Saturday, February 01, 2020

Ketahui 4 Jenis Topeng Muka Paling Sesuai Dipakai Ketika Darurat Kesihatan

Ketahui 4 Jenis Topeng Muka Paling Sesuai Dipakai Ketika Darurat Kesihatan

Pemilihan topeng muka yang betul ketika berlakunya pencemaran udara atau tersebarnya virus amat penting untuk menapis sebarang partikel halus daripada masuk ke dalam sistem pernafasan seterusnya melindungi kesihatan kita.

Jenis Topeng muka

Namun, ramai masih mengambil mudah, bukan saja memilih pemakaian topeng yang tidak sesuai, malah langsung tidak menutup hidung biarpun berada dalam kawasan terjejas teruk.

1. Topeng Muka 3 Lapis (Sesuai untuk menghalang Coronavirus)

Penutup mulut dan hidung tiga lapisan adalah topeng muka yang paling sesuai digunakan orang awam sebagai langkah pencegahan ekoran penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCov).

Menurut Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, ia lebih selamat kerana boleh menghalang virus berkenaan tersebar melalui pengudaraan jika individu terkena titisan cecair dari hidung atau mulut yang dijangkiti Koronavirus.

Malah, ketika menghadapi ancaman virus ini, orang awam tidak digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis satu lapis dan N95.

Jenis ini dibuat daripada 3 lapisan dan mempunyai kualiti yang agak setanding dengan jenis N95.

Menawarkan lebih perlindungan kepada pemakai namun, topeng jenis ini juga hanya boleh dipakai sekali sahaja untuk memastikan anda tidak terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Penutup mulut dan hidung tiga lapisan yang digunakan ini juga perlu ditukar dalam tempoh beberapa jam untuk mengelakkan kuman membiak.

2. Topeng Muka Jenis N95 (Sesuai untuk jerebu)

Jerebu merujuk kepada keadaan udara tercemar dengan zarah yang boleh memasuki sistem pernafasan.

Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius terutama kepada yang mempunyai imuniti tubuh rendah serta penghidap asma.

Penting kepada masyarakat memahami topeng muka jenis N95 adalah topeng yang mampu membantu melindungi diri daripada udara berjerebu.

Bagaimanapun, ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan cara betul dan tidak direka untuk kanak-kanak.

Mereka yang mempunyai penyakit pernafasan yang kronik, sakit jantung atau masalah kesihatan lain perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan topeng jenis N95 kerana kerana ia mungkin memerlukan lebih banyak usaha untuk bernafas.

Topeng muka N95 sudah diuji dan disahkan mampu menapis sehingga 95 peratus partikel halus berukuran 0.3 mikron dalam udara berjerebu oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Amerika Syarikat.

Malah, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan penggunaan N95 terutama sekiranya bacaan IPU mencecah 101 ke atas.

Topeng N95 mempunyai bukaan di tepi kerana ia menutup bahagian hadapan mulut, menyebabkan udara luar boleh memasuki hidung dan mulut.

Bagaimanapun, N95 direka untuk mengurangkan pendedahan pemakai kepada pencemaran yang berada dalam udara.

3. Topeng Muka Jenis R95

Kedua-dua topeng muka jenis N95 dan R95 telah diluluskan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sebagai alat pernafasan dengan penapis zarah.

Kedua-dua topeng muka ini dapat menyaring partikel berbahaya sehingga ukuran 0.3 mikron dengan efisiensi lebih besar atau sama dengan 95%.

Namun, perbezaan utama antara N95 dan R95 ialah fungsi pertahanan terhadap partikel yang mengandungi minyak.

N95 hanya dapat digunakan di lingkungan yang mengandungi partikel bukan minyak (non-oil based).

R95 pula dapat digunakan di lingkungan yang mengandungi partikel minyak (oil based) dan partikel bukan minyak.

Oleh itu, respirator R95 adalah pilihan yang lebih sesuai untuk situasi yang melibatkan penularan wabak penyakit.

Sila tanya ahli farmasi atau ahli kesihatan tentang cara pemakaian respirator yang betul supaya fungsinya dapat dijamin.

4. Topeng Muka P95

Perbezaan utama antara topeng udara jenis P dan N adalah keupayaan topeng untuk menapis bahan pencemar berasaskan minyak.

Selain membersihkan bahan pencemar berasaskan minyak, topeng jenis P95 dapat menyaring 95% partikel di udara dengan berkesan.

Topeng muka jenis P lebih cekap serta lebih mahal daripada jenis N dan R, namun perlu diganti selepas kira-kira 40 jam penggunaan.

3 GRED UTAMA TOPENG MUKA

Ada 3 gred utama topeng muka iaitu N, R dan P. Contohnya, N95, P95 dan R95, melindungi sekurang-kurangnya 95% particulate matter atau habuk dan cecair biologi dengan ukuran lebih dari 0.3 micron.

Antara gred lain dalam kategori ini adalah N99, R99, P99, N100 dan P100.

Tiga gred yang berbeza ini diberikan bergantung kepada tahap rintangan penapis yang dipakai terhadap bahan seperti minyak.

Respirator jenis N bermaksud penapis yang ada tidak mempunyai sebarang ketahanan terhadap sebarang jenis minyak.

R pula mewakili penapis yang mampu menapis partikel minyak tetapi tidak sepenuhnya.

Sementara P pula bermakna penapis yang digunakan mampu bersifat kalis minyak.

Kesimpulan

Tahap keupayaan paling tinggi penapis muka adalah 100, di mana penapis mampu memerangkap 99.7% partikel udara daripada masuk ke dalam hidung.

Sebuah topeng atau penapis yang mempunyai tahap kecekapan seperti ini seakan-akan mempunyai tahap kecekapan terbaik, setanding dengan jenis-jenis penapis berkategori HEPA atau 'High Efficiency Particulate Air'.

Hanya ada tiga gred saja layak digunakan sebagai respirator, dengan gred 95 dianggap paling rendah dan 100 diletak sebagai paling tinggi.

Kesemua topeng respirator yang ada memang mampu membantu anda ketika menghadapi pencemaran dan mencegah penularan wabak berbahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 120: Diganggu Monyet Besar

SBDJ Siri 120: Diganggu Monyet Besar

Monyet itu merenung ke arah Haji Taslim Singasari, menunjukkan rasa benci dan marah sambil memperlihatkan gigi tajamnya yang putih. Monyet besar itu menderam dan bersedia mahu menerkam ke arah Haji Taslim Singasari.

Toyol jadi-jadian

"Hei beruk."

Mendadak saja Datuk bertempik dengan lantang sekali. Saya terperanjat, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari.

Mungkin marah kerana diganggu, beruk besar itu segera mengalihkan perhatian ke arah Datuk. Bersedia untuk menerkam dan merebahkan Datuk.

"Kamu rapat kamu jahanam beruk."

"Gggrr..." beruk besar bersuara sambil kedua belah tangannya menepuk dadanya yang berbulu hitam lebat, buat beberapa kali.

"Haa..."

Datuk menyergah sambil menghalakan buku lima ke arahnya dan Datuk mengacah untuk menerkam ke arahnya. Ternyata beruk itu tidak mudah digertak atau ditakut-takuti.

Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kirinya separas puting tetek sebelah kiri. Menjatuhkan perlahan-lahan dalam tiga tahap.

Datuk memahami isyarat itu. Apa yang Datuk lakukan seterusnya ialah, melangkah setapak ke depan sambil bersuara: "Kamu rapat kamu jahanam."

"Rapat sahabat, rapat," Haji Taslim Singasari memberikan semangat.

"Serang dia Datuk, serang," saya pula mencelah.

Gabungan suara saya dengan Haji Taslim Singasari menjadikan suasana sekitar gamat sekali.

Dengan serta merta beruk besar itu membelakangi Datuk. Kemudian dengan tidak semena-mena beruk besar itu lari ke arah sebelah kanan, masuk ke hutan kecil di situ.

Semua pepohon di situ jadi perhatian saya. Dedahan dari pepohon tersebut nampak bergoyang. Beberapa helai daun muda berguguran, akibat digayuti oleh beruk besar.

Anehnya! Beruk besar itu tidak kelihatan langsung. Entah ke mana ghaibnya.

Beburung yang tadi bernyanyi sambil berehat di reranting pokok segera berterbangan ke arah lain. Dedaun muda makin banyak yang berguguran.

Bunyi dahan yang berlaga sama sendiri akibat di pijak oleh sesuatu jelas kedengaran. Suara beruk jantan juga dapat saya dengar tetapi, beruknya tidak kelihatan langsung.

"Pedulikan semuanya itu."

Itu yang dituturkan oleh Datuk pada saya. Dengan rasa kesal saya alihkan pandangan ke arah Datuk dan Haji Taslim Singasari.

"Ya, pedulikan semuanya itu," Haji Taslim Singasari menyokong pendapat Datuk.

Kami beredar ke arah kaki tangga. Kulit muka saya mula terasa pedih akibat dipanggang oleh sinar matahari yang kian terik. Datuk segera hulurkan tangan pada Haji Taslim Singasari.

"Terima kasih atas kerjasama awak," suara Haji Taslim Singasari agak tersangkut-sangkut.

Datuk tunduk merenung tanah. Mungkin menahan kesedihan.

"Apa, haji boleh menghadapi semua masalah seorang diri."

"Saya cuba. Percayalah Allah lebih berkuasa atas segala-galanya. Cukuplah pertolongan yang awak beri," Haji Taslim Singasari memeluk tubuh Datuk.

Mereka berpeluk-pelukan sebentar. Kemudian tanpa disangka-sangka, Haji Taslim Singasari terus memeluk tubuh saya. Kepala saya digosoknya berkali-kali.

"Belajar dari Datuk kamu," itu pesanannya untuk saya.

Dan apa yang mampu saya lakukan ialah menganggukkan kepala beberapa kali. Datuk tersenyum dan Haji Taslim Singasari ketawa kecil. Penuh bangga dan simpati.

"Kalau begitu, biarlah kami berangkat dulu."

"Ya, silakan sahabat. Selamat jalan Tamar. Dengar cakap Datuk kamu. Bila Datuk kamu datang lagi ke sini, kamu mesti ke mari," saya kira tekanan nada suara begitu bersahaja sekali.

Orang tua yang banyak pengalaman itu menyembunyikan rasa hiba. Dan beberapa minit kemudian, saya dan Datuk terus meninggalkan halaman rumah Haji Taslim Singasari.

Terima kasih Haji Taslim Singasari, terlalu banyak pengalaman yang saya rangkum ketika berlabuh di rumahmu.

Semuanya ini akan saya jadikan teladan dan pedoman untuk masa akan datang.

Sesungguhnya, engkau telah memberikan sesuatu yang tidak saya terfikir, sejak menjejakkan kaki di bumi Balik Pulau ini, bisik batin saya bersama langkah yang teratur.

Sesekali, saya toleh ke arah rumah Haji Taslim Singasari yang kian jauh saya tinggalkan.

"Cepat melangkah tu, buat apa toleh-toleh ke belakang, kamu bukan tak tahu, hari tengah panas terik," Datuk seperti merungut.

Saya tidak memberikan sebarang komen, selain dari mempercepatkan langkah.

Datuk membuat kejutan lagi, saya kira perjalanan terus kepada matlamatnya. Apa yang saya duga ternyata tidak tepat sama sekali.

Datuk masih dengan perangai lamanya. Singgah di mana saja yang diingininya, terutama di rumah kenalan yang dianggapnya sebagai sahabat.

Begitulah Datuk, dalam perjalanan menuju ke bandar dia singgah sebentar di rumah Pak Imam.

Kedatangan Datuk dan saya disambut dengan penuh hormat. Kami dihidangkan dengan air kopi dan kuih buah melaka.

"Makan tengah hari di sini," pelawa Pak Imam.

"Tak payahlah. kami nak cepat sampai ke Tanjung," Datuk memberikan alasan, Pak Imam renung ke arah jam yang tergantung di dinding rumahnya.

"Baru pukul sebelas," kata Pak Imam.

"Makan tengah hari, lepas Zuhur bertolaklah, orang rumah saya nak masak gulai ikan puyu, sambal buah macang, cicah dengan pucuk sanglang," begitu bersemangat Pak Imam bersuara.

"Lain kali saja, Pak Imam," Datuk terus menolak.

"Ini permintaan saya, lain kali tu belum tentu dapat. Entah ada umur kita entah tidak," rayu Pak Imam.

"Kalau itu hajat Pak Imam, saya terimalah."

Senyuman yang panjang pun terukir di kelopak bibir Pak Imam. Di wajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat. Tetamu tidak menghampakan harapannya.

HARAPAN

Saat Datuk menceritakan pengalaman aneh yang dialaminya ketika berada di rumah Haji Taslim Singasari, saya minta kebenaran darinya untuk berjalan di tanah dengan alasan untuk menghilangkan jemu.

Permintaan saya diperkenankan oleh Datuk. Kepalang gembiranya hati saya dan kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik-baiknya.

Secara curi-curi saya meninjau ke arah rumah Masitah, anak saudara Pak Imam.

Lagi sekali hati saya dibungai kegembiraan, ada tanda-tanda yang menunjukkan hajat saya akan terkabul.

Memang menjadi harapan saya, sebelum meninggalkan bumi Balik Pulau, saya mahu menatap wajah dan senyuman Masitah.

Didorong oleh keinginan mahu menatap wajah Masitah, saya pun mula terhendap-hendap dan menyusup di bawah pokok manggis yang berdaun lebat.

Saya sandarkan badan di situ sambil menarik nafas kelegaan. Secara tidak disangka-sangka saya terpandangkan Masitah yang sedang menjemur kain di ampaian.

Sinaran matahari yang memancar keras, membuatkan kulit muka Masitah jadi kemerah-merahan.

Saya mula langkah ke arah pokok langsat pula. Jarak saya dengan Masitah tidaklah begitu jauh.

Tetapi, saya masih enggan memperlihatkan diri, masih bersembunyi di balik pokok langsat.

"Syyyyhhhhh..."

Saya segera membunyikan isyarat, cepat-cepat Masitah angkat kepala, renung kiri, renung kanan dengan pandangan yang liar.

Dia berhenti menjemur kain dan wajahnya nampak cemas sedikit. Masitah renung ke arah pokok langsat dan saya segera menunjukkan diri.

Masitah buat tidak peduli dengan saya. Dia terus jemur kain. Saya melangkah lagi, jarak saya dengan Masitah bertambah dekat dan saya pun jual senyum padanya. Hati saya bertambah sakit. Masitah buat tak kisah.

"Saya nak balik."

"Baliklah, kenapa bagi tahu saya. Datang dulu tak bagi tahu saya pun," hati saya bertambah sakit mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Masitah.

"Sombong sangat ni," kata saya lagi.

Masitah menjeling tajam ke arah saya bersama sebuah senyum yang sukar ditafsirkan maknanya. Apakah itu senyuman suka atau benci?

Badan saya berpeluh, bukan kerana panas, tetapi kerana rasa takut. Takut kalau gadis Balik Pulau yang kaya dengan adat ketimuran itu memecahkan rahsia.

Memberitahu kaum keluarganya tentang perangai saya yang buruk.

Kalaulah hal ini terjadi, lambat laun perkara itu akan sampai juga ke pengetahuan Datuk dan saya terpaksa menanggung malu yang bukan kepalang.

Dalam keadaan yang resah gelisah itu, saya dapat satu akal. Saya keluarkan pensel dan selembar kertas dari dalam saku seluar saya.

Tujuan saya bawa kertas itu untuk mencatatkan alamat Masitah.

Bila melihat pada sikap Masitah yang lain itu, ternyata apa yang saya inginkan, tidak akan terlaksana.

Saya harus bertindak segera sebelum kehampaan menjelma.

"Heiii..."

Saya segera mengangkat tangan ke arah Masitah yang merenung tajam ke arah saya.

Masitah yang sedang mengembangkan kain jemuran terakhir segera menggelengkan kepala. Tidak bersedia mahu mematuhi permintaan saya.

Masitah segera sidai kain terakhir. Kemudian dia melangkah ke arah rumahnya. Hati saya berdebar tidak tentu arah.

"Hiss nantilah dulu."

Sengaja saya tinggikan suara. Masitah tak jadi melangkah. Segera menoleh ke arah saya sambil mengangkatkan kepalanya dua tiga kali. Dia seolah-olah mengajukan pertanyaan: Ada apa?

Reaksi yang saya berikan ialah dengan menunjukkan kertas dan pensel ke arahnya. Masitah senyum.

Dengan tergesa-gesa saya menuliskan nama dan alamat pada kertas. Saya selitkan kertas itu pada ranting keduduk bercabang tiga.

"Jangan lupa ambil tau," kata saya.

Tidak ada jawapan dari Masitah. Tetapi apa yang jelas dia mengangguk. Ertinya, dia bersedia mematuhi arahan dari saya.

TUGAS

Saya kira tugas besar dan berat telah saya laksanakan. Cepat-cepat saya tinggalkan pokok langsat, melangkah tenang menuju ke rumah Pak Imam.

Entah macam mana, saya tersepak seketul kayu. Saya tidak dapat mengimbangi tubuh.

Saya terjatuh, bunyi tubuh menghempap bumi dan reranting kering dapat didengar oleh Pak Imam dan Datuk.

Mereka segera menuju ke muka pintu dan merenung ke arah saya yang tergesa-gesa bangun.

"Apa yang kamu cari dalam semak samun tu, Tamar," Datuk yang berdiri di ambang pintu mengemukakan pertanyaan. Dia bersedia mahu melangkah turun.

"Tak payah turun, dia tak apa-apa," Pak Imam menahan.

Datuk duduk kembali.

"Apa yang kamu cari di situ?" datang lagi pertanyaan dari Datuk.

Ternyata Datuk tidak puas hati. Pertanyaannya saya tidak jawab.

"Tadi saya nampak biawak di situ, saya terus kejar," jawapan untuk melepaskan batuk di tangga, saya berikan pada Datuk.

Pak Imam terasa sangsi dengan jawapan yang saya berikan. Ini dapat saya baca melalui memek mukanya.

"Di sini jarang ada biawak, entahlah pula hari ni ada biawak," suara isteri Pak Imam lantang dari arah dapur.

Kata-kata itu saya rasakan seperti menyindir saya. Dengan muka yang tebal saya berdiri di kaki tangga.

"Sudahlah Tamar, naik saja ke rumah," Pak Imam cuba menghilangkan rasa serba salah dalam diri saya.

Dengan tenang saya naik ke rumah. Duduk di sudut, menghala ke dapur. Apa yang saya buat, semuanya tidak kena, saya rasa Pak Imam bagaikan tahu dengan apa yang telah saya lakukan.

Begitu cepat masa berlalu. Tepat jam dua belas lebih, hidangan makan tengah hari pun tersedia. Semuanya amat menyelerakan. Lepas makan dihidangkan pula pengat pisang.

"Sempat awak buat semuanya ini," kata Pak Imam bila melihat isterinya mengatur piring pengat pisang di depannya.

"Bukan saya yang buat," kata isteri Pak Imam.

"Kalau bukan awak, siapa yang buat?"

"Masitah, dia ada di dapur tolong membasuh."

"Hum..." kata Pak Imam dan terus menikmati pengat pisang abu.

"Sedap, makanlah Tamar, apa malu-malu. Si Masitah buat pengat memang handal," sambung Pak Imam sambil merenung ke arah saya.

Lagi sekali, saya tersipu dengan sikap Pak Imam itu. Saya rasakan dia menyindir saya lagi.

"Ah, banyak sangat ni," kata saya dalam usaha menghilangkan rasa serba salah.

"Rasa dulu, lepas tu mesti kamu makan sampai habis," tanpa diduga Datuk bersuara. Datuk terus menikmati pengat pisang.

Datuk dan Pak Imam sudah pun menikmati pengat pisang dari hasil kerja Masitah. Saya masih belum memulakannya.

"Silakan," tutur Pak Imam.

"Cepat Tamar, kita nak balik jauh," Datuk pula seperti mendesak.

Dan saya pun memulakannya. Memang sedap. Dalam saya asyik menikmati pengat pisang, saya terdengar suara Masitah. Cepat-cepat saya panggungkan kepala lalu merenung ke dapur.

Masitah, bentak batin saya setelah melihat kelibatnya di ruang dapur. Bila saya mahu merenung untuk kedua kalinya, Datuk mula berdehem.

"Kau nak balik Masitah," terdengar suara isteri Pak Imam.

"Ya," pasti itu suara Masitah.

"Malam ni datang lepas Isyak, Pak Imam nak ajar kita tentang rukun sembahyang," terdengar lagi suara isteri Pak Imam.

"Saya datang, emak juga datang," sahut Masitah.

Hati saya bagaikan digaru-garu mahu segera bangun dan berdiri di muka tingkap mahu melihat Masitah yang ayu melangkah pulang ke rumahnya.

Sebagai anak muda yang ada maruah dan harga diri, sudah tentu perkara semacam itu tidak dapat saya lakukan.

"Kita sembahyang di masjid," Pak Imam memberikan cadangan.

Setelah berehat lebih dari setengah jam (selepas makan tengah hari). Masa berehat yang setengah jam itu dipenuhi dengan perbincangan dan perdebatan berhubung dengan perkara agama dari Datuk dan Pak Imam.

Secara tidak langsung pengetahuan saya turut bertambah. Setidak-tidaknya saya mengerti beberapa patah perkataan Arab.

"Saya setuju," Datuk memberikan kata putus.

Memang sudah direncanakan setelah menunaikan fardu Zuhur, saya dan Datuk akan meneruskan perjalanan ke Tanjung. Segala beg dan barang Datuk terpaksa dibawa bersama.

Masa saya menyarungkan sepatu, saya terus mencuri pandangan ke arah rumah Masitah. Perkara itu saya lakukan dengan hati-hati dan teliti sekali. Jangan sampai dapat dikesan oleh Pak Imam atau Datuk.

Saya masih beruntung, mata saya masih dapat menangkap bentuk tubuh Masitah berdiri di balik perdu durian yang berada di sempadan antara tanah milik ayahnya dengan tanah milik Pak Imam.

Masitah memakai baju kurung merah dengan kain warna coklat. Dia merenung ke arah saya.

TUNDUK

Dengan keadaan tertunduk kerana mengikat tali kasut, saya terus menjeling ke arah Masitah dengan ekor mata.

Entah mengapa gadis yang berkulit putih itu benar-benar mempengaruhi hati saya.

Loghat Pulau Pinang yang diucapkannya sering membuat saya tersenyum panjang.

Mungkin kerana tidak mahu menunggu saya yang mengambil masa agak lama mengikat tali kasut, Datuk dan Pak Imam beredar menuju ke kepala jalan.

Ini peluang yang cukup baik. Saya segera tegakkan tubuh dan merenung dengan tepatnya ke arah Masitah.

Paling menggembirakan hati, Masitah tidak lagi berdiri di balik pokok durian. Dia berdiri di tengah lapang. Saya lambaikan tangan ke arahnya. Lambaian saya dibalasnya.

"Balik dulu," kata saya.

Masitah tidak menjawab. Dia cuma senyum sambil mengerak-gerakkan tangan yang membawa makna yang dia akan menulis surat kepada saya berpandukan pada alamat yang saya berikan padanya.

"Bagus."

Tutur saya sambil menegakkan ibu jari.

"Aheeemmm."

Saya segera angkat kepala. Renung ke arah tingkap sebelah kanan. Isteri Pak Imam berdiri di situ.

Tanpa berkata apa-apa, saya terus berlari ke arah Datuk dan Pak Imam yang berdiri di kepala jalan.

Sampai di kepala jalan, saya toleh ke arah pokok durian. Masitah sudah ghaib. Agaknya, dia melarikan diri kerana tidak mahu perbuatannya dikesan oleh isteri Pak Imam.

Sepanjang perjalanan menuju ke masjid, hati saya menyanyi riang.

Setelah menunaikan sembahyang Zuhur, Pak Imam menghantar saya dan Datuk ke perhentian bas Balik Pulau.

Datuk meninggalkan pesan pada Pak Imam supaya mempengaruhi Mat Prai, agar dia sering pergi ke masjid, selalu membuat sedekah dan amal jariah.

Nampaknya, pesanan itu disambut oleh Pak Imam dengan baik sekali.

"Dengan izin Allah, saya cuba tunaikan. Itu pun kalau dia datang ke sini."

"Saya faham, saya mahu bila dia balik bercuti atau datang ke sini di musim durian, dia mesti buat amal ibadah, jangan mengejar duit saja. Kalau Pak Imam tak menegurnya, siapa lagi yang nak diharapkan," kata Datuk.

Bas pun bergerak meninggalkan perhentian. Dalam perjalanan yang membosankan itu, saya terus berangan-angan, menikmati zaman kegemilangan bersama Masitah.

Saya bayangkan yang kami berlari di gigi pantai. Membiarkan buih-buih ombak menyentuh kaki.

Kemudian, kami terjun ke laut lalu berenang melawan ombak. Angan-angan yang tidak bertepi itu terus membungsung tinggi dalam kepala saya.

Akhirnya saya terlena. Tidak tahu apa yang terjadi, sama ada di dalam perut bas atau di luar.

Saya terjaga bila bahu saya digoncang oleh Datuk berkali-kali. Bila saya buka mata, perut bas sudah kosong. Pemandu dan penjual tiket sudah berada di sebuah warung.

"Bangun, kamu tidur macam orang mati."

Saya diam. Tidak memberikan sebarang komentar atas kata-kata yang Datuk luahkan.

Dalam keadaan yang lesu saya terus bangun sambil menggosok-gosok kelopak mata.

"Kalau dah makan tak sedarkan dunia, inilah akibatnya kena angin bas terus tertidur, macam anjing mampus," Datuk terus merungut.

Macam tadi juga, saya tidak berani bersuara. Terus melangkah menuju ke pintu bas. Bila berada di luar baru terasa panas.

Saya dan Datuk terus menuju ke pengkalan. Dari situ kami menaiki feri menuju ke tanah besar.

Datuk membatalkan hasratnya untuk mengunjungi rumah Mat Prai kerana kesuntukan masa.

Kerana kesuntukan masa juga, Datuk naik teksi menuju ke Taiping. Dari Taiping menuju ke kampung baru naik bas. Menjelang Maghrib kami sampai di rumah.

Nenek menyambut kepulangan kami dengan wajah yang riang. Dia menyambut buah tangan dari Datuk yang dibeli di bandar Taiping. Datuk juga sembahyang Asar di Taiping.

Saya ingat sebelum menaiki bas, Datuk pergi membeli belah di kedai yang menjual buah-buahan.

Datuk juga membeli beberapa helai kain pelekat dan dua helai kain batik untuk nenek. Hadiah-hadiah itu membuat nenek gembira.

MALAM

Seperti selalu, setiap kali pulang dari perjalanan yang jauh, pasti saya menceritakan pada nenek hal-hal yang dialami.

Dan malam itu, secara kebetulan saya tidak ikut Datuk berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid.

Datuk memang ada mengajak saya kerana ada guru agama mengajar Tauhid tetapi saya menolak dengan alasan penat. Alasan itu dapat diterima oleh Datuk.

Selepas menunaikan fardu Isyak, saya terus mendekati nenek yang duduk bersila di tengah ruang. Cukup tenang nenek mengunyah sirih.

Bibir kecutnya nampak merah. Saya pun bercerita padanya tentang apa yang dialami ketika berada di Pulau Pinang.

Bila sampai bahagian cerita yang menakutkan, wajah nenek nampak cemas. Bila ada kisah lucu nenek ketawa.

"Tapi Tamar."

Nenek berhenti mengunyah sirih. Tepak sirih yang berada di hujung lutut segera ditolaknya ke tepi.

Matanya merenung tajam ke arah saya. Debaran cemas bersama perasaan ingin tahu mula menyelubungi hati saya.

"Kenapa nek?"

Nenek tersenyum. Masih keberatan untuk menceritakan sesuatu pada saya. Dia terus mengunyah sirih dengan seenak-enaknya.

"Kenapa nek?"

"Masa kamu sama Datuk tak ada di rumah ni, nenek tak pernah merasa aman. Belum pernah nenek berdepan dengan masalah yang sepelik ni, pada hal dulu Datuk kamu keluar sampai berbulan-bulan, tak ada yang mengacau. Tapi kali ini, lain macam pula," nenek memulakan ceritanya.

Bila saya mendekatinya, nenek tidak meneruskan ceritanya. Ini membuat saya resah.

"Apa yang nek nak ceritakan ni," saya mula mendesak. Nenek lunjurkan kedua belah kakinya.

"Setiap malam, macam ada orang datang, orang berjalan dan bercakap di luar rumah. Kadang-kadang terdengar bunyi orang makan," lanjut nenek. Tiba-tiba saja bulu tengkuk saya tegak berdiri.

"Selalunya, pukul berapa nek dengar?"

"Pukul dua belas malam ke atas," terang nenek bersahaja.

"Bila nenek buka pintu dan keluar, keliling rumah bawa suluh tak ada apa yang nenek nampak," sambung nenek lagi. Di wajahnya tidak terbayang keresahan.

Saya terdiam sejenak. Apakah perkara yang dialami oleh nenek itu ada hubungannya dengan kejadian di rumah Haji Taslim Singasari? Apakah syaitan-syaitan peliharaan Suhaimi Keraba boleh sampai ke sini?

Tahu pula yang nenek ni isteri Datuk. Mungkin ada makhluk-makhluk lain yang sengaja mahu mengacau nenek? Semuanya itu timbul dalam tempurung kepala saya.

"Nenek tak minta tolong, tak beritahu hal ini pada orang lain," saya mengajukan pertanyaan.

Mata saya liar merenung ke kiri dan ke kanan. Rasa takut terus bersarang di sudut hati.

"Buat apa beritahu orang."

"Apa pasal nek cakap macam tu."

"Kadang-kadang perkara macam ni, susah orang nak percaya."

"Tak percaya tak apa, asalkan diberitahu, setidak-tidaknya ada juga perhatian orang pada rumah ni."

"Buat apa menyusahkan orang kerana kita."

"Hum..." saya melepaskan sebuah keluhan.

Bosan dengan perangai nenek yang tidak jauh bezanya dengan perangai Datuk.

"Sekarang benda-benda tu tak datang lagi nek?" saya minta kepastian.

Sesungguhnya, saya memang tidak mahu perkara-perkara ganjil seperti itu datang mengacau nenek yang sudah tua.

"Entah, hilang begitu saja," balas nenek.

"Nenek tentang?"

Nenek gelengkan kepala dan terus mengunyah sirih. Saya lihat nenek seperti mahu menghabiskan cerita itu hingga ke tahap itu saja.

Dia seperti mahu melupakan saja, sudah pasti saya kurang senang dengan tindak-tanduk nenek itu.

"Apa yang nenek buat, cakaplah," saya cuba merayu.

"Eh, kamu ni, aku tak buat apa-apa. Dia mengamuk di luar, aku baca Yasin di rumah, aku sembahyang Tahajud. Aku buat seperti apa yang selalu aku buat. Biarlah dia nak bertendang, berterajang atau bersilat di luar rumah."

"Haa..." mulut saya terlopong.

"Apa lagi Tamar."

"Tak ada apa-apa nek," sahut saya.

Entah mengapa perkara sebodoh itu saya tanyakan pada nenek. Kenapa saya terlupakan yang nenek itu isteri Datuk.

Sebanyak sedikit sudah tentu Datuk mencurahkan ilmu pada isterinya. Setidak-tidaknya untuk perlindungan dirinya.

Saya segera menarik nafas dalam-dalam. Tidak lama kemudian Datuk pulang dari masjid.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 120/284

BACA: SBDJ Siri 119: Bayang Hitam Datang Lagi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tahukah Anda Berapa Jenis Coronavirus Yang Pernah 'Menyerang' Dunia?

Tahukah Anda Berapa Jenis Coronavirus Yang Pernah 'Menyerang' Dunia?

Coronavirus ditemui sekitar 1960-an tetapi ketika itu ramai tidak tahu asal-usul virus ini, yang mana nama 'Corona' diambil sempena nama 'Crown', bermaksud mahkota kerana rupa virus itu berbentuk seolah-olah mahkota yang mengelilingi tubuh sferanya.

Coronavirus type

Coronavirus adalah salah satu keluarga virus bernama Coronaviridae yang mampu menjangkiti sistem pernafasan haiwan mamalia dan manusia, terutamanya hidung, sinus (bahagian dalam hidung) dan tekak.

Jangkitan Coronavirus boleh merebak melalui hubungan seperti sentuhan antara haiwan-manusia dan sesama manusia, terutamanya sebaran batuk dan bersin.

Gejala-gejala pesakit virus ini adalah batuk, hidung berair, sakit tekak, kadang-kala deman dan kesukaran bernafas.

Namun, bagi memastikan pesakit betul-betul menghidap Coronavirus, kajian makmal diperlukan.

Jika pesakit mempunyai sistem imunisasi yang lemah, akan berlaku pneunomia, kegagalan gingal dan seterusnya kematian.

Ada 3 jenis Coronavirus yang pernah melanda dunia:

1. SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome)

SARS dikenalpasti di China pada tahun 2003, dengan Civet Cat adalah penyebar virus SARS kepada penduduk China.

Sebanyak 8437 kes dilaporkan di 30 buah negara dengan kematian seramai 774 orang pesakit. Sesetengah pesakit meninggal dunia akibat pneumonia.

2. MERS (Middle East Respiratory Syndrome)

MERS dikenalpasti di Arab Saudi pada tahun 2012 dan penyebab kepada sebaran virus ini adalah unta.

Sebanyak 2,429 kes dilaporkan dari 27 buah negara Timur Tengah dan pada tahun 2015, terdapat kes MERS di Korea Selatan, menjadikannya kes MERS pertama di luar kawasan panas jangkitan virus ini.

3. Wuhan Coronavirus, 2019-nCoV

Virus ini dikenalpasti di China pada tahun 2020, adalah virus terbaharu dari keluarga Coronaviridae yang dikesan pada 7 Januari setelah mengkaji sebaran penyakit sesama manusia.

Para saintis yang menjejak sumber penyebaran virus baru ini mendapati ia berasal dari kota Wuhan pada Disember 2019, lebih tepat di pasar ikan yang turut menjual haiwan-haiwan eksotik secara haram.

Menurut WHO (World Health Organisation), haiwan eksotik ini adalah sumber utama sebaran virus ini.

Para doktor menamakan spesis yang mula menyerang manusia ini sebagai novel-coronavirus atau dipanggil dengan singkatan 2019-nCoV. Pasti anda tertanya-tanya mengenai perkataan novel itu bukan?

Maksud terminologi novel yang digunapakai dalam perubatan adalah baru dan tidak pernah diketahui sebelum ini.

Dalam kes ini, walaupun sebelum ini terdapat kes yang sama, namun, apa yang berjaya diketahui oleh para saintis yang membuat penyelidikan terperinci sejak daripada kemunculan wabak ini adalah jangkitannya memang disahkan berasal daripada keluarga coronavirus, namun mempunyai perbezaan daripada segi struktur RNA (genetik) serta potensinya untuk menyebabkan seseorang pesakit itu maut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, January 31, 2020

Apabila Zuhud Tetapi Tidak Amanah

Apabila Zuhud Tetapi Tidak Amanah

Heboh dalam media maya dan media cetak berkenaan Mercedes Benz dengan harga dikatakan sampai RM700,000 sebuah, bukan kerana iklan kereta mewah tersebut. Ia menjadi heboh kerana negeri yang mengalami masalah kewangan, yang MB dan exconya telah menukar kereta kerajaan dengan kereta mewah tersebut.

Zuhud dunia

Heboh, apabila kereta mewah itu ada kaitan dengan negeri yang sebelum ini tersebar berita kononnya ada masalah kewangan sehingga tanpa bantuan kerajaan pusat, perjalanan pentadbiran negeri akan terbantut.

Heboh, apabila kereta mewah itu ada kaitan dengan satu berita bahawa kerajaan pusat baru sahaja menghulur bantuan kewangan kepada negeri tersebut.

Mengaku Parti Islam?

Dalam media sosial agak ramai juga mengkritik tindakan kerajaan Kelantan yang kini diperintah oleh PAS. Mereka mula membandingkannya dengan kenderaan kerajaan di negeri-negeri lain.

Mereka mula mempersoalkan, kenapa negeri yang jauh lebih kaya dan punyai kemasukan kewangan negeri yang lebih tinggi seperti Selangor, MB dan exco kerajaan mereka menaiki kereta yang jauh lebih murah berbanding Mercedes Benz.

Semasa pemerintahan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, isu kenderaan mewah tidak kedengaran sangat. Pendekatan zuhud yang menjadi amalan harian beliau memberi kesan pada persepsi politik Kelantan.

Apatah lagi, Tuan Guru amat terkenal dengan kesederhanaan semenjak menjadi MB sehinggalah beliau meninggal dunia.

Antara dua MB

Namun, berbeza semenjak jawatan MB Kelantan bertukar tangan. Kritikan yang berasas sering kedengaran.

Bermula daripada kelemahan pentadbiran dan pengurusan kewangan sehingga kemewahan para pemimpin negeri.

Kenapa ini berlaku?

Pada kita, apabila wujud dua era pemerintahan, sudah pasti rakyat akan membuat perbandingan. Itu perkara biasa dan menjadi lumrah bagi kehidupan manusia.

Ini bukan sekadar pandang tilik rakyat dalam membandingkan antara era pemerintahan Nik Aziz dengan Ahmad Yakob, tetapi berlaku juga perbandingan antara era BN dan PH dalam pemerintahan di peringkat Pusat.

Pada era kerajaan pusat sendiri, polisi ekonomi yang diperkenalkan Tun Mahathir turut dibandingkan oleh rakyat dengan polisi ekonomi yang diperkenalkan Najib.

Walaupun ramai marah terhadap skandal 1MDB yang melibatkan Najib, tetapi dalam banyak polisi ekonomi, tidak sedikit rakyat yang lebih selesa dengan pendekatan ahli parlimen Pekan itu berbanding Mahathir.

Malah, tidak sedikit juga rakyat membandingkan antara pentadbiran Mahathir dalam PH yang seakan-akan gagal membawa keseimbangan kaum berbanding era pentadbiran Mahathir semasa menjadi perdana menteri keempat semasa dalam BN dulu.

Semenjak isu Mercedes Benz dengan harga dikatakan berharga sampai RM700,000 sebuah dan melibatkan pemimpin PAS Kelantan, sudah ramai pengamal media sosial membandingkan kepimpinan yang zuhud tanpa melihat apa anutan agama pemimpin terbabit.

Terkenal tak bermewah-mewah

Pada saat ini, agak ramai juga pengamal media sosial mula mengangkat semula kisah kezuhudan Sayidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah Islam kedua, dan kisah cicit beliau, Umar Abdul Aziz yang menjadi khalifah pada era Umaiyyah.

Semua ini diangkat kerana mereka mahu membandingkan pemerintahan khalifah Islam terdahulu dengan pentadbiran PAS di Kelantan yang sejak sekian lama melaungkan slogan "Islam".

Dengan sebab slogan Islam yang dilaungkan oleh pemimpin PAS juga, ada pihak yang mula membandingkan pemimpin PAS dengan beberapa pemimpin bukan beragama Islam yang terkenal kerana tidak bermewah-mewah.

Jika dari Malaysia, sudah ada yang membandingkan pemimpin PAS dengan Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput yang "istiqamah" dengan Volvo buruknya semasa berkhidmat di Dewan Rakyat dulu.

Ada juga yang membandingkan pemimpin PAS dengan bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica, yang dikatakan sebagai pemimpin paling rendah diri dalam dunia moden.

Ketika Mujica bersara daripada politik pada 2015, BBC menggelarkannya sebagai "presiden paling miskin di dunia".

Dan dikatakan juga bahawa semasa bergelar presiden, Mujica mendermakan 90 peratus daripada gajinya setiap bulan, berjumlah RM46,560, untuk tujuan amal.

Perbandingan lain ialah antara pemimpin PAS dengan Mark Rutte yang merupakan Perdana Menteri Belanda yang sejak 2010 lagi hidup sederhana, dan masih tinggal di apartmen yang dibelinya setelah memperolehi sarjana muda sejarah dari Universiti Leiden pada 1992.

Dikatakan juga bahawa beliau hanya memiliki sebuah kereta terpakai Saab 93 yang dibelinya pada 1999, dan masih gemar mengayuh basikal dari kediamannya ke pejabat setiap hari.

Semua perbandingan ini keluar, tidak lain dan tidak bukan, kerana pemimpin PAS yang dahulunya melaungkan soal kezuhudan, kini kelihatan tidak lagi zuhud apabila menggunakan hujah agama untuk mengsakralkan kemewahan mereka; ketika memerintah negeri yang rakyatnya sedang mengalami masalah kemiskinan; apabila isu asasi seperti air masih tidak dapat selesaikan; apabila soal kebersihan masih membelenggu.

Walau bagaimanapun, ada hikmahnya berlaku kejadian sebegini.

Sedikit sebanyak, manusia - rakyat Malaysia khususnya - semakin faham bahawa soal kezuhudan tidak ada kaitan dengan apa-apa anutan agama seseorang.

Kita boleh saja menemui orang bukan Muslim yang zuhud dan memiliki sifat bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

Dan boleh sahaja kita jumpa Muslim yang kuat solat dan berpuasa, tetapi tidak ada amanah dalam pekerjaannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Pokok kunyit memerlukan kawasan yang mempunyai sinaran matahari melebihi 6 jam dan tanah yang tidak ditakungi air, dan sekiranya ditanam dalam pasu, pastikan pasu diletakkan pada kawasan yang terkena cahaya matahari yang cukup, kerana ia memerlukan cahaya yang penuh untuk pertumbuhan yang baik.

Pokok Kunyit

Kunyit sesuai ditanam di tanah lom, alluvium (telah di gembur) serta mempunyai pengairan dan saliran yang baik. Ia juga memerlukan PH tanah di antara 4.3 hingga 7.4. Taburan hujan di antara 1,000 hingga 2,000 mm setahun, adalah faktor pengalak untuk menghasilkan pengeluaran kunyit yang sihat.

CARA-CARA MENANAM KUNYIT

Rizom kunyit

1. Memilih Bibit

Kunyit ditanam dari cebisan rizom yang telah matang yang berukuran 4 cm. Rizom yang terpilih perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 2 hingga 3 tunas.

Bagi memastikan hanya rizom yang terbaik dipilih, ia perlulah direndam di dalam larutan racun kulat (benomyl atau 1% larutan Bordeaux) selama 15 hingga 30 minit dan kemudian dikeringkan.

Untuk mendapatkan tunas, anda perlu mendapatkan rizom ibu kunyit atau mana-mana bahagian tunas dan balut dengan menggunakan suratkhabar yang lembap dan letakkan dikawasan yang teduh dan lembap. Lepas 2-3 minggu, tunas akan mula keluar.

Anda juga boleh meletakkan rizom kunyit diatas tanah yang telah dilembabkan dan tutup (sungkup) dengan karung atau kain yang tidak lagi digunakan. Siram diatasnya dan letakkan di bawah tempat yang teduh dan tidak terkena sinaran matahari sepanjang hari.

2. Menanam Kunyit

Kunyit tumbuh subur pada tanah gambut. Tanah yang di cangkul baik dengan elok akan menghasilkan umbi kunyit yang melimpah.

Untuk mendapatkan kunyit yang 'gemuk', gunakan tanah yang longgar dan tak padat. Pastikan tanah sentiasa lembap namun elakkan dari bertakung, dengan memastikan saliran air sentiasa dalam berkeadaan yang baik.

Rizom yang telah bertunas perlulah di tanam dalam tanah sedalam 6 hingga 8 cm dan jarak antara 1 pokok kunyit ialah antara 2-3 kaki.

Kunyit akan mula bercambah pada minggu kedua hingga minggu ke empat selepas penanaman. Daun kunyit yang berwarna hijau akan tumbuh dan mengeluarkan aroma yang wangi.

Bunga dan rizom akan mula tumbuh pada minggu ke lima dan ke tujuh dan akhirnya ia aktif membentuk kunyit selama 7 hingga 10 bulan bergantung kepada variasi kunyit.

3. Pembajaan dan Penjagaan

Kunyit memerlukan baja organik (tahi ayam) pada 3 hingga 5 hari sebelum penanaman. Baja perlulah digaul dalam tanah di batas. Selain itu, baja NPK Biru juga perlu di tabur di sekeliling pangkal rumput kunyit.

Selepas pembajaan, pangkal kunyit perlulah ditimbun tanah bagi mengurangkan hakisan baja dan mengelakkan rizom yang bercambah muncul dipermukaan tanah.

Pengurusan ladang perlu dilakukan dengan sistematik bagi mengurangkan persaingan tumbuhan dengan rumpai dan selepas 9 – 10 bulan di tanam, kunyit boleh dituai dengan menggali menggunakan cangkul.

4. Penyakit

Antara serangga yang sering di dapati menyerang tanaman kunyit adalah ulat pengorek batang (Dichrosis sp) yang menyerang bahagian pangkal akar menyebabkan tunas menjadi layu, kering dan membusuk.

Belalang hijau yang akan memakan bahagian pucuk daun menyebabkan pokok kelihatan tidak sihat.

Racun Malathion 0.1% perlu di sembur di bahagian pokok dan bahagian yang terjejas perlu dibuang bagi mengelakkan dari berjangkit kebahagian pokok yang lain.

Selain itu, Bintik Daun (Colletorichum sp) dan Reput Rizom (Phytium sp) adalah 2 lagi penyakit yang sering berlaku dihadapi oleh tanaman kunyit.

Bintik daun yang menyerang daun kunyit yang tua menyebabkan daun kunyit berwarna karat di bahagian sisi atas dan bawah daun manakala reput rizom menyebabkan kulit akar mengering, mengelupas dan membusuk.

Oleh itu, racun kimia Dithane M-45 atau campuran Bordeaux boleh digunakan dengan merendamkan benih rizom sebelum proses penanaman.

5. Menuai Hasil

Kunyit boleh dituai apabila genap 9 bulan. Cara mengetahui pokok kunyit sudah boleh dituai ialah melihat daun-daun yang sudah mula mengering.

Sekiranya anda mahu menggunakan kunyit muda, tuai apabila kunyit genap 6 bulan. Jika mahukan yang matang pula tuai setelah genap 9 bulan.

6. Bagaimana mahu mendapatkan ubi kunyit?

Apabila daun mulai menguning dan batang kunyit mulai kering, ianya petanda ubi kunyit telah matang.

Mudah sahaja, hanya korek keseluruhan tanaman termasuk bahagian akar. Ambil bahagian yang diperlukan, dan bahagian yang bertunas boleh terus ditanam semula.

CARA TANAM KUNYIT DALAM PASU

Menanam kunyit dalam pasu dengan cara yang betul memerlukan ilmu yang sesuai dan praktikal. Ini kerana pokok kunyit ini kalau tidak ditanam dengan betul, bukan sahaja akan kurang subur dan tidak berhasil tetapi akan mencacatkan permandangan.

Untuk mereka yang tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau dimana dihalaman rumah sudah habis di simen, maka kaedah alternatif yang boleh digunakan adalah menanam di dalam pasu.

Kalau hendak menggunakan pasu boleh guna pasu biasa atau pasu plastik atau bekas plastik minyak masak dengan media tanaman yang dijual dipremis semaian.

Menanam kunyit dalam pasu biasanya umbisi tidak mahu membesar seperti menanam di kebun. Bagaimanapun, jika kena cara amalan agronominya yang betul maka ia tidak lagi menjadi masalah.

Kalau anda menanam kunyit dalam pasu dan tiada umbisinya pun tidak mengapa kerana boleh di petik daunnya untuk kegunaan masakan.

Kalau hendak tanam kunyit dalam pasu pastikan ada 3 perkara iaitu Pasu, Media Tanaman dan Benih Kunyit.

Pilih benih kunyit tua yang sihat, tidak berpenyakit dan saiz yang sesuai untuk dijadikan benih. Sebaiknya pilih benih ubi kunyit yang mempunyai tunas besar berwarna keputihan di hujung ibu kunyit atau ia adalah mata tunasnya. Warna putih-putih itu sebenarnya menunjukkan ubi kunyit itu bersedia untuk tujuan mengeluarkan daunnya.

Pastikan menyediakan saiz pasu sesuai dan media tanaman seperti jenis tanah campuran (3:2:1) yang sesuai. Tanah yang bagus untuk diisi dalam pasu adalah tanah yang mana ia mempunyai campuran tanah pasir, tanah bakar dan sabut kelapa@cocopeat.

Beli saja tanah di nursery bunga atau di pasaraya bahagian barang-barang perkebunan. Masukkan tanah ke dalam pasu dan buat lubang dalam kedalaman 2-3 inci.

Masukkan benih kunyit tadi dan pastikan mata tunas ibu kunyit yang berwarna keputihan menghala kebahagian atas. Ia kemudian ditimbus dengan paras tanah dan pastikan sentiasa disiram tetapi jangan berlebihan air sehingga akan menebabkan benih busuk.

Kebiasaaanya mata tunas kunyit tadi akan mengeluarkan tunas berdaun untuk tumbuh dalam masa 1-2 minggu. Pasu yang ada pokok kunyit boleh juga anda letakkan di bawah pencahayaan yang optimum.

Tapi untuk rumah teres atau kondominium di bandar, anda boleh meletakkannya di bawah tempat separa berbumbung seperti di tepi balkoni atau bucu bumbung. Kalau letak di tempat yang terlalu teduh menyebabkan daun yang tumbuh tidak akan lebar dan lazimnya ia akan tumbuh kecil dan kurus sahaja.

Pastikan air siraman tidak bertakung kerana pokok ini tidak suka tanah yang lembap. Sebaiknya di siram 2 kali sehari di awal pertumbuhan. Bila pokok sudah besar maka bolehlah di siram hanya sekali sehari samada di awal pagi atau petang.

Anda juga boleh menggunakan 'plant gel' dalam media tanaman dan tidak perlu disiram selalu dan kalau ditinggalkan tanpa disiram berminggu pun pokok tidak akan mati kerana gel tersebut mampu menyimpan air. Kaedah pembajaan pula cukup sekadar baja organik di awal penanaman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Ketahui Bahaya Guna Botol Plastik Berulang Kali

Ketahui Bahaya Guna Botol Plastik Berulang Kali

Ramai daripada kita tidak pernah terfikir tentang keburukan mengulang guna botol plastik, terutamanya untuk menyimpan air kerana menganggap ia tidak berbahaya kepada kesihatan namun, anggapan itu sebenarnya salah kerana bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan plastik polikarbonat, Bisphenol A (BPA) larut ke dalam air dan boleh menimbulkan bahaya.

Bahaya botol plastik

Pengkaji mengaitkan BPA dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit berkaitan kesuburan lelaki dan wanita, meningkatkan risiko kanser berkaitan hormon seperti payudara dan prostat.

BPA juga bukanlah satu-satunya punca kepada masalah itu, sebaliknya kajian dilakukan di Frontiers in Chemistry mendapati, botol air daripada pelbagai negara mendapati 93 peratus daripadanya memiliki bahan plastik dikenali sebagai mikroplastik yang larut ke dalam air.

Bagaimanapun, ketika ini banyak syarikat pengeluar air dalam botol plastik telah memilih menggunakan bahan bebas BPA dan menggantikan dengan Bisphenol-S (BPS) atau Bisphenol-F (BPF).

Biasanya, pengilang akan memberi kenyataan pada label jika botol plastik yang digunakan bebas dari bahan BPA.

Pun begitu, kedua-dua bahan itu dianggap berbahaya kepada kesihatan manusia dan atas sebab itu juga, bekas plastik tidak digalakkan dimasukkan ke dalam microwave.

Dalam kajian lain dilakukan Treadmill Reviews, pengkaji turut menguji pelbagai jenis botol air yang digunakan kembali oleh atlet selama seminggu.

Hasil kajian itu mendapati, sebanyak 313,499 bakteria terbentuk dan jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada kuman di mangkuk tandas.

Lebih mengerunkan, 60 peratus daripada kuman itu boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Fakta Bahaya Plastik

Ada tiga bahan asas dalam membuat plastik iaitu phthalate, bisphenol A (BPA) dan kadangkala dicampur juga bahan polybrominated diphenyl ethers (PBDEs).

Phthalate adalah bahan paling banyak digunakan dan berfungsi melembutkan plastik yang keras.

Kedua tertinggi adalah BPA sebagai bahan menjadikan plastik lebih keras, tahan lama dan menghalangnya daripada pudar.

Ketiga adalah PBDEs dan bahan ini menjadikan plastik kalis air yang banyak digunakan dalam penghasilan telefon bimbit dan barangan elektrik.

Bagaimanapun, wujud campuran beberapa bahan lain yang lebih bertoksik seperti pewarna dan pewangi dalam penghasilan plastik bagi meningkatkan kualiti barangan itu secara tidak langsung mendedahkan lagi risiko bahaya kepada manusia.

Plastik pada asasnya berbentuk polimer berantai panjang (seperti tasbih) dan apabila terlerai menjadi molekul kecil yang dipanggil monomer.

Apabila ia terurai maka terhasillah BPA dan phthalate dalam air atau tanah yang akhirnya masuk ke dalam tubuh manusia serta haiwan.

Apabila bahan ini (phthalate dan BPA) masuk ke dalam tubuh manusia ia akan tersimpan di dalam lemak dan boleh menyebabkan gangguan sistem badan terutama pada kanak-kanak.

Kandungan phthalate yang banyak dalam darah atau badan manusia boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti.

Selain itu, kesan lain adalah gangguan terhadap organ pembiakan terutama kepada kanak-kanak termasuk kelewatan akil baligh.

Satu perkara amat penting untuk diketahui, bahan ini boleh mengganggu proses pembentukan janin dalam kandungan sekiranya ibu banyak terdedah kepada phthalate.

Ada beberapa kemungkinan lain yang boleh terjadi seperti kecacatan dan bayi akan mengalami gangguan organ pembiakan apabila dewasa kelak.

Ada laporan mengaitkan plastik dengan masalah kesihatan lain termasuk kanser. Bagaimanapun kajian itu menyebut kesan bahaya plastik kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun.

Oleh itu, kemungkinan besar peningkatan penyakit kanser yang berlaku mutakhir disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama.

Dalam kajian lain menunjukkan 10 peratus daripada semua plastik yang dikeluarkan di seluruh dunia berakhir di lautan dan kemudian membentuk ‘Pulau Sampah’ di tengah Lautan Pasifik.

Masalahnya, plastik yang terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik.

Mikroplastik adalah zarah plastik berukuran antara lima milimeter (mm) dan 0.1 mikrometer (um) manakala nanoplastik pula saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009.

Kedua-dua bahan ini akan terkumpul dalam badan hidupan laut iaitu ikan apabila memakan plankton atau tumbuhan laut yang sudah dicemari mikroplastik dan nanoplastik.

Ia akan terkumpul dalam badan ikan kerana haiwan ini tidak mampu menghadam dua bahan berkenaan. Pengumpulan bahan ini yang banyak akan menyebabkan kehidupan haiwan ini terganggu atau boleh mengakibatkan kematian jika jumlahnya terlalu tinggi.

Laut tercemar plastik

Kemudian, manusia yang makan ikan dicemari mikroplastik dan nanoplastik akan menerima kesan yang hampir sama seperti haiwan berkenaan.

Kehadiran bahan-bahan itu tidak boleh dirasai manusia kerana mikroplastik dan nanoplastik tidak berbau atau berwarna tetapi bahan kimia berkenaan akan meresap dalam tubuh manusia sehingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Ancaman senyap daripada penggunaan barangan plastik membimbangkan banyak pihak.

Penyelidik juga mendapati nanoplastik yang terkumpul dalam tisu otak ikan menyebabkan perubahan tingkah lakunya menjadi seperti tidak aktif. Senario itu menunjukkan betapa bahayanya kesan plastik terhadap alam sekitar, manusia dan hidupan lain.

Plastik mengambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada di mana bahan itu berada.

Apabila bahan ini susah mereput, ia akan menambahkan lagi bilangan plastik sedia ada hingga menjadi beban kepada alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Benarkah Wabak Maut Akan Berlaku Setiap 100 Tahun?

Benarkah Wabak Maut Akan Berlaku Setiap 100 Tahun?

Dengan kemelut virus korona daripada China, ramai yang cuba mengaitkan angka 20, yang kalau dilihat dari satu sudut, boleh nampak kebenaran disebaliknya. Virus Wuhan menular pada tahun 2020. Sehingga 28 Januari, virus ini telah menjangkiti 4,000 orang (The New York Times, 2020).

Wabak Maut 100 Tahun

100 tahun sebelumnya ialah giliran Influenza Sepanyol mengundang keuzuran terhadap 500 juta orang. Influenza ini merupakan antara yang paling membunuh dalam sejarah. Namun tidak terhenti di situ, kerana pada tahun 1820 pula penyebaran kolera telah membunuh ramai orang. Dan sekali lagi, 100 tahun sebelumnya, sebuah wabak besar membunuh sekurang-kurangnya 100,000 orang.

Apabila disunting sekali dalam suatu gambar, tularlah kisah menarik bahawa setiap 100 tahun mesti berlaku sejenis wabak. Orang pun pakat kongsikan dan sebarkan pendapat ini dengan gambar seperti dibawah:
  • Epidemik Cocoliztli 1550 (Mexico)
  • Malaria Amerika Selatan (1650)
  • Campak 13 Koloni (1750)
  • Demam Kuning Amerika (1850)/Influenza Amerika Utara (1850)
  • Kolera Mesir (1950)

Maka pada tahun 2050, kepercayaan yang sama mengatakan akan berlakunya suatu lagi penularan yang mengancam nyawa orang ramai. Ternyata perkaitan sedemikian bertatahkan syirik kerana wujud unsur ramalan. Sebenarnya tragedi ketiga tidak tepat pun kerana Campak 13 Koloni berlaku pada tahun 1747. Dan angka di atas pun ada masalah keralatan dari segi tahun.

Wabak Besar Marseille 1720

Sebelum tahun 1720, suatu wabak yang begitu besar telah menimpa dunia. Catatan sezaman telah merekodkan bahawa tanggapan umum mengatakan inilah kiamat. Tidak kira Islam atau Kristian, semua orang sudah takut. Dari Mekah sampai England, mayat bergelimpangan secara terbuka sekali gus mencetuskan krisis kesihatan jauh lebih teruk daripada wabak sedia ada.

Bakteria yang sama iaitu Yersinia pestis telah menimpa Marseille pada tahun 1720. Kematian 100,000 orang ini juga membunuh aktiviti ekonomi khususnya perdagangan daripada Barat ke Timur. Dan populasi semasa meningkat kembali ke paras pra-wabak 45 tahun kemudian.

Pandemik Kolera 1820

Disini terdapat keralatan dari segi data, kerana pandemik sedemikian tidak bermula pada tahun 1820. Sebaliknya, kota Calcutta telah menjadi punca penyebaran bermula tiga tahun sebelumnya.

India pada masa itu ialah periuk yang sentiasa menanak kolera. Tetapi kali ini lain pula, kerana kolera sedemikian merebak jauh keluar India sampai China dan Laut Mediterranenean.

Kegiatan penjajahan British dan perdagangan dunia juga memudahkan penyebaran ini. Ratusan ribu orang terkorban angkara pandemik ini. Dan setelah dikaji, titik paling awal kolera ini ialah Sungai Ganges yang sangat kotor.

Setelah beribadat, ramai kembali ke kampung mereka sambil membawa bala kolera tanpa disedari. Disebabkan inilah kolera sangat mudah menular sampai senang kata India sangatlah sinonim dengan kolera

Influenza Sepanyol 1820

Keralatan dari segi tarikh ini ibarat sama dengan Campak 13 Koloni yang dikatakan berlaku pada tahun 1850. Sedangkan campak sebenar bermula tiga tahun sebelumnya.

Keralatan yang sama juga berlaku bagi Influenza Sepanyol, kerana titik terawal ialah 1917 di hospital sekitar Etaples, Perancis.

Akibat kekurangan dari segi pengetahuan, maka influenza ini merebak dengan begitu pantas dan tangkas sampai beratus juta orang terkorban kerananya. Kegiatan peperangan dan aktiviti perdagangan global membawa influenza ini ke Amerika Syarikat pun.

Bukan semua perkara mempunyai tarikh sama wajar dikaitkan. Tragedi-tragedi sedemikian bukanlah ulangan 100 tahun.

Ini kerana wabak berlaku pada bila-bila masa pun, khususnya pada zaman-zaman yang serba-serbi kurang dari segi ilmu pengetahuan dan teknologi perubatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, January 30, 2020

Benarkah Novel Coronavirus (2019-nCoV) Senjata Biologi China?

Benarkah Novel Coronavirus (2019-nCoV) Senjata Biologi China?

Dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) dihasilkan dalam makmal sebagai senjata biologi dengan vaksinnya telahpun tersedia, adalah tidak tepat, demikian menurut Factcheck.org.

Novel Coronavirus

Malah, sehingga ke hari ini tidak ada vaksin bagi virus baharu itu dan tidak ada paten berkaitan dengan virus berkenaan, demikian menurut pertubuhan bukan-keuntungan yang bekerjasama dengan Facebook untuk membongkar maklumat tidak betul, dalam laman webnya.

Memetik Centers for Disease Control and Prevention, pertubuhan itu menyatakan bahawa 'teori konspirasi' yang tersebar melalui platform media sosial mengaitkannya dengan paten yang sebenarnya berhubungan dengan dua virus yang berlainan dalam keluarga Koronavirus, yang terbentuk oleh sekumpulan virus yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan kepada manusia dan beberapa jenis penyakit lain kepada binatang.

Satu paten adalah untuk satu urutan genetik virus yang menyebabkan SARS yang mana urutan itu dilakukan di CDC semasa wabak SARS dan paten itu dikemukakan oleh mereka.

Manakala paten lain yang sepatutnya berhubungan adalah untuk satu bentuk mutasi bagi virus bronkitis jangkitan burung, atau OBV, yang dikemukakan oleh Institut Pirbright, sebuah institut penyelidikan di UK, yang menjangkiti ternakan tetapi bukan manusia.

"Tiada satu pun daripadanya mempunyai kaitan dengan virus baharu 2019-nCoV. Ini jelas satu teori penipuan kononnya virus ini dihasilkan dalam makmal, dipatenkan dan telah mempunyai vaksinnya", kata Matthew Frieman, seorang penyelidik Koronavirus di Universiti Maryland, dipetik sebagai berkata oleh laman web Factcheck.org.

Antara catatan dalam Facebook itu, yang dikongsi bersama oleh Factcheck.org dalam laman webnya berbunyi, "Cukup lucu sekali, sudah ada paten untuk Koronavirus yang difailkan pada 2015 dan diluluskan pada 2018," dan satu lagi yang dikongsi dengan yang lain dan sebahagian daripada siri hantaran tidak benar mengenai Koronavirus, yang mendakwa bahawa virus itu 'baharu' tetapi ia dihasilkan dari makmal dan dipatenkan pada 2015 (dalam pembangunan sejak 03)."

Buat masa sekarang, Factcheck.org menyatakan para penyelidik masih berusaha untuk memahami asal usul, penyebaran dan keterukan berhubung virus terbaharu Koronavirus.

Bukti mencadangkan bahawa virus itu berkemungkinan menjangkiti manusia daripada sejenis binatang yang masih belum dikenal pasti, seperti yang berlaku sebelum ini untuk Koronavirus yang lain.

Contohnya, virus SARS, dikatakan terhasil daripada kelawar dan kemudian merebak kepada manusia menerusi musang, binatang menyerupai seperti kucing yang dimakan sebagai sajian istimewa di Asia.

Virus SARS kemudian terbukti boleh dijangkiti daripada seseorang kepada yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

DAP Keluar Kerajaan Jika UEC Tidak Diiktiraf!

DAP Keluar Kerajaan Jika UEC Tidak Diiktiraf!

Timbalan setiausaha agung DAP, Nga Kor Ming, akhirnya mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan keras, bahawa parti itu akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

DAP Keluar PH

"Kita malah mencapai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.

"Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang," kata Nga kepada Oriental Daily.

Sebahagian daripada video wawancara itu turut dimuat naik ke atas talian.

PH, terutamanya DAP, dihentam masyarakat dan parti Cina atas alasan lambat dalam usaha memastikan kerajaan mengiktiraf UEC, seperti dinyatakan dalam manifesto 2018 PH.

Selain isu UEC, DAP juga dikritik tidak bersuara dalam banyak itu.

SOKONG DAP KELUAR PAKATAN

Sementara itu, Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya, menggesa seluruh rakyat untuk terus mendesak kerajaan agar tidak melayan nafsu parti tamak haloba, DAP yang mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurutnya, kenyataan Kor Ming itu sekali lagi menunjukkan keangkuhan DAP terhadap pimpinan gabungan parti pemerintah PH terutamanya kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Bahkan, kenyataan beliau juga seolah-olah mengugut semua pimpinan PH termasuk perdana menteri supaya akur dengan pandangan DAP.

Ini bukan kali pertama pimpinan DAP berlagak sombong sebegini tanpa menghormati pimpinan Majlis Presiden PH.

Sebab itulah dari awal lagi rakyat sering mengatakan bahawa kerajaan hari ini dikuasai oleh DAP. Keberanian membuat kenyataan seperti ini menunjukkan memang DAP mempunyai kuasa yang besar dalam PH.

Sikap sombong dan tidak mengendahkan perbincangan membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti yang memperjuangkan perpaduan, keharmonian serta sensitiviti kaum lain.

Sebaliknya, mereka melambangkan sebuah parti yang hanya menimbulkan perpecahan dan harus ditolak oleh rakyat.

Rakyat sudah jelas akan kepincangan di dalam sistem UEC yang akhirnya akan menyebabkan pecah-belah tetapi DAP tidak mengambil kisah.

Rakyat perlu mendesak kerajaan terutama perdana menteri untuk terus menolak UEC dan membiarkan DAP keluar dari PH supaya dengan itu kerajaan baru boleh ditubuhkan dengan gabungan-gabungan parti lain, jika perlu.

Biar kita lihat, adakah DAP benar-benar akan keluar kerajaan?

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Novel Coronavirus: WHO Akui Ditahap Berbahaya!

Novel Coronavirus: WHO Akui Ditahap Berbahaya!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dikritik dengan cara mereka mengendalikan wabak coronavirus (2019-nCOV) yang melanda China, dengan amaran bahawa risiko jangkitan wabak yang melanda peringkat serantau dan global adalah pada paras tertinggi.

Novel Coronavirus

Sangat tinggi di China, tinggi di peringkat serantau dan tinggi di peringkat global, kata laporan WHO.

Dalam satu laporan lain, WHO menjelaskan bahawa mereka telah menyatakan 'dengan tidak tepat' bahawa risiko pada peringkat global adalah 'sederhana'.

Walau bagaimanapun, penilaian terbaharu tidak akan mengubah apa-apa terutamanya berkenaan dengan pengumuman darurat antarabangsa.

WHO sebelum ini menghentikan pengumuman coronavirus sebagai darurat kesihatan disebabkan bimbang dengan komuniti antarabangsa.

Sebelum ini, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang mengunjungi China telah diajukan beberapa soalan mengenai pendirian WHO.

Ini adalah kecemasan di China tetapi ia belum menjadi kecemasan kesihatan global, katanya.

Virus yang dikenal pasti di bandar Wuhan di China pada 31 Disember 2019 lalu telah menjangkiti beribu-ribu orang di seluruh dunia dan menyebabkan kematian – semuanya di China.

ADAKAH 2019-nCoV SENJATA BIOLOGI?

Saintis telah memberi amaran pada tahun 2017 lagi bahawa sesuatu perkara buruk akan terjadi jika terdapat kebocoran di makmal yang dibina bagi mengkaji beberapa patogen berbahaya di dunia.

Mail Online melaporkan bahawa China telah membina satu makmal bagi membuat beberapa kajian pada 2017 dan merancang untuk membina lima ke tujuh makmal lagi.

Tujuan makmal ini dibina adalah untuk mengkaji virus lain termasuk Ebola dan SARS.

Tim Trevan, seorang perunding biokeselamatan Maryland, memberitahu Nature bahawa beliau risau dengan budaya China yang tidak bersifat terbuka, akan memberi kesan buruk kepada makmal tersebut dengan merujuk bahawa 'institusi ini tidak selamat untuk merasa bebas'.

Difahamkan bahawa kerisauan beliau mempunyai asas apabila dilaporkan virus SARS telah berjaya 'melarikan diri' beberapa kali dari makmal di Beijing, menurut Nature.

Dalam masa yang sama makmal Biokeselamatan Kebangsaan Wuhan rupanya terletak kira-kira 20 batu dari Huanan Seafood Market.

Pasar basah ini dilaporkan sebagai punca utama kepada penyebaran virus ini, kerana budaya masyarakat China yang suka memakan semua benda telah dipercayai menjadi akibat kepada virus ini menular.

Para saintis percaya bahawa virus tersebut telah disebarkan melalui haiwan kepada manusia sebelum merebak kepada manusia dan manusia.

Tetapi, 'pada masa ini tidak ada sebab untuk menyatakan syak wasangka' bahawa makmal itu mempunyai kaitan dengan wabak tersebut, lapor ahli mikrobiologi Universiti Rutgers Dr Richard Ebright.

Manakala Dr. Guyan Yi, Pengarah Makmal Utama Penyakit Berjangkit di Universiti Hong Kong menyatakan kebimbangan bahawa situasi di Wuhan sudah 'tidak terkawal' dan berpotensi menjadi 10 kali lebih buruk daripada sebelum ini.

"Saya telah mengalami begitu banyak ketakutan. Kebanyakan virus dikawal, tetapi kali ini saya takut."

Dr. Guan Yi dan pasukannya adalah antara saintis pertama yang berjaya menjejak virus SARS beberapa tahun yang lalu dan telah menggesa kerajaan China untuk menutup semua pasar yang menjual daging haiwan eksotik.

Walau bagaimanapun, disebabkan kelemahan dalam undang-undang penjualan produk hidupan liar, sesetengah pasar masih menjual produk yang dilarang kepada orang ramai.

Semasa temu bual dengan Caixin, salah satu cawangan berita terbesar di China, Guan menyatakan ketakutan beliau bahawa mangsa yang dijangkiti dengan virus ini mungkin akan meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2