Friday, December 29, 2017

Geronimo Legenda Pahlawan Puak Apache Yang Menggerunkan Amerika Dan Mexico


Persengketaan antara puak Apache dan Amerika Syarikat adalah antara helaian kisah menarik dalam sejarah Amerika Syarikat dengan usaha gigih puak Apache melawan USA sehinggakan pemberontakan mereka mengambil masa puluhan tahun untuk ditundukkan, yang dikatakan bermula daripada 1849 dan berakhir sekurang-kurangnya pada tahun 1924 Masihi.

Geronimo Legenda Pahlawan Puak Apache Yang Menggerunkan Amerika Dan Mexico

Salah seorang tokoh besar dalam peperangan melawan Amerika Syarikat ini adalah Geronimo yang dicatatkan menyerah kalah kepada Amerika Syarikat.

Namun nanti dulu, sebelum bendera putih dijulang oleh Geronimo, sesungguhnya Amerika Syarikat pasti merindui seorang musuh sepertinya.

Serangan gerilanya yang membinasakan, pengerakannya yang persis hantu berjaya mengaburi mata sama ada pihak berkuasa Amerika dan Mexico, meninggalkan urban legend yang cukup mendalam dalam jiwa masyarakat Amerika Syarikat ketika berbicara mengenai Geronimo.

Nama asal kepada tokoh pahlawan puak apache yang paling menggerunkan pada abad ke-19 ini adalah Goyahkla yang bermaksud Yang Menguap.

Geronimo lahir pada tahun 1820 dalam puak Chiricahua Apache yang ketika itu, mendiami kawasan disekitar New Mexico dan Arizona.

Geronimo sendiri kononnya adalah nama panggilan yang diberikan kepadanya selepas kejayaan pada usia yang muda, berjaya mengetuai jarahan ke atas Mexico dan nama itu adalah panggilan tentera Mexico yang gerun menghadapi Geronimo.

Lahirnya Geronimo adalah ketika era persengketaan dan konflik antara kerajaan Mexico dan Apache.

Tabiat puak Apache yang seringkali melakukan penjarahan dan serangan semata-mata demi mendapatkan bekalan persenjataan, makanan dan kuda-kuda telah memaksa kerajaan Mexico melakukan serangan ke atas penempatan Apache dan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang berjaya melakukannya.

Pada tahun 1851, ketika Geronimo bersama dengan beberapa pahlawan Apache yang lain berada di Janos, sebuah pekan di Mexico dalam misi perdagangan mereka, Kolonel Jose Maria Carrasco dari Mexico bersama dengan 400 orang tentera telah menyerang Bedonkohe, tempat tinggal puak Apache.

Antara yang terbunuh di tangan kolonel ini adalah isteri, ibu dan tiga orang anaknya.

“Aku sudah kehilangan segala-galanya,” itulah ucapan terkenal yang merujuk kepada permulaan dendam yang bakal membakar bukan sahaja dirinya, bahkan Amerika dan Mexico.

Lalu dicatatkan bahawa beberapa siri serangan berdarah yang berlaku pada setiap penempatan tentera Mexico yang diketuai oleh Geronimo.

Akhirnya, ungkapan yang lahir dari mulut Geronimos ialah, “Aku sudah membunuh terlalu ramai orang Mexico.

"Aku tidak tahu berapa banyak, namun sebahagian antara mereka, tidak layak pun untuk dikira kematian mereka.”

Pada tahun 1840 sehingga 1850, perang antara Amerika Syarikat dan Mexico tercetus dan Gadsden Purchase, di mana Amerika telah memiliki hak ke atas tanah Mexico, telah meletakkan puak Chicahua Apaches ke dalam kekuasaan Amerika Syarikat.

Apapun yang berlaku ketika itu, ditentang habis-habisan oleh puak Apache yang bekeras tidak mahu berada dibawah penjajah.

Namun, berikutan perang melawan tentera Amerika Syarikat, mereka terpaksa akur pada perjanjian keamanan dengan tentera Amerika Syarikat dengan mereka ditempatkan di tanah simpanan yang terletak di Arizona.

Salah seorang daripada yang terpaksa akur dibawah tentera Amerika Syarikat ketika itu ialah Geronimo itu sendiri.

Ia berlaku pada tahun 1877 apabila dia ditangkap dan di bawa ke San Carlos, salah satu lokasi penempatan untuk puak Apache.

Namun, sebanyak tiga kali Geronimo berjaya melepaskan diri daripada penempatan yang disediakan oleh puak Amerika Syarikat.

Setiap kali mereka berjaya melarikan diri, mereka menjadikan gunung ganang sebagai tempat persembunyian, hanya akan keluar melakukan penjarahan ke atas Amerika Syarikat dan Mexico.

Betapa berita tiga kali dia berjaya lari dari penempatan Amerika Syarikat telah menempah kemasyuran ke atas namanya.

Mungkin kerana kemasyuran yang dikecapinya dalam melawan Amerika Syarikat, menempah kisah legenda pula berkisarkan Geronimo.

Kononnya, beliau ialah seorang manusia yang penuh dengan keajaiban dan kuasa luar biasa.

Geronimo yang merupakan bomoh puak Apache, selalu dikaitkan dengan kelebihan memperlahankan waktu, mengelak peluru yang terbang ke arahnya, kebolehan mengubati orang sakit, kebolehan memanggil hujan bahkan pada satu masa, meramalkan bala yang bakal dilemparkan ke atasnya.

Dalam satu insiden yang berlaku yang diceritakan salah seorang pahlawan dalam puak Apache yang merupakan pengikut Geronimo, dikatakan bahawa betapa ketika mereka sedang berkumpul mengelilingi unggun api, ketika dalam ekpedisi menjarah beberapa buat kota dan pekan dibawah Amerika Syarikat, Geronimo menerima visi seolah-olah bahawa kem mereka telah diserang oleh tentera Amerika Syarikat.

Dua hingga tiga hari selepas visi itu, ketika mereka tiba di kem yang dimaksudkan oleh Geronimo, serangan Amerika Syarikat itu benar-benar terjadi.

Jason Betnzinez menulis, “Aku tidak dapat menerangkan apa yang terjadi hari ini, tetapi aku memang berada di situ dan melihat dengan mata kepala aku sendiri.”

Bahkan, ketika di usia 60-an, pahlawan hebat ini ketika dalam misi melarikan diri dari kem penempatan untuk puak Apache oleh Amerika Syarikat, telah bersama dengan kumpulan pengikutnya mengembara 70 batu sehari untuk mengelak tentera Amerika Syarikat dan peninjau daripada puak Apaches berjaya mengesan jejak mereka.

Dan pada usia setua itu pun, dia berjaya mengetuai serangan demi serangan ke atas Amerika Syarikat.

Pada tahun 1886, semata-mata untuk memburu orang tua berusia 60-an, hampir suku kekuatan tentera Amerika Syarikat ketika itu, dikerah untuk memburu Geronimo bersama dengan 40 orang pengikutnya.

Hanya pada 4 September 1886, barulah Geronimo benar-benar menyerah kalah kepada Jeneral Nelson Miles di Skeleton Canyon, Arizona, menjadikan beliau tokoh pemimpin puak asli Amerika terakhir yang menyerah kalah kepada Amerika Syarikat.

Selepas itu, hidup Geronimo diabadikan sebagai seorang tawanan perang (PWO – prisoner of war).

Dia dibawa untuk melakukan kerja buruh di setiap kem tentera. Beberapa kali juga dibawa berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Kehidupan akhir Geronimo walau sebagai seorang tawanan perang, dia hidup sebagai selebriti.

Geronimo dibenarkan menjual tandatangannya, serta segala barang yang dikaitkan dengan dirinya, seperti panah dan busur panah, serta tongkat yang digunakannya untuk berjalan diusia tua kepada setiap pelancong Amerika.

Bahkan, dia sering tampil dalam beberapa festival seperti Worlds Fair dan juga Wild West Shows, di mana di festival tersebut, dia akan diperkenalkan sebagai Apache Terror atau Tiger of The Human Race.

Meski dalam PWO, Geronimo tetap gigih berjuang untuk nasib anak bangsanya.

Pada 4 Mac 1905, ia adalah antara penampilan awam paling popular Geronimo apabila dia mengambil tempat dalam perarakan pertabalan Theodore Roosevelts di Washington DC sebagai presiden Amerika Syarikat.

Dia ketika itu didampingi oleh lima orang pemimpin puak asli Amerika, menaiki seekor anak kuda sambil orang awam menjerit melaung namanya.

Geronimo mengambil kesempatan ketika itu untuk berbaiah (plead) kepada Roosevelts. 5 hari kemudian, Geronimo mendapatkan kesempatan berjumpa dengan Roosevelts secara berdepan.

Dalam pertemuan itu, Geronimo meminta agar puaknya dihantar semula ke Barat Amerika, tempat asal penduduk asli Amerika Syarikat.

Dalam permintaan itu, Geronimo meminta agar beliau dibebaskan namun, permintaan itu ditolak oleh Roosevelts kerana bimbang satu lagi peperangan akan tercetus sekiranya Geronimo dibebaskan.

Hanya pada tahun 1913, selepas 4 tahun kematian Geronimo, barulah puak Chiricahuas Apache dibebaskan dan dibenarkan untuk pulang ke tanah mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Watak Pahlawan Islam Dalam Filem Pirates of The Carribean

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon