Selasa, Jun 18, 2019

Demam Campak Punca Kematian Misteri 14 Orang Asli Kuala Koh


Loading...

Kementerian Kesihatan dalam sidang media mengesahkan punca kematian orang asli dari suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang berpunca dari penularan jangkitan measles (demam campak), akhirnya menjawab segala persoalan misteri selama ini.

Orang Asli Kuala Koh

Ia menjawab isu penyakit ganjil yang tiba-tiba timbul termasuklah jangkitan kuman di saluran pernafasan akibat perlombongan bijih besi di kawasan terbabit.

Malah, kampung orang asli ini turut menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk datang ketika isu ini heboh diperkatakan media.

Masyarakat orang asli dari suku kaum Bateq menjadi tumpuan berikutan berlaku 14 kematian hingga menggemparkan negara.

Air sungai yang didakwa tercemar turut disahkan selamat dan tiada kaitan dengan perlombongan bijih besi di kawasan terbabit, malah kubur-kubur lama digali semula untuk mencari punca kematian.

Berikut merupakan kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI TERKINI KLUSTER JANGKITAN SALURAN PERNAFASAN DI KALANGAN KOMUNITI ORANG ASLI KAMPUNG KUALA KOH, GUA MUSANG, KELANTAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli yang berkaitan dengan Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang telah dilaporkan sejak 3 Jun 2019.

Sehingga 15 Jun 2019, sebanyak 112 kes termasuk dua (2) kematian telah dilaporkan kepada KKM. Komuniti Orang Asli ini mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan beberapa kes mengalami gejala mata merah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 52 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan empat (4) kes di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang.

Seramai 170 dari 185 (92%) penduduk Kampung Kuala Koh telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka. Sehingga 15 Jun 2019, 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal.

Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang AsliKampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak).

Hidup berpindah randah antara punca suntikan vaksin tidak dapat disempurnakan di kalangan orang asli di Kuala Koh ini.

Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-MumpsRubella (MMR) dan 30% bagi suntikan dos kedua.

Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

Sejumlah 14 kematian telah dilaporkan berlaku, namun hanya dua (2) kes terakhir telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat yang pertama, punca kematian dilaporkan sebagai pneumonia (radang paru-paru).

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh Pasukan Perubatan Forensik KKM telah berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga jam 6.40 petang semalam dan telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian.

Measles adalah jangkitan virus measles yang amat mudah merebak. Satu kes measles boleh menularkan jangkitan kepada 12–18 individu lain.

Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti.

Measles boleh dicegah dengan imunisasi. Vaksin MMR diberikan sebanyak dua dos kepada bayi berumur 9 bulan dan 12 bulan.

Gejala penyakit measles adalah demam dengan batuk, selesema atau mata merah (konjunktivitis), diikuti dengan ruam selepas beberapa hari.

Komplikasi jangkitan measles berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak, serta individu yang mengalami kekurangan zat makanan dan tahap imuniti yang rendah.

Komplikasi measles termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak (encephalitis), otitis media dan kematian.

Kadar kematian kes measles (case fatality rate) lazimnya kurang dari 1%, namun boleh setinggi 3-6% sekiranya mengalami kekurangan zat makanan.

Tindakan pencegahan dan kawalan wabak telah dijalankan dan masih diteruskan, termasuk:

1. Carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli ini dan di perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

2. Memberi vitamin A kepada semua kanak-kanak bagi kes Measles yang dirawat, bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan.

3. Menjalankan aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terlibat.

4. Pendidikan kesihatan kepada penduduk, termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan.

5. Mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri (Personal Protective Equipment) yang bersesuaian.

KKM turut mengarahkan negeri-negeri lain untuk mempertingkatkan survelan jangkitan measles serta meningkatkan liputan imunisasi di kalangan komuniti Orang Asli di negeri masing-masing.

Pihak negeri hendaklah memaklumkan segera kepada KKM melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan sekiranya terdapat kluster kes dan/atau kematian yang mempunyai gejala yang sama.

Pihak Polis Di Raja Malaysia terus memantau dan mengawal kemasukan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain dari memasuki ke kawasan Kampung Kuala Koh yang terlibat bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan.

Kolaborasi antara pelbagai agensi amat penting untuk memastikan kejadian wabak penyakit seperti ini tidak berulang.

Keadaan persekitaran tempat tinggal yang bersih termasuk bekalan air yang selamat dan sumber bekalan makanan yang mencukupi perlu dipertingkatkan dengan segera.

KKM komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada Orang Asli di seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
17 Jun 2019

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon