7/03/2014

Wang Zakat Berjuta Ringgit, Orang Miskin Hidup Melarat

Betul kata orang, kebanyakan rakyat di negara ini, kalau ada sesuatu isu cepat saja memberi ulasan dalam media sosial. Sedap-sedap saja menyalahkan semua pihak yang terlibat dalam isu itu, kecuali diri sendiri.

Orang-miskin

Mengambil kes remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah dan beberapa kes keperitan hidup orang lain, ramai hanya pandai mengutuk pihak yang terlibat. Sedangkan, mereka ini, entah pernah atau tidak membantu orang susah.

Hakikatnya, hanya orang yang susah atau pernah melalui kepayahan hidup memahami apa yang sedang dialami oleh orang susah yang lain.

Bukan semua orang boleh atau mahu membantu orang yang tidak berkemampuan ini.

Ada yang mahu membantu tetapi menghadapi kekangan kewangan dan ada yang mampu tetapi memberi macam-macam sebab untuk tidak membantu - antaranya keluarga sendiri dulu perlu lebih diutamakan, sudah membuat potongan zakat pendapatan, jadi tidak perlulah bersedekah lagi kerana sedekah itu bukannya wajib dan juga hanya mahu menolong orang yang benar-benar susah.

Ada orang yang membuat takrifan kemiskinan itu sebagai kehidupan yang begitu daif. Kalau orang yang susah itu, ada sebuah televisyen dan sebuah peti sejuk di rumahnya, itu bukan dikira susah.

Pada mereka, kalau keluarga itu mampu membeli dua peralatan elektrik tersebut, itu sudah dikira senanglah!

Orang jenis ini mengkelaskan kemiskinan itu sebagai orang yang tidak punya apa-apa langsung. Kalau boleh tempat berlindung pun tiada.

Itu pun belum tentu dia mahu atau boleh menolong kerana tiada masa mencari orang yang hidup gelandangan ini.

Sebenarnya juga, tidak semua orang susah dan miskin suka meminta-meminta. Sebab itu mereka tidak pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mana-mana Pusat Zakat untuk mengisi borang bantuan yang disediakan. Maka hiduplah dia dalam kemiskinan. Yang tahu keperitan itu hanya dia dan keluarganya.

Ramai golongan miskin yang tidak mahu meminta-minta. Ada yang hidup dengan menjual kuih saja. Dia berusaha memberi anak-anaknya makan. Tetapi jangan tidak tahu, jual kuih pun ada cabarannya.

Bila si ibu meminta anaknya menjual kuih kepada rakan-rakan sekelas, pihak sekolah pula tidak benarkan kerana pihak kantin bising! Membantu sangatkah kita ini?

Orang miskin vs orang kaya [2]

Justeru adalah menjadi tanggungjawab wakil-wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat termasuk si miskin ini turun padang untuk mengetahui masalah dan keadaan rakyat di kawasan mereka.

Jangan asyik sibuk berpolitik. Jangan cakap berdegar-degar hendak buat projek yang nilainya berjuta-juta ringgit, usah cerita pasal mencari keadilan dan mahu meringankan beban rakyat tetapi rakyat di kawasan sendiri terbiar tanpa pembelaan.

Letih betul kita melihat gelagat wakil rakyat yang sebegini.

Dalam pada itu, pihak yang memegang dana kewangan seperti JKM, Pusat Zakat dan yayasan-yayasan kebajikan yang ada ini juga sepatutnya jangan duduk di pejabat saja untuk menunggu orang susah mengadu dan meminta bantuan kepada mereka. Carilah mereka yang susah ini.

Sebenarnya tidak susah pun hendak mencari keluarga yang hidup susah dan miskin melarat ini.

Pergilah kawasan-kawasan penempatan semula setinggan dan kawasan perumahan kos rendah terutamanya di kawasan bandar. Di sinilah mereka tinggal.

Janganlah difikirkan sangat kenapa rumah orang yang mengadu susah hidupnya itu ada televisyen, peti sejuk atau kipas. Lebih baik tanya, sama ada bil elektrik rumah itu sudah langsai atau belum?

Janganlah mempertikaikan mengapa mereka ada telefon bimbit. Sedangkan telefon bimbit itu hanya jenis yang boleh membuat dan menerima panggilan serta mesej.

Janganlah mengambil perkiraan begitu. Ini semua kemudahan yang sepatutnya ada dalam setiap rumah tidak kira orang miskin atau kaya.

Sedangkan yang berpendapatan sederhana dan kaya-raya pun yang mempunyai macam-macam peralatan elektrik di rumah, bil elektrik mereka pun bertunggak berbulan-bulan. Inikan pula mereka yang miskin ini.

Kita pun tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui oleh orang yang susah ini untuk mendapat bantuan, tetapi kalau orang itu benar-benar hidup susah tidak payahlah merumitkan lagi proses untuk dia mendapat bantuan.

Permudahkanlah, sebabnya wang peruntukan sudah ada. Bukan perlu tunggu untuk mendapatkannya. Tujuan wang itu diperuntukkan pun untuk membantu orang susah, apa lagi mahu macam-macam kerenah birokrasi.

Orang miskin vs orang kaya [3]

Kita tidak mahu, kita ada wang kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit dan wang bantuan JKM yang berjuta-juta ringgit juga tetapi yang hidup miskin melarat pun masih ramai tidak dapat bantuan.

Mereka ini tetap dibiarkan hidup kesempitan, sudah biasa berlapar atau makan nasi dengan kicap. Yang kasihannya jika anak-anak dan orang tua yang menanggung keperitan ini.

Dan kepada syarikat-syarikat korporat, tidak perlulah menunggu bulan Ramadan untuk mencari orang susah untuk bersedekah dan memohon liputan media. Mereka ini susah sepanjang tahun bukan pada masa Ramadan sahaja.

Maka untuk mencapai negara yang berpendapatan tinggi, memang pelbagai usaha perlu dibuat dan banyak cabarannya, tetapi menjadi persoalannya nanti, di mana letaknya golongan miskin ini dalam masyarakat kita ketika itu?

Marilah kita jadikanlah Malaysia ini, negara yang bertuah untuk diduduki bukan saja kepada orang yang berada tetapi ju­ga kepada yang tidak punya apa-apa termasuk OKU, keluarga OKU mahupun penjaga OKU.

Oleh Fauziah Arof
Penulis rencana Utusan.com.my

BACA INI JUGA: Bina Istana Dengan Kos Rumah Murah

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

hakikatnya , klu org yg mengutuk itu ada jiran daif n oku seperti mrk , blm tentu mrk menghulurkan tgn membantu ...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon