Friday, March 13, 2020

6 Penyakit Akan Menimpa Umat Islam Di Akhir Zaman!

6 Penyakit Akan Menimpa Umat Islam Di Akhir Zaman!

Pada akhir zaman ini penindasan terhadap umat Islam berlaku di mana-mana sahaja termasuklah sesama umat Islam sendiri kerana sifat tamak dalam diri manusia. Jutaan ditindas dengan pelbagai cara seperti wanita dirogol, kanak-kanak dibunuh, tanah dan rumah dirampas, dibakar, dihalau dari kampung halaman, hatta dihalau dari negara asal masing-masing.

Gaza Diserang
Gaza Diserang.

Kita dapat melihat keadaan ini berlaku di serata dunia seperti kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, penduduk asal Islam di Palestin, ahli sunnah di Syria, bangsa Islam Ughyur di China, bangsa Moro Islam di Selatan Filipina, penduduk Islam di selatan Thai, pemberontak Chechnya, muslim di Bosnia dan muslim di Iraq.

Kalau kita teliti beberapa hadis, Nabi Muhammad SAW sudah menceritakan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kenapa ia berlaku kepada umat Islam atau apa salah dan dosa umat Islam diperlakukan dan dihina sehina-hinanya?

Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka."

Maka salah seorang sahabat bertanya: "Adakah hal itu kerana bilangan kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan."

Seorang sahabat bertanya: "Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Cinta dunia dan takut mati." [HR Abu Dawud]

Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih 1.8 bilion orang.

Dua penyakit dikatakan itu ialah;

Pertama: Cintakan dunia sehingga memperhambakan diri dan seluruh kehidupan kepada dunia. Apa-apa sahaja yang ditawarkan dunia akan disentap dengan rakusnya sehinggakan mereka lupa halal haram dan dosa pahala, lupa kita akan mati dan akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita lakukan di dunia.

Kedua: Takut mati. Akhirnya kerana terlampau cintakan dunia dengan segala kemewahan dan kenikmatannya menyebabkan mereka takutkan kematian, nak buat kerja agama takut diancam dan dibunuh sedangkan umat terdahulu sanggup bergolok gadai hatta terbunuh di medan peperangan demi mewariskan Islam kepada kita hari ini.

Ramai anak muda kini lebih mementingkan keseronokan tanpa mengetahui halal dan haram.

Malangnya umat Islam akhir zaman takutkan kematian sebab itulah kata Nabi SAW kita dikerumuni seperti makanan dikerumuni.

Ada penyakit lain lagi tak disebut oleh Nabi SAW yang menjadi sebab keadaan ini berlaku?

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu." Sahabat bertanya: "Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?"

Nabi SAW menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah [HR Hakim]:
  1. Terlalu banyak bersukaria.
  2. Terlalu mewah.
  3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin.
  4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia.
  5. Saling memarahi.
  6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain.

Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.

MasyaAllah, kalau kita perhatikan masyarakat kita hari ni betapa penyakit yang Rasulullah SAW sebutkan dalam hadis ini telah menular seperti wabak yang sangat bahaya dan tidak dapat dibendung penularannya dan menjadi penyakit kronik.

Akibat menurutkan hawa nafsu, tentunya segala cara akan digunakan termasuk segala tipu muslihat tidak mengira halal haram dan dosa pahala.

Ketika itu lenyaplah nilai-nilai akhlak yang murni dan tinggallah kecurangan, khianat-mengkhianati, dengki mendengki dan zalim menzalimi. Nauzubillah.

Apa ubatnya untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ini?

"Akan datang satu zaman, mereka yang bersabar (dalam berpegang kepada Agama) adalah seumpama mereka yang menggenggam bara api." (HR al-Tirmizi)

Beberapa 'ubat dan vaksin' kepada penyakit kronik akhir zaman ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang mencipta kita dan baginda Nabi SAW adalah seperti berikut:

Firman Allah SWT: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam)." [Ali Imran:103].

Rasulullah SAW berpesan kepada kita: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegang dengannya nescaya kamu tak akan sesat selamanya iaitu: al-Quran dan sunnahku."

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda: "Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan yang enggan."

Sahabat berasa kehairanan lalu bertanya; "Ya Rasulullah! Siapa yang tidak mahu masuk syurga?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk syurga dan siapa yang menyalahi ajaranku maka itulah yang tidak mahu masuk syurga." - [Riwayat Bukhari].

Maka marilah kita kembali ke pangkal agama Islam kita dan berpegang kuat kepada ajaran-ajarannya, insya-Allah kita akan diselamatkan oleh Allah di dunia dan akhirat.

Semoga sama-sama kita sebarkan perkongsian ini dan menjadi sebahagian dari amal jariah kita, insyaAllah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Penindasan 200 Tahun Terhadap Negara Dan Umat Islam

Penindasan 200 Tahun Terhadap Negara Dan Umat Islam

Sepanjang tempoh 200 tahun, dunia umat Islam telah diduduki, dijajahi, ditindas dan dizalimi oleh kuasa-kuasa bukan Islam. Rejim-rejim boneka yang diletakkan di dalam kerajaan Islam turut menindas umatnya sendiri dan masih melakukannya sehingga ke hari ini.

Islam ditindas

Kuasa-kuasa luar juga telah mewujudkan beberapa ideologi baru yang sangat asing kepada dunia Islam, seperti nasionalisme melampau, fasisme dan komunisme.

Mereka kemudiannya menggunakan golongan yang terpedaya dengan ideologi-ideologi tersebut untuk menjadi 'musuh dalam selimut' kepada masyarakat Islam.

Dasar Ideologi Permusuhan Terhadap Islam

Apabila kita menganalisis musuh-musuh dunia Islam, kita akan berjumpa dengan beberapa idea-idea asas:

1. Imperialisme Barat

Sebagai contoh, bangsa-bangsa kolonialis seperti Britain, Perancis dan Itali, telah melakukan penderaan yang sangat kejam ke atas umat Islam yang tinggal di negara-negara Islam yang mereka jajah, dan juga turut melakukan pembunuhan beramai-ramai.

2. Ekstrem-fasisme nasionalisme

Fasisme Itali, Israel dan kumpulan-kumpulan profasis yang menyebabkan tercetusnya perang saudara di dalam dunia Islam.

3. Komunisme

Kesatuan Soviet, China, Kemboja di bawah pemerintahan Khmer Rouge, komunis di Afghanistan dan pelbagai lagi kumpulan komunis di Timur Tengah.

Kajian yang lebih mendalam mendedahkan bahawa ketiga-tiga ideologi tersebut muncul pada abad kesembilan belas dan berkembang pada abad kedua puluh.

Nasionalisme ekstrem dan fasisme yang muncul daripada kebangkitan idea-idea tersebut merupakan ideologi-ideologi yang terbit secara menyeluruh pada abad kesembilan belas dan mula dipraktikkan dengan meluas pada abad kedua puluh.

Komunisme bermula daripada teori materialisme dialektikal yang diperkenalkan oleh Marx dan Engels pada abad kesembilan belas, walaupun regim komunis yang pertama masih belum ditubuhkan sehingga tahun 1917, di Rusia.

Seseorang boleh berkata bahawa hanya kolonialisme Barat yang bermula sejak awal-awal abad, walaupun kemudian ia dirangkumi oleh inisiatif ekonomi yang terbatas dan kemudian sekali lagi mendominasi posisi global dengan menggunakan asas-asas falsafah dan ideologinya pada abad kesembilan belas.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa musuh dunia Islam yang sebenarnya bukanlah sebuah kesatuan ataupun peradaban (misalnya peradaban Barat), tetapi adalah "ideologi-ideologi" yang telah menukarkan kesatuan-kesatuan atau peradaban-peradaban tersebut kepada penindas-penindas yang hauskan darah.

Ideologi-ideologi ini telah mendominasi sebahagian besar dunia pada abad kesembilan belas dan telah membawa kekejaman dan kezaliman ke mana-mana sahaja ia pergi.

Sebenarnya, ideologi-ideologi inilah yang menjajah, membahagi, merompak, memperhamba dan menyembelih umat Islam sedunia.

4. Islamofobia

Istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim yang sudah digunakan pada tahun 1980-an, tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasi orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Kekejaman Berterusan Selama 200 Tahun Di Dalam Dunia Islam

Selama lebih dari setengah abad, umat Islam Palestin telah diusir dari kediaman mereka tanpa sebab, dibunuh dan dilakukan penderaan dan kekejaman, namun seluruh dunia diam membisu dalam menghadapi kuasa penjajah: Israel.

Tiada bangsa atau masyarakat tertentu yang menjadi musuh dunia Islam secara khusus, tetapi ia lebih kepada sebuah "ideologi" yang telah menukar bangsa dan masyarakat tersebut menjadi penindas.

Ideologi-ideologi ini mula mendominasi dunia secara meluas pada abad ke-19, dan ke mana sahaja ia pergi, pasti wujud senario kekejaman dan kezaliman dalam abad ke-20.

Apabila kita memerhatikan ketiga-tiga ideologi ini, kita dapat melihat di sebalik segala apa yang berlaku ialah peningkatan kepercayaan ateisme di Barat.

Setiap daripada mereka muncul apabila dunia Barat sudah tidak mahu lagi percaya kepada Tuhan dan agama, dan mula menerima fahaman golongan materialis sebagai cara hidup mereka.

Satu kebenaran penting yang mengesahkan hakikat ini ialah ideologi-ideologi ini telah diasaskan daripada teori evolusi Darwin, yang mana menggambarkan "asas saintifik ateisme" dan yang mana buat julung-julung kalinya falsafah ateis telah menjadi satu 'kebenaran saintifik', walhal hakikatnya tidak sama sekali.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, March 06, 2020

Telah Tiba Masanya Umat Islam Umpama Menggenggam Bara Api

Telah Tiba Masanya Umat Islam Umpama Menggenggam Bara Api

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat, bahawa akan tiba satu masa nanti, orang yang berpegang teguh dengan agama Islam akan berada dalam keadaan yang sukar sehingga mereka disifatkan sebagai menggenggam bara api.

Islam Umpama Bara Api

Sabda Rasulullah, "Akan datang satu zaman, mereka yang bersabar (dalam berpegang kepada Agama) adalah seumpama mereka yang menggenggam bara api." (HR al-Tirmizi)

Bahkan di dalam hadis yang lain, Rasulullah menjelaskan bahawa Islam akan dilihat asing, mereka yang berpegang teguh pada ajaran Islam semakin sedikit dan dilihat aneh.

Sabda Rasulullah, "Islam bermula sebagai asing (sesuatu yang dianggap asing dan ganjil). Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil." (HR Muslim)

Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa, mereka yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam akan dilihat asing dan semakin sedikit seperti permulaannnya dahulu.

Bahkan mereka dianggap aneh dan pelik, tidak selari dengan perkembangan semasa, malah dilihat kolot atau ekstremis.

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan asing tersebut?

Lalu Rasulullah menjawab, "(Yang dilihat asing tersebut adalah) mereka yang cuba melakukan Islah (pembaikan) ketika mana rosaknya manusia." (HR Tabrani)

Hari ini kerosakan dalam agama banyak yang berlaku. Sebahagian muslim melihat tidak mengapa dengan 'dosa peribadi', mengambil ringan isu LGBT, merasakan tidak mengapa dengan arak, bahkan menolak hukuman murtad yang dianggap keras atau mundur.

Manakala mereka yang bersungguh berpegang dengan sunnah dan mempertahankan Islam untuk memperbaiki masyarakat pula yang dianggap pelik, kolot, bahkan bercanggah dengan kemajuan.

Begitulah sunnah dalam memperjuangkan kehidupan beragama, berpegang dengan ajaran Islam.

Penindasan Terhadap Islam

Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Turkistan Timur, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar, China dan juga Sudan.

Jika dilihat sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang berlainan.

Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Kaukasus, dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir, China, Myanmar dan Maghribi.

Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada perkaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa, dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.

Kuasa-kuasa yang menafikan kewujudan Allah itu dan melihat agama-agama ketuhanan - terutamanya Islam, satu-satunya agama yang korup - sebagai musuh paling berbahaya kepada sistem sekular mereka dan seterusnya mengisytiharkan perang keganasan terhadap agama dan mereka yang beriman, sebenarnya mewakili ideologi-ideologi ateis.

Inilah sebabnya mengapa musuh sebenar Islam bukannya orang-orang Serbia, Hindu ataupun pelbagai rejim-rejim penindas yang lain, tetapi adalah pegangan tidak beragama yang menyelubungi dunia ini.

Dasar peperangan menentang Islam tersebut berakar-umbi daripada ateisme dan telah bermula sejak sekian lama.

Jihad

Seseorang yang benar-benar beriman, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar.

Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran, "Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)

Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku.

Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa mereka dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia.

Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran.

Semoga Allah menyatukan hati semua umat Islam dalam berhadapan dengan golongan liberal yang merosakkan agama.

Semoga Allah membimbing kita. Amiin.

BACA INI JUGA:

sumber: ismaweb

Wednesday, February 26, 2020

Penawar Anxiety Allah Kirimkan Dalam Surah Ad-Dhuha

Penawar Anxiety Allah Kirimkan Dalam Surah Ad-Dhuha

Realiti dihidapi pesakit anxiety disorder (AD) atau gangguan kebimbangan, sangat teruk sebenarnya. Rasa tak disayangi sesiapa. Benci suami. Sikit-sikit benci. Benci dengan diri sendiri. Benci dengan hidup. Rasa nak tinggalkan semua. Nak bawa diri sendiri. Rasa seperti hendak mati.

Penawar Anxiety
Gambar hiasan.

Rasa bimbang, takut atau fobia apabila menghadapi situasi cemas sememangnya dirasai sesiapa saja namun, jika perasaan ini diluahkan secara berlebihan dan berlanjutan dalam tempoh melebihi enam bulan ia bukanlah sesuatu yang normal. Anda mungkin mengalami gangguan kebimbangan atau keresahan (AD).

Aanxiety disorder adalah gangguan kebimbangan melampau yang berlaku secara kerap dan berpanjangan sehingga boleh mengganggu kehidupan dan bboleh dibahagikan kepada dua iaitu gangguan panik dan kecelaruan keresahan umum.

Walau bagaimanapun, Allah SWT sebenarnya telah memberikan penawar kepada penghidap Anxiety ini dalam surah Ad-Dhuha. Mari cuba renungkan teguran Allah ini dan semoga anda disembuhkan dari kesakitan ini.

SURAH AD-DHUHA

Ayat 1: Wad duhaa – Demi waktu dhuha (ketika matahari naik setinggi galah).

Sebab itu, perkara pertama yang perlu anda beritahu pada seseorang yang sedang mengalami tekanan emosi atau depresi adalah, 'Bangun! Lihatlah matahari. Hidup ini tak selamanya hancur dan kelam."

Di luar sana ada matahari yang memancarkan cahayanya yang sangat indah.

Ayat 2: Wal laili iza sajaa – Dan demi malam apabila telah sunyi.

Seorang yang alami depresi atau tekanan emosi adalah mereka ini akan berjaga malam. Mereka tidur di siang hari dan berjaga di malam hari.

Ayat 3: Ma wad da’aka rabbuka wa ma qalaa’ – Tuhanmu tidak meninggalkanmu (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu.

Allah tidak membenci Muhammad, apatah lagi melupakannya. Samalah halnya dengan kamu, wahai jiwa-jiwa yang tertekan Allah tidak sesekali membencimu. Dan Allah tidak sesekali melupakanmu.

Ayat 4: Wa lal aakhiratukhairul laka minal-oola’ – Sesungguhnya kesudahan itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.

Apa yang bakal mendatangimu adalah jauh lebih baik dengan apa yang sedang kamu alami sekarang.

Ayat 5: Wa la sawfa y’uteeka rabbuka fatarda’ – Dan sesungguhnya, Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, sehingga engkau redha – berpuas hati.

Katakan ini pada mereka yang depresi, "Sedikit masa lagi wahai kaum Muslimin, Allah akan memberikan syurgaNya insya-Allah dan memberi bahagia buat kita."

"Sabarlah untuk sedikit masa lagi, Allah akan memberi kemenangan untuk semua kesukaran ini dan membuatkan kita merasa bahagia gembira.

"Inilah janji Allah dan sabarlah untuk sedikit masa lagi. Sabarlah sahabatku, kita semua akan masuk ke syurga, Insya-Allah."

Bukankah ini kata-kata yang cukup indah yang perlu kita tuturkan pada seseorang yang tertekan jiwanya. Yang merasa sakit dalam hatinya. Dan Allah memberi sebab untuk kita percayakan semua janjinya itu.

Ayat 6: Alam ya jidka yateema Fa aawaa’ – Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu.

Tanyakah dirimu, tidakkah pernah kamu berasa sakit-sakit? Tidakkah kamu pernah menjadi anak kecil, yang mana Allah melindungi dan menjagamu ketika usia itu?

Ayat 7: Wa wa jadaka daal lan fahada – Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kebingungan, lalu dia memberikan petunjuk.

Bukankah kita juga sentiasa dalam kebingungan sebelum kita menemui jalan keluar?

Saya tahu saya tidak solat. Saya tidak pernah kenal agama dan Allah melihat saya dalam kebingungan lalu membantu saya.

Samalah halnya dengan kamu. Tidakkah kamu dalam kebingungan dan Allah membantumu?

Ayat 8: Wa wa jadaka ‘aa-ilan fa aghnaa’ – Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Berapa ramai dari kalangan kita dalam peliharaan Tuhannya? Allah memelihara keluarga kita ketika saat sukar mereka.

Dan dalam ayat seterusnya, Allah berikan kamu dengan lebih banyak lagi sebab. Kepada Rasulullah SAW dan juga kita. Mengingatkan kita berulang-ulang kali. Kenapa kita harus meyakini setiap peringatan-Nya ini? Janjinya itu benar.

Jadi kepada anda yang alami tekanan. inilah cara terbaik untuk menasihati mereka. Beritahulah kisah-kisah terdahulu yang telah berlaku.

Dan berikan sebab untuk mereka meyakini yang janji Allah itu benar, sama seperti yang pernah Allah membenarinya pada masa terdahulu.

Kemudian Allah memberikan kamu penawar untuk merawat tekanan emosi itu. Apakah ubat yang Allah turunkan ini?

Ianya adalah mendidik hati agar mengingati kesukaran orang lain yang jauh lebih susah daripada kita.

Ayat 9: Fa am map yateema fall taqhar’ – Maka terhadap anak yatim, janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.

Ayat 10: Wa am mas saa-ila fala tanhar’ – Dan orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya.

Yang pertama adalah anak yatim, yang kedua adalah pengemis. Ingatlah bahawa anak-anak yatim ini mereka tiada siapa yang menjaga.

Sedangkan kamu mempunyai mak ayah untuk menjagamu. Kamu ada keluarga untuk menjagamu. Malah kamu punya satu tempat yang kamu panggil rumah.

Anak yatim tak punya siapa-siapa. Pengemis pula tak punya makanan, sebaliknya dia minta makanan daripada kamu. Mereka tidur dalam kelaparan setiap hari. Lihat kamu, Allah masih memberikan kamu makanan.

Berapa ramai dari kalangan kita yang pernah tidur dalam kelaparan? Subhanallah.

Jadi Allah beritahu kita bahawa penawar untuk merawat hati yang sakit itu adalah untuk melihat kembali kesusahan orang lain

Seandainya semua itu telah dilakukan tetapi perasaan kamu masih terasa jauh daripada Allah, bacalah firman Allah ini.

Ayat 11: Wa amma bi ne’mati rabbika fahad dith – Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur).

Allah kurnikan kita dengan kenikmatan yang tidak terhingga. Ucapkanlah, Alhamdulillah untuk mata ini, Alhamdulillah untuk tangan ini, Alhamdulillah untuk mulut ini, Alhamdulillah untuk hati ini.

Perhatikan ini, jika Allah tak sayang kenapa Allah masih menghidupkan kita? Jika allah tak sayang kita kenapa allah berikan kita rezeki setiap minit dalam kehidupan kita? Jika Allah tak cintakan kita kenapa kita masih ada di sini hari ini? Fikirlah sedalam-dalamnya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: pp

Friday, February 14, 2020

Memakai Celak Mata Sunnah Rasulullah SAW

Memakai Celak Mata Sunnah Rasulullah SAW

Para sahabat dahulu suka bercelak kerana mengikuti amalan Nabi Muhammad SAW kerana mereka memandang perbuatan memakai celak itu sebagai suatu sunnah yang penting dan besar. Riwayat ada mengatakan bahawa Rasulullah memakai celak 3 kali dibahagian mata kanan serta kiri dan mengamalkannya sebelum tidur.

Celak Mata Sunnah Nabi

Maksud di sini, pemakaian celak adalah tiga kali bergilir-gilir, dimulai dengan mata sebelah kanan, kiri dan dilakukan secara berulang kali selama tiga kali.

Setiap orang Islam baik lelaki ataupun wanita disunatkan untuk memakai celak.

Celak yang digunakan adalah jenis Itsmid iaitu sejenis serbuk yang disimpan dalam bahan logam seperti besi, iaitu bekas yang mengandungi serbuk atau minyak celak dan ada batang besi yang digunakan untuk mencelup dan menyapu celak ke mata.

Itsmid ini dapat menguatkan mata, mengencangkan urat saraf, dan menjaga kesihatannya. Ia juga dapat menghilangkan bisuk (ketuat) yang tumbuh di mata, menyembuhkannya, membersihkan kotoran-kotorannya dan mengeluarkan bisa di dalam bisul itu.

Itsmid juga boleh menghilangkan sakit kepala jika dicampur dengan madu cair dan digunakan untuk bercelak.

Itsmid adalah celak mata terbaik, terutama bagi orang-orang tua dan orang-orang yang penglihatannya lemah.

Jika celak yang digunakan bukan dari Itsmid, ia tetap boleh dipakai selagi mana namanya celak untuk kita memperolehi pahala sunnah.

Tetapi, fadilat dan hikmahnya mungkin berbeza kerana seperti yang kita tahu Itsmid telah disebut dalam hadis.

"Bercelaklah kalian dengan itsmid, kerana ia mampu mencerahkan mata dan menumbuhkan rambut." (HR. At Tirmidzi no.1679 dalam Sunan-nya bab Maa jaa-a fil iktihaal, Ahmad no.15341 dalam Musnad-nya)

“Bercelaklah memakai itsmid ketika hendak tidur, kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan menumbuhkan rambut.” (HR. Ibnu Majah dalam Sunan-nya no.3846 bab Al Kahlu Bil Itsmid)

Dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunan-nya. Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: "Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: "Barangsiapa yang bercelak mata hendaklah ia melakukannya dengan bilangan yang ganjil. Sesiapa yang bercelak dia telah melakukan kebaikan (dapat pahala) dan sesiapa yang tidak bercelak tiada kepayahan (dosa) baginya."

Kelebihan memakai celak mata:
  • Mengelakkan daripada terkena penyakit mata.
  • Menambah seri muka.
  • Boleh melebatkan bulu mata.
  • Dapat membantu mencerahkan pandangan mata.
  • Dapat menyejukkan mata.

Daripada Ibnu Abbas juga katanya:- Sabda Nabi SAW, "Sebaik-baik celak mata bagi kamu ialah yang berwarna hitam, ia mengelokkan pandangan dan menumbuhkan rambut (bulu kening)."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, February 07, 2020

Iktibar Dari Setiap Kisah 25 Orang Nabi Dan Rasul Dalam Al-Qur’an

Iktibar Dari Setiap Kisah 25 Orang Nabi Dan Rasul Dalam Al-Qur’an

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan mengetahui nama dan kisah 25 orang para nabi dan rasul sebagaimana di dalam al-Qur’an di samping kewajipan beriman dengan kesemua para nabi dan rasul yang pernah diutuskan oleh Allah SWT sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah penutup sekalian para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Kisah 25 Rasul

Al-Qur’an penuh dengan kisah sejarah para nabi dan rasul serta umat-umat terdahulu yang disampaikan oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita semua.

Setiap kisah mereka ada pengajaran yang boleh kita pelajari dan manfaatkan dalam konteks zaman sekarang yang serba moden ini.

Ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam mempercayai bahawa mereka berdua adalah ibu bapa sekalian umat manusia di muka bumi ini sebagaimana yang termaktub di dalam kitab suci masing-masing.

Bermula dengan kisah Nabi Adam a.s. dan isterinya, Hawa a.s. Mereka adalah pasangan manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT. Mereka diciptakan di syurga dan di situlah juga kampung halaman asal manusia.

Sebelum dicipta, Allah SWT telah mengumumkan penciptaan makhluk baharu tersebut kepada para malaikat untuk dijadikan khalifah di muka bumi.

Para malaikat menyatakan kebimbangan mereka bahawa penciptaan makhluk baharu tersebut yang akan dilengkapi dengan jasad, roh, akal dan nafsu akan menimbulkan kerosakan di muka bumi.

Tetapi Allah SWT berfirman bahawa Dia maha mengetahui segala perkara yang mereka tidak ketahui. Tanpa lebih terperinci dan dicepatkan kisahnya, maka Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS dan pasangannya Hawa serta mereka ditinggalkan di dalam syurga.

Persoalannya, mengapakah pada awalnya Allah SWT meninggalkan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. tinggal di dalam syurga sedangkan mereka berdua diciptakan supaya mentadbir sebuah planet bernama bumi?

Ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan harap dapat dibetulkan oleh pembaca yang arif sekiranya silap. Kehidupan awal Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. di dalam syurga bertujuan untuk memperkenalkan manusia tentang sejenis makhluk yang bernama Iblis dan kuncu-kuncunya syaitan.

Apabila Iblis berjaya memperdayakan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. melanggar perintah Allah SWT dengan memakan buah larangan di syurga sehingga mereka berdua diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi, mereka berdua dapat mengenali sifat hasutan Iblis dan tipu dayanya supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada tipu dayanya dan diajarkan kepada anak cucu mereka.

Iblis yang sejak mula menentang perintah Allah SWT dengan sifat takbur tidak mahu menerima kemuliaan seorang manusia yang dirasakan jauh lebih rendah martabat daripada dirinya, akhirnya disingkir oleh Allah SWT dan dia bersumpah akan berusaha menyesatkan umat manusia mengikuti jalannya.

Itulah sejarah dendam Iblis dengan umat manusia telah berlaku sejak penciptaan manusia pertama lagi. Setelah penurunan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. ke muka bumi, mereka berdua memohon keampunan Allah SWT sehingga mereka berdua diampunkan dosa mereka.

Al-Qur’an menjelaskan bahawa tiada pewarisan dosa daripada seorang bapa kepada anaknya atau daripada anak kepada bapanya. Setiap manusia menanggung dosanya sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Walau bagaimanapun, kita sebagai masyarakat perlu mengamalkan "amar makruf, nahi mungkar" (menggalakan kebaikan, mencegah kemungkaran) kerana apabila azab Allah SWT melanda sesebuah tempat disebabkan dosa besar beberapa orang di tempat tersebut, maka semua penduduknya akan terkena azab tersebut kerana sifat diam mereka tidak berusaha mencegah kemungkaran tersebut.

Penurunan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. ke muka bumi kemudian mereka mula beranak-pinak maka bermulalah tugas manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab mentadbir muka bumi ini dengan aman sehinggalah tiba kepada zaman Nabi Nuh a.s.

Zaman umat Nabi Nuh a.s. baharu sahaja lebih kurang sepuluh generasi, tetapi telah mula muncul kemusyrikan dalam kehidupan umat manusia ketika itu. Manusia mula menyembah berhala, meminta sesuatu dan perlindungan kepadanya.

Bermula daripada pemujaan sekumpulan manusia yang dianggap tokoh sehingga membawa kepada penyembahan atas nama mereka. Dari situlah bermulanya pengutusan rasul oleh Allah SWT untuk membetulkan keadaan dan akidah manusia. Nabi Nuh AS diutuskan kepada mereka dan berdakwah dalam tempoh yang sangat lama, memakan masa berabad.

Akan tetapi sangat sedikit umatnya yang beriman kepada Allah SWT. Kita boleh bayangkan bagaimana pengorbanan seorang rasul yang begitu sabar berdakwah sehari-harian kepada umatnya sehingga ratusan tahun, satu umur yang dianggap luar biasa bagi manusia pada masa kini, tetapi itulah yang berlaku.

Itulah sebabnya Nabi Nuh a.s. digolongkan sebagai rasul Ulul Azmi yang begitu sabar dan cekal berdakwah. Dakwah baginda tidak didengari, bahkan kalau boleh disumbatkan kelima-lima jari mereka ke dalam telinga mereka kerana keengganan mereka mendengar dakwah baginda.

Akhirnya, Allah SWT memerintahkan agar Nabi Nuh a.s. dan umatnya yang beriman membina sebuah bahtera kerana Allah SWT telah memilih untuk memusnahkan umatnya dengan cara banjir besar.

Kisah mengenai banjir besar ini begitu popular dalam sejarah, bahkan boleh dikatakan semua peradaban selepas itu mengetahui tentang kisahnya tetapi dalam pelbagai versi sehingga bertukar menjadi kisah epik dan mitos.

Tetapi kisah banjir besar tersebut benar-benar berlaku dan dibuktikan dengan penemuan arkeologi di perlembahan Mesopotamia (Iraq, Kuwait) baharu sekitar puluhan tahun lalu. Al-Qur’an tidak menyatakan bahawa banjir besar tersebut meliputi seluruh dunia, tetapi cuma melanda kawasan umat Nabi Nuh tersebut.

Tempoh dakwah yang panjang tidak menjamin penerimaan oleh semua orang termasuklah ahli keluarga sendiri. Salah seorang anak Nabi Nuh sendiri tidak beriman walaupun pada saat-saat akhir.

Ini dapat dilihat dalam sejarah para nabi dan rasul, bagaimana pengakhiran hidup bapa Nabi Ibrahim a.s., isteri Nabi Lut a.s. dan Abu Talib, ketiga-tiga mereka merupakan ahli keluarga rasul yang mati dalam keadaan musyrik.

Sifat majoriti umat manusia yang terpedaya dengan hasutan Iblis, kemewahan dunia, harta benda, anak pinak, tanaman, ternakan dan hawa nafsu menjadikan mereka tidak mengambil pelajaran atas peristiwa yang menimpa umat-umat sebelum mereka.

Lihatlah bagaimana umat Nabi Hud, kaum ‘Ad, dimusnahkan tanpa kesan dengan ribut pasir, umat Nabi Soleh a.s., kaum Tsamud, dimusnahkan dengan gempa dan halilitar, padahal mereka adalah umat yang begitu bertamadun pembangunannya, mampu mengukir gunung-ganang menjadi istana yang cantik dan gah, tiang-tiang binaanya sahaja boleh mengagumkan manusia pada masa kini dengan seni binaanya yang gah.

Mereka hidup selepas peristiwa banjir besar yang memusnahkan umat Nabi Nuh a.s., mereka mengetahui kisah kemusnahan umat terdahulu sebelum mereka, mereka diberi peringatan berulang kali oleh Nabi Hud a.s. dan Nabi Soleh a.s. tentang kemusnahan tamadun nenek moyang mereka kerana kesombongan dan kekufuran mereka, tetapi mereka tetap mengingkarinya, bahkan para rasul mereka ditentang keras dan dituduh gila.

Lebih teruk lagi, mereka meminta supaya disegerakan ancaman azab yang diperingatkan. Akhirnya, oleh kerana mereka tidak pernah belajar daripada sejarah dan bersifat penuh takbur, maka sejarah yang sama berulang kembali, mereka dimusnahkan sebagaimana umat terdahulu sebelum mereka.

Kisah sejarah Nabi Ibrahim a.s. pula bagi penulis penuh dengan hujah ilmiah yang begitu bijaksana. Bagaimana Nabi Ibrahim a.s. berhujah dengan rajanya, Namrud, jika baginda benar-benar berkuasa sebagai Tuhan sebagaimana yang didakwa, maka terbitkanlah matahari dari sebelah barat dan tenggelamkannya ke sebelah timur, bertentangan dengan kejadian alam semulajadi.

Tentunya cabaran tersebut tidak dapat dilakukan oleh Namrud, tetapi kerana kejahilan ditambah dengan sifat takburnya, Namrud masih tidak mahu menentang Nabi Ibrahim a.s..

Nabi Ibrahim a.s. kemudiannya membuat suatu contoh perbandingan kepada kaumnya dengan mendakwa bahawa matahari dan bulan adalah Tuhan kerana kecantikan sinar bulan pada malam hari dan keterikan cahaya matahari yang memancar menyinari alam, tetapi apabila berlakunya kejadian alam siang dan malam, kedua-duanya silih berganti meninggalkannya, hilang dari pandangan dan itu bukanlah sifat Tuhan yang meninggalkan dirinya.

Begitulah perumpamaan bijak yang mahu disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s. bahawa tiada makhluk atau benda yang kekal wujud, segalanya akan hilang dan lenyap kecuali Allah SWT yang kekal, tiada permulaan dan pengakhiran, satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

Nabi Ibrahim a.s. sekali lagi berjaya membuatkan kaumnya “berfikir” secara rasional akan perbuatan mereka menyembah sesuatu yang diciptakan dengan tangan mereka sendiri dengan memusnahkan semua berhala mereka kecuali berhala yang paling besar, apabila semua kaumnya menghadiri majlis upacara di tempat lain.

Apabila mereka kembali pulang, mereka terkejut dengan kemusnahan tersebut dan mengesyaki bahawa Nabi Ibrahim a.s. yang memusnahkan semua berhala mereka, maka baginda disoal siasat.

Nabi Ibrahim a.s. menyuruh kaumnya tanyakan kepada berhala mereka yang paling besar yang tidak dimusnahkan tentang siapa yang memusnahkan berhala-berhala yang lain.

Sudah tentulah patung tersebut tidak boleh memberi sebarang respon, apatahlagi mempertahankan diri mereka sendiri, jadi mengapa ianya disembah untuk memohon sesuatu dan memohon perlindungan ke atas diri mereka?

Walau bagaimanapun, kaum Nabi Ibrahim a.s. masih tidak mahu menerima mesej bijaksana tersebut, bahkan mereka ingin membunuh baginda dengan membakar baginda hidup-hidup. Di situlah datangnya mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para rasul-Nya. Baginda tidak terbakar di dalam api tersebut, malah berasa aman di dalamnya.

Mukjizat adalah perkara luar biasa yang berlaku pada para nabi dan rasul bagi membuktikan kerasulan mereka.

Kebiasaannya, manusia biasa lebih mudah menerima sesuatu mesej apabila mereka melihat suatu “bukti” luar biasa. Ini bukanlah sihir atau silap mata yang boleh dipelajari oleh manusia biasa, mukjizat adalah kurniaan daripada Allah SWT kepada para rasul-Nya.

Kisah sejarah pengorbanan Hajar a.s. yang mentaati perintah Allah SWT dan suaminya, Nabi Ibrahim a.s. begitu hebat sekali sehingga sanggup ditinggalkan berdua bersama puteranya yang masih kecil iaitu Nabi Ismail a.s. di tengah-tengah padang pasir.

Begitu juga keimanan dan kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail a.s. kepada Allah SWT apabila mereka berdua sanggup menjalankan perintah Allah SWT untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.

Ternyata perintah itu adalah ujian daripada Allah SWT dan baginda digantikan dengan korban binatang kibasy sebagai ‘hadiah’ kepada keimanan mereka.

Daripada sifat keimanan merekalah, disyariatkan ibadat Haji, ibadat korban dan lahirnya sejarah Makkah al-Mukarramah yang akan menjadi tempat kelahiran penutup dan penghulu sekalian para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Kisah sejarah umat Nabi Lut a.s. masih lagi berlaku pada zaman serba moden kini iaitu kebejatan akhlak dan moral apabila umat baginda mengamalkan gaya hidup luar tabi’i atau songsang.

Dalam istilah pada masa kini dikenali sebagai LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgander). Perkara tersebut yang membawa kedudukan manusia lebih rendah daripada haiwan. Mereka diselubungi hawa nafsu songsang yang menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah alam.

Pada masa kini, perkara tersebut menyumbang kepada penyebaran penyakit-penyakit kelamin seperti HIV, AIDS yang memusnahkan generasi manusia dan belum dijumpai penawar yang berkesan.

Seperti para rasul yang lain, Nabi Lut a.s. sentiasa berdakwah menyeru kaumnya supaya kembali kepada fitrah dan mencari pasangan mereka yang berlainan jantina, kerana itulah manusia dan alam ini diciptakan berpasangan, lelaki dan perempuan, supaya boleh menghasilkan zuriat dan membawa kedamaian dan rahmat kepada kedua-dua mereka.

Kebejatan akhlak umat Nabi Lut a.s. begitu teruk sehingga sanggup berasak-asak menyerbu rumah Nabi Lut a.s. apabila mereka mengetahui kehadiran dua orang lelaki kacak (malaikat yang menyamar).

Walaupun Nabi Lut a.s. menawarkan puteri-puterinya untuk dijadikan isteri kepada mereka, namun mereka tetap berdegil dan berperangai lebih teruk daripada binatang.

Akibatnya, bumi mereka “diterbalikkan” (gempa yang sangat kuat) dan mereka semua dimusnahkan oleh Allah SWT dalam sekelip mata setelah Nabi Lut a.s. dan umatnya yang beriman meninggalkan tempat tersebut pada malam hari sebelumnya.

Adakah pengamal dan aktivis LGBT pada masa kini tidak mengambil iktibar dengan apa yang berlaku?

Tidak kiralah perbuatan songsang itu dilakukan secara paksaan atau kerelaan, ianya tetap haram dan bertentangan dengan etika, moral dan akhlak manusia yang akan melenyapkan umat manusia.

Kisah sejarah Nabi Yusuf a.s. diceritakan secara khusus dalam Surah Yusuf di dalam al-Qur’an. Kisahnya mengandungi tema kesayangan bapa terhadap anak-anaknya, hasad dengki antara adik-beradik, keruntuhan moral isteri seorang pembesar, keimanan seorang pemuda menolak pujuk rayu seorang wanita, kebijaksanaan seorang pembesar dalam mentadbir ekonomi negara dan kasih sayang antara ahli keluarga.

Nabi Yusuf a.s. amat diketahui sebagai seorang pemuda yang mempunyai paras rupa yang kacak, yang mampu mencairkan hati wanita-wanita yang melihatnya, tetapi baginda seorang yang dikurniakan kebijaksanaan dan mempunyai keimanan yang tinggi.

Walaupun baginda dikurniakan rupa paras yang kacak, tetapi baginda tidak sombong dengan “aset” dirinya dan tunduk kepada tuntutan hawa nafsu di sekelilingnya.

Lihat juga bagaimana kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. yang diberi kepercayaan sebagai seorang menteri perbendaharaan negara mengawal ekonomi dan bekalan makanan negara dengan mengawal dengan bijak hasil tanaman dan ternakan selama tujuh tahun yang aman untuk bertahan dalam cuaca kemarau berpanjangan selama tujuh tahun selepas itu.

Perkara tersebut perlu diteladani oleh mereka yang bertanggungjawab mentadbir negara supaya ekonomi negara dapat dikawal dengan bijak dan stabil.

Kisah sejarah Nabi Ayub a.s. dipenuhi dengan kisah ujian yang diberikan oleh Allah SWT ke atas Nabi Ayub a.s. dengan kemusnahan harta benda, kematian ahli-ahli keluarga, kemerosotan kesihatan tubuh badan dan kehilangan kesetiaan isteri baginda yang meninggalkan baginda kerana tidak tahan dengan ujian-ujian tersebut yang selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, Nabi Ayub a.s. adalah seorang nabi yang mempunyai keimanan yang tinggi dan kesabaran yang sangat luar biasa, baginda tetap terus beribadat dan berdoa kepada Allah SWT.

Akhirnya Allah SWT mengembalikan semula nikmat kesihatan dan kekayaan kepada baginda dan isteri baginda kembali kepada baginda setelah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Jika kita ditimpa sebarang kesusahan, ingatlah kesusahan kita tidak seberat ujian Nabi Ayub a.s.

Kisah sejarah umat Nabi Syu’aib a.s. pula mengingatkan kita terutamanya golongan para peniaga supaya tidak menipu dalam urusan perniagaan sepertimana umat baginda.

Menipu dalam berniaga termasuklah mengurangkan sukatan dan timbangan, menyorokkan barangan yang sudah rosak, meningkatkan harga barangan sesuka-hati terhadap barangan yang disorok dan mengamalkan riba’ yang menganiaya orang.

Akibatnya, kaum Nabi Syu’aib di Madyan yang menyekutukan Allah SWT dengan menyembah hutan dan mengamalkan penipuan dalam urusan jual-beli itu dibinasakan oleh Allah SWT sekelip mata dengan satu pekikan bunyi dari langit yang mengguntur seolah-olah bandar tersebut telah lama mati.

Kisah sejarah Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. adalah kisah yang paling banyak diceritakan dan diulang-ulang dalam al-Qur’an. Begitu juga kisah umat mereka, Bani Israel, seperti kisah lembu betina (Baqarah), Qarun dan Samiri.

Nabi Musa a.s. diselamatkan oleh Allah SWT daripada pembunuhan besar-besaran bayi lelaki ketika tahun kelahirannya dan membesar di dalam istana Firaun sendiri. Al-Qur’an menceritakan bagaimana Nabi Musa a.s. dan saudaranya, Nabi Harun a.s. setelah diutuskan sebagai rasul diperintahkan untuk berhadapan dengan Firaun yang menzalimi Bani Israel untuk berdakwah dan memberi peringatan kepada Firaun.

Al-Qur’an turut menceritakan keingkaran Bani Israel yang berkali-kali melanggar perintah rasul mereka walaupun setelah mereka diselamatkan oleh Allah SWT daripada bala tentera Firaun.

Banyak ayat di dalam al-Qur’an mengingatkan bangsa Bani Israel, bangsa keturunan Nabi Ya’akub a.s. bin Nabi Ishak a.s. itu supaya beriman dan mensyukuri nikmat Allah SWT yang telah banyak dikurniakan kepada mereka.

Dalam sejarah, ramai para nabi dan rasul diutuskan dalam kalangan mereka untuk membimbing mereka, tetapi sebahagian besar mereka yang musyrik tetap ingkar dan berbuat kerosakan sehingga ke hari ini.

Al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa terdapat juga dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) yang baik dan beriman, tetapi kebanyakan mereka adalah orang yang fasik, musyrik dan sering berbuat kerosakan.

Kita dapat melihat situasinya sehingga ke hari kini, bagaimana konflik antara pemimpin dan tentera Zionis Israel dan negara haram Israel mereka terus menganiaya, membunuh dan menzalimi umat Islam Palestin setelah mereka merampas tanah air umat Islam Palestin secara haram sejak tahun 1948.

Kesungguhan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. dalam membimbing kaum mereka, Bani Israel, diteruskan pula oleh para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT dalam kalangan mereka sehinggalah pengutusan Nabi Isa a.s.

Dalam kalangan para nabi dan rasul, terdapat juga mereka yang dikurniakan oleh Allah SWT kuasa pemerintahan sebagai seorang raja dan pemerintah seperti Nabi Daud a.s. dan puteranya, Nabi Sulaiman a.s.

Nabi Daud a.s. ditabal sebagai raja Bani Israel setelah kebijaksanaannya membunuh Jalut, musuh yang perkasa di medan perang dengan menghayun batu tepat ke arah kepala Jalut sehingga Jalut jatuh tersungkur dan mati serta merta.

Kelebihan Nabi Daud a.s. juga adalah mampu melentur dan melembutkan besi untuk membuat perisai dan juga dikurniakan suara yang sungguh merdu ketika membaca Kitab Zabur sehingga ditundukkan gunung-ganang dan burung-burung bertasbih bersamanya di waktu pagi dan petang.

Nabi Sulaiman a.s. mewarisi takhta daripada ayahandanya, Nabi Daud a.s, bahkan baginda diberi kekuasaan pemerintahan lebih daripada mana-mana raja yang memerintah di dunia ini.

Ini kerana kekuasaan pemerintahan baginda tidak hanya terhadap manusia sebagai rakyat jelata, bahkan Allah SWT mengurniakan kekuasaan kepadanya sehingga boleh menundukkan haiwan, jin malah angin mengikut perintahnya.

Begitu juga kekayaan baginda melimpah-ruah. Namun, baginda tidak pernah takbur malah terus kuat beribadat kepada Allah SWT. Ini memberi pengajaran kepada sesiapa juga yang diberi kuasa pemerintahan dan pentadbiran supaya menginsafi kedudukan mereka yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kekuasaan Nabi Sulaiman a.s.

Dalam keadaan berkuasa seperti itupun, Nabi Sulaiman a.s. terus berdakwah menerusi kisah ratu Saba’ yang menyembah matahari. Kekayaan dan kekuasaan yang dikurniakan kepada Nabi Sulaiman AS membuatkan Ratu Saba’, Balqis, akhirnya tunduk patuh kepada kekuasaan Allah SWT dan baginda beriman dengan sekalian rakyat jelata di negerinya.

Kisah sejarah Nabi Yunus a.s. terkenal dengan ikan besar yang menelannya hidup-hidup. Bagi umat Kristian, mereka mengenalinya dengan kisah “Jonah and The Whale.”

Kisah bagaimana Nabi Yunus a.s. begitu marah dengan kaumnya yang degil dan ingkar sehingga baginda sendiri meninggalkan kaumnya. Apabila azab Allah SWT dilihat semakin hampir, maka kaum Nabi Yunus a.s. segera beriman dan bertaubat kepada Allah SWT sedangkan Nabi Yunus a.s. sendiri telah meninggalkan mereka.

Untuk memberi peringatan kepada Nabi Yunus a.s., Allah SWT telah mengarahkan supaya seekor ikan besar menelan baginda hidup-hidup ketika baginda sedang belayar meninggalkan kaumnya di Ninawa.

Allah SWT memelihara rasul-Nya di dalam perut ikan besar tersebut. Baginda yang menyedari kesilapannya meninggalkan perintah Allah SWT dengan segera memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh, menangis dan berzikir selama berada di dalam kegelapan perut ikan besar tersebut.

Allah SWT mengampunkan baginda dan dikeluarkan hidup-hidup setelah dimuntahkan oleh ikan besar tersebut di tepi pantai.

Kisah baginda mengajar kita supaya jangan lari dan putus asa daripada perintah Allah SWT. Sebagai seorang rasul, baginda terus ditegur oleh Allah SWT jika melakukan kesilapan kerana salah satu sifat rasul itu adalah bersifat maksum yakni terpelihara daripada dosa.

Kisah sejarah Nabi Zakaria a.s. pula mengingatkan kita bahawa Allah SWT berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tidak kira cepat atau lambat, bahkan boleh juga terjadi di luar kebiasaan.

Ini seperti Nabi Zakaria a.s. dan isterinya yang tidak dikurniakan zuriat sehingga usia kedua-duanya telah lanjut. Doa Nabi Zakaria a.s. diperkenankan Allah SWT dan isterinya mengandung walaupun usia kedua-duanya hampir seabad.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nabi Yahya a.s. yang soleh dan meneruskan perjuangan dakwah bapanya. Perkara tersebut bukanlah pertama kali berlaku, sebelum itu, Sarah a.s. , isteri Nabi Ibrahim a.s., dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nabi Ishak a.s. walaupun kedua-duanya telah lanjut usia.

Sekali lagi, tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah SWT. Kelahiran Nabi Isa a.s. tanpa bapa oleh Maryam a.s. adalah salah satu bukti nyata bahawa Allah SWT maha mencipta.

Maryam a.s. adalah seorang wanita suci yang kuat beribadat dan berada dalam jagaan Nabi Zakaria a.s. Apa yang hendak dihairankan sedangkan Nabi Adam a.s. diciptakan oleh Allah SWT tanpa seorang bapa mahupun ibu?

Allah SWT sendiri menjelaskan bahawa penciptaan Nabi Isa a.s. adalah sama seperti penciptaan Nabi Adam a.s., diciptakan daripada tanah dan diperintahkan, “Jadi!” maka jadilah.

Perihal tentang Nabi Isa a.s. amat berbeza antara ajaran al-Qur’an dengan kepercayaan umat Kristian terutamanya dalam hal ketuhanan, kerasulan dan penyaliban. Al-Qur’an menentang keras fahaman Triniti yang dipercayai oleh umat Kristian yang mendakwa bahawa Tuhan itu satu tetapi terdiri daripada tiga individu termasuklah Nabi Isa a.s.

Al-Qur’an menafikan penyaliban Nabi Isa a.s. berlaku ke atas baginda, tetapi baginda diselamatkan oleh Allah SWT dengan diangkat kepada-Nya. Al-Qur’an menafikan Nabi Isa a.s. adalah anak Tuhan, tetapi baginda adalah seorang rasul utusan Allah SWT kepada bangsa Bani Israel ketika itu.

Akan tetapi, umat Islam dan umat Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa a.s. atau Jesus akan diturunkan semula ke bumi sebelum hari kiamat nanti.

Umat Islam percaya bahawa penurunan baginda sebelum hari kiamat bertujuan untuk memimpin umat Islam ketika itu dengan perlaksanaan syariat Nabi Muhammad SAW.

Kisah sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sebagai penghulu dan penutup sekalian para nabi dan rasul sarat dengan pengajaran.

Daripada awal kelahirannya, zaman kanak-kanaknya, zaman dewasanya, zaman pengutusannya, zaman dakwah di Mekah dan zaman kehidupan baginda di Madinah sehingga pengakhiran hayat baginda selama 63 tahun penuh dengan pengajaran hidup di samping kehidupan baginda bersama para sahabat a.s.

Setiap tindak tanduk baginda, percakapan baginda dan sifat baginda adalah contoh dan hukum yang perlu diikuti sesuai dengan firman Allah SWT di dalam al-Qur’an bahawa pengutusan baginda adalah sebagai rahmat bagi sekalian alam dan bertujuan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

Selain kisah sejarah para nabi dan rasul yang diceritakan kisahnya secara panjang lebar dan berulang kali di dalam al-Qur’an, terdapat juga beberapa orang nabi dan rasul dalam kalangan 25 orang yang wajib diketahui tersebut tidak diceritakan secara terperinci mengenai kisah mereka di dalam al-Qur’an seperti Nabi Idris a.s., Nabi Ishak a.s., Nabi Ya’akub a.s., Nabi Zulkifli a.s., Nabi Ilyas a.s. dan Nabi Ilyasa’ a.s.

Walau bagaimanapun, mereka dinyatakan sebagai seorang nabi yang benar, soleh dan penyabar.

Hayatilah kisah sejarah perjuangan para nabi dan rasul yang diceritakan di dalam al-Qur’an. Mereka adalah generasi manusia terbaik yang wajib dijadikan contoh tauladan sepanjang zaman.

Pelbagai aspek kehidupan manusia terkandung dalam setiap kisah para nabi dan rasul yang boleh dijadikan pengajaran. Surah asy-Syu’ara’ adalah antara surah yang menceritakan perihal ramai para nabi dan rasul dan umat-umat mereka dalam satu surah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, January 24, 2020

Al-Malhamah Al-Kubra, Perang Besar Di Tanah Arab Dan Iran Tanda Akhir Sebelum Kiamat

Al-Malhamah Al-Kubra, Perang Besar Di Tanah Arab Dan Iran Tanda Akhir Sebelum Kiamat

Antara tanda-tanda akhir sebelum berlakunya hari kiamat adalah peperangan besar yang dinamakan Al-Malhamah Al-Kubra, akan menyaksikan peperangan umat Islam menentang tentera Rom moden, Yahudi, Eropah, Amerika dan tentera Dajjal.

Al-Malhamah Al-Kubra

Menyingkap maksud perkataan Al-Malhamah, ia berasal daripada kalimah lahm yang bermaksud daging. Perkataan itu turut merujuk kepada peperangan yang mengakibatkan banyak kematian.

Apabila kalimah Al-Malhamah digandingkan dengan kalimah Al-Kubra, ia membawa maksud peperangan besar yang mengakibatkan begitu banyak kematian.

Sesungguhnya, ia akan berlaku pada akhir zaman nanti dan merupakan tanda-tanda besar hari kiamat.

Ketahuilah bahawa peristiwa penting itu banyak disebut dalam hadis Rasulullah SAW dan diriwayatkan oleh ramai ulama hadis.

Selain Al-Malhamah Al-Kubra, ia turut dipanggil 'perang dunia terbesar' dan ada juga pendapat yang memberikan istilah perang itu sebagai Armageddon.

Apa juga istilah yang digunakan, terdapat perbezaan dengan rujukan umat Kristian terutama tentang perincian dan pemahaman penganut agama berkenaan.

Meskipun ia merujuk kepada sebuah peperangan yang besar pada akhir zaman, agama Kristian menganggap kemenangan bakal berpihak kepada mereka.

Armageddon itu diambil daripada perkataan Ibrani yang bermaksud Bukit Megiddo (kini dipanggil Al-Majidiyyah) di Palestin berdekatan Baitulmaqdis iaitu tempat berlakunya peperangan tersebut.

Namun, ia jelas berbeza dengan Al-Malhamah Al-Kubra menurut Islam yang mana peristiwa itu akan berlaku di A'maq atau Dabiq.

Kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan Halab, Syria dan juga Antakia, Turki, sebagaimana perkhabaran baginda Nabi Muhammad SAW.

DUA PERANG BESAR TERAKHIR

Kaum Muslimin akan menghadapi dua peperangan besar di akhir zaman, sekali gus sebagai penutup segala perang kerana setelah itu tidak akan ada lagi perang.

Kedua peperangan tersebut dijelaskan dalam nubuat akhir zaman.

Yang pertama adalah perang al-Malhamah kubra, yang akan terjadi setelah kaum muslimin menakluk Persia (Parsi), yang sekarang dikenali sebagai republik Iran.

Perang al-malhamah kubra terjadi antara kaum muslimin dengan Rom, sebagaimana dijelaskan dalam hadis tentang urutan peperangan akhir zaman.

"Kalian akan perangi jazirah Arab sehingga Allah menangkan kalian atasnya. Kemudian (kalian perangi) Persia sehingga Allah menangkan kalian atasnya. Kemudian kalian perangi Rom sehingga Allah menangkan kalian atasnya. Kemudian kalian perangi Dajjal sehingga Allah menangkan kalian atasnya." (HR Muslim)

Didalam hadis diatas, dijelaskan bahawa perang terakhir umat Islam terjadi dengan Rom dan Dajjal.

Peperangan dengan Rom disebut sebagai perang al-malhamah kubra sedangkan peperangan dajjal disebut dengan perang Armageddon atau perang Gog Magog (Ya’juj dan Ma’juj).

Perang al-malhamah kubra itu pusat peperangannya adalah di Syria, sebagaimana disebut dalam hadis.

"Sungguh Rom benar-benar akan memasuki Syam (Syria) selama empat puluh hari, tidak ada yang selamat selain Damaskus dan Amman." (HR Abu Daud)

Sedangkan perang Armageddon pusat peperangannya terjadi di Palestin wilayah negara Israel sekarang ini.

Kerana Dajjal akhir zaman akan menjadi pemimpin negara Israel yang mengusai wilayah Plaestin.

Mageddon adalah sebuah bukit yang terletak diwilayah Palestin, sehingga perang Armageddon adalah perang dalam misi pembebasan Palestin dari jajahan kaum Yahudi.

Penaklukan Turki

Perang al-malhamah kubra itu terjadi sebelum penaklukan Konstantinopel, sekarang adalah rejim sekular Turki dan perang Armageddon itu terjadi setelah penaklukan Konstantinopel tersebut.

Sebagaimana hadis, "Makmurnya Baitul Maqdis adalah tanda kehancuran kota Madinah, hancurnya kota Madinah adalah tanda terjadinya peperangan besar (Al-malmah kubra), terjadinya peperangan besar adalah tanda dari pembukaan kota Konstantinopel dan pembukaan kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal. Kemudian beliau menepuk-nepuk paha orang yg beliau ceritakan tentang hadis tersebut, atau dalam riwayat lain, 'pundaknya'. Kemudian bersabda: Semua ini adalah sesuatu yang benar, sebagaimana engkau -Mu'adz bin Jabal, sekarang berada di sini adalah sesuatu yang benar." (HR. Abu Daud)

Didalam hadis di atas, secara jelas dinyatakan bahawa perang al-Malhamah kubra terjadi sebelum penaklukan konstantinopel (Turki), sedangkan perang Dajjal atau perang armageddon itu terjadi setelah penaklukan Konstantinopel.

Adapun Rom yang dimaksudkan dalam hadis di atas, adalah Rom timur yang dulu pusat pemerintahannya berada di Konstantinopel.

Kerana dalam Islam tidak pernah dikenali Rom barat, yang telah runtuh seratus tahun sebelum munculnya Islam dan berdiri kembali setelah seratus tahun wafatnya Rasulullah SAW.

Rom yang dimaksudkan dalam al-Quran surah Rum adalah Rom Timur yang berpusat di Kostantinopel.

Setelah Rom Timur runtuh, pusat pemerintahannya berpindah ke Rusia yang disebut dengan gelaran Tsar Rusia.

Tsar adalah asal kata dari kaisar yang mengadoptasi sistem kekaisaran Rom Timur.

Berdamai Dengan ROM

Setelah kota Konstantinopel direbut oleh kaum muslimin, maka kekaisaran Byzantine beralih ke Rusia. Peranan kaisar sebagai pelindung Ortodoks timur didakwa oleh Ivan III, Adi Pati Agung Moskow.

Dia telah berkahwin dengan Shopia Paleologue. Cucunya Ivan IV akan menjadi Tsar Rusia yang pertama.

Tsar adalah istilah lama yang digunakan bangsa Slavia untuk kekaisaran Byzantine.

Penerus-penerus mereka mendukung gagasan bahawa Moskow adalah penerus kekaisaran Byzantine yang berpusat di Konstantinopel.

Gagasan kekaisaran Rusia adalah sebagai kekaisaran Rom itu tetap hidup hingga meletusnya revolusi Rusia pada tahun 1917.

Setelah berdirinya Soviet Union, kekaisaran Rom runtuh dan digantikan dengan sistem komunis, akan tetapi setelah Soviet Union runtuh, kekaisaran Rom dilanjutkan kembali oleh negara Rusia moden sekarang ini.

Maka, secara jelas bahawa Rom yang dimaksudkan dalam hadis adalah Rom timur yang merupakan Rusia hari ini.

Sikap Rusia yang menentang Zionis Dajjal menjadikan sebab Islam akan berdamai dengan Rusia.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis, "Kamu akan berdamai dengan Rom dalam keadaan aman, kemudian kamu dan mereka akan memerangi suatu musuh. Dan kamu akan mendapatkan kemenangan serta harta rampasan perang dengan selamat. Kemudian kamu berangkat sehingga sampai ke sebuah padang rumput yang luas dan berbukit-bukit. Maka seorang lelaki dari kaum salib mengangkat tanda salib seraya berkata, 'Salib telah menang'. Maka marahlah seorang lelaki dari kaum Muslimin kepadanya, lalu ia mendorongnya dan jatuh (meninggal). Pada waktu itu orang-orang Rom berkhianat, dan mereka berkumpul untuk memerangi kamu di bawah 80 bendera, dimana tiap-tiap bendera terdapat 12 ribu tentara." (HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah)

Perdamaian dengan Rusia belum terjadi untuk saat ini kerana perdamaian tersebut terjadi disaat kaum muslimin memerangi Persia yang merupakan Iran sekarang.

Untuk saat ini, Iran masih bersekutu dengan Rusia menentang zionis Dajjal.

Akan tetapi, pada masa al-Mahdi, Rusia akan meninggalkan sekutunya Iran dan berdamai dengan kaum muslimin. Sedangkan Iran akan beralih bersekutu dengan zionis dajjal Amerika.

Hal ini boleh kita lihat melalui sikap Iran yang membantu rezim Iraq yang merupakan boneka zionis untuk mempertahankan hegemoni zionis di timur tengah.

Tentang perdamaian dengan Rom pada masa al-Mahdi dijelaskan oleh Imam as Sayuti, Abu Nua’im meriwayatkan dari Abi Umamah.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda,

"Di antara kamu dan orang-orang Rom akan berlaku 4 kali perdamaian. Pada kali keempatnya berlaku di tangan salah seorang daripada keluarga Hiraqlu. Perjanjian itu berterusan selama 7 tahun. Ada seorang sahabat bertanya Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Siapakah Imam orang ramai (orang Islam) pada hari itu?" Rasulullah SAW menjawab, "Al Mahdi daripada anak cucuku. Dia berumur 40 tahun, mukanya bagai bintang yang bersinar-sinar, di pipi sebelah kanannya terdapat tahi lalat hitam, dia memakai dua jubah Qatwaniyyah bagaikan pemuda Bani Israel. Dia mengeluarkan gedung-gedung dan menakluk negeri-negeri syirik."

Setelah Rom di takluk, kemudian kaum muslimin menakluki Turki tanpa peperangan. Setelah Turki ditakluk maka keluarlah Dajjal.

Maka terjadilah perang Armageddoon atau Perang Dajjal atau disebut juga dalam hadis sebagai perang Gog Magog (Ya’juj dan Majuj).

Ketiga-tiganya adalah sama kerana disebut perang armageddon, pusat peperangannya terletak di bukit Mageddon palestin, disebut perang Dajjal kerana pada saat itu Dajjal sebagai presiden negara Israel, disebut dengan perang Ya’juj dan Ma’juj kerana pasukan yang mempertahankan negara zionis dari serangan kaum muslimin, bergabung dalam negara-negara Eropah dan Amerika, disebut sebagai pasukan Ya'juj dan Ma'juj.

Sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam manuskrip yang ditulis semula oleh pengkaji berjudul: "Salam wa Harb fi Akhir Zaman ar Rabb."

Dalam perang itu, akan keluar seorang ratu dunia, pelaku makar dan pelacur. Namanya Amerika. Ia menggoda dunia waktu itu dalam kesesatan dan kekafiran.

Sementara itu, Yahudi saat itu berada di tempat yang paling tinggi. Mereka menguasai seluruh al-Quds dan al-Madinah al-Muqaddasah (Kota yang disucikan).

Semua negeri datang dari laut dan udara, kecuali negeri salji yang menakutkan dan negeri panas yang menakutkan.

Al-Mahdi melihat bahawa seluruh dunia melakukan perkara buruk kepada diri dan ia melihat bahawa perbuatan Allah lebih hebat lagi. Ia melihat bahawa seluruh alam Tuhan berada dalam kekuasaannya.

Akhir dari perang itu ada di tangannya, dan seluruh dunia merupakan pohon yang dimilikinya dari dahan hingga ranting-rantingnya.

Di tanah Isra' dan Mi'raj terjadi perang dunia yang disitu al-Mahdi memberi peringatan kepada orang-orang kafir apabila mereka tidak mahu keluar.

Maka orang-orang kafir berkumpul untuk memerangi Al-Mahdi dalam pasukan sangat besar yang belum pernah dilihat sebelumnya.

Dalam kelompok kekuatan Yahudi al-Khazar dan Bani Israel masih terdapat pasukan lain yang tidak diketahui jumlahnya.

Al Mahdi melihat bahawa seksa Allah sangat mengerikan dan bahawa janji Allah benar-benar telah datang dan tidak diakhirkan lagi.

Kemudian Allah melempari mereka dengan lemparan yang dahsyat. Bumi, lautan dan langit terbakar, untuk mereka, dan langit menurunkan hujan yang sangat buruk.

Seluruh penduduk bumi mengutuk orang kafir, dan Allah mengizinkan lenyapnya seluruh orang kafir di Perang Dajjal, dan perangnya terjadi di negeri Syam dan kejahatan.."

***

Itu adalah sebahagian dari isi buku tentang nubuwah tersebut. Manuskrip berasal dari abad ke 2 H ditulis oleh salah seorang Tabi – Tabi’in yang berasal dari Syam (wilayah Lebanon, Palestin).

Manuskrip ini tersimpan di perpustakaan Turki di Istanbul.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: voa-islam

Friday, January 17, 2020

Doa Qunut Nazilah Untuk Muslim Uyghur

Doa Qunut Nazilah Untuk Muslim Uyghur

Kerajaan Komunis China telah menahan berjuta umat Islam Uyghur dan dunia sememangnya mengetahui kekejaman kerajaan China terhadap etnik Uighur dan penduduk Islam lain di rantau Xinjing.

Doa Qunut Nazilah Untuk Uyghur

Komunis China juga menyuntik ubat pencegahan kehamilan ke atas para wanita Islam Uighur semata-mata untuk menghapuskan identiti dan keturunan umat Islam Uyghur, tindakan yang sangat bertentangan dengan asas hak manusia.

Marilah semua umat Islam mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah khas buat umat Islam etnik Uyghur agar diberikan kekuatan dan bantuan pertolongan dari Allah SWT.

Marilah bersama-sama kita membaca Qunut Nazilah dalam setiap solat fardu memohon agar saudara kita di sana diberikan kekuatan dalam menghadapi kezaliman.

Semoga Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam dan membalas kekejaman pihak musuh.

BACA: Doa Qunut Nazilah Untuk Umat Islam Yang Ditindas

Komunis Terus Tindas Uighur

Bayangkan, perisik kerajaan China dikerahkan untuk tidur dan tinggal bersama dengan keluarga etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang terletak barat laut China.

Tekanan dan penindasan rejim komunis China terhadap etnik Islam Uighur benar-benar meruncing dan menyeksakan.

Anggota perisik China ini dihantar untuk menghuni setiap rumah etnik Uighur di Xinjiang malah tidur bersama seluruh ahli keluarga, demikian gambaran dasar tekanan asimilasi sistematik yang dilaksanakan oleh China terhadap etnik Uighur.

Kisah perit ini dikongsikan oleh imam etnik Uighur yang kini bermastautin di Australia, Abdul Salam Alim yang menceritakan penderitaan dan tekanan yang dihadapi kaum keluarga dan populasi jutaan lain bangsanya di Xinjiang.

Hal demikian, Islam seluruh dunia harus buka mata dan bangkit melawan kekejaman China yang bertindak sewenang-wenangnya menindas dan memberi layanan buruk terhadap etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang.

Bukan sahaja hak mereka sebagai rakyat negara China dinafikan, lebih kejam hak asasi sebagai manusia dan Muslim juga dipinggirkan, China seolah- olah cuba melenyapkan kehidupan dan kewujudan etnik Uighur dari tanah air yang dikuasai rejim Komunis itu.

Mengimbas sejarah, Xinjiang sebelum ini dikenali sebagai Turkistan Timur ia dibuka ketika zaman Bani Umayyah sejak tahun 96 Hijrah, asalnya wilayah ini milik Islam sebelum dijajah Komunis China.

Menurut Abdul Salam, wilayah Xinjiang yang bersempadan dengan Pakistan dan Afganistan itu sudah 70 tahun dicengkam dan disiat oleh kekejaman kerajaan China dengan menggunakan pelbagai tipu helah agar dunia dan negara Islam luar tidak sedar ‘bangkai’ yang cuba disembunyikan itu daripada pengetahuan umum.

“Ajaran Islam, cara hidup Islam termasuk makanan dan minuman yang bertanda halal juga dilarang.

"Kami etnik Uighur tidak lagi dibenarkan mengucapkan Assalamualaikum, malah setiap kali solat, selepas tahiyat akhir ketika memberi salam, ia digantikan dengan ayat; semoga Presiden China, Xi Jinping panjang umur.

"Tidak boleh menyebut ALLAH, tidak boleh mengamalkan agama Islam. Semuanya didoktrin bertuhankan kerajaan China.

"Kami juga dipaksa minum arak dikhalayak ramai pada bulan puasa.

"Masjid dikunci, kami tidak dibenarkan berpuasa. Ketika bulan Ramadan jika buka lampu pada waktu sahur, seluruh keluarga akan ditangkap. Malah ketika siang, mesti mengaku tidak berpuasa agar tidak ditangkap.

Ketika sambutan Tahun Baharu Cina, etnik Islam Uighur akan ‘dihadiahkan’ daging babi untuk tujuan perayaan, jika menolak akan dituduh sebagai pelampau (ekstremis), kongsi Abdul Salam.

Tambah beliau, Islam Uighur dilarang sama sekali menyimpan al-Quran, sejadah, ayat-ayat suci atau gambar Kaabah di rumah atau mana-mana premis kerana jika diketahui, ia akan dibakar.

Lebih dahsyat lagi, bukan penguasa China yang membakar sebaliknya mereka mengarahkan Islam Uighur sendiri membakarnya.

"Kami juga tidak dibenarkan untuk mempunyai atau menyimpan sebarang senjata tajam mahupun pisau. Jika mengusahakan jualan daging atau makanan lain yang perlu menggunakan pisau, ia diikat di meja atau ditempat berniaga, tidak boleh di bawa pulang, katanya.

Bercerita mengenai tipu helah kerajaan China, beliau berkata, China ‘membenarkan’ lawatan delegasi luar untuk berkunjung ke Wilayah Xinjiang namun, lawatan itu disusun dan diatur agar yang terlihat hanya sisi murni kerajaan komunis itu.

Sehari sebelum kunjungan delegasi luar ke Wilayah Xinjiang, kerajaan republik Komunis China akan membuka masjid-masjid yang dikunci selama ini.

Kemudian, ditugaskan seorang imam upahan yang akan menceritakan ideologi-ideologi kerajaan China dan dasar kerajaan yang baik-baik sahaja kepada pelawat, misalnya etnik Uighur bebas mengamalkan agama Islam.

Namun, selepas pelawat pulang, kami akan ditekan seperti biasa.

Kunjungan delegasi luar juga hanya dibenarkan melawat di kawasan dan tempat tertentu sahaja bukan boleh melancong sesuka hati, hanya tempat yang dibawa sahaja. Inilah tipu daya China, untuk mengelabui mata dunia, jelasnya.

Ditanya mengenai kebebasan etnik Islam Uighur untuk pergi ke wilayah-wilayah lain di China, Abdul Salam berkata, meskipun Uighur memiliki kad pengenalan China dan mata wang negara itu namun, mereka tetap dilayan dengan teruk.

"Sekiranya kami (Uighur) berkunjung ke Shanghai atau Beijing misalnya, meskipun kami ada kad pengenalan yang mengesahkan kami rakyat China dan membawa wang, kami tidak sesekali dibenarkan untuk menaiki kenderaan awam malah tidak boleh melanggan hotel.

"China cuba sedaya upaya untuk menindas kami. Mereka mahu kami jadi Cina seperti mereka.

"Namun, ia gagal kerana Uighur ini beragama Islam, bahasa dan budaya kami nyata berbeza dengan mereka," katanya.

Selain itu, Abdul Salam berkata, antara tekanan dan desakan lain yang dilakukan kerajaan China ialah memaksa perempuan etnik Uighur untuk menikahi lelaki bukan Islam daripada etnik Han dengan tujuan anak yang lahir daripada perkahwinan itu tidak lagi Islam.

Perempuan Islam di Xinjiang ditegah sama sekali memakai hijab ataupun memakai baju labuh.

Jika ditemui pihak berkuasa China, baju mereka akan dipotong sehingga paras pinggang supaya kelihatan seperti wanita China lain.

Bukan itu saja, kanak-kanak Islam Uighur dipisahkan daripada ibu bapa dan dipaksa bersekolah dalam aliran China.

Bahkan diajar ideologi, bahasa dan pakaian seperti China, ini ialah cara kerajaan untuk melenyapkan kewujudan Uighur, katanya.

Selamatkan Uighur

Semoga Allah sentiasa memberi kesejahteraan kepada mereka dan menetapkan akidah mereka sentiasa dalam akidah Islam.

Yakinlah bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat memohon hajat. Amiin.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, January 10, 2020

Harta Yang Tidak Akan Habis

Harta Yang Tidak Akan Habis

Ketika Aisyah r.a. menghidangkan makanan kesukaan Nabi SAW iaitu paha kambing, Rasulullah SAW bertanya, ”Wahai Aisyah, apakah engkau sudah berikan makanan ini kepada Abu Hurairah tetangga kita? Aisyah menjawab, "Sudah ya Rasulullah. Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, "Bagaimana dengan Ummu Ayman? Aisyah kembali menjawab, “Sudah ya Rasulullah."

Rezeki sedekah

Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, "Bagaimana dengan tetangga-tetangga yang lain? Adakah sudah diberi masakan tersebut?"

Dengan nada bingung Aisyah kemudian menjawab, "Sudah habis ku berikan ya Rasulullah. Yang tersisa apa yang ada didepan kita saat ini."

Rasulullah tersenyum dan dengan lemah lembut menjawab, "Engkau salah wahai Aisyah. Yang habis adalah apa yang kita makan ini dan yang kekal adalah apa yang kita sedekahkan.” (HR. At-Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga bersabda, "Kelak di hari akhirat manusia akan berkata, inilah harta bendaku, padahal tidak ada harta yang diperolehnya didunia kecuali tiga perkara.

"Apa yang ia makan akan keluar dari tubuhnya, apa yang ia pakai akan menjadi rosak serta usang dan apa yang disedekahkan akan menjadi pahala kebaikan yang kekal baginya." (HR. Muslim)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, January 03, 2020

Kedudukan Saf Kanak-kanak Dalam Solat Jemaah, Ini Penjelasan Mufti

Kedudukan Saf Kanak-kanak Dalam Solat Jemaah, Ini Penjelasan Mufti

Masjid boleh mengajar kita erti persamaan. Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka.

Saf Kanak-kanak

Namun, sering menjadi persoalan tentang kanak-kanak yang hadir bersolat di masjid. Apakah mereka diletakkan di bahagian saf belakang, atau tidak mengapa jika mereka berjemaah satu barisan dengan orang dewasa.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri, tampil memberikan penjelasan berhubung kedudukan sebenar kanak-kanak lelaki dalam saf ketika solat berjemaah.

Terdapat sebuah hadis Sahih Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik r.a. berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini pula, kedudukan kanak-kanak di belakang makmum dewasa adalah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama dan sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Sesungguhnya, kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Jawapan ini adalah sebagai menjawab persoalan sebuah surat yang tular di media sosial, hasil tulisan seorang kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azry kepada pengerusi di sebuah surau yang mendakwa dirinya 'dihalau' ke saf belakang oleh jemaah dewasa sedangkan beliau terlebih dahulu berada di saf hadapan.

Nadzrul Zarfan Saf

Dalam surat tulisan tangan itu, Nadzrul Zarfan turut mempersoalkan tindakan jemaah surau yang sering menghalau kanak-kanak yang berada di saf pertama di dalam surau.

Zulkifli memberikan beberapa cadangan kepada ibu bapa dan pihak masjid antaranya, tidak membawa kanak-kanak yang teramat kecil dan susah untuk dijaga serta akan mengganggu jemaah ke masjid.

"Jika kanak-kanak (yang masih kecil) tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya.

"Disyorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali."

Zulkifli turut memuji peribadi Nadzrul Zarfan yang hadir menunaikan solat di surau bersama jemaah dewasa.

"Tak salah apa yang anakanda (Nadzrul Zarfan) buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan.

"Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama yang kata begitu," pesan Zulkifli.

Hukum Meletakkan Kanak-Kanak Di antara Saf Lelaki Dewasa

Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: "dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat." (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)

Adapun mengenai terputusnya saf, setakat pencarian kami (wallahu a’lam), kami tidak mengetahui salah seorang dari ulama yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut.

Pendapat ulama kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn 'Uthaymeen Rahimahullah mengatakan bahawa ianya tidak terputus. Ianya juga adalah pendapat Syeikh Soleh al-Munajjid.

Kedudukan Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat

Berikut merupakan beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

Pertama

Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

Kedua

Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

Ketiga

Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka.

Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36-37).

Membina akhlak Kanak-kanak

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:
  • Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
  • Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
  • Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.

Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.

Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran yang maksudnya: "Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang." Surah al-Nur (36)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, December 27, 2019

15 Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala

15 Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala

Antara tanda-tanda akhir zaman ialah apabila berlakunya maksiat secara berleluasa dan pelakunya juga tidak berasa malu dengan perbuatan dilakukan itu, dan ketahuilah terdapat 15 perkara termasuk maksiat yang Allah turunkan bala.

Maksiat punca turun bala

Daripada Saidina Ali karramallahu wajhah, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Apabila umatku melakukan 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1. Apabila kekayaan negara beredar dalam kalangan orang yang tertentu sahaja

Maksudnya, apabila sesuatu ekonomi dikuasai oleh segolongan sahaja dan tidak dibahagi-bahagikan kekayaan sesebuah negara kepada semua rakyat malah jurang antara orang miskin dan kaya semakin jauh dan melebar. Ini terjadi apabila sesebuah negara mengamalkan selain daripada ekonomi Islam.

2. Amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

Sesuatu jawatan yang disandang adalah amanah yang telah dipertangggungjawabkan tetapi dijadikan sebagai batu loncatan untuk menjadikan diri sendiri kaya-raya.

3. Zakat dijadikan hutang

Nabi SAW mengingatkan jika sesuatu masyarakat menahan diri daripada membayar zakat, Allah akan menahan hujan daripada turun dan kalaulah bukan kerana kasihankan binatang nescaya Allah tak akan menurunkan hujan setitik pun.

4. Suami mengikut kemahuan isteri

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda: Tiga orang yang Allah tidak mahu melihat mereka pada hari Kiamat: Orang yang derhaka kepada ibu-bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki dayus. [HR Ahmad, Nasa’I dan Hakim].

Dayus bermaksud seorang lelaki yang membiarkan keluarganya melakukan zina, sama ada ibunya, isteri atau anaknya kemudian dia mati dalam keadaan begitu.

Dia tidak menegur dan menasihati anak isteri daripada melakukan dosa bahkan, lagi teruk dialah yang mengajak melakukan maksiat.

Bukankah dia berhak menerima penghinaan daripada Allah? Sekarang istilahnya ‘quen control’, sepatutnya lelakilah sebagai ketua keluarga bukan semata-mata mengikut kemahuan isteri. Mengambil pendapat isteri dan berbincang tentang sesuatu perkara adalah sangat digalakkan.

5. Anak derhaka kepada ibunya

Di mana-mana kalau kita perhatikan betapa anak-anak sekarang sebahagiannya derhaka dengan ibu seperti bercakap kasar bahkan mengherdik ibu, tidak menghormati ibu. Paling menyedihkan menghantar ibu ke rumah-rumah kebajikan orang tua sebab tidak sanggup menjaga mereka.

10 orang anak dapat dijaga oleh ibu tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu bahkan ada ibu yang makan minumnya daripada bantuan zakat. Nauzubillah.

Nabi SAW mengatakan bertuahlah bagi sesiapa yang ada ibu bapa yang menyebabkan mereka ke syurga tetapi apa yang berlaku menyebabkan mereka ke neraka kerana derhaka dengan ibu bapa.

6. Sedangkan ia baik dengan temannya

Dengan ibu bapa mereka derhaka tetapi dengan kawan-kawan amat baik. Boleh belanja kawan-kawan makan tetapi nak belanja ibu bapa tak ada bajet kena berjimat zaman ekonomi meleset tetapi sebenarnya akhlaknyalah yang meleset.

7. Anak menjauhkan dirinya daripada ayahnya

Hatta dengan ayah pun mereka menjauhkan diri dan tak bertegur sapa, kalau bertegur pun sebab nak minta duit belanja. Sedangkan pengorbanan seorang ayah Allah sahajalah yang tahu, terpaksa mengikat perut sebab nak bagi belanja sekolah anak.

Kerja siang malam nak menyekolahkan anak, nak bayar yuran sekolah, yuran kolej dan sebagainya.

8. Suara-suara ditinggikan di dalam masjid

Maksudnya manusia bercakap pasal dunia di dalam masjid dengan suara yang tinggi seperti gelak ketawa yang kuat.

9. Ketua susatu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka

Seseorang yang jahat dan tidak berakhlak dilantik menjadi pemimpin yang mana sepatutnya orang yang mulia akhlaknya.

10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kerana kejahatannya

Maksudnya seeorang itu disanjung bukan kerana kebaikan dan jasanya tetapi kerana ditakuti kejahatannya.

11. Minuman keras sudah diminum di segenap tempat

Hari ini arak dijual di merata-rata tempat kerana permintaan dan pelangannya ramai dan di mana-mana sahaja.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)

Sutera dikhususkan untuk kaum wanita sahaja tetapi kalau kita perhatikan pada zaman sekarang dalam masyarakat kita ramai lelaki telah memakai sutera sama ada dijadikan baju batik dan sebagainya dipakai untuk majlis kenduri-kendara atau majlis rasmi dan sebagainya.

13. Para artis disanjung-sanjung

Artis yang dimaksudkan adalah artis yang mengajak dan menyebarkan maksiat kepada Allah. Merekalah yang menjadi idola dan ikutan dalam cara berpakaian, berfesyen serta gaya rambut, cara bercakap walaupun tidak sesuai dengan adab dan adat ketimuran apatah lagi melanggar etika dalam Islam.

Sepatutnya baginda nabi SAW lah menjadi idola dan ikutan kita sebab akhlak nabi SAW adalah seperti dalam Al-Quran yang menjadi panduan hidup kita mencapai kebahagiaan dan keredhaaan Allah di dunia dan akhirat, tapi lain yang kita ikut.

14. Muzik banyak dimainkan

Zaman ini adalah zaman muzik, seolah-olah manusia tak boleh hidup tanpa muzik. Yang dimaksudkan di sini ialah muzik-muzik yang diharamkan dalam Islam yang melalaikan.

Di rumah ada muzik, di tempat kerja, kenduri-kendara ada muzik, masa joging, menunggu bas, LRT, hatta masa tidur pun mereka mendengar muzik.

15. Generasi akhir zaman melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Ini sebagaimana yang berlaku kepada ajaran sesat seperti Syiah yang mengutuk sahabat–sahabat nabi SAW walaupun nabi SAW telah menjamin mereka syurga, tetapi dikutuk dalam khutbah-khutbah Jumaat mereka sehingga ada yang mengkafirkan para sahabat seperti saidina Abu Bakar, saidina Umar, saidina Uthman dan lain-lain radhiallaahu anhum.

Pada akhir hadis ini nabi SAW bersabda: “Maka ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.” - [HR Tirmizi].

Oleh itu marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada melakukan maksiat tersebut di atas. Jom kita kongsikan hadis ini semoga menjadi sebahagian dari amalan baik kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar