Friday, January 31, 2020

Ketahui Bahaya Guna Botol Plastik Berulang Kali


Ramai daripada kita tidak pernah terfikir tentang keburukan mengulang guna botol plastik, terutamanya untuk menyimpan air kerana menganggap ia tidak berbahaya kepada kesihatan namun, anggapan itu sebenarnya salah kerana bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan plastik polikarbonat, Bisphenol A (BPA) larut ke dalam air dan boleh menimbulkan bahaya.

Bahaya botol plastik

Pengkaji mengaitkan BPA dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit berkaitan kesuburan lelaki dan wanita, meningkatkan risiko kanser berkaitan hormon seperti payudara dan prostat.

BPA juga bukanlah satu-satunya punca kepada masalah itu, sebaliknya kajian dilakukan di Frontiers in Chemistry mendapati, botol air daripada pelbagai negara mendapati 93 peratus daripadanya memiliki bahan plastik dikenali sebagai mikroplastik yang larut ke dalam air.

Bagaimanapun, ketika ini banyak syarikat pengeluar air dalam botol plastik telah memilih menggunakan bahan bebas BPA dan menggantikan dengan Bisphenol-S (BPS) atau Bisphenol-F (BPF).

Biasanya, pengilang akan memberi kenyataan pada label jika botol plastik yang digunakan bebas dari bahan BPA.

Pun begitu, kedua-dua bahan itu dianggap berbahaya kepada kesihatan manusia dan atas sebab itu juga, bekas plastik tidak digalakkan dimasukkan ke dalam microwave.

Dalam kajian lain dilakukan Treadmill Reviews, pengkaji turut menguji pelbagai jenis botol air yang digunakan kembali oleh atlet selama seminggu.

Hasil kajian itu mendapati, sebanyak 313,499 bakteria terbentuk dan jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada kuman di mangkuk tandas.

Lebih mengerunkan, 60 peratus daripada kuman itu boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Fakta Bahaya Plastik

Ada tiga bahan asas dalam membuat plastik iaitu phthalate, bisphenol A (BPA) dan kadangkala dicampur juga bahan polybrominated diphenyl ethers (PBDEs).

Phthalate adalah bahan paling banyak digunakan dan berfungsi melembutkan plastik yang keras.

Kedua tertinggi adalah BPA sebagai bahan menjadikan plastik lebih keras, tahan lama dan menghalangnya daripada pudar.

Ketiga adalah PBDEs dan bahan ini menjadikan plastik kalis air yang banyak digunakan dalam penghasilan telefon bimbit dan barangan elektrik.

Bagaimanapun, wujud campuran beberapa bahan lain yang lebih bertoksik seperti pewarna dan pewangi dalam penghasilan plastik bagi meningkatkan kualiti barangan itu secara tidak langsung mendedahkan lagi risiko bahaya kepada manusia.

Plastik pada asasnya berbentuk polimer berantai panjang (seperti tasbih) dan apabila terlerai menjadi molekul kecil yang dipanggil monomer.

Apabila ia terurai maka terhasillah BPA dan phthalate dalam air atau tanah yang akhirnya masuk ke dalam tubuh manusia serta haiwan.

Apabila bahan ini (phthalate dan BPA) masuk ke dalam tubuh manusia ia akan tersimpan di dalam lemak dan boleh menyebabkan gangguan sistem badan terutama pada kanak-kanak.

Kandungan phthalate yang banyak dalam darah atau badan manusia boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti.

Selain itu, kesan lain adalah gangguan terhadap organ pembiakan terutama kepada kanak-kanak termasuk kelewatan akil baligh.

Satu perkara amat penting untuk diketahui, bahan ini boleh mengganggu proses pembentukan janin dalam kandungan sekiranya ibu banyak terdedah kepada phthalate.

Ada beberapa kemungkinan lain yang boleh terjadi seperti kecacatan dan bayi akan mengalami gangguan organ pembiakan apabila dewasa kelak.

Ada laporan mengaitkan plastik dengan masalah kesihatan lain termasuk kanser. Bagaimanapun kajian itu menyebut kesan bahaya plastik kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun.

Oleh itu, kemungkinan besar peningkatan penyakit kanser yang berlaku mutakhir disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama.

Dalam kajian lain menunjukkan 10 peratus daripada semua plastik yang dikeluarkan di seluruh dunia berakhir di lautan dan kemudian membentuk ‘Pulau Sampah’ di tengah Lautan Pasifik.

Masalahnya, plastik yang terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik.

Mikroplastik adalah zarah plastik berukuran antara lima milimeter (mm) dan 0.1 mikrometer (um) manakala nanoplastik pula saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009.

Kedua-dua bahan ini akan terkumpul dalam badan hidupan laut iaitu ikan apabila memakan plankton atau tumbuhan laut yang sudah dicemari mikroplastik dan nanoplastik.

Ia akan terkumpul dalam badan ikan kerana haiwan ini tidak mampu menghadam dua bahan berkenaan. Pengumpulan bahan ini yang banyak akan menyebabkan kehidupan haiwan ini terganggu atau boleh mengakibatkan kematian jika jumlahnya terlalu tinggi.

Laut tercemar plastik

Kemudian, manusia yang makan ikan dicemari mikroplastik dan nanoplastik akan menerima kesan yang hampir sama seperti haiwan berkenaan.

Kehadiran bahan-bahan itu tidak boleh dirasai manusia kerana mikroplastik dan nanoplastik tidak berbau atau berwarna tetapi bahan kimia berkenaan akan meresap dalam tubuh manusia sehingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Ancaman senyap daripada penggunaan barangan plastik membimbangkan banyak pihak.

Penyelidik juga mendapati nanoplastik yang terkumpul dalam tisu otak ikan menyebabkan perubahan tingkah lakunya menjadi seperti tidak aktif. Senario itu menunjukkan betapa bahayanya kesan plastik terhadap alam sekitar, manusia dan hidupan lain.

Plastik mengambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada di mana bahan itu berada.

Apabila bahan ini susah mereput, ia akan menambahkan lagi bilangan plastik sedia ada hingga menjadi beban kepada alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon