Wednesday, May 08, 2019

Siapa Bayar Kos Majlis Perkahwinan, Pengantin Lelaki Atau Perempuan?


Setiap pasangan pasti impikan majlis perkahwinan yang indah untuk menjadi kenangan seumur hidup, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, ia merupakan antara salah satu majlis yang penting.

Kos Majlis Perkahwinan

Di Malaysia, akan terdapat tiga majlis perkahwinan iaitu; majlis nikah beserta majlis resepsi iaitu bersanding dan bertandang. Persoalannya, siapa yang tanggung?

Walhal dalam agama Islam, sebenarnya cukup sekadar diadakan satu jamuan walimatul urus selepas upacara pernikahan pasangan pengantin.

Meskipun begitu, sudah pasti setiap pasangan yang ingin berkahwin itu mahukan majlis mereka indah dan meriah.

Jarang ada bakal pengantin yang inginkan majlis perkahwinan mereka setakat ‘cukup syarat’ dan ala kadar. Manakan tidak, majlis ini sekali seumur hidup!

Akan tetapi setiap majlis perkahwinan itu adalah bergantung kepada kemampuan setiap pasangan pengantin.

Jika inginkan yang mewah dan gilang-gemilang, maka kos yang perlu dikeluarkan pasti banyak, begitu juga sebaliknya.

Persoalannya sekarang, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dan perlu menampung kos perbelanjaan majlis perkahwinan? Adakah ianya ditanggung oleh pengantin lelaki ataupun pengantin perempuan? Dan perlukah diadakan jamuan makan-makan sebenarnya?

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengemukakan pandangannya berkenaan perkara ini dalam laman rasmi Pejabat Mufti WP.

Melalui perkongsiannya, kita akan lebih memahami siapa yang bertanggungjawab dan perlu mengeluarkan belanja untuk majlis kenduri atau walimatul urus di sebelah keluarga perempuan.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul.

Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin.

Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan.

Meskipun begitu, para ulama mempunyai dua pendapat yang berbeza kepada implikasi tuntutan tersebut.

Pendapat Pertama

Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.

Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.

Pendapat Kedua

Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad.

Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.

Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib.

Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.

Siapa yang bertanggungjawab dalam mengadakan majlis perkahwinan?

Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki.

Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga pengantin perempuan.

Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri.

Lalu beliau menyatakan, ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki), melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan."

Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami, berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas.

Ini kerana, baginda SAW menyatakan kepada beliau ﺃﻭﻟﻢ (lakukanlah walimah), namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf ﺃﻭﻟﻤﻮﺍ (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan).

Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki. Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh.

Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.

Akan tetapi, sekiranya majlis walimah dilakukan oleh keluarga pengantin perempuan, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri, ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki)."

Sebagai kesimpulan, hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya.

Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki.

Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon