Wednesday, March 22, 2017

Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day

Tanggal 22 Mac setiap tahun merupakan Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day, yang bermula pada tahun 1993, sebagai satu hari untuk memberi perhatian dan menyedari akan kepentingan air bersih terhadap penduduk dunia.

World Water Day

Pada hari sambutan hari air sedunia, negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan melaksanakan rancangan yang telah dipersetujui bersama dalam menggalakkan aktiviti berkaitan sumber air dunia.

Sambutan Hari Air Sedunia juga memfokuskan segala isu berkaitan air dengan lebih berkesan selain memperbaiki dan merangka persedian dimasa hadapan.

Air merupakan sumber utama dalam pembangunan dan melalui sumber air, pelbagai perkhidmatan disediakan, menyokong pengurangan kemiskinan, mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Dari makanan dan tenaga sehinggalah kesihatan manusia dan alam sekitar, air menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan sosial dan pertumbuhan inklusif yang memberi kesan kepada kehidupan berbilion-bilion manusia diseluruh dunia.

Air yang menyelaputi lebih daripada 70 peratus permukaan bumi ini membuktikan betapa pentingnya air kepada semua hidupan dan alam.

Tanpa air, tiadalah kehidupan di dunia ini. Hanya setitik mampu merubah segalanya.

Oleh kerana itulah air amat penting sebagai sumber pembangunan yang mampan untuk manusia sejagat.

Sejarah Sambutan Hari Air Sedunia

Secara rasminya, sambutan hari air sedunia ini diajukan dalam agenda 21 pada pertemuan di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 oleh badan PBB yang mengurus persekitaran dan pembangunan (UNCED - United Nations Conferece on Environment and Development).

Isu air terus berkembang dan menjadi perhatian serta mendapat sokongan dari masyarakat sehingga lah ke hari ini.

PBB dan anggotanya, menyeru penetapan Hari Air Sedunia ini dan menyarankan untuk dipromosi melalui perhimpunan aman.

Setiap tahun, sebuah pertubuhan dunia dalam isu air akan menyusun jadual sambutan diperingkat antarabangsa untuk sambutan Hari Air Sedunia.

Sejak 2003, UN-Water bertanggungjawab dalam menyebarkan tema, maklumat berkenaan dengan sambutan Hari Air Sedunia.

Sejak tahun 1997, WWC (World Water Council) berjaya mengajak ribuan peserta dalam pertemuan Forum Air Dunia, selama sebulan dalam sambutan Hari Air Sedunia.

Penyertaan pertubuhan dan NGO menekankan bahawa isu penyediaan air bersih bagi jutaan umat manusia dalam penggunaan air bersih bagi semua keluarga adalah sangat penting.

Tema Sambutan Hari Air Sedunia

Untuk sambutan Hari Air Sedunia, UN telah mengenal pasti cabaran yang akan datang dan menetapkan tema sambutan iaitu:
  • Hari Air Sedunia 2018 - 'Penyelesaian Mesra Alam Untuk Air' (Nature-based Solutions for Water)
  • Hari Air Sedunia 2017 - 'Sisa Buangan Air' (Wastewater)
  • Hari Air Sedunia 2016 - 'Air dan Pekerjaan' (Water and Jobs)
  • Hari Air Sedunia 2015 - 'Air dan Pembangunan Mampan'
  • Hari Air Sedunia 2014 - 'Air dan Tenaga'
  • Hari Air Sedunia 2013 - 'Kerjasama Air' (Water Cooperation)
  • Hari Air Sedunia 2012 - 'Air dan Keselamatan: Dunia Kehausan, Kita Kelaparan'
  • Hari Air Sedunia 2011 - 'Air untuk Bandar'
  • Hari Air Sedunia 2010 - 'Air yang Bersih untuk Dunia yang Sihat'
  • Hari Air Sedunia 2009 - 'Perairan Merentasi Sempadan'
  • Hari Air Sedunia 2008 - 'Pemulihan'
  • Hari Air Sedunia 2007 - 'Menangani Kekurangan Air'
  • Hari Air Sedunia 2006 - 'Air dan Budaya'
  • Hari Air Sedunia 2005 - 'Air untuk Kehidupan'
  • Hari Air Sedunia 2004 - 'Air dan Bencana'
  • Hari Air Sedunia 2003 - 'Air untuk Masa Hadapan'
  • Hari Air Sedunia 2002 - 'Air untuk Pembangunan'
  • Hari Air Sedunia 2001 - 'Air untuk Kesihatan'
  • Hari Air Sedunia 2000 - 'Air untuk Abad ke-21'
  • Hari Air Sedunia 1999 - 'Kehidupan Semua pada Aliran Air'
  • Hari Air Sedunia 1998 - 'Air Bawah Tanah - Sumber yang Tidak Kelihatan'
  • Hari Air Sedunia 1997 - 'Air Dunia: Adakah Ia Mencukupi?'
  • Hari Air Sedunia 1996 - 'Air Untuk Kota yang Dahaga'
  • Hari Air Sedunia 1995 - 'Air dan Wanita'
  • Hari Air Sedunia 1994 - 'Peduli pada Sumber Air adalah Kepentingan Semua Pihak'

Hargai Air

Kita semua memahami dan tahu akan kepentingan air kepada kehidupan. Hargailah air kerana ianya amat berharga.

Kita semua telah mengalami keperitan dan kesusahan apabila tiada bekalan air bersih untuk keperluan harian,

Begitu juga dengan bencana yang disebabkan oleh air yang memberi dugaan besar kepada sebahagian dari kita.

Oleh itu, elakkan pembaziran dan bersama menjaga kebersihan sumber air semulajadi serta alam sekitar.

Semoga kita semua tidak menghadapi sebarang masalah serius dalam pembekalan air bersih dan sumber air semulajadi akan terus kekal terpelihara.

Selamat menyambut Hari Air Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: relaksminda | kompasiana

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon