Monday, March 16, 2026

SBDJ Siri 259: Tanam Gelas Dengan Tumit

SBDJ Siri 259: Tanam Gelas Dengan Tumit

"Ada semangat jahat dalam badannya,” kata Pak Habib.

"Iya," Angguk datuk.

"Bagaimana nak mengeluarkannya?" Pak Habib bertanya lagi.

"Saya usahakan, dengan izin Allah berjaya," Pak Habib renung muka datuk lama-lama, seolah-olah memberikan semangat dan keyakinan.

SBDJ Siri 259 Tanam Gelas Dengan Tumit

Senyum restu pun dilepaskan Pak Habib untuk datuk. Dengan pantas datuk mendekati baldi lalu duduk berdiri lutut. Dengan serius datuk menepuk air dalam baldi, tiga kali berturut-turut.

Setelah menoleh ke kanan tiga kali, ke kiri tiga kali. Baldi terus diangkat separas pusat dan air dicurahkan ke badan Shafie.

Bagaikan terkena besi panas, badan Shafie menggeletek dan bergolek-golek di bumi buat beberapa ketika. Akhirnya terbujur kaku.

Pasangan suami isteri terus menjerit dan bersedia untuk menerpa ke arah Shafie. Bersedia untuk melindungi anak kesayangan.

Menyedari, apa yang bakal dilakukan oleh pasangan suami isteri itu, datuk segera menoleh ke arah mereka.

"Jangan dekati dia," Pak Habib mengeluarkan amaran.

"Sebab?" Sanggah si suami dengan suara lantang.

"Kami sedang berusaha membetulkannya, syaitan besar dah meresap dalam dirinya. Kalau tak dibetulkan, boleh jadi dia menghisap darah manusia dan binatang. Apa kamu berdua mahu Shafie jadi macam itu," terang datuk.

Si suami diam tidak berkata, begitu juga dengan si isteri.

Buat beberapa ketika datuk dan Pak Habib tidak melakukan sesuatu. Mereka menanti reaksi selanjutnya dari ibu bapa Shafie.

Saya tahu Tajuddin memang disuruh mengawasi pasangan suami isteri tersebut. Tugas saya membantu Tajuddin.

Rasanya pasangan suami isteri itu tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan masaalah besar pada datuk dan Pak Habib.

Saya menjeling ke arah si isteri. Wajahnya nampak sedih sekali. Hati dan perasaan ibu mana yang tidak tersentuh melihat anak yang dilahirkan tergolek di tanah. Sepasang kelopak matanya digenangi air jernih.

"Saya tak sampai hati melihat anak saya begini, kesian dia. Kalau boleh, tolong selesdaikan cepat," dalam sedu si isteri menyampaikan rayuan kepada datuk dan Pak Habib.

Si suami dapat mengawal emosi. Cuma sesekali dia menarik dan melepaskan nafas. Perasaan saya juga turut tersentuh.

"Awak berdua diminta bertenang, memang agak kasar perbuatannya. Apa boleh buat, kami terpaksa melakukannya. Percayalah dengan izin Allah semuanya akan menjadi baik," memang kata-kata itu datuk tujukan pada sepasang suami isteri yang dibalut kedukaan.

DUGAAN

Reaksi yang mereka berikan sungguh di luar dugaan. Perlahan-lahan mereka anggukkan kepala. Akur dengan permintaan datuk.

Shafie masih lagi tergolek di bumi. Angin yang bertiup lerus juga menjatuhkan dedaun kering. Awan gemawan terus berarak di dada langit.

"Ahhh...." Suara saya meninggi sambil mengerutkan dahi.

Saya tidak terfikir yang datuk sanggup memukul badan Shafie dengan baldi. Bukan satu atau dua kali, tetapi tujuh kali berturutturut.

Anehnya, Shafie tidak mengeluh atau menjerit. Tidak juga melawan.

Pasangan suami isteri memalingkan muka ke arah lain. Tidak sampai hati melihat anak mereka diperlakukan demikian. Shafie terkapar di tanah. Tidak bermaya.

Pak Habib menyuruh Tajuddin mencari gelas baru. Kerana gelas yang digunakan sebentar tadi, sudah ditanamkan dalam tanah dengan kedudukan terbalik.

Cara menanam gelas dalam perut bumi memang agak unik sekali. Dengan senafas Pak Habib benamkan gelas melalui tumit kaki kiri. Selesai kerja itu dilakukan, dahi Pak Habib berpeluh, nafasnva sesak kepenatan.

Saya diberitahu, ini merupakan petua orang terdahulu. Membelenggu syaitan secara simbolik agar jangan mengulangi perbuatan yang sama pada mangsanya. Saya kira perbuatan ini tidak bertentangan dengan akidah agama.

Bila saya minta penjelasan dari Pak Habib (seminggu setelah peristiwa itu) apakah perbuatan itu salah dari sisi agama. Dia tidak memberikan sebarang komentar.

Tetapi, sebaliknya bertanya pada saya. Apakah saya merasakan perbuatan itu sesuatu yang syirik.

"Ini gelasnya," Saya menoleh ke arah suara tersebut dan sepasang anak mata menikam ke arah tangan kanan Tajuddin yang sedang menghulurkan gelas kosong kepada Pak Habib.

Kemudian saya alihkan renungan ke arah dua lelaki yang muntah darah tadi. Mereka berjalan terhoyong-hayang mengelilingi surau. Tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian.

Perbuatan dua lelaki mengelilingi surau, tidak menarik minat Pak Habib dan datuk langsung. Saya ditegur kerana asyik melihat mereka.

Saya disuruh tumpukan perhatian pada keadaan sekitar diri Shafie dan kedua orang tuanya. Saya patuh dengan kemahuan datuk dan Pak Habib.

Dalam keadaan suasana yang tegang dan membosankan itu, saya mula memikirkan dari mana Tajuddin memperolehi gelas kosong? Barangkali dia mengambilnya dalam setor surau.

"Kenapa gelasnya kosong, mana airnya?" Sergahan Pak Habib pada Tajuddin, membuat apa yang bermain dalam tempurung kepala terus hilang.

Tajuddin termangu-mangu. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Kejadian depan mata mengingatkan saya pada kerenah datuk. Ada persamaan dengan apa yang dilakukan pada Tajuddin. Mereka memberi arahan tidak sekali, suka berperingkat-peringkat.

Barangkali memang begitu cara Pak Habib dan datuk menyelesaikan kerja. Macam ada unsur-unsur mendera pada orang yang diperintah.

"Kenapa tak cakap tadi, mahu airnya sekali," Tajuddin protes.

"Kenapa kamu tak mahu bertanya?" Balas Pak Habib.

"Boleh," Tajuddin terus berlari ke kolah mengambil segelas air.

Dalam keadaan tercungap-cungap berpatah balik lalu menyerahkan segelas air pada Pak Habib.

TAWAR

Seperti tadi juga, air putih segelas ditawar oleh Pak Habib. Seterusnya air putih itu dijiruskan ke tubuh Shafie yang terkapar. Dimulai dari kepala hingga kehujung kaki sehingga air tersebut tidak tersisa sedikit pun.

Tiba-tiba Shafie tersedak panjang. Ayah dan ibunya segera bangun dan menoleh ke arah Shafie. Datuk segera memberi isyarat kepada mereka supaya jangan bergerak. Tunggu disitu dan lihat apa yang bakal berlaku.

Cuma sekali saja Shafie tersedak, lepas itu keadaannya tetap seperti biasa.

Perhatian saya tumpukan seluruhnya pada Pak Habib. Memang saya mahu melihat teknik yang digunakannya oleh Pak Habib untuk membenamkan gelas dalam bumi dengan kaki.

Sambil memeganag gelas kosong Pak Habib mendekati datuk. Mereka berbisik sesuatu.

Harapan saya untuk melihat Pak Habib membenamkan gelas dalam tanah dengan tumit kaki kiri, tidak menjadi kenyataan. Kali ini dengan menggunakan ibu jari kanan, gelas kosong dilambung tinggi, berikutnya terdengar ledakan kecil di udara.

Kulit muka terasa seperti dilekati dedebu halus. Saya yakin dedebu itu berpunca dari sepihan kaca gelas yang meletup di udara. Datuk dan Pak Habib tidak terkecuali dari menjadi mangsa dedebu halus tersebut.

Dalam situasi yang serba tidak kena itu, terdengar suara batuk Shafie panjang. Batuk yang agak aneh kedengarannya itu berulang sebanyak tiga kali berturut-turut.

Kerana keganjilannya, saya cuba mengamat-amati bunyi dan nada batuk itu. Saya pasti, bunyinya tidak ubah macam suara lolongan anjing liar waktu malam. Cuma kurang nyaring.

Tajuddin nampak resah sekali dan cuba menyapu dedebu halus di wajah dengan telapak tangan. Begitu juga dengan orang tua Shafie.

"Hebat cabarannya," Itu komentar datuk, bila mendapati dedebu halus berhenti dari berterbangan. Lesap entah ke mana.

Sebagai jawapan dari komentar itu, Pak Habib hanya senyum pendek sambil anggukkan kepala.

"Semoga Allah memperkenankan kerja kita," rendah nada suara datuk.

Pak Habib tetap macam tadi, tidak memberikan sebarang komen. Dia hanya senyum penuh misteri.

"Uuhhhuuuuu..." Shafie mengeluh, serentak dengan itu badannya bergerak-gerak melintuk liuk, macam ular.

Bila pergerakan badannya berhenti, terdengar siulan panjang keluar dari mulut Shafie. Secara mendadak dua lelaki yang mengelilingi surau menjerit panjang. Tubuh mereka terangkat tinggi melepasi bumbung surau, terawang-awangan di di situ seketika.

"Bummmmmm," Tubuh kedua-dua lelaki itu jatuh di sisi Shafie, macam ada tenaga ghaib yang mencampakkan mereka ke situ. Kedua-duanya kejang dan kaku.

Shafie bagaikan mendapat tenaga baru. Dengan serta-merta dia teras duduk.

"Halang dia," pekik Pak Habib.

Dengan pantas datuk menerpa lalu menekan dada Shafie hingga jatuh terlentang. Shafie bertindak balas. Dengan menggunakan kaki kanan, dada datuk ditendang hingga terdorong ke belakang.

Secepat tendangan yang dilepaskan Shafie, datuk menerkam kembali ke arahnya lalu menekan dada Shafie hingga jatuh ke tanah semula. Keadaan itu berlanjutan agak lama juga.

PUTUS

Shafie tidak putus asa. Dia terus mencuba dan mencuba. Satu ketika Shafie berhasil berdiri setelah berjaya melepaskan penumbuk kencang kepangkal leher datuk. Dalam keadaan pening-pening lalat datuk tersembam mencium bumi.

Kesempatan yang terhidang terus dimanfaatkan oleh Shafie. Dia mahu meluru ke arah surau.

Dalam keadaan yang tidak seimbang itu, secara kebetulan sepasang tangan datuk terkena kaki kanan Shafie. Dengan pantas datuk menariknya. Shafie jatuh melintangi atas tubuh kedua-dua pengikutnya yang kejang kaku.

Sebelum sempat Shafie bangun, datuk segera mendekati dan memeluknya dengan sekuat mungkin. Dalam keadaan yang sukar itu, datuk mendekatkan mulutnya ke telinga kanan Shalie lalu membisikkan sesuatu.

Bila gerak bibir datuk berhenti, Shafie mengeluarkan suara seperti salakan anjing liar. Salakan yang pada mulanya keras dan mendayu-dayu beransur-ansur perlahan dan akhirnya hilang terus.

Shafie kelihatan amat letih. Tidak bermaya. Saat dia menarik dan melepaskan nafas, gerak dadanya amat perlahan sekali.

Bila diyakini Shafie kehabisan tenaga dan tidak boleh melakukan sesuatu, barulah datuk melepaskan sepasang tangannya yang memeluk tubuh Shafie.

Pak Habib segera mendekati datuk. Saya dan Tajuddin turut sama mendekatinya. Tetapi, pasangan suami isteri tidak berganjak dari tempat asalnya.

"Tajuddin dengan Tamar," Saya dan Tajuddin segera merenung wajah datuk.

Kami mengharapkan dia akan menyambung percakapan yang terhenti. Hampir lima saat menanti tiada kata-kata yang terhambur dari mulut datuk.

"Hiiiiiiiiiiissssssssssssssss..." Tajuddin mendengus panjang. Dia memprotes sikap datuk yang suka berhenti bercakap secara mengejut.

Sesungguhnya, saya juga meluat dengan perangai tersebut.

"Tamar, Tajuddin," datuk menyambung kembali kata-kata yang terputus tadi.

"Angkat mereka bertiga dan susun sebaris, Shafie mesti berada di tengah-tengah."

"Baik," serentak saya dan Tajuddin memberikan jawapan.

TUBUH

Mula-mula, saya dan Tajuddin angkat tubuh Shafie dulu. Terasa berat macam ada batu dalam badan. Kemudian baru mengangkat tubuh pengikutnya. Seorang diletakkan sebelah kanan, manakala seorang lagi disebelah kiri.

Saya disuruh oleh datuk mengambil tiga helai sejadah dari dalam surau. Arahan itu saya patuhi.

Semasa sejadah mahu diserahkan pada datuk, dia tidak mahu menerimanya. Saya hulurkan pada Pak Habib. Dia juga tidak mahu mengambilnya, saya jadi serba salah.

"Tajuddin kamu ambil sehelai, tutup orang di kini Shafie."

Dengan tenang Tajuddin mematuhi arahan datuk.

"Ambil lagi sehelai, tutup orang di kanannya. Terbalikkan sejadah itu, kemudian kamu beredar dari situ, pilihlah sendiri tempat mana kamu suka."

Seperti tadi, Tajuddin terus mematuhi arahan datuk dengan cemerlang. Bila tugasnya selesai, Tajuddin terus berdiri dekat Pak Habib.

"Tugas kamu Tamar," Saya hadapkan wajah ke arah datuk, menanti arahan selanjut darinya.

Kerana lambat sangat datuk mengeluarkan arahan, saya terus mengajukan pertanyaan padanya.

"Apa yang mesti saya buat tuk?"

"Kamu tak tahu erti sabar," datuk mengherdik.

"Minta maaf tuk."

"Huhhh, kamu lipat tiga sejadah yang ada ditangan kamu, tutup muka Shafie dengan sejadah tu. Kemudian kamu berdiri dekat Tajuddin."

"Baik tuk."

Saya pun menyempurnakan tugas yang diberikan oleh datuk.

Semasa sejadah diletakkan di muka Shafie, terdengar bunyi nafasnya macam orang bersiul yang diikuti dengan bunyi suara anjing merebut tulang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 259/284

BACA: SBDJ Siri 258: Syaitan Dalam Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, March 13, 2026

SBDJ Siri 258: Syaitan Dalam Darah

SBDJ Siri 258: Syaitan Dalam Darah

Semasa meluruskan badan dan menarik nafas sedalam-dalamnya, pangkal belikat terasa sakit. Buat beberapa saat, saya mendiamkan diri. Dan datuk dapat mengesan apa yang saya alami.

"Sini," katanya.

SBDJ Siri 258 Syaitan Dalam Darah

Saya segera mendekatinya dan terdengar datuk membaca sepotong ayat dari Surah Al- Nur (seingat saya). Selesai potongan surah itu dibaca, satu tumbukan hinggap di belikat kiri. Rasa sakit segera berakhir.

Semua peristiwa itu diikuti dengan tenang oleh Pak Habib dan Tajuddin. Mereka memberikan senyum tahniah untuk datuk. Senyum simpati pada saya.

Pasangan suami isteri masih membelai dan memangku Shafie. Kerana datuk dan Pak Habib tidak melakukan sesuatu pada pasangan suami isteri, mengundang seribu keraguan dalam diri saya.

"Bawa air itu kemari," sambungnya dalam tekanan nada suara yang agak keras.

"Baldinva di mana tuk?"

"Cari sendiri, gunakan akal."

Agak kasar bahasa yang datuk gunakan. Saya jadi serba salah. Tidak tahu, apa yang patut dilakukan.

"Tamar, baldinya di belakang pintu, bilik air orang perempuan."

Tajuddin membantu menyelesaikan masalah yang saya hadapi.

"Terima Kasih Din."

"Pergi cepat nanti datuk kamu naik angin."

Dengan pantas saya bergerak ke tempat yang disebutkan oleh Tajuddin. Kemudian berlari ke arah datuk semula.

Belum pun sempat melepaskan penat, datuk menyuruh saya membawa air satu baldi ke tempat dua lelaki yang muntah darah. Tajuddin ketawakan saya.

Saya panas hati. Datuk sengaja mahu mendera saya. Kenapa tidak disuruh dari kolah terus membawa air satu baldi itu ke arah dua lelaki yang muntah darah itu.

Kenapa mesti dibawa kepadanya dulu, kemudian berpatah balik. Sedangkan jarak antara orang yang muntah darah dengan kolah tidaklah sejauh dari kolah ke tempat datuk.

"Ini penyeksaan," bentak batin saya

"Sekarang mari kita pergi ke tempat orang muntah darah tu," tutur datuk.

Saya memprotes tindakan datuk itu dengan memperlahankan langkah. Saya biarkan dia mendahului saya.

"Cepatkan langkah kamu Tamar, aku nak selesaikan kerja ni cepat. Bawa air satu baldi terhegeh-hegeh, macam orang tak makan berbulan-bulan," Terkejut dengan sergahan itu, secara otomatik saja langkah saya menjadi panjang.

Malah terus berlari anak, saya sampai lebih dahulu dari datuk di tempat dua manusia yang sedang muntah darah.

"Letakkan air di sini."

Air satu baldi segera saya letakkan di depan datuk yang berdiri tegak berpeluk tubuh. Perlahan-lahan dia merendahkan tubuhnya dan terus duduk bersila di depan baldi berisi air.

Tangannya masih memeluk tubuh. Sepasang kelopak bibirnya bergerak-gerak. Pasti ada sesuatu yang dibacanya.

"Bismillah..." katanya tenang.

Setelah itu dengan cara bersahaja datuk terus menepuk air dipermukaan baldi sebanyak dua kali berturut-turut.

Sebahagian air yang ditepuk terpercik ke wajahnya. Manakala sebahagian yang lain memercik ke permukaan tanah dan melilih di sekeliling badan baldi yang dibuat dari zink.

"Sekarang Tamar."

Saya tatap wajah datuk yang nampak serius.

"Ada tugas untuk saya tuk?"

"Ada," datuk tidak meneruskan percakapan.

Dua lelaki terus muntah darah. Saya resah memikirkan apatah tugas yang bakal diserahkan itu ringan dan mudah atau sebaliknya.

"Kamu curahkan air satu baldi ini atas kepala mereka. Aku nak uruskan perkara lain," itulah tugas yang datuk serahkan kepada saya.

SEMPAT

Belumpun sempat saya bertanya, bagaimanakah arahan itu harus laksanakan. Datuk tergesa-sesa meninggalkan saya menuju ke arah Pak Habib yang menanti kedatangan datuk di bawah pokok rambutan.

Saya terkapai-kapai sendirian. Tidak tahu kepala lelaki mana yang harus dijirus dulu. Sebelah kiri atau sebelah kanan dulu. Surah apa yang harus dibaca. Surah Fatihah atau ada surah-surah yang lain.

Bila kepala mereka dijirus air, apakah mereka akan diam atau memberikan tindak balas yang melampau? Boleh mengancam nyawa saya sendiri? Seribu persoalan menggoncang dada sedangkan jawapannva tetap kosong.

Saya pun mengambil inisiatif sendiri. Sebelum kepala kedua-dua lelaki yang muntah darah itu saya jirus dengan air.

Saya renung ke arah datuk dan Pak Habib. Cara kebetulan pula datuk juga merenung kepada saya. Lantas pandangan kami berlaga.

Dengan pantas datuk memberikan isyarat tangan, supaya saya segera melaksanakan arahannya. Tetapi, saya masih ragu-ragu untuk melaksanakannya.

"Segerakan Tamar, kalau kamu lambat-lambatkan, kamu susah nanti," gegendang telinga menangkap suara teriakan dari Pak Habib.

"Segerakan tamar, sebelum kamu dapat susah," itu suara datuk dalam nada marah.

Dua teriakan dari dua lelaki tua yang saya hormati, mendorong saya mengangkat baldi setinggi yang termampu.

Air dalam baldi membasahi kepala kedua-dua lelaki yang mencangkung sambil batuk darah. Mereka tersedak dengan kuat dan tidak batuk darah lagi.

Beberapa saat kemudian kedua-duanya rebah tergolek di bumi menggigil kesejukan buat seketika. Akhirnva terdiam kaku macam mayat.

Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, hati saya berdebar menanti arahan selanjutnya dari datuk. Lima saat masa berlalu, tiada arahan yang saya terima dari datuk atau dari Pak Habib.

Disebabkan bosan menanti arahan yang tidak datang, datuk dan Pak Habib saya renung lagi. Mereka bagaikan tahu masalah yang saya hadapi.

"Kamu tunggu sampai mereka bangun," lantang suara datuk.

Terbukti datuk lidak berbohong. Sebaik saja ungkapannya berakhir tubuh kedua-dua lelaki itu kelihatan bergerak perlahan.

Baldi kosong di sisi, segera saya campakkan jauh-jauh. Dua langkah undur ke belakang untuk keselamatan diri, jika nyawa terancam saya perlu bertinadak pantas, kerana itu persediaan rapi mesti disusun.

TANGAN

Saya lihat sepasang kaki dan tangan kedua-dua lelaki itu tersentap-sentap. Kemudian mereka menggeliat dan mula duduk dengan melunjurkan sepasang kaki. Mereka menggeliat lagi macam kucing baru bangun tidur.

Sungguh mengejutkan bila mereka terus duduk bersila sambil menghadapkan wajah kepada saya.

Meskipun mereka memperlihatkan wajah bodoh, saya tetap panik. Lagi sekali saya memalingkan muka ke arah Pak Habib dan datuk untuk minta bantuan.

Kalau dalam renungan pertama dan kedua tidak nampak wajah Tajuddin, tetapi kali ini, saya nampak Tajuddin tersenyum sinis.

Saya gunakan bahasa isyarat dengan menggerakkan tangan yang bermaksud, "Macamana dengan dua orang ni."

Datuk juga menjawap dengan gerakan tangan yang bermaksud:

"Biarkan mereka di situ, kamu datang ke sini."

Memang itu yang saya nantikan. Bagaikan orang mengantuk disurung bantal. Saya melompat kegirangan dan terus berlari ke arah Tajuddin, Pak Habib dan datuk di bawah pokok rambutan.

Mereka menyambut ketibaan saya dengan senyum lebar. Pasangan suami isteri masih berada di sisi anaknya.

"Kamu memang hebat Tamar."

"Aku tak makan puji," saya menjawab sambil menjuihkan bibir pada Tajuddin. Dia senyum lagi.

Datuk dan Pak Habib bergerak ke arah pasangan suami isteri. Kehadiran mereka bagaikan tidak dipedulikan oleh pasangan suami isteri terbabit.

"Saya mahu menunaikan janji saya pada awak berdua," tenang sekali datuk bersuara.

Pasangan suami isteri segera angkat muka. Renung wajah datuk dan Pak Habib silih berganti. Ada keraguan di wajah mereka.

"Jangan bimbang kami berdua berpegang pada janji, percayalah," Pak Habib cuba menanamkan keyakinan pada mereka.

"Apa yang patut kami buat?" Sepasang mata isteri tertumbuk ke wajah Pak Habib.

"Beritahu apa yang patut kami buat," si suami menyampuk.

Buat beberapa ketika Pak Habib dan datuk kerutkan kening. Tajuddin kenyit mata ke arah saya. Pasangan suami isteri masih sabar menanti apa yang bakal diucapkan oleh datuk dan Pak Habib.

"Awak berdua minta ke tepi dulu, ubah tempat ke sana."

Pak Habib mengarahkan pasangan suami isteri berdiri dekat Tajuddin, membelakangi saya. Tiada sebarang bantahan dari pasangan terbabit.

Setelah pasangan itu beredar, datuk segera duduk melutut di hujung sepasang kaki Shafie. Pak Habib duduk bersila dekat bahu sebelah kanan Shafie.

Sebelum daun kering yang menutup pusat Shafie diambil, datuk terlebih dahulu menyentap sepasang kaki Shafie dengan kuat.

Seluruh badan yang kaku bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan, selepas itu kembali kaku dari mulutnya keluar buih macam buih sabun melilih di kiri kanan pipi.

"Pergi ambil air kolah satu baldi dan bawa ke mari."

Arahan datuk segera saya patuhi. Tajuddin pula diarah oleh Pak Habib mencari gelas kosong. Macam saya juga arahan itu segera dipatuhi, walaupun dia nampak kurang selesa melakukannya.

DEPAN

Sekarang, air satu baldi berada di depan datuk. Gelas kosong dalam genggaman Pak Habib. Saya dan Tajuddin menanti arahan selanjutnya dari Pak Habib dan datuk. Kami berdua bersedia melakukan apa saja jika disuruh.

Pasangan suami isteri dibawah pokok rambutan tetap resah, melihat anak mereka (Shafie) terlentang kaku dipanah matahari.

Tetapi, mereka tidak berani bertanya atau protes. Angin yang bertiup menggugurkan dedaun kering ke atas permukaan tanah.

Setelah bercakap sesuatu dengan datuk, Pak Habib segera mengambil segelas air dari dalam baldi. Air itu segera 'ditawar' oleh Pak Habib. Kemudian terus direnjiskan ke wajah Shafie.

Satu kejutan terjadi membuat saya dan Tajuddin tersentak. Bersedia untuk berlari ke pangkal pokok rambutan.

Secara tiba-tiba Shafie melompat tinggi, melepasi kepala Pak Habib dan datuk. Renjisan air tersebut bagaikan memberi semangat dan kekuatan yang tidak terduga pada Shafie.

Sebelum telapak kakinya memijak bumi, kaki kirinya dihalakan ke dada datuk dan kaki kanan ke dada Pak Habib.

Mungkin sudah diduga yang serangan akan dihalakan kepada mereka, Pak Habib dan datuk membuat persiapan terlebih awal. Sasaran sepasang kaki Shafie tidak mengenai dada datuk dan Pak Habib.

Tendangan Shafie tersasar pada sebatang pokok kecil. Jatuh tergolek dan dengan serta merta dia terus bangun.

Tubuh yang tadi lemah, kini penuh bertenaga, matanya merah. Rentak dan langkahnya kejap dan utuh. Anak matanya liar sekali.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 258/284

BACA: SBDJ Siri 257: Rebut Tok Guru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, March 11, 2026

SBDJ Siri 257: Rebut Tok Guru

SBDJ Siri 257: Rebut Tok Guru

"Mana tuk guru kamu?" ulang datuk.

"Di luar," terdengar suara dari sebelah kanan.

"Di luar," ulang datuk cemas.

"Iya," sahut mereka serentak.

Dan tanpa mahu memberitahu apa-apa pada kami datuk terus meluru keluar surau. Kerana tidak tahu, apa yang mesti dilakukan, saya dan Pak Habib turut keluar sama. Tindakan kami, segera diikuti oleh orang-orang yang berada dalam surau.

SBDJ Siri 257 Rebut Tok Guru

Bila berada diluar, kami dihadiahkan dengan sebuah pemandangan yang tidak pernah kami fikirkan. Perasaan saya tiba-tiba jadi celaru. Marah dan sedih bercampur geram, bergolak dalam dada.

"Subhanallah..."

Datuk menepuk dahi dengan kuat. Pak Habib diam tidak terkata. Wajah Tajuddin nampak sedih sekali.

"Bagaimana boleh jadi begini!" desis hati saya.

"Kasihan," Tajuddian mengeluh lemah.

Walau apa pun rintihan dan tanggapan, semua biji mata tertumpu ke arah pasangan suami isteri yang sedang memangku kepala seorang pemuda.

Timbul pertanyaan dalam hati, apakah mereka sedang memangku anak sendiri atau orang lain.

Saat saya mencari jawapan dengan tenang datuk dan Pak Habib melangkah mendekati pasangan suami isteri tersebut.

"Anak kamu."

Itu yang terkeluar dari kelopak bibir Pak Habib.

"Iya, Shafie anak kami."

Si isteri menjawab dan terus menangis. Dahi pemuda dalam pangkuan diusap dan dicium berkali-kali. Si suami tertunduk merenung bumi.

Tidak memberikan sebarang komen atas pertanyaan yang Pak Habib ajukan, malah dia seakan-akan tidak mahu melihat wajah-wajah yang di sekelilingnya.

"Ahhh..."

Cara mengejut saja si suami bersuara dan terus berdiri seketika sambil bercekak pinggang membelakangi Pak Habib, datuk dah saya.

"Hissss..."

Terdengar desis keras dari mulut si suami. Sepasang matanya mula merenung wajah-wajah manusia yang mendewa-dewakan anaknya sebagai ulama besar. Kami bertiga tidak juga ditolehnya.

Si suami terus mengubah posisi kedudukannya dari berdiri terus bertinggung, berdiri lutut menghadapi Shafie yang berada dalam pankuan isterinya. Dahi Shafie digosok dan dicium berkali-kali.

Datuk dan Pak Habib yang berdiri di hujung kaki Shafie tidak memberikan sebarang reaksi dengan apa yang mereka lihat.

Tetapi, setiap gerak-geri pasangan suami diawasi dengan teliti. Begitu juga dengan kumpulan para pengikut Shafie.

ANGKAT

Tanpa disedari, tiba-tiba saja kami mendapati kumpulan yang mengangkat Shafie sebagai Tuk Guru terus mengelilingi kami, bergandingan tangan sambil bercakap sama sendiri. Kurang jelas apa yang mereka cakapkan.

"Bersedia kalau mereka buat sesuatu pada kita."

"Saya bersedia," datuk menjawab ingatan Pak Habib.

"Boleh tidak kita duga tindakan mereka," Pak Habib bertanya lagi.

"Mereka mahu merebut Tuk Guru dari kita," sahut datuk.

Mendengar penjelas datuk itu, muka Pak Habib nampak cemas sedikit. Manakala perasaan saya terus berdebar.

Tajuddin yang tidak mendengar dialog antara Pak Habib dengan datuk resah, ingin tahu.

"Bagaimana kalau terjadi, Pak Habib," Tanya saya secara berbisik kepada Pak Habib. Tiada jawapan pasti yang saya terima kecuali senyum sinis.

Dalam saat hati mula mahu berdebar kencang, datuk memisahkan diri dengan kami. Saya tarik nafas dan merenung ke dada langit.

Semoga kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku di sini. Sebuah doa dan harapan muncul dalam hati kecil.

Secara perlahan-lahan Pak Habib bergerak tiga tapak ke arah kanan, lelaki berdarah Arab itu berusaha menjarakkan dirinya dengan saya. Tidak tahu apakah tindakan selanjut yang bakal dilakukannya.

Tajuddin masih tidak berubah dari tempat asalnya. Renungannya kearah saya mencerminkan keresahan dan ketakutan.

"Haa, siapa di antara kamu yang berhajat mahu mengambil 'Tuan Guru' dari emak dan ayahnya," suara keras datuk membunuh rasa takut dalam hati saya.

Jari telunjuk datuk menuding ke arah 'Tuk Guru' yang berada dalam pangkuan ibunya, datuk lagi mengulangi kata-kata yang sama.

Secara tiba-tiba saya seperti mendapat semangat baru. Berani menghadapi apa saja yang mendatang. Saya tidak kisah, kalau Pak Habib atau datuk menjauhkan diri dari saya.

Bersama angin yang bertiup saya tarik nafas dalam-dalam. Dari jauh kelihatan dedaun kering di ranting berjatuhan di belakang surau dirempuh angin.

Datuk ulangi kata-kata yang sama buat kali yang kelima. Tiada jawapan yang diterima. Suara pengikut 'Tuk Guru' yang bercakap sama sendiri terus mati.

Malah mereka tidak lagi berganding tangan memagari kami. Satu perubahan yang drastik tetapi mencemaskan setidak-tidaknya untuk saya sendiri.

Tuk guru berada dalam pangkuan ibunya masih seperti tadi, tidak bergerak terus kaku macam mayat. Terdengar suara orang berdehem panjang.

Saya pasti suara orang itu datang dari kumpulan pengikut 'Tuk Guru'. Sukar sekali untuk mengenali siapa yang berdehem itu.

Mungkin orang yang berdehem itu memberikan isyarat pertama untuk datuk dan kami, bahawa dia bersedia merebut ketuanya, 'Tuk Guru' dari siapa saja.

"Jika ada sesiapa yang mahu mengambil 'Tuk Guru' dari emak bapanya. Nah, mari berlawan dengan aku. Kalahkan aku dulu," satu cabaran yang tinggi risikonya dari datuk.

Pak Habib terkejut lalu gelengkan kepala beberapa kali. Pada hemat saya dia tidak setuju dengan tindakan datuk itu.

Saat itu juga rasa berani saya hilang, digantikan dengan rasa cemas. Segera saya bayangkan keadaan yang kelam-kabut, bila cabaran itu dijawab oleh para pengikut 'Tuk Guru'.

SABUNG

Dalam situasi yang serba tegang itu, dua anak lelaki dari kumpulan pengikut 'Tuk Guru' menerpa ke arah datuk, macam ayam sabung yang baru dilepaskan pemiliknya ke dalam gelanggang sabung.

Belum pun sempat datuk membuka mulut, sebiji penumbuk sulung dilepaskan oleh salah seorang dari pada anak muda tersebut ke arah pipi kiri datuk.

Semasa mahu mengelak, datuk tersilap langkah lalu terjatuh. Kedua-dua anak muda itu menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Mereka melepaskan sepak terajang yang bertalu-talu ke arah tubuh datuk.

Pak Habib hanya melihat saja, tidak mahu campur tangan. Apa yang termampu dilakukan oleh datuk ialah bertahan dan mengelak sebanyak mungkin.

Pada satu saat yang baik, datuk dapat bangun lalu bertindak balas. Kedua-dua pemuda itu bertindak lebih agresif lagi mereka gunakan parang untuk menghancur cincangkan tubuh datuk.

"Bantuan," Pak Habib bersuara.

"Biarkan sahabat selesaikan sendiri," jawab datuk dalam keadaan tercungap-cungap.

Para pengikut Tuk Guru segera memberi sokongan moral pada kedua-dua kawan mereka yang sedang bertarung dengan suara, "Huuuu Haaaa," berulang kali dengan kuat.

Datuk yang ternyata keletihan, tetap berusaha mengatasi masalah yang dihadapinya tanpa mengharapkan bantuan Pak Habib atau Tajuddin atau siapa saja.

Bagi datuk berjuang dulu, kalau tidak boleh baru minta bantuan kawan-kawan.

Walaupun serangan datang bertubi-tubi dari kedua-dua pemuda tersebut, terbukti datuk sukar dikalahkan. Malah tanda-tanda kekalahan berada dipihak yang menyerang

"Ah..."

Serentak dengan jeritan itu, datuk melompat tinggi melepasi paras bahu penyerang yang sekaligus dapat mengelak dua tetakan serentak ke arah pinggangnya.

Sebaik saja telapak kakinya menyentuh bumi dia berlari ke kanan, mengubah posisinya hingga berdiri sejajar dengan dua orang penyerang.

Semasa dua penyerang menoleh ke kanan (kearahnya) datuk pun melepaskan satu tendangan terbang (flying kick) ke arah bahu pemuda yang agak hampir dengannya.

Badan lelaki itu rebah lalu menimpa badan kawan di sebelahnya. Kedua-dua, pemuda tersebut tersungkur, parang terlepas dari tangan, mereka muntah darah.

Tubuh mereka lembik, macam batang keladi yang dipukulnya ke perdu pokok meranti. Kedua-duanya tidak mampu untuk bangun.

Melihat kejadian itu, semua pengikut 'Tuk Guru' yang memagar kami lari lintang pukang. Mereka berlanggar sama sendiri, manakala kumpulan wanitanya terkencing dalam kain.

Dua lelaki yang mengetuai kumpulan tersebut hilang entah ke mana. Pasangan suami isteri tergamam dengan apa yang berlaku di depan mata.

Dari wajah tergambar rasa ketakutan yang amat sangat. Badan mereka menggeletar, tidak tahu untuk berbuat apa-apa, kecuali tunduk membongkokkan badan, melindungi Shafie.

"Bawa Shafie ke pangkal pokok rambutan," kata datuk pada saya dan Tajuddin.

Kemudian Pak Habib dan datuk bergerak pantas menuju ke pangkal rambutan. Saya dan Tajuddin segera mendekati pasangan suami isteri.

"Kami nak bawa Shafie ke sana," beritahu Tajuddin pada pasangan suami isteri yang nampak terkejut.

"Tak boleh," mereka membantah.

Saya dan Tajuddin mula berkeras. Pasangan suami isteri juga turut berkeras lalu terjadi pertengkaran kecil antara kami dengan mereka. Sebelum pertengkaran menjadi lebih besar, datuk pun datang.

"Jangan lupa janji kita," kata datuk.

"Janji?" balas si isteri.

"Iya," tegas datuk menjawab.

Pasangan suami isteri itu berpandangan sama sendiri. Mereka bagaikan mengingati sesuatu.

"Ingat janji kita bersama, saya minta tolong jangan gagalkan," datuk renung muka si isteri sejenak.

"Jangan gagalkan usaha kita yang baru mahu bermula," sambung datuk dengan tenang.

"Saya ingat," si suami bersuara riang.

Tanpa diarah oleh sesiapa, pasangan suami isteri itu segera bangun. Mereka menyerahkan Shafie pada saya dan Tajuddin.

Tanpa membuang masa Shafie segera kami usung ke arah perdu rambutan sambil diiringi oleh datuk dan pasangan suami isteri tersebut.

"Letakkan di situ, hadapkan mukanya ke langit, rapatkan kakinya. Letakkan tangannya macam orang sedang sembahyang."

Arahan datuk segera kami patuhi. Atas perintahnya juga kami letakkan sehelai daun rambutan kering atas pusat Shafie.

DUDUK

Dua orang anak muda yang menyerang datuk tadi masih muntah dalam keadaan duduk mencangkung.

Kalau tidak ada usaha dilakukan untuk menahan darah, besar kemungkinan kedua-dua anak muda itu akan mati katak akibat kehabisan darah.

"Mereka mesti diselamatkan," Sepasang mata datuk terpaku ke arah pemuda yang sebentar tadi bermati-matian mahu menamatkan riwayat hidupnya.

Datuk renung muka Pak Habib seolah-olah minta bantuan buah fikiran. Pak Habib menghela nafas panjang sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya berkali-kali.

"Selesaikan yang muntah darah dulu," cadangan dari Pak Habib.

"Anak kami bagaimana," si isteri bersuara.

"Kita selesaikan dengan baik, percayalah."

Si isteri renung suami. Dengan perlahan-lahan si suami anggukkan kepala, setuju dengan apa yang diucapkan oleh Pak Habib.

Seperti tadi juga, sementara menanti tugas-tugas yang bakal dilakukan oleh datuk dan pak Habib pada Shafie, mereka kembali memangku kepala anak tersayang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 257/284

BACA: SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 10, 2026

SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

Ketua kumpulan yang berpakaian serba putih itu memberikan syarahan agama, kemudian merawat sesiapa saja yang memerlukan khidmatnya secara percuma. Semuanya dilayan dengan baik.

Berbotol-botol air sejuk di jual pada orang yang berada di situ. Air sejuk itu dikatakan boleh menyembuh macam-macam penyakit. Kalau menghidapi sakit dalaman, minum saja. Kalau sakit luaran memadai dengan disapu.

SBDJ Siri 256 Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

Di saat asyik melayani orang ramai. Beberapa orang kanan yang menguruskan pentadbiran masjid segera datang. Mereka dihalau keluar dari kawasan masjid.

Di luar sana mereka boleh berbuat apa saja, tetapi bukan didalam kawasan masjid. Pada mulanyam memang ada bantahan dari pengikut dan para jemaah masjid yang bersimpati dengan dengan kumpulan tersebut.

Akhirnya, kumpulan itu mengalah, setelah ketua mereka tidak dapat menangkis hujah-hujah dalam perdebatan kecil berhubung dengan beberapa masalah yang ada kaitanya dengan akidah agama.

Semasa suami malang dan kawannya menemui imam masjid berhubung dengan hal tersebut Pak Imam menjelaskan, kumpulan itu baru muncul diketuai oleh seorang anak muda yang mendapat ilmu akhirat melalui pertapaan dan mendakwa mendapat petunjuk dari Allah, bahawa apa yang kita amalkan sekarang sudah terpesong dari ajaran Islam sebenarnva.

Dia menggunakan kepandaian mengubat orang sakit sebagai senjata mencari pengaruh.

Bila ditanya oleh imam, apakah mereka berdua berminat untuk mengikuti kumpulan tersebut. Jika berminat, mereka dinasihatkan supaya jangan datang ke masjid ini lagi.

Ini kerana minggu depan dan seterusnya kumpulan itu akan dihalau dari kawasan masjid. Kalau mereka berkeras, perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan suami malang dan rakannya, Pak Imam menganggap ketua kumpulan itu orang gila. Begitu juga pengikutnya.

Rawatan yang dilakukan pada pesakit, baik secara kebetulan. Sepuluh dirawat kebetulan seorang yang pulih dan yang pulih itu dihebahkan oleh pengikutnya manakala sembilan lagi yang gagal dirahsiakan.

Pak Imam berpendapat, bila dihalang datang ke masjid, besar kemungkinan kumpulan itu akan berhijrah ke lempat lain.

Taktik yang sering digunakan oleh mereka ialah Tuk Guru pergi dulu ke masjid atau surau. Tumpang bermalam atau berteduh di situ semalam dua.

Bila sampai waktu yang sesuai terus membuat kecoh serta memperlihatkan kehandalannya dalam hal-hal agama. Bersedia beradu kekuatan jika ada pihak yang cuba menghalangnya.

Ketika itulah kumpulannya datang dan menyalahkan orang yang menentang ketua mereka. Secara diam-diam mereka mula menyebarkan pengaruh pada orang ramai.

Secara diam-diam pula menghebahkan bahawa ajaran tuk guru mereka benar belaka. Orang yang menentang 'tuk guru' adalah golongan orang munafik.

Bila Pak Imam menyebut ketua kumpulan itu dipanggil "Imam Shafie'. Biji mata suami malang terbeliak, dadanya berdebar.

Dia teringatkan anaknya yang hilang. Sebab dipanggil 'Imam Shafie' cara kebetulan nama ketua kumpulan tersebut memang Shafie, jelas Pak Imam lagi.

Kesimpulan yang dibuat oleh Pak Imam bahawa Imam Shafie tiruan itu banyak mmenuntut ilmu syaitan semasa dalam pertapaan.

SAKIT

Setelah mendengar penjelasan Pak Imam tersebut, hasrat suami malang untuk menemui "tuk guru" dan minta jasa baiknya untuk mengubati sakit isterinya terpaksa dibatalkan. Hari itu juga dua sahabat tersebut pulang ke tempat masing-masing.

Apa yang pasti si suami malang akan berusaha mencari orang yang boleh merawat sakit isterinya di samping menjejaki anaknya yang lari malam.

Sampai di sini si suami malang menamatkan kisah sengsara yang dilalui bersama isterinya.

"Hebat perjalanan hidupnya," bisik saya dalam hati sambil menjeling ke arah Tajuddin yang tidak berkedip merenung ke surau.

Pasangan suami isteri malang juga merenung ke arah yang sama seperti Tajuddin.

"Macamana kamu tahu anak kamu ada di sini?"

Suami malang merenung muka datuk yang mengajukan pertanyaan. Secara spontan dia terus tersenyum. Itulah kali pertama saya melihat dia senyum, sejak berada di situ.

"Sahabat saya yang bagi tahu!" katanya.

"Sekarang apa yang mahu kamu buat, membiarkan dia begitu atau memisahkan dia dengan orang-orang yang mendewa-dewakan dia," Pak Habib minta kepastian.

Suara orang berzikir dan berkasidah jelas kedengaran dari surau. Isteri kepada si suami malang masih belum mengubah pandangan tetap renung ke surau.

Dari sorotan ternyata dia amat merindui kehadiran anak yang hilang di sisinya.

"Oh Tuhan, Kau selamatkan anakku," keluhnya.

Hiba perasaan saya dibuatnya. Perlahan-lahan dia alihkan pandangan dari surau ke wajah datuk. Renungannya mengandungi harapan, agar datuk atau Pak Habib melakukan sesuatu yang terbaik buatnya dan suami.

"Bagaimana?"

Suami malang terkejut dari lamunan. Dia merasakan kata yang diucapkan oleh Pak Habib memberikan sebuah harapan untuk dirinya.

"Saya memerlukan jasa baik awak berdua untuk menyelamat anak saya, dia sakit otak. Tetapi, peliknya orang yang tak sakit otak memuliakan dirinya, anggap dia orang yang tinggi ilmu dalam agama," si suami malang meluahkan harapan.

Pak Habib menggigit bibir. Harapan suami malang itu bukannya mudah dan kecil. Bagi melaksanakannya bukanlah semudah menelan air liur. Penuh cabaran dan menuntut kesabaran yang panjang.

"Sekiranya tak dihalang dari sekarang, ramai yang jadi sesat dan tidak tentu hala. Agama dipermain-mainkan, kita mesti bertindak. Saya tak mahu orang lain mengambil kesempatan dari masalah yang dihadapi anak saya," tanpa diduga isteri malang meluahkan apa yang ada dalam kalbunya.

"Dia bercakap perkara yang benar," hati kecil saya memberi komentar.

"Kita kena bertindak dengan segera, sebelum perkara ini melarat, saya mahu anak saya balik kepada saya, ikhtiarkan dengan apa cara sekalipun," sambung isteri malang penuh keyakinan dengan sepasang anak matanya memanah ke wajah suaminya.

Suaminya masih terkaku, meraba-raba mencari sebuah keputusan. Cuba mengawal rasa berdebar dalam dada. Gegendang telinganya terus diasak dengan suara orang berkasidah.

"Selamatkan anak kita bang," rayu isteri.

"Sudah tentu, dia darah daging kita. Walau apa yang terjadi, dia mesti diselamatkan," si suami memberikan harapan pada isteri yang kelihatan berada dalam keadaan serba salah.

"Tapi bang?"

"Tapi, apa lagi?" suami mula resah dan bosan bila terlalu banvak pertanyaan diajukan padanya.

"Caranya bang."

"Hummmm..." Si suami seperti tersentak dan mula terfikir apa yang diajukan oleh isterinya memang betul.

Buat beberapa saat dia termenung, beberapa kali dia menjeling ke arah datuk dan Pak Habib. Macam ada sesuatu yang mahu disampaikannya lagi.

"Kita minta bantuan mereka," dengan spontan suami berkata. Ibu jarinya menghala ke arah datuk dan Pak Habib.

"Bersediakah mereka bang, tadi kita beritahu, mereka tak kata apa-apa."

"Kita cuba lagi."

REAKSI

Saya lihat Pak Habib dan datuk tidak memberikan sebarang reaksi. Padahal mereka mendengar apa yang diucapkan oleh pasangan suami isteri itu.

Barangkali Pak Habib dan datuk beranggapan pasangan suami isteri tidak serius. Sekadar bersandiwara saja. Si isteri yang lebih cekap mengenali dan menguasai suasana, segera mendekati Pak Habib yang masih termenung.

"Bagaimana boleh menolong kami, tolong selamatkan anak kami yang dimuliakan orang yang singkat akal."

Datuk tarik nafas panjang sambil merenung muka Pak Habib dengan sejuta persoalan.

"Kenapa diam, kalau tak boleh katakan tak boleh, jangan biarkan kami menunggu. Kalau tak upaya, kami boleh berikhtiar di tempat lain," keras sekali tekanan suara si isteri.

"Awak berdua bersungguh-sungguh atau sekadar mahu mencuba," Pak Habib minta kepastian.

"Kalau sekadar mahu mencuba, kami tak mahu," datuk mencelah.

"Memang kami mengharapkan sepenuh hati, pada siapa lagi kami mahu minta tolong," si isteri bagaikan merayu, sedangkan suaminya kelihatan termenung, perasaan kecewa mendengar jawapan dari datuk.

"Sebut berapa upahnya, kami sediakan," secara tiba-tiba si suami bersuara dengan nada yang tinggi. Dia memperlihatkan rasa marah dan geramnya.

"Bukan wang yang kami cari, kami menolong dengan ikhlas dan kami mahu orang yang minta tolong itu juga mesti ikhlas, kami tak mahu bila pertolongan diberikan, orang yang menerimanya tidak ikhlas, semua suruhan tak dibuat. Kami macam dipermainkan," cukup ringkas datuk mcmberikas penjclasan.

"Saya setuju dengannya."

Pak Habib menyokong saranan datuk. Muka pasangan suami isteri direnungnya dengan tepat seketika, kemudian renungan itu dialihkan ke arah surau. Suara orang berzikir masih juga mengalun.

"Kamu berdua memang memerlukan pertolongan kami."

"Dengan apa lagi yang mahu kami buktikan pada tuan berdua yang kami ini memang mengharapkan bantuan," kata si suami dengan suara tertahan-tahan menjawab pertanyaan Pak Habib.

"Baiklah, kami mulakan sekarang. Jangan cakap atau tegur bila kami membuat perkara yang ganjil terhadap anak kamu," tegas datuk.

ANGGUK

Pasangan suami isteri itu anggukkan kepala. Tetapi anak mata mereka tidak terlepas dari merenung muka datuk dan Pak Habib.

"Kita semua ke surau," datuk keluarkan arahan.

Arahan datuk kami patuhi, termasuk pasangan suami isteri. Pak Habib menjadi ketuanya dan yang lain-lain mcngekori dari belakang. Rasa gementar tetap bersarang dalam dada.

Dalam jarak beberapa kaki mahu sampai ke muka pintu surau, suara orang berzikir terhenti. Mereka bagaikan tahu kedatangan kami.

"Begini, biarkan kami uruskan hal ini, kamu berdua pergi duduk di sana di bawah pokok rambutan, bila aku panggil baru datang," datuk renung muka pasangan suami isteri. Dengan segera mereka beredar dari situ.

"Puuuuummmpp..."

Terdengar bunyi kaca terhempas ke atas lantai surau. Cepat datuk renung muka Pak Habib dan Pak Habib segera memberi isyarat tangan supaya bcrsabar dan jangan peduli dengan apa yang berlaku.

"Saya, sahabat dan cucu saya, masuk ke dalam surau. Tajuddin tunggu di pintu, kalau terasa ada sesuatu yang ganjil semasa kami berada dalam surau, kamu selamatkan atau sembunyikan orang laki bini di bawah pokok rambutan," itu pesan yang datuk tinggalkan untuk Tajuddin yang disambut dengan senyum oleh Tajuddin.

Kami bertiga bergerak serentak menuju pintu surau. Sebelum itu, datuk telah mengingatkan saya dan Pak Habib supaya berhati-hati dan waspada. Mana tahu, kalau orang dalam surau keluar ikut pintu belakang dan terus melakukan serangan mengejut

"Tunggu diluar dulu," beritahu datuk.

Sebaik saja melangkah masuk, satu tendangan dari dalam dilepaskan pada datuk. Nasib baik datuk dapat mengelak dengan merendahkan badan sambil menangkap pergelangan kaki orang berkenaan. Dengan sepenuh tenaga kaki orang itu direntap dan dilemparkan keluar.

Mungkin orang dalam surau terkejut dengan kejadian itu hingga tiada serangan susulan dilakukan. Datuk terus melangkah masuk. Saya dan Pak Habib segera mengekorinya.

Datuk berdiri di tengah ruang surau bercekak pinggang. Saya berada di sebelah kiri dan Pak Habib berada di sebelah kanan.

"Mana tuk guru kamu, aku nak buat perhitungan."

Semua yang ada dalam surau terdiam tunduk. Tiada seorang pun yang bersuara, apa lagi panggungkan kepala menentang muka datuk.

Saya jeling ke arah lelaki berbadan besar dan tegap. Dia membisu. Kehebatan dan garangnya, hilang entah ke mana.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 256/284

BACA: SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

Malam itu penghuni kampung jadi gempar. Semuanya menyerbu rumah orang tua Shafie. Seluruh kawasan rumah terang bederang dengan cahaya andang daun kelapa. Apa yang berlaku segera diterangkan dengan terperinci oleh orang tua Shafie pada orang kampung.

SBDJ Siri 255 Bomoh Kena Tendang

Orang kampung yang berkumpul di halaman rumah mengambil keputusan untuk menjejaki dua insan yang lari. Kedua orang tua Shafie tiada daya untuk menghalangnya.

Cuma mereka berpesan, jika dukun berhasil ditangkap jangan diapa-apakan. Suruh dia pulang. Pujuklah Shafie supaya balik ke rumah. Jangan dipukul dan dijentik batang tubuh mereka.

Ternyata, orang kampung bersedia mematuhi pesanan ayah dan ibu Shafie. Seluruh belukar dan hutan dijenguk. Semua rumah kosong dimasuki. Gua dan parit disusupi.

Orang yang dicari tidak juga ditemui. Tetapi, orang kampung tidak putus asa dan terus mencari.

Malam yang hening menuju ke subuh terus dikocak dengan tempik sorak. Mereka bertembung dengan seorang lelaki terperosok dalam perigi buta. Ramai-ramai mereka menaikkan orang tersebut dari dalam perut telaga buta.

Dan orang yang ditolong itu ialah orang tua berjanggut putih separas dada. Tetapi, sudah berubah menjadi hitam kotor.

Maka orang tua berjanggut putih separas dada itu, segera diusung oleh orang kampung ke rumah orang tua Shafie. Segala apa yang melekat ditubuhnya segera dibersihkan. Luka dan bengkak segera diubati.

Bila didesak dan ditanya oleh orang-orang kampung, secara jujur orang tua berjanggut putih separas dada menerangkan, hasratnya sekadar mahu menolong.

Dia juga mahu menguji formula barunya bagi menolong orang yang bermasalah. Formula barunya ialah mencantumkan cara perubatan tradisional dengan perubatan moden menggunakan pil vitamin yang dibeli di kedai farmasi.

Beberapa pesakit yang diubati mengikut formula barunya berhasil. Cara kebetulan dua orang pembantunya pernah bekerja di klinik swasta.

Seorang sebagai pembancuh ubat, manakala seorang lagi pembantu kanan pada doktor klinik berkenaan.

Sesungguhnya, dia tidak menduga akan mengalami perkara yang memalukan dirinya sebagai dukun. Lelaki tua berjanggut putih separas dada mengakui tendangan yang dilepaskan Shafie membuat dirinya terasa berpusing-pusing. Dua batang gigi tercabut dari gusi.

Ketika Shafie mengejarnya, dia berusaha berlari dengan sekuat hati. Apa yang ada dalam kepalanya ketika itu ialah kematian yang belum diketahui di mana tanah kuburnya.

Malah, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada dalam perut perigi buta.

MELAYANG

Semasa dia berlari tiba-tiba dia merasai tubuhnya melayang di atas awang-awangan, kemudian terjatuh dalam tempat yang gelap. Seluruh badannya basah.

Dalam masa yang sama didepannya berdiri orang hitam berbadan besar dan terus memukul kepalanya sekuat hati.

Setelah itu, dia tidak sedar apa yang berlaku. Bila bergerak ke kanan terasa seluruh tubuhnya sakit.

Saat dia membuka mata didapati dirinya sudah berada di rumah orang tua Shafie dan melihat dua orang pembantunya berada dalam kandang buluh, di mana Shafie ditempatkan.

Lelaki tua berjanggut paras dada, tanpa diminta memberitahu orang kampung, kejadian yang memalukan di rumah orang tua Shafie, mungkin menjadi malam penamat kerjaya sebagai bomoh.

Hasratnya untuk memperkenalkan formulanya di Kedah (Malaysia) sebagai sumber rezekinya terpaksa dibatalkan.

Kejadian malang di rumah orang tua Shafie seolah-olah menyedarkan dirinya supaya berhenti menjadi bomoh yang diakuinya banyak melakukan perbuatan tidak benar daripada yang benar.

Banyak bercakap berbelit-belit tidak lurus, gunakan ayat Quran untuk kepentingan perut, pura-pura jadi orang warak pada hal pengetahuan tentang agama tidak sebanyak mana.

Pengakuan yang jujur dan ikhlas itu membuat orang kampung simpati dan kasihan. Semua yang ada di situ bermuafakat memberikan sedekah setakat mana yang mampu dalam bentuk rupiah.

Kedua-dua orang pembantu yang berada dalam kandang di ruang rumah segera dikeluarkan. Mereka juga diberikan sedikit habuan.

Sebelum dilepaskan, orang tua berjanggut separas dada bersama dua orang pembantunya diingatkan supaya jangan datang ke kawasan mereka untuk menjaja dan mempamerkan ilmu kebomohan yang bersalut dengan penipuan.

Andainya mereka datang juga, belum tentu mereka boleh pulang dengan selamat.

Apa yang dilakukan oleh Shafie adalah merupakan amaran pertama. Amaran selanjutnya, mungkin isi perut terburai atas tanah atau kepala terpisah dari tubuh.

Memang mengejutkan, bila orang tua berjanggut putih paras dada berjanji, tidak akan datang lagi ke kampung tersebut, walaupun diundang.

Kata-kata itu mendapat tepukan dan sorakan dari orang kampung. Mereka segera mengiringi lelaki berjanggut putih paras dada bersama dua orang pembantu keluar dari kawasan kampung mereka.

SAMPAI

Setelah mendengar cerita sebenar yang disampaikan oleh pasangan suami isteri malang itu, saya lihat datuk dan Pak Habib menarik nafas panjang.

Saya termenung dan Tajuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada sedih atau sebaliknya. Susah mahu diteka apa yang ada di dalam tempurung kepala Tajuddin.

Tajuddin menudingkan telunjuk ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Semua perhatian tertumpu ke arah yang ditunjukkan oleh Tajuddin.

Kumpulan tersebut sedang mengurung lelaki yang mereka panggil sebagai Tuk guru yang kadang-kadang mereka sebut juga sebagai Pak Guru.

"Halang mereka, Pak Habib," saya bertanya.

"Jangan, biarkan," jawab Pak Habib.

"Nanti mencemarkan surau kita," tingkah Tajuddin.

"Jangan, bila berada dalam surau, lebih mudah kita bertindak, kalau mereka robohkan surau, baru kita halang," ujar Pak Habib.

Saya dan Tajuddin berpandangan.

Barangkali Pak Habib sudah memikirkan buruk baiknya jika bertindak terburu-buru, kumpulan itu akan menang, Shafie tidak dapat diselamatkan dan terus jadi milik mereka, fikir saya.

Datuk minta suami malang menyambung ceritanya kembali. Permintaan datuk segera ditunaikan.

Kejadian malam itu merupakan malam perpisahan antara pasangan suami isteri dengan anak mereka, Shafie. Hilang entah ke mana. Perasaan sedih tiak dapat dibendung oleh si isteri.

Tiga bulan terpisah membuat si isteri merana dan jatuh sakit. Bermacam-macam usaha dilakukan, sakit yang ditanggung oleh wanita malang itu tidak juga sembuh.

Si isteri yang rindukan Shafie dibawa oleh suaminya ke hospital. Setelah diperiksa dah duduk dalam wad lebih dari dua minggu, doktor mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang sakit.

Dia mengalami tekanan perasaan yang agak hebat, rasa putus asa, kecewa dan marah sentiasa bermain dalam batinnya.

Menurut doktor yang merawatnya, penyakit itu boleh dikurangkan secara bertahap-tahap. Dan akhirnya boleh baik terus.

Satu saranan yang cukup mudah, tetapi agak berat untuk dilaksanakan. Sebagai ikhtiar, si suami malang tetap mencuba dan berusaha.

Dia segera memulakan langkah untuk mengubatinya dan mencari anaknya dengan cara berpesan-pesan pada orang yang dikenalinya.

Usaha lain yang dilakukannya ialah menulis risalah sebanyak-banyaknya dalam tulisan jawi. Risalah itu ditampalkan di semua surau dan masjid seluruh daerah.

Bila ada masa terluang, dia akan melakukan sembahyang fardhu dari surau ke surau atau masjid dengan harapan ada jemaah yang tahu tentang Shafie.

TETAMU

Pada suatu malam Jumaat, di bulan rabiulakhir, seorang kenalan dari kampung berdekatan datang ke rumah.

Kenalan itu menceritakan, kira-kira jarak tiga buah kampung dari kediamannya tersebar berita seorang muda yang baru keluar dari tempat pertapaan. Hebat dengan ilmu dunia dan akhirat.

Anak muda itupun segera dimuliakan oleh penduduk kampung berkenaan dianggap sebagai 'manusia keramat hidup'.

Mulutnya masin, sebut apa saja terus menjadi. Boleh menyembuhkan apa saja jenis penyakit dengan cara menyentuh ibu jari pesakit. Banyak benar kehebatan orang muda tersebut.

Suami malang segera tertarik dengan cerita tersebut. Dia ingin melihat bagaimana rupa anak muda ahli pertapaan itu. Di samping itu, dia mahu juga menyuruh isterinya berubat dengan orang alim dan warak.

Satu persetujuan diikat oleh suami malang dengan kenalan dari kampung berdekatan. Pada hari jumaat akan datang, mereka berdua akan menunaikan fardhu jumaat di kampung tersebut.

Hari yang dijanjikan pun sampai kira-kira setengah jam lagi mahu masuk waktu, suami malang dan kenalannya duduk dalam masjid. Setiap jemaah yang masuk jadi perhatian suami malang.

Entah macamana dia terpandang satu kumpulan memakai pakain serba putih masuk ke dalam masjid. Kumpulan itu berada di saf atau barisan tengah masjid.

Orang yang mereka panggil 'Tuk guru' menutup sebahagian mukanya, macam kebiasaan yang dilakukan orang-orang Arab dipadang pasir ketika menjaga kambing.

Kerana jaraknya agak jauh, pandangan sering diganggu oleh gerak kepala para jemaah dan muka orang mahu dikenali separuh tertutup, maka suami malang tidak dapat melihat dengan jelas wajah individu yang mahu dikenalinya itu.

Selesai sembahyang dan berdoa para jemaah menerkam pintu masjid mahu keluar.

Suami malang dan rakannya segera menuju ke arah kumpulan berpakaian serba putih. Belum pun sempat sampai, kumpulan itu sudah mengiringi ketua mereka ke bawah pokok kekabu.

Sebahagian daripada para jemaah terus menuju ke arah pokok tersebut.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 255/284

BACA: SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, March 06, 2026

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

Datuk dan Pak Habib masih menanti suami malang menyambung cerita yang terputus. Sudah hampir lebih dari sepuluh saat masa berlalu, suami malang masih juga membisu. Datuk mula nampak resah. Pak Habib masih macam biasa, tenang dan selesa.

SBDJ Siri 254 Tuk Guru Sasau

Pada hemat saya apa yang di ucapkan oleh si suami malang diikuti dengan teliti oleh datuk dan Pak Habib. Saat saya menoleh ke kanan, terpandangkan isteri kepada lelaki (suami malang) tersebut tunduk merenung permukaan bumi, tiada seorang pun tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

Dalam keadaan serba tenang tetapi mendebarkan itu, datuk menarik nafas dalam-dalam, dia merasakan lelaki itu seperti keberatan mahu meneruskan kata-kata.

Andainya telahan datuk itu tepat, memang sungguh menghampakan, bukan saja buat dirinya, malahan melibatkan Pak Habib dan diri saya sendiri.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menjauhkan diri dari kami, terus merawat dan melayani anak muda yang mereka anggap dan gelar "Tuan atau Pak Guru."

Beberapa orang dari mereka menangis sambil mengharapkan orang yang mendatangkan kecelakaan kepada pemimpin agung mereka, akan ditimpa bencana.

"Anak kamu memang hebat, dia ada kebolehan dan pelajaran, memang tak berhati perut orang yang dengki dengannya," datuk mula mengocak suasana yang agak sepi, sekaligus secara diplomasi mengajak lelaki itu membuka mulut.

"Iya, mereka memang tak patut," si isteri yang menyampuk.

Datuk dan Pak Habib berpandangan.

"Anak kami selalu dihantar oleh pengetua pesantren menghadiri seminar di luar negeri," si lelaki meningkah cakap isteri dengan nada suara yang megah.

MENJERAT

"Dihantar ke mana tu?" datuk cuba menjerat.

"Ke Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Siam dan Arab Saudi. Ada cerita lain orang dengki dengan anak saya."

"Cerita macam mana tu." Pak Habib pula bertanya.

"Kononnya anak saya ni sombong dengan ustaz-ustaz disitu, maklumlah dia ada pelajaran tinggi, selalu memandang rendah pada orang lain, cerita ini susah nak percaya," si lelaki itu menelan air liur dan berhenti bercakap.

"Hidup ini memang sudah, miskin orang benci bila senang ada pelajaran sidikit, timbul macam-macam fitnah," si isteri memberikan komen yang agak terkesan dalamm diri saya.

"Ada cerita lagi tentang dirinya," datuk cuba membunuh percakapan si isteri yang pada pendapat datuk sudah keluar dari perkara yang diperkatakan.

"Ada," jawap si lelaki.

"Apa dia? Ceritakanlah," Pak Habib mendesak.

"Kononnya, dia menolak cinta seorang gadis. Tetapi, malangnya sigadis tidak dapat menerimanya malah terus merayu dan memujuk.

"Anak saya bosan dengan sikap gadis. Dia jadi marah lalu terkeluar kata-kata yang pedih dan bisa dari mulut anak saya.

"Gadis yang kecewa, kononnya terus gunakan khidmat bomoh hitam," ujar lelaki tersebut. Nada suaranya sekejap meninggi dan sekejap merendah.

"Allah huakbar."

Pandangan saya segera beralih ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sedang menjulang "Tuk Guru" sambil bergerak ke bucu surau belah kanan.

"Mereka mendewa-dewakan anak kami," keluh si lelaki merenung ke arah kumpulan berbadan besar dan tegap.

"Mereka orang jahil yang harus kita perbetulkan," kata Pak Habib.

"Itu juga harapan kami berdua," serentak pasangan suami isteri bersuara.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap segera meletakkan "Tuk Guru" disudut surau tersebut. Mereka terus memuji dan memuja Tuk Guru.

LANGIT

Pak Habib medongak ke langit melihat awan, datuk mengerutkan dahi. Mereka berdua sedang memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tidak manis dibiarkan perkara ini berlarut.

Memang kejam kalau dibiarkan pasangan itu terkatung-katung dengan masaalah tanpa diberikan penyelesaian sewajarnya.

Tidak berakal namanya, membiarkan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap mendewa-dewakan Shafie yang ternyata kurang waras.

Pada anggapan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap Shafie orang yang tinggi ilmu agamanya.

Jika perkara ini tidak dihalang akan menambahkan lagi bilangan orang yang terjebak dalam ajaran sesat, barangkali itu yang bermain dalam kepala Pak Habib.

"Bagaimana? Perlukah kita selesaikan masalah ini," Datuk tatap wajah Pak Habib.

"Bukan cara orang berilmu meninggalkan kerja yang belum selesai. Sekali masuk gelanggang, selesaikan langkah supaya tidak sumbang. Jangan jadi guru kepalang ajar, ilmu murid bagaikan kembang tak jadi," kata Pak Habib.

"Faham dengan maksud yang diungkapkan. Kalau begitu mari kita selesaikan bersama," jawab datuk penuh keyakinan.

Dengan pantas si suami malang menjeling kearah isterinya yang termanggu. Dia mengajak isterinya beredar dari situ.

"Nanti dulu, jangan beredar begitu saja, cerita tentang anak kamu belum habis lagi. Tak boleh cerita separuh jalan, nanti semuanya jadi rosak," datuk menghalang pasanga suami isteri beredar.

"Cakapnya itu memang benar," lemah tekanan suara Pak Habib menyokong tindakan datuk.

Pasangan suami isteri itu termenung sejenak. Kemudian mereka mengangguk setuju.

"Ceritakan apa yang mahu kamu ceritakan," kata Pak Hbib bersahaja.

"Bila anak kami diserang penyakit ganjil ini, memang azab rasanya. Orang hanya simpati, kami yang menanggungg tak tahu nak cerita.

"Macam kata orang dulu-dulu, betapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," si isteri mengambil alih tugas si suami bercerita.

"Tak berusaha mengubatinya?" sanggah datuk.

"Masakan kami tak berusaha, tak ada emak bapak yang mahu menengok anaknya sakit. Jangan bercakap ikut sedap mulut saja," si isteri memperlihatkan bunga kemarahan pada datuk.

Tidak memadai dengan itu dia melepaskan jelingan yang cukup tajam, bagaikan mata pisau, kearah datuk.

Disaat suasana yang lebih kuat, mengarah kepada sempadan ketegangan, Pak Habib cepat bertindak.

Dia minta maaf bagi pihak datuk andainya kata-kata yang diucapkan tadi menyinggung perasaan pasangan suami isteri.

Pak Habib segera menerangkan, dalam usaha mencari sebuah penyelesaian yang jitu tidak terniat di hati datuk atau dirinya untuk melukakan sesiapa.

Saya bersyukur, penjelasan beruntung kerana apa yang dikatakan oleh Pak Habib itu disambut dengan baik oleh pasangan suami isteri terbabit.

Suara pekikan Allahhu akbar, tidak lagi kedengaran dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sekadar mengelilingi 'tuk guru' yang sengaja menelentang tubuh di tanah. Kedua belah tangannya berada atas dada, tidak ubah seperti mayat yang terbujur.

Beberapa orag saudara mara terdekat Pak Habib mula datang ke tempat kejadian. Tidak berapa lama berselang orang-orang kampung berdekatan datang beramai-ramai, cerita orang mengamuk di surau sudah tersebar jauh.

"Kerana percayakan cakap orang anak kami di sihir, kami tidak membawanya ke hospital untuk berubat. Kami juga berikhtiar ubat cara kampong," si suami malang telan air liur untuk sekian kalinya.

Kemudian garu pangkal leher. Si isteri Nampak cemas sedikit, melihat orang kampong kian ramai datang.

KAMPUNG

Kumpulan orang kampung itu, kebanyakannya ada hubungan darah dengan Pak Habib. Mereka mula melingkungi kawasan sekitar.

Tajuddin segera bergabung degan mereka dan perbuatan Tajuddin tidak ditegah oleh Pak HABIB.

Suasana yang mahu dirahsiakan oleh datuk dan Pak Habib dari pengetahuan ramai, sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Sebahagian dari mereka yang datang itu (kaum lelaki) segera mengelilingi kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menghurungi "Tuk Guru."

Memang, dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap, ada percubaan mahu mengusung Tuk Guru keluar dari kepungan orang ramai. Ternyata percubaan itu gagal, mereka dipaksa duduk diam disitu.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap cuba membantah. Tetapi, puak orang kampung menunjukan tindak balas yang kasar. Mereka terus berdiam.

Bila sudah ramai yang datang ke kawasan surau, keadaan menjadi sudah tidak terkawal. Nampaknya Pak Habib dan datuk gagal untuk menguasai keadaan sekitar.

Mereka yang datang mahu segera mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

"Semua dukun dan pawang yang ditemui sepakat mengatakan anak kami kena sihir. Mereka cuba berikhtiar mengubatinya. Usaha mereka gagal, malah keadaan anak kami semakin bertambah teruk," tiba-tiba sahaja suami malang menyambung kembali cerita yang terputus.

"Kalau boleh segerakan cerita tentangnya, jangan terhenti-henti, kamu tengok keadaan sudah jadi kelam-kabut.

"Kalau ceritanya selalu sahaja terputus-putus, masalah tak boleh selesai dengan cepat, anak kamu tidak boleh diselamatkan.

"Saya takut orang yang datang ini bertambah marah bila mereka dapat tahu anak kamu buat kacau dalam surau," Pak Habib bersuara sambil menyuruh pasangan suami isteri merenung keadaan sekitar.

Pasangan suami isteri segera merenung keadaan sekitar. Kali ini mereka amat cemas sekali. Wajah mereka Nampak pucat. Malah si isteri kelihatan menggeletar.

"Kamu lihat sendiri," kata Pak Habib.

Pasangan suami isteri itu mengangguk.

"Saya tidak berbohong," tambah Pak Habib.

"Iya, awak tak berbohong," sahut si isteri.

"Kalau begitu selesaikan masalah ini, suruh suami kamu tamatkan cerita tentang anak kamu berdua dengan segera.

"Dengan cara itu, masalah kamu boleh diselesaikan dan anak kamu dapt diselamatkan," kali ini nada suara Pak Habib cukup keras dan wajahnya nampak serius.

MALANG

Setelah dua tiga kali mohon maaf pada datuk dan Pak Habib, si suami malang memperlihatkan perubahan yang sungguh mengejutkan.

Dia tidak mudah bersedih. Malah wajahnya memperlihatkan rasa yakin tidak berbelah bagi pada datuk dan Pak Habib.

"Usaha cara tradisional gagal, kami bawak anak kami jumpa doktor di rumah sakit, setelah diperiksa didapati kepanasan badannya melampaui had normal disamping anak kami juga mengalami tekanan perasaan.

"Malah dia ditempatkan dalam wad khas yang dikandang, takut dia melakukan hal yang tak diingini pada pesakit lain," si suami malang berhenti sejenak, sambil mengerutkan dahi macam mengingati sesuatu.

Kemudian dia bercerita kembali, setelah seminggu berada di hospital keadaannya beransur baik. Badannya kembali normal. Tetapi, dia suka bercakap sendirian.

Kerana yakin keadaan anaknya boleh baik, dia minta izin dari pihak hospital untuk membawa anaknya pulang kerumah. Permintaannya segera dipenuhi.

Kerana Shafie suka meracau dan menjerit sesuka hati, tanpa mengira waktu samada malam atau siang, pagi atau petang. Pasangan suami isteri itu menempatkan isteri dalam kandang buluh yang didirikan di ruang tamu rumah.

Shafie dibiarkan bergerak bebas disitu. Makan minumnya diatur dengan sempurna. Begitu juga dengan pakaiannya. Sampai waktu mandi terus dibawa ke telaga.

JANGGUT

Pada suatu hari, rumah pasangan itu didatangi oleh seorang tua yang berjanggut putih separas dada.

Orang tua itu memarahi pasangan suami isteri yang disifatkannya melayani anak seperti melayani binatang. Pasangan suami isteri itu menerangkan keadaan yang sebenar.

Orang tua yang tidak diketahui asal usulnya, dari mana datangnya, tidak mahu menerima alasan tersebut. Malah dia menawarkan diri untuk mengubati Shafie dengan bayaran tertentu.

Pasangan suami ister setuju dengan tawaran tersebut. Bila persetujuan dicapai, minta syarat diubah dari nilai rupiah ke sebentuk cincin. Kerana anak, si ibu sanggup memenuhi syarat yang ditetapkan.

Orang tua itu berjanji tiga hari lagi dia akan datang untuk memulakan pengubatan tradisional yang didakwanya mempunyai kaedah baru dengan mencampur adukkan perubatan tradisional dengan perubatan moden.

Pasangan suami isteri hanya diminta menyediakan sebentuk cincin sebagai upah dan tiga ruas buluh kuning sebagai alat untuk mengubat.

Manakala orang tua itu akan membawa ubat-ubatan berupa pil dn cecair yang didakwanya dibeli di luar negeri.

Menurutnya dalam tempoh seminggu Shafie akan pulih seperti sediakala dan boleh menyambung pelajarannya di Jordan.

Seperti yang dijanjikan, cukup tempohnya orang itu pun datang ke rumah pasangan suami isteri tersebut.

Dia datang lepas isyak, kali ini, dia tidak datang sendirian, ditemani dua orang muda yang berpakaian rapi dan memperlihatkan ciri-ciri orang berpelajaran dalam bidang kedoktoran.

Sebaik sampai di rumah pasangan suami isteri tersebut, kedua-dua orang muda itu terus menemui menemui Shafie yang berada dalam kandang buluh di ruang rumah.

Shafie mebiarkan sahaja kedua-dua orang muda itu memeriksa tubuhnya dengan menggunakan alat yang menyerupai 'skrew driver' disamping beberapa wayar yang dilekapkan ke badan Shafie.

Bila urusan pemeriksaan selesai, kedua-dua anak muda itu segera melapurkan pada orang tua yang sedang duduk bersila menghadapi tempat bara. Bau setanggi menguasai seluruh ruang tamu.

Dalam keadaan separuh sedar orang tua berjanggut itu menghulurkan jari hantunya pada ibu shafie agar disarungkan cincin bermata berlian.

Semuanya dilaksanakan oleh si wanita yang kepingin melihat anaknya sembuh.

Bila cincin sudah berada dijari, orang tua menyuruh dua anak muda mengeluarkan Shafie dari kandang buluh.

Kalau tadi Shafie hanya mengikut saja, macam kerbau dicucuk hidung, kali ini keadaan sungguh berbeza. Dia mula melawan dan meronta-ronta.

Sebaik sahaja pintu kandang dibuka, Shafie terus menolak kedua-dua anak muda itu hingga jatuh dalam kandang. Orang tua berjanggut terus membakar kemenyan.

Sebaik sahaja orang tua berjanggut itu membuka mata, dilihatnya Shafie sudah berdiri di depannya.

Dalam keadaan terketar-ketar dia membaca mantera untuk melemahkan Shafie. Segala jenis jembalang dan hantu disebutnya.

Dalam keadaan serba tidak kena itu, orang tua berjanggut terus melucutkan cincin di jari dan diletakkan kembali atas lantai.

Tempat perasap di depannya terus ditendang oleh Shafie. Bara api berterbangan mengenai baju dan pipi orang tua berjanggut.

Kerana terasa sakit dia terus menjerit dan terjun dari rumah. Shafie terus memburunya.

Kedua-dua orang tua Shafie yang terkejut dengan kejadian itu jatuh terduduk dilantai.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 254/284

BACA: SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, March 05, 2026

SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang

SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang

Kerana merasakan suasana tidak sehangat tadi dan keadaan boleh dikawal, Pak Habib segera menggamit datuk supaya datang ke sisinya. Tidak sampai lima saat, datuk sudah tegak di sisi Pak Habib. Kurang seronok rasanya, bila saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat biasa.

SBDJ Siri 253 Anak Kami Di Sihir Orang

"Betul, dia anak kamu berdua?"

Datuk mengambil alih tugas Pak Habib. Sepasang wajah suami isteri tersebut, datuk tenung dalam-dalam. Pasangan suami isteri tidak cemas, malah mereka senyum penuh keyakinan.

"Sebagai seorang Islam, kami tak mahu berbohong, kami boleh berbohong di depan tuan berdua atau sesiapa saja. Tetapi, kami tidak boleh menipu Allah. Kami tidak mahu didakwa di mahkamah Allah kelak," satu penjelasan yang membunuh manik-manik keraguan di kalbu datuk dan juga Pak Habib.

"Sudah takdir," tutur si isteri.

Wajahnya dibalut rasa putus asa, nada suaranya mengutus rasa kecewa yang tiada sempadan. Berhadapan dengan situasi begitu, datuk dan Pak Habib jadi serba salah.

Si isteri pun menggunakan senjata lumrah seorang wanita. Air mata seorang ibu berbenang-benang di pipi. Sedu pun datang mengiring untuk memperlengkapkan derita seorang yang tabah.

"Inilah ujian untuk kami suami isteri, tetapi tidak menduga sampai begitu jauh terpesong," sambung si isteri sambil mengesat air mata.

Manakala suaminya, tidak putus-putus menarik nafas dalam-dalam sambil matanya menatap permukaan bumi.

Lelaki berbadan besar dan tegap menjuihkan sepasang bibir tebal ke depan. Meluat dan menyampah melihat karenah pasangan suami isteri tersebut.

KERAS

Konco-konconya bercakap sesama sendiri. Pada mulanya secara perlahan-lahan, kemudian bertukar kuat dan keras. Matlamatnya untuk mengganggu perbualan sepasang suami isteri itu dengan datuk atau Pak Habib.

Tingkah laku para pengikut lelaki berbadan besar dan tegap itu dianggap oleh datuk dah keterlaluan.

Secara lembut dan rendah diri datuk minta ketua puak terbabit supaya memberi kesempatan pada Pak Habib untuk bertanya. Lelaki berbadan besar dan tegap terus protes.

Bila datuk memperlihatkan sikap keras dan melawan, lelaki berbadan besar dan tegap mula lembut dan memperlihatkan sikap bertolak ansur.

"Maaf saya nak bertanya?"

Datuk terus renung muka pasangan suami isteri itu. Pak Habib membiarkan datuk memainkan peranannya. Dia tidak mahu ganggu.

Sekiranya datuk gagal, barulah dia campur tangan. Apa yang pasti orang berbadan besar dan pengikutnya tetap resah.

"Silakan."

Serentak pasangan suami isteri menjawap. Datuk menarik nafas lega. Pak Habib senyum puas kerana mendapat kerjasama dari pasangan yang terlibat.

Tetapi, puak lelaki badan besar dan tegap ternyata kurang senang berdepan dengan suasana semacam itu. Saya dan Tajuddin tetap berwaspada. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, samada baik atau sebaliknya.

"Siapa namanya?" Datuk bertanya.

"Shafie," jawap si isteri.

"Satu nama yang baik, serupa dengan Imam Shafie."

"Memang hajat di hati biar dia jadi ulama besar," celah si ayah dengan wajah sedikit gusar.

Puak lelaki berbadan besar dan tegap bercakap sama sendiri. Berulang kali mereka menyebut perkataan "Imam Shafie" dan kata "Ulama" dengan kuat dan lantang.

Tidak pula diketahui kenapa kata-kata itu disebut kuat-kuat. Datuk pura-pura batuk.

Perbuatan datuk segera diketawakan oleh puak lelaki berbadan besar dan tegap. Malah beberapa orang dari mereka bersorak ke arah datuk sambil mencarut.

TEKAN

Datuk yang tertekan dengan keadaan tersebut, mula resah semacam. Wajah Pak Habib mula jadi sorotan mata datuk.

Terbukti lelaki berdarah Arab itu memang kurang senang dengan telatah puak lelaki berbadan besar dan tegap.

Kerlingan mata dari Pak Habib untuk datuk menghantar isyarat supaya datuk bersabar dan bertenang.

Berusaha mencari jalan bagi mengatasi masaalah yang dihadapi dengan penuh diplomasi.

Melihat datuk dan Pak Habib tidak memberikan sebarang tindak balas, puak yang diketua lelaki berbadan besar dan tegap, kian gamat bersorak.

Mulut mereka makin lancing menghamburkan maki nesta sesuka hati. Saya mula merasakan bahawa keselamatan diri memang tidak terjamin.

Ketika itu, saya tidak langsung memikirkan tentang diri Tajuddin. Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana mahu melepaskan diri bila nyawa terancam.

Semasa saya mencari ruang untuk mencelah keluar lari dari kawasan tersebut, tanpa disangka-sangka saya terpandang wajah datuk.

Dari mimik wajahnya saya dapat menduga dan membuat kesimpulan dalam kalbunya terbuku rasa sebuah kemarahan yang amat sangat.

Bila-bila saja boleh meledak dan andainya meledak, sukar untuk saya gambarkan apa yang akan terjadi. Perbuatan anak buah lelaki berbadan besar dan tegap, memang membakar perasaan datuk.

"Syukur."

Itu yang terhambur dari mulut saya, bila melihat menegakkan jari hantunya ke arah Pak Habib. Dalam erti kata lain datuk akan melaksanakan pesan Pak Habib dengan sebaik mungkin.

"Biar saya bertanya dulu, kita mencari sesuatu yang baik. Perkara yang keruh kita jernihkan. Apa yang meragukan kita cari jalan penyelesaian," suara datuk bergetar keras.

Kata-kata itu datuk tujukan kepada lelaki berbadan besar dan tegap. Malangnya tidak mendapat tindak balas yang baik.

Tetapi lain pula reaksi yang diperlihatkan oleh pasangan suami isteri. Mereka setuju dengan apa yang datuk ungkapkan. Buktinya mereka anggukkan kepala.

"Setuju dengan saya?" Tanya Datuk.

"Setuju," jawap si isteri penuh yakin.

"Ah..." suara lelaki berbadan besar dan tegap menguasai keadaan sekitar.

Anak buahnya terus bertindak biadap. Beberapa orang dari mereka menerpa ke arah datuk sambil melompat dengan menghulurkan kaki ke arah muka datuk.

"Jawap."

Lantang sekali suara Pak Habib yang ditujukan untuk datuk.

Tanpa membalas kata-kata Pak Habib dengan pantas sekali datuk merentap batang kayu yang dipegang oleh salah seorang daripada anak buah lelaki berbadan besar dan tegap.

Suasana yang hiruk pikuk menjadi sepi. Semuanya terdiam kaku macam kena pukau.

Dalam suasan sunyi itu, datuk terus lambungkan batang kayu ke udara setinggi lima tingkat bangunan.

Semasa kayu itu berada di awang-awangan terdengar letupan, macam bunyi mercun. Saat batang kayu itu jatuh menjunam, datuk hulurkan tangan kirinya.

Bila batang kayu menghempap lengan kirinya terdengar bunyi 'kruummppp' yang amat kuat.

HANCUR

Semua yang berada di situ memalingkan muka ke arah lain. Pada hemat mereka lengan kiri datuk hancur patah sembilan dihempap batang kayu.

Mungkin juga datuk jatuh tersembam, menggelupur di bumi, macam ikan keli yang kepalanya kena hentak dengan batu besar. Bila bunyi krummmppp berakhir, mereka tidak mendengar jeritan atau keluhan dari datuk. Suasana terasa cukup sepi sekali.

Puak lelaki berbadan besar dan tegap menduga datuk sudah menemui ajalnya. Begitu juga dengan puak sepasang suami isteri. Perlahan-lahan mereka mengalihkan pandangan kea rah tempat datuk berdiri. Perlahan-lahan mereka membuka kelopak mata.

"Waaaaaahhhhhh."

Semuanya terkejut. Tidak percaya dengan apa yang mereka lihat. Datuk tidak mengalami sebarang kecederaan. Lengannya tidak patah, tidak luka.

Batang kayu hancur dan serpihannya bertaburan. Sepasang suami isteri dan pengikutnya mengucap panjang.

Lelaki berbadan besar dan tegap terpegun seketika macam patung batu.

Beberapa detik selanjutnya dia bertindak pantas macam kilat. Dia merejamkan kayu di tangan ke arah datuk. Barangkali dia mahu menguji kebolehan dan ketangkasan datuk bertindak.

Bagaikan harimau menerkam kambing dara, datuk menyambar kayu yang menjunam ke arah dadanya.

Kayu dibaling ke arah rumpun pisang yang berdekatan, menembusi batang pisang dan terus melekat disitu.

"Kalau awak semua mahu main kasar, saya juga boleh main kasar," nada suara datuk penuh dengan rasa amarah yang tinggi.

Muka yang tenang dan selamba segera bertukar garang serta geram. Bersedia untuk bertindak balas terhadap lelaki berbadan besar dan tegap.

"Ehhheeemmmmm... sahabatku. Allah suka pada orang yang sabar. Tidak bertindak mengikut perasaan," lembut suara Pak Habib menyentuh gegendang telinga datuk.

Secara sepontan Pak Habib mengingatkan datuk, bahawa kata-kata yang baru diucapkannya itu, ada unsur-unsur riak dan takbur.

Menyedari keterlanjurannya itu, datuk segera beristighfar beberapa kali. Seterusnya diam, tidak melakukan sesuatu.

Datuk pun berusaha menurunkan perasaan marahnya ke tahap paling normal.

"Maafkan saya," pekik datuk ke arah lelaki berbadan besar dan tegap.

Tiada reaksi yang memberangsangkan diterima oleh datuk.

"Maafkan," ulang datuk lagi.

Reaksinya tetap sama macam tadi juga. Tidak menerima maaf dari datuk.

Datuk tidak merasa tergugat dengan keadaan tersebut. Begitu juga dengan Pak Habib. Tetapi, saya tetap berdebar.

Satu keputusan yang drastik datuk lakukan. Dia seolah-olah melupakan kehadiran puak lelaki berbadan besar dan tegap.

Datuk tumpukan perhatian ke arah pasangan suami isteri. Begitu juga dengan Pak Habib. Pasangan suami isteri itu lebih jujur dan ikhlas.

Dari gerak geri, raut wajahnya dan gerak mata, ternyata pasangan suami isteri itu dihempap rasa takut dan cemas yang tidak bertepi, semangat mereka bagaikan lari jauh. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Datuk segera melakukan sesuatu supaya semangat pasangan suami isteri kembali pilih. Boleh bertindak dan boleh berfikir. Saya lihat kelopak bibir datuk bergerak.

Saya yakin datuk sedang membaca beberapa potong ayat dari al-Quran untuk membasmi sihir dan kuasa syaitan. Muka pasangan suami isteri datuk hembus.

Memang ada perubahan rasa cemas dan takut di wajah pasangan suami isteri itu tidak ketara sangat.

Wajah mereka yang pucat, mula kelihatan merah. Sinar mata yang tadi nampak layu kelihatan bercahaya.

SEMANGAT

Disaat pasangan suami isteri itu mendapat semangat baru, puak yang diketuai oleh lelaki berbadan besar dan tegap sedikit demi sedikit bergerak arah ke selatan.

Mereka berusaha menjauhkan diri dari datuk, Pak Habib dan pasangan suami isteri.

Bila sampai dekat seketul batu besar mereka berhenti seketika di situ sambil berbincang sama sendiri.

Kemudian mereka bergerak lagi, kali ini kumpulan itu menuju ke arah lelaki berambut panjang yang terlentang di tanah. Mereka usung lelaki itu dekat pintu surau.

Memang ada percubaan untuk membawa lelaki yang diusung ke dalam surau. Tetapi, lelaki berbadan besar dan tegap menghalang.

"Pedulikan mereka."

Datuk renung muka sepasang suami isteri.

"Betul kata awak, kalau mereka dah sesat, kenapa kita mesti ikut sesat," Si suami mula berani bercakap.

"Pendapat yang tepat, ceritakan secara terperinci. Kalau boleh kami tolong, kami sedia membantu," cukup teratur dan tenang datuk bersuara.

"Percayalah, kami bukan dari golongan mereka. Mami bersedia menolong kamu semua, asalkan kamu berterus terang," secara mengejut sekali Pak Habib melibatkan diri.

Menanam rasa yakin terhadap pasangan suami isteri dan kumpulannya.

"Berterus teranglah," desak datuk.

Berputik dari kata-kata Pak Habib dan datuk membuat si isteri lebih pantas menguasai suasana.

Mulutnya lebih ligat melontarkan kata. Agak berbeza dengan suaminya yang agak pemalu menyingkap rahsia keluarga.

Mungkin kisah keluarga dianggapnya sebagai rahsia peribadi yang tidak boleh dilontarkan pada sebarang orang.

"Berterus terang saja pada kami, terangkan siapakah puak yangmendewa-dewakan anak kamu?" Pak Habib mendesak yang secara tidak langsung mengambil alih tugas datuk.

Barangkali Pak Habib berpendapat ini lebih berkesan dan cepat dari mengharapkan datuk seorang saja.

"Kami mahu dia jadi orang alim, kerana itu sebaik saja dia tamat sekolah rendah kami hantar dia masuk pesantren di Surabaya," si isteri mula membuka rahsia.

"Sampai tamat menuntut?" Pak Habib bertanya.

Tanpa diduga si suami memberikan aksi positif dengan menganggukkan kepala.

"Kemudian apa tindakan kamu selanjutnya," datang lagi pertanyaan dari Pak Habib. Tiada jawapan yang diterima.

"Kamu tak berusaha menambahkan ilmunya lagi?" dauk mencelah.

"Bila dah tamat pengajian dia balik ke kampoung," kelancaran dan kepetahan si isteri bercakap bagaikan terganggu. Perkataan yang diucapkannya keluar satu-satu.

KEGAGALAN

Akhirnya dia berhenti di situ. Suaminya minta dia menyambung cerita yang terputus. Usaha si suami menemui kegagalan.

Kerana menyedari isterinya mengalami tekanan perasaan yang cukup hebat, si suami minta bantuan beberapa orang wanita (dari puak pasangan suami isteri tersebut)supaya membawa isterinya ke satu sudut untuk diberikan rawatan ringkas.

Wanita malang itu dibawa ke bawah pokok mempelam lalu didudukkan di situ. Badan, kepalanya dipicit dan diberikan minuman.

Si suami yang pemalu dan perahsia diminta oleh datuk dan Pak Habib menyambung kisah yang terputus. Pujukan pertama gagal, kedua juga gagal, begitu juga dengan pujukan ketiga dan keempat.

"Kalau kamu macam ini, masih merahsiakan, kami tidak boleh membantu kamu dan anak kamu.

"Jika keadaan ini tidak diselamatkan hidup anak kamu binasa dan makin banyak orang yang rosak dan sesat kerananya," Pak Habib berterus terang.

"Fikirkanlah baik-baik, sebelum kami buat keputusan," kata datuk.

"Fikirkanlah dengan tenang," ulang Pak Habib.

Setelah termenung panjang lebih dari lima minit, akhirnya si suami yang pemalu dan perahsia menyahut kata-kata datuk dan Pak Habib.

"Semasa di kampong dia mengajar agama sukarela, saya dan isteri sudah mengumpulkan wang untuk menghantar dia belajar di Madinah.

"Dia dipelawa mengajar di sebuah pesantren. Jadi kami fikir, sementara menanti panggilan belajar di luar negeri apa salahnya dia jadi ustaz sementara. Dapat juga duit," dengan tulus si suami bercerita.

"Kesudahannya dapat anak kamu ke Madinah?" ternyata datuk kurang sabar.

"Dapat, dia diterima belajar di Univesiti Madinah. Malangnya atau memang sudah takdir nasib kami berdua," kata-katanya tidak dapat diteruskan.

Nafasnya secara mendadak turun naik dengan cepat sekali. Tercungap-cungap.

"Kenapa?" datuk bertanya cemas.

"Beri saya rehat sekejap," pintanya.

Pak Habib dan Datuk mengizinkan.

Lama juga si suami itu berehat. Bila perasaannya kermbali tenang, tanpa didesak dia terus bercerita.

"Lebih kurang dua minggu lagi mahu ke Madinah, masa itu semua keperluannya sudah sedia, tiba-tiba saja anak kami jatuh sakit ketika mengajar.

"Kerana dalam masa sihat jatuh sakit, macam-macam cerita kurang manis dikaitkan dengan anak kami. Kononnya anak kami dibuat orang (sihir) kerana dengki.

"Anak kami dikatakan diberi perhatian yang lebih oleh pengetua pesantren.

"Dijadikan anak emas berbanding dengan ustaz-uztaz dan ustazah yang lebih lama mengajar di situ," si suami malang berhenti bercerita.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 253/284

BACA: SBDJ Siri 252: Pak Guru Masuk Parit
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com