Wednesday, June 19, 2019

10 Syarikat Penerbangan Terbaik Di Dunia 2019

10 Syarikat Penerbangan Terbaik Di Dunia 2019

World Airline Awards dari Skytrax kembali mengumumkan senarai syarikat penerbangan terbaik dunia 2019 dan tahun ini, ranking pertama diduduki syarikat Qatar Airways yang turut menerima tiga anugerah untuk kategori Kelas Perniagaan Terbaik, Kerusi Kelas Perniagaan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik Timur Tengah.

Syarikat penerbangan terbaik 2019

"Kami sangat gembira dikenali pelanggan secara global sebagai syarikat yang menang empat anugerah berprestij ini.

"Menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang mendapat gelaran 'Airline of The Year' selama lima tahun berturut-turut adalah pencapaian luar biasa, dan digabungkan dengan tiga anugerah besar lain dari Skytrax, ia adalah hasil perjuangan seluruh pasukan Qatar Airways.

"Ia menjadi momen membanggakan untuk syarikat seiring inovasi serta standard layanan yang sentiasa menjadi tanda aras untuk industri kami," kata Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways Akbar Al Baker memetik laman rasmi Skytrax.

Edward Plaisted dari Skytrax mengingatkan bahawa anugerah diberikan berdasarkan hasil survey 100 peratus secara bebas daripada pelanggan syarikat penerbangan dunia.

Berikut adalah 10 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2019:
  1. Qatar Airways (Qatar)
  2. Singapore Airlines (Singapura)
  3. ANA All Nippon Airways (Jepun)
  4. Cathay Pacific (Hongkong)
  5. Emirates (UEA)
  6. EVA Air (Taiwan)
  7. Hainan Airlines (China)
  8. Qantas Airways (Australia)
  9. Lufthansa (Jerman)
  10. Thai Airways (Thailand)

Staf Kabin Terbaik Dunia 2019:
  1. Singapore Airlines
  2. Garuda Indonesia
  3. ANA All Nippon Airways
  4. Thai Airways
  5. EVA Air
  6. Cathay Pacific
  7. Hainan Airlines
  8. Japan Airlines
  9. Qatar Airways
  10. China Airlines

Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia 2019:
  1. AirAsia
  2. EasyJet
  3. Norwegian
  4. Southwest Airlines
  5. AirAsiaX
  6. Jetstar Airways
  7. WestJet
  8. Indigo
  9. Ryanair
  10. Eurowings

Penerbangan Paling Bersih Dunia:
  1. EVA Air
  2. Japan Airlines
  3. ANA All Nippon Airways
  4. Singapore Airlines
  5. Asiana Airlines
  6. Hainan Airlines
  7. Swiss Int’l Air Lines
  8. Cathay Pacific
  9. Qatar Airways
  10. Lufthansa

AirAsia Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia 11 Tahun Berturut-turut

AIRAsia untuk julung kalinya memenangi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi 11 tahun berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.

Selain itu ia juga dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed, yang terdapat dalam pesawat jarak jauh AirAsia X.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd, Datuk Kamarudin Meranun berkata anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan atas komitmen AirAsia menawarkan perjalanan mampu milik dan perkhidmatan mengutamakan pelanggan untuk diiktiraf Skytrax bagi 11 tahun berturut-turut.

“Hakikatnya anugerah ini adalah berdasarkan maklum balas langsung dan ia adalah pengiktirafan yang menggembirakan untuk seluruh warga AirAsia yang telah banyak berusaha dan memberikan komitmen kepada kecemerlangan perkhidmatan untuk pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut diedarkan semasa majlis anugerah itu yang berlangsung di Pameran Udara Paris Antarabangsa kali ke-53 di Le Bourget, Perancis.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz berkata anugerah tersebut membuktikan tempoh sembilan tahun menjadi yang terbaik di dunia dalam kategori berkenaan dan ia didedikasikan kepada seluruh warga AirAsia yang berpegang teguh kepada budaya, misi dan visi korporat syarikat.

“Kami sekali lagi diiktiraf atas perkhidmatan menyediakan Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam penerbangan jarak jauh kami.

“Tahun ini, kami akan pergi lebih jauh dengan menawarkan keselesaan dalam penerbangan yang terbaik menerusi pesawat Airbus A330neo baharu, pesawat yang akan mengubah pengalaman perjalanan jarak jauh.

“Digabungkan dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang cukup terkemuka sebagai syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan yang berbaloi kepada pelanggan ke 30 destinasi di 10 pasaran di seluruh rangkaian jarak jauh AirAsia Group,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax, diperkenalkan pada 1999 dan bersifat bebas serta tidak berpihak, merupakan penanda aras kecemerlangan global bagi syarikat penerbangan, juga terkenal sebagai anugerah ‘Oscars’ bagi industri penerbangan.

Keputusan bagi anugerah tahun 2019 ini ditentukan melalui kaji selidik ke atas 21.65 juta pelanggan dengan 100 kewarganeraan yang menilai lebih 300 syarikat penerbangan mulai Ogos 2018 sehingga Mei 2019.

Setakat ini, AirAsia mengendalikan rangkaian lebih 140 destinasi dari 25 hab di 22 pasaran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Bakal Pengantin Lelaki Menangis Selepas Kadi Tanya Di Mana Ibu Bapa, Rupa-rupanya Yatim Piatu

Bakal Pengantin Lelaki Menangis Selepas Kadi Tanya Di Mana Ibu Bapa, Rupa-rupanya Yatim Piatu

Babak air mata seorang bakal pengantin lelaki sewaktu majlis akad nikahnya ternyata menyentuh hati ramai, yang menerusi satu perkongsian gambar, Nor Saiful Syazwan Abdullah, dilihat tidak dapat menahan sebak sebelum dinikahkan dengan pasangannya, Asyikin Rozi pada April 2019 lalu.

Pengantin Lelaki Sebak

Foto itu mula tular pada minggu lalu sebelum Asyikin tampil berkongsi kisah di sebaliknya menerusi laman Twitter.

"Suami saya sebak sebab dia teringat kedua ibu bapa dia. Dia anak tunggal yatim piatu.

"Sebelum akad nikah tu, tok kadi tanya latar belakang pengantin, tanya mana ibu bapa dia? Sebab tu dia sebak dan menangis.

"Saya pun bagi dia tisu, saya tahan sebak. Tapi selepas akad nikah tu, saya pun menangis juga," ujar Asyikin sewaktu dihubungi.

Kata Asyikin, majlis itu berlangsung di kediamannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Bercerita mengenai suaminya, Asyikin menyifatkan jejaka itu sebagai individu yang cukup tabah dan berdikari.

"Saya tak rasa apa yang dia rasa, saya kenal dia pun masa dia dah yatim piatu.

"Tapi dia seorang yang kuat. Masa zaman belajar, dia sanggup buat kerja sambilan untuk tanggung kos pengajian," ujarnya yang bertemu dengan suami di sebuah institut pengajian tinggi di Perlis, sekitar tahun 2015.

Masing-masing berusia 24 tahun, Asyikin berkata, dia juga terharu dengan komen-komen positif yang diterimanya menerusi laman Twitter.

Bakal Pengantin Lelaki Menangis

Dalam pada itu, posting berkenaan sehingga kini menerima lebih 18,500 ulang kicau (Retweet).

"Sama macam husband saya. Dia anak yatim piatu sejak usia dia 13 tahun. Dia kata sebak sangat nak panggil mak saya dengan panggilan 'mak' sebab dah lama tak sebut perkataan tu. By the way selamat pengantin baru. Semoga berbahagia ke akhir hayat," tulis @cuwaya_.

"Tetiba aku jadi sebak. Even parents aku nak balik dah lepas aku sanding pun aku dah peluk mak ayah aku nangis-nangis ini kan pulak dia anak yatim piatu," tulis @yusofhsnn.

Semoga bahagia sehingga ke akhir hayat. Amiin.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Pesakit B40 Boleh Tuntut RM8,000 Jika Ada 36 Penyakit Kritikal Ini

Pesakit B40 Boleh Tuntut RM8,000 Jika Ada 36 Penyakit Kritikal Ini

mySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful PERLINDUNGAN KESIHATAN PERCUMA kepada individu di dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 atau penerima BSH, melalui Tabung Amanah mySalam yang memberi manfaat kepada seramai 3.68 juta penerima berusia dari 18-55 tahun serta pasangan mereka.

Tuntut RM8000 B40 mYsALAM

Mulai 1 Januari 2019 lalu, mana-mana mereka yang tersenarai dalam B40 dan jika terkena 36 jenis penyakit kritikal ini, bolehlah datang menuntut RM8,000 dengan syarat rawatan penyakit itu dilakukan di hospital kerajaan.

Ia dikendalikan oleh syarikat insuran Great Eastern Takaful Berhad dan disahkan patuh Syariah.

Bukan saja dapat wang tunai yang akan dikreditkan ke akaun penerima secara terus tapi penerima juga akan mendapat manfaat pendapatan harian sebanyak RM50 sehari (maksimum 14 hari) sekiranya sedang menjalani rawatan di hospital.

Bagaimana membuat tuntutan?

Senang saja. Tapi lebih senang kalau anak-anak yang tolong mak ayah mohon jika mak ayah kita ada penerima Bantuan Sara Hidup B40.

Cara pertama perlu dilakukan adalah:-

Layari portal rasmi mysalam.com.my dan login menggunakan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang dihantar melalui SMS:

1. Klik “Download Form” dan muat turun borang “Critical Illness – Doctor’s Statement form”.

2. Serahkan borang tersebut kepada doktor untuk diisi dengan lengkap.

3. Kemudian login semula ke portal mySalam dan pilih Claims > Claims Submission > CI Claims.

4. Isi maklumat yang diperlukan dan muat naik beberapa dokumen diperlukan seperti surat pengesahan doktor dan kad pengenalan.

5. Klik “Submit” untuk hantar tuntutan.

Sekiranya berjaya, wang akan dikreditkan terus ke akaun penerima seperti yang didaftarkan di bawah skim BSH 2019.

Apa 36 jenis penyakit kritikal tu?
  1. Penyakit Alzheimer/Gangguan Kemerosotan Otak Organik Tidak Boleh Pulih.
  2. Angioplasti dan Rawatan Pembedahan Lain Untuk Penyakit Arteri Koronari Utama.
  3. Meningitis Bakteria.
  4. Tumor Otak Benigna.
  5. Buta/Hilang Penglihatan Sepenuhnya.
  6. Pembedahan Otak.
  7. Kanser.
  8. Kardiomiopati Teruk.
  9. Anemia Aplasia Kronik.
  10. Koma.
  11. Pembedahan Pintasan bagi Penyakit Arteri Koronari.
  12. Kepekakan/Hilang Pendengaran Menyeluruh dan Tidak Boleh Pulih.
  13. Ensefalitis/encephalitis.
  14. Kegagalan Hati Tahap Akhir.
  15. Penyakit Paru-Paru.
  16. AIDS Peringkat Teruk.
  17. Hepatitis Virus Fulminan.
  18. Serangan Jantung.
  19. Pembedahan Injap Jantung.
  20. HIV Akibat Transfusi Darah.
  21. Kegagalan Buah Pinggang – Dialisis atau pemindahan buah pinggang.
  22. Kehilangan Upaya Hidup Sendiri (Berdikari).
  23. Hilang Pertuturan.
  24. Trauma Kepala Utama.
  25. Pemindahan Organ Utama/Sum.
  26. Penyakit Neuron Motor.
  27. Sklerosis Berbilang.
  28. Distrofi Otot.
  29. Kelumpuhan/Paraplegia.
  30. Penyakit Parkinson.
  31. Hipertensi Arteri Pulmonari Primer.
  32. Penyakit Arteri Koronari Lain Yang Serius.
  33. Strok.
  34. Pembedahan Aorta.
  35. Lupus Eritematosus Sistemik dengan Lupus Nefritis (SLE).
  36. Pelecuran Tahap Ketiga.

Untuk senarai hospital di bawah skim ini, anda boleh rujuk https://www.mysalam.com.my/b40/info/

Manakala untuk maklumat lanjut tentang Skim Perlindungan Nasional B40 ini, anda boleh menghubungi careline mySalam di 1-300-888-938 atau emel ke mysalam@greateasterntakaful.com.

Jadi, kalau kita sendiri dan ahli keluarga diuji dengan 36 jenis penyakit ini dan mereka penerima BSH B40, jangan lupa mohon ya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: newmalaysianpost

10 Bidang Pekerjaan Paling Santai Dan Juga Amat Memenatkan

10 Bidang Pekerjaan Paling Santai Dan Juga Amat Memenatkan

Sering mengantuk ketika berada di tempat kerja? Keadaan ini pasti acap kali berlaku kepada anda, namun terdapat juga pekerjaan yang memaksa anda berkerja pada waktu malam sekali gus menjejaskan kualiti waktu tidur.

Bidang Pekerjaan paling seronok dan memenatkan

Mungkin anda juga tertanya-tanya jika bertukar kerjaya, adakah anda mampu tidur mencukupi sekali gus mengubah corak hidup anda kepada lebih baik?

Menurut satu kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mungkin dapat membantu anda memburu pekerjaan baharu.

CDC dalam kajiannya merekodkan lebih daripada tujuh jam setiap malam untuk masa tidur adalah mencukupi bagi mengekalkan gaya hidup sihat, namun kurang dari tujuh jam dianggap adalah tidak mencukupi!

Secara keseluruhan, CDC mendapati, hampir 37 peratus orang dewasa melaporkan mereka tidur tiada berkualiti.

Justeru, apakah bidang pekerjaan yang mendorong kepada anda untuk mendapatkan rehat yang mencukupi termasuk tidur lena.

5 Bidang pekerjaan yang membuatkan ada cukup rehat iaitu:
  1. Pertanian, perikanan dan perhutanan (pertanian, nelayan, pekerja perhutanan dan pemuliharaan).
  2. Pendidikan, latihan dan perpustakaan (pustakawan, guru, aktivis).
  3. Perkhidmatan masyarakat dan sosial (kaunselor, pekerja agama, pekerja sosial).
  4. Kehidupan, sains fizikal dan sosial (saintis dan juruteknik sains).
  5. Komputer dan matematik (pakar komputer, pekerjaan sains matematik).

Jika anda salah seorang dari orang-orang yang tidak dapat cukup rehat, anda mungkin boleh mengelakkan bidang seperti di bawah.

5 Bidang pekerjaan yang membuatkan anda kurang tidur iaitu:
  1. Pengeluaran (pekerja percetakan, tukang kayu, pengendali tumbuhan).
  2. Penjagaan kesihatan (jururawat, pekerjaan terapi dan fizikal).
  3. Pengamal perubatan dan teknikal (ahli teknologi dan juruteknik kesihatan).
  4. Penyediaan makanan dan berkaitan makanan (tukang masak, pelayan).
  5. Perkhidmatan perlindungan (pegawai bomba, polis, pegawai penguat kuasa undang-undang).

Kajian berkenaan juga melaporkan, mereka yang kurang tidur kerana terikat kepada pekerjaan masing-masing secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

SBDJ Siri 73: Di Serang Kucing Hitam

SBDJ Siri 73: Di Serang Kucing Hitam

Kami bertiga terus menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut kami dengan wajah yang riang dan setelah Datuk bercakap-cakap sebentar dengan Sarjan 1000, kami terus menuju ke tebing sungai. Sarjan 1000 memerintah seorang anggota polis keturunan India menemani kami ke tempat tersebut.

Toyol jadi-jadian

Sampai sahaja di tebing sungai, Datuk terus berdiri tempat ia bertinggung waktu siang tadi. Saya disuruhnya berdiri dekat pokok besar, manakala Tajuddin dan anggota polis keturunan India pula berdiri tidak jauh dari saya.

Dua tiga kali saya menampar nyamuk yang menyerang daun telinga saya. Menampar nyamuk dalam gelap merupakan kerja yang sia-sia. Tidak ada nyamuk yang dapat dibunuh malah nyamuk kian banyak datang dan berdengung di keliling telinga.

Saya merenung ke sungai, tidak ada sesuatu yang dapat dilihat semuanya nampak hitam belaka, Sekali-sekala saya terpandang cahaya pelita berkelip-kelip di seberang sungai. Sudah hampir lima belas minit berdiri, Datuk tidak memperlihatkan kesungguhannya untuk menjalankan tugas. Ia kelihatan macam orang mengelamun tidak tentu arah.

Apa yang Datuk lakukan itu memang tidak saya senangi. Saya sudah tidak mampu untuk menyerahkan badan saya pada nyamuk di dalam gelap. Telinga saya sudah tidak mampu mendengar suara cengkerik dan katak. Mata juga sudah tidak terdaya merenung kegelapan.

Bila kepala didongakkan ke langit, cuma yang nampak kerdipan bintang-bintang. Saya tidak tahu apakah perkara yang saya alami itu dirasai juga oleh Tajuddin dan kawannya.

Darah saya tersirap, sehelai daun menimpa batang tengkuk, sedangkan angin malam tidak bertiup, bulu roma saya terus berdiri, bunyi cengkerik dan katak kian rancak. Datuk masih lagi berdiri merenung ke arah dada sungai yang diselimuti kegelapan.

“Tamar,” suara Datuk separuh keras.

“Ada apa tuk.”

“Nah, bakar lilin ni,” Datuk pun menyerahkan pada saya sebatang lilin dan sekotak mancis. Cahaya lilin itu terus menerangi kawasan sekitar. Anda sendiri dapat membayangkan sejauh mana kekuatan dari cahaya lilin sebatang.

Datuk terus memicit kedua belah lengannya, kemudian kedua belah buah betisnya hingga sampai ke buku lali. Tajuddin dan kawannya segera menghampiri Datuk. Dari cahaya lilin yang samar-samar saya dapat melihat kedua-dua wajah mereka yang didakap keresahan.

“Bila nak dimulakan?” Tajuddin membuka mulut.

“Sekejap lagi kenapa? Kalau kamu rasa jemu kamu boleh balik, biar aku selesaikan sendiri.”

“Bukan begitu, saya rasa dah lama benar kita duduk di sini.”

“Kerja begini mesti sabar,” balas Datuk lalu merenung wajah Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Mereka terdiam dan terus duduk dalam lingkungan cahaya lilin.

“Sekarang aku nak mulakan tetapi, ingat pesan aku ni, jangan gunakan lampu picit, kecuali bila kamu mendengar suara aku di tengah sungai,” lagi sekali Datuk merenung anggota keturunan India dan Tajuddin.

Saya lihat mereka anggukkan kepala. Setuju untuk mematuhi cakap Datuk, bila Datuk melangkah, saya terdengar suara kucing mengiau panjang dan saya terasa seram.

“Bunyi kucing,” anggota polis keturunan India bersuara, ia renung muka Tajuddin dan saya. Datuk merenung ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Tajuddin seperti orang serba-salah dan bersedia untuk menggunakan lampu picitnya untuk menyuluh ke arah suara kucing tersebut.

“Aku juga terdengar suara kucing, pedulikan,” Datuk mengingatkan kami. Ia terus melangkah. Saya menoleh ke kanan pada rimbunan pokok kecil yang terdapat di situ. Nafas saya jadi sesak, ada sepasang mata binatang yang kelihatan kemerah-merahan merenung ke arah saya. Serentak dengan itu, saya terdengar ranting-ranting kering seperti dipatah-patahkan oleh manusia.

“Tuk,” saya bersuara separuh cemas.

“Aku tahu apa yang kamu dengar dan lihat, pedulikan perkara tu Tamar,”

“Tapi tuk.”

“Sudah jangan banyak cakap.”

Saya tercengang Datuk meneruskan langkahnya menuruni tebing sungai. Saya jadi tak tentu arah, begitu juga dengan Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Datuk sudah pun menyelam. Bunyi deru air sungai yang melanggar ranting dan dahan pohon yang rebah ke sungai cukup jelas.

Dengan tujuan untuk menghilangkan rasa takut, saya, Tajuddin serta seorang anggota polis keturunan India duduk berdekatan, kami mengelilingi cahaya lilin yang memancar samar.

Suara cengkerik terus menyanyi dengan hebat. Perasaan cemas kami terus bertambah cemas bila terdengar suara lolongan anjing liar dari arah pekan Parit.

Daun-daun dan pohon kami berlindung terus berguguran, macam ada tangan manusia yang berusaha menceraikan daun-daun itu dan rantingnya. Paling mencemaskan daun yang gugur itu bukanlah daun yang sudah tua tetapi daun yang masih hijau dan muda.

Suara kucing jantan mengiau muncul dengan mendadak dituruti dengan bunyi kuku kucing menggaru papan. Semuanya muncul dari arah pokok-pokok kecil di sekeliling kami.

Perasaan takut, cemas dan bimbang terus menghantui perasaan kami bertiga. Dua tiga kali Tajuddin mengeluarkan lampu picit dari saku seluarnya. Ia berhasrat mahu menyuluh seluruh kawasan sekeliling.

Tetapi, setiap kali lampu picit berada dalam tangannya, anggota polis keturunan India selalu membisikkan ke telinganya tentang pesan Datuk.

Hidung saya terhidu bau bunga tanjung. Cukup wangi. Dedaun muda terus berguguran. Perhatian dan ingatan saya tidak lagi tertumpu pada Datuk. Suara kucing tetap mengiau. Saya terus mencapai sebatang kayu dengan niat kalau ada binatang melintas di depan, pasti saya pukul. Kami terus duduk berhimpit-himpit.

“Pukul berapa sekarang?” Tanya anggota polis keturunan India pada Tajuddin. Cepat-cepat Tajuddin melihat jam di tangan.

“Pukul dua belas, Maniam.”

“Patutlah aku terasa air embun.”

“Saya juga kena titis embun,” kata saya.

Serentak kami menoleh ke belakang kerana terdengar bunyi kaki binatang memijak daun-daun kering. Dari cahaya lilin yang samar-samar itu, kami melihat seekor kucing hitam yang menjilat bulunya. Sesekali kucing itu membuka mulutnya melihatkan taringnya yang putih tajam pada kami.

Dalam keadaan yang gelap itu saya terdengar Tajuddin menjerit. Saya segera mengeluarkan mancis dan menyalakan lilin yang padam.

Saya terkejut melihat tangan kanan Tajuddin yang berdarah.

“Dicakar kucing” Maniam (anggota polis keturunan India) memberitahu saya. Tanpa membuang masa lagi saya terus mengoyakkan hujung baju saya. Dengan cebisan kain itu saya mengesat darah di lengan Tajuddin.

Belum pun selesai saya mengesat darah di lengan Tajuddin, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari yang jaraknya tidak begitu jauh dari pohon tempat kami duduk. Bau bunga Tanjung kian menjadi-jadi. Lolongan anjing bersahut-sahutan, Suara cengkerik kian hebat.

Kami terus rapat ke perdu pokok. Kami menanti orang yang berlari dalam gelap itu menghampiri kami. Bunyi tapak kaki itu terus hilang digantikan dengan bunyi orang menggali tanah kubur dan bunyi orang mengoyakkan kain.

“Kucing hitam,” kata Maniam, seekor kucing hitam tercegat di depan kami sambil membuka mulut, lidahnya menjilat daun-daun kering di depannya. Matanya memancarkan cahaya merah macam bara.

Tajuddin segera berlindung di belakang Maniam. Dari cahaya lilin, saya lihat kucing itu melengkungkan badannya sambil mengiau garang, misainya kelihatan keras dan tajam.

Kami bertiga terpaku dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa bila melihat kucing hitam itu mengembangkan bulunya sambil menjelirkan lidahnya yang panjang. Ekornya ditegakkan. Bentuk kucing itu agak besar dari kucing biasa. Bentuk mukanya amat menyeramkan dan biji matanya agak besar.

Kucing itu mengiau garang dan terus menerkam ke arah Maniam dengan pantas sekali. Maniam tidak sempat mengelak dan kucing hitam itu membenamkan kukunya ke kulit pipi Maniam. Cepat-cepat Maniam meraba kulit mukanya yang dicakar oleh kucing hitam.

Dalam keadaan yang tak tentu arah itu kucing tersebut menyerang ke arah Maniam lagi sekali. Tetapi, kali ini Maniam sempat mengelak dan melepaskan satu penumbuk ke arah kucing hingga terpelanting.

Darah dan muka Maniam terus menitis atas daun-daun kering. Maniam mengeluarkan sapu tangan dari seluarnya dan terus mengesat darah di wajahnya.

Saya tidak tahu sama sekali, macam mana kucing hitam yang terpelanting jauh itu boleh berada di depan Maniam dan Tajuddin. Kucing hitam itu berlegar-legar di situ sambil menjilat kesan darah yang melekat di daun kering. Saya tidak tahu, apa yang harus saya lakukan.

“Sial, kucing sial,” jerkah saya sambil menghentakkan kaki ke bumi. Tidak saya duga sama sekali perbuatan itu menjadikan kucing hitam itu bertambah garang. Ia mengiau ganas sambil membukakan mulutnya pada saya. Giginya yang putih tajam kelihatan kemerah-merahan dilekati darah.

Kucing itu memperlihatkan rasa marahnya dengan mencakar-cakar tanah dan kayu yang ada di depannya. Melompat ke sana ke sini seolah-olah memperlihatkan kehebatannya di malam yang kian beransur tua. Kucing itu terus menyerang lengan tangan Tajuddin untuk kali kedua.

Tajuddin terus menjerit dan berusaha dengan sedaya upaya memisahkan gigi kucing yang menggigit lengannya. Usaha Tajuddin itu tidak berhasil, kucing hitam terus menggigit sambil mencakar-cakar tangan Tajuddin. Melihat keadaan yang cemas dan membimbangkan itu, saya segera mencari kayu dan membelasah badan kucing hitam dengan sekuat hati sehingga ia berhenti menggigit daging lengan Tajuddin.

Kali ini kucing hitam yang ganas itu terus menyerang saya. Waktu menyerang Maniam, ia memilih daging pipi sebagai sasaran dan daging lengan menjadi matlamatnya bila menyerang Tajuddin. Bila ia menyerang saya daging paha pula jadi sasaran. Saya terpaksa mempertahankan daging paha saya dari jadi mangsa giginya dengan kayu.

Setiap kali saya menghayunkan kayu ke badannya, kucing itu dapat mengelakkan dan menggunakan kepintarannya menyerang saya dari arah belakang, kanan dan kiri.

Akibatnya saya keletihan dan terhuyung-hayang, ketika itulah kucing yang tidak mengenal belas kasihan mengoyakkan seluar dari daging paha saya hingga berdarah. Saya menjerit dan terus berusaha untuk menewaskannya.

Saya terus mencekik tengkuk kucing dengan sekuat hati. Kedua belah tangan saya terus dicakarnya hingga berdarah. Walaupun begitu saya tidak begitu mudah untuk melepaskan batang lehernya yang saya cekik. Usaha saya kali ini berhasil, kucing itu berhenti menggigit dan mencakar lengan saya.

Sebaik sahaja leher kucing itu saya lepaskan, saya terus jatuh atas tanah. Kucing hitam terus ghaib entah ke mana. Maniam dan Tajuddin segera menghampiri dan menyandarkan saya ke perdu pokok. Tajuddin membukakan baju saya lalu mengikatkan ke paha saya yang luka. Maniam mengesat darah di lengan saya.

Kami mengambil keputusan mengejut untuk pulang ke Balai Polis. Belum pun keputusan itu dilaksanakan, kami terdengar suara Datuk dari tengah sungai. Perasaan kami bertambah lega.

Maniam dan Tajuddin terus menggunakan lampu. Menyuluh kiri kanan, bimbang kalau kucing hitam yang ghaib muncul mendadak.

“Dari mana kucing sial itu datang,” tanya Maniam.

“Entah,” jawab saya.

“Jangan pedulikan semuanya itu, suluh orang yang di tengah sungai,” Tajuddin bersuara, serentak dengan itu juga dua lampu picit memancarkan suluhannya ke sungai. Saya lihat Datuk berenang ke tebing sambil menarik sesuatu.

“Dah jumpa mayat,” Maniam beritahu Tajuddin.

“Agaknya,” jawab Tajuddin. Mereka terus rapat ke tebing dan cahayà lampu picit mereka tetap tertumpu ke arah Datuk.

Saya terus mengumpulkan daun-daun kering dan kayu, kemudian terus membakarnya. Hasil dari usaha itu, kawasan sekitar tebing terang-benderang, memudahkan saya bergerak ke mana-mana. Nyamuk terus lari.

Saya terfikir, kalau kucing hitam itu muncul kembali, saya pasti menggunakan puntung-puntung yang berapi itu untuk menentangnya.

“Mari kita tolong dia,” Maniam terus menarik tangan Tajuddin. Mereka terus menuruni tebing sungai. Saya merasakan diri saya lebih selamat, kalau bersama Tajuddin dan Maniam. Tanpa membuang masa saya terus memburu mereka menuruni tebing sungai yang agak curam.

Badan mula terasa dingin dirempuh angin yang bergerak dari permukaan sungai. Langit tetap cerah bersama gumpalan awan yang bersih. Kami bertiga berdiri di gigi air. Terasa amat sejuk, bila air sungai menyentuh kulit kaki. Tajuddin dan Maniam tetap menghalakan muncung lampu picitnya ke arah Datuk.

“Tolong pangku mayat ni,” Datuk minta bantuan. Maniam dan Tajuddin menyerahkan lampu picit pada saya. Tugas saya sekarang menyuluh ke arah mereka. Tajuddin dan Maniam terus mengharung air sungai, Mereka membantu Datuk memangku mayat Saadun dan dibawa atas tebing.

Mayat Saadun terus dibaringkan atas daun-daun kering. Saya terus mencampakkan ranting dan daun-daun kering dalam unggun api. Datuk menukarkan pakaian yang basah dengan pakaian yang kering. Ia mendiangkan badannya dekat api.

“Biar kami ke balai dulu, melaporkan perkara ni pada Sarjan 1000 dan minta jeep untuk membawa mayat ni ke hospital,” Maniam menyatakan pada Datuk sambil menyandangkan riffle ke bahu. Tajuddin kelihatan cemas sedikit.

“Eloklah tu, tapi sebelum pergi nanti dulu,” kata Datuk lalu memetik beberapa helai dedaun yang hijau berkilat dari pepohon kecil sekitarnya.

Datuk melekapkan dedaun hijau segar ke bahagian badan Tajuddin dan Maniam yang luka akibat digigit dan dicakar oleh kucing hitam.

“Ini untuk menahan bisa, gigi dan kuku kucing cukup bisa, ada jenis daun dan rumput yang boleh digunakan menahan bisanya, perhatikan daun atau rumput yang dimakan kucing bila ia sakit, daun dan rumput tu boleh dijadikan penawar bisanya,” terang Datuk pada Tajuddin dan Maniam.

Mayat Saadun terkapar atas dedaun kering, biji matanya terbeliak dan mulutnya separuh terbuka. Dari kedua belah telinganya meleleh air jernih.

Saya tak berani merenung mayat Saadun lama-lama, bila direnung biji matanya bergerak ke sana sini. Menyorot tiap langkah dan gerak-geri saya.

“Pergilah, biar saya nanti di sini,” ujar Datuk tenang. Maniam, terus melangkah tetapi, Tajuddin masih ragu untuk melangkah, macam ada sesuatu yang ditakutinya.

“Pergilah Tajuddin, dengan izin Allah kamu selamat dalam perjalanan,” kata Datuk. Tajuddin terus melangkah. Meninggalkan saya dan Datuk.

Saya menceritakan pada Datuk apa yang kami alami ketika ia menyelam tadi, Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Ia hanya tersenyum sambil melipatkan hujung lengan bajunya. Suasana yang agak tenang di malam yang hitam itu diganggu oleh suara kucing yang cukup keras. Datuk mengedutkan dahinya sambil mencampakkan ketul-ketul kayu ke dalam unggun api.

Suara kucing terus meninggi dan nyaring, daun-daun kering nampak bergerak-gerak macam ditolak oleh sesuatu. Ranting-ranting yang bertaburan dekat kaki saya juga bergolek perlahan-lahan. Ada bunyi tapak kaki orang melintas di depan saya tetapi orangnya tidak dapat dilihat.

Kejadian-kejadian begitu amat menakutkan bagi saya. Datuk tetap tenang. Ia tidak tergugat dengan kejadian-kejadian yang saya anggap agak luar biasa itu. Ia cuma menggigit bibir, bila melihat beberapa ekor ulat bulu bergerak ke arahnya. Dengan ranting kayu Datuk menolak ulat-ulat itu ke pangkal pokok.

Beberapa ekor semut api meluru ke arah mayat Saadun. Datuk berusaha menghalau semut-semut api dan memanjat mayat Saadun. Datuk menghalau semut-semut itu dengan daun-daun segar yang dipatahkan dari dahan pokok kecil berhampiran.

“Kucing hitam,” jerit saya.

Seekor kucing hitam muncul dekat unggun api. Kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan kaki depan. Renungannya lembut ke arah Datuk seolah-olah minta simpati, bentuk tubuhnya agak kecil sedikit dari kucing hitam yang mencakar Tajuddin dan Maniam serta saya.

Kucing hitam yang baru muncul ini, tidak memperlihatkan sebarang keanehan, tidak memperlihatkan lidah dan taringnya. Ia kelihatan cukup manja sambil menjilat-jilat tubuh di badannya.

“Kamu sesat, kalau sesat baliklah,” ujar Datuk sambil merenung kucing hitam. Kucing hitam itu mengiau manja, tidak mahu berganjak dari tempat ia duduk.

“Baliklah pada tuan kamu,” suara Datuk keras. Kucing hitam itu menegakkan ekor serta membongkokkan badannya. Bersedia untuk menerkam ke arah Datuk. Saya lihat Datuk menggeliat dan akhirnya menggenggam penumbuk. Ia melangkah dua tapak ke depan macam orang mahu bersilat.

“Balik sebelum kamu binasa,” ujar Datuk lalu membuka silat. Kucing hitam itu terus mengiau garang dan cuba menerkam ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk membongkok lalu mengambil sekepal tanah. Tanah itu dilemparkan ke arah kucing hitam. Terdengar bunyi jeritan kucing hitam yang amat kuat, macam menahan kesakitan kerana ekornya tersepit.

Kucing hitam itu dengan serta-merta ghaib. Datuk terus membersihkan kawasan keliling tempat mayat Saadun. Pada mulanya, ingin saya menyoal Datuk tentang kemunculan kucing hitam yang aneh itu. Malam itu juga mayat Saadun d bawa ke hospital Batu Gajah.

Esoknya, mayat Saadun pun dikebumikan di kampung halamannya. Menurut doktor, Saadun mati akibat salah satu urat di saluran pernafasannya putus seperti dikerat dengan benda tajam. Saadun bukan mati kerana lemas.

Datuk memberitahu saya, mayat Saadun sukar diambil kerana tersepit pada timbunan kayu besar di sebuah lubuk yang dalam. Setiap kali mayat itu ditarik keluar, seluruh sendinya merasa lemah dan tenaganya bagaikan tiada dan pandangannya jadi kabur.

“Boleh jadi perkara tu berlaku, kerana aku terlalu penat dan kurang tidur,” itulah alasan Datuk tetapi, saya merasakan alasan itu sekadar untuk alasan cuma. Datuk bagaikan mahu menyembunyikan sesuatu dari saya. Sesungguhnya saya kurang puas hati dengan cakap Datuk itu. Tunggu, satu waktu yang baik, pasti saya menyoalnya.

Dua minggu setelah pengebumian Saadun, Datuk menemui Sarjan 1000, mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan pada Datuk. Datuk juga menemui Maniam dan Tajuddin. Bengkak di muka Maniam sudah pun beransur surut, begitu juga dengan bengkak di lengan tangan Tajuddin.

Walaupun begitu, mereka menghadapi masalah kerana diganggu oleh kedatangan kucing hitam pada setiap malam.

“Pukul berapa kucing itu datang?” Tanya Datuk pada Tajuddin.

“Tepat pukul dua belas malam, mencakar-cakar dinding rumah hingga ke subuh, kami sekeluarga tak dapat tidur, bila dicari kucing itu tidak nampak.”

“Begini, sebelum kejadian itu, macam mana kamu tahu, kucing itu kucing hitam.”

“Begini, sebelum kejadian tu, saya pernah terserempak dengan kucing hitam ganjil di kaki tangga rumah saya waktu Maghrib kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan ekor, saya pukul dengan pelepah kelapa, sejak itu kami sekeluarga terus diganggu,” jelas Tajuddin pada Datuk.

Maniam pula menceritakan pada Datuk begini: bila ia bekerja malam, ia selalu sahaja diekori oleh kucing hitam dari jarak yang agak dekat, kalau ia tidak hati-hati kucing hitam itu akan menerkam ke arahnya sambil memperlihatkan lidah dan taringnya yang tajam.

“Saya orang bujang yang tidak tinggal di berek, saya takut balik ke rumah saya, setiap kali saya balik dengan basikal kucing itu mengejar saya, pernah saya nak membunuhnya tapi kucing itu bagaikan tahu niat hati saya, sentiasa saja menjauhkan diri dari saya,” Maniam menerangkan pada Datuk. Datuk termenung panjang mendengar cerita aneh dari dua anggota polis itu. Datuk renung muka Maniam dan Tajuddin yang duduk atas batu di depan pintu masuk kawasan ke balai Polis.

Dalam panas terik itu, saya merenung ke arah pasar yang terletak di depan balai. Beberapa orang lelaki dan wanita yang keluar dari perut pasar membawa ikan dan sayur. Saya jeling ke arah jam tangan Tajuddin. Sudah pukul sebelas, patutlah panas terik.

“Pernah tak, kamu terjaga malam dan tengok kucing hitam ada dekat kamu,” pertanyaan itu Datuk tujukan pada Maniam.

“Ada.”

“Apa yang dibuatnya?”

“Kucing itu jilat ibu jari kaki sebelah kanan.”

“Hum, lepas tu apa yang kamu buat?”

“Saya cuba bangun tetapi, tak terdaya, seluruh kaki kanan saya terasa lemah, bila kucing tu bilang, rasa lemah terus hilang.”

“Pelik,” rungut Datuk.

Saya renung muka Tajuddin yang didakap keresahan. Datuk mengecilkan kedua belah mata. Kening lebatnya hampir mahu bertemu. Seluruh muka saya sudah pun diruap peluh-peluh halus.

“Apa yang patut saya buat?” Tanya Maniam mendadak.

“Sabar, dua hari lagi, aku jumpa kamu berdua, kalau dalam tempoh dua hari kucing hitam itu mengganas juga, kau berdua carilah aku,” Datuk memberi pengakuan. Matanya masih mengecil lagi. Saya lihat mata hitamnya tidak bergerak bagaikan melihat sesuatu yang berada dalam jarak yang amat jauh.

Bila melihat Datuk dalam keadaan demikian, saya tidak mengizinkan Maniam atau Tajuddin mengajukan sebarang pertanyaan pada Datuk. Perbuatan itu boleh mengganggu penghayatan Datuk pada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa kecuali Datuk sendiri.

Saya segera menulis alamat rumah Datuk pada sekeping kertas. Kertas itu saya serahkan pada Maniam dan Tajuddin. Ketika mereka menatap alamat rumah Datuk di kertas. Cara mengejut sahaja Datuk batuk.

Saya tersengih, batuk itu sebagai tanda amaran yang tugas Datuk sudah berakhir. Datuk renung ke arah saya sejenak. Dia senyum, bagaikan mengucap sejuta terima kasih kerana saya telah membantunya.

“Rahsiakan semuanya ini pada orang lain,” Datuk bersuara lembut. Saya renung muka Maniam dan Tajuddin. Mereka jadi panik. Tidak ada rahsia yang mereka terima dari dauk, tiba-tiba Datuk memberi amaran.

“Maksud aku, alamat rumah aku dan janji aku pada kamu berdua jangan diceritakan pada sesiapa, kalau pesan ini kamu langgar, aku tak dapat membantu kamu berdua,” Datuk menenangkan rasa risau dalam kepala Maniam dan Tajuddin.

“Kami berjanji,” sahut Tajuddin.

“Kalau sudah berjanji, peganglah pada janji,” balas Datuk dalam nada suara yang cukup lembut.

Tajuddin dan Maniam segera bangun. Muka mereka nampak pucat. Kedua-duanya segera mendapatkan Datuk, macam ada sesuatu yang mengikuti mereka. Paling mengejutkan badan kedua-duanya menggeletar, tidak, tentu arah macam orang kesejukan. Aneh macam mana mereka kesejukan dalam pancaran matahari yang garang.

“Kenapa?” Tanya saya.

“Kami dengar suara kucing,” jawab Tajuddin. Saya segera pergi ke longkang, renung kiri, renung kanan. Tidak ada kucing di situ kecuali beberapa ekor katak puru bersembunyi di celah-celah rumput yang tumbuh liar di bibir longkang.

Bau hapak bercampur hanyir dan air longkang yang mengalir lambat itu membuat saya mahu muntah. Saya terus mendapatkan Datuk.

“Tak ada kucing pun,” kata saya.

“Kalau tak ada kucing macam mana boleh ada suara kucing, cuma perasaan kamu berdua saja,” Datuk menyokong saya.

“Saya dengar,” kata Maniam.

“Saya dengar, saya yakin itu suara kucing hitam,” kata Tajuddin.

Dalam keadaan yang membingungkan itu. Seekor kucing hitam muncul di depan kami. Tidak ada seorang yang dapat memastikan dari arah mana kucing hitam itu muncul. Kucing itu menguap di depan kami, memperlihatkan gigi tajam dan lidah panjang yang merah pada kami. Kucing itu menjilat jilat di jarinya.

Tamat siri 73/284

BACA: SBDJ Siri 72: Di Telan Pasir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, June 18, 2019

Apa Itu Germ Cell Tumor?

Apa Itu Germ Cell Tumor?

Perkataan 'Germ' daripada Germ Cell Tumor (GCT) diambil daripada perkataan ‘Germinate’ iaitu ‘to begin to grow’ atau dalam bahasa melayunya adalah ‘mula membesar/berkembang’ dan selalunya kita menggunakan perkataan germinate ini untuk biji benih yang baru tumbuh jadi, germinate juga bermaksud bercambah.

Germ Cell Tumor
Germ Cell Tumor.

Apakah Germ Cell pula? Dalam badan kita ada satu sejenis sel yang dinamakan sebagai Germ cell (Sel germa). Fungsi sel germa ini adalah untuk menghasilkan sel sperma ataupun ovum.

Jadi, daripada sel germa inilah terhasil sel pembiakan seperti sperma dan ovum dan persenyawaan dua sel ini pula akan menghasilkan sel zygot yang akan bercambah/membesar menjadi manusia.

Sebab itu kita panggil sel ini sebagai Germ cell (sel germa) kerana sel inilah punca terhasilnya bayi yang akan bercambah menjadi manusia.

Sel germa ini selalunya akan berada di dalam testis ataupun ovari dan di situlah mereka akan menghasilkan sperma atau ovum.

Jadi, bila kita kata Germ cell tumor (Tumor sel germa) ia membawa maksud tumor ataupun ketumbuhan ini berpunca daripada sel germa yang membahagi secara tidak terkawal.

Lokasi tumor sel germa(Germ cell tumor)

Tumor sel germa selalunya akan berlaku dikawasan testis ataupun pada bahagian ovari, kerana di kawasan tersebut sel reproduktif seperti sperma dan ovum dihasilkan.

Jarang untuk tumor ini berlaku dikawasan selain daripada testis dan juga ovari dan kebanyakan tumor yang berlaku dikawasan lain ini akan melibatkan mereka yang berusia muda.

Perlu diketahui bahawa terdapat pelbagai jenis Germ cell tumor yang ada seperti teratoma, seminoma, choriocarcinoma dan banyak lagi.

Ketumbuhan ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu sama ada Malignant iaitu tumbuh secara cepat dan boleh merebak ke tempat lain atau pun benign iaitu tumbuh dengan lambat dan tidak merebak ke tempat lain. Malignant inilah kita gelarkan sebagai kanser.

Setiap daripada jenis tumor tersebut mempunyai karakter yang berlainan dan cara rawatan yang berbeza.

Sebab itu tumor ini dikategorikan dengan pelbagai jenis supaya rawatan yang spesifik dapat diberikan sesuai dengan jenis tumor tersebut.

Apakah punca kepada penyakit ini?

Punca kepada masalah ini masih lagi tidak diketahui. Ada kajian yang mengatakan ia mempunyai hubung kait dengan penyakit keturunan atau genetik di mana jika ada ahli keluarga yang mempunyai kecacatan daripada segi struktur badan sejak lahir, maka anaknya akan mempunyai risiko untuk menghadapi Germ cell tumor ini.

Bayi yang mengalami Cryptorchidism juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah ini.

Cryptorchidism adalah keadaan dimana satu ataupun kedua-dua belah testis tidak turun ke dalam kerandut scrotum Dan mungkin berada di dalam bahagian abdomen.

Kesimpulan

Germ cell tumor berpunca daripada sel yang menghasilkan sel pembiakan seperti sperma dan juga ovum. Disebabkan sel ini membahagi dan membesar secara tidak normal, maka terjadilah tumor tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Kebijaksanaan Dr Amalina Che Bakri bukan sesuatu yang perlu dihebahkan, lebih-lebih lagi setelah kejayaannya mencipta sejarah sebagai pelajar pintar yang mencapai keputusan 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Dr Amalina Pakar Surgikal
Dr Amalina.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, namanya tidak pernah lekang daripada bibir rakyat Malaysia yang berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang beliau kecapi.

Dr Amalina sekali lagi menjadi bualan rakyat negara ini selepas memulakan ikhtiar untuk membawa bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidapi ‘Germ Cell Tumour’ untuk dirawat di London, United Kingdom.

Hasil usaha anak Malaysia ini juga dapat mengumpulkan barisan pakar perubatan dari dalam dan luar negara untuk sama-sama terlibat bagi menjayakan misi menyelamatkan Ainul.

Kegigihan ini sekali lagi mendapat pujian masyarakat Malaysia hinggakan ramai yang ingin mengenali figura ini dengan lebih dekat.

Siapa sebenarnya doktor wanita berusia 32 tahun yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia ini?

Mari kita sama-sama teliti profil Dr Amalina.

1. Anak tunggal pasangan pengetua sekolah, Sabariah Hassan dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod ini dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.

2. Memperoleh keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM pada 2004.

3. Tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik United Kingdom (UK).

4. Bercita-cita untuk menjadi pakar bedah kanser payudara dan onkoplastik.

5. Pemegang biasiswa Kijang Emas daripada Bank Negara Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UK.

6. Bergelar doktor setelah menamatkan pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013.

7. Kerap berkongsi dan mendidik masyarakat tentang kesedaran kesihatan menerusi beberapa platform media sosial miliknya.

8. Memiliki 511,000 pengikut di Instagram

@dramalinabakri, 322,000 pengikut di Twitter @dramalinabakri dan 16,000 subscriber pula di saluran YouTube Dr. Amalina.

9. Jangan ada yang patah hati ye! Hati Dr Amalina sendiri sudah dimiliki oleh seorang jejaka Inggeris yang dirahsiakan namanya. Tapi anda boleh mengintai akaun Instagram buah hati doktor tersebut yang menggunakan identiti pengguna @_a__87_ .

10. Boleh bertutur dalam slanga British selepas berhijrah selama 14 tahun ke negara itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

11. Selain hebat dalam bidang akademik, Dr Amalina merupakan seorang yang pandai berfesyen dan seorang peminat filem adiwira Avengers terbitan Marvel Studios.

12. Gemar mengisi masa lapang dengan melancong ke seluruh pelosok dunia dan sehingga kini telah menggembara ke lebih 60 destinasi.

13. Meminati fesyen terkini dan gemar menggayakan pelbagai busana mengikut citarasa terkini, Dr Amalina pernah diberi jolokan Dr Bling Bling. Jadi tidak hairan jika dia sering meluangkan masa di gim bagi menjaga penampilan dirinya.

Pendidikan

2005 - 2007: A-Level di The Cheitenham Ladies' College, England.

2007 - 2013: Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Program Amgen European Scholars untuk kajian dalam bidang farmakologi di Institut Karolinska, Sweden.

2012 - 2013: Doktor pelatih bagi program Surgikal Onkologi dan Genekologi di Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

2013 - 2015: Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang penterjemah perubatan dan terapeutik di Universiti Cambridge.

2017 - kini: Dr Amalina sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) dan berkhidmat sebagai seorang pendaftar pembedahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Segelas Bubble Tea Mengandungi 20 Sudu Gula, Nak Sangat Kencing Manis Bolehlah Minum Setiap Hari

Segelas Bubble Tea Mengandungi 20 Sudu Gula, Nak Sangat Kencing Manis Bolehlah Minum Setiap Hari

Satu per satu stor minuman Bubble Tea muncul dengan ciptaan minuman baharu yang kelihatan hampir sama, semuanya mempunyai bubble pada dasar botol minuman tetapi hakikatnya, pembeli mudah untuk menentukan perbezaan rasa pada kesemua minuman Bubble Tea.

Bubble Tea Tinggi Gula

Cuma apa yang tak berapa nak menarik adalah apabila Public Health mengeluarkan notis penting berkenaan kesan negatif dalam bentuk infografik, sekiranya kita terlalu obses mengambil minuman Bubble Tea.

Menurut pakar di Public Health, “segelas Brown Boba Milk (500ml) boleh mengandungi 92 gram gula iaitu TIGA KALI GANDA lebih tinggi berbanding kandungan gula di dalam 320 ml tin minuman Coca Cola.”

Bagi secawan minuman Bubble Tea pula, ia dilaporkan mengandungi kandungan gula yang jauh lebih tinggi berbanding Brown Boba Milk iaitu sebanyak 20.5 sudu kecil gula ataupun 102.5 gram gula.

Suka atau tidak, kita semua perlu mengakui bahawa pengambilan apa-apa jenis jenama minuman Bubble Tea langsung bukan pilihan sihat.

Jika diambil sekali-sekala, kemungkinan efeknya tidaklah terlalu ketara pada diet kita, namun jika sudah diambil setiap hari, you do the math.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian Tidak Pernah Di Luluskan

Pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian Tidak Pernah Di Luluskan

Mesej berantai mengenai Pertubuhan Melayu Murtad (IFC) yang kononnya didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang asyik menjadi viral sejak bertahun-tahun lalu adalah mesej lama dan terbukti tidak sahih.

Murtad di Malaysia

Mesej yang dikitar semula itu sengaja diperbesarkan bagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.

Ada beberapa fakta dalam mesej itu yang kurang tepat sama ada ditokok tambah oleh pengirim asal mengikut kemahuannya atau mungkin individu itu tidak mempunyai fakta lengkap.

Namun, walaupun mesej di sebalik penyebaran itu tidak sahih, peringatan seumpama itu ada relevannya dan perlu diingatkan selalu.

Ia sebagai peringatan kepada umat Islam yang cenderung mengamalkan gaya hidup liberal supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang sejak dulu cuba mempengaruhi umat Islam.

Secara jujur, memang orang Melayu yang murtad kini semakin ramai dan tidak menghairankan jika mereka menubuhkan persatuan sedemikian, cuma tidak boleh di daftarkan secara rasmi.

Justeru, umat Islam di negara ini haruslah sentiasa peka dengan gerakan yang cuba menjatuhkan agama Islam, selain usaha memurtadkan kelompok masyarakat beragama Islam.

Sementara itu, Ketua Pengarah ROS, menafikan bahawa pihaknya pernah meluluskan pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian.

Berita yang disebarkan secara meluas melalui media sosial yang mendakwa ROS meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan itu adalah tidak benar sama sekali.

Penyebaran berita ini telah lama dikesan, sejak awal 2007 dan sering disebarkan dari masa ke semasa.

ISU INTERFAITH COMMISSION (IFC) DAN PERTUBUHAN MELAYU MURTAD

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati isu Interfaith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama, Persatuan Melayu Kristian dan Pertubuhan Melayu Murtad telah kembali viral di media sosial dan entiti-entiti tersebut dikatakan telah berdaftar secara sah.

Malah, Jakim telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu ini pada 9 Oktober 2014 yang lalu.

Jakim berpandangan isu sebegini boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan masyarakat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru itu, Jakim telah membuat semakan sekali lagi dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkenaan telah mengesahkan bahawa dakwaan yang entiti-entiti tersebut telah berdaftar secara sah di bawah ROS adalah tidak benar sama sekali.

Bagi menangani isu ini, Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memelihara kesucian Islam dan membendung umat Islam daripada terjebak dalam penyebaran berita bohong dan palsu, yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Jakim ingin memberi nasihat kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap isu-isu seperti ini dan dapat memberikan bantuan dengan menyalurkan maklumat kepada Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu demi menjaga kesucian Islam dan keharmonian hidup masyarakat di negara ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Demam Campak Punca Kematian Misteri 14 Orang Asli Kuala Koh

Demam Campak Punca Kematian Misteri 14 Orang Asli Kuala Koh

Kementerian Kesihatan dalam sidang media mengesahkan punca kematian orang asli dari suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang berpunca dari penularan jangkitan measles (demam campak), akhirnya menjawab segala persoalan misteri selama ini.

Orang Asli Kuala Koh

Ia menjawab isu penyakit ganjil yang tiba-tiba timbul termasuklah jangkitan kuman di saluran pernafasan akibat perlombongan bijih besi di kawasan terbabit.

Malah, kampung orang asli ini turut menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk datang ketika isu ini heboh diperkatakan media.

Masyarakat orang asli dari suku kaum Bateq menjadi tumpuan berikutan berlaku 14 kematian hingga menggemparkan negara.

Air sungai yang didakwa tercemar turut disahkan selamat dan tiada kaitan dengan perlombongan bijih besi di kawasan terbabit, malah kubur-kubur lama digali semula untuk mencari punca kematian.

Berikut merupakan kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI TERKINI KLUSTER JANGKITAN SALURAN PERNAFASAN DI KALANGAN KOMUNITI ORANG ASLI KAMPUNG KUALA KOH, GUA MUSANG, KELANTAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli yang berkaitan dengan Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang telah dilaporkan sejak 3 Jun 2019.

Sehingga 15 Jun 2019, sebanyak 112 kes termasuk dua (2) kematian telah dilaporkan kepada KKM. Komuniti Orang Asli ini mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan beberapa kes mengalami gejala mata merah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 52 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan empat (4) kes di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang.

Seramai 170 dari 185 (92%) penduduk Kampung Kuala Koh telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka. Sehingga 15 Jun 2019, 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal.

Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang AsliKampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak).

Hidup berpindah randah antara punca suntikan vaksin tidak dapat disempurnakan di kalangan orang asli di Kuala Koh ini.

Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-MumpsRubella (MMR) dan 30% bagi suntikan dos kedua.

Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

Sejumlah 14 kematian telah dilaporkan berlaku, namun hanya dua (2) kes terakhir telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat yang pertama, punca kematian dilaporkan sebagai pneumonia (radang paru-paru).

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh Pasukan Perubatan Forensik KKM telah berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga jam 6.40 petang semalam dan telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian.

Measles adalah jangkitan virus measles yang amat mudah merebak. Satu kes measles boleh menularkan jangkitan kepada 12–18 individu lain.

Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti.

Measles boleh dicegah dengan imunisasi. Vaksin MMR diberikan sebanyak dua dos kepada bayi berumur 9 bulan dan 12 bulan.

Gejala penyakit measles adalah demam dengan batuk, selesema atau mata merah (konjunktivitis), diikuti dengan ruam selepas beberapa hari.

Komplikasi jangkitan measles berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak, serta individu yang mengalami kekurangan zat makanan dan tahap imuniti yang rendah.

Komplikasi measles termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak (encephalitis), otitis media dan kematian.

Kadar kematian kes measles (case fatality rate) lazimnya kurang dari 1%, namun boleh setinggi 3-6% sekiranya mengalami kekurangan zat makanan.

Tindakan pencegahan dan kawalan wabak telah dijalankan dan masih diteruskan, termasuk:

1. Carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli ini dan di perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

2. Memberi vitamin A kepada semua kanak-kanak bagi kes Measles yang dirawat, bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan.

3. Menjalankan aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terlibat.

4. Pendidikan kesihatan kepada penduduk, termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan.

5. Mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri (Personal Protective Equipment) yang bersesuaian.

KKM turut mengarahkan negeri-negeri lain untuk mempertingkatkan survelan jangkitan measles serta meningkatkan liputan imunisasi di kalangan komuniti Orang Asli di negeri masing-masing.

Pihak negeri hendaklah memaklumkan segera kepada KKM melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan sekiranya terdapat kluster kes dan/atau kematian yang mempunyai gejala yang sama.

Pihak Polis Di Raja Malaysia terus memantau dan mengawal kemasukan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain dari memasuki ke kawasan Kampung Kuala Koh yang terlibat bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan.

Kolaborasi antara pelbagai agensi amat penting untuk memastikan kejadian wabak penyakit seperti ini tidak berulang.

Keadaan persekitaran tempat tinggal yang bersih termasuk bekalan air yang selamat dan sumber bekalan makanan yang mencukupi perlu dipertingkatkan dengan segera.

KKM komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada Orang Asli di seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
17 Jun 2019

BACA INI JUGA:

sumber: remaja