Monday, May 21, 2018

Kronologi 1MDB, Skandal Kewangan Terbesar Di Dunia


1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih daripada AS$4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga haram yang kompleks dan syarikat cengkerang dengan akaun bank di pelbagai negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan Amerika Syarikat.

1MDB Scandal

Apa yang paling memalukan, Malaysia sebelum ini dibawah pimpinan Najib Razak enggan mengakui dan tidak mahu bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa dalam pemulihan aset yang dicuri.

5 Januari 2015

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman dilaporkan telah meletakkan jawatan serta-merta.

Tempatnya diganti oleh pegawai bank Malaysia yang berpangkalan di Abu Dhabi, Arul Kandasamy.

7 Mac 2015

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu 1MDB memandang serius dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat itu terutama di media sosial.

Menurutnya, bagi membersihkan nama 1MDB, tindakan undang-undang hendaklah diambil terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas.

13 Mac 2015

Syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International (PSI) menolak kritikan dalam talian yang tidak tepat mengenai syarikat pembangunan strategik Malaysia yang pernah menjalin usaha sama dengannya, 1MDB.

24 Mei 2015

Sebuah pasukan petugas khas perlu dibentuk bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap pelbagai dakwaan dan tohmahan berkaitan 1MDB.

Anggota pasukan itu perlu dianggotai oleh kesemua agensi penguat kuasa termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia serta Jabatan Audit Negara.

3 Jun 2015

Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan rasmi ke atas 1MDB bagi meneliti sama ada berlaku sebarang pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang bank pusat.

18 Jun 2015

Semua keterangan dan bukti berkaitan perniagaan dan transaksi kewangan 1MDB telah dikongsi dengan juruaudit bebas dan pihak berkuasa Malaysia, kata 1MDB.

24 Jun 2015

Seorang bekas pekerja PetroSaudi International yang didakwa banyak membocorkan maklumat berkaitan urus niaga syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi itu dengan 1MBD ditahan di Thailand.

3 Julai 2015

1MDB menafikan dakwaan media asing kononnya ada sejumlah wang tertentu yang disalurkan dari akaun berkaitan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

9 Mei 2016

1MDB memulakan proses rundingan dengan pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar AS susulan keingkaran ke atas nota US$1.75 billion dengan kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat).

21 Julai 2016

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet, demikian menurut saman sivil yang difailkan di Los Angeles.

Saman sivil itu mempersoalkan bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom dari dana 1MDB.

16 Jun 2017

1MDB menyifatkan tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan penyelewengan dana syarikat itu.

24 Jun 2017

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakui menguruskan kes 1MDB adalah antara tugas yang paling mencabar dalam kariernya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau menyedari banyak pihak menaruh harapan tinggi kepada BNM.

Bagaimanapun, katanya, BNM tiada kuasa untuk mendakwa.

29 Jun 2017

Penajaan Program Khas Perdana Menteri - Yayasan 1MDB yang melibatkan lebih RM56 juta sejak 2011, memberi manfaat kepada 5,711 orang di seluruh negara.

1 Ogos 2017

1MDB dan anak syarikat milik penuhnya mendapat pengecualian cukai pendapatan termasuk dividen bagi tempoh 10 tahun mulai 2010.

1 Ogos 2017

1MDB telah memaklumkan secara bertulis kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) mengenai pembayaran yang dijadualkan pada 31 Julai 2017 sebaliknya akan dibuat pada Ogos 2017 kerana masih menunggu dana sewajarnya.

1MDB berkata, kesemua bayaran kepada pihak IPIC itu akan menggunakan wang yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.

7 Ogos 2017

Pas berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu 1MDB.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

8 Ogos 2017

1MDB telah diberi lanjutan tempoh bagi menyelesaikan isu pembayaran dengan pihak International Petroleum Investment Co (IPIC), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

21 September 2017

Siasatan terhadap skandal 1MDB selesai selepas tiga bulan tempoh Jabatan Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tiada sebarang perkembangan baru untuk dimaklumkan setakat ini, kecuali ada arahan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dan Kabinet.

26 Oktober 2017

1MDB menggesa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya menghentikan perbuatan mengelirukan rakyat mengenai syarikat itu dan sebaliknya akur bahawa tindakan tidak patriotik pihak pembangkang melakukan sabotaj ekonomi terhadap 1MDB bagi kepentingan politik sendiri, telah pun gagal.

31 Oktober 2017

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan pada 24 Oktober lalu.

1 November 2017

Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan kes pelaburan 1MDB.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata, kertas siasatan berhubung kes 1MDB telah kita terima daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

1 November 2017

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata siasatan lanjut terhadap 1MDB perlu dilakukan berikutan kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.

27 November 2017

Krisis yang melanda 1MDB tidak memberi kesan teruk terhadap ekonomi Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata, sebaliknya, isu melanda syarikat tersebut hanya memberi impak yang rendah terhadap kedudukan ekonomi negara, dengan program rasionalisasi syarikat itu sedang berjalan baik.

27 Disember 2017

1MDB telah membuat pembayaran penuh yang dijadualkan pada tarikh akhir 31 Dis, 2017 kepada International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC).

1MDB berkata, pembayaran itu adalah tertakluk kepada Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC.

9 Januari 2018

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarikat pelaburan 1MDB gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang dikemukakan Gerakan Anak Muda Tolak MO1/Najib (GANT1) berhubung pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM35 billion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli).

28 Februari 2018

Indonesia, merampas sebuah kapal mewah di Pulau Bali yang sebelum ini dicari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

7 Mac 2018

Kerajaan Malaysia didakwa menyuntik dana RM2 bilion yang diambil secara hutang ke dalam projek 1MDB yang dinamakan The Exchange 106.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, kerajaan melalui anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang bernama MKD Signature Sdn Bhd telah menyuntik RM2 bilion dalam projek pembangunan 1MDB ini.

12 Mac 2018

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak-PKR) mengambil langkah menyelesaikan isu air di Selangor yang disifatkan kritikal berikutan Menteri Besar Selangor itu cuba mengaitkan pembayaran faedah hutang negara dengan 1MDB.

13 Mac 2018

Ahli Parlimen DAP mempersoal tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun yang didakwa ‘menyimpan’ dokumen yang dikemukakan Bank Negara Malaysia (BNM) membuktikan perkaitan antara Jho Low dan 1MDB.

21 Mac 2018

Semua maklumat berkaitan 1MDB yang tidak dimasukkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dikategorikan sebagai berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pihak berkuasa sudah menyiasat 1MDB dan maklumat tidak disahkan pihak berkuasa negara ini berkaitan dengan syarikat kontroversi itu ialah berita palsu.

23 Mac 2018

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB membuat kesimpulan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

5 Mei 2018

1MDB tidak pernah memindahkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

11 Mei 2018

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan disiasat kerana didakwa menyembunyikan bukti mengenai salah laku dalam siasatan kes 1MDB.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas itu kerajaan akan meneliti hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan.

12 Mei 2018

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, laporan audit 1MDB bukan lagi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mahathir berkata, beliau sudah mengarahkan polis mengeluarkan laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah OSA.

17 Mei 2018

1MDB memerlukan kira-kira RM42.26 bilion untuk membayar kos prinsipal dan faedah pinjaman yang matang antara November 2015 hingga Mei 2039.

Ini berasaskan andaian pelan rasionalisasi dilaksanakan dan tiada pinjaman baru dibuat selepas Oktober 2015, demikian menurut Laporan Pengauditan 1MDB yang baharu dikeluarkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon