Saturday, January 20, 2018

Khasiat Madu Merawat Kanser


Madu sering dikaitkan dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan dan salah satu khasiat madu yang didakwa ialah dapat menjadi penawar penyakit kanser, suatu proses penyakit yang sangat kompleks. Madu juga diketahui mengandungi ciri-ciri antioksidan dan antikeradangan. Ciri-ciri ini adalah daripada kandungan kompoun fenolik yang terdapat di dalamnya.

Khasiat Madu Merawat Kanser

Madu asli yang dihasilkan oleh lebah mengandungi lebih 200 jenis kompoun, mengandungi terutamanya gula (75% gula ringkas iaitu glukos dan fruktos, 10-15% disakarida iaitu sukros, maltos dan lain-lain), air, enzim, vitamin (B6, riboflavin, niacin, thiamin dan lain2), mineral, kompoun fenolik (flavonoid, asid fenolik), pigmen dan lain-lain.

Kualiti sesuatu jenis madu bergantung kepada kandungan asid fenolik dan dikatakan kandungan kompoun asid fenolik paling tinggi di dalam madu manuka, madu monofloral daripada New Zealand, madu tualang dan madu buckwheat monofloral.

Kandungan fenolik di dalam madu berbeza daripada 86 hingga 1141 mg/kg. Kaedah pengukur kandungan fenolik ini juga perlu dipersoalkan kerana jika kaedah yang digunakan tidak betul, maka ia boleh memberi gambaran yang salah tentang isi kandungan fenolik.

Contohnya jika pengkaji menggunakan kaedah Folin-Ciocalteau untuk mengukur fenolik, bacaan yang diberikan nanti adalah lebih tinggi daripada nilai sebenar (”overestimated”).

Isu yang paling bersar adalah biovailabiliti madu ini apabila diambil oleh manusia, maksudnya berapakah kandungan fenolik yang akan dapat masuk ke dalam aliran darah apabila manusia meminum madu tulin.

Kajian ke atas bioavailabiliti ini masih terhad, tetapi ada kajian ke atas madu buckwheat yang menunjukkan kandunagn fenolik di dalam plasma meningkat selepas 2 jam mengambil madu (dos 1.5 gm/kg madu) dan bertahan untuk selama 6 jam. (1, 2).

PUNCA KANSER

Kanser terjadi akibat daripada kelainan genetik dan interaksi dengan faktor-faktor luar yang menjadi ko faktor.

Akibat daripada kelainan genetik ini juga menyebabkan berlaku kelainan metabolisma tisu sehingga menjadi punca transformasi sel yang normal kepada sel-sel kanser.

Kelainan genetik dan epigenetik boleh berlaku akibat daripada proses semulajadi yang berlaku secara spontan dan juga akibat daripada pendedahan ke atas karsinogen melibatkan gen perencat kanser serta onkogen.

Kejadian kanser juga ada dikaitkan dengan proses keradangan yang berlaku serta penglibatan radikal bebas.

Melalui pemahaman inilah wujudnya andaian bahawa sifat antioksidan dan antikeradangan yang ada di dalam madu mungkin mempunyai kesan positif terhadap kanser.

CIRI-CIRI ANTIKANSER DI DALAM MADU

Terdapat beberapa ciri yang membuatkan sesuatu bahan menjadi antikanser. Di antara ciri-ciri tersebut adalah antiproliferatif (anti pembiakan sel), apoptotik (mematikan sel), merencat faktor tumbesaran (growth factors inhibition), antikeradangan dan lain-lain lagi.

Madu telah menjalani kajian dari semua aspek ini walaupun semua kajian-kajian tersebut adalah kajian makmal.

Berikut adalah beberapa fakta mengenai hasil kajian terhadap madu dan potensinya sebagai antikanser.

CIRI-CIRI ANTIPROLIFERATIF (ANTI PEMBIAKAN SEL)

Kajian-kajian tentang ciri antiproliferatif madu ini adalah kajian makmal ke atas lapisan sel-sel kanser di dalam makmal, terdapat kajian ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, usus besar dan juga melanoma. Ciri-ciri antiproliferatif ini di dapati ada di dalam madu.

Madu manuka yang tulin digunakan untuk menguji kesan ini terhadap lapisan sel kanser payudara, melanoma dan kolon tikus.

Madu tualang juga telah didapati menunjukkan ciri-ciri antiproliferatif lapisan sel kanser mulut, kanser payudara, kanser pangkal rahim, leukemia dan sel tulang (osterosarcoma).

Ramai ahli sains percaya ciri-ciri antiproliferatif ini adalah daripada kandungan fenolik di dalam madu.

Satu lagi jenis madu yang menjalani ujian makmal ini adalah madu gelam ke atas lapisan sel kanser usus besar.

Madu tualang didapati mengandungi kandungan fenolik dan flavonoid yang lebih tinggi daripada madu gelam.

Kajian-kajian juga menunjukkan tindakbalas yang berbeza daripada jenis madu yang berbeza serta jenis lapisan sel-sel kanser.

Kebanyakan kajian tidak memberi maklumat terperinci dari segi jumlah lapisan sel-sel kanser yang digunakan.

Kandungan gula di dalam madu juga menentukan kesan madu sebagai antiproliferatif sebab gula diperlukan oleh sel kanser dan pada waktu yang sama dipercayai mempunyai kesan antimutagenik (mencegah mutasi gen).

Kesan antimutagenik ini dikesan paling tinggi oleh madu Buckwheat. Kesan antimutagenik lebih kepada mencegah berlakunya transformasi sel berbanding dengan kesan antiproliferatif yang lebih kepada menghentikan pembiakan sel.

Terdapat juga kajian yang mengambil ekstrak daripada madu untuk melihat kesan antiproliferatif madu, contohnya mengambil Chrysin salah satu kompoun fenolik.

Kesan toksik chrysin ditemui ke atas lapisan sel kanser melanoma. Kesan-kesan cytotoxic Chrysin ke atas lapisan sel kanser payudara, prostat, servik, hati, paru-paru dan pankreas juga ditemui.

Chrysin juga dikesan mempunyai ciri-ciri apoptotik ke atas sel kanser hati, usus besar, prostat, payudara dan paru-paru.

Satu lagi kompoun fenolik yang digunakan untuk kajian ini adalah quercetin ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, kanser serviks, ovari dan payudara.

Apa yang menarik adalah ujian-ujian menggunakan kompoun ini secara bersendirian memerlukan kepekatan yang lebih tinggi jika dibandingkan kandungannya di dalam madu asli.

Ini membawa kepada andaian bahawa di dalam madu asli tersebut terdapat bahan-bahan antiproliferatif lain yang bekerjasama bagi menghasilkan kesan yang lebih besar. Bahan-bahan lain ini masih tidak dapat diketahui oleh ahli sains.

CIRI MERENCAT FAKTOR TUMBESARAN

Di samping kesan antiproliferatif, kesan ke atas faktor tumbesaran (growth faktor) juga dikaji.

Setiap kanser mempunyai faktor tumbesarannya sendiri yang jika diransang akan meningkatkan saiz kanser dan jika direncat boleh mengecil dan menghapuskan sel-sel kanser.

Walaupun terdapat kajian kesan madu ke atas faktor tumbesaran yang dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser payudara dan kanser usus besar, keputusan daripada kajian-kajian ini masih belum mencukupi untuk mengatakan madu mempunyai kesan ke atas faktor tumbesaran.

CIRI APOPTOTIK (MEMBUNUH SEL)

Kesan apoptotik adalah kesan mematikan sel. Kajian mengenai kesan madu di dalam mematikan sel pernah dilakukan ke atas lapisan sel kanser leukemia menggunakan madu Spanish. Kajian ini menunjukkan kesan positif apoptotik pada kepekatan tertentu madu ini.

Madu juga didapati mempunyai kesan mematikan sel-sel kanser yang dihidapi oleh haiwan. Kajian ke atas kanser yang diperolehi daripada tikus dilakukan, suntikan terus ke atas kanser dilakukan menggunakan 0.1 ml, 20% madu selama 3 minggu.

Kajian ini menunjukkan memang ada kesan apoptotik ke atas kanser yang dihidapi oleh tikus ini apabila disuntik dan diberi makan madu yang berkenaan.

Kajian ini adalah ke atas haiwan dan tidak dilakukan perbandingan dengan madu tiruan ataupun campuran gula. Madu manuka telah menunjukkan kesan apoptotik ke atas lapisan sel kanser payudara dan melanoma.

Kajian terhadap madu tualang pernah dilakukan ke atas lapisan sel-sel kanser payudara dan servik juga menunjukkan kesan antikanser.

Kajian terhadap madu gelam dilakukan ke atas lapisan sel kanser usus besar juga menunjukkan kesan yang sama.

CIRI ANTI-KERADANGAN (ANTI-INFLAMATORI)

Keradangan ataupun inflamatori adalah tindak balas biologi ke atas kecederaan. Keradangan mempercepatkan proses penyembuhan luka dan memainkan peranan penting di dalam proses kejadian penyakit.

Keradangan boleh menjadi bermanfaat dan jika berlebihan boleh memudaratkan. Sejenis bahan dikenali sebagai cytokines dihasilkan oleh sel-sel inflamatori yang boleh meransang pembentukan saluran darah baru (angiogenesis) serta pembiakan stroma.

Manakala kerosakan akibat daripada radikal bebas ke atas tisu badan boleh meransang kerosakan gen sel-sel badan.

Proses ini dengan disusuli dengan proses lanjutan yang kompleks boleh menyebabkan transformasi sel normal kepada sel kanser.

Kaitan di antara keradangan dan kejadian kanser memang diketahui oleh ahli sains apabila mendapati banyak jenis kanser berlaku ditempat yang ada berlaku keradangan kronik.

Salah satu jenis cytokines adalah intereukin yang dikesan mempunyai ciri-ciri tumorigenik (ransang ketumbuhan) dan proantiogenik (ransang saluran darah baru).

Kajian makmal ke atas madu tulis menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan merencat penghasilan interleukin menggunakan lapisan sel kanser usus besar manusia.

Walau bagaimanapun, kesan ini tidak dihasilkan oleh fenolik. Ahli sains tidak dapat memastikan apakah bahan yang bertanggungjawab, berkemungkinan daripada modulasi sistem imun menghasilkan radikal bebas.

Terdapat juga bukti kajian ke atas tikus yang menunjukkan kesan ransangan sistem imun oleh madu.

Kajian kecil ke atas 10 orang manusia dilakukan dengan memberi makan madu sebanyak 1.2 gm/kg selama 2 minggu mendapati pengambilan madu sebanyak 1.2gm/kg yang dilarutkan di dalam 250 mls air menyebabkan peningkatan bilangan sel monosit di dalam darah sebanyak 50 peratus dan sedikit peningkatan sel limfosit dan eosinofil.

Di sebaliknya pula terdapat juga kajian yang menunjukkan madu juga mempunyai kesan meransang keradangan iaitu ciri-ciri yang bertentangan, ini mengelirukan ahli sains.

Contohnya kajian menggunakan madu manuka, pasture dan jelly bush menunjukkan madu-madu ini juga meransang penghasilan interleukin dan TNF alfa apabila menggunakan madu 1%.

PENCEGAHAN KANSER

Kajian ke atas kesan madu bagi mencegah dan meningkatkan keberkesan rawatan kanser telah cuba dijalankan ke atas haiwan.

Madu tualang dan madu manuka diberikan kepada tikus pada dos 1gm/kg berat badan satu minggu sebelum kanser diransang ke atas tikus tersebut.

Kanser tersebut dapat dicegah dengan madu berkenaan di mana madu manuka didapati lebih berkesan daripada madu tualang.

Menyuntik madu ke atas kanser pundi kencing yang dihidapi oleh tikus pernah dilakukan dan saiz kanser ini didapati menurun selepas rawatan.

Kajian makmal (menggunakan lapisan sel payudara manusia) juga menunjukkan bahawa madu tualang dapat meningkatkan keberkesanan Tamoxifen melawan kanser payudara.

Madu manuka juga didapati mengurangkan kesan toksi ubat antikanser paclitaxel ke atas tikus. Di dalam kajian ini, madu manuka 50 peratus diberi suntikan intravena.

Bentuk kajian yang sama dilakukan menggunakan campuran madu lebah (madu, royal jelly, pollen grains) ke atas tikus yang mengambil cyclophosphamide.

Pemberian madu tulin sebanyak 500 mg/kg/hari kepada tikus selama satu minggu mengurangkan kesan toksik ke atas buah pinggang yang diakibatkan oleh cisplatin.

KESELAMATAN

Madu telah digunakan semenjak berkurun-kurun yang lalu sebagai sumber nutrisi dan juga merawat luka.

Setakat ini belum ada laporan kesan sampingan yang serius dialami oleh kebanyakan pengamal.

Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat banyak jenis madu dengan kualiti yang berbeza dan ada di antaranya diproses dan tercemar maka potensi kesan sampingan boleh terjadi akibat daripada pengambilan madu yang tidak mengikut peraturan ataupun secara berlebihan.

KESIMPULAN

Madu sememangnya dikesan mempunyai kesan manfaat ke atas manusia sebagai sumber nutrisi dan juga digunakan untuk merawat luka serta mengurangkan keradangan.

Ahli Sains perubatan tidak menafikan tentang adanya nilai-nilai pengubatan yang terdapat di dalam madu.

Apa yang istimewa tentang madu adalah ianya mudah diperolehi, murah, senang diambil dan setakat ini majoriti pengamal madu tidak mengalami kesan sampingan yang serius.

Walau bagaimanapun, kajian ke atas madu dan kesannya ke atas penyakit kanser masih terlalu awal. Semua kajian yang dilakukan berkaitan antara madu dan kanser adalah kajian makmal dan kajian haiwan.

Walaupun banyak kajian yang dilakukan itu menunjukkan kesan positif samada antiproliferatif, antikeradangan, apoptotik dan merencat ransangan faktor tumbesaran, ianya tidak cukup untuk dijadikan alasan menggunakan madu untuk merawat ataupun mencegah kanser ke atas manusia.

Di samping itu ahli sains juga masih tidak dapat menentukan apakah sebenarnya kompoun yang bertanggungjawab memberi ciri-ciri tersebut walaupun ramai yang yakin ianya disebabkan oleh fenolik.

Ciri-ciri dan kualiti madu juga berbeza-beza mengikut sumber, tempat ianya dihasilkan, cuaca, penyimpanan dan juga pembungkusan.

Ahli sains juga menghadapi masalah untuk menentukan apakah dos yang sesuai diambil dan jangkamasa pengambilan.

Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan dan potensi madu untuk digunakan sebagai bahan pengubatan adalah cerah jika ahli sains berjaya mengesan kompoun yang paling aktif, dos yang optima dan kaedah pemberian yang terbaik.

Di samping itu ahli sains juga perlu mengkaji kesan menggunakan madu bersama dengan kaedah rawatan kanser yang lain bagi menjamin keberkesanan rawatan kanser.

Sehingga rencana ini ditulis, rawatan kanser hendaklah diberikan dengan kaedah rawatan kanser moden yang dikendalikan oleh pakar kanser yang terlatih.

Madu masih dianggap sumber makanan dan suplemen bagi tujuan membekalkan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cara Minum Madu Yang Betul Tapi Ramai Tidak Tahu!

sumber: faktasains

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon