Friday, May 06, 2016

Golongan Ingkar Sunnah Zaman Dahulu


Adalah mustahil untuk mengaku sebagai seorang muslim yang taat, tetapi mengingkari kehujjahan Sunnah Nabi SAW.

Golongan Ingkar Sunnah

Namun demikian ada sebahagian orang yang kurang memahami masalah ini. Bahkan pada masa sahabat pun ada juga orang yang kurang memperhatikan kedudukan Sunnah sebagai sumber hukum.

Al-Hasan meriwayatkan, ketika ‘Imran bin Husain ra mengajar Hadis Nabi SAW, ada seorang yang meminta agar tidak diajarkan Hadis, cukup sekadar dengan Al-Quran sahaja.

Jawab ‘Imran, “Kamu dan sahabat-sahabatmu dapat membaca al-Quran. Adakah kamu boleh mengajarkan kepadaku mengenai solat dan syarat-syaratnya? Atau mengenai zakat dan syarat-syaratnya? Kami hadir di majlis Nabi SAW, sedangkan kamu tidak tahu mengenainya. Rasulullah telah mewajibkan mengenai zakat dan sekian sekian...”

Lelaki tersebut menawab, “Tuan telah menghidupkan saya (dengan ilmu) Semoga Allah menghidupkan tuan”.

Kata Al-Hasan, “Lelaki tersebut kemudiannya (tekun belajar) sehingga dia menjadi seorang yang alim dalam bidang fiqh”. [Al-Mustadrak: 109-110. Al-Kifayah: 15]

Perkara yang sama pernah terjadi pada Umayyah bin Khalid, di mana dia cuba mencari penyelesaian kepada seluruh permasalahan dengan merujuk kepada Al-Quran sahaja.

Akhirnya ia memberitahu kepada Abdullah bin Umar bahawa di dalam Al-Quran hanya ada masalah solat biasa dan solat pada waktu perang sahaja (solat al-khauf). Sedangkan masalah solat ketika musafir tidak disebutkan di dalam Al-Quran.

Abdullah bin Umar lalu menjawab: “Wahai sahabatku, Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w dan kami tidak tahu apa-apa. Kita lakukan apa sahaja ibadat seperti amalan yang kami lihat Nabi telah lakukan.” [Al- Mustadrak: 258]

Tidak mustahil dengan kepesatan dan kemajuan zaman, bertambah juga jumlah orang-orang yang mencari jawapan dalam persoalan dan permasalahan yang mereka hadapi dengan merujuk kepada al-Quran sahaja.

Syeikh Ayyub al-Sakhtiyani (68-131H) berkata, “Apabila kamu mengajarkan hadis kepada seseorang, kemudian ia berkata, (Tidak perlu merujuk kepada hadis, cukup sekadar dengan al-Quran sahaja). Maka ketahuilah bahawa orang itu sesat dan menyesatkannya”. [Al-Kifayah, 161]

Beberapa peristiwa yang disebut tadi tidak mewakili golongan atau kumpulan tertentu, tetapi bersifat perseorangan sahaja.

Namun jumlah mereka semakin hari semakin bertambah. Sebagai catatan, gejala seperti itu pada awalnya hanya terdapat di Iraq sahaja, tidak diseluruh negeri-negeri Islam yang lain. Ini kerana ‘Imran bin Husain seperti yang direkodkan oleh Ibnu Hibban berada di Basrah, begitu juga Syeikh Ayyub Al-Sakhtiyani [Masyahir Ulama’ Al-Amsar: 37, 150]

Imam Syafie juga ada menyebutkan bahawa orang-orang yang mengingkari Sunnah umumnya berasal dari Basrah [As-Sunnah wa makanatuha: 160]

Boleh jadi memang di Iraq sahaja pemikiran tersebut tersebar pada ketika itu.

Perkembangan Mengingkari Sunnah

Sebagaimana telah disebutkan bahawa pada zaman sahabat juga sudah wujud individu yang kurang mengambil berat mengenai kedudukan sunnah, namun mereka bersifat perseorangan. Kemudian menjelang akhir abad kedua Hijrah muncul golongan yang mengingkari Sunnah sebagai sumber perundangan. [Al-Umm 7/250].

Terdapat juga golongan yang hanya mengingkari Sunnah yang tidak mutawatir sahaja. [Al-Umm 7/254]

Sikap Golongan Khawarij dan Mu'tazilah Terhadap Sunnah

1) Khawarij dan Sunnah

Golongan Khawarij menerima sunnah dan mempercayainya sebagai sumber hukum Islam. Namun diceritakan bahawa mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah golongan sahabat tertentu, khususnya setelah peristiwa Tahkim. (Tahkim ialah peristiwa perdamaian selepas fitnah antara pihak Ali bin Abu Talib r.a dan pihak Muawiyah bin Abu Sufyan r.a.)

Prof Dr. Mustafha al-Siba'i mengatakan: “Khawarij dan kumpulannya yang bermacam jenis itu, sebelum terjadinya perang saudara antara sahabat menganggap semua sahabat Nabi dapat dipercayai (‘udul).

Kemudian mereka mengkafirkan Ali, Usman, para pengikut perang Jamal, dua orang perutusan perdamaian, orang-orang yang menerima keputusan perdamaian (tahkim), dan orang-orang yang membenarkan salah seorang atau dua utusan perdamaian tadi.

Dengan demikian mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh majoriti sahabat setelah terjadinya fitnah (perang saudara).

Ini kerana para sahabat itu menerima perdamaian (tahkim) dan mengikut pemimpin-pemimpin yang menurut mereka tidak dapat dipercayai. [Al-Sunnah wa Makanatuha, 149]

Prof Dr. Al-A’zami mengulas, "Pendapat Prof al-Siba'i ini perlu dikaji kembali, kerana sebab yang jelas kitab-kitab penulisan golongan Khawaraij sudah rosak bersama pupusnya golongan tersebut, kecuali golongan Ibadhiyah yang juga termasuk golongan Khawarij, golongan Ibadhiyah ini wujud sampai sekarang di Negara Oman.

Menurut kitab At-Tabsir (46-56), golongan Khawarij terdiri dari dua puluh kelompok, antaranya kelompok Ibadhiyah).

Berdasarkan kitab-kitab yang ditulis oleh golongan-golongan ini ternyata mereka menerima Hadis Nabi dan meriwayatkannya. Antaranya ialah hadis-Hadis yang berasal dari Ali, Usman, Aisyah, Abu Hurairah, Anas bin Malik, dsan lain-lain (contohnya lihat Musnad al-Rabi' bin Habib al-Farahidi).

Adapun sikap mereka terhadap Hadis Aahad sudah jelas penerimaanya seperti yang mereka telah tuliskan di dalam kitab Usul Fiqh. [Dirasat fi al-Hadis An-Nabawi: 22-23]

2) Mu'tazilah dan Sunnah

Syeikh Al-Khudhori Bik membuat kesimpulan berdasarkan karya penulisan Imam Syafie rahimahullah bahawa golongan yang menolak Hadis secara keseluruhan adalah Mu'tazilah. [Tarikh al-Tasyri' al-Islami: 185]. Prof. As-Sibai juga nampak cenderung kepada pendapat ini.

Namun realitinya sebagaimana yang dikatakan oleh Prof al-Siba'i, bahawa pendapat para ulama’ tentang sikap Mu'tazilah terhadap Sunnah, terdapat sedikit kekeliruan dan tidak sama.

“Adakah mereka seperti majoriti ulama’, iaitu menerima Hadis secara keseluruhan, atau sebaliknya, atau hanya menerima yang Mutawatir dan menolak Aahad?” [Al-Sunnah wa Makanatuha, 202]

Al-Siba'i juga menukilkan pendapat-pendapat al-Aamidi, Ibnu Hazm dan Ibnu al-Qayyim. Kemudian beliau merumuskan bahawa: “Kebanyakan pendapat itu saling bertentangan sehingga tidak dapat dibuat satu kesimpulan yang pasti tentang masalah ini.” [Al-Sunnah wa Makanatuha, 203].

Prof Dr. Al-A’zami membuat kesimpulan

“Menurut pendapat saya, setelah melihat sumber-sumber nukilan –dari kitab-kitab Muktazilah – bahawa golongan Mu'tazilah juga seperti umumnya umat Islam, menerima Hadis Nabi. Memang mereka mungkin mengkritik kesahihan sejumlah Hadis yang berlawanan dengan teori mazhab mereka (yang mereka kira bercanggah dengan akal, khasnya hadis yang berkait dengan Sifat-sifat Allah), namun demikian perkara itu tidak bererti mereka menolak hadis secara keseluruhan”. [Dirasat fi al-Hadis An-Nabawi: 23]

Kesimpulan

Pada zaman dahulu lagi umat Islam sepakat untuk menerima Hadis dan menjadikannya sebagai sumber hukum Islam yang wajib dipatuhi.

Pada masa yang sama juga sudah terdapat sejumlah orang atau kelompok yang menolak hadis. Tetapi perkara ini lenyap pada akhir abad kedua atau paling tidak pada akhir abad ketiga.

Fitnah penolakan hadis ini muncul kembali pada abad ketiga belas Hijrah yang lalu, akibat pengaruh penjajahan Barat, seperti akan diterangkan dalam siri yang berikut, insya’ Allah.

BACA INI JUGA: Apa Puncanya Islam Sering Di Hina?

Sumber: Majalah-i

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon