Friday, January 03, 2020

Kedudukan Saf Kanak-kanak Dalam Solat Jemaah, Ini Penjelasan Mufti


Masjid boleh mengajar kita erti persamaan. Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka.

Saf Kanak-kanak

Namun, sering menjadi persoalan tentang kanak-kanak yang hadir bersolat di masjid. Apakah mereka diletakkan di bahagian saf belakang, atau tidak mengapa jika mereka berjemaah satu barisan dengan orang dewasa.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri, tampil memberikan penjelasan berhubung kedudukan sebenar kanak-kanak lelaki dalam saf ketika solat berjemaah.

Terdapat sebuah hadis Sahih Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik r.a. berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini pula, kedudukan kanak-kanak di belakang makmum dewasa adalah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama dan sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Sesungguhnya, kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Jawapan ini adalah sebagai menjawab persoalan sebuah surat yang tular di media sosial, hasil tulisan seorang kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azry kepada pengerusi di sebuah surau yang mendakwa dirinya 'dihalau' ke saf belakang oleh jemaah dewasa sedangkan beliau terlebih dahulu berada di saf hadapan.

Nadzrul Zarfan Saf

Dalam surat tulisan tangan itu, Nadzrul Zarfan turut mempersoalkan tindakan jemaah surau yang sering menghalau kanak-kanak yang berada di saf pertama di dalam surau.

Zulkifli memberikan beberapa cadangan kepada ibu bapa dan pihak masjid antaranya, tidak membawa kanak-kanak yang teramat kecil dan susah untuk dijaga serta akan mengganggu jemaah ke masjid.

"Jika kanak-kanak (yang masih kecil) tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya.

"Disyorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali."

Zulkifli turut memuji peribadi Nadzrul Zarfan yang hadir menunaikan solat di surau bersama jemaah dewasa.

"Tak salah apa yang anakanda (Nadzrul Zarfan) buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan.

"Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama yang kata begitu," pesan Zulkifli.

Hukum Meletakkan Kanak-Kanak Di antara Saf Lelaki Dewasa

Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: "dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat." (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)

Adapun mengenai terputusnya saf, setakat pencarian kami (wallahu a’lam), kami tidak mengetahui salah seorang dari ulama yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut.

Pendapat ulama kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn 'Uthaymeen Rahimahullah mengatakan bahawa ianya tidak terputus. Ianya juga adalah pendapat Syeikh Soleh al-Munajjid.

Kedudukan Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat

Berikut merupakan beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

Pertama

Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

Kedua

Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

Ketiga

Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka.

Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36-37).

Membina akhlak Kanak-kanak

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:
  • Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
  • Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
  • Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.

Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.

Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran yang maksudnya: "Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang." Surah al-Nur (36)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon