Saturday, June 28, 2014

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood


Apakah itu filem Heist? Ia merupakan genre filem memaparkan jalinan plot yang kompleks mengenai sekumpulan pencuri (atau mungkin orang biasa!) yang ingin mencuri sesuatu.

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Filem sebegini juga biasa dipersembahkan dalam plot tiga babak iaitu babak pertama yakni persediaan rompakan tersebut (menghimpun ahli kumpulan, mengkaji pelan rompakan, menghasilkan gajet untuk rompakan dan lain-lain). Babak kedua pula adalah acara rompakan itu sendiri dan babak ketiga memaparkan twist atau perubahan dalam plot di mana ada pengkhianatan atau masalah dalam perancangan.

Kami senaraikan beberapa filem hebat Hollywood bercorak rompakan yang anda perlu tahu.

Reservoir Dogs (1992)

Reservoir Dogs (1992)

Filem ini merupakan filem debut Quentin Tarantino sebelum dia mula menempa namanya melalui filem "Pulp Fiction".

Kisah "Reservoir Dogs" mungkin bukan plot tiga babak biasa namun ia mendapat gelaran 'Filem Indie Terbaik Sepanjang Zaman' dan menjadi filem kultus kerana kreativiti plotnya yang berkisar tentang apa yang berlaku sebelum dan selepas rompakan.

Ia juga sebuah filem Tarantino yang tipikal – dipenuhi jenayah ganas, budaya pop, bahasa yang tidak sopan dan juga cara penceritaan yang tidak sejajar.

Filem ini turut mendapat perhatian kerana para pelakon yang terlibat. Siapa yang tidak mahu menonton sebuah filem yang dibintangi Harvey Keitel, Steve Buscemi, Tim Roth, Michael Madsen, Chris Penn dan Lawrence Tierney, kan?

Ocean's Eleven (2001)

Ocean's Eleven (2001)

Ya, sekalipun filem ini merupakan versi baru filem caper-heist lakonan Rat Pack (kumpulan aktor memfokuskan Humphrey Bogart, Frank Sinatra, Dean Martin, Sammy Davis Jr. dan sebagainya), Stephen Soderbergh agak bijak menggunakan nama-nama besar seperti George Clooney, Brad Pitt dan Matt Damon untuk memastikan "Ocean's Eleven" arahannya mendapat tempat di hati peminat yang lebih muda.

"Ocean's Eleven" yang mengisahkan Danny Ocean dan kumpulan pencuri profesionalnya mungkin antara filem rompakan yang menjadi pilihan kerana menggunakan plot tiga babak yang tradisional dan setiap babak mengenai pelan mereka untuk memecah masuk ke dalam peti kasino Las Vegas dan merompak AS$150 juta ini agak kemas dan sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan genre ini.

Inception (2010)

Inception (2010)

Dikenali sebagai filem rompakan eksistensial pertama, Christopher Nolan berjaya memecahkan tradisi filem rompakan biasa dengan menghasilkan kisah sekumpulan pakar pemecah mimpi.

Apakah harta karun yang ingin dicuri (atau dalam erti kata lain, dicuri masuk)? Idea. Bagaimana cara melakukannya? Dengan memasukkan pengaruh mereka melalui mimpi. Siapa yang akan melakukannya?

Seorang pencuri bernama Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) yang mencuri informasi melalui cara menakluk mimpi mangsanya, pembantunya Arthur (Joseph Gordon-Levitt) yang bertindak sebagai pemberi maklumat, rakan jenayahnya Eames (Tom Hardy) yang pakar dalam mencuri identiti, ahli baru mereka Ariadne (Ellen Page) yang bertindak sebagai arkitek mimpi dan Yusuf (Dileep Rao), ahli kimia yang membantu mereka melakukannya.

Ya, hanya Christopher Nolan sahaja yang boleh berfikir sejauh itu.

The Sting (1973)

The Sting (1973)

Filem rompakan yang juga sebuah filem caper (filem rompakan berunsur komedi) ini mungkin nampak seperti filem biasa, namun ia telah menerima sepuluh pencalonan termasuk Filem Terbaik di Anugerah Academy ke-46 suatu masa dahulu.

Kisah rompakan dengan plot yang kompleks ini dilakonkan oleh Paul Newman dan Robert Redford sebagai dua penipu profesional yang ingin mengenakan seorang ketua mafia.

Ia juga merupakan filem yang diinspirasikan daripada kisah benar Fred dan Charley Gondorff yang diabadikan melalui autobiografi, "The Big Con: The Story Of A Confidence Man".

The Killing (1956)

The Killing (1956)

"The Killing" merupakan sebuah filem rompakan dalam bentuk noir yang diarahkan oleh Stanley Kubrick. Ya, insan yang sama yang mempersembahkan anda dengan "A Clockwork Orange" dan "The Shining".

Filem lakonan Sterling Hayden, Elisha Cook Jr., Coleen Gray dan Ted de Corsia ini mengisahkan seorang penjenayah lama bernama Johnny Clay lakonan Hayden yang ingin melakukan satu lagi rompakan sebelum mengahwini kekasihnya, Fay.

Clay mengumpulkan rakan pasukannya yang terdiri daripada seorang polis korupsi, seorang penjaga kaunter pertaruhan, penembak tepat, seorang ahli gusti dan pelayan bar untuk cuba mencuri AS$2 juta duit pertaruhan lumba kuda..

The Usual Suspects (1995)

The Usual Suspects (1995)

Jika anda tidak tahu apa-apa tentang Keyser Soze, itu bererti anda belum lagi peminat setia genre ini. Filem neo-noir arahan Bryan Singer ini bermula sebagai satu filem inspirasi daripada dialog filem "Casablanca" yang diutarakan oleh watak Claude Rains.

Filem yang dibintangi Stephen Baldwin, Gabriel Byrne, Benicio del Toro, Chazz Palminteri, Kevin Pollak, Pete Postlethwaite, dan Kevin Spacey ini juga berjaya menaikkan lagi nama Kevin Spacey dalam industri perfileman di Hollywood.

"The Usual Suspects" bukan sahaja mendapat perhatian di Festival Filem Cannes 1995, malah penulisnya, McQuarrie dan Spacey telah berjaya memenangi anugerah Academy melalui filem ini.

Ia mungkin bukan filem rompakan yang biasa dan bermula dengan soal siasat Roger 'Verbal' Kint yang terselamat dalam kebakaran di atas kapal yang berada di Pelabuhan Los Angeles.

Kint lantas menceritakan kisah bagaimana dia dan empat penjenayah lain telah diupah oleh seorang ketua mafia yang misteri bernama Keyser Soze untuk menyeludup kokain bernilai AS$91 juta dan kejadian kompleks yang berakhir dengan kebakaran tersebut.

Perubahan plot di akhir filem ini bakal membuatkan anda terkejut, itu pun jika anda tidak pernah menontonnya atau membacanya di Wikipedia!

The Town (2010)

The Town (2010)

"The Town" bukanlah filem rompakan semata-mata. Apa yang ditonjolkan filem karya Ben Affleck ini adalah bagaimana seorang perompak akhirnya jatuh cinta dengan mangsanya dan apa yang harus dilakukannya demi meninggalkan kerjayanya dan bersama dengan wanita yang dicintainya.

Namun "The Town" juga merupakan kisah seorang lelaki perompak dan memiliki ahli kumpulannya sendiri. Ia tidak dilakukan dengan sambil lewa kerana setiap rompakan mereka dilakukan dengan terancang dan ada tiga rompakan yang dilakukan dalam filem ini, menjadikan filem ini satu gabungan genre heist, drama, romantik dan aksi dalam masa yang sama.

Tentu sekali, anda juga tidak akan lupa babak para perompak (lakonan Ben Affleck, Jeremy Renner, Slaine dan Owen Burke) yang merompak sebuah trak wang dengan memakai topeng biarawati dan bersenapang!

The Italian Job (1969)

The Italian Job (1969)

Ya, tidak sah senarai ini tanpa filem caper-heist yang paling popular. Tidak, kami tidak bercakap tentang versi remake tahun 2003 itu. Kami maksudkan filem asalnya yang dihasilkan pada tahun 1963 dan mempopularkan kereta Mini Cooper.

Ya, filem yang turut tersenarai sebagai filem British Terbaik Sepanjang Masa (disenaraikan di tempat ke-27).

Filem lakonan Michael Caine di era terbaiknya ini mengisahkan Charlie yang memulakan rancangan terbarunya untuk merampas emas bernilai AS$4 juta yang dipindahkan ke Itali dari China dengan menggunakan kenderaan yang cukup pantas, kecil dan sangat berguna – tiga buah kereta Mini Cooper S.

Filem ini dibarisi para pelakon British dan Itali hebat lewat tahun 60-an termasuk Michael Caine Noël Coward, Benny Hill, Raf Vallone, Tony Beckley dan Maggie Blye.

BACA INI JUGA: 6 Filem Balas Dendam Terbaik

1 comment

  1. owh baru aku tahu apa definasi filem heish antara smua filem kata ats aku suka filem
    smua siri Ocean's Eleven memng mnarik bro..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon