Jun 25, 2016

4 Kos Utama Perkahwinan Yang Anda Perlu Tahu

Kebanyakan bakal pengantin memilih untuk berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan majlis perkahwinan mereka.

Majlis perkahwinan impian.jpg

Walau bagaimanapun, kos majlis perkahwinan semakin meningkat berikutan kenaikan kos hidup di negara ini.

Majlis perkahwinan impian ialah permulaan bagi kebahagiaan sesebuah pasangan, namun jika anda tidak cukup bertuah mendapat tajaan, pastikan anda merancang perbelanjaan dengan sebaiknya

Ramai mendapati bahawa bajet yang telah ditetapkan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung beberapa caj ‘tersembunyi’ yang sering dilepas pandang.

1. Kursus kahwin dan majlis nikah

Seperti yang kita maklum, setiap pasangan beragama Islam yang hendak mendirikan rumah tangga hendaklah menghadiri kursus perkahwinan untuk mendapatkan sijil kursus pra-perkahwinan yang dikeluarkan oleh jabatan agama Islam di negeri masing-masing.

Walaupun kos kursus ini boleh dianggap rendah, iaitu sekitar RM100 ke RM150 seorang, ia tetap menjadi beban kepada pengantin yang kurang berkemampuan.

Kos tambahan seperti kos pengangkutan ke lokasi kursus, kos penginapan and kos makan minum juga perlu diambil kira sekiranya bakal pengantin bekerja di luar negeri atau luar negara dan terpaksa menghadiri kursus ini di daerah asal mereka.

Selain itu, terdapat juga pengantin yang ingin mengikut trend terkini, lalu melangsungkan majlis akad nikah dan majlis resepsi pada hari yang berlainan.

Kos bagi majlis akad nikah boleh mencecah sehingga RM5,000, termasuk bayaran pakej pelamin, pakaian pengantin, fotografi dan katering makanan.

Kos fotografi dianggarkan dari RM800 sehingga RM2,500, seperti yang dinyatakan dalam laman planetpengantin.com.

Bayaran katering makanan bagi 300 tetamu, dianggarkan boleh mencapai di antara RM2,000 ke RM5,000.

Walaupun majlis akad nikah dipandang ringkas, ianya memerlukan kos yang agak tinggi.

Oleh itu, bakal pengantin perlulah mengambil kira kos majlis pernikahan ini, selain perbelanjaan untuk majlis resepsi sekiranya kedua-dua majlis diadakan pada hari dan di tempat yang berbeza.

Pengantin setentunya boleh menjimat wang sekiranya kedua-dua majlis ini dijalankan dengan serentak atau akad nikah diikuti denan majlis resepsi di lokasi dan hari yang sama.

2. Barang Hantaran

Selain itu, kedua-dua pihak perlu mengambil kira kos yang diperlukan untuk membeli barang hantaran sebagai pemberian kepada pasangan masing-masing.

Kos pembelian barangan hantaran ini tidak termasuk dalam wang hantaran.

Mengikut perkembangan semasa, kebanyakan pengantin akan memilih hantaran dalam bentuk pakaian, aksesori, set wangian, buah-buahan dan manisan serta barang kemas terutamanya untuk pengantin perempuan.

Kos barangan hantaran ini mungkin melonjak tinggi sekiranya hantaran yang berjenama dipilih.

Oleh itu, pastikan kos barangan hantaran dimasukkan dalam bajet perkahwinan, dan pastikan barang yang dibeli berpatutan dengan kos yang anda mampu.

3. Makanan dan minuman

Penyediaan makanan dan minuman adalah aspek penting dalam persediaan sesuatu majlis perkahwinan.

Di sini, bakal pengantin mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada menggunakan khidmat katering atau menyediakan sendiri makanan secara ‘rewang’ atau gotong-royong.

Kedua-dua pilihan mempunyai perbelanjaan tersembunyi masing-masing.

Pihak pengantin perlu berhati-hati ketika memilih pakej katering agar tidak terperangkap dengan caj tambahan seperti sewaan kanopi, pelayan, peralatan hidangan, kek dan sebagainya.

Jangan terpedaya dengan pujukan penyedia katering untuk menambah jumlah makanan ataupun perkhidmatan lain seperti bufet manisan, sudut pencuci mulut, trak aiskrim, dan sebagainya dengan caj berganda.

Sebaik-baiknya, kamu perlu menyelidik terdahulu harga servis tambahan sekiranya dilanggan secara berasingan.

Makanan majlis yang disediakan sendiri menpunyai kos yang tidak dijangka termasuk bayaran tukang masak, bayaran tukang cuci pinggan dan sewa peralatan untuk menghidang.

Selain itu, makan dan minum anggota rewang perlu ditanggung semasa penyediaan makan dan minum untuk majlis perkahwinan.

Untuk mengelakkan perbelanjaan melangkau jauh daripada bajet anda, bakal pengantin perlulah peka akan kos-kos ini, selain daripada kos belanja ‘hangus’ dalam pembelian bahan basah serta risiko peningkatan harga bahan mentah terutama sekali sekiranya majlis perkahwinan dijalankan pada waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah.

Sebaik-baiknya, pihak pengantin perlu membuat tinjauan harga barangan mentah, dan barangan-barangan masakan boleh dibeli secara pukal untuk mendapatkannya pada harga borong yang lebih murah.

4. Bunga telur dan uncang hadiah (goodie bag)

Pemberian bunga telur kepada tetamu amat sebati dengan majlis perkahwinan Melayu dan dianggap sebagai suatu elemen yang menunjukkan kesantunan dan budi pekerti masyarakat Melayu.

Bunga telur juga menjadi tanda penghargaan kepada tetamu yang datang.

Pada masa yang sama, trend perkahwinan terbaru ialah pemberian bunga telur yang disertakan bersama uncang hadiah atau goodie bag.

Uncang ini biasanya diisi dengan hadiah seperti buku surah Yasin, tasbih, gula-gula, coklat, sapu tangan kecil dan sebagainya.

Kos pembelian bunga telur dan uncang hadiah sering dipandang remeh an tidak dimasukkan ke dalam bajet perkahwinan.

Puan Ida, 27, daripada Selangor menyatakan bahawa beliau sangat terkejut apabila menyedari yang beliau dan bakal suaminya telah membelanjakan ribuan ringgit untuk uncang hadiah dan bunga telur sahaja.

Ulasnya, “kami membeli bunga telur terdahulu sebelum membeli bahan-bahan lain seperti beg kertas, botol kaca, kacang, dan gula-gula.

Kami juga menambah kandungan goodie bag kami dengan membeli coklat pada saat akhir, dan tanpa disedari kos goodie bag kami telah mencecah RM5,000, iaitu RM5 bagi setiap goodie bag untuk tetamu.”

Untuk mengelakkan perbelanjaan luar jangka seperti ini, bakal pengantin boleh membuat inventori dan senarai yang tepat bagi setiap bahan yang hendak dimasukkan ke dalam uncang hadiah.

Sebaik-baiknya, bahan untuk uncang hadiah dibeli secara pukal untuk mendapatkan harga borong. Elakkan juga penambahan item pada saat-saat akhir.

Kesimpulannya, terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbangkan dalam perancangan bajet perkahwinan.

Oleh itu, bakal pengantin perlulah peka dengan kos majlis perkahwinan, terutamanya kos-kos yang disenaraikan di atas.

Dengan perancangan yang teliti, majlis yang sederhana belanjanya juga boleh berlangsung dengan meriah dan eksklusif.

Akhir kata, ukurlah baju di badan sendiri. Jangan terlalu taksub mengikuti trend terkini sehingga berhutang semata-mata untuk memenuhi majlis impian anda.

BACA INI JUGA: 10 Sebab Mengapa Seronok Kahwin Muda!

Sumber: Astroawani.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon