Tuesday, April 14, 2026

SBDJ Siri 269: Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

SBDJ Siri 269: Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

Datuk menghadapi situasi genting dengan tenang. Ular tedung panggungkan kepala, bersedia untuk melakukan serangan maut. Wajah penduduk yang berada di situ dibalut ketakutan.

SBDJ Siri 269 Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

Sungguh mengejutkan, ular tedung yang garang itu merendahkan badannya dan terus menyusur di celah-celah dedaun kering dan akar. Akhirnya hilang entah ke mana. Peah yang ketakutan dapat ditenangkan oleh ayah Shafie.

Peah segera memberitahu ayah Shafie bagaimana mulanya dia dikejar oleh ular tedung.

"Sudah berkali-kali suami saya mengingatkan, jangan lalu di bawah pokok besar berlubang jika mahu ke sawah.

"Kata suami saya, di situ ada ular tedung bertelur. Saya tak endahkan cakap suami, sambil lalu saya baling puntung kayu ke arah pangkal pokok besar," Peah berhenti bercerita.

"Saya tak terima apa-apa akibat buruk. Tetapi petang ini, petang ketujuh ular itu keluar dari lubang dan buru saya," sambung Peah.

Semua yang mendengarnya gelengkan kepala dengan mulut terlopong.

"Kamu baliklah ke rumah. Lain kali jangan melawan cakap suami. Ular tedung bertelur jangan diganggu," nasihat ayah Shafie pada Peah, wanita keras kepala.

"Terima kasih membantu saya," tutur Peah pada datuk.

"Sama-sama."

Peah pun beredar dari situ dan orang kampung yang berkumpul segera bersurai. Pulang ke rumah masing-masing, menyambung kembali kerja yang terganggu.

Kami kembali duduk di ruang tamu rumah orang Shafie. Topik perbincangan tergelincir dari merawat sakit Shafie kepada ular tedung.

"Awak pukau ular tedung tadi?" soal ibu Shafie.

Datuk tersenyum sambil gelengkan kepala.

"Jadi apa yang awak buat dengannya. Barangkali awak pengamal ilmu hitam," lancang sekali mulut ibu Shafie.

"Itu bukan amalan kita," sanggah datuk.

"Awak puja ular?" Ibu Shafie masih belum puas hati.

"Kita bercakap dengannya!" jawapan datuk membuat ibu dan ayah Shafie panggungkan kepala.

Mereka menatap muka datuk penuh kehairanan. Bagi menghilangkan keraguan yang tumbuh dalam hati pasangan isteri itu. Datuk segera menjelaskan kedudukan yang sebenar.

"Ular dan buaya. Jenis haiwan melata yang mudah kita jumpai, terutama di kawasan berair seperti kawasan berpaya, sungai hutan bakau dan kuala sungai," datuk mula merintis jalan penjelasan.

Semua yang ada di situ pasang telinga terutama kedua-dua ibu bapa Shafie.

"Ada masanya tak payah pergi jauh. Kita boleh jumpa ular di sawah di kebun pisang, malah dalam kawasan rumah kita.

"Dalam jenis tertentu binatang yang melata ini cukup bahaya. Ular bahkan buaya, sebenarnya makhluk Allah yang sangat dekat nalurinya dengan manusia," sambung datuk.

DAHI

Ayah Shafie kerutkan dahi sambil merenung keluar menerusi jendelah yang terdedah. Tajudin menggigit bibir, masih ragu-ragu untuk mempercayai kisah yang dituturkan oleh Datuk.

"Binatang dapat memahami apa yang ada dalam hati manusia. Sama ada berniat jahat atau sebaliknya. Mereka dapat merasakan getaran halus yang tidak disedari dipacarkan oleh manusia melalui kuasa tenaga semula jadi.

"Kerana itulah, bukan sesuatu yang pelik, bila terdapat ramai pawang ular dan buaya berbanding pawang binatang buas lain seperti harimau atau singa.

"Ular dan buaya banyak kaitannya dengan lagenda kehidupan manusia,” Datuk berhenti seketika, panjangkan leher merenung keluar macam ada sesuatu yang mahu dilihatnya.

Beberapa orang kampung dapat dilihat dengan jelas melalui jalan tanah merah yang berdebu. Mereka pulang dari ladang.

Angin nan bertiup menerbangkan debu-debu merah singgah di daun pokok yang tumbuh memagari kiri kanan jalan.

"Bila kita jumpa ular, apa yang mesti kita buat? Kita lari atau kita pukul sampai mati," Shafie bertanya.

"Bila kita jumpa ular, memang kita tidak diperkenankan terus membunuhnya. Kita halau terlebih terlebih dahulu, kalau dia pergi, jangan diganggu lagi.

"Boleh jadi pertemuan (manusia dan ular) tanpa disengajakan. Bila dia melawan dan mahu menyerang baru kita boleh bunuh," jawab Datuk tenang.

"Itupun dengan cara yang tidak menyiksakan," sambung Datuk penuh ghairah.

"Ada juga ular yang mematuk manusia dilarang membunuhnya. Sebelum orang yang kena patuk itu sembuh. Jika ular itu dibunuh, mungkin orang yang kena patuk itu mati."

"Ohhh..."

Saya segera menoleh ke arah Tajudin yang bersuara cemas. Pak Habib senyum. Ayah Shafie masih merenung keluar.

"Macam mana dengan ular yang mengejar Peah tadi? Boleh kita bunuh, kalau dia mematuk perempuan yang membantah cakap suaminya?" Ibu Shafie buat sekian kalinya mengajukan pertanyaan.

"Ular tadi ular biasa, dia marah kerana kawasan tempat dia bertelur dihampiri manusia. Saya katakan tadi, ular jangan diganggu."

"Apa yang awak cakap dengan ular tadi?" Datang lagi soalan dari ibu Shafie.

Datuk terdiam seketika, belum sempat anak wanita itu ditentangnya.

Ibu Shafie segera alihkan pandangan ke arah lain. Tidak berani menentang anak mata datuk yang dirasakannya seperti ada getaran yang membuat perasaannya jadi cemas.

"Buaya, ular, harimau dan binatang liar lainnya memang tidak suka bertemu dengan manusia.

"Itulah sebabnya, bila mereka terserempak dengan manusia, mereka terus menyerang. Ada semacam sumpah atau pantang larang dalam dunia mereka.

"Kalau ada cerita manusia dimakan buaya. Itu sebenarnya bukan salah buaya. Tetapi, salah manusia yang mengejutkannya," kata-kata yang datuk luahkan seolah-olah ditujukan kepada ibu Shafie.

Saya menarik nafas dalam-dalam sambil mengeliat. Rasa lenguh di setiap sendi terasa hilang.

Kalau boleh, memang saya mahu datuk segera menamatkan kisah yang dibincang dan kembali kepada topik asal sama ada mahu bermalam di rumah orang tua Shafie atau sebaliknya.

TARIK

"Bila satu masa kita bertemu dengan ular buaya, jangan takut dan panik. Bila kita panik atau takut, boleh membahayakan jiwa kita.

"Kalau boleh mengelak, eloklah mengelak. Kalau sudah tak boleh, tak ada salahnya kita membekali diri dengan ilmu kunci mulut buaya atau ular," datuk terbatuk kecil.

Setelah mengurut dadanya dua tiga kali. Datuk minta segelas air dingin.

Ibu Shafie segera bangun dan beredar ke ruang dapur. Datang semula dengan segelas air dingin. Dihulurkan kepada datuk.

"Terima kasih," kata datuk lalu minum air dingin senafas.

Ibu Shafie ke ruang dapur kembali membawa gelas kosong.

"Macam mana caranya, nak kunci mulut ular dan buaya? Apa petua dan amalan yang mesti dibuat?"

Saya terkejut kerana pertanyaan itu datang dari Tajudin. Ayah dan Ibu Shafie anggukkan kepala setuju dengan pertanyaan yang diajukan oleh Tajudin.

"Petua dan ilmu tu, ada syarat dan pantang larangnya," datuk renung muka Tajudin dan pasangan suami isteri.

"Apa syaratnya," Tajudin kian ghairah.

"Jangan takut dan tetap yakin, nyawa setiap makhluk di tangan Allah," datuk berhenti seketika.

BERSANDAR

Perlahan-lahan datuk rapatkan belakangnya ke dinding. Bersandar di situ dengan wajah ceria sekali. Kemudian menggerakkan lehernya ke kanan dan ke kiri hingga berbunyi kruuukkkk.

Bila merasakan duduknya sudah aman dan selesa, datuk terus menuturkan.

"Bila bertemu ular atau buaya ucapkan salam."

"Salam?" Mulut Shafie terlopong.

"Iya," angguk datuk.

"Bagaimana salamnya," susul Tajudin.

"Bila bertemu ular atau buaya ucapkan ini sebanyak tiga kali, "Assamu'alaikum 'alaa sayyidinal khadiri 'alaihis salam. Assalamu 'alaikum 'alaa sayyidinaa aliyyin radhiayallahaanu 'anhu."

"Semasa memberi salam itu, renung ular dan buaya dengan penuh keyakinan terhadap pertolongan dari Allah," dan apa yang dituturkan oleh datuk diikuti dengan penuh perhatian dan minat.

Memang tidak menghairankan, bila datuk bercakap, mereka termanggu-manggu dengan mulut terlopong. Kalau boleh, mereka mahu datuk terus bercakap dan bercerita tanpa berhenti.

"Cuma itu saja?" datang lagi pertanyaan dari Shafie.

"Ada lagi," jawab datuk.

"Apa dia yang ada lagi itu."

Pak Habib tersenyum mendengar pertanyaan yang diajukan oleh ayah Shafie.

"Selanjutny, bacalah doa ini sebanyak tiga kali iaitu: Yaa 'ibaadallooh a'iinuunii, selanjutnya bacalah Laa ilaha illallah sambil membaca perlahan-lahan menjauhi ular atau buaya atau tunggu binatang itu menjauhkan diri dari kita."

"Ada lagi," desak Tajudin.

"Tak ada," datuk gelengkan kepala.

Terdengar keluhan hampa dari pasangan suami isteri, Tajudin dan Shafie. Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang datuk luahkan.

Mereka yakin masih ada yang disembunyikan atau sengaja dirahsiakan oleh datuk dari pengetahuan mereka.

"Percayalah pada saya, memang tidak ada lagi. Cuma itu saja yang saya tahu untuk mengunci mulut buaya dan ular," ujar datuk seiringan dengan senyum.

Setiap wajah yang ada di ruang tamu ditatapnya satu persatu, kecuali wajah Pak Habib.

Apa yang dapat saya rumuskan dari ungkapan datuk sebentar tadi ialah, kesangsian dengan keraguan yang bersarang dalam kepala Shafie bersama orang tuanya dan Tajudin sudah dibersihkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 269/284

BACA: SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, April 13, 2026

SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini

SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini

Buat seketika, suasana menjadi bungkam sekali. Semuanya membisu, malah desiran angin dan kicau burung bagaikan terhenti. Perhatian tertumpu kepada datuk yang bakal mengeluarkan arahan selanjutnya.

SBDJ Siri 268 Bermalam Saja Di Sini

"Kita melangkah sekarang, jangan peduli apa yang berlaku semasa dalam perjalanan nanti," itu arahan dari Pak Habib, bukannya dari datuk yang diharapkan. Semua yang berada di situ anggukkan kepala. Tanda setuju.

"Kita melangkah sekarang," tambah Pak Habib.

Semuanya akur. Tiada seorang pun yang membantah.

Tidak sampai lima puluh kali melangkah. Secara mengejut Shafie rebah di bumi. Bergolek-golek menahan rasa sakit. Mulutnya berbuih dan terus kaku. Semua jadi kelam-kabut.

"Usah risau, dia cuma pitam," tenang ibunya bersuara.

Pak Habib dan datuk segera bertindak membantu memulihkan Shafie. Tetapi, ibunya menghalang keras.

"Kenapa?" Tanya datuk kehairanan.

"Perkara biasa," jawab ibunya.

"Biasanya?" Pak Habib membeliakkan biji mata.

"Iya," angguk ibunya.

"Perkara ini tidak berpanjangan, sekejap lagi dia pulih."

Cakap ibunya memang benar. Tidak lama berselang, keadaan Shafie pulih seperti sediakala. Boleh duduk dan berdiri tetapi, tidak boleh melangkah kerana masih belum mampu mengimbangi tubuhnya.

"Selalukah dia pitam macam ini?" Soal Pak Habib.

"Selalu, ini penyakit semula jadi. Kalau dia tidak pitam atau berbuih mulut, kesihatan dirinya tidak baik. Dalam setahun sekurang-kurangnya sekali dia pitam dan berbuih mulut. Sekarang dia cukup sihat," lanjut ibu Shafie.

"Bila dia pitam, ertinya dia cukup sihat," ayah Shafie menguatkan lagi pengakuan isterinya.

"Inilah keistimewaan anak kami," ibunya menambah dengan nada yang membayangkan kebanggaan.

Datuk dan Pak Habib kerutkan dahi. Mereka berdepan dengan dunia yang sungguh pelik. Orang sihat dianggap sakit dan orang sakit yang selalu pitam, berbuih mulut dikira cukup sihat.

Saya dan Tajuddin saling bertukar pandangan penuh kehairanan.

"Anak kamu berdua bukannya istimewa," kata datuk terus terang.

Pasangan suami isteri itu jegilkan biji mata ke arah datuk dan Pak Habib.

"Kalau bukan istimewa, apa dia?" sanggah ibu Shafie.

"Anak kamu menghidap penyakit ganjil, ada masanya hilang ingatan," sahut datuk.

"Mustahil," serentak pasangan suami isteri menjawab sambil termenung lalu menatap wajah Shafie.

"Kami dah jumpa dukun, pawang bomoh, semuanya mengatakan anak kami ini bertuah, boleh bawa kesenangan pada kami. Itulah sebabnya, kami hantar dia belajar. Lagi pun dia pitam dan berbuih mulut, semasa di kampung, bila di luar kampung, dia tak muntah dan pitam," si ayah memberikan penjelasan.

MAAF

Menyedari perasaan pasangan suami isteri itu tersinggung, Pak Habib segera meminta maaf. Datuk cuba menenangkan keadaan yang agak tegang dengan membawa kisah 'Abu Nawas berkokok macam ayam jantan' di tepi kolam.

Semua yang di situ ketawa terkikih. Shafie juga turut ketawa besar. Perjalanan yang terganggu seketika diteruskan kembali.

"Sudah dekat, tengok di depan itu, ada kawasan kampung. Di situ rumah kami," kata Shafie.

Memang benar. Di depan mata terbentang kawasan yang menghijau. Pepohon kelapa dan pinang tegak damai. Daunnya melintuk-liuk, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami.

"Sebentar lagi, kita semua sampai," tambah Shafie keriangan. Ayah dan ibunya tersenyum.

Dua puluh minit kemudian, kami pun sampai di halaman rumah orang tua Shafie.

Sebuah rumah berbumbung lima yang sederhana. Berdindingkan papan berdiri. Ada ukiran di pintu dan tingkap. Papan penahan tempias hujan di hujung atap, juga diukir dengan awan larat yang sungguh menarik.

Kawasan sekitar bersih sekali. Di sudut rumah, kiri dan kanan ada pohon mangga dan langsat yang mula berbunga. Suasana demikian mengimbau ingatan saya ke kampung halaman di tanah semenanjung.

"Assalamualaikum..."

Semua biji mata tertuju ke arah lelaki tua yang secara mendadak tersembul dari balik pokok renik. Dan salam orang itu dijawab dengan lantang oleh Pak Habib.

Dengan pantas orang tua berdiri di depan ayah dan ibu Shafie. Menghalang langkah menuju ke kaki tangga.

"Semasa kamu berdua tak ada di rumah, macam-macam bunyi dalam rumah. Pinggan mangkuk, periuk berlaga sesama sendiri. Bila diintai tak ada apa-apa," lanjut orang tua berjanggut dan bertongkat itu.

Tiada sebarang komentar yang terhambur dari mulut ayah dan ibu Shafie. Mereka sekadar berpandangan dengan seribu tanda tanya.

Lelaki tua yang diamanahkan oleh pasangan suami isteri untuk melihat dan menjaga rumah segera menyerahkan kunci rumah.

"Syukur, kamu berdua dapat membawa anak kamu yang hilang balik ke rumah. Jaga baik-baik jangan sampai hilang kali kedua," lelaki tua itu memberikan kursus pendek kepada kedua-dua orang tua Shafie.

Lelaki tua itu segera melangkah mendekati datuk dan Pak Habib. Sinar matanya membayangkan rasa ingin tahu yang amat terhadap Pak Habib, datuk, Tajudin dan saya.

"Siapa mereka?"

Anak matanya menatap batang tubuh kami. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke bawah yang dilakukannnya berulangkali. Seolah-olah kami dari angkasa lepas.

"Manusia berempat ini yang menangkap dan menyorok anak kamu?" tanya lelaki tua itu pada pasangan suami isteri. Wajah ibu Shafie nampak resah.

"Tidak," pantas ayah Shafie bersuara.

"Mereka menyelamatkan saya," Shafie bersuara lantang

Orang tua itu anggukkan kepala. Kali ini dia menatap wajah kami dengan senyum.

Kemudian dia kembali merenung muka ayah Shafie.

"Tadi aku terdengar suara orang bercakap dalam rumah. Aku cuba mengintai dari luar. Tiba-tiba aku terasa macam ada orang memerhatikan aku dari belakang. Bila aku nak toleh, pangkal tengkuk aku dipukul, tak tahu siapa memukulnya. Kamu berhati-hati sikit. Orang yang kamu bawa ni, kena jaga-jaga. Takut musang berbulu ayam," lelaki tua itu meninggalkan pesan, sebelum angkat kaki meninggalkan kedua-dua orang tua Shafie dan kami.

"Lupakan cakap orang itu," ujar ayah Shafie pada datuk dan Pak Habib.

Dia meneruskan langkah menuju ke kaki tangga. Ayah Shafie segera membuka kunci dan pintu rumah.

JEMPUT

Sebelum menjemput kami semua ke dalam rumahnya. Dia menyuruh isterinya masuk dulu. Memeriksa keadaan dalam rumah.

"Siapa orang tadi?" Pendek datuk bertanya.

"Dia jiran kami," jawab ayah Shafie.

Pertanyaan selanjutnya, tidak diteruskan oleh datuk.

"Tak ada apa yang tak kena. Semuanya macam biasa," kata ibu Shafie dari muka pintu. Kami pun dijemput masuk ke rumah.

Sebagai tetamu, kami dijamu kopi panas dan pisang nangka goreng yang sungguh menyelerakan.

"Bermalam saja di sini," tahan ibu Shafie, sebaik saja selesai solat Asar dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah Pak Habib. Satu permintaan yang agak sulit untuk dijawab oleh Pak Habib atau datuk.

Bila menyedari tidak ada tindak balas yang positif dari Pak Habib atau datuk. Ibu Shafie mengajukan pertanyaan yang sama khusus untuk Pak Habib.

Pak Habib tidak memberikan jawapan muktamad. Kehampaan terpeta di wajah ayah dan ibu Shafie. Saya resah semacam, begitu juga dengan Tajudin tetapi, Shafie bersahaja sekali.

"Sebenarnya, saya mengharapkan bantuan awak berdua. Masalah anak saya belum selesai lagi. Saya berhajat nak mengadakan sembahyang hajat malam ni, tengahari esok lepas sembahyang zohor, saya nak adakan kenduri kesyukuran," secara terbuka ayah Shafie meluahkan rancangannya.

Pak Habib garu pipi kiri dengan jari manis dua tiga kali. Sementara itu datuk merenung keluar, melihat dedaun yang disentuh angin.

"Tapi..."

Macam ada sesuatu yang menghalang datuk dari meneruskan kata-kata. Saya kedutkan dahi dan melepaskan nafas.

Rasanya macam ada sesuatu yang tidak kena. Shafie yang tadi saat setia di sisi ayahnya berdepan dengan datuk dan Pak Habib segera bangun menuju ke dapur.

Shafie keluar dari ruang dapur dan duduk semula di sisi ayahnya tetapi, datuk masih belum menyambung kembali kata-kata yang terhenti.

Suasana diluar terasa tenang. Beburung melompat dari dahan ke dahan. Bagaikan gembira dengan sinar matahari petang yang kian meredup.

"Usah bertapi lagi, saya memang memerlukan ikhtiar awak berdua. Tidur semalam saja di rumah ini. Esok saya suruh anak buah saya menghantar awak balik ke rumah," tanpa disangka-sangka ibu Shafie muncul di ruang tamu dan terus melibatkan diri dalam dialog singkat.

Ayah Shafie setuju dengan apa yang dituturkan oleh isterinya.

"Alang-alang membantu, biarlah sampai selesai," sampuk Shafie sambil merenung muka Pak Habib dengan tepat sekali.

Ibunya masuk ke ruang dapur semula. Ayahnya sandarkan badan ke dinding.

Entah macamana, saya terasa hati. Dalam dialog antara ayah dan ibu Shafie dengan datuk dan Pak Habib, nama saya, Tajudin tidak disebut langsung.

Kalau kami berdua tidak diperlukan, ertinya kami harus pulang ke rumah Pak Habib. Ini satu penyeksaan, fikir saya sendirian.

TAMU

Suasana di ruang tamu terasa bungkam sekali. Tiada siapa yang bersuara, semuanya termanggu macam memikirkan sesuatu.

Suasana bungkam itu dikejutkan dengan suara jeritan seorang wanita awal tiga puluhan. Semua yang ada di ruang tamu segera berdiri.

"Peah dikejar ular tedung," kata seseorang di kaki tangga.

"Bantu," kata ayah Shafie.

Semua yang ada di ruang tamu turun ke halaman rumah. Wanita yang bernama Peah terus menjerit. Berlari bagaikan tidak cukup tanah.

Seluruh kampung jadi gempar. Penduduk keluar ke tanah lapang. Tiada seorang pun yang berusaha menahan Peah dari lari dan menjerit.

"Selamatkan keadaan," bisik Pak Habib ke telinga datuk.

"Baiklah," jawab datuk.

Datuk segera minta bantuan ayah Shafie agar menghalang Peah berlari ke arah utara menuju hutan kecil.

Ketika datuk mahu melangkah ke depan lagi memintas larian Peah, seekor ular tedung muncul. Semua yang ada di situ menjerit cemas.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 268/284

BACA: SBDJ Siri 267: Kubur Mahaguru Ghaib
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, April 10, 2026

SBDJ Siri 267: Kubur Mahaguru Ghaib

SBDJ Siri 267: Kubur Mahaguru Ghaib

"Silakan," keras suara datuk.

"Dua hari, sebelum mati dipanah petir. Dia melantik saya menjadi panglima, menjaga keselamatan Imam Shafie,” lelaki menggelar dirinya panglima itu menyambung cerita yang terputus. Datuk tidak memberi sebarang komen.

SBDJ Siri 267 Kubur Mahaguru Ghaib

"Di mana kubur mahaguru?" Soal Datuk.

"Dalam hutan, sekarang dah ghaib."

"Ghaib," datuk terkejut.

"Iya," jawab kedua-dua lelaki itu serentak.

Buat beberapa ketika datuk termenung panjang. Seolah-olah putus asa. Malah bersedia melepaskan kedua-duanya pergi.

Bila datuk merenung ke arah Pak Habib ternyata Pak Habib memberikan lampu hijau agar melayani kedua-duanya hingga rahsia diperolehi. Sama ada mahu atau tidak, datuk terpaksa akur dengan permintaan kawan baiknya, Pak Habib.

"Setiap tahun kami memperingati kematian mahaguru di kawasan itu di mana kami percaya kuburnya ghaib. Kami sembelih kerbau atau lembu, kalau binatang itu tidak ada, kami sembelih tujuh ekor kambing jantan," penuh semangat si panglima bercerita.

"Lagi apa yang kamu buat di situ," risik datuk.

"Darah dan tulang binatang yang disembelih dibiarkan di situ. Dagingnya diberikan pada para pengikut mahaguru atau diberikan kepada orang-orang kampung."

"Bagaimana kalau ada anak murid yang tak mahu mengikut pesannya?"

DIMAKAN SUMPAH

"Dimakan sumpah mahaguru, mati dalam keadaan yang mengerikan, biasanya mati patah leher diterkam harimau, disambar buaya atau mati dalam kemalangan, ditimpa pokok dan sebagainya."

"Apa kebaikan yang pengikutnya dapat?" datang lagi pertanyaan dari datuk.

Si panglima terdiam, dia seperti bosan atau kepenatan untuk meneruskan cerita tentang mahaguru yang hilang. Tetapi kawan di sebelah bersedia mengambil alih tugsanya.

"Mahaguru sebenarnya tak mati, kalau perlu bantuan atau pertolongan seru namanya, dia akan datang dalam macam-macam bentuk dan rupa."

"Biasanya dalam bentuk macam mana?" tekan datuk.

"Selalunya harimau."

Datuk menggelengkan kepala sambil mengucap panjang. Dua tiga kali hujung dagu diraba dan dipicit berkali-kali.

Semakin maju dunia berkembang, semakin mundur cara bangsaku berfikir terutama dalam hal-hal agama, mereka makin sempit dan mahu kembali ke zaman animisma, fikir datuk sendirian.

"Semasa merebut Imam Shafie dari kumpulan tuan, mahaguru banyak kali datang membantu. Harimau yang tuan tewaskan tu jelmaan mahaguru, bila harimau dengan sendirinya tuan guru mati kali kedua, betul-betul mati," nada suara lelaki di sebelah panglima bernada kecewa.

Pak Habib minta Shafie dan kedua orang tuanya yang kelihatan resah supaya bertenang dan bersabar.

Bila urusan datuk dengan kedua-dua manusia itu selesai, perjalanan tetap diteruskan. Permintaan Pak Habib diterima oleh insan tiga beranak.

JEMU

Sebenarnya, saya dan Tajuddin sudah jemu menanti. Kami mahu urusan datuk dengan kedua-dua manusia segera selesai. Tidak sabar kami mahu mendengar kesimpulan yang datuk buat terhadap mereka. Apakah mereka harus dihukum atau dilepaskan begitu sahaja.

"Sekarang kamu kata mahaguru sudah mati, apakah selepas ini kamu mahu meneruskan perjuangan mahaguru kamu?" tanya datuk.

Kedua-dua lelaki itu, serentak gelengkan kepala.

"Kenapa?"

"Kejadian yang berlaku tadi, membuka mata hati kami ke jalan yang betul dan benar. Selama ini kami dalam pencarian dan menemui jalan sesat. Sekarang kami sudah nampak jalan terang," spontan panglima bersuara.

"Maksud kamu?"

"Kami mahu balik ke pangkal jalan dan bertaubat."

"Syukurlah."

Kedua-dua lelaki itu sering berpandangan. Datuk menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya, ditadahkan ke langit seketika.

Pada saat itu terdengar batuk kecil dari ayah Shafie. Datuk segera menoleh ke arahnya. Suasana sekitar terasa aman, tidak membimbangkan.

Saat bayu mengusik dedaun di reranting, datuk menundukkan muka ke bumi. Dia masih menahan rasa terharu dengan perubahan sikap dua lelaki itu. Tanpa disedari, Pak Habib sudah berdiri di sisinya.

"Tahniah."

Pak Habib hulurkan tangan. Datuk angkat muka, pandangan bertembung. Mereka berpelukan erat. Angin bertiup menyentuh dua tubuh.

Dua lelaki pengikut setia Shafie terpesona dengan kejadian di depan mata. Mereka seperti enggan angkat kaki, meninggalkan tempat di mana mereka berdiri.

Si panglima melangkah setapak demi setapak mendekati datuk dan Pak Habib. Tidak lama berselang, kawannya pula melangkah setapak demi setapak.

Si panglima berdiri di depan datuk, bertentang muka. Kawannya berdiri di depan. Pak Habib bertentang wajah. Perbuatan kedua-dua lelaki menimbulkan tanda tanya di dalam hati Pak Habib dan datuk.

Sebagai persedian datuk segera mengendurkan kedudukan sepasang kakinay. Lebih tepat disebut sebagai mengatur kedudukan mempertahankan diri.

Kedudukan Pak Habib tidak berubah. Dia menerima kedatangan tetamu itu dalam keadaan bersahaja.

TANGAN

Tanpa berkata apa-apa, si panglima hulurkan tangan pada datuk. Sementara kawannya pula hulurkan tangan pada Pak Habib.

Sungguh mengejutkan, telapak tangan yang erat dan kejap dalam genggaman datuk dan Pak Habib segera direntap dengan kasar.

Seperti tadi juga, tanpa sepatah perkataan, mereka segera bertukar tempat berdiri. Si panglima berdiri di depan Pak Habib dan kawannya berdiri di depan datuk.

Mereka melakukan perkara yang sama berjabat salam sambil menggoncang tangan.

Kedua-dua tersenyum dan sekaligus membongkok, bersedia mahu mencium tangan Pak Habib dan datuk. Mereka terkejut dan cemas bila Pak Habib dan datuk serentak menarik tangan masing-masing.

"Maafkan kami, memang kami tak suka orang mencium tangan kami," kata datuk dengan tenang.

Pak Habib anggukkan kepala, setuju dengan apa yang datuk ungkapkan.

"Tak apa, kami yang sepatutnya minta maaf, bukannya tuan berdua," si panglima nampak tenang.

"Kenapa pula begitu?" Tanya datuk.

"Sebabnya kami banyak menyusahkan tuan berdua. Tapi, kerana kehebatan tuan berdua, mata hati kami terbuka. Menyedarkan kami, apa yang kami lalui selama ini salah," sinar mata si panglima sayu menatap wajah Pak Habib, menghantar rasa kesal berpanjangan.

Datuk dan Pak Habib berpanjangan, tiada sebarang kata-kata yang Pak Habib dan datuk luahkan untuk mereka.

Dalam hati masih ada keraguan dan kesangsian yang pengikut Shafie akan melaksanakan ikrar yang diluahkan. Maklumlah, orang jahat sukar untuk menjadi baik. Itu yang datuk fikirkan.

"Kami pergi dulu," kawan si panglima bersuara.

"Ke mana?" Tanya Pak Habib.

"Balik ke pangkuan keluarga untuk bertaubat, mahu minta pada orang yang kami lukakan perasaannya," jawab si panglima.

Ketika Pak Habib mahu membuka mulut untuk memberi kata perangsang bersama doa restu, kedua-dua lelaki itu membelakanginya dan terus melangkah pergi.

Ternyata Pak Habib merasa amat kecewa dengan sikap kedua-dua lelaki tersebut.

Tetapi sepasang anak matanya terus menyorot langkah kedua-dua lelaki itu hingga hilang di sebalik rimbunan pepohon yang tegak berdiri di tepi sempadan antara tanah sawah dengan kawasan perkampungan.

Bila kedua-dua lelaki itu berada di bawah pokok besar yang rendang, mereka menoleh ke arah datuk dan Pak Habib sambil melambai-lambaikan tangan.

Lambaian itu segera dibalas oleh datuk Pak Habib. Beberapa saat kemudian, kedua-dua lelaki itu hilang dari pandangan.

"Mudah-mudahan Allah akan memperkenankan cita-cita mereka," datuk memujuk Pak Habib.

"Memang itu yang diharapkan, semoga taubat dan amalan mereka diterima oleh Allah," balas Pak Habib sambil mengalihkan pandangan dari merenung pokok besar ke arah muka datuk.

"Mari," tambahnya.

Tangan datuk segera ditarik ke arah orang tua Shafie. Datuk tidak membantah, mengikut saja. Mereka melangkah bersaingan.

Beberapa helai daun kering yang gugur hampir saja mahu jatuh kepala datuk dan Pak Habib.

LAMA

"Boleh kita teruskan perjalanan, sudah lama sangat kita berhenti di sini?" Ayah Shafie menyuarakan kebimbangan pada Pak Habib.

Datuk terus tersenyum tanpa memberikan sebarang komentar.

Wajah ibu Shafie bermandikan peluh. Shafie terus menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di sendi. Maklumlah terlalu lama menunggu, dari duduk terus berdiri. Melangkah setapak mendekati datuk.

"Dah selesai."

Datuk tentang biji mata Shafie seketika.

"Bagaimana,semuanya dah selesai?" Ulang Shafie serius.

Datuk masih lagi menentang biji matanya. Shafie menyedut nafas dalam-dalam. Ada rasa hampa dalam dada kerana datuk tidak menjawab pertanyaan yang diajukan.

"Semuanya dah selesai?" Ulang Shafie untuk kali ketiga.

"Selesai."

Datuk segera merenung ke kiri dan kanan sekitar. Ayah dan ibu Shafie merenung ke langit. Melihat awan nipis yang berarak. Melihat sekawan pipit tuli terbang rendah menuju sempadan kampung.

"Kita bergerak sekarang," secara mengejut datuk memberi arahan.

Shafie dan kedua orang tuanya agak terkejut. Pak Habib nampak tenang dan bersahaja, seolah-olah dia tahu perkara itu akan berlaku. Semua yang berada di situ (termasuk saya) segera membentuk satu barisan.

Seperti dalam perjalanan awal tadi, tanpa disuruh Shafie mengambil tempat di tengah-tengah barisan. Saya dan Tajuddin kembali pada tugas asal, mengawal Shafie sepanjang perjalanan ke rumahnya.

Kalau dia melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya dan orang lain, saya dan Tajuddin wajib bertindak dalam apa cara sekalipun.

Selesai saja Pak Habib membaca doa pendek, dia merenung ke arah kami memastikan jumlah kami tidak berkurangan atau berlebihan.

Datuk pula mengelilingi barisan dari depan hingga ke belakang. Keadaan sekitarm kiri kanan barisan juga diawasi.

Datuk mahu kami semua berada dalam keadaan selamat. Bebas dari sebarang gangguan semasa dalam perjalanan kelak.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 267/284

BACA: SBDJ Siri 266: Guru Jadi Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 02, 2026

SBDJ Siri 266: Guru Jadi Harimau

SBDJ Siri 266: Guru Jadi Harimau

Perhatian ditumpukan kembali ke arah datuk. Dia maju ke depan sambil membuka bunga silat, kemudian berhenti seketika. Buka langkah silat sekali lagi dan terus berhenti, menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskan nafas secara perlahan-lahan sambil duduk dalam tiga peringkat.

SBDJ Siri 266 Guru Jadi Harimau

Peringkat pertama, merendahkan badan dengan sepasang tangan di atas sepasang tempurung lutut, seperti orang melakukan rukuk (macam orang sembahyang). Peringkat kedua, bertukar macam orang bertinggung dan peringkat ketiga terus duduk bersila lalu melakukan tafakur dengan sepasang mata yang pejam.

Selesai melakukan tafakur datuk terus melompat macam ada sesuatu yang mencucuk punggungnya. Dia terus berdiri sambil sepasang tangan memeluk dada, sepasang bibir terus bergerak.

Bila bibir berhenti bergerak kelopak mata terbuka luas, datuk menerkam ke arah serumpun rumput liar. Dengan senafas, rumpun rumput liar berakar seribu direntap dari bumi.

Akar rumput yang masih dilekati tanah itu diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya dan dipusingnya berkali-kali.

Kerana pergerakan tangannya cukup pantas, rumput yang dipusing atas kepalanya, kelihatan seperti putaran kipas helikopter. Tanah yang melekat di hujung akar rumput bercerai, berterbangan dan berserakan.

Sebahagian tanah yang berterbangan itu hampir saja mahu singgah di muka ayah dan ibu Shafie. Kalau mereka tidak mengelak, pasti ada tanah yang masuk ke mata.

Saya dan Shafie segera menutup mata dengan telapak tangan agar serpihan tanah tidak kena mata dan muka.

"Allahhu akbar."

Lantang sekali suara datuk, telapak tangan yang menutup mata segera dijatuhkan. Saya dan Tajuddin berpandangan penuh dengan tanda-tanya yang diiringi dengan rasa hairan.

Pak Habib tenang saja, begitu juga dengan Shafie. Cuma yang nampak cemas sedikit, ayah dan ibunya.

"Hilang," cetus saya dalam hati.

Rumpun rumput berakar seribu yang dikenali dengan nama rumput kuku kucing biang, sudah tiada ditangan datuk.

"Ahhh pelik sekali," bisik batin saya.

Helai-helai rumput kuku kucing biang melayang-layang bebas di udara. Semuanya menjunam menuju ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie yang masih bergolek-golek atas rumput sawah terbiar.

Helai-helai rumput kuku kucing biang itu bergerak pantas bagaikan anak panah terlepas dari busarnya. Semuanya menuju ke arah dua lelaki yang sedang bergolek, berhempas pulas melawan sakit.

Bila hujung rumput yang berterbangan menikam tubuh mereka, terdengar jeritan yang kuat dan panjang, bukan lahir dari mulut dua lelaki tetapi, dari sebatang pokok yang tegak gagah di tempat sepadan.

DUDUK

Bila suara sorakan dan jeritan hilang, dua lelaki pengikut setia Shafie terus duduk. Toleh kiri, toleh kanan, renung ke langit dan renung ke bumi.

Perkara itu dilakukan berkali-kali, kemudian termenung dan termanggu-manggu macam ayam mabuk tahi.

"Eh ganjil," terpancut dari mulut saya.

"Tengok dan lihat saja, jaga mulut kamu," datuk memberi amaran.

Saya gigit bibir.

Hanya sepasang mata menyorot ke arah dua lelaki yang sedang merangkak menuju ke arah perdu pokok besar yang terpacak gagah menjadi sempadan antara kawasan sawah dengan kawasan tanah kampung.

Saya pasti benar, dari arah pokok besar itulah sebentar tadi datangnya suara orang menjerit panjang.

Sebaik saja sampai di perdu pokok besar, mereka terus duduk mencangkung. Tangan kanan masing-masing memeluk kepala lutut kanan, sementara tangan kiri dijatuhkan lurus ke tanah. Jari jemari kiri mereka mencakar tanah.

Sepasang mata mereka, merenung layu ke arah datuk dan Pak Habib, membayangkan ada sesuatu yang mereka harapkan. Dan Pak Habib yang banyak mengerti tentang bahasa gerak tubuh dan mata, segera menepuk bahu datuk.

"Mereka mengharapkan bantuan untuk kebebasan diri dari sesuatu belenggu yang menyeksakan," bisik Pak Habib.

Datuk mengangguk lemah.

"Uruskan," tambah Pak Habib.

Macam tadi juga, datuk terus mengangguk.

"Memerlukan bantuan saya?"

Datuk gelengkan kepala.

Pak habib senyum senang hati.

Datuk segera memberitahu ayah dan ibu Shafie, minta bersabar sebentar. Biar dia uruskan dua lelaki pengikut Shafie dengan sempurna.

Bila semuanya selesai, perjalanan akan diteruskan. Tiada bantahan dari pasangan suami isteri tersebut. Shafie menggerakkan sepasang kelopak matanya, merestui permintaan datuk.

Setelah membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran datuk segera menuju ke arah pokok besar dengan diiringi oleh Pak Habib.

Saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat masing-masing untuk mengawasi gerak-geri Shafie. Manalah tahu, kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Dalam jarak beberapa kaki mendekati perdu pokok besar, terdengar suara ngauman harimau. Langkah Pak Habib dan datuk terhenti seketika.

Saya terasa seram, bulu roma terus tegak berdiri, muka Tajuddin nampak pucat. Shafie bersama kedua-dua orang tuanya nampak resah.

Sebaik saja suara ngauman berhenti, datuk dan Pak Habib terus memulakan langkah, ngauman harimau datang lagi. Tetapi, kali ini Pak Habib dan datuk mempersetankannya.

Semakin rancak bunyi ngauman harimau, semakin bersemangat mereka melangkah.

Dalam keadaan samar-samar, saya melihat ada bebayang harimau belang sebesar kerbau, tercegat di depan kedua-dua lelaki pengikut setia Shafie, bagaikan menghalang datuk dan Pak Habib, mendekati dua lelaki tersebut.

Datuk nekad untuk meneruskannya.

"Jangan sahabat, ini merbahaya," tahan Pak Habib.

"Kalau tidak ditentang, kerja kita jadi sia-sia."

"Merbahaya sahabat."

"Sesungguhnya, tiada makhluk yang boleh melawan kekuasaan dan kekuatan Allah."

"Kalau tu kata sahabat, silakan."

"Tolong saya, bila keadaan terdesak."

"InsyaAllah," itu janji Pak Habib.

JATUH

Datuk pun melangkah, tiba-tiba dia terjatuh dan terlambung ke belakang macam ada sesuatu yang menolaknya.

Bebayang harimau kelihatan mengangkat kedua-dua belah kakinya sambil membuka mulut selebar mungkin, bersedia untuk menerkam dan membaham datuk yang terlentang di tanah.

Sebelum harimau besar melompat ke arahnya, datuk menggolekkan tubuhnya ke arah kanan dan terus bangun.

Datuk tahu, harimau yang ditentangnya, bukan harimau sebenar tetapi, harimau jelmaan. Datuk mengambil inisiatif menentang cara kebatinan.

Setelah memilih tempat bertahan yang sempurna dan kukuh. Datuk berdiri tegak dengan sepasang kaki terbuka lebar. Sepasang lengan diletakkan ke dada.

Wajahnya nampak garang dengan sepasang mata bersama renungan tajam diarahkan ke arah bebayang harimau besar. Rambut yang menutup sebahagian cuping telinga nampak bergerak.

Baju dan seluar datuk juga turut bergerak seperti dirempah angin, keadaan datuk ketika itu seperti ditepi pantai, menahan angin yang datang dari laut.

Datuk tumbang, tetapi berhasil bangun kembali. Tiga kali tumbang, tiga kali bangun, setelah itu datuk kelihatan stabil. Berdiri penuh yakin.

Episod selanjutnya, menyaksikan harimau sebesar kerbau tercampak ke kiri dan ke kanan. Sukar untuk berdiri. Sepasang kaki belakangnya bagaikan patah.

Dua lelaki pengikut setia Shafie, terkaku diperdu pokok besar, bagaikan patung.

"Allahhu akbar."

Suara datuk lantang sekali. Dia melompat tinggi sambil menumbuk dan menendang angin ke arah harimau besar. Terdengar suara ngauman harimau yang lemah dan mengerang.

Bebayang harimau besar tercampak dan terperosok di pangkal pokok besar. Dua lelaki yang berada di situ terpelanting agak jauh ke sebelah kanan datuk. Terkapai-kapai di situ.

Manakala harimau besar yang terperosok, nampak mengecil dan akhirnya hilang. Cuma ada kesan debu-debu halus di mana harimau itu terperosok

BERTAFAKUR

Setelah bertafakur seketika, datuk segera mengembalikan tubuhnya, hati dan perasaan ke alam nyata. Dia melangkah ke arah Pak Habib lalu bersalaman dan berpelukan.

"Saya nak selesaikan masalah dua manusia sesat," beritahu datuk pada Pak Habib.

"Silakan."

"Macam tadi juga, saya minta bantuan, kalau saya tersepit."

"Pergilah, saya bersama awak."

"Terima kasih."

Datuk pun melangkah ke arah dua lelaki. Berdiri sambil bercekak pinggang di depan mereka. Kedua-dua lelaki itu takut menikus. Mereka menggeletar semacam.

"Apa lagi yang kamu mahu," tanya Datuk.

"Kami tak mahu apa-apa," jawab mereka serentak.

"Pulanglah ke tempat kamu, bertaubat. Kembalilah kepada ajaran Allah, jangan menuntut ilmu syaitan, jangan minta perlindungan dari syaitan. Mintalah, sesuatu kepada Allah," nasihat datuk.

Kedua-dua lelaki itu anggukkan kepala.

Sebelum beredar, salah seorang daripada lelaki itu memberitahu datuk, kerana masalah dan kesempitan hidup dia jadi pengikut agama baru yang pada hematnya, tidak lari dari agama Islam.

Katanya, dengan bantuan tangan ghaib, dia hidup senang, berbanding dengan dulu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang dia termasuk dalam golongan orang mewah di kampungnya.

"Saya yang membawa dan memperdaya Shafie menjadi pengikut mahaguru," tutur lelaki itu pada datuk dalam nada suara yang bersahaja.

"Kerana saya berjaya menarik orang luar menjadi pengikut kumpulan kami, mahaguru secara diam-diam melantik saya menjadi orang kanan kumpulan," sambung lelaki itu lagi.

Manakala kawan yang berada di sisinya membatu seribu bahasa.

"Di mana mahaguru kamu, aku nak jumpa dengan dia," kata datuk.

"Sudah mati untuk kali kedua, dia tidak mungkin hidup lagi," balas lelaki tersebut.

Datuk jadi bingung dan merasakan dirinya dipermain-mainkan.

"Jangan bergurau dengan aku," Amaran dari Datuk.

"Dia tidak bergurau tuan," kawannya mencelah.

Dan lelaki yang berdialog dengan datuk sebentar tadi anggukkan kepala. Mengangkat tangan kanannya, bagaikan minta izin pada datuk agar mengizinkan dia meneruskan penjelasan yang terputus.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 266/284

BACA: SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 31, 2026

SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah

SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah

Setelah melepasi beberapa kampung, kebanyakan rumah penduduknya beratap rumbia. Berdinding papan, ada juga berdinding buluh atau tepas. Sesuatu yang saya kira ganjil, kebanyakan penduduk kampung terbabit buat tidak kisah dengan rombongan kami yang membelah lalu kampung mereka.

SBDJ Siri 265 Suara Kuda Di Tengah Sawah

Bila terserempak secara berdepan, mereka sekadar memberi salam saja. Kemudian berlalu senang.

"Mereka sudah biasa melihat orang berjalan dalam kumpulan yang ramai. Laluan ini laluan orang mencari harta karun dan kumpulan tabligh. Mereka juga pernah dengar tentang Shafie," ayah Shafie memberi penjelasan.

"Bagi mereka kisah Shafie perkara biasa. Ada lagi orang yang lebih teruk dari itu," tambah ayah Shafie dalam rentak nada yang bersahaja.

"Oh, begitu," balas datuk.

Rombongan kami akhirnya, terpaksa merentasi kawasan tanah sawah terbiar. Baru lima langkah memijak tanah sawah, terdengar bunyi rengekan kuda yang datang dari arah belakang.

"Jangan hiraukan suara itu," Pak Habib mengingatkan kami semua.

"Jangan ada di antara kamu menoleh ke belakang," datuk pula memberikan ingatan.

Tiada komen dan pertanyaan ysang diajukan kepada datuk atau Pak Habib oleh pasangan suami isteri.

"Jauh ke lagi?"

Saya ajukan pertanyaan pada emak Shafie tanpa merenung wajahnya. Tiada jawapan yang diperolehi. Kalau boleh saya mahu perjalanan di berhentikan sebentar. Saya terasa letih sekali. Tetapi pada siapakah permintaan itu harus saya ajukan?

"Jauh lagi ke?"

Untuk kali kedua, saya kemukakan pertanyaan pada emak Shafie. Sudah ditetapkan dalam hati, kalau jawapannya masih jauh, saya beranikan diri minta Pak Habib berhenti sebentar dalam tempoh waktu antara lima hingga sepuluh minit.

"Tak berapa jauh lagi," tanpa diduga, emak Shafie memberikan jawapan.

"Ada setengah batu lagi," soal saya.

"Tak sampai, suku batu pun tak sampai."

Saya gembira dengan jawapan itu.

KUDA LIAR

Perjalanan diteruskan. Suara rengekan kuda liar masih kedengaran tetapi tidak sekuat tadi. Hanya terdengar sayup-sayup dan akhirnya lenyap.

Semua terasa aman kembali dan berharap suara rengekan kuda itu tidak akan kedengaran lagi.

Di saat ghairah melangkah dan mahu sampai segera ke tempat yang dituju. Kami dikejutkan kembali dengan suara rengekan kuda liar.

Kalau tadi suara itu datang dari arah belakang beberapa detik berikutnya bertukar kesebelah kanan. Dan seterusnya beralih arah pula di depan kami.

"Kita berhenti dulu," Pak Habib mengeluarkan arahan.

Pergerakan kaki semua ahli rombongan terkaku sebentar. Saya dongak pula ke langit, melihat awan petang bergerak lemah. Datuk segera mencabut serumpun rumput liar, lalu dibalingnya kedepan, kearah bunyi rengekan kuda.

"Ini petua dan ikhtiar," pendek datuk berkata.

"Tidak salah," sahut Pak Habib yang baru selesai membaca potongan ayat-ayat Quran untuk menghalau makhluk halus.

Shafie yang berada diantara saya dan Tajuddin menguap panjang, keletihan tergambar di wajahnya. Dua pengikut setia yang mengekori dari belakang kelihatan tenang.

Suara rengekan kuda yang keras mula beransur lemah dan hilang. Datuk dan Pak Habib saling berpandangan. Beberapa ekor burung helang terbang rendah untuk mencari mangsa. Kalau ada tikus keluar atau ular keluar dari lubang pasti disambar.

"Bagaimana, boleh kita teruskan," datuk bertanya.

"Boleh," jawap Pak Habib.

"Kita bergerak sekarang," lantang suara datuk memberi arahan.

Perjalanan yang terhenti diteruskan semula. Kedudukan anggota rombongan tidak berubah, tetap seperti tadi cuma pengawasan terhadap Shafie diperketatkan. Itu pesan Pak Habib dan datuk kepada kami berdua.

PELUH

Kini anggota rombongan sudah berada di tengah-tengah kawasan sawah. Peluh terus mengalir di tubuh di tengah terik matahari petang. Hembusan angin tidak banyak membantu mengurangkan bahang panas yang menggigit kulit.

"Yaaahhooooooo..."

Dua pengikut Shafie yang berada di belakang menjerit dengan sekuat hati. Semua anggota rombongan terperanjat besar. Hayunan langkah mati seketika. Semuanya, berpandangan sama sendiri. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Dua pengikut setia Shafie, sudah melanggar pesan Pak Habib. Bagaikan dipaksa sesuatu, saya dan Tajuddin merenung ke belakang. Dua lelaki yang menjerit tidak kelihatan. Hilang entah kemana.

"Kenapa menoleh ke belakang," nada datuk keras sekali.

"Renung ke depan semula," Pak Habib merayu.

Belumpun sempat kami melaksanakan arahannya, kulit muka terasa panas macam berada di sisi api yang cukup marak. Pandangan berpinar-pinar.

Saya tidak dapat mengawal tubuh yang mahu rebah ke bumi. Tetapi, suara Pak Habib masih terdengar sayup-sayup menyuruh datuk memeluk tubuh saya agar jangan rebah ke tanah.

Setelah itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Bila kelopak mata dibuka kelihatan Tajuddin berada dalam pangkuan Pak Habib. Sementara pasangan suami isteri dan Shafie duduk bertinggung sambil termenung panjang.

Setelah datuk memulihkan saya seperti sediakala dan Pak Habib memulihkan Tajuddin, barulah pasangan suami isteri dan Shafie berdiri.

"Kalau kamu berdua tidak menoleh ke belakang, perkara macam ini tidak terjadi. Hal-hal macam ini boleh melambatkan urusan kita," datuk seperti merungut tetapi Pak Habib menasihatkan datuk supaya melupakan tersebut, jangan diperpanjangan-panjangkan. Saranan Pak Habid diterima oleh datuk.

"Lupakan yang lalu, mari kita bergerak," tekanan nada suara Pak Habib lembut.

Datuk sambut dengan senyum. Ahli rombongan segera bergerak. Kedudukan dan tugas anggota tidak berubah, tetap macam tadi.

Semoga perjalanan ini tidak berhadapan dengan halangan. Semuanya diharapkan berjalan lancar dan segera sampai ke rumah orang tua Shafie. Itu doa hati kecil saya.

Malahan, mungkin doa dan harapan anggota rombonan yang lain seperti itu juga, fikir saya.

"Yaahhhooooo..."

Terdengar jeritan di belakang.

"Jangan ada diantara kamu menoleh ke belakang."

Serentak datuk dan Pak Habib mengingatkan kami semua. Tiada bantahan, siapa pun tak berani melawan ingatan yang diberikan. Semuanya akur dan kaki kian rancak melangkah memijak permukaan bumi.

Suara jeritan dan sorakan semakin menjadi-jadi. Seolah-olah mempersendakan kami semua.

Atas permintaan datuk langkah dipercepatkan lagi. Suara-suara yang tidak diminta itu terus dipersetankan dan akhirnya, sorakan dan jeritan terus mengecil dan hilang.

NORMAL

Suasana dalam perjalanan kembali normal. Hembusan bayu menghantar kemesraan. Sekawan pipit tuli terbang rendah lalu bertenggek di dahan bagakan merestui perjalanan kami ke rumah Shafie.

"Diharapkan tak ada gangguan lagi?"

Ayah hafie meluahkan harapan. Pak Habib dan datuk membalas dengan anggukan.

"Saya pun harap macam tu," ibu Shafie bersuara.

"Betullah tu, baik kita cepatkan langkah."

Tidak semena-mena, Shafie yang tadi membisu macam tunggul buruk terus mencelah. Sikapnya sungguh mengejutkan saya, mungkin juga orang lain.

Apakah perasaannya sudah terlepas dari gangguan makhluk halus, saya bertanya dalam hati.

Kerana sudah jemu melihat pepokok dan rerumput liar di kiri kanan alam, pandangan segera saya alihkan kedada langit, melihat gumpalan awan yang menipis, bergerak tenang arah ke timur. Burung-burung terus berterbangan di angkasa.

"Buuummmmm..."

Ledakan kuat yang tidak dapat dipastikan dari arah mana datangnya membuat semua anggota rombongan terkejut, ada yang terjatuh, tetapi segera bangun.

Bila bunyi ledakan berakhir kelihatan dua pengikut setia Shafie terkapar dalam jarak beberapa kaki di depan datuk dan Pak Habib.

Kedua-duanya dicampak oleh sesuatu dari tempat tinggi. Tiada seorang pun yang nampak dan tahu arah mana kedua dua insan itu muncul. Siapa yang mencampakkannya juga tidak diketahui.

GOLEK

Kini kedua-dua insan itu berglek-golek atas rumput sawah terbiar. Mereka seperti mengalami rasa sakit yang amat sangat. Mungkin kerana simpati dan kasihan, ayah Shafie menerpa ke arah kedua-dua insan itu untuk menolong.

"Jangan, itu perangkap," tahan Pak Habib.

Bahu kanan ayah Shafie segera dipegang dengan erat sekali. Ayah Shafie cuba membantah dengan menepis pergelangan tangan Pak Habib.

Tetapi, Pak Habib bertindak bijak, terlepas bahu kanan, bahu kiri dicengkam dengan cengkaman harimau, bergerak sedikit sakitnya hingga ke tulang belakang. Ayah Shafie mengalah dalam diam, malah terus membongkok menahan sakit.

"Kesian mereka."

Ibu Shafie bagaikan merayu sambil menatap wajah datuk dan Pak Habib.

"Kalau dibantu ertinya, kita membunuh diri sendiri," tingkah Pak Habib tenang.

"Jadi apa yang mesti kita buat?" Tanya ibu Shafie.

Dengan tenang Pak Habib melepaskan cengkaman harimau di bahu ayah Shafie. Orang tua itu menggeliat ke kiri, ke kanan sambil menumbuk angin dua tiga kali hingga rasa sengal dan sakit di bahunya hilang.

"Jadi apa yang harus kita buat, dua laknat ini mahu melambatkan perjalanan kita sampai ke rumah," ayah Shafie mula naik angin, gigi atas dengan bawah dilagakannya berkali-kali.

Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie yang bergolek di rumput, sesekali menelentang muka ke langit sambil menangkat sepasang kaki masing-masing ke langit.

"Biar saya selesaikan."

Datuk terus bergerak ke depan melepasi pasangan suami isteri. Perbuatan datuk membuat Pak Habib merasa cemas.

Shafie hanya melihat penuh minat dengan apa yang berlaku disekitarnya. Ekor matanya menjeling tajam ke arah datuk. Dia kelihatan kurang yakin dengan apa yang datuk perlihatkan.

"Humm...." Shafie bagaikan mengeluh kecil.

"Tamar."

Saya segera menoleh ke arah Tajuddin. Sepasang mata kami berlaga seketika yang membuahkan senyum.

"Apa yang datuk kamu nak buat Tamar," sambungnya.

"Hei, budak berdua, cuba belajar diam, kurangkan bercakap dan jangan banyak soal," Pak Habib melepaskan rasa kurang senangnya kepada kami.

Tajuddin dan saya berpandangan. Hairan, cakap macam itu pun tak boleh.

Apakah perkara saya lakukan dengan Tajuddin merupakan satu pantang larang dalam saat-saat begini.

Semuanya itu, bergolak dalam batin saya tanpa menemui sebuah jawapan yang konkrit.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 265/284

BACA: SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 20, 2026

SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil

SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil

Dan senyum kesyukuran serta kepuasan terpamer di kelopak bibir pasangan suami isteri.

"Shafie, ulang sekali lagi," minta Pak Habib.

Shafie segera melaksanakannya. Malah dia meyebut makna dua kalima syahadat dalam bahasa ibunda.

SBDJ Siri 264 Di Tengah Kampung Terpencil

Tanpa mahu membuang masa, serentak Pak Habib dan datuk menerkam dan memeluk Shafie. Kelopak mata kedua-duanya terus digenangi air jernih. Sebaik saja datuk dan Pak Habib berhenti memeluk Shafie, segera digantikan oleh ibu dan ayah Shafie pula, mereka menangis kegembiraan.

"Alhamdulillah, usaha kita dikabulkan oleh Allah," suara datuk tersangkut-sangkut penuh terharu.

Seterusnya mereka berkongsi tenaga memapah Shafie menuju ke tepi surau. Shafie disuruh duduk disitu. Pasangan suami isteri, saya dan Tajuddin hanya mengekoori dari belakang.

"Awak berdua tunggu dan layan dia dengan baik, ceritakan padanya kisah-kisah kecilnya dulu. Kemudian dengar jawapan darinya," Datuk mengeluarkan arahan pada pasangan suami isteri.

"Buat apa tanya hal-hal lama padanya," si isteri seperti membantah cadangan datuk. Pak Habib hanya tersenyum sinis.

"Nak uji apa?" sanggah si isteri.

"Untuk menguji ingatannya, kalau dia boleh mengingat kisah-kisah masa kecilnya dulu, mudahlah kita menguruskannya. Kalau tak inagt atau lupa terus, sulitlah sikit," datuk menjelaskan.

"Kalau itu tujuannya, baik sekali," balas si isteri.

KOLAH

Datuk dan Pak Habib bergerak melangkah ke arah kolah surau. Pasangan suami isteri berpandangan. Hati cuba menghalang Pak Habib dan datuk meneruskan perjalanan.

"Kami mahu sembahyang syukur," bisik datuk ke telinga si suami.

"Oh, maafkan saya," balasnya dengan rasa terkejut.

Dengan segera Pak Habib menyatakan pada si suami, dia tidak perlu merasa cemas atau takut. Selagi Shafie tidak pulih seratus peratus, mereka tidak akan meninggalkan kawasan surau.

"Lagi sekali saya minta maaf, saya cepat sangat buruk sangka."

"Tak mengapa, kita makhluk lemah dengan sifat buruk sangka, irihati dan cemburu, agak susah nak dihapuskan dari hati kita," Pak Habib bagaikan memujuk si suami.

Ketika si suami menyatakan keinginannya untuk turut serta melakukan sembahyang sunat syukur, Pak Habib dan datuk tidak pula menghalangnya tetapi memberikan pandangan, ada baiknya dia dan isteri mengawasi Shafie dan mengajaknya bercakap-cakap supaya Shafie dapat mengingati zaman lampau yang secara tidak langsung, Safie akan dapat mengenali dirinya sendiri.

"Memang cakap itu ada benarnya. Adi biarlah kami dampingi dia," itulah janji dan pengakuan yang diluahkan oleh si suami pada datk dan Pak Habib.

Itulah juga pengakuan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh Pak Habib dan Datuk.

Sebagai tanda terima kasih Pak Habib menghadiakan senyuman. Datuk pula menjatuhkan telapak tangannya keatas bahu si suami dengan penuh mesra.

TANYA

Beberapa detik kemudian Pak habib bersama datuk melangkah tenang menuju ke kolah untuk mengambil air sembahyang. Langkah seterusnya menuju ke perut surau.

Manakala si suami terus mengabungkan diri dengan si isteri. Apa yang di suruh oleh datuk, mereka lakukan dengan rela hati.

"Banyak perkara yang kami tanyakan kepadanya."

Itulah yang disampaikan oleh si suami kepada Pak Habib dan datuk sebaik sahaja mere keluar dari surau dan berdiri di samping pasangan suami isteri.

Saya dan Tajuddin yang berada di situ tidak memberikan sebarang komentar.

Kalau diminta, kami bersedia memberikan pandangan. Sebabnya, kami tahu apa yang berlaku masa ketiadaan datuk dan Pak Habib.

Terlalu banyak yang ditanyakan oleh pasangan suami isteri pada Shafie. Terlalu panjang pula jawapan yang diberikan oleh Shafie.

Malah, ada ketikanya Shafie naik angin, memaki hamun ayah ibu kerana ada soalan yang diajukan tidak disenangi.

Sungguh beruntung kemarahan itu tidak berlanjutan. Si ibu berhasil melembutkan hati Shafie dan terus menangis minta maaf. Ada masanya kami berhadapan dengan insiden yang melucukan. Kami terhibur dengan telatah mereka.

"Hasilnya bagaimana?" secara berbisik datuk bertanya pada si suami.

Tiada jawapan yang diperolehi oleh datuk, kecuali senyum tawar.

"Minta maaf, saya tahu hasilnya, tidak mengembirakan," celah Pak Habib.

"Betul telahan tuan," jawab si isteri.

"Tak mengapa," pujuk datuk.

"Kita bawa saja dia balik ke rumah."

Cadangan Pak Habib tidak mendapat sebarang bantahan. Semua setuju. Bagi mengukuhkan lagi cadangannya itu, Pak Habib menyebut, bila sampai di rumah kelak, rawatan yang lebih berkesan dan teratur dapat dilakukan.

"Tetapi, ada masalah sedikit," Tajuddin bersuara.

"Apa masalahnya," sanggah Pak Habib keras.

"Bagaimana dengan dia orang tu," balas Tajuddin sambil menjuihkan bibirnya ke arah dua lelaki yang duduk mencangkung menghadapi dinding surau, macam orang bodoh.

"Jangan hiraukan mereka, biarkan di situ sampai mati. Mereka yang bertanggungjawab merosakkan akidah anak saya," tiba-tiba saja s isteri bersuara garang.

Sebagai melepaskan rasa geram dan marah dia terus menghentakkan tumit kaki kanannya ke bumi.

Kemudian dia mengeluh kesakitan, tanah yang dihentaknya keras. Saya hampir mahu ketawa. Mujurlah dapat mengawal perasaan.

"Jangan begitu, kalau dia orang mahu ikut apa salahnya. Barangkali kita boleh dapat rahsia dari mereka, boleh membantu kita menyelesaikan masalah Shafie," si suami menyanggah pendapat si si isteri.

Saya dan Tajuddin sependapat dengan sang suami.

"Hissssss..." si isteri mendengus.

Datuk dan Pak Habib berpandangan. Mereka berbalas senyuman sedangkan sang suami terus merenung ke arah dua Ielaki yang masih mencangkung. Merenung dinding surau.

Pak Habib minta pasangan suami isteri itu melupakan tentang dua lelaki pengikut setia Shafie.

Mereka berdua tidak penting, malah tidak tercatat dalam agenda Pak Habib dan datuk. Agenda utama mereka ialah menyelamatkan Shafie.

"Jangan buang masa memikirkan mereka," kata Pak Habib.

"Iya," tingkah Tajuddin.

"Kita harus mencari jalan mudah dan terselamat, tanpa sebarang gangguan untuk membawa Shafie sampai ke rumah orang tuanya," itu komen datuk.

Bagi memudahkan perjalanan ke rumah orang tua Shafie yang letaknya agak jauh dari surau, satu perbincangan kilat diadakan. Ayah Shafie menyarankan supaya menggunakan basikal tetapi dibantah oleh ibu Shafie.

"Tak payah gunakan basikal, bukannya jauh kira-kira tiga batu dari sini. Lagi pun dengan berjalan kaki mudah mengawal Shafiee," kata ibu Shafie.

"Saya fikir elok kita gunakan kereta, pakai tiga buah kereta saya, bersama dengan pemandunya, lagi cepat sampai," kata Pak Habib. Buat seketika tiada bantahan dari sesiapa. Seolah-olah semuanya setuju dengan cadangan Pak Habib.

"Terima Kasih tuan, saya fikir jalan kaki lebih cepat. Saya lalui jalan pintas supaya cepat sampai ke rumah saya.

"Lalu kawasan kampung terpencil, orang tak ramai. Kita lalu kawasan sawah. Kalau berkereta atau berbasikal orang sekeliling rumah jadi terkejut, macam-macam cerita timbul.

"Setakat ini saja nama keluarga kami jadi buah mulut orang," kata ibu Shafie. Semua yang ada di situ terdiam.

SETUJU

Persetujuan sebulat suara tercapai. Hasrat ibu Shafie ditunaikan. Bagaimana cara bergerak mahu dimulakan diserahkan bulat-bulat atas bahu Pak Habib.

Alasan yang diberikan kerana Pak Habib orang tempatan yang dihormati, bila Pak Habib jadi ketua, tidak ada orang tempatan yang mempertikaikannya. Atas alasan itulah Pak Habib menerimanya dengan senang hati.

Atas permintaan Pak Habib, Shafie harus berada di tengah-tengah kumpulan bila bergerak nanti.

Saya disuruh berada disebelah kanan Shafie. Manakala Tajuddin di sebelah kiri. Di hadapan Shafie ayahnya sebagai kepala jalan. Di belakang Shafie ialah ibu kandungnya yang disuruh oleh Pak Habib membaca surah An-Nas sepanjang perjalanan.

Pak Habib pula mengambil tempat di sebelah saya. Datuk pula di sebelah Tajuddin. Tujuan Pak Habib berbuat demikian, supaya mudah mengawasi Shafie. Jika dia mahu mengamuk, mudah pula menangkap dan merebahkannya ke bumi.

Secara terbuka datuk memberitahu, saya dan Tajuddin boleh bertindak tanpa perlu meminta izin darinya atau Pak Habib.

Secara tidak langsung, datuk mencabar kami berdua. Tadi kami memprotesnya kerana menahan kami bertindak, sekarang tugas itu terus diletakkan atas bahu kami.

Pengumuman itu membuat saya cemas. Jantung berdegup kencang. Setelah membaca al-fatihah sebanyak tujuh kali berturut-turut yang diiringi dengan selawat, saya rasakan degup jantung beransur kurang dan akhimya kembali tenang.

DINDING

Dua lelaki pengikut setia Shafie masih lagi mencangkung merenung dinding surau. Mereka bagaikan tidak tergugat dengan suasana sekitar.

Setelah mempastikan semua arahannya dipatuhi dengan sempurna, Pak Habib terus mengarahkan kami supaya bersiap sedia.

"Kita melangkah sekarang," kata Pak Habib.

Saat langkah pertama dimulakan, dua lelaki yang duduk mencangkung mengadap dinding surau segera berdiri. Kemudian, mereka terus mengekori rombongan kami dalam jarak jauh.

Perbuatan kedua-dua lelaki itu meresahkan perasaan ibu Shafie. Kerana tidak dapat mengawal perasaan marahnya. Dia terus memaki hamun dua lelaki sesuka hati. Tindak tanduk ibu Shafie, ternyata lidak disenangi oleh Pak Habib dan datuk.

"Jangan begitu, sabar dan kawal perasaan," si suami cuba menenangkan perasaan si isteri.

Tetapi, si isteri terus juga merungut. Saya dan Tajuddin kurang senang dengan suasana begitu.

Setakat ini, Shafie tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang membimbangkan. Dia kelihatan tenang dan sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan ayahnya yang mengepalai perjalanan.

Dua orang pengikut Shafie yang tadi berada dalam jarak yang jauh, kelihatan mempercepatkan langkah. Berusaha mendekatkan jarak agar tidak terpisah jauh dari kami.

"Hati-hati dengan mereka," Pak Habib mengingatkan dan melarang saya dengan Tajuddin menoleh ke belakang.

Rupa-rupanya, Pak Habib tahu apa yang berlaku, walaupun dia tidak toleh kiri, tidak toleh kanan, tidak renung ke belakang.

Si isteri yang membebel bagaikan kehabisan suara. Tidak bercakap, membisu semacam. Si suaminya masih seperti tadi melangkah dengan tenang dan hati-hati.

Cuma yang agak ganjil sedikit ialah Shafie. Ada ketikanya dia senyum sendirian, mengomel sendirian tidak jelas apa yang diperkatakannya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 264/284

BACA: SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, March 19, 2026

SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat

SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat

Larangan itu membuat saya da Tajuddin terkilan. Kenapa mesti dilarang, fikir saya dalam hati. Shafie sudah melampau, tidak hormat dengan orang tua. Dia harus diajar dengan secukupnya. Hentak dadanya dengan penumbuk, biar dia jatuh tergolek-golek di bumi. Dengan itu saja baru dia sedar diri. Manusia biadap, batin saya terus bergelora.

Siri Bercakap Dengan Jin 263, Suaranya Tersekat

"Kau orang berdua tak puas hati Tamar?"

Datuk bagaikan dapat membaca apa yang berombak dalam dada. Tiada jawapan balas yang diberikan. Saya cuma senyum tersipu-sipu. Pertanyaan yang sama datuk halakan pada Tajuddin. Tajuddin termenung sebentar sebelum menganggukkan kepala.

"Saya memang tak puas hati, kenapa kami dihalang."

Tidak saya duga, Tajuddin begitu berani berterus terang. Ada rasa cemas dalam diri. Bimbang kalau datuk naik angin. Syukur, datuk tidak naik angin dia nampak tenang.

"Bukan apa-apa Tamar, Tajuddin."

Nada suara datuk rendah sekali. Sesekali dia mengurut-urut batang lehernya. Pak Habib yang jatuh terlentang sudah pun bangun.

Ketika dia mahu berdiri, Shafie terus menerkam dan melepaskan satu tendangan lagi. Pak Habib tersungkur untuk kali kedua. Datuk tidak pula bertindak melindungi Pak Habib. Perbuatan datuk membuat kami berdua kian marah.

"Ini urusan kami, jadi biarlah kami uruskan. Kamu berdua janganlah masuk campur," sambung datuk.

"Tapi, Pak Habib terus diserang orang gila itu," Tajuddin memprotes. Saya sukong protes tersebut dengan menganggukkan kepala.

"Kamu berdua memang biadab," pekik datuk lantang.

"Sudah aku katakan, ini urusan kami, kamu berdua jangan masuk campur."

Selesai saja datuk mengakhiri kata-kata, dia terus menerpa ke arah Shafie dari sebelah kiri. Sepasang kaki Shafie ditangkap dan ditarik ke arahnya.

Shafie menjerit lalu jatuh tersembam di bumi. Ketika datuk berhasil duduk atas belakang Shafie. Hati Pak Habib berdebar, dia merasakan datuk sudah tidak mampu mengawal perasaan marahnya.

Dengan pantas datuk menyauk leher Shafie dengan lengan kiri dan menarik ke belakang membuat muka anak muda itu mendongak ke langit.

Sementara tangan kanan datuk terus mengilas tangan kanan Shafie ke belakang.

Shafie kelihatan terkapar dan sukar melepaskan nafas. Suaranya, bagaikan tidak keluar dari kerongkong.

"Jangan, nanti patah lehernya."

NYARING

Suara Pak Habib bergema nyaring, ketika dilihatnya datuk mahu merengkuh leher Shafie lebih jauh ke belakang. Gema suara itu membuat datuk terhenti melakukannya.

Tengkuk dan tangan Shafie segera dilepaskan, tetapi ketika itu Shafie sudah tidak bermaya lagi. Nampak amat lemah sekali. Datuk yang menyedari perbuatannya itu agak keterlaluan, segera menyesalinya.

"Saya hilang sabar."

"Tak mengapa, kita manusia tidak lepas dari kelemahan dan kekurangan."

"Subhanallah."

Suara datuk lemah. Muka Pak Habib ditatapnya. Mereka berbalas senyum.

LEMAH

Bagaikan diatur, kedua-duanya segera mendekati Shafie yang lemah dan keletihan. Rawatan memulihkan tenaga segera datuk lakukan dengan mengurut dan menyentuh bahagian sendi tertentu.

Walaupun begitu, kedua-duanya sentiasa berwaspada, malah bersedia menghadapi sebarang kejadian di luar dugaan dari Shafie.

Beberapa minit berikutnya, muka Shafie yang pucat lesi kembali merah. Boleh menggerakkan sebahagian dari tubuhnya. Tetapi masih belum mampu berdiri.

Dalam kepala datuk dan Pak Habib sudah tersusun rencana yang bakal dilakukan, andainya Shafie dapat berdiri dan melakukan serangan mengejut pada mereka.

Ayah dan ibu Shafie menghampiri datuk dan Pak Habib.

"Izinkan kami berdua membantu," Ungkap si isteri.

Datuk dan Pak Habib segera berpandangan, kehairanan.

"Mahu membantu," Pak Habib minta kepastian.

"Iya," angguk si suami.

"Caranya?" tanya datuk ragu-ragu. Ada renungan memperkecilkan hasrat pasangan suami isteri tersebut.

"Dengan berdoa pada Allah. Saya pernah diberitahu oleh seorang ustaz, doa ibu bapa kepada anaknya lebih mustajab. Kami berharap doa kami berdua dikabulkan oleh Allah," jelas si suami.

"Kamu bercakap perkara yang benar, silakan," Pak Habib memberi laluan. Tiada bantahan dari datuk.

Saya dan Tajuddin berpandangan. Sesungguhnya kami berdua berdebar menanti kemampuan dan tindakan selanjut dari pasangan suami isteri.

Dengan langkah dan rajah penuh keyakinan, pasangan suami isteri itu mendekati Shafie dan terus duduk bersimpuh di sisinya.

Mereka menadah tangan ke langit. Mereka pun berdoa penuh dengan khusyuk dan tawaduk. Mereka menganggap tiada orang lain di sekitar mereka. Hanya mereka berdua saja yang berada di situ.

Semua gerak-geri dan tindak tanduk pasangan suami isteri tidak terlepas dari kuasa mata saya dan Tajuddin.

Pak Habib dan datuk kelihatan serius sekali. Seolah-olah memberikan restu dan bersedia turut berdoa, jika dipelawa.

"Allah yang Maha Besar, Maha Pemurah dan Penyayang pada-Mu kami bermohon. Ampunilah dosa anak kami Shafie. Kembalikan keimanan dalam kalbunya, agar dia menjadi seorang Islam sejati.

"Padamu kami bermohon, sempurnakanlah keimanannya dan turunkan Hidayah padanya.

"Bersihkan hati anak kami Shafie dari pengaruh jahat. Ya Allah, Engkau perkenanlah permintaan hambamu yang hina..." pasangan suami isteri itu menangis terisak-isak.

Perasaan saya dihempap keharuan yang amat sangat.

BERDOA

Sebaik saja pasangan snami isteri itu selesai berdoa, terdengar suara azan mewarnai keadaan sekitar.

Saya dan Tajuddin tercari-cari dari mana suara datang. Rupa-rupanya suara tersebut adalah suara Pak Habib. Dia melaungkan azan dari satu tempat tinggi.

Saya tidak sedar ketika mana Pak Habib bergerak, ke arah tanah yang agak tinggi.

Selesai azan Pak Habib mendekati kami. Dia menyuruh Tajuddin ambil air kolah surau satu baldi. Dengan berlari-lari anak Tajuddin menyempurnakan permintaan datuk.

Setelah air satu baldi dibacakan fatihah tujuh kali lalu dicurahkan ke tubuh Shafie, mulai dari kepala hingga ke hujung kaki.

Setiap curahan mesti berakhir di kepala lutut kiri dan kanan. Kemudian dimulakan kembali dari kepala hingga ke hujung kaki dan berakhir di kepala lutut.

Setengah jam masa berlalu, hasil kerja yang dilakukan oleh Pak Habib, tidak menampakkan hasil. Tiada perubahan pada diri Shafie masih macam tadi. Ayah dan ibunya terus berdoa.

"Allah..."

Semua yang berada di situ tumpukan perhatian pada Shafie yang mula bergerak perlahan-lahan hingga berjaya menelentangkan tubuhnya merenung langit biru.

"Saya nak balik mak."

Shafie merenung wajah ibunya. Kemudian beralih merenung muka ayahnya. Segaris senyum bermain dikelopak bibir Shafie yang pucat.

"Ayah sihat," tanyanya.

"Sihat," pendek si ayah memberikan jawapan, bersama senyum keriangan.

Beberapa helai daun kering melayang-layang di udara dibawa angin, sebelum jatuh berhampiran dua lelaki pengikui setia Shafie.

"Shafie anakku, mengucap dua kalimah syahadat," lembut sekali nada suara si ibu mengajukan permintaan.

Sejenak Shafie termenung, macam ada sesuatu yang berlegar-legar dalam tempurung kepalanya.

Sepasang kelopak bibir Shafie bergerak tetapi, tiada suara yang terkeluar. Kelihatan amat payah sekali bagi Shafie untuk melafazkan dua kalimah syahadat.

"Emak."

Suara Shafie tersekat. Dia gelengkan kepala. Perasaan ibu dan ayahnya terus diresap kehampaan yang panjang. Seketika terdengar keluhan dari si ayah.

Harapan dan cita-citanya untuk melihat Shafie jadi ulama besar terus berkecai. Tidak akan menjadi kenyataan sampai bila-bila pun.

Melihat pada situasi Pak Habib yakin agak lambat menemui titik akhir. Dia segera mendekati ayah Shafie dan terus membisikkan sesuatu.

Orang tua (ayah Shafie) yang kelihatan lemah dan kecewa itu terus anggukkan kepala. Malah memberi ruang pada Habib untuk duduk di sisi Shafie.

"Saya mulakan," kata Pak Habib.

"Silakan," jawab ayah dan ibu Shafie serentak.

Pak Habib pun membongkokkan badan, mendekatkati kelopak bibir ke telinga Shafie lalu membisikkan sesuatu.

Saya yakin, Pak Habib membisikkan potongan-potongan ayat pilihan dari al- Quran. Tiada sebarang tindak balas dan Shafie, setelah mendengar bisikan tersebut.

Pak Habib tidak berputus asa dan terus mengulangi perbuatan yang sama sebanyak tujuh kali berturut-turut. Usaha Pak Habib membuahkan hasil.

Shafie terus duduk bersila di hadapan ayah dan ibu. Sepasang anak matanya yang bercahaya garang tertumpu ke wajah Pak Habib.

Antara Pak Habib dan Shafie ada adegan pertarungan melalui kelopak mata. Kelopak bibir Pak Habib nampak bergetar, ada sesuatu yang dibacanya.

MENGEJUT

Sungguh mengejutkan, malah semua ada di situ bagaikan tidak yakin kata.

"Assalamualaikum," terpancut keluar dari mulut Shafie yang ditujukan pada Pak Habib.

Dengan pantas Pak Habib membalas salam sambil menghulurkan tangan. Shafie menyambut huluran tangan Pak Habib. Mereka berjabat tangan penuh kemesraan.

"Emak, saya nak balik," kata Shafie.

"Boleh, tapi..."

"Tapi, apa emak," potong Shafie.

"Kena minta izin dengan orang yang kamu salam tadi," Tutur ibunya dengan tenang, penuh keyakinan. Lagi sekali Shafie renung muka Pak Habib.

"Saya nak balik ke rumah emak saya, tuan."

"Sudah tentu boleh kerana itu adalah rumah kamu dengan syarat..." Pak Habib tidak menamatkan kata-katanya. Mulut Shafie terlopong, sepasang biji matanva bagaikan mahu tersembul.

"Ikut saya mengucap dua kalimah syahadat secara betul, ikhlas dalam hati," sambung Pak Habib.

Dengan serta merta si ibu memberikan isyarat mata pada Shafie, agar mematuhi saranan Pak Habib. Tiada tindak balas positif dari Shafie.

Si ibu mengulangi perbuatan yang sama pada Shafie. Kali ini reaksi yang diberikan amat menyenangkan hati si ibu serta si ayah.

"Boleh, saya ikut cakap tuan," itu kata pemutus dari Shafie. Pak Habib tersenyum dan mengucapkan terima kasih pada Shafie dan kedua orang tuanya.

Dengan pantas Pak Habib memanggil datuk, saya dan Tajuddin agar segera menghampirinya.

Secara tidak langsung, kami bertiga dikehendaki berada di sisi Shafie dan kedua orang tuanya. Permintaan Pak Habib segera kami kabulkan.

Dengan disaksikan oleh kedua-dua orang tuanya, saya, datuk serta Tajuddin, Pak Habib pun melafazkan dua kalimah syahadat dengan terang dan lancar.

Kemudian turut dilafazkan oleh Shafie dengan nada suara yang lancar dan terang sekali.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 263/284

BACA: SBDJ Siri 262: Tumbuk Bumi Kaki Lembik
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 17, 2026

SBDJ Siri 262: Tumbuk Bumi Kaki Lembik

SBDJ Siri 262: Tumbuk Bumi Kaki Lembik

Tanpa memperdulikan saya dan dua pengikut setia Shafie, datuk segera duduk di sisi Shafie dengan kaki kiri mengampu daging punggung kiri. Lutut kanan ditegakkan manakala telapak tangan kanan menekup (menutup) tempurung lutut kanan. Kelima-lima jarinya berkembang. Kepala ditundukkan ke bumi.

SBDJ Siri 262 Tumbuk Bumi Kaki Lembik

Saya yang arif dengan apa yang datuk lakukan segera mengetahui. Bila sudah begitu, ertinya datuk sedang berusaha membuang apa saja yang berada dalam fikirannya ketika itu. Dia mahu memusatkan semua pancaindera ke arah menyelesaikan masalah Shafie.

Lebih dari lima minit datuk berkeadaan demikian. Peluh-peluh halus muncul di dahi dan cuping telinga. Wajah datuk kelihatan merah. Anak rambut di kiri kanan pipi kelihatan menegak, begitu juga di bahagian batang lehernya.

Biasanya, apa yang datuk alami itu, menggambarkan dia sedang bertarung dengan makhluk lain secara kebatinan.

"Uuhhhh...."

Datuk terlentang di sisi Shafie dan Shafie seperti digerakkan kuasa lain cuba bangun. Pak Habib tergamam, tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Datuk yang rebah cuba bangun. Tiga kali usahanya gagal. Begitu juga dengan Shafie.

Mereka sering berlawan antara satu dengan lain. Tetapi, bangun kali ketujuh datuk berhasil dan terus berdiri. Shafie rebah dan tidak bangun-bangun lagi.

Ada imbasan cahaya yang keluar dari ibu kaki Shafie lalu mengenai mata Pak Habib yang menyebabkan dia terhoyong-hayang.

IMBASAN

Imbasan cahaya terkena juga pada saya dan Tajuddin. Pandangan kami jadi silau dan mata terasa pedih. Cuma kami tidak terhoyong-hayang macam Pak Habib.

Dalam masa yang sama juga terdengan suara jeritan pasangan suami isteri. Saya kira mereka berhadapan dengan bahaya besar.

Apakah daya kami tidak dapat melihat, kelopak mata tidak boleh dibuka, sakitnya bukan kepalang.

Bila keadaan sudah tenang, mata tidak terasa sakit lagi. Pasangan suami isteri segera saya renung, ternyata pasangan suami isteri tidak mengalami sesuatu yang tidak diingini.

Mereka nampak normal seperti keadaan sebelum kejadian. Jadi suara siapa yang menjerit persis suara pasangan suami isteri tersebut. Perkara itu segera saya lupakan.

Bila datuk dapat berdiri dengan baik, dia terus mendekati dan menatap wajah Pak Habib. Dua kali dia mengoyang-goyangkan tangannya di depan muka Pak Habib. Datuk berdehem dengan sekuat hati.

"Di depan saya?"

"Iya."

"Saya tak nampak apa-apa Cuma gelap saja."

"Subhanallah," keluh datuk sambil mengesel-gesel kedua belah telapak tangannya dan membaca al-Fatihah yang diakhiri surrah al-Ikhlas.

"Tahan sakit, saya nak ubat mata sahabat."

"Silakan."

Tanpa berlengah-lengah lagi, datuk menekapkan sepasang telapak tangannya ke sepasang mata Pak Habib. Saya lihat sepasang tangan dan kaki Pak Habib menggeletar menahan sakit. Kemudian rebah di kaki datuk.

Hampir lima minit Pak Habib tidak sedarkan diri. Bila sedar dan membuka mata, penglihatannya kembali normal.

"Syukur Alhamdulillah," cetus Pak Habib, datuk sambut dengan senyum yang panjang.

Pak Habib dan datuk bertentang mata.

"Saya mulakan tugas saya," tutur datuk.

"Silakan."

"Kalau ada apa-apa bantu saya."

"Insyas Allah saya bersedia," ikrar Pak Habib.

Mereka berhenti dari bertentang mata. Tidak lagi berpandangan wajah. Dua tapak datuk undur ke belakang. Dua tapak juga Pak Habib bergerak ke kanan.

"Sahabat."

"Ada apa," datuk toleh ke arah Pak Habib.

"Semoga Allah memberkati kerja kita, kerana kita mahu mengembalikan orang yang berada dalam telunjuk syaitan ke jalan yang benar," kata Pak Habib memberi sokongan yang sungguh bererti buat datuk.

CAKAP

Selesai bercakap dari hati ke hati, penuh keikhlasan pada Pak Habib, datuk segera mendatangi kami berdua.

Saya berjanji tidak akan memberikan sebarang komen berhubung dengan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh datuk meskipun arahan itu tidak sealiran dengan kemahuan saya.

"Kamu berdua," datuk tidak menyambung percakapannya.

Dia lihat ke langit, melihat awan dan burung yang berterbangan. Kemudian merenung kami kembali.

"Masa aku berusaha memulihkan Shafie, jika dia melawan atau menentang aku, kau orang berdua lawan dia sampai kalah, bagi dia pengsan. Biar dia luka berdarah."

"Kejam," cetus saya secara tidak sengaja.

"Tamar, kamu jangan banyak cakap. Emak bapa Shafie, aku tugaskan menjaga dua lelaki pengikut setia Shafie. Tugas kamu berdua tidak seberat mana, bila dibandingkan dengan tugas mereka berdua."

"Usah bantah cakap datuk kamu," bisik Tajuddin ke telinga saya.

Dengan tenang saya gigit bibir.

"Maafkan saya."

"Ikut saja cakap aku, jangan banyak karenah," lanjut datuk. Suaranya bernada geram.

Datuk kembali pada tugasnya yang terganggu sebentar tadi. Duduk bersila berdepan Shafie yang terkapar di bumi.

Terdengar datuk membaca surah Al-Fatihah tujuh kali. Pak Habib pula membaca beberapa ayat yang diambil dari surah Yassin.

Bila pembacaan mereka berdua selesai. Datuk letakkan tangan kirinya atas dada Shafie, buat seketika. Kemudian datuk beralih pada acara lain.

Datuk melepaskan tumbukan ke bumi dengan sekuat hati sebanyak tiga kali berturut-turut. Setiap kali tumbukkan dilepaskan, tubuh Shafie dari kepala hingga ke pinggang terangkat secara mengejut, bagaikan terkena kejutan arus elektrik.

Semasa Pak Habib berusaha untuk mendudukkan Shafie, satu kejutan diluar dugaan terjadi.

Shafie melompat bagaikan harimau terlepas dari kandang. Menendang dan menerkam apa saja yang ada disekitarnya.

Saya dan Tajuddin menerpa dan cuba menangkap tangannya. Akibatnya kami kena penendang dan terus terperosok di pangkal pokok sukun.

Saya cuba bangun, terasa sakit di bahagian pangkal belikat dan paha. Saya ambil keputusan untuk mendiamkan diri.

Tajuddin yang saya kira tidak begitu parah, sudah pun bangun dan berlari ke arah surau menyelamatkan diri.

Pada saat itu juga dua lelaki yang setia pada Shafie cuba membantu dengan melanggar arahan datuk. Tetapi, usaha mereka tidak berhasil.

Bila mereka cuba berdiri, sepasang kaki terasa lembik bagaikan tidak bertulang. Tidak dapat bergerak kemana dan terpaksa kembali pada kedudukan asal.

"Pelik," rungut saya.

"Tak pelik, mereka langgar arahan datuk kamu," sahut Tajuddin.

Saya segera anggukkan kepala.

Pak Habib dan datuk berhempas pulas bertarung dengan Shafie yang melakukan serangan secara membabi buta.

Setiap kali, datuk berhasil memeluk tubuhnya pasti terlepas, badannya bagaikan dilumuri minyak. Meskipun begitu datuk dan Pak Habib tidak berputus asa, terus berusaha menangkap Shafie.

Pada suatu ketika, Pak Habib berhasil merebahkan Shafie ke bumi, datuk berhasil memegang kaki kirinya dan sekaligus berjaya menangkap ibu jari kiri Shafie. Dengan serta merta Shafie menjadi lemah. Dia bagaikan kehilangan tenaga.

Tetapi, ada yang lebih mengejutkan dari itu. Setelah berhempas pulas berjuang dan sudah berada dalam tangan.

Tiba-tiba saja dengan mudah datuk melepaskan Shafie. Satu tindakan yang mengejutkan dan diluar dugaan.

"Kenapa?" tanya Pak Habib cemas.

"Ada masalah sedikit."

"Apa masalahnya," desak Pak Habib yang masih mengilas tangan Shafie ke belakang. Ternyata, datuk seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan tersebut.

"Apa masalahnya, ceritakan. Mungkin saya boleh membantu," Pak Habib terus mendesak. Datuk masih seperti tadi, keberatan untuk membuka mulut.

"Berterus-terang saja," Tajuddin turut campur.

"Ada syarat yang terlupa, ini kesilapan saya. Agaknya, usaha saya kali ini memang tidak mahu menjadi," Tekanan suara datuk penuh rasa putus asa. Wajahnya dibalut kekecewaan.

KUAT

Pak Habib masih terus mengilas tangan Shafie dengan sekuat had. Sekuat itu juga Shafie meronta-ronta untuk melepaskan diri dari dikuasai oleh Pak Habib.

Bagi mengangkang Shafie, Pak Habib menekan pangkal pinggang Shafie dengan kepala lututnya. Walaupun begitu Shafie terus juga meronta-ronta tanpa menghiraukan rasa sakit yang dialami.

"Ini kelemahan dan kesilapan saya, biasanya ke mana-mana saya pergi, saya bawa paling kurang dua tiga kerat rotan seni," rungut datuk seperti menyesali diri sendiri.

"Buat apa dengan rotan," Pak Habib terus bertanya. Pertanyaan itu tidak dijawab oleh datuk.

TERINGAT

Seketika itu juga saya teringat, biasanya dalam kes ini, datuk menggunakan dua batang rotan seni. Satu berbentuk lingkaran manakala yang satu lagi lurus.

Rotan seni dalam bentuk (lingkaran) bulat dimasukkan ke dalam ibu jari kaki orang yang mahu ditundukkan atau mahu dilemahkan.

Bila rotan yang bulat sudah berada dalam ibu jari kaki kiri orang yang mahu ditewaskan (dilemahkan).

Rotan seni yang lurus (panjangnya kira-kira satu kaki setengah) hujunngnya dibalut dengan timah hitam dimanfaatkan untuk memukul belakang orang yang terbabit sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Di saat belakang orang yang terbabit dipalu datuk akan bertanya pada orang yang berkenaan (roh halus yang menjelma ke dalam darahnya) berasal dari mana. Mohon dia pulang ke tempat dari mana dia berasal.

Datuk juga memberitahu, bahawa makhluk manusia lebih bijak dan handal dari makhluk jin dan syaitan.

Roh halus yang jahat akan menjawab (menerusi orang yang dipalu) semua pertanyaan yang diajukan. Kerana rotan seni yang penting itu tidak dibawa, maka perkara demikian tidak dapat dilakukan pada Shafie.

"Bagaimana? Saya sudah tak mampu lagi," Pak Habib mengadu.

"Saya sudah mati akal, biarkan dia lari ke hutan," balas datuk.

Belum pun sempat Pak Habib memberikan pandangan, Shafie berhasil melepaskan lengannya dari genggaman Pak Habib.

Satu tumbukan kencang dari Shafie singgah di muka Pak Habib menyebabkan Pak Habib terlentang.

Shafie dapat berdiri dengan baik dan bersedia untuk melakukan serangan kedua pada Pak Habib.

Melihat pada keadaan yang semakin genting, saya dan Tajuddin bermuafakat untuk melakukan serangan kilat pada Shafie.

Tetapi hal itu segera dapat dikesan oleh datuk. Kami dilarang melaksanakannya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 262/284

BACA: SBDJ Siri 261: Abu Bakar Bawafi Utusan Allah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 261: Abu Bakar Bawafi Utusan Allah

SBDJ Siri 261: Abu Bakar Bawafi Utusan Allah

Suasana tenang sekali. Tiada tanda-tanda bimbang dan cemas akan berlaku. Sama ada dari datuk dan Pak Habib, begitu juga dari pasangan suami isteri dan kami berdua.

Beberapa saat berikutnya datuk dan Pak Habib mula bergerak ke arah Shafie dan orang tuanya. Seperti ada sesuatu yangmendorong saya melangkah mengekori datuk.

SBDJ Siri 261 Abu Bakar Bawafi Utusan Allah

"Tuk macamana dengan kami berdua ni?"

"Eh, kamu Tamar," datuk gelengkan kepala sambil menjegilkan sepasang biji mata. Saya jadi serba salah.

"Kamu suka ganggu," tambah datuk.

"Maafkan saya tuk."

"Kamu mesti ingat, apa yang kami lakukan ini peringkat terakhir. Banyak syarat dan pantang larangnya. Kalau kami gagal, hutanlah tempat Shafie untuk selama-lamanya.

"Kerana tugas ini berat, kamu tak usahlah masuk campur. Sebaik-baiknya kamu berdua awasi Shafie dan orang tuanya," datuk berhenti bercakap. Muka Pak Habib dijeling.

"Semasa mengawasi Shafie dan orang tuanya, jangan sekali-kali berkasar dengan mereka, kecuali kalau sudah terpaksa," Pak Habib mengambil tugas datuk, menyambung percakapan yang terhenti.

Nada suara Pak Habib lebih lembut penuh diplomasi tidak keras macam datuk.

"Baik, maafkan saya," jawap saya terketar dan berpatah balik ke arah Tajuddin.

PERLU

Sebenarnya, saya dan Tajuddin tidak perlu menjaga Shafie dan orang tuanya. Sebabnya ketika pasangan suami isteri melihat datuk dan Pak Habib mahu melangkah ke arah mereka.

Cepat-cepat mereka beredar dari sisi Shafie, bagaikan memberi kesempatan pada datuk dan Pak Habib mengambil alih tempat yang mereka kosongkan.

Shafie yang masih belum puas memeluk ibunya kelihatan terpinga-pinga dengan kehadiran datuk dan Pak Habib di sisinya.

Shafie tidak diberikan peluang langsung oleh datuk untuk bergerak atau melontar kata-kata.

"Saya pegang tangannya," bisik datuk pada Habib.

"Saya nak pegang apa?"

"Kakinya," pendek balas datuk. Dan mereka pun melakukan perkara itu dengan pantas dan serentak.

Semasa kaki dan tangan dikuasai oleh datuk dan Pak Habib, tidak terdengar keluhan atau suara Shafie, tubuhnya kaku macam batang pisang.

Datuk dan Pak Habib tidak bercakap sepatah apa pun. Sesekali kelopak bibir datuk dan Pak Habib bergerak-gerak.

Dua lelaki pengikut setia Shafie hanya melihat sahaja kejadian di depan mata. Wajah mereka tidak memperlihatkan sebarang reaksi sama ada cemas atau marah. Mereka nampak selamba saja.

Tetapi lain keadaannya dengan pasangan suami isteri. Mereka cemas bagaikan terpukau tidak terkata. Cuma anak mata sahaja melilau melihat gerak-geri datuk dan Pak Habib.

Sepuluh minit suasana berlalu dengan aman. Tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

"Nampaknya, setakat ini kita selamat," terdengar Pak Habib berbisik dengan datuk.

"Syukur pada Allah," Balas datuk.

Pak Habib dan datuk bangun dan berdiri serentak. Shafie yang tadi duduk terus rebah ke bumi.

Tanpa memperdulikan keadaan sekitar, Pak Habib dan datuk melangkah ke arah saya dan Tajuddin. Dalam sekelip mata pula Shafie terus berdiri.

Matanya liar merenung ke kiri, ke kanan. Merenung ke langit dan ke bumi. Dia bagaikan berhadapan dengan dunia baru. Datuk berpatah balik mendekati Shafie.

"Pelik betul dia, macam mengigau. Macam orang bangun tidur," itu komen Tajuddin bila melihat keadaan Shafie yang tidak keruan itu.

Komen dari Tajuddin dapat didengar oleh Pak Habib. Akibatnya, Tajuddin menerima satu jelingan yang tajam. Pasangan suami isteri segera mahu menerkam ke arah Shafie tetapi dihalang oleh Pak Habib.

"Mengucap dua kalimah syahadat," kata datuk lantang.

Tiada sebarang tindak balas dari Shafie. Dia masih macam orang mamai. Terhoyong hayang ke kiri dan ke kanan.

"Mengucap dua kalimah syahadat," Pak habib pula bersuara.

Shafie tunaikan permintaan Pak Habib. Tetapi ada kejutan yang diluar dugaan yang dilontar dari mulut Shafie sebagai jawapan atas permintaan Pak Habib.

"Setiap umat Islam mengucap dua kalimat syahadat menyebut nama Nabi Muhammad. Tetapi, Shafie menambah sebutan nabi dengan menyebut nama Abu Bakar Bawafi," Pak Habib merungut sambil mengerutkan dahi.

"Sabar sahabat, dia masih tak tentu arah," pujuk datuk.

Pasangan suami isteri yang mendengar ucapan itu menggeleng-gelengkan kepala sambil menarik nafas panjang.

"Siapa Abu Bakar Bawafi," pujuk Pak Habib.

Buat seketika Shafie terdiam.

"Siapa Abu Bakar Bawafi," datuk bertanya dalam nada suara yang lemah lembut penuh mesra.

"Dia yang memimpin kami ke jalan yang benar. Dia adalah utusan Allah macam nabi."

"Di mana dia sekarang?" soal Pak Habib.

"Ikut kami baru kamu tahu jawapannya."

REAKSI

Sampai di sini datuk segera membisikkan sesuatu ke telinga Pak Habib. Seterusnya, tiada pertanyaan yang diajukan oleh datuk dan Pak Habib kepada Shafie.

Dua lelaki pengikut setianya mula memperlihatkan reaksi yang membimbangkan. Mereka mula menumbuk dan menendang angin.

Menyedari sesuatu yang buruk mungkin berlaku. Datuk segera mengingatkan saya dan Tajuddin supaya berjaga.

Manakala si suami dapat merasakan gerak-geri yang dipamerkan oleh dua lelaki pengikut setia Shafie agak ganjil, segera memberitahu isterinya supaya berhati-hati, jangan sampai Shafie jatuh ke tangan dua lelaki tersebut. Bahang kecemasan mulai dirasai.

"Biar saya uruskan," suara datuk keras.

Dia pun terus menuju ke arah dua lelaki tersebut. Kehadiran datuk di sisi mereka disambut dengan wajah bengis bersama ungkapan kata yang sukar difahami.

Bila datuk menyingsing lengan baju kirinya separas siku, kedua-dua lelaki itu diam terpaku. Secara rela mereka hulurkan sepasang tangan masing-masing ke arah datuk minta diikat.

Datuk tidak menunaikan permintaan mereka, sebaliknya menyuruh kedua-dua lelaki itu duduk bersila atas tanah.

Permintaan datuk ditunaikan. Seterusnya mereka disuruh meletakkan sepasang telapak tangan di permukaan tanah.

"Tundukkan kepala kamu."

Perintah itu juga turut di patuhi.

"Sekarang tahan nafas, lepaskan perlahan-lahan."

Semasa kedua-dua lelaki itu mematuhi perintah dengan teratur dan sopan, dengan pantas datuk menepuk pangkal leher mereka, tiga kali berturut-turut. Mereka tersedak, kelopak mata semakin rapat. Perlahan-lahan membongkokkan tubuh, macam orang sujud.

"Duduk diam di sini, jangan ke mana-mana, kecuali aku suruh."

Itulah yang datuk bisikkan ke cuping telinga kedua-dua lelaki tesebut. Tiada jawapan, tiada tindak balas agresif dipamerkan. Mereka kelihatan bodoh, setia mengikut perintah.

Datuk kembali mendekati Pak Habib.

"Janji ita dengan orang suami isteri belum selesai, jadi kita kena selesaikan kerja kita," kata datuk sambil menarik tangan Pak Habib. Tetapi Pak Habib enggan bergerak dari tempat dia berdiri.

"Apa saudara yakin dua manusia itu, tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan kita," terpegun datuk sebentar mendengar perkataan tersebut.

Sebagai orang yang kaya dengan pengalaman, datuk dapat membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik ungkapan tersebut. Sebentar datuk meluangkan waktu menatap biji mata Pak Habib.

"Saudara takut?" tutur datuk.

"Saya tidak takut. Cuma bimbang kalau mereka melakukan sesuatu dengan cara mengejut pada kita," ada nada cemas dari Pak Habib.

"InsyaAllah kita selamat, tidak apa-apa," balas datuk.

"Kalau begitu, kita selesaikan segera," Pak Habib segera memegang pergelangan tangan datuk.

MINTA

Beberapa saat kemudian mereka sudah pun berada di sisi Shafie. Arahan pertama yang datuk keluarkan ialah meminta saya, Tajuddin dan pasangan suami isteri beredar dari sisi Shafie.

Kami disuruh berdiri dekat bucu surau. Pasangan suami isteri diarah berada hampir pohon sukun yang baru berputik.

Jarak pasangan suami isteri dengan Shafie antara 8 hingga 10 kaki. Mereka berada di sebelah kanan tubuh Shafie yang terbaring.

Pak Habib tidak disuruh kemana-mana. Dia cuma diminta berganjak tiga tapak dari tempat asal dia berdiri. Pergerakan itu menyebabkan Pak Habib berada di hujung kaki Shafie.

"Bosan," saya mengeluh.

Secara tidak sengaja, saya angkat kepala dan kebetulan terpandangkan datuk sedang menggamit saya agar datang menghampirinya.

Kerana tidak mahu keseorangan, saya gunakan bahasa mulut, bertanya apakah saya seorang saja yang dikehendaki.

Datuk memberikan jawapan (dengan bahasa mulut), supaya mengajak Tajuddin sama. Perkara itu segera saya sampaikan pada Tajuddin.

"Bagus, aku pun tak mahu seorang berdiri di sini," komen Tajuddin.

"Ayuh," kata saya.

Tanpa membuang masa kami segera melangkah ke arah datuk.

Setelah berada di sisi datuk. Tiada sebarang perintah yang diberikan. Kami berdua tercegat disitu macam patung.

Perkara begini memang menjadi seteru saya. Berdiri macam pak pacak dalam teater bangsawan. Sungguh menjemukan, lebih-lebih lagi bila mengambil masa yang agak lama. Sungguh menyakitkan hati.

"Berapa lama nak jadi pak pacak."

Tanpa disedari rungutan yang terkeluar dari kelopak bibir agak kuat. Dapat didengar oleh datuk. Dengan pantas dia melepaskan jelingan yang cukup tajam.

"Cucu yang biadap tidak pernah sabar."

Saya terdiam, tidak berani menentang mukanya.

Angin terus bertiup, panas tidak seterik tadi. Tetapi badan saya dan Tajuddin berpeluh.

Dalam suasana begitulah, datuk melangkah dengan tenang ke arah Pak Habib. Datuk meneruskan langkahnya menuju ke arah pasangan suami isteri. Ada sesuatu yang datuk bisikan ke telinga ayah Shafie.

SAMPAI

Ungkapan bisikan yang datuk sampaikan pada si suami segera disampaikan ke telinga isterinya.

Sebaik saja datuk beredar dari situ, pasangan suami isteri segera melemparkan pandangan ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie. Pandangan mereka penuh dengan rasa marah, geram dan kebencian membara.

Dua pengikut setia Shafie, masih dalam keadaan sujud mencium bumi. Tidak tahu apa yang berlaku sekitar mereka.

Sebelum datuk melangkah untuk datang semula ke sisi Pak Habib, serentak pasangan suami isteri anggukkan kepala seolah-olah memberi mandat baru pada datuk. Merestui akan yang bakal dilakukan oleh datuk, mungkin juga Pak Habib.

Sungguh mengejutkan, sehelai daun rambutan tua melayang-layang di udara dan jatuh di bahu kanan datuk.

Dengan segera datuk berpatah balik mendapatkan pasangan suami isteri. Mereka bercakap-cakap sejenak dan berjabat tangan.

Perjalanan yang terganggu datuk teruskan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 261/284

BACA: SBDJ Siri 260: Di Serang Pengikut Setia
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com