Wednesday, August 14, 2019

Kronologi Kehilangan Nora Anne


Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Kehilangan Nora Anne
Nora Anne.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5km dari resort beliau dilapor hilang, dalam kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar, antaranya pakar penjejak yang terdiri daripada anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan, turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

KRONOLOGI KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN

3 Ogos 2019

Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019

Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019

Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019

Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

5 Ogos 2019

Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019

Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019

Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019

Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019

Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019

Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019

Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019

Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019

Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

11 Ogos 2019

Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019

Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam)

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

Apa sebenarnya yang terjadi? Nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon