Monday, February 17, 2020

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Ketika ini, satu lagi cabaran baharu yang sedang popular di seluruh dunia sedang hangat diperkatakan, bukan kerana keseronokan mencuba 'tripping jump challenge', sebaliknya kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya Tripping Jump Challenge

Dalam cabaran tripping jump challenge ini, kesudahan aksi boleh meragut nyawa mereka yang mencubanya.

Jadi, apa sebenarnya tripping jump challenge ini sehingga dianggap berbahaya kerana boleh mendatangkan kecederaan serius?

Menerusi perkongsian video di laman sosial, kelihatan tiga orang berdiri sederet akan melompat tinggi serentak, kemudian dua orang rakan yang berada di kiri dan kanan, akan menyepak kaki rakan mereka yang berada ditengah-tengah.

Sepakan dua rakan itu pada bahagian belakang buku lali akan menyebabkan dia terjatuh lantas kepala terhentak di lantai.

Dalam pelbagai versi cabaran yang dilakukan, individu yang berdiri di tengah itu mungkin sudah mengetahui bahawa dia perlu mengelak sepakan rakan di sebelahnya.

Ada juga versi 'prank' di mana individu di bahagian tengah tidak tahu niat rakan untuk menyepak kakinya.

Lebih malang, ada yang turut berkongsi pengalaman di mana kepalanya terjatuh ke lantai konkrit di sebuah taman permainan.

Berdasarkan pengamatan melalui video-video yang sedang tular di media sosial, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang melakukan cabaran itu.

Risiko paling ketara, ia boleh menyebabkan hentakan di bahagian kepala dan sekali gus boleh menyebabkan kecederaan serius kepada otak.

Jika terkena impak yang besar, ia boleh menyebabkan kematian otak atau 'brain dead' kerana jika dilihat video cabaran itu, individu akan terjatuh secara mengejut.

Selain itu, bahagian tengkuk juga boleh tercedera yang akan menyebabkan kecederaan pada tulang serviks yang boleh menyebabkan, bukan sahaja maut malah lumpuh seperti strok.

Risiko lain, ia boleh menyebabkan kecederaan belakang yang kronik, cedera pada otot, serta kecederaan pada organ dalaman.

Ibu bapa dan guru sekolah diingatkan agar memantau aktiviti ini dan mereka perlu mengambil perkara yang perlu untuk menghalangnya dari dilakukan.

Ini kerana, tripping jump challenge boleh menyebabkan kecacatan kekal, yang akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan.

Kepada ibu bapa dan guru-guru di sekolah, sila awasi anak-anak anda supaya tidak tidak terjebak dengan cabaran viral ini.

Perlu diingatkan bahawa, kesan aktiviti tripping jump challenge boleh menyusahkan ramai pihak dan mereka perlulah berfikir seribu kali sebelum memilih untuk melakukannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Sebuah video rakaman objek tidak dikenali (UFO) yang meluncur seakan-akan bebola api yang sangat besar dipercayai di langit Johor Bahru, berjaya dirakam menerusi dashboard cam sebuah kenderaan dilihat melintasi langit negeri itu.

Cahaya misteri Johor Bahru

Objek UFO berbentuk bebola api tersebut dilihat bergerak laju sebelum meletup dan hilang sekelip mata.

Video berdurasi selama 13 saat dirakam pada jam 5 pagi pada Rabu (12/2/2020), kemudian dimuat naik di Facebook All Singapura Stuff sebelum tular di laman sosial.

Ada netizen mendakwa mereka juga melihat objek misteri yang mengeluarkan cahaya itu kira-kira jam 5 pagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 12, 2020

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Percaya atau tidak, seekor anjing peliharaan telah menyelamatkan pemiliknya daripada berkunjung ke bandar Wuhan yang merupakan pusat tercetusnya wabak maut, novel koronavirus (2019 n-CoV). Pastinya tertimbul persoalan, bagaimana anjing peliharaan yang diberikan nama Kimi itu berbuat demikian?

Kimi Dog

Kimi dikatakan telah mengoyakkan pasport pemiliknya, seorang wanita yang berasal dari Taiwan.

Pada awalnya, wanita tersebut berasa sungguh marah kerana anjingnya bertindak menggigit dan mengoyakkan pasportnya sehingga menyebabkannya terpaksa membatalkan hasratnya melawat bandar di Hubei itu.

Beliau meluahkan perasannya menerusi satu entri di laman Facebook pada 13 Januari 2020 yang lalu, ia sebelum menularnya berita mengenai wabak koronovirus itu.

Beberapa hari kemudian, wanita tersebut terkejut dengan berita penyebaran wabak koronavirus yang telah meragut ratusan nyawa dan berasa bersyukur dengan perbuatan Kimi.

"Masihkah anda ingat akan pasport saya? Anjing telah melindungi saya.

"Selepas mengoyakkan pasport, virus tersebut telah merebak ke tempat yang saya ingin pergi.

"Apabila difikir kembali, saya berasa sungguh terharu. Nasib baik anjing saya membatalkan kunjungan saya ke situ," katanya menerusi satu muat naik di Facebook.

Pastinya wanita tersebut berasa terhutang nyawa dengan anjing kesayangannya itu.

Ribuan Kucing di Wuhan Diancam Kebuluran

Kimi Dog

Sementara itu, sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan wabak koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan terabai, kelaparan dan trauma.

Terpanggil dengan situasi yang menyayat hati ini, beberapa kumpulan pencinta haiwan tampil menghulurkan bantuan.

Seorang doktor haiwan yang bekerja di Wuhan memberitahu kumpulannya telah berjaya menyelamatkan lebih 2,000 haiwan peliharaan di situ sejak 23 Januari 2020 lalu.

"Haiwan-haiwan peliharaan itu ditemui di rumah tanpa sebarang makanan dan minuman.

"Pemilik haiwan berkenaan meninggalkan rumah mereka dan tidak menyangka mereka tidak boleh pulang.

"Situasi itu menyebabkan haiwan peliharaan mereka mati akibat kebuluran dan dahaga," katanya.

Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan pula telah mengambil permintaan bagi membantu haiwan peliharaan yang terperangkap selama dua hari selepas sekatan tersebut dikuat kuasa.

Presiden persatuan, Du Fan berkata seramai 60 sukarelawan telah menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan dari lebih 500 kediaman.

"Sebenarnya, ada beberapa tragedi yang berlaku terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini seperti mati sebelum kami tiba," katanya.

Menurutnya, dengan kira-kira 300,000 hingga 600,000 penduduk di Wuhan mempunyai haiwan peliharaan, agak sukar untuk mereka memenuhi permintaan yang memuncak.

"Kebanyakan yang minta bantuan kami adalah golongan migran yang bekerja di Wuhan dan tinggal di kejiranan kecil di sini.

"Mereka tidak mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di Wuhan untuk membantu menguruskan haiwan peliharaan masing-masing," katanya lagi.

Dalam pada itu, terdapat beberapa sukarelawan menempatkan haiwan-haiwan peliharaan yang diselamatkan di rumah mereka dan ada juga yang mengekalkan di rumah pemilik.

Kimi Dog

Bagi haiwan yang disimpan di rumah asal, para sukarelawan akan datang secara berkala untuk memberi makanan dan minuman.

Menurut doktor haiwan di Wuhan Pet Life Online, kebanyakan haiwan peliharaan kelihatan trauma dan takut kepada manusia ketika mereka cuba menyelamatkan manakala keadaan rumah sangat bersepah.

"Terdapat lebih 100 ekor haiwan peliharaan di rumah saya sekarang. Untuk makluman, ada beberapa rumah yang menggunakan kata laluan dan ada juga yang menggunakan kunci biasa.

"Bagi kes kecemasan, kami terpaksa masuk ke rumah dengan memecahkan pintu depan atau memanjat tingkap," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Thursday, January 30, 2020

Senarai Harga 5 Jenis Topeng Muka (Barangan Terkawal) Di Malaysia

Senarai Harga 5 Jenis Topeng Muka (Barangan Terkawal) Di Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng muka susulan penularan 2019 Novel Koronavirus.

Harga Topeng Muka

Sebagai peringatan kepada peniaga, topeng muka adalah barang harga terkawal dan harga maksimum telah ditetapkan untuk lima jenis topeng muka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Harga Topeng Muka:
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) harga borong pada RM5 sekotak, manakala harga runcit RM7 sekotak.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan (gelung telinga), harga borong RM8 sekotak manakala harga runcit RM10 sekotak dan RM0.20 sen seunit.
  • Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) pula, harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala), harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) N95, harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6.00 seunit.

Hukuman

Sebarang pelanggaran di bawah peruntukan akta tersebut bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi kesalahan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Perlu diingatkan juga, bagi topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimum seperti di atas, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah).

KPDNKK akan terus melaksanakan pemantauan dengan mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

Pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka dinasihatkan agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

DENDA USD$590,000!

Sementara itu, sebuah farmasi di Beijing, China, didenda sebanyak tiga juta yuan (AS$590,000) kerana menaikkan harga topeng muka sebanyak enam kali ganda berbanding harga atas talian.

Menurut laporan Reuters, pihak berkuasa pasaran Beijing telah mengeluarkan notis penalti pentadbiran kepada Farmasi Jimin Kangtai kerana menaikkan harga topeng muka N95 di kedainya.

Farmasi itu menaikkan harga topeng N95 jenama 3M kepada 850 yuan bagi setiap kotak, menurut stesen televisyen tempatan yang dipetik Reuters.

Sebagai perbandingan, topeng sama dijual di atas talian pada harga 143 yuan sekotak.

Di Shanghai pula, pihak berkuasa pasaran kota itu telah mengarahkan sebuah farmasi ditutup kerana menjual topeng yang tidak mencapai piawaian.

Farmasi itu juga diarahkan untuk memulangkan semula wang kepada mereka yang telah membelinya, selain melupuskan topeng yang belum dijual, kata pihak berkuasa itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, September 11, 2019

Gula-gula White Rabbit Tiada Halal JAKIM, Brunei Isytihar Haram

Gula-gula White Rabbit Tiada Halal JAKIM, Brunei Isytihar Haram

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat ini, tidak pernah menerima sebarang permohonan sijil halal terhadap gula-gula susu 'White Rabbit' yang diimport dari China dan sememangnya popular dikalangan kanak-kanak sejak tahun 90an lagi.

Gula-gula White Rabbit Haram
Gula-gula White Rabbit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pengimport gula-gula White Rabbit itu seharusnya membuat permohonan tersebut, yang akhirnya dapat menghentikan polemik berhubung status halal gula-gula berkenaan.

Pihak Jakim turut diminta untuk membuat siasatan dan ujian makmal terhadap gula-gula White Rabbit itu bagi menentukan status halalnya, kerana telah lama diperkatakan dalam media sosial, menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan dilema dan tidak pasti.

Status halal gula-gula White Rabbit yang popular di China, sering menjadi perdebatan dan dipersoalkan di laman sosial, terutamanya selepas jabatan agama sebuah negara jiran, mengesahkan ia sebagai tidak halal kerana salah satu bahan yang digunakan.

Pada perkembangan lain, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menafikan khabar angin bahawa Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, akan diletakkan di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Mengandungi Protein Babi

Aiskrim White Rabbit Haram
Aiskrim White Rabbit.

White Rabbit menjadi gula-gula paling popular di Asia Tenggara apabila kenaikan popularitinya yang disebabkan oleh trend ais krim yang dibekalkan mereka di Malaysia dan Brunei.

Namun, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei (MoRA) telah mengesahkan gula-gula susu White Rabbit merupakan salah satu produk yang tidak halal selepas laporan ujian makmal mendapati terdapat kandungan protein khinzir dalam ramuannya.

Berikutan pengumuman berkenaan, beberapa pembuat ais krim di Brunei seperti Project Ice Cream dan Rumah Gelato berkata mereka akan menghentikan pengeluaran ais krim berperisa White Rabbit di cawangan-cawangan mereka.

Pihak mereka juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membersihkan peralatan dan kemudahan dengan betul untuk mengembalikan keyakinan pelanggan mereka.

MoRa juga mengingatkan dan memberi amaran kepada para pedagang berlesen bahawa label makanan palsu dan mengelirukan adalah kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam (Makanan) dan pesalah boleh didenda dan/atau dipenjarakan sehingga lima tahun.

Pada tahun 2008 lalu, jenama White Rabbit Creamy Candy telah diarahkan untuk ditarik kembali dari pasaran Malaysia dan telah dimusnahkan setelah pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan produk China itu mengandungi 135 bahagian daripada setiap satu juta (ppm) melamin berbanding had standard 2.5ppm.

Pihak Singapura turut mengambil tindakan serupa sebelum itu kerana sebab yang sama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, September 04, 2019

Komando Elit Terkorban Semasa Demonstrasi, Anak Sulung AR Badul

Komando Elit Terkorban Semasa Demonstrasi, Anak Sulung AR Badul

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir sewaktu melakukan Latihan Demonstrasi Keupayaan tentera darat di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, yang telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos 2019 yang lalu.

Mejar Mohd Zahir AR Badul

Berita itu turut disahkan isterinya iaitu Nour Shafinar Harun, 31, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat terkena tembakan raifal.

"Saya dimaklumkan tentang berita itu pada pukul 9 pagi tadi dan suami sempat penghantar mesej berkata bahawa itu pertunjukkan terakhirnya.

"Saya juga diberitahu tembakan itu tersasar sedikit lalu melepasi baju kalis peluru yang dipakai mangsa," jelasnya.

Malangnya, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

Allahyarham merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang, Melaka.

Allahyarham merupakan bapa kepada lima anak berusia antara 9 tahun hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur.

Dilaporkan bahawa, ketika kejadian, mangsa memakai berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak oleh anggota tentera di majlis bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Allahyarham dikatakan melepaskan tembakan kepada rakannya dalam demonstrasi itu dan ia terkena pada baju kalis peluru yang dipakai pegawai tersebut.

Bagaimanapun, ketika tembakan balas dilepaskan, ia dikatakan tersasar dan terkena di belakang badan Allahyarham.

Mangsa dilaporkan rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan.

Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri sebelum topengnya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Allahyarham yang juga anak kepada seniman veteran tanah air, AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada jam 9.20 pagi.

YAKIN WUJUD KELALAIAN

Mejar Mohd Zahir AR Badul Maut

Pelakon dan pelawak legenda, A.R Badul reda tetapi kecewa dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mejar Mohd. Zahir Armaya yang maut akibat terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah.

Menurut A.R Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 69, berkata, dia yakin wujud kelalaian sepanjang latihan sehingga mengakibatkan anaknya maut dalam kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan melulu membuat kesimpulan sebaliknya menanti maklumat penuh daripada pihak berkaitan.

"Saya sedih sebab saya merasakan kejadian ini berlaku akibat kelalaian. Mengenai tanggungjawab seorang askar kepada negara, saya faham.

"Mereka sering jatuh, patah dan cedera. Sekiranya meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara atau meleraikan penunjuk perasaan saya boleh terima," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan jenazah, pelakon filem Prebet Lapok itu berkata, urusan jenazah diuruskan sepenuhnya oleh pihak tentera.

Jenazah mungkin akan dikebumikan sama ada di Kuala Lumpur atau di Perak iaitu kampung halaman isterinya, katanya.

Al-Fatihah buat Allahyarham.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 14, 2019

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Kehilangan Nora Anne
Nora Anne.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5km dari resort beliau dilapor hilang, dalam kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar, antaranya pakar penjejak yang terdiri daripada anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan, turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

KRONOLOGI KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN

3 Ogos 2019

Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019

Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019

Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019

Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

5 Ogos 2019

Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019

Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019

Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019

Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019

Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019

Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019

Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019

Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019

Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

11 Ogos 2019

Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019

Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam)

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

Apa sebenarnya yang terjadi? Nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, August 05, 2019

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Kes tular seorang wanita yang mendakwa kenalannya mencabut kondom tanpa pengetahuannya ketika mengadakan hubungan seks perlu disiasat oleh polis, kata peguamnya, Serene Lim, selain kes itu tidak seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Cabut Kondom
Gambar hiasan.

Dia berkata, walaupun Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan berkenaan kes rogol tidak menyatakan takrifan tepat berkenaan perbuatan stealthing, iaitu tindakan seorang lelaki yang mencabut kondom tanpa pengetahuan pasangan ketika hubungan seks, walaupun tahu pasangan hanya bersetuju dengan pemakaian kondom.

"Jika anda lihat Kanun Keseksaan (seksyen itu), ada disebut tentang salah tanggapan. Anda memberi tanggapan salah dengan berkata anda akan berbuat perkara tertentu, untuk mendapatkan persetujuan.

"Jadi, pada satu sisi ia bukan persetujuan yang sebenarnya kerana persetujuan itu diberi berdasarkan salah tanggapan. Maka sebab itu di beberapa negara ia dianggap sebagai rogol," katanya.

Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan menyebut rogol boleh berlaku "dengan kerelaan perempuan itu, manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut".

Di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Jerman, ada perbincangan untuk memberi takrifan lebih jelas tentang "persetujuan" dalam isu serangan seksual dan rogol, termasuklah persetujuan bersyarat dan persetujuan afirmatif.

Persetujuan bersyarat diberi spesifik untuk perlakuan seksual tertentu, sementara persetujuan afirmatif ditakrifkan sebagai mendapat persetujuan secara jelas (eksplisit) berbanding hanya membuat jangkaan.

"Dalam kes ini, kami belum (membincangkan takrifan 'persetujuan'). Tetapi ia tak boleh menghalang kita daripada mengambil takrifannya (daripada tempat atau pihak lain)," katanya, sambil menambah perkara itu masih kurang dilaporkan di Malaysia.

Kes tersebut tular selepas salinan laporan polis oleh mangsa terhadap seorang warga asing, yang dibuat di balai polis Kajang, bocor dan tersebar di internet.

Ketua Polis Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu dirujuk kepada Jais.

Oleh kerana laporan yang bocor itu tidak menutup alamat rumah dan nombor telefon mangsa, Lim berkata anak guamnya telah menjadi sasaran kecaman di internet, selain diganggu menerusi panggilan telefon dan pesanan teks.

"Gangguan yang diterima di telefonnya sangat banyak, pada masa ini dia pasti sudah terima ratusan (panggilan dan pesanan)," katanya, menggesa orang ramai agar berhenti berkongsi laporan polis itu di media sosial.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, July 16, 2019

Benarkah Rihana Oksana Dicerai Talak Tiga?

Benarkah Rihana Oksana Dicerai Talak Tiga?

Sekeping sijil perceraian yang sedang tular menunjukkan wanita Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko, 26, sah diceraikan talak tiga, dipercayai didaftarkan 1 Julai 2019 lalu selepas proses perceraian bertarikh 22 Jun di Singapura.

Rihana Oksana cerai talak tiga
Rihana Oksana.

Memetik laporan Astro Awani, sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.

Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.

Dalam pada itu, beberapa sumber turut mempertikaikan hantaran Instagram Rihana sejak kebelakangan ini.

Ini kerana hantaran Instagram yang menceritakan kisah-kisah kehidupannya tidak disertakan bersama gambar-gambar baharu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Thursday, July 11, 2019

Nor ‘Phoenix’ Diana Penggusti Berhijab Pertama Jadi Tumpuan Dunia

Nor ‘Phoenix’ Diana Penggusti Berhijab Pertama Jadi Tumpuan Dunia

Sebelum ini tidak ramai peminat sukan gusti di Malaysia menyedari bahawa kita mempunyai saingan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) yang terdiri daripada individu berbakat dan juga mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh.

Penggusti Berhijab Pertama

Namun, sentimen tersebut seakan-akan berubah sepenuhnya apabila penggusti wanita berhijab bernama Nor ‘Phoenix’ Diana muncul sebagai juara wanita pertama yang memenangi kejuaraan Malaysia Pro Wrestling dalam acara MyPW Wrestlecon.

Pernah memakai topeng sebagai trademark beliau dalam sukan gusti, Nordiana yang berusia 19 tahun itu menceritakan perjalanannya di Instagram, sebagai penggusti wanita profesional.

“Semuanya bermula ketika saya berusia 14 tahun. Saya banyak bermain permainan video gusti bersama adik saya.

"Bermula saat itu, saya mula menonton rancangan gusti di televisyen dan minat untuk lebih mendalami dunia gusti timbul saat itu.

“Ketika berusia 15 tahun, saya mula mencari persatuan gusti Malaysia dalam talian dan saya terjumpa MYPW yang sebelum ini dikenali dengan nama Persatuan Gusti Malaysia.

"Saya memutuskan untuk menyertai dan berlatih bersama mereka bagi merealisasikan impian saya sebagai penggusti profesional,” katanya.

Ketika ditanya mengenai layanan yang diberikan oleh MYPW dan ahli yang lain kepada beliau, Nordiana menyifatkan layanan yang diberikan adalah sama rata dan tiada layanan istimewa yang diberikan memandangkan beliau adalah penggusti wanita dan memakai hijab.

Mengulas lebih lanjut, Nordiana menjelaskan ada cerita unik mengenai asal usul beliau mendapat gelaran Phoenix.

Ketika itu, penggusti berbadan kecil ini terpaksa menggantikan seorang lagi penggusti dalam sebuah acara.

Beliau nyata terkejut dengan tawaran yang diberikan kerana baru belajar beberapa gerakan sahaja malah, Diana tidak mempunyai watak dan juga outfit beliau sendiri.

“Saya pergi ke kedai bundle berhampiran dan membeli seluar serta topi kulit bagi menyesuaikan dengan baju yang saya pakai ketika itu.

"Jurulatih memberi arahan untuk membawa watak seolah-olah Phoenix dan pada masa yang sama jurulatih memberi saya topeng luchador untuk dikenakan,” ujarnya.

Nordiana turut menggesa penggusti wanita di luar sana agar menyertainya di MYPW sekali gus merancakkan lagi suasana gusti di rantau Asia.

“Ayuh sertai kami. Hanya sedikit bilangan penggusti wanita profesional di Asia, khususnya Malaysia ketika ini.

"Layari Facebook dan Instagram Pro Wrestling Developmental Centre (MYPWDC) untuk mendapat maklumat lanjut.

Setelah memenangi Malaysia Pro Wrestling, Nordiana memberikan indikasi bahawa kejayaan baru-baru ini hanyalah permulaan dan beliau sudah bersedia untuk menujukkan kepada dunia apa yang mampu dilakukan oleh penggusti berhijab ini.

Saksikan video aksinya di Instagram.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Tuesday, July 09, 2019

Bottle Cap Challenge, Tendangan Siapa Paling Hebat?!

Bottle Cap Challenge, Tendangan Siapa Paling Hebat?!

'Bottle Cap Challenge' adalah cabaran terbaharu yang sedang viral diseluruh dunia, yang memerlukan anda untuk membuka penutup botol dengan menggunakan tendangan ‘side-kick’ tanpa menjatuhkan botol tersebut.

Jason Bottle Cap Challenge

Untuk membuat aksi ini dengan sempurna, anda perlu meletakkan botol pada permukaan yang rata dan membuka penutupnya dengan tendangan yang dikenali sebagai tendangan ‘round house’ dalam seni bela diri campuran.

Trend ini bermula apabila juara featherweight UFC, Max Holloway dan pereka fesyen, Errolson Hugh mencabar penyanyi John Mayer untuk mengambil bahagian dalam ‘sukan’ yang trending ini.

Holloway memuat naik video pada laman Instagramnya dan menyampaikan cabaran tersebut kepada Mayer.

“Saya ingin sampaikan cabaran ini kepada John Mayer.

“Jika anda tidak dapat menyelesaikan cabaran ini, anda perlu datang ke Hawaii selepas konsert jelajah anda dan “menendangnya” dengan kami sehingga sempurna,” kata Holloway dalam entri di akaun Instagram miliknya.

John Mayer menyahut cabaran tersebut dan memuat naik video menerusi laman Instagram peribadinya serta mencabar pelakon Jason Statham untuk membuka penutup botol dengan cara yang luar biasa.

Rata-rata netizen, atlet dan selebriti tempatan serta antarabangsa tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam cabaran ini.

Antaranya penyampai radio ERA, Radin dan pelakon Paskal, Hairul Azreen. Tidak dilupakan juga selebriti antarabangasa Ellie Goulding, Diplo, Jon Jones, Yura Yunita dan ramai lagi.

Paling menakjubkan adalah aksi pelakon filem Ip Man, Donnie, yang melakukan aksi tersebut dengan mata tertutup!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani

Thursday, July 04, 2019

Kisah Warga Bangladesh Dan Pemandu Grab Yang Meruntun Hati

Kisah Warga Bangladesh Dan Pemandu Grab Yang Meruntun Hati

Apabila bercakap sahaja tentang warga Bangladesh yang bekerja di negara ini, pasti ramai yang akan mengaitkan mereka dengan masalah bau badan yang kurang menyenangkan, lalu seorang pengguna Facebook, Fadhli Sahar, yang merupakan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing, Grab, baru-baru ini berkongsi kisahnya.

Kisah pemandu Grab dan Bangladesh

Ceritanya, rakan Fadhli mendapat tempahan Grab dengan tambang berharga RM40. Dia pada mulanya enggan mengambil tempahan tersebut kerana pernah dinasihatkan rakan supaya menolak tempahan daripada penumpang warga Bangladesh kerana khuatir bau badan mereka yang kuat itu akan melekat dalam keretanya.

Begitu pun, Fadhli tetap mengambil tempahan tersebut. Penumpang yang diambilnya merupakan tiga orang warga Bangladesh yang baru balik kerja.

Sebaik mereka masuk ke dalam kenderaan Fadhli, bau badan mereka yang kuat itu mengganggu pemanduan Fadhli dan menyebabkan dia sesekali menutup hidungnya dengan baju dan membuka tingkap keretanya.

Salah seorang daripada lelaki tersebut bertanya kepada Fadhli.

“Abang okey?”

“Ya, saya okey,” jawab Fadhli.

Lelaki Bangladesh itu kemudian menceritakan, sudah tiga tempahan mereka dibatalkan oleh pemandu sebaik sahaja melihat mereka.

Sebaik sahaja tiba di destinasi, lelaki tersebut menghulurkan sekeping not RM100 kepada Fadli dan enggan mengambil wang baki. Katanya, belanja anak-anak makan.

Fadhli tersentuh kerana tidak menyangka hati lelaki tersebut cukup mulia. Akui Fadhli, lelaki Bangladesh itu telah mengajarnya sesuatu tentang kehidupan. Mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan.

Bagi Fadhli, siapa pun penumpang Grab, ambillah mereka kerana itu merupakan tugas anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 27, 2019

Gambar Bapa Dan Anak Mati Lemas Di Sempadan AS-Mexico Yang Sangat Menyayat Hati

Gambar Bapa Dan Anak Mati Lemas Di Sempadan AS-Mexico Yang Sangat Menyayat Hati

Gambar seorang bapa bersama anaknya, warga Salvador yang lemas ketika menyeberangi Rio Grande di sepanjang sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico "amat mengejutkan dan mencetuskan kemarahan", lapor agensi berita Anadolu.

Pelarian Mati Lemas

Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Henrietta Fore dalam satu kenyataan berkata, "imej itu sangat menyayat hati" dan sebagai "peringatan mengenai bahaya yang perlu diharungi migran untuk sampai ke AS."

Gambar memilukan itu menunjukkan anak perempuan Oscar Alberto Martinez Ramirez, Valeria, memeluk erat bapanya ketika mayat mereka ditemui di sungai berkenaan.

Presiden Donald Trump menyalahkan pihak Demokrat di atas apa yang berlaku, menggesa undang-undang pengampunan AS dipinda bagi mengelakkan bencana di masa depan.

"Andai undang-undang diperbaharui, tragedi itu tidak akan berlaku. Mereka menyeberangi Rio Grande, sungai yang beraliran deras dan berbahaya," kata Donald Trump kepada wartawan di Rumah Putih sebelum berlepas ke Jepun untuk menghadiri sidang kemuncak G-20.

Ramirez memutuskan untuk menyeberangi sungai Rio Grande selepas permohonan suakanya ditolak pegawai sempadan AS, menurut laporan akhbar Mexico, La Jornada yang pertama kali menerbitkan gambar itu.

BACA INI JUGA:

sumber: utusanborneo

Wednesday, June 26, 2019

Gambar Lucah Mirip Pencetus Ummah Rizz Foto Edit?

Gambar Lucah Mirip Pencetus Ummah Rizz Foto Edit?

Sekali lagi gambar lucah membabitkan selebriti tular, kali ini individu terbabit didakwa mirip wajah bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) Rizz, yang dilaporkan telah dirakam dalam sebuah tandas menjadi tular di Twitter.

Gambar Lucah PU Rizz
PU Rizz.

Ia dipercayai tular selepas seorang pengguna Twitter menyebarkan imej tersebut bagaimanapun, ia telah dipadamkan kemudian.

Imej memaparkan seorang lelaki sedang berswafoto di dalam sebuah bilik mandi sambil memegang kemaluannya.

Punca mengaitkan PU Rizz atau nama asalnya Muhammad Haris Ismail dengan imej tersebut adalah disebabkan baju-T lelaki itu kelihatan sama dengan yang dipakai peserta program musim keempat itu dalam Instagram.

Usaha untuk mendapatkan maklum balas berhubung imej lucah terbabit gagal malah panggilan telefon juga dimatikan.

Hasil semakan pada akaun Instagram PU Rizz juga mendapati dia yang juga pelakon itu telah menutup ruangan komen.

Sementara itu, memetik Astro Awani, PU Rizz menafikan bahawa lelaki dalam imej tersebut adalah dirinya.

Katanya, gambar itu telah disunting pihak tidak bertanggungjawab hingga kelihatan seperti dirinya.

"Benda (foto lucah) itu hanya sunting. Ia gambar edit dan mengarut," katanya.

Susulan imej tular, PU Rizz telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat laporan polis.

"Sedang buat laporan polis. Tak apa. Hanya Allah tahu yang benar," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, June 24, 2019

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

41 Penerima Wang 1MDB

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat SPRM.

Beliau turut memberitahu, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta itu adalah jumlah terbesar sekaligus menjadi sejarah bagi kes AMLA di negara ini sehingga kini.

“Semua responden yang disaman ini telah didapati melanggar undang-undang kerana menerima wang daripada akaun Najib,” katanya.

Pada masa sama, Latheefa menjelaskan bahawa, Najib dan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low tidak disenaraikan dalam permohonan lucut hak itu.

“Bagi kes saman ini, semua responden tidak melibatkan warga asing dan hanya individu tempatan.

“Tapi kami percaya selepas fail saman ini lebih banyak lagi responden akan dikesan dalam jejak wang ini. Semua wang responden yang berjaya diperolehi kelak akan diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya.

Berikut merupakan senarai 41 penama yang didedahkan SPRM:
  1. Ibrahim Awang Ismail
  2. Kasitah Gaddam
  3. Ismail Abd Muttalib
  4. Hasan Malek
  5. Sim Sai Hoon
  6. Abdul Manan Ismail
  7. Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA)
  8. Akademi Pemuda
  9. Parti Bersatu Rakyat Sabah
  10. Yayasan Permata Malaysia
  11. Yayasan Tun Hussein Onn
  12. UMNO Kelantan
  13. UMNO Bahagian Pekan
  14. Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia
  15. MCA Pahang
  16. Sarawak United People’s Party
  17. Wanita MCA
  18. Liberal Democratic Party (LDP) Sabah
  19. Yayasan PBAKM
  20. Binsabi Sdn Bhd
  21. Rayhar Travels Sdn Bhd
  22. K&Z Enterprise Sdn Bhd
  23. IPG Mediabrands Sdn Bhd
  24. Media Edge CIA (M) Sdn Bhd
  25. Hattatex Trading
  26. Jakel Trading
  27. Jakel Trading Sdn Bhd
  28. Perano Sdn Bhd
  29. AGA Touch (M) Sdn Bhd
  30. Habib Jewels Sdn Bhd
  31. Naza Quest Auto Snd Bhd
  32. UMNO Selangor
  33. UMNO Pahang
  34. UMNO Kedah
  35. UMNO Johor
  36. Barisan Nasional Bahagian Johor Bahru
  37. UMNO Sabah
  38. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
  39. Bustari Yusuf
  40. Yayasan Penyelidikan Transformasi
  41. Yayasan Rahah

Pasukan Khas Dapatkan Wang 1MDB

Sebuah pasukan petugas khas baharu akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bertujuan mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara bernilai hampir AS$5 bilion (RM20.74 bilion).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan khas itu juga akan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara memandangkan proses mendapatkan aset itu di luar negara lebih rumit.

"SPRM dapat kenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula daripada luar negara sahaja dan pasukan tugasan khas ini perlu kerana ini merupakan satu tugas yang agak rumit.

"Jadi, kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM.

Mengulas lanjut, Azam berkata, aset-aset itu dikenal pasti bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di beberapa buah negara luar lain, namun beliau tidak menamakan negara tersebut.

"Negara luar lain ada proses perundangan tertentu yang perlu dipatuhi dan ini yang perlu kita bincang dengan mereka.

"Kita tidak boleh menggunakan undang-undang di negara ini dalam mendapatkan semula aset-aset itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, June 19, 2019

Bakal Pengantin Lelaki Menangis Selepas Kadi Tanya Di Mana Ibu Bapa, Rupa-rupanya Yatim Piatu

Bakal Pengantin Lelaki Menangis Selepas Kadi Tanya Di Mana Ibu Bapa, Rupa-rupanya Yatim Piatu

Babak air mata seorang bakal pengantin lelaki sewaktu majlis akad nikahnya ternyata menyentuh hati ramai, yang menerusi satu perkongsian gambar, Nor Saiful Syazwan Abdullah, dilihat tidak dapat menahan sebak sebelum dinikahkan dengan pasangannya, Asyikin Rozi pada April 2019 lalu.

Pengantin Lelaki Sebak

Foto itu mula tular pada minggu lalu sebelum Asyikin tampil berkongsi kisah di sebaliknya menerusi laman Twitter.

"Suami saya sebak sebab dia teringat kedua ibu bapa dia. Dia anak tunggal yatim piatu.

"Sebelum akad nikah tu, tok kadi tanya latar belakang pengantin, tanya mana ibu bapa dia? Sebab tu dia sebak dan menangis.

"Saya pun bagi dia tisu, saya tahan sebak. Tapi selepas akad nikah tu, saya pun menangis juga," ujar Asyikin sewaktu dihubungi.

Kata Asyikin, majlis itu berlangsung di kediamannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Bercerita mengenai suaminya, Asyikin menyifatkan jejaka itu sebagai individu yang cukup tabah dan berdikari.

"Saya tak rasa apa yang dia rasa, saya kenal dia pun masa dia dah yatim piatu.

"Tapi dia seorang yang kuat. Masa zaman belajar, dia sanggup buat kerja sambilan untuk tanggung kos pengajian," ujarnya yang bertemu dengan suami di sebuah institut pengajian tinggi di Perlis, sekitar tahun 2015.

Masing-masing berusia 24 tahun, Asyikin berkata, dia juga terharu dengan komen-komen positif yang diterimanya menerusi laman Twitter.

Bakal Pengantin Lelaki Menangis

Dalam pada itu, posting berkenaan sehingga kini menerima lebih 18,500 ulang kicau (Retweet).

"Sama macam husband saya. Dia anak yatim piatu sejak usia dia 13 tahun. Dia kata sebak sangat nak panggil mak saya dengan panggilan 'mak' sebab dah lama tak sebut perkataan tu. By the way selamat pengantin baru. Semoga berbahagia ke akhir hayat," tulis @cuwaya_.

"Tetiba aku jadi sebak. Even parents aku nak balik dah lepas aku sanding pun aku dah peluk mak ayah aku nangis-nangis ini kan pulak dia anak yatim piatu," tulis @yusofhsnn.

Semoga bahagia sehingga ke akhir hayat. Amiin.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar