Saturday, February 01, 2020

Ketahui 4 Jenis Topeng Muka Paling Sesuai Dipakai Ketika Darurat Kesihatan


Pemilihan topeng muka yang betul ketika berlakunya pencemaran udara atau tersebarnya virus amat penting untuk menapis sebarang partikel halus daripada masuk ke dalam sistem pernafasan seterusnya melindungi kesihatan kita.

Jenis Topeng muka

Namun, ramai masih mengambil mudah, bukan saja memilih pemakaian topeng yang tidak sesuai, malah langsung tidak menutup hidung biarpun berada dalam kawasan terjejas teruk.

1. Topeng Muka 3 Lapis (Sesuai untuk menghalang Coronavirus)

Penutup mulut dan hidung tiga lapisan adalah topeng muka yang paling sesuai digunakan orang awam sebagai langkah pencegahan ekoran penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCov).

Menurut Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, ia lebih selamat kerana boleh menghalang virus berkenaan tersebar melalui pengudaraan jika individu terkena titisan cecair dari hidung atau mulut yang dijangkiti Koronavirus.

Malah, ketika menghadapi ancaman virus ini, orang awam tidak digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis satu lapis dan N95.

Jenis ini dibuat daripada 3 lapisan dan mempunyai kualiti yang agak setanding dengan jenis N95.

Menawarkan lebih perlindungan kepada pemakai namun, topeng jenis ini juga hanya boleh dipakai sekali sahaja untuk memastikan anda tidak terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Penutup mulut dan hidung tiga lapisan yang digunakan ini juga perlu ditukar dalam tempoh beberapa jam untuk mengelakkan kuman membiak.

2. Topeng Muka Jenis N95 (Sesuai untuk jerebu)

Jerebu merujuk kepada keadaan udara tercemar dengan zarah yang boleh memasuki sistem pernafasan.

Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius terutama kepada yang mempunyai imuniti tubuh rendah serta penghidap asma.

Penting kepada masyarakat memahami topeng muka jenis N95 adalah topeng yang mampu membantu melindungi diri daripada udara berjerebu.

Bagaimanapun, ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan cara betul dan tidak direka untuk kanak-kanak.

Mereka yang mempunyai penyakit pernafasan yang kronik, sakit jantung atau masalah kesihatan lain perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan topeng jenis N95 kerana kerana ia mungkin memerlukan lebih banyak usaha untuk bernafas.

Topeng muka N95 sudah diuji dan disahkan mampu menapis sehingga 95 peratus partikel halus berukuran 0.3 mikron dalam udara berjerebu oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Amerika Syarikat.

Malah, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan penggunaan N95 terutama sekiranya bacaan IPU mencecah 101 ke atas.

Topeng N95 mempunyai bukaan di tepi kerana ia menutup bahagian hadapan mulut, menyebabkan udara luar boleh memasuki hidung dan mulut.

Bagaimanapun, N95 direka untuk mengurangkan pendedahan pemakai kepada pencemaran yang berada dalam udara.

3. Topeng Muka Jenis R95

Kedua-dua topeng muka jenis N95 dan R95 telah diluluskan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sebagai alat pernafasan dengan penapis zarah.

Kedua-dua topeng muka ini dapat menyaring partikel berbahaya sehingga ukuran 0.3 mikron dengan efisiensi lebih besar atau sama dengan 95%.

Namun, perbezaan utama antara N95 dan R95 ialah fungsi pertahanan terhadap partikel yang mengandungi minyak.

N95 hanya dapat digunakan di lingkungan yang mengandungi partikel bukan minyak (non-oil based).

R95 pula dapat digunakan di lingkungan yang mengandungi partikel minyak (oil based) dan partikel bukan minyak.

Oleh itu, respirator R95 adalah pilihan yang lebih sesuai untuk situasi yang melibatkan penularan wabak penyakit.

Sila tanya ahli farmasi atau ahli kesihatan tentang cara pemakaian respirator yang betul supaya fungsinya dapat dijamin.

4. Topeng Muka P95

Perbezaan utama antara topeng udara jenis P dan N adalah keupayaan topeng untuk menapis bahan pencemar berasaskan minyak.

Selain membersihkan bahan pencemar berasaskan minyak, topeng jenis P95 dapat menyaring 95% partikel di udara dengan berkesan.

Topeng muka jenis P lebih cekap serta lebih mahal daripada jenis N dan R, namun perlu diganti selepas kira-kira 40 jam penggunaan.

3 GRED UTAMA TOPENG MUKA

Ada 3 gred utama topeng muka iaitu N, R dan P. Contohnya, N95, P95 dan R95, melindungi sekurang-kurangnya 95% particulate matter atau habuk dan cecair biologi dengan ukuran lebih dari 0.3 micron.

Antara gred lain dalam kategori ini adalah N99, R99, P99, N100 dan P100.

Tiga gred yang berbeza ini diberikan bergantung kepada tahap rintangan penapis yang dipakai terhadap bahan seperti minyak.

Respirator jenis N bermaksud penapis yang ada tidak mempunyai sebarang ketahanan terhadap sebarang jenis minyak.

R pula mewakili penapis yang mampu menapis partikel minyak tetapi tidak sepenuhnya.

Sementara P pula bermakna penapis yang digunakan mampu bersifat kalis minyak.

Kesimpulan

Tahap keupayaan paling tinggi penapis muka adalah 100, di mana penapis mampu memerangkap 99.7% partikel udara daripada masuk ke dalam hidung.

Sebuah topeng atau penapis yang mempunyai tahap kecekapan seperti ini seakan-akan mempunyai tahap kecekapan terbaik, setanding dengan jenis-jenis penapis berkategori HEPA atau 'High Efficiency Particulate Air'.

Hanya ada tiga gred saja layak digunakan sebagai respirator, dengan gred 95 dianggap paling rendah dan 100 diletak sebagai paling tinggi.

Kesemua topeng respirator yang ada memang mampu membantu anda ketika menghadapi pencemaran dan mencegah penularan wabak berbahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon