Aug 20, 2015

Apabila Pemimpin Mencintai Dunia Dan Takut Mati

Kematian adalah suatu yang hak, yang benar dan akan dirasai oleh semua makluk yang bernyawa. “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian” (Ali Imran: 185).

Politik+Kotor

Walaupun tajuk ini seperti anti-klimaks dan pasti ramai tak suka membacanya, mengingati mati sebenarnya akan “menghidupkan” jiwa kita untuk maju, bersatu dan lebih giat berusaha.

Saranan tersebut amat bertepatan dengan kata-kata bijak pandai iaitu, “Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati keesokan hari.”

“Wahai Pemimpin, Ingatlah Mati!”

Soal “pergeseran” di kalangan ahli-ahli politik adalah perkara biasa. Namun ia seharusnya terkawal di tahap persaingan sihat dalam amalan demokrasi.

Bagi ahli politik yang beragama Islam pula, pergeseran itu tidak boleh sama sekali melanggar prinsip akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Berpolitiklah kerana Allah demi berbakti kepada manusia. Ahli politik mestilah berusaha membawa diri dan masyarakat untuk mentaati, membesarkan dan tunduk kepada kebesaran dan keagungan Allah.

Dan mereka juga mesti mengurus, mentadbir serta memakmurkan Negara berpandukan syariat dan akhlak Islamiah. Jadilah hamba Allah sebelum menjadi khalifah!

Seperti yang disabdakan oleh baginda SAW, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan terhadap pertanggungjawabannya.”

Bahagia atau tidak kita di akhirat sana, sangat bergantung pada sejauh mana kita melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya di dunia sini. Ingatlah, kita akan mati. Dengan mengingati mati barulah lahir ahli politik yang benar-benar ikhlas.

Ahli politik yang ingat mati akan mempunyai kesedaran bahawa “KPI”nya bukan sahaja dinilai oleh rakyat dan atasannya tetapi juga oleh Allah SWT.

Bagi ahli politik seperti ini, kerja-kerja politik adalah urusan ibadah yang tidak hanya melibatkan soal hidup sebelum mati tetapi berkait terus dengan hidup selepas mati.

Adakah dikalangan ahli politik hari ini yang menjadikan amalan mengingati mati sebagai kaedah untuk meluruskan niat dalam kerja hariannya?

Berapa ramaikah ahli politik yang menyedari bahawa kekuasaan yang mereka miliki akan lenyap apabila tibanya saat kematian?

Cinta Dunia, Benci Akhirat, Gelap Masa Depan

Penyakit cintakan dunia adalah satu simptom penyakit wahan yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW selain takutkan mati.

Hanya apabila pemimpin mengingati mati, urusan hidup (termasuk politiknya) akan dibuat dengan rasa takut kepada Allah.

Contohilah sikap Umar al-Khattab dalam urusan dengan rakyat dan Allah.

“Aku kurang tidur pada siang hari kerana takut urusan rakyatku tidak selesai. Aku kurang tidur di malam hari kerana takut urusanku dengan Allah tidak selesai...”

Penulis menyimpulkan bahawa mengingati mati akan mendorong kita melakukan kebaikan pada tahap maksimum kerana sedar kerja kita bukan sahaja dinilai oleh manusia, tetapi juga oleh Allah.

BACA INI JUGA: Cara Malaikat Memberitahu Bila Ajal Hampir Tiba

Sumber: Wmazmi

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon