Tuesday, May 06, 2014

Seorang Lagi Warga China Di CULIK Di Lahad Datu!


Lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik, dekat sini pada kira-kira 2.45 pagi ini, selepas sebulan seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Culik

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd milik warga China dari Hongkong itu selama tiga tahun.

Beliau berkata anggota pasukan keselamatan dan pertahanan Esscom termasuk unit udara dan laut telah berusaha untuk mengejar dan memintas bot yang dinaiki oleh penjenayah tersebut sehingga berlaku kejadian berbalas tembakan berhampiran Pulau Mataking.

"Namun penjenayah tersebut dari selatan Filipina itu berjaya meloloskan diri ke perairan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan ringkas, di sini Selasa.

Mohammad berkata siasatan awal menunjukkan terdapat 16 pekerja di syarikat ternakan ikan berkenaan, dengan lapan lelaki bangsa Timor memiliki dokumen manakala lapan pekerja bangsa Suluk termasuk seorang wanita tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib dijangka mengadakan sidang media bagi memberikan butiran penuh berhubung kejadian culik itu petang ini.

Pada 2 April lepas, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan seorang pekerja wanita warga Filipina dikenali sebagai Marcy Dayawan, 40, diculik di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata. -Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon