Tuesday, December 05, 2017

Apakah Sebenarnya Meteor?

Loading...

Meteor atau tahi bintang adalah cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba.

Apakah Sebenarnya Meteor

Meteor merupakan habuk dan debu (selalunya sebesar pasir) yang terbakar apabila ia memasuki atmosfera bumi kita.

Apa beza meteor dan meteoroid?

Meteor ialah lintasan cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Meteroid ialah nama yang diberikan kepada debu dan habuk, yang telah terbakar tadi ketika ia memasuki atmosfera bumi.

Apa pula meteorit?

Meteorit ialah saki baki habuk dan debu meteoroid tadi, yang tidak sempat hancur di udara, lalu jatuh ke permukaan bumi.

Maksudnya, jika kita boleh jumpa dan pegang ‘ketulan’ debu dan habuk tadi, kita panggilnya sebagai meteorit.

Apa itu komet?

Komet merupakan sebuah jasad yang terdiri daripada batu, debu dan ais manakala kebanyakan meteoroid berasal daripada serpihan komet.

Komet mempunyai orbitnya sendiri mengelilingi matahari seperti planet-planet namun bentuk orbitnya elips.

Titik paling hampir dengan matahari boleh berada lebih dekat daripada orbit Utarid, manakala titik paling jauh boleh mencecah ratusan kali ganda daripada orbit Pluto.

Disebabkan perbezaan jarak yang amat ekstrem ini, komet akan mengalami perubahan yang amat drastik.

Pada ketika ia bergerak menghampiri matahari, permukaannya menjadi semakin panas dan sebahagian daripada jasadnya akan hancur dalam bentuk debu-debu halus dan terpisah ke angkasa lepas.

Debu-debu yang terpisah ini akan tertinggal dibelakang laluan komet tersebut, seolah-olah membentuk sebuah laluan yang penuh dengan habuk dan debu.

Laluan debu-debu ini bersimpang-siur di angkasa lepas, bergantung kepada laluan komet-komet tersebut.

Walaupun begitu, ada juga diantara laluan debu komet ini akan melintasi bumi dan apabila bumi memasuki laluan komet, debu dan habuk akan masuk ke dalam bumi.

Ketika debu dan habuk komet memasuki atmosfera, ia akan menghasilkan tenaga dan haba yang amat panas lalu terbakar dan hancur.

Ketika terbakar, cahayanya akan kelihatan melintasi langit dengan kepantasan yang sangat laju dan itulah yang kita sebut sebagai meteor.

Kedudukan laluan habuk dan debu komet tidak banyak berubah setiap tahun yang mana bumi akan bergerak masuk dan berlanggar pada tarikh yang sama setiap tahun.

Itulah sebabnya jika kita merujuk kepada kalendar fenomena astronomi tahunan, sebagai contoh Almanak Astronomi di laman web Falakonline, sudah ada tertera nama-nama meteor yang akan muncul pada tarikh-tarikh tertentu.

Secara amnya, dalam musim juraian meteor yang banyak ini, ia akan kelihatan muncul dari kawasan buruj tertentu di langit. Itulah sebabnya nama juraian meteor ini agak mirip dengan nama buruj.

Sebagai contoh;
  • Orionids: Meteor yang munul dari kawasan buruj Orion.
  • Perseids: Meteor yang muncul dari kawasan buruj Perseus.
  • Leonids: Meteor yang muncul dari kawasan buruj Leo.
  • Geminids: Meteor yang muncul dari kawasan buruj Gemini.

Namun, ada juga nama juraian meteor yang agak pelik dan tidak mengikut pola susunan nama seperti diatas.

Contohnya:
  • Eta Aquarids: Meteor yang muncul dari kawasan berhampiran bintang Eta Aquarids dalam buruj Aquarius.
  • Quadrantid: Meteor yang muncul dari kawasan buruj Quadrantid, sebuah buruj yang sudah pupus dan tidak wujud dalam peta bintang moden. Dilangit ia kelihatan muncul dari kawasan buruj bernama Bootes.

Titik atau kawasan dimana meteor ini kelihatan muncul juga dikenali sebagai Radiant iaitu titik atau poin di langit, di mana meteor-meteor ini ‘kelihatan’ mula muncul.

Di manakah meteor ini akan muncul?

Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja di langit. Adalah sukar untuk mengagak bila dan di mana ia akan muncul.

Kita hanya digalakkan untuk tumpukan ke satu kawasan langit sahaja ketika mencerap meteor.

Tak perlu kelam kabut tengok kiri kanan atas bawah, memang tak jumpa!

Berapa banyak meteor yang boleh dilihat?

Jumlah meteor yang dilihat bergantung kepada faktor-faktor berikut:
  • Musim juraian meteor yang dilihat ketika itu. Contohnya juraian meteor Perseids akan menghasilkan kadar meteor 100 meteor sejam, berbanding juraian meteor Orionids yang hanya menghasilkan 20 meteor sejam.
  • Lokasi kita mencerap meteor – dari kawasan gelap kebarangkalian untuk melihat meteor yang banyak, adalah lebih baik berbanding cerapan dari kawasan yang banyak lampu.

Cara terbaik melihat meteor

Cara terbaik (malah satu-satunya cara) untuk melihat meteor ialah dengan menggunakan mata kasar. Anda hanya perlu baring dan pandang ke kawasan langit.

Disarankan fokus kepada satu kawasan langit sahaja.

Adalah lebih baik halakan ke mana-mana kawasan langit yang paling gelap, tak kisahlah sama ada dekat dengan radiant, mahupun berlawan arah jauh daripada titik radiant.

Yang penting, kawasan langit di situ mesti segelap yang mungkin dan jauh daripada silauan cahaya.

Sebarang gangguan cahaya akan menyebabkan meteor-meteor itu susah untuk dilihat dengan mata.

Jika cuaca berjerebu dan berawan?

Meteor-meteor tidak akan dapat dilihat jika langit berawan tebal, berjerebu ataupun hujan!

Bilakah waktu paling sesuai untuk mencerap meteor?

Disebabkan kombinasi laluan orbit Bumi ketika ia menghentam habuk dan debu di angkasa, serta pusingan paksi bumi dari barat ke timur, maka waktu paling sesuai untuk mencerap meteor adalah SELEPAS TENGAH MALAM hinggalah ke SUBUH.

Perlukah membeli teleskop atau binokular untuk melihat meteor?

Tak perlu. Meteor hanya boleh dan sesuai dilihat dengan mata kasar sahaja.

Jika hendak ambil gambar, apakah lens yang paling sesuai?

Disebabkan meteor-meteor ini muncul merata di seluruh langit, seeloknya gunalah lens wide-angle dan juga fish-eye, kerana kita cuba merakam sebanyak mungkin kawasan langit dalam satu-satu waktu.

Kit lens yang datang dengan DSLR tidak begitu sesuai, kerana medan penglihatannya terhad.

Ingat! Meteor ini muncul di mana-mana. Maka kita perlu merakam langit seluas yang mungkin.

Apakah tetapan (settings) paling sesuai untuk kamera?

Gunalah waktu dedahan yang paling lama, sebagai contoh 30 saat. Kemudian gunalah ISO yang paling tinggi tetapi tidak menghasilkan terlampau banyak hingar (noise) di dalam imej yag dirakam.

Bab ISO ini bergantung kepada jenis model kamera yang digunakan. Contohnya kamera Canon 1200D menggunakan ISO=1600 akan menghasilkan lebih banyak hingar berbanding Canon 5DMkii pada ISO yang sama.

Setelah mendapat tetapan waktu dedahan dan ISO yang paling sesuai, disarankan untuk merakamnya sebanyak yang mungkin, selagi cukup kapasiti memory card dan juga bateri masih berkuasa.

Kalau boleh, belilah intervalometer, alat yang membolehkan kita melakukan tetapan kamera dan mengulang-ulang rakamannya secara automatik.

Camera phone boleh ambil gambar meteor?

Hmmm. Dalam mimpi boleh la kot.

Meteor ini muncul secara tiba-tiba dan hilang juga secara tiba-tiba. [Falakonline]

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

menarik tentang beberapa pelajaran sains..terbaik SP

Kalau la ada peluang nampak mesti amazing kan cikgu etuza :)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon