumbuhan terutama batang pokok dan biasanya meredah di kawasan semak.

Tapir ini merupakan haiwan vegetarian, makan pucuk yang lembut serta daun lebih daripada 115 spesies tumbuh-tumbuhan (terutama sekali 30 spesies yang diminatinya), bergerak perlahan meredah hutan dan berjenti sejenak untuk makan serta mengambil perhatian terhadap bau jejak yang ditinggalkan oleh tenuk lain di kawasan ini.

Bagaimanapun, apabila diancam atau takut, tapir mampu berlari pantas meskipun berbadan besar dan juga mempertahankan dirinya dengan cengkaman kuat serta gigi yang tajam. Tapir Malaysia berkomunikasi melalui decitan dan siulan.

Kebiasannya tapir ini lebih suka tinggal berhampiran sungai dan sering membersihkan diri dan berenang serta mempunyai kemampuan untuk memanjat cerun yang curam.

Tapir ini hanya aktif pada waktu malam walaupun tidak tergolong dalam kumpulan haiwan nokturnal. Selain itu, tapir lebih cenderung untuk makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit dan semestinya makan sekejap pada tengah malam. Kelakuan sebegini tergolong sebagai haiwan krekuspul.

Variasi Brevetianus

Sebilangan kecil Tapir Malaysia melanistik telah dikenalpasti dengan seluruh badannya berwarna hitam. Pada tahun 1924, tapir terbabit telah dihantar ke Zoo Rotterdam, Belanda dan diklasifikasikan sebagai subspesies yang dikenali sebagai Tapirus indicus var. brevetianus selepas ditemui oleh Kapten K. Brevet.

Pada tahun 2000, dua ekor tapir melastik telah dikenalpasti ketika sedang membuat kajian tentang harimau di Hutan Simpan Jerangau di Malaysia.

Kemunculan variasi ini mungkin disebabkan oleh keabnomalan genetik di mana kejadian ini serupa dengan kemunculan harimau kumbang di dalam kawasan populasi jaguar bintik. Bagaimanapun, maklumat tentang brevetianus masih kurang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Wednesday, March 20, 2019

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian (Oral) Sedunia

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian (Oral) Sedunia

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia diraikan bersama lebih 130 buah negara di seluruh dunia yang menjadi anggota Kesatuan Pergigian Sedunia atau World Dental Federation (FDI) pada 20 Mac setiap tahun.

Hari Kesihatan Pergigian Sedunia

Tujuan sambutan ini adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bagi menitikberatkan keperluan seseorang individu untuk memainkan peranan dalam menjaga kesihatan pergigian sepanjang hayat.

Kesihatan mulut yang baik adalah amat penting bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Hakikatnya, masalah pergigian dan masalah penyakit kesihatan tertentu berkongsi faktor dan risiko yang sama, seperti tabiat pemakanan yang tidak baik.

Bersempena kempen tersebut, adalah penting untuk mengetahui mengenai penjagaan gigi, apa yang boleh dan tidak boleh.

Nampak mudah, tetapi jangan pandang sebelah mata kerana jika hilang satu gigi pun boleh jejaskan penampilan anda!

Awas terhadap makanan dan minuman yang boleh merosakkan gigi. Makan terlalu banyak gula dan pendedahan yang lama boleh merosakkan gigi.

Selain itu beberapa faktor lain juga boleh menyebabkan kerosakan gigi seperti:

1. Ais

Ais adalah penyejuk bukan untuk dikunyah. Mengunyah ais mampu merosakkan enamel gigi.

2. Sitrus

Sitrus seperti limau atau lemon adalah berasid dan pendedahan yang lama akan menyebabkan pereputan gigi.

3. Kopi

Kopi meninggalkan warna pada gigi selain daripada kandungan gula dalam kopi yang tinggi.

4. Makanan melekit

Kebanyakan jeruk kering adalah melekit yang mampu melekat lama pada gigi berbanding makanan lain.

5. Keropok

Contohnya seperti kerepek kentang yang tinggi kandungan kanji. Ia mudah menyaluti bahagian enamel gigi dan menyebabkan pembentukan plak gigi.

6. Air berkarbonat

Kuman plak menggunakan gula untuk membentuk asid dan menyerang lapisan gigi.

7. Alkohol

Alkohol menyebabkan dehidrasi dan mengeringkan mulut. Ini boleh mengakibatkan pereputan gigi, infeksi oral dan pembentukan kanser mulut.

8. Minuman isotonik

Minuman ini memberi kesan baik bagi atlet tetapi bukan pada yang tidak memerlukan. Ia mengandungi gula yang tinggi.

Langkah-langkah pencegahan:
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 1 jam selepas makan.
  • Banyak minum air kosong.
  • Berkumur selepas makan.

Kesimpulan

Kawalan penyakit pergigian perlu dilihat dari sudut yang lebih luas atau menyeluruh dan bukan secara berasingan agar promosi penjagaan kesihatan pergigian dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Ia juga penting dalam memastikan rakyat menyedari bahawa masalah penyakit pergigian adalah sebahagian daripada masalah kesihatan tubuh badan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, November 12, 2018

Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik

Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dunia kini sedang kehabisan antibiotik baharu untuk menentang ancaman kekebalan antimikrob yang semakin berkembang dan Malaysia juga turut terjejas serta perlu mengambil tindakan segera terhadap ancaman ini.

Bahaya kebal antibiotik

Menurut Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom, Profesor Dame Sally Davies, “Dunia kini sedang berdepan malapetaka antibiotik”.

Jika antibiotik kehilangan keberkesanannya, ia menandakan ‘berakhirnya ubatan moden’.

Melainkan tindakan diambil untuk menghentikan amalan yang membolehkan kekebalan antimikrob merebak dan cara ditemui untuk memajukan jenis antibiotik baharu, kita boleh kembali kepada hari yang rutin pembedahan, luka biasa atau jangkitan langsung boleh mendedahkan kepada ancaman sebenar kepada kehidupan, beliau memberi amaran.

Laporan WHO mengesahkan bahawa kebanyakan ubatan baharu pada masa kini dimajukan untuk mengatasi kekebalan antibiotik hanyalah penyelesaian jangka pendek.

Laporan itu mendapati beberapa pilihan rawatan berpotensi bagi mereka yang terdedah kepada jangkitan antibiotik mendedahkan ancaman terbesar kepada kesihatan, termasuklah batuk kering (TB) kebal antibiotik yang membunuh kira-kira 250,000 orang setiap tahun.

Kekebalan antimikrob (termasuk kekebalan bakteria, kulat, virus dan parasit) merupakan darurat kesihatan global yang akan membahayakan dengan serius kemajuan dalam ubatan moden,’

Sekitar 700,000 orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat jangkitan kekebalan antimikrob termasuk TB, HIV dan malaria.

Jika tiada tindakan diambil, adalah dianggarkan bahawa jangkitan kekebalan antibiotik akan membunuh 10 juta orang setiap tahun menjelang 2050.

Disebabkan kekebalan antimikrob (AMR) ‘tersembunyi’ orang hanya ‘membiarkannya berlalu begitu sahaja’.

AMR kini bersama kita, membunuh manusia. Jika ia sesuatu yang lain manusia akan berusaha bersama mengenainya.

Tetapi disebabkan ia tersembunyi mereka membiarkannya sahaja.

Ia hanya akan menjadi lebih teruk melainkan kita mengambil tindakan tegas di mana sahaja di seluruh dunia.

Ini merupakan kebimbangan global memandangkan mekanisme kekebalan baharu sedang muncul dan merebak di seluruh dunia, mengancam kemampuan untuk merawat penyakit jangkitan biasa, mengakibatkan penyakit berpanjangan, kecacatan dan kematian.

Tanpa ubatan berkesan untuk pencegahan dan rawatan jangkitan, prosedur perubatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser, pengurusan diabetes dan pembedahan seperti caesarean atau penggantian tulang pinggul menjadi amat berisiko.

Satu lagi masalah yang berkaitan ialah tiada kelas baharu antibiotik yang memasuki pasaran dalam tempoh 30 tahun terakhir.

Terdapat keperluan bagi model inovasi baharu yang memajukan antibiotik baharu yang mampu untuk diperoleh.

AMR meningkatkan kos penjagaan kesihatan

Menurut kajian yang dilakukan oleh kerajaan UK, AMR akan menyebabkan kos ekonomi dunia sehingga $100 trilion setahun.

AMR berlaku secara semula jadi dalam tempoh masa yang berlalu, biasanya melalui perubahan genetik bagaimanapun, penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antimikrob mempercepatkan lagi proses itu.

Contoh penyalahgunaan itu termasuklah apabila pesakit dengan jangkitan virus seperti demam selesema dan flu dipreskripsikan antibiotik atau amalan memberikan antibiotik kepada haiwan sebagai penggalakan pembesaran.

Sisa ubatan ini serta organisme kebal antibiotik ditemui dalam air, tanah dan udara. Ia boleh merebak antara manusia dan haiwan, dan daripada manusia kepada manusia.

Kawalan jangkitan yang lemah, keadaan sanitasi yang tidak mencukupi dan pengendalian makanan yang tidak sempurna menggalakkan lagi AMR.

Perhimpunan Kesihatan Dunia WHO mengakui bahawa AMR perlu ditangani menggunakan model ‘Satu Kesihatan’ yang mempromosikan koheren, komprehensif dan pendekatan bersepadu melibatkan aktor dan sektor yang berbeza seperti ubatan veterinar dan manusia, pertanian, kewangan, alam sekitar dan pengguna.

Tindak balas pelbagai sektor ini akan menjadi sebahagian dan bidang Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) oleh semua negara ahli WHO.

CAP menggesa kerajaan untuk:

1. Memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menangani kekebalan antibiotik. Komitmen politik yang kuat, pemilikan negara dan kemampuan institusi pelbagai sektor yang mencukupi penting bagi pelaksanaan NAP yang berkesan. Ia seharusnya melibatkan seberapa ramai ‘stakeholders’ seberapa yang boleh termasuklah NGO. NAP untuk Malaysia perlu terbuka untuk orang awam dan diberikan publisiti dengan meluas.

2. Memperbaiki pemantauan jangkitan kekebalan antibiotik. Sistem pemantauan bersepadu kebangsaan perlu dimasukkan sektor awam dan swasta dan ubatan veterinar, akuakultur, ternakan dan produknya, pertanian dan alam sekitar. Sistem pemantauan kebangsaan pengambilan antibiotik dalam semua sektor juga perlu dilaksanakan.

3. Mengukuhkan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan, contohnya pelaburan dalam infrastruktur kumbahan dan sanitasi terutama sekali menghapuskan antibiotik daripada air sisa buangan.

4. Menggubal dan melaksanakan dasar negara bagi penggunaan antibiotik yang wajar dan rasional.

5. Menggubal peraturan dalam preskripsi dan pemberian ubat dan penguatkuasaan.

6. Mengawal amalan pemasaran tidak beretika antibiotik dalam bentuk promosi dan insentif yang ditawarkan kepada pengamal perubatan, pergigian dan veterinar untuk meningkatkan jualan dan penggunaan.

7. Mendidik orang ramai berhubung bahaya penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik. Melibatkan NGO, media, sekolah, komuniti, profesional perubatan dan pengguna.

8. Mengukuhkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memasukkan kawalan ke atas pencemaran antibiotik dalam sistem air, rawatan sisa kumbahan, kumbahan, tanah dan partikel dalam udara.

9. Mengawal dan memantau penggunaan antibiotik dalam pengeluaran ternakan, akuakultur, pertanian dan hortikultur dan mengharamkannya dalam penggunaan bukan terapeutik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mk

Thursday, October 04, 2018

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week disambut pada 4 hingga 10 Oktober setiap tahun berikutan persefahaman yang dicapai pada persidangan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999.

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Permulaan minggu sambutan pada 4 Oktober adalah sebagai memperingati tarikh kejayaan manusia meneroka angkasa dengan pelancaran Sputnik 1, sementara 10 Oktober merupakan tarikh Outer Space Treaty di tandatangani.

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia juga adalah untuk meraikan kejayaan manusia meneroka angkasa lepas dan hasil daripada penerokaan tersebut telah memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh, satelit-satelit telah dihantar ke angkasa untuk mencerap permukaan muka Bumi, sebagai alat navigasi dan telekomunikasi yang kita gunakan setiap hari sepanjang masa.

Di Malaysia, sambutan Minggu Angkasa Sedunia adalah selaras dengan Teras ke Tujuh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menekankan pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan keusahawanan menerusi peningkatan program-program kesedaran dan penghayatan pembudayaan sains dan teknologi.

Di negara ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bertanggungjawab menganjurkan sambutan Minggu Angkasa Sedunia ini.

Adalah menjadi harapan, selepas ini agar lebih ramai rakyat Malaysia khususnya generasi muda, berminat untuk meneroka dan mempelajari faedah dan kepentingan teknologi angkasa dalam usaha membangunkan negara.

Selamat menyambut Minggu Angkasa Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 11, 2018

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day disambut pada 11 April setiap tahun bertujuan menyedarkan masyarakat dunia tentang penyakit Parkinson serta kesannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Ramai menganggap penyakit Parkinson sebagai penyakit biasa yang hanya dihidapi oleh golongan tua tetapi sebenarnya, individu semuda usia 23 tahun boleh menghidap penyakit Parkinson dan ia pernah berlaku di Malaysia.

Kira-kira 6 juta manusia di seluruh dunia menghidap Parkinson dan ketika ini masih tiada penawar bagi menyembuhkan penyakit tersebut dan rawatan yang ada sekarang, cuma untuk mengawal simptom berkenaan agar pesakit dapat menjalani hidup dengan lebih baik dan sempurna.

Penyakit Parkinson bukannya sejenis penyakit berjangkit. Ia adalah keadaan di mana daya kawalan otot seseorang merosot dengan teruk sehinggakan penghidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.

Malangnya, kesedaran mengenai penyakit itu di kalangan rakyat Malaysia masih rendah sekali gus menyumbang kepada diagnosis lewat atau tidak lengkap dan sikap itu membuatkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk kerana tidak mendapat ubat dan rawatan lebih awal.

Parkinson merupakan salah satu daripada penyakit paling kurang diketahui di Malaysia dan tanggapan umum bahawa ia hanya menyerang golongan warga emas adalah salah.

Usia, kaum dan jantina tidak menjadi penghalang kepada Parkinson untuk menyerang seseorang dan antara 5 hingga 10 peratus daripada pesakit menunjukkan simptom-simptom sebelum usia 40 tahun.

Pengesanan awal adalah penting bagi memastikan pesakit menerima terapi secukupnya bagi menyekat penyakit itu daripada terus merebak.

4 Tanda dan Simptom utama Parkinson
  1. Menggeletar (pada jari, tangan, kaki, rahang dan / atau muka)
  2. Kaku pada anggota badan (tangan, kaki dan / atau tubuh badan – Rigidity)
  3. Pergerakan badan yang perlahan (Bradykinesia)
  4. Masalah ketidakseimbangan postur dan kordinasi badan yang boleh mengakibatkan jatuh.

Simptom awal mungkin tidak jelas. Apabila penyakit bertambah serius simptom ini akan mempengaruhi aktiviti kehidupan harian.

Setakat ini tiada pemeriksaan makmal untuk diagnosa penyakit ini.

Komplikasi

Fizikal
  • Jatuh
  • Pening /Ketidakseimbangan apabila posisi badan berubah secara tiba-tiba.
  • Sembelit
  • Kesukaran penelanan (dysphagia)
  • Kesukaran pertuturan (dysarthria)
  • Kegagalan kawalan pundi kencing dan saluran perkumuhan
  • Kudis tekanan
  • Turun berat badan

Psiakiatri
  • Masalah emosi seperti:
  • kemurungan
  • keresahan

Fungsi otak terjejas seperti:
  • Ingatan
  • Proses pemikiran
  • Kewarasan membuat keputusan
  • Pertimbangan
  • Tanggapan / persepsi
  • Masalah tidur

Sosial
  • Kehilangan kebolehan berdikari, pengasingan dan stres penjaga

Rawatan

1. Rawatan Bukan Ubat-ubatan

Pengendalian penyakit ini melibatkan kepakaran dari pelbagai bidang seperti:
  • Doktor
  • Jururawat
  • Jurupulih anggota
  • Jurupulih bahasa dan pertuturan
  • Pakar psikologi/psiakatri
  • Pegawai farmasi
  • Pegawai kebajikan perubatan

Ia juga melibatkan pendidikan pesakit dan keluarga, perkhidmatan kumpulan sokongan dan amalan cara hidup sihat (senaman dan pemakanan)

2. Rawatan Ubat-ubatan

Tiada rawatan untuk Penyakit Parkinson. Ubat-ubatan (dan pembedahan untuk kes tertentu) hanya boleh melegakan simptom.

Pencegahan

Punca sebenar tidak diketahui.

Rehabilitasi

Rehabilitasi melibatkan kepakaran dari pelbagai bidang adalah penting untuk pengendalian penyakit ini.

Kumpulan Sokongan
  • Malaysian Parkinson’s Disease Association (www.mpda.org.my)
  • Parkinson’s Disease Society (www.parkinsons.org.uk)
  • National Parkinson Foundation (www.parkinson.org)
  • Drug Science (www.drugscience.org/parkinsons)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Thursday, April 05, 2018

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day disambut setiap tahun diseluruh dunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan sains dan merapatkan jurang antara sains dan masyarakat dengan menampilkan pelbagai program berasaskan “sains” yang menarik dan interaktif.

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Minggu Sains juga disambut oleh beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, Republik Rakyat China, Kanada, Norway dan United Kingdom, manakala negara seperti India dan Thailand memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan hari sains.

Penganjuran program Minggu Sains adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002.

TUJUAN SAMBUTAN

Minggu Sains Negara diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kepentingan STI kepada semua lapisan rakyat Malaysia.

Secara tidak langsung, program Minggu Sains ini akan meningkatkan pembangunan modal insan dan menarik minat pelajar untuk memilih bidang dan jurusan STEM sebagai kerjaya serta mengiktiraf sumbangan saintis, ahli akademik serta individu dalam mempromosikan sains.

Program Minggu Sains ini juga diharap mampu memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya STI dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Minggu Sains Negara ini dapat dijadikan sebagai salah satu aktiviti dan pendekatan strategik dalam usaha meningkatkan minat para pelajar terhadap STEM.

Program Minggu Sains ini juga diharapkan dapat memenuhi hasrat Kerajaan untuk mencapai Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar memilih aliran sains dan teknikal berbanding 40 peratus pelajar sastera.

Dasar ini berperanan bagi menyediakan modal insan berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang STEM yang mencukupi pada masa hadapan.

SASARAN

Pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar (sekolah, siswazah pusat pengajian tinggi), pendidik, saintis, belia, sektor awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Selamat menyambut Minggu Sains.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mosti

Friday, March 23, 2018

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day disambut pasda 23 Mac setiap tahun bagi menekankan kepentingan pengetahuan dan kefahaman masyarakat mengenai cuaca dan iklim dalam memastikan mereka sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang bencana atau ancaman dari perubahan cuaca dan iklim.

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Hari Meteorologi Sedunia disambut setiap tahun oleh seluruh komuniti meteorologi di 191 buah negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (World Meteorological Organisation - WMO).

Dari segi pertanian, cuaca merupakan aspek penting yang perlu diutamakan, nelayan juga memerlukan maklumat bagi mengetahui ramalan cuaca semasa bagi membantu mereka melaksanakan kerja seharian mereka.

Fenomena alam seperti puting beliung, ribut petir, taufan dan angin kencang merupakan kesan daripada perubahan iklim serta pemanasan global yang tidak boleh diramal kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran mengenainya.

Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha membawa pakar dari luar negara untuk melatih lebih ramai pegawai cuaca tempatan mengenai kaedah terbaik untuk membuat ramalan tentang puting beliung.

Malaysia juga boleh menghantar pegawai ke luar negara yang mempunyai ramai pakar, pengalaman serta peralatan canggih berkaitan puting beliung dan lain-lain bencana alam.

Melalui sambutan Hari Meteorologi ini, negara anggota Pertubuhan Metereologi Sedunia mampu merangka pelan tindakan dan mitigasi untuk menghadapi perubahan iklim.

Aplikasi RakanMET

Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengambil inisiatif memperkasakan sistem penyampaian bencana alam dengan membangunkan aplikasi RakanMET yang berasaskan laman web.

Melalui aplikasi RakanMET, orang ramai boleh melaporkan kejadian atau fenomena cuaca di tempat mereka untuk disebarkan termasuk pihak berkuasa.

Selain itu, ia berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dan jabatan bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

MetMalaysia turut menawarkan "myCuaca" iaitu aplikasi telefon pintar yang menyediakan ramalan dan amaran cuaca harian, gempa bumi dan tsunami serta imej terkini bagi satelit dan radar.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Store secara percuma; myCuaca.

Selamat menyambut Hari Meteorologi Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, March 21, 2018

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day disambut pada 21 Mac setiap tahun yang diasaskan dari sambutan Hari Nyepi masyarakat Bali di Indonesia sebagai acara untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran gas rumah hijau yang mencemarkan bumi.

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Tradisi sambutan Nyepi di Bali ini kini ditawarkan kepada masyarakat global sebagai penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Tarikh 21 Mac dipilih kerana Equinox Utara dan Hari Hutan Sedunia, yang dikaitkan dengan Hari Air Sedunia pada 22 Mac, melambangkan kehidupan.

Walaupun anda mungkin tidak mampu duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti, anda dicadangkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit atau mengelakkan memandu motosikal atau kereta.

Sambutan Hari Senyap Sedunia adalah kempen untuk mengurangkan aktiviti yang menghasilkan gas rumah hijau, gas yang kita tahu boleh mencetuskan pemanasan global dan perubahan iklim.

Ingatlah 3 langkah mudah ketika menyambut Hari Senyap Sedunia:
  1. 21 Mac setiap tahun.
  2. Hanya empat jam antara 10 pagi hingga 2 petang.
  3. Matikan peralatan elektronik, kurangkan penggunaan kenderaan bermotor dan aktiviti yang menggunakan sumber semula jadi, menanam pokok, mengukuhkan hubungan dengan keluarga, rakan sekerja dan jiran-jiran.

Selamat menyambut Hari Senyap Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, March 15, 2018

Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia, World Action On Salt and Health (WASH) disambut pada bulan Mac setiap tahun bagi mengingatkan kepada orang ramai supaya pengambilan garam tidak melebihi 5 gram sehari demi kebaikan kepada kesihatan masing-masing.

Minggu Kesedaran Garam Sedunia

Pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko kematian pramatang, boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi yang jika tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung dan strok, seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Menerusi kajian pada tahun 2015 (MySalt Study) di kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram (atau 2.9 gram sodium) sehari.

Kajian ini adalah sebagai proksi yang menunjukkan tahap pengambilan garam dikalangan populasi rakyat Malaysia, hampir dua kali ganda berbanding saranan WHO iaitu lima gram garam sehari.

Kajian ini juga mendapati makanan bermasak seperti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, roti canai, mi goreng) serta sos dan perisa masakan merupakan penyumbang utama kepada pengambilan garam yang tinggi.

Malaysian Adults Nutrition Survey (MANS, 2014) juga mendapati kicap soya merupakan antara 10 makanan utama yang diambil oleh rakyat Malaysia setiap hari.

Banyak makanan di Malaysia mengandungi kandungan garam yang tinggi walaupun tidak berasa masin dan tidak sepatutnya berasa masin.

Salah satu strategi pengurangan garam yang dijalankan KKM adalah bekerjasama dengan industri makanan untuk reformulasi produk makanan bagi menurunkan kandungan garam dari pelbagai kategori termasuk mi segera, serbuk atau kiub perasa, sos, biskut, makanan ringan, daging beku, dressing, teh dan minuman 3 dalam 1 telah dikurangkan kandungan garam berbanding formulasi asal.


Walaupun jumlah dan kategori produk yang dikurangkan kandungan garam ini masih rendah berbanding jumlah produk makanan yang ada, namun usaha ini tidak mustahil dan perlu terus dipertingkatkan lagi.

Pihak industri makanan juga diminta untuk lebih proaktif dan tampil bekerjasama di dalam mereformulasi lebih banyak produk makanan mereka.

Usaha lebih agresif pihak industri adalah sangat penting bagi memastikan masyarakat mendapat lebih banyak pilihan makanan rendah garam sebagai pilihan lebih sihat dan seterusnya membantu mengurangkan pengambilan garam.

Masyarakat disarankan agar lebih peka terhadap pengambilan garam harian dengan mengambil langkah-langkah seperti kenali produk makanan yang tinggi garam dengan membaca label sebelum membeli makanan.

Minggu kesedaran garam sedunia

Makan di Luar, Kurang Masin, Pilihan Sihat
  • Kurangkan pengambilan makanan tinggi garam atau masin seperti makanan ringan (contoh: kerepek dan keropok), makanan terproses (contoh: sosej, nugget, burger, mee segera) dan makanan segera.
  • Hadkan pengambilan makanan segera sebulan sekali.
  • Elak mencampurkan serbuk asam atau garam ke dalam buah-buahan anda. Nikmatilah rasa asli buah-buahan berkenaan.
  • Baca label makanan sebelum membeli makanan. Pilih makanan yang mempunyai label "dikurangkan garam", "rendah garam", "sangat rendah garam" atau "bebas garam" jika ada.
  • Belajar menikmati makanan tanpa penambahan garam, kicap atau sos.
  • Gunakan perencah asli dan rempah ratus sebagai pengganti garam seperti limau nipis, lada hitam, jintan manis dan sebagainya.
  • Elak menyediakan masakan dari makanan yang diawet atau diproses seperti ikan masin, telur masin, sayur masin, makanan dalam tin dan sebagainya.

Pilihlah makanan yang dilabelkan "kurang sodium", "rendah garam", "sangat rendah garam" atau "bebas garam" serta mengurangkan penggunaan kicap, sos, taucu, kiub dan serbuk perasa dalam penyediaan makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sambutan Hari Tidur Sedunia, World Sleep Day

Sambutan Hari Tidur Sedunia, World Sleep Day

Sambutan Hari Tidur Sedunia, World Sleep Day adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh World Sleep Day Committee of the World Association of Sleep Medicine (WASM) yang telah bermula sejak tahun 2008 lagi.

Sambutan Hari Tidur Sedunia

Ia bertujuan untuk meraikan manfaat tidur yang baik dan sihat serta untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu berkaitan beban masalah tidur dan kesannya dalam bidang perubatan, pendidikan dan aspek-aspek sosial.

Ia juga bertujuan meringankan beban masalah tidur pada masyarakat melalui pencegahan yang lebih baik dan pengurusan gangguan tidur.

Hari Tidur Sedunia diadakan setiap tahun pada hari Jumaat ketiga dalam bulan Mac (Kecuali Hari Tidur Sedunia Pertama yang telah diadakan pada 14 Mac 2008).

Acara sambutan melibatkan perbincangan dan pameran bahan pendidikan telah diadakan di seluruh dunia dan juga secara dalam talian.

MASALAH TIDUR, BERISIKO TERLIBAT KEMALANGAN

Sambutan hari tersebut bukanlah diraikan untuk mengajak orang tidur beramai-ramai pada hari itu, tetapi mahu membangkitkan kesedaran pentingnya tidur bagi setiap individu.

Ramai yang memandang remeh mengenai waktu tidur yang berkualiti, tempoh tidur yang cukup, tidur lewat dan 'melawan' tidur'.

Sedangkan penderitaan akibat daripada masalah tidur berpotensi menyumbang seseorang itu kepada pelbagai masalah termasuk risiko terlibat dalam kemalangan.

APAKAH MASALAH TIDUR?

Apakah sebenarnya yang diertikan daripada senario masalah tidur ini sehingga dilabelkan sebagai antara faktor berisiko terlibat kemalangan?

Tambahan pula, kalau dilihat atau ditafsir secara kasar akan perihal masalah tidur ini, ia seolah-olah menampakkannya hanya satu perkara atau situasi biasa bagi setiap manusia normal.

Lagipun tanyalah kepada sesiapa sahaja dan sudah pasti semua daripada kita pernah mengalami kesukaran atau kesulitan tidur pada sesuatu masa.

Ia merupakan suatu keadaan normal dan selalunya bersifat sementara, mungkin dipengaruhi perasaan terlalu gembira, sedih atau terlampau memikirkan sesuatu perkara sehingga menjejaskan rasa mengantuk individu itu.

Bagaimanapun, sekiranya kesukaran merasai nikmat rehat paling berharga dalam diri setiap manusia itu berpanjangan sehinggalah berbulan-bulan lamanya dan menjejaskan rutin harian, anda mungkin mengalami masalah tidur.

Masalah tidur atau dalam istilah Inggeris 'Sleep Disorder', ialah suatu keadaan seseorang itu mengalami kesukaran mendapatkan tidur berkualiti tidak seperti manusia normal.

Ini termasuk serangan rasa mengantuk pada waktu tidak sesuai, tempoh tidur berlebihan, gangguan pernafasan ketika tidur sehingga menyebabkan masa rehat seseorang itu terganggu kerana dia tidak dapat lena serta tingkah laku luar biasa yang bersangkut-paut dengan masalah tidur seperti mengigau, berjalan, bercakap dan sebagainya.

Masalah tidur ada pelbagai jenis antaranya, insomnia, narcolepsy, obstructive sleep apnea (OSA) dan parasomnia.

Tetapi, OSA yang merupakan gangguan dikenali melalui kelumpuhan saluran udara yang menghalang penafasan merupakan masalah tidur paling kerap ditemui.

APABILA TIADANYA RAWATAN AWAL

Bahaya dengan masalah tidur ini ialah apabila tiada langkah rawatan awal diambil kerana pelbagai implikasi bakal menghantui kehidupan seharian mereka termasuk tahap tumpuan terjejas ketika memandu.

Sememangnya tubuh badan dan minda segar merupakan kriteria atau syarat utama semasa pengendalian apa-apa sahaja jenis kenderaan di jalan raya.

Dan ini melibatkan pelbagai faktor seperti pengamalan kehidupan sihat dan antara yang penting mendapatkan tidur berkualiti kerana ia berfungsi mengembalikan tenaga anda secara optimum yang hilang selepas seharian bekerja.

Akan tetapi, timbul permasalahan apabila tidur anda kerap terganggu mungkin disebabkan gangguan pernafasan ataupun kesukaran tidur sehingga kelesuan keesokan harinya dan boleh mengundang bahaya apabila memandu.

Ini bukanlah perkara main-main kerana hanya dengan terlelap sekejap sahaja sudah boleh menyumbang kepada risiko kemalangan.

Walaupun tidak banyak kajian dilakukan di negara ini bagi menghubung kaitkan kecenderungan risiko kemalangan dengan masalah tidur, namun beberapa penyelidikan daripada negara luar mengesahkannya.

Berdasarkan jurnal antarabangsa 'Sleep Medicine Review' mengenai 'The Hazards and Prevention of Driving While Sleepy' (bahaya dan elakkan memandu ketika mengantuk) mendapati kira-kira 20 peratus daripada kemalangan kenderaan berkemungkinan disebabkan faktor mengantuk.

Ia diperkukuh lagi dengan data hasilan daripada jurnal antarabangsa 'Accident Analysis & Prevention' mengenai peranan pemandu mengantuk dalam sesuatu kemalangan, menunjukkan pemandu yang menghadapi masalah tidur mempunyai tujuh kali ganda berisiko mendapat kecederaan akibat kemalangan.

Ini membuktikan bahawa rawatan awal amat penting.

PRODUKTIVITI RENDAH

Rasa lesu, mudah berasa letih dan tidak dapat memberi tumpuan akibat daripada masalah tidur, bukanlah sekadar memberi kesan kepada proses pemanduan kenderaan sahaja malahan ia menular sehingga ke alam pekerjaan.

Kesukaran mendapatkan tidur berkualiti boleh menyebabkan pekerja tidak fokus, mengganggu pemikiran kognitif sekali gus menyumbang kepada penurunan produktiviti dan prestasi kerjayanya.

Selain itu, ia juga mengakibatkan peningkatan berat badan, kencing manis, serangan jantung, tekanan emosi dan pelbagai penyakit berbahaya lain.

Atas sebab itulah, kesedaran mengenai bahaya masalah tidur dalam kalangan masyarakat harus dipertingkatkan memandangkan hanya satu pertiga daripada mereka yang mengalaminya mendapatkan rawatan profesional.

Ramai masih memandang ringan masalah tidur ini kerana kita rasa ia hanya satu komponen biasa.

Walhal tidur ialah proses fisiologi manusia, proses biasa keperluan manusia seperti makan, tempat tinggal dan sebagainya.

Jadi, jika kita tidak memenuhi keperluan tidur ia boleh mengganggu implikasi dalam banyak sistem badan kita, disebabkan itulah kesedaran amat penting.

BERAPA JAM SEHARI?

Untuk mendapatkan tidur berkualiti, individu dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga tujuh jam sehari.

Menjadi masalah apabila gaya hidup sesetengah warga kota yang gemar 'menghidupkan malam mereka' sehingga mengganggu masa tidur, berisiko menghadapi masalah tidur.

Tidak terkecuali, mereka yang tidak tetap masa tidurnya juga boleh menjurus kepada rasa tidak segar pada keesokan harinya biarpun mendapat tidur yang mencukupi.

Mengapa?

Sebaiknya tidur dan bangun pada waktu sama setiap hari ini kerana, jam biologi kita telah ditetapkan sedemikian rupa dan sekiranya ia tidak dijadikan amalan, akan mencelarukan proses biologi badan.

Dan inilah yang membuatkan kita rasa tidak segar walaupun sudah tidur enam-tujuh jam sehari.

Disyorkan bagi mereka yang menghadapi kesukaran tidur supaya mengubah gaya hidup dengan memulakan pola tidur sihat.

Amalkan budaya menutup telefon apabila berada di ruang tidur, pastikan bilik tidur gelap dan sunyi.

Selain itu, elakkan daripada bersenam empat jam sebelum tidur, pengambilan kafein dan menjadikan bilik tidur sebagai tempat kerja.

Sekiranya masih lagi berlanjutan kesulitan tidur ini, berjumpalah pakar, kerana ia merupakan masalah yang boleh dirawat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: koding-kn

Saturday, February 17, 2018

Sambutan Hari Tenggiling Sedunia

Sambutan Hari Tenggiling Sedunia

Sambutan Hari Tenggiling Sedunia, World Pangolin Day disambut pada hari Sabtu ketiga bulan Februari setiap tahun oleh National Geography sejak tahun 2012 bertujuan untuk kempen kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan liar yang sedang diancam kepupusan ini.

World Pangolin Day

Tatkala banyak negara meraikan Hari Tenggiling Sedunia, ramai di antara kita yang masih tidak tahu betapa seriusnya ancaman yang dihadapi mamalia unik ini.

Dilaporkan lebih sejuta ekor tenggiling diperdagangkan secara haram seluruh dunia di antara tahun 2000 dan 2014, menjadikan haiwan itu antara mamalia yang paling tinggi diperdagangkan.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF), populasi tenggiling Asia telah merosot sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Punca utamanya adalah permintaan yang tinggi di China dan Vietnam, yang mana daging tenggiling dianggap sebagai makanan eksotik manakala sisik haiwan tersebut digunakan dalam ubat-ubatan tradisional.

Walaupun Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) ­telah meluluskan pengharaman penuh perdagangan tenggiling, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menangkap dan menyeludup haiwan bersisik keras tersebut.

Tenggiling sebenarnya turut dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 menyediakan hukuman lebih tinggi bagi ­kesalahan melibatkan haiwan tersebut, iaitu denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, haiwan tersebut tidak mendapat perlindungan yang sama di Sabah dan Sarawak dan mereka yang memburunya tanpa permit hanya boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara setahun.

Walaupun akta baharu menyediakan hukuman lebih berat berbanding Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 sebelum ini, ia seolah-olah tidak memberi kesan kepada sesetengah pemburu haram dan penyeludup.

Dewasa ini, penggunaan media sosial dan portal perdagangan hidupan liar secara haram telah menjadi ancaman yang lebih besar kepada spesies haiwan yang hampir pupus. Kemudahan teknologi yang ada pada masa ini juga memudahkan perdagangan haram haiwan yang dilindungi.

Amat mengejutkan apabila masih terdapat restoran yang menyediakan makanan eksotik seperti daging tenggiling walaupun negara kini mempunyai undang-undang yang menyeluruh dan hukuman yang tegas.

Dilaporkan, daging tenggiling boleh mencecah sehingga ke AS$300 atau lebih RM1,000, sekilogram di pasaran ­haram dan lebih malang lagi, tenggiling bukanlah satu-satunya haiwan liar yang terancam akibat aktiviti pemburuan ­haram dan penyeludupan.

Haiwan lain yang menjadi mangsa termasuk babi hutan, beruang, ular sawa, labi-labi, harimau belang, harimau dahan, kambing gurun, musang, keluang dan juga kura-kura.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan bahawa haiwan ini ditangkap di kawasan dilindungi dan juga hutan simpan.

Berdasarkan rekod Perhilitan, jumlah kes yang disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar adalah sebanyak 354 kes pada 2012 manakala pada 2013 terdapat 788 kes; 2014 (1,157 kes); 2015 (1,371 kes) dan 2016 (1,329 kes).

Kes-kes tersebut termasuk memiliki haiwan liar yang dilindungi serta tidak mempunyai lesen untuk memiliki haiwan tertentu. Jabatan itu juga telah mendakwa 39 suspek pada 2012 manakala pada 2013 terdapat 47 suspek; 2014 (71 suspek); 2015 (130 suspek) dan 2016 (62 suspek).

Kita seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menyekat jual-beli hidupan liar yang hampir pupus serta anggota badan mereka melalui undang-undang dan pe­nguatkuasaan yang lebih efektif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kesedaran awam yang lebih tinggi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih baik serta keazaman politik amat diperlukan untuk menyekat perdagangan haram hidupan liar serta eksploitasi berlebihan sumber asli negara. Pihak berkuasa perlu memastikan tidak ada ruang yang tertinggal dalam usaha mengatasi masalah ini.

Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kekejaman ter­hadap haiwan dalam apa jua bentuk kerana mereka juga berhak untuk mendiami dan berkongsi tempat tinggal bersama kita di bumi ciptaan Tuhan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan