Sunday, December 08, 2019

Sukar Tidur Malam Dan Rawatannya Menurut Islam

Sukar Tidur Malam Dan Rawatannya Menurut Islam

Salah satu tanda kita sedang menghadapi tekanan mental ialah apabila kita sukar hendak tidur. Kegelisahan yang berlaku sewaktu hendak tidur menunjukkan minda berserabut dengan pelbagai perkara yang masih tidak selesai. Itu juga menunjukkan bahawa kita tidak bahagia dalam hidup.

Sukar tidur malam

Orang bahagia sentiasa mudah apabila hendak tidur dan dia boleh tidur dengan lena dan bangkit dengan bersemangat. Tidur benar-benar dijadikan ruang untuknya berehat.

Sesetengah orang menganggap sukar tidur sebagai fenomena yang tiada penawar. Mengapa ini terjadi?

Bukankah sewaktu kepala diletakkan diatas bantal adalah waktu untuk bertenang dan berehat sepenuhnya? Bukankah apabila kita hendak tidur, memang sebenarnyalah kita betul-betul hendak tidur?

Tetapi Mengapa Kita Sukar Tidur? Mengapa mata tidak mahu lelap?

Jawapan yang mudah dan mungkin diketahui oleh semua orang adalah berpunca daripada cabaran dan tekanan perasaan yang sentiasa dihadapi pada waktu siangnya.

Jadi, jika anda sukar tidur, itu tandanya anda sedang menghadapi tekanan mental dalam hidup anda.

Jika anda terus gagal mendapatkan tidur yang berkualiti, ada harapan anda akan mendapat penyakit mental.

Ingat, semua penyakit yang berhubungkait dengan kemunduran mental tidak mungkin akan membawa anda kepada kebahagiaan.

Tidur yang berkualiti dan tidur yang tidak berkualiti

Sebenarnya tidur ada dua macam, iaitu tidur yang sekadar tidur dengan tidur yang benar-benar tidur. Dalam perkataan lain, tidur yang berkualiti dengan tidur yang tiada kualiti.

Bukan telur sahaja ada gred A, B, C dan D. Tidur juga ada gred-grednya tersendiri.

Seseorang yang tidur secara berkualiti (Gred A) akan mendapat rehat yang secukupnya yang diperlukan oleh tubuhnya. Jika dia tidur enam jam, seolah-olah dia telah tidur selama 18 jam.

Wah, beruntungnya dia. Ini bermakna bukan sahaja tidurnya nyenyak malah tidak terganggu oleh mimpi-mimpi buruk yang menyakitkan kepala.

Tidur berkualiti ini boleh juga diistilahkan sebagai tidur mati. Lihat orang yang tidur mati, alangkah nikmatnya. Seolah-olah benar-benar mati dalam iman.

Lihat pula orang yang tidur tanpa kualiti. Tidurnya gelisah, mengelasau, mengigau dan mungkin merapu, bercakap dan menjerit-jerit. Lebih kronik, ada yang boleh bangkit dan berjalan-jalan dalam keadaan tidur.

Orang-orang begini bukan sahaja tidak mendapat kualiti tidur yang sebenarnya malah boleh mengganggu kualiti tidur orang lain.

Tidur yang tidak berkualiti biasanya akan membabitkan prestasi pada siang hari. Seseorang yang sepatutnya mendapat tidur selama 7 jam, tetapi gagal mendapatkannya, akan rasa agak mengantuk pada keesokan harinya.

Dia kelihatan letih, tidak bermaya dan kurang bersemangat. Semakin sedikit jumlah tidurnya daripada yang diperlukannya, semakin lemahlah dia daripada garisan kecemerlangan. Mungkin semakin keraplah dia melakukan kesilapan. Akhirnya dia akan dilihat sebagai insan yang tidak bahagia.

Mungkin anda bertanya, jika demikian, tidak bolehkah mengurangkan waktu tidur untuk membina kecemerlangan?

Untuk menambahkan persediaan menghadapi peperiksaan, tidak bolehkan seseorang pelajar itu mengekang mata sehingga lewat malam mentelaah pelajaran?

Untuk menambah pendapatan seseorang pekerja itu menggagahkan diri berkerja lebih masa sehingga syif malam?

Untuk menyiapkan novel, seseorang penulis berhempas pulas menulis hingga untuk bernafas pun tidak berkesempatan?

Jawapannya adalah tidak boleh dan juga boleh.

Tidak boleh kerana tubuh kita memang memerlukan tidur yang mencukupi. Itu hakikat hidup dan rutin biasa bagi seseorang yang normal.

Apapun keadaanya cubalah dapatkan tidur yang mencukupi. Ayam pun perlu tidur, inikan pula manusia.

Boleh kerana kadangkala tubuh kita boleh disesuaikan dengan keperluan-keperluan mendesar, situasi terdesak dan didesak.

***

Maksudnya, ada ketikanya kita boleh terus gagah walaupun tanpa tidur yang mencukupi. Tetapi jangan terlalu kerap dan berterusan.

Sesekali untuk melayan keadaan-keadaan , terdesak dan didesak itu memang patut dan tubuh kita pun memang terbina untuk berdepan dengan suasana-suasana yang tidak diduga seperti itu.

Pendek kata, lihat diri sendiri dan kaji keperluan tidur masing-masing. Tidur seketika pada siang hari.

Produktiviti kita juga akan meningkat apabila tidur sebentar selepas makan tengah hari. Tidurlah sebentar diwaktu siang untuk mengganti tidur malam kita yang hilang itu.

Tetapi kita perlu bijak bila ingin tidur siang. Walaupun tidur siang adalah cara yang baik untuk menggantikan tidur kita yang hilang, terutama bagi mereka yang telah berusia, namun ia juga boleh membuatkan imsomnia kita semakin teruk.

Jika ini adalah masalahnya, pertimbangkan untuk tidak tidur pada waktu siang. Jika tidak boleh dan memang perlu untuk tidur siang, hadkan tidur siang kita itu hanya sekitar 30 minit sahaja.

Doa Agar Mudah Tidur

اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ
يَا حَيُّ ، يَا قَيُّومُ ، أَنِمْ عَيْنَيَّ وَأَهْدِئْ لَيْلِي

Maksudnya:

"Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia, dan Engkau maha berkuasa, Wahai yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini."

Diriwayatkan oleh At-Tabraniy dan Ibn al-Sunni, dari Hajjaj bin Imran As-Sadusiy, dari Amru bin Al-Husain, dari Muhammad bin Abdillah dari Thaur bin Yazid dari Khalid bin Ma’dan dari Abdul Malik bin Marwan bahawa: — bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi SAW tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya, lalu Baginda SAW mengajarnya doa di atas.

Menurut hadith riwayat Ibnus Sunni, Zaid bin Thabit r.a. yang mengalami masalah sukar untuk tidur (insomnia) akhirnya dapat tidur dengan nyenyaknya berkat beramal dengan doa yang diajar oleh Nabi saw ini .

Menurut pengarang buku doa dan rawatan pesakit, doa ini boleh dibacakan pada pesakit dan air.

Caranya adalah, letakkan tangan kanan atas dahi semasa membaca doa dan tiup kedua belah biji matanya.

Air yang telah dijampi dengan doa ini boleh digunakan untuk diminum dan untuk mandi.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, December 06, 2019

Bukti Tamadun Materialistik Bukan Punca Kejayaan Umat Islam Terdahulu

Bukti Tamadun Materialistik Bukan Punca Kejayaan Umat Islam Terdahulu

Ibnu Khaldun dalam salah satu kajian ketamadunannya mengatakan bahawa bangsa yang lemah akan mencontohi bangsa yang kuat. Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh ‘Amr bin Luhay yang membawa sang Hubal kerana takjubnya dan berharap akan Mekah ketika itu dapat mencontohi kemajuan Syam.

Tamadun Islam

Tetapi, setelah beberapa tahun silih berganti, Mekah tidak dapat menandingi kemajuan Syam meskipun bilangan bangunan makin bertambah. Sebaliknya, berhala tersrbut hanya merosakkan agama hanif dan menukar identiti bangsa Arab kepada penyembah jahiliah.

Begitulah apa yang telah terjadi ke atas bangsa kita sekarang. Tanah kita pernah dijajah British, Belanda, Portugis dan Jepun seawal kurun ke 16 sehinggalah awal kurun ke 19.

Mereka mengeksploitasi bahan mentah dan tenaga kerja dari penduduk setempat dan membawa pulang hasil bagi memajukan negara mereka.

Mereka bukan saja menjajah tanah kita, tetapi menjajah kita dari segi pemikiran dengan memberi wajah baru terhadap agama kita yakni sekular dan liberal.

Mereka meracuni agama dan bangsa kita supaya hilang rasa izzah kepada Islam, dan memperhambakan kita agar tunduk dan sentiasa berharap kepada mereka. Kita terpesona melihat kemajuan mereka segala dalam hal kebendaan, sains dan teknologi dan kita ingin merasa maju seperti mereka.

Lalu dihantar anak anak Melayu yang bijak pandai untuk belajar dan membawa pulang segala macam kebendaan yang ada. Namun, sampai hari ini setelah puluhan tahun berlalu, kita masih gagal mengalahkan mereka, sebaliknya terus diperhambakan tanpa sedar.

Allah SWT telah memuliakan kita bangsa muslim dan melahirkan kita untuk memimpin bukan meniru atau mengikut bangsa lain seperti firman Allah swt,

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imraan: 110)

Jika kebendaan, sains dan teknologi menjadi syarat kejayaan, nescaya Allah SWT mengarahkan Nabi Musa as. dan Bani Israel untuk mempersiapkan segala kekuatan fizikal dan alat agar setanding dengan kehebatan Firaun.

Tetapi Allah mengkehendaki sebaliknya. Firaun dihancurkan apabila Bani Israel taat akan kepada Allah melalui tindakan Nabi Musa yang membelah lautan.

Allah SWT menurunkan Al-Quran kepada umat Muhammad SAW dan di dalamnya terkandung pelbagai penawar dan petunjuk untuk mengeluarkan manusia daripada belenggu jahiliah menuju cahaya Islam.

Melalui Al-Quran, kaum muslimin hanya mengambil sedikit masa untuk tampil sebagai kuasa besar dunia. Manhaj ini memberikan penekanan kepada program tarbiyah yang diwarnai dengan celupan Rabbani.

Tertewasnya Rom dan Parsi membuktikan jumlah manusia dan kemodenan benda bukanlah syarat kelayakan kepada kemenangan Islam.

Bagaimana mungkin perang Badar yang disertai oleh 313 orang Muslim melawan 1000 orang Quraisy Mekah dan perangnya dimenangi oleh kaum Muslimin? Ia boleh menjadi petanda kepada pengakhiran sesebuah ketamadunan apabila kebendaan itu disembah dan merebak fitnah.

Itulah yang terjadi kepada Rom dan Parsi. Mereka berjaya membina sebuah tamadun materialistik yang menjadikan syahwat sebagai tuhan dan menilai manusia hanya pada fizikal seperti kata pemikir barat Freud, manusia hanyalah ibarat kumpulan intrinsik yang bergerak.

Jadilah mereka seperti kera kera yang sedang berevolusi untuk memenuhkan segala tuntutan syahwat. Kera-kera itupun melompat gembira apabila syahwatnya dipenuhi sebaliknya bertukar menjadi gorilla yang paling ganas jika kekuasaan dan kemewahan yang dimiliki digugat

“Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk buruknya pada sisi Allah ialah; orang orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.” (Surah Al-Anfal:22)

Material tidak akan memberikan sebarang nilai tambah kepada harga diri seseorang manusia dan sesebuah masyarakat jika tidak memahami matlamat kewujudannya.

Material sebaliknya boleh merosakkan kehidupan manusia itu sendiri kerana salah guna dan perebutan berlaku untuk mendapatkannya. Para sahabat tidak dikurniakan kehebatan sains dan teknologi untuk mengalahkan Rom dan Parsi sebaliknya mereka dikurniakan hati yang sarat dengan muatan iman.

Sabda Nabi SAW; “Ketahuilah! Bahawa di dalam tubuh ini ada seketul daging. Jika baik, baiklah seluruh tubuh ini, dan jika rosak, maka rosaklah seluruh tubuh ini. Ia adalah hati.” (HR Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)

Pembinaan peradaban menurut manhaj Al-Quran bermula dari pembentukan hati yang tunduk kepada Allah dan bersih dari kecintaan dunia. Al Quran mengajarkan Rasulullah SAW untuk membina jiwa manusia dulu sebelum meluaskan wilayah dan membina bangunan.

Rasulullah SAW tidak pula menghantar para Sahabat untuk belajar di Rom dan Parsi yang terkenal sebagai tamadun gergasi ketika itu. Buat apa mempelajari tamadun yang hanya materialistik, tapi tiada ruh.

Khulafa Ar Rasyidin menggunakan teknologi Al-Quran untuk meruntuhkan tembok tembok Rom dan Parsi. Jika Rom dan Parsi berlumba lumba mendapatkan kuasa melalui penjajahan dan perhambaan sesama manusia sebaliknya seorang muslim sama sekali takkan redha melihat manusia hidup di bawah kepimpinan yang zalim dan fasiq.

Begitulah jawapan Rabi’ bin Amir, Hudzaifah bin Mishan dan Mughirah bin Syu’bah kepada panglima Parsi, Rustum sebelum tercetusnya perang Qadisiyah pada 636 M.

Namu begitu, ini tidak menafikan langsung keperluan terhadap kebendaan kerana kebendaan itu adalah sebahagian daripada persiapan selepas keimanan.

Sayyid Qutb pernah menjelaskan bahawa:

“Ini tidaklah bererti bahawa kita mesti melupakan dan mesti memandang enteng kepada soal “penghasilan benda” dan “rekaan sains” sebab menjadi kewajipan kita juga untuk berusaha mendapatkannya, tapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia merupakan “syarat kelayakan” asasi yang mesti kita gunakan dalam memegang pimpinan umat manusia dalam tempoh sekarang ini. Cuma ia perlukan sekadar untuk menjaga hidup kita dari ancaman dan penindasan dan juga kerana konsep Islam sendiri yang mengajarkan bahawa ciptaan sains adalah mustahak sebagai syarat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

"Oleh itu maka mustahaklah ada suatu syarat kelayakan lain, bukan hak ciptaan sains dan penghasilan benda, dan sudah pastilah syarat kelayakan itu tidak lain daripada “akidah” dan “program” yang membolehkan manusia itu mengawal dan memelihara hasil ciptaan sains, di bawah pengawasan suatu konsep lain yang dapat memenuhi hajat fitrah seperti yang telah diperolehi oleh kemajuan sains itu, dan supaya akidah dan program itu menjelma di dalam sebuah perkumpulan manusia, iaitu sebuah masyarakat Islam."

Pemimpin Yang Tidak Beriman

Berbalik kepada Malaysia yang kini seolah diancam dan cuba digugat keharmonian yang telah terbina semenjak merdeka. Seolah ada yang cuba mencarik fabrik perpaduan di negara kita. Kita juga percaya Islam sebagai agama Persekutuan mula tidak dihormati fasalnya dalam perlembagaan.

Menjadikan Islam di negara kita mula diprovokasi dengan isu isu mudah sehingga umat Islam menjadi reaktif. Unsur unsur pembawakan sekularisme dan liberalisme sedang cuba diserap penuh oleh golongan atheis dan pejuang hak asasi yang kononnya memperjuangkan suara manusia tetapi hanyalah untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Golongan sasar yang menjadi sasaran mereka adalah anak anak muda yang kini semakin ganjil perangainya dan pembawakannya. Generasi muda semakin hilang moral dan nilai yang sepatutnya membentuk jati diri mereka terhadap agama dan bangsa.

Negara kita juga seolah tidak stabil kerana tindakan politikus yang tiada hala tuju dan seolah tidak memikirkan rakyat yang rata rata masih susah. Ahli politik lebih memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan periuk nasi mereka berbanding rakyat.

Contoh politik beginilah yang membentuk masyarakat. Masyarakat yang hanya mengikuti tanpa ilmu akan mudah tertipu dengan janji janji manis politikus.

Jika hendak dibandingkan ketika zaman Umar Al-Khattab, zaman beliau digelar zaman keemasan kerana rakyat hidup mewah dan dan golongan miskin hampir saja tiada. Dikatakan harta Baitul Mal tidak terguna sedikit pun kerana tiada golongan yang layak menerimanya.

Sedang Madinah hidup senang ketika itu, Umar al Khattab sebagai pemimpin hidup dalam keadaan dhaif.

Kalau diikutkan boleh saja beliau hidup senang dengan gaji yang dibayar padanya, tetapi beliau berkhidmat bukan pada harta, tetapi pada amanah. Namun di Malaysia, menjadi keganjilan kerana wakil rakyat yang diberi mandat menggunakan alasan simplistik untuk berada dalam Dewan Rakyat.

Sebagai pemimpin tidak sesuai untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu. Bayangkan jika Khulafa Ar Rasyidin mengeluarkan kenyataan seperti penat dan sebagainya, adakah Islam dapat membina empayarnya yang tersendiri?

Khulafa Ar-Rasyidin hidup tanpa sains. Tetapi masih lagi mampu meluaskan syiar Islam hingga ke Afrika. Kita hidup dengan teknologi dan pengetahuan tetapi menjadi lebih terkebelakang dan lebih takut menyampaikan kebenaran.

Moga artikel ini memberi pengetahuan dan sedikit sebanyak kesedaran kepada kita bahawa materialistik tanpa ruh Islam tidak akan membantu, malah akan menjatuhkan ketika kita berada di puncaknya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, November 08, 2019

8 Amalan Mudah Tetapi Ganjaran Pahalanya Sangat Besar

8 Amalan Mudah Tetapi Ganjaran Pahalanya Sangat Besar

Di dalam kesibukan dunia hari ini, minit demi minit berlalu dengan cukup pantas, sehinggakan timbul rasa menyesal di dalam diri kita kerana gagal mencari waktu dan masa untuk beribadah kepada Tuhan.

Amalan Mudah Ganjaran Pahala Besar

Kita selalu merasakan diri kitalah yang tergolong di dalam manusia yang rugi seperti firman Tuhan di dalam Surah al-Asr.

Namun, tahukah anda ada amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam masa satu minit sahaja, tetapi ganjarannya cukup besar?

Ia boleh dilakukan ketika anda menunggu di lampu isyarat, menunggu bas atau teksi, berjalan menuju ke sesuatu tempat dan sebagainya.

Berikut adalah amalan-amalan yang anda boleh praktikkan.

#1 – Membaca Surah Al-Ikhlas

Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam solat apabila kita mengejar masa.

Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda, "Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)

Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan mengisi masa terluang, Insyaa Allah kita akan memperolehi rumah di Syurga!

#2 – Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW

Kita memang dianjurkan untuk sentiasa berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada kita.

Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan kerja dan sebagainya.

"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda." (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam masa satu minit, kita boleh berselawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.

#3 – Beristighfar Memohon Keampunan

Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka. Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad SAW;

"Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek, “astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.

#4 – Bertanya Khabar Keluarga

Dengan wujudnya pelbagai kemudahan seperti media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat.

Dengan satu pesanan SMS atau Whatsapp sahaja sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.

Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim.

Sabda Nabi Muhammad SAW, "Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Bukhari)

#5 – Lafaz Tasbih

"Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu, Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallah hil adzim." (Hadis Riwayat Muslim)

Dengan dua kalimah yang sangat mudah untuk dilafazkan ini ia boleh membantu kita pada hari akhirat kelak dengan memberatkan timbangan amalan kita.

Bukan itu sahaja, kita juga akan disukai oleh Tuhan Sang Pencipta Alam. Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.

#6 – Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak Tuhan

Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit.

Tetapi Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda, "Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga." (Hadis Riwayat Bukhari)

Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga.

Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.

#7 – Mendoakan Orang Lain

Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja, Insyaa Allah, Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.

Contohnya ketika kita dalam perjalanan ingin pergi bekerja, kita melihat seorang peminta sedekah, maka kita terus berdoa kepada Tuhan, “Ya Tuhan, murahkanlah rezeki si fulan”. Insyallah kita juga akan turut dimurahkan rezeki!

Mulai hari ini, jangan lupa mendoakan orang lain.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda, "Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, nescaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya." (Hadis Riwayat al-Thabarani)

#8 – Sebarkan Kebaikan

Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya.

Jika orang lain mempraktikkan apa sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahala penuh mereka.

Seperti sabda baginda Nabi Muhammad S.A.W, "Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun." (Hadis Riwayat Muslim)

Contoh mudah, dalam masa satu minit anda boleh berkongsi artikel ini kepada rakan-rakan anda.

Apabila mereka mempraktikkan amalan-amalan yang telah dinyatakan, anda juga mendapat manfaatnya!

Kesimpulan

Sekarang terpulang kepada diri kita sendiri bagaimana ingin mempraktikkan amalan-amalan yang ringan tetapi besar ganjarannya di atas.

Jika kita bijak mengisi masa yang ada dengan amalan-amalan ini, Insyaa Allah kita juga akan merasai perubahan besar di dalam hidup kita.

Amalan-amalan ini juga adalah satu bukti bahawa Tuhan sangat menyayangi hamba-hamba-Nya dengan memberikan ganjaran yang luar biasa walaupun sesuatu amalan tersebut terlalu mudah untuk dipraktikkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, November 01, 2019

Orang Yang Suka Bersedekah Paling Dicintai Allah SWT

Orang Yang Suka Bersedekah Paling Dicintai Allah SWT

Nabi Musa adalah nabi yang nama dan kisahnya paling banyak disebut dalam Al Qur’an. Nama nabi Musa tercantum dalam Al-Qur’an lebih dari 125 kali. Sementara Nabi Isa disebut sebanyak 25 kali, sedangkan nama Nabi Muhammad SAW hanya disebut 4 kali.

Bersedekah disukai Allah

Nabi Musa as merupakan salah satu dari lima nabi yang memiliki sifat Ulil ‘Azmi (golongan nabi pilihan yang mempunyai ketabahan luar biasa dalam menyebarkan ajaran tauhid), yang menurut urutannya menduduki martabat ketiga (Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad).

Nabi Musa adalah nabi yang membawakan kitab suci Taurat, adalah nabi yang mendapat gelar “Kalimullah”, ertinya nabi yang mendapat wahyu secara langsung dari Allah (tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril), sedangkan rasul-rasul lain mendapat wahyu melalui perantaraan Jibril.

Kisah-kisah nabi Musa sering diceritakan oleh para ulama dan dalam kitab Mukasyafatul Qulub karya Imam Al Ghazali, diceritakan dialog antara Nabi Musa As dengan Allah SWT.
Musa: "Wahai Allah aku sudah melaksanakan ibadah. Manakah diantara ibadahku yang membuat Engkau senang. Apakah solatku?

Allah: "Solat mu itu untuk dirimu sendiri. Kerana solat membuat engkau terpelihara dari perbuatan keji dan munkar.”

Musa: “Apakah zikirku?”

Allah: "Zikir itu untukmu sendiri. Kerana zikir membuat hatimu menjadi tenang.”

Musa: “Puasaku?”

Allah: “Puasa itu untukmu sendiri. Kerana puasa melatih diri memerangi hawa nafsumu."

Musa: ”Lalu ibadah apa yang membuat Engkau senang ya Allah?"

Allah: ”Sedekah. Tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang kesusahan dengan sedekah, sesungguhnya Aku berada disampingnya."
Dari dialog tersebut, kita fahami bahawa ternyata solat, puasa dan zikir masih belum membuat Allah senang, meskipun ibadah tersebut sangat tinggi nilai pahalanya. Kenapa demikian?

Kerana ibadah tersebut hanya dampak baik terhadap peribadi pelakunya, tetapi tidak mengandung manfaat bagi orang lain.

Sedangkan sedekah merupakan amal perbuatan yang bukan hanya berpahala bagi dirinya, tetapi juga membuatkan orang lain bahagia dan gembira.

Amal perbuatan yang membahagiakan orang lain, terutama yang sedang mengalami kesusahan, adalah perbuatan yang sangat disukai oleh Allah Ta’ala.

Perbuatan seperti inilah yang membuatkan Allah menjadi senang kepada hambaNya.

Abdul Aziz bin Umair Ra berkata, “Solat hanya menghantarmu sampai setengah perjalanan syurga. Puasa menghantarmu hingga ke depan pintu syurga. Dan sedekah memasukkanmu ke dalamnya (syurga)”

Menurut Abdul Aziz, bahawa seseorang yang hanya tekun solat dan puasa tetapi tidak bersedekah, maka dia belum memenuhi syarat untuk masuk syurga.

Orang seperti ini hanya layak sampai di pintu syurga sahaja. Dan sedekah merupakan ibadah penyempurna untuk memasukkannya ke dalam syurga.

Oleh kerananya, para ulama memberi peringatan; Bila seseorang hanya sibuk dengan ibadah ritual saja (solat, zikir, puasa, haji, dsb), maka jangan dulu merasa puas dan bangga.

Kerana itu tandanya ia hanya mencintai dirinya sendiri dan belum sepenuhnya mencintai Allah.

Padahal dalam Al-Qur’an, Allah berulang kali memerintahkan hambaNya untuk bersedekah dan bila seseorang mengabaikan perintah Allah untuk bersedekah maka itu bererti dia tidak mencintai Allah.

Kesolehan individual dan kesolehan sosial

Bentuk kesolehan ada dua macam, iaitu kesolehan individual (untuk diri sendiri) dan kesolehan sosial (untuk orang lain).

Orang yang rajin melakukan ibadah ritual seperti solat, puasa, zikir dan haji maka ia disebut orang soleh secara individual.

Kerana kesolehannya hanya untuk dirinya sendiri. Perbuatannya disebut sebagai “kesolehan individual”.

Sedangkan orang yang rajin berbuat baik kepada sesama manusia seperti sedekah, ramah, peduli, empati dan perbuatan lain yang memberi manfaat bagi orang lain maka ia disebut sebagai orang yang soleh secara sosial, perbuatannya disebut sebagai “kesolehan sosial”.

Orang mukmin harus mempunyai 2 kesolehan sekali gus, iaitu kesolehan individual dan kesolehan sosial. Dalam khasanah Al-Qur’an, “Hablim minallah” dan “hablim minan naas” harus berjalan beriringan.

Allah berfirman, “Dhuribat ‘alaihi mudh dhillatu ainamaa - tsuqifuu illaa bi hablim minallahi wa hablim minan naas.” (QS. Ali Imran 112).

Ertinya, “Ditimpakan atas mereka ‘kehinaan’ dimana saja mereka berada, kecuali kalau mereka berhubungan baik dengan Allah (hablim minallah) dan berhubungan baik dengan sesama manusia (hablim minan naas).”

Tidak dibenarkan seseorang hanya “hablim minallah” saja atau “hablil minan naas” saja.

“Hablim minallah" dan “hablim minan naas” harus seimbang, harus berjalan beriringan. Allah SWT secara tegas memerintahkan kita agar masuk Islam secara kaffah (menyeluruh).

“Udkhulu fis-silmi kaffah.” (QS. Al Baqarah: 208 ), ertinya “Masuklah ke dalam Islam secara kaffah (menyeluruh)."

Sedekah merupakan implementasi dari kesolehan sosial yang menurut Rasulullah SAW, orang yang mempunyai kesolehan sosial adalah orang yang paling baik.

Rasulullah bersabda, ”Khairunnas anfa’uhum linnas” , ertinya ”Manusia yang paling baik (dicintai Allah Ta’ala), ialah manusia yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain." (HR. Ibnu Hajar Al-Asqalani)

Keistimewaan Orang Yang Suka Bersedekah

Terkait dengan sedekah, ada sebuah kisah. Pada suatu peperangan yang dimenangi oleh kaum Muslimin, banyak orang Yahudi yang diancam hukuman mati.

Ketika tiba pada satu tawanan yang mahu dihukum, tiba-tiba malaikat jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW, supaya orang Yahudi itu dibebaskan. Diberitahukan bahawa orang Yahudi ini suka bersedekah, suka menolong fakir miskin, suka menjamu tetamu dan suka memikul beban orang lain.

Ketika Rasulullah datang memberitahu kepada orang Yahudi itu bahawa dia dibebaskan, yahudi tersebut terkejut dan bertanya, “Mengapa?”

Nabi menjawab, “Allah baru saja memberitahukan padaku bahawa engkau adalah orang yang suka bersedekah, suka menolong fakir miskin, suka menjamu tamu dan suka memikul beban orang lain.”

Kemudian orang Yahudi itu berkata, “Apakah Tuhanmu menyukai perilaku seperti ini?” Nabi menjawab, ”Betul, Tuhanku menyukai hambanya yang suka bersedekah.”

Saat itu juga orang Yahudi tersebut memeluk Islam. Dia masuk Islam kerana Allah menyukai orang yang dermawan, yang gemar bersedekah.

Keistimewaan bagi orang yang suka bersedekah (dermawan) adalah mereka lebih dekat dan lebih dicintai Allah Ta’ala.

Rasulullah bersabda, “Orang bodoh yang dermawan lebih dicintai Allah berbanding ahli ibadah yang bakhil. ” (HR. Al-Tirmidzi dari Abu Hurairah)

Lebih lanjut Rasulullah juga bersabda, “Orang yang dermawan dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan syurga. Sedangkan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka.” (HR. Al-Tirmidzi dari Abu Hurairah)

Pendusta Agama

Terkait dengan “hablim minan naas" atau kepedulian sosial, bahawa Allah Ta’ala memberi stigma kepada orang yang tidak mempunyai kepedulian sosial dengan sebutan “Pendusta agama”.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’un, tentang Pendusta Agama yang ertinya: (1) Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? (2) Itulah orang yang mengherdik anak yatim (3) Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin (4) Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (5) (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya (6) Orang-orang yang berbuat riya (7) Dan enggan (memberikan) bantuan.

Sesuai terjemahan, secara ringkasnya bahawa, pendusta agama adalah orang yang tidak peduli terhadap nasib anak-anak yatim dan fakir miskin (dhuafa).

Ramai orang menyangka bahawa mereka yang tidak peduli terhadap anak yatim dan fakir miskin bererti mereka yang “tidak berbuat kebajikan”, padahal sesungguhnya pendusta agama mempunyai kesan yang sangat besar terhadap amalan ibadah mahdhah yang telah dilakukan.

Menurut para mufassir, termasuk Prof. Dr. Hamka, hakikat “pendusta agama" adalah orang-orang yang “mendustai tiang agama."

Kita tahu bahawa tiang agama ada 5 iaitu: syahadat, solat, zakat, puasa dan haji.

Jadi, bagi orang-orang yang tidak peduli terhadap nasib anak-anak yatim dan orang-orang miskin, maka mereka adalah pendusta agama, bererti mereka telah mendustai syahadatnya, mendustai solatnya, mendustai puasanya, mendustai zakatnya dan mendustai hajinya.

Amalan yang paling disukai Allah

Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling dicintai oleh Allah? Dan amalan apa yang paling dicintai Allah?

Maka Rasulullah bersabda, “Orang yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah yang paling bermanfaat untuk manusia lainnya. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah Azza wa Jalla adalah memasukan kegembiraan ke dalam hati seorang mukmin atau menghilangkan kesusahannya atau membayarkan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya. Dan aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keperluannya itu lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid Nabawi selama sebulan lamanya.” (HR. Ath Thabrani 6/139, dishahihkan Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah 2/575).

Menghayati hadis Nabi tersebut, maka ada 3 intisari, iaitu:

1. Orang yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala BUKANLAH orang yang rajin beribadah ritual (solat, zikir, puasa, haji, dsb), tetapi adalah orang yang banyak terlibat dalam ibadah sosial, bermanfaat bagi masyarakat.

2. Amalan yang paling dicintai Allah adalah menolong saudara muslim yang mengalami kesulitan hidup.

3. Melakukan pekerjaan untuk memenuhi keperluan orang muslim, lebih baik daripada iktikaf di masjid Nabawi selama sebulan.

Sedekah ciri orang bertaqwa

Sedekah merupakan suatu perbuatan yang menjadi salah satu ciri bagi orang bertaqwa.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 2-3 yang ertinya, ”(Al Qur’an) merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: blogkalimana

Friday, October 18, 2019

Manfaat Bekam Dan Penjelasannya Dalam Hadis

Manfaat Bekam Dan Penjelasannya Dalam Hadis

Bekam adalah teknik rawatan dengan cara membuang darah kotor atau racun berbahaya dari dalam tubuh melalui permukaan kulit, namun adakah berbekam itu sunnah atau ia sekadar rawatan biasa yang berkaitan dengan hal keduniaan?

Manfaat Bekam

Bekam sebenarnya merupakan rawatan penyakit yang digalakkan oleh Nabi SAW, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis.

Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Kesembuhan itu ada pada tiga hal: dengan minum madu, pisau hijamah (bekam) dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas.” (Riwayat alBukhari)

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk “al-Sunnah al-Nabawiyyah”, terdapat banyak hadis yang menceritakan berkaitan berbekam.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SA bersabda:

Maksudnya, “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya." -Riwayat al-Bukhari

Daripada Abdullah bin Abbas:

Maksudnya, “Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya.” -Riwayat Muslim

Jika berbekam ini adalah haram, tentu Nabi SAW tidak memberikannya upah.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

"Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam." -Riwayat al-Tirmizi

Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa SAW bersabda yang maksudnya, “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya.” -Riwayat Ahmad

Daripada Abdulla Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa.”

Ulasan ringkas

Jumhur ulama mengatakan dibolehkan mengambil upah untuk berbekam kerana larangan yang terdapat di dalam hadith adalah berbentuk makruh bukannya haram.

Selain itu juga, berbekam tidak membatalkan puasa jika ia dilakukan ketika berpuasa berdasarkan hadith Ibn Abbas r.a.

Tambahan pula, berbekam juga merupakan sebaik-baik perubatan sepertimana yang diberitakan oleh Nabi SAW kepada kita tetapi perlu melihat pada penyakit yang sesuai untuk diubati dengan cara ini.

Hukum berbekam

Terdapat sebahagian para ulama mengatakan bahawa ia adalah sunnah secara mutlak, iaitu sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran sama ada ia berhajat padanya ataupun tidak.

Namun begitu, Dr. ijaj al-Khatib berpendapat bahawa berbekam adalah satu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan sedemikian.

Jika orang yang sakit berbekam dengan pembekam yang berautoriti kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW maka perbuatan tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT tanpa syak lagi.

Adapun bagi sesiapa yang tidak memerlukannya maka tidak akan mendapat pahala daripada Allah SWT melainkan melakukannya hanya sekali seumur hidup disebabkan beramal dengan hadith Nabi SAW yang sahih dan thabit seperti dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

Tarjih

Kami cenderung mengatakan sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Ijaj al-Khatib bahawa berbekam adalah salah satu daripada teknik atau cara perubatan yang diamalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.

Selain itu, kepada sesiapa yang berhajat padanya maka tidak menjadi masalah dan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Manakala kepada sesiapa yang tidak berhajat kepadanya maka tidak akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Ini kerana, di dalam hadis menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukannya apabila Baginda SAW perlu dan bukan setiap masa.

Walapun begitu, setiap orang mempunyai keselesaan dalam perubatan, maka dengan itu, setiap orang boleh membuat pilihannya sendiri selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak dan Islam seperti bertemu bomoh dan perubatan yang berunsur khurafat.

Islam sangat merai dan menitikberatkan soal keselesaan setiap penganutnya agar agama ini tidak dilihat sulit dan menyusahkan kerana ini bertentangan dengan ciri-ciri agama ini iaitu memudahakan.

Waktu Berbekam

Daripada Nafi, daripada Ibn Umar bahawa ia berkata, “Ya Nafi ’, darah saya membeku, carikan untukku seorang pembekam. Kalau boleh carikan pembekam daripada kalangan hamba, jangan mencari orang tua atau kanak -kanak kecil, kerana saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, berbekam kepada seorang hamba itu lebih baik, di dalamnya ada kesembuhan dan barakah, serta menambah kekuatan menghafal.

"Maka berbekamlah untuk mencari berkat Allah pada hari Khamis dan jauhilah berbekam pada hari Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk kepanasan.

"Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa, kerana itu adalah hari ketika Allah sembuhkan Nabi Ayub daripada penyakit dan menguji dengannya dengan penyakit pada hari Rabu.

"Sesungguhnya tidak muncul penyakit sopak dan kusta kecuali pada hari Rabu atau malam Rabu.” (Riwayat Ibn Majah)

Waktu terbaik berbekam ialah pada 15, 17, 19 dan 21 bulan Qamariyah (bulan Melayu).

Berbekam paling baik dilakukan ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksik berhimpun.

Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan menyembuhkan penyakit.

Penutup

Semoga Allah SWT membantu kita dan memberi kekuataan kepada kita agar kita dapat melaksanakan sunnah-sunnah yang diajar dan ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Amin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: addeen

Friday, October 04, 2019

'Aku Adalah Iblis'

'Aku Adalah Iblis'

Seorang pemuda bangun awal pagi untuk pergi mengerjakan solar Subuh. Selepas siap berpakaian, dia mengambil wuduk dan berjalan menuju ke masjid. Dipertengahan jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut tersadung akar kayu lalu terjatuh. Pakaiannya kotor.

Tugas Iblis

Perlahan-lahan dia bangkit sambil berfikir dalam hati, takkanlah dia ingin ke masjid menghadap Allah SWT dengan pakaian yang kotor ini. Pemuda itu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah menukar pakaian.

Sampai dirumah, dia memilih sehelai pakaian bersih menggantikan pakaiannya yang telah kotor. Setelah wuduk dia pun berjalan semula menuju ke masjid.

Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba sekali lagi dia terjatuh ditempat yang sama. Pakaiannya kotor sekali lagi.

Dia lantas bangkit dalam kehairanan. Sekali lagi dia berpatah balik ke rumah untuk membersihkan diri dan menukar pakaian lain. Selesai mengambil wuduk, dia melangkahkan kaki sekali lagi menuju ke masjid.

Dipertengahan jalan, dia terserempak dengan seorang lelaki yang memegang lampu. Pemuda itu bertanya siapakah gerangan lelaki tersebut namun tidak dijawab pertanyaannya.

Sebaliknya, lelaki itu hanya berkata, "Aku sudah melihat engkau jatuh dua kali dalam perjalanan ke masjid tadi jadi, aku bawakan lampu untuk menerangi jalan yang engkau lalui."

Pemuda itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih dan mereka berdua jalan beriringan menuju ke masjid.

Apabila sampai diperkarangan masjid, pemuda tersebut mempelawa lelaki yang membawa lampu itu untuk sama-sama masuk dan solat Subuh bersamanya.

Namun, lelaki itu menolak walaupun pemuda itu mengajak lagi berkali-kali dan jawapannya tetap sama.

Pemuda itu kemudiannya bertanya kenapa dia menolak untuk solat bersamanya.

Lalu lelaki itu menjawab; "Aku adalah IBLIS."

Pemuda tersebut amat terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Iblis berkata lagi, "Aku melihat engkau berjalan ke masjid dan akulah yang membuatkan engkau terjatuh.

"Ketika engkau pulang ke rumah membersihkan diri dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosa-dosamu.

"Ketika aku membuatkan engkau jatuh buat kali kedua dan engkau tetap memutuskan untuk kembali ke masjid, Allah telah memaafkan dosa-dosa seluruh ahli keluargamu.

"Oleh itu aku khuatir jika aku membuatkan engkau jatuh untuk kali ketiga dan engkau tetap ke masjid, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk di kampung ini.

"Kerana itu, kali ini aku harus memastikan bahawa engkau selamat sampai ke masjid."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

"Wanita tidak dijadikan dari urat rambut lelaki untuk dijulang dan dipuji, tidak pula dijadikan dari tapak kaki untuk dihina dan dikeji, tetapi wanita dijadikan dari rusuk kiri yang berada dekat dengan hati untuk didampingi, dilindungi dan juga disayangi."

Kemuliaan Wanita

Begitulah kata-kata indah yang sesuai digambarkan kepada wanita. Wanita bukanlah golongan kelas kedua seperti pandangan yang sentiasa bertapak di fikiran manusia. Mereka hanya dipandang sebagai satu objek untuk melariskan barang jualan dan menjadi pemuas nafsu lelaki.

Justeru itu, kedatangan Islam telah menyelamatkan kedudukan wanita dengan meletakkan taraf mereka setaraf dengan lelaki dari segi peranannya dalam membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Pepatah Melayu ada menyatakan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Selain itu Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh,dari lelaki atau perempuan,sedang ia beriman,maka mereka itu akan masuk syurga,dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (Surah al-Nisa’ : 124)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT telah memartabatkan amalan wanita setaraf dengan amalan lelaki. Jadi tidak layak bagi kita untuk untuk meletakkan garis berbezaan taraf antara lelaki dan wanita seperti yang telah dilakukan oleh kaum jahiliah suatu ketika dahulu dengan menganggap bahawa wanita adalah satu bebanan dan malapetaka bagi mereka.

Mereka juga tanpa ada sifat belas kasihan sanggup membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan. Jadi dengan kedatangan Islam telah mengubah segala tuduhan dan pandangan terhadap kaum wanita.

Seperti yang telah dikatakan oleh Saiyidina Umar al-Khattab r.a. bahawa, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

Al-Quran juga secara khusus telah memberikan penekanan yang luas berkaitan urusan wanita. Allah SWT telah membuktikan bahawa kaum wanita bukanlah kaum untuk ditindas, dengan menamakan satu surah dalam Al-Quran dengan nama al-Nisa’ yang bermaksud surah wanita.

Kandungan surah ini adalah memberi penekanan tentang kepentingan wanita serta pengurusan yang berkaitan dengan wanita seperti nikah kahwin dan penceraian.

Selain itu, dinyatakan juga persoalan hak persamaan antara lelaki dan wanita. Allah SWT telah berfirman:

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).(kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan;(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya.Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa’ : 32)

Dengan yang demikian jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan wanita dengan mendatangkan satu “modul” khas sebagai panduan untuk manusia berfikir tentang kepentingan peranan wanita dalam kehidupan mereka.

Rasulullah Mengangkat Martabat Wanita

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?”

Baginda menjawab, “Ibumu!”

Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bapamu!” (Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim)

Dalam hadith ini Rasulullah mengangkat martabat ibu dari bapa. Ini kerana melihat kepada pengorbanan ibu yang melahir dan mengasuh seseorang anak sehingga menjadi seorang insan. Dalam hadist yang lain pula Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitulah tingginya martabat seorang wanita. Wanita bukanlah makhluk yang boleh dijadikan hamba kepada lelaki tetapi wanita adalah golongan yang setaraf dengan lelaki dari segi nilai kemanusian. Mereka bagaikan adik beradik kita sendiri untuk dikasihi dan disayangi.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Justeru itu sungguh memalukan bagi setiap lelaki yang bergelar suami yang sanggup mendera, menyakiti, dan menghina isteri mereka.

Wanita adalah makhluk yang diciptakan untuk mendapatkan pembelaan dari seorang lelaki dan bukan untuk ditindas oleh lelaki. Jika ada sebarang kekurangan pada mereka, perbetulkanlah secara berhikmah.

Ia diibaratkan seperti membetulkan tulang yang bengkok, jika digunakan kekerasan maka ia akan patah. Jadi ia perlu diurut dengan cermat agar dapat dibetulkan dengan selamat.

Sesungguhnya Allah telah menjadikan wanita itu pasangan untuk lelaki dan bukannya hamba yang boleh ditindas sesuka hati. Lelaki dan perempuan adalah pasangan yang saling melengkapi.

Hal ini merujuk kepada sifat lelaki yang mempunyai fizikal yang kuat, kasar dan tegas, manakala wanita pula diciptakan dengan mempunyai fizikal yang lemah tetapi memiliki hati yang tabah.

Dari perbezaan ini akan lahirnya suatu keserasian yang hebat dalam kehidupan yang berpasangan.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum : 21)

Kewajipan Wanita

Pada hari ini, ketika arus kemodenan menyusur di hadapan mata. Terdapat sebilangan wanita yang telah terpersona dengan apa yang menghiasi mata mereka. Dengan pertambahan serangan barat untuk melemahkan umat Islam melalui media massa dan sebagainya.

Kaum wanita pada hari ini telah bertindak untuk mengatasi kaum lelaki dengan mempersoalkan kuasa-kuasa yang telah ditetapkan oleh Islam kepada lelaki. Sebagai contoh mereka mempersoalkan tentang pembahagian harta pusaka, lafaz cerai, dan juga poligami.

Ini adalah sebahagian dari pandangan golongan liberalism yang telah menyerap masuk ke dalam akal wanita masa kini.

Selain itu kaum wanita pula didedahkan dengan fesyen yang diciptakan oleh barat bagi menjatuhkan kehormatan wanita Muslimah. Sebagai seorang wanita yang beragama Islam mereka wajib menutupi aurat dan perhiasan mereka.

Pakaian yang dipakai adalah untuk menutupi aurat dan perhiasan mereka tetapi apa yang terjadi sekarang, wanita menjadikan pakaian itu sebagai perhiasaan mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak segan silu memakaikan pakaian yang nipis, ketat dan sebagainya. Mereka mudah meniru apa yang dicurahkan oleh musuh Islam kepada mereka.

Hal ini telah diberi peringantan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata. ‘Aku ikut sahaja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik, jika mereka jahat, aku pun jadi jahat.’ Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahawa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya, dan jika orang-orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakannya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Antara kewajipan lain yang patut kepada seorang wanita adalah mentaati suami kerana Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kalau saja aku diperbolehkan memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada selain Allah, niscaya aku akan perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya. Demi Dzat yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya, sungguh seorang isteri itu tidak dikatakan menunaikan hak Rabb-nya hingga ia menunaikan hak suaminya. Kalau saja suami memintanya untuk dilayani, sementara ia sedang berada di atas pelana kendaraan, maka ia tidak boleh menolaknya.” (Riwayat Ibnu Majah, Abu Dawud, Ahmad & Ad Darimi)

Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud:

Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah istighfar. Karana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka ? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami." (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dll)

Wanita pula berperanan mendidik dan mengasuh anak-anak beliau supaya menjadi seorang yang berguna dan beriman kepada Allah.

Mereka juga perlulah memperbanyakkan amal makruf dan nahi munkar kerana ia bukan hanya di wajibkan keatas lelaki sahaja seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah : 71)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: arasmega

Friday, August 23, 2019

Memahami Hak Suami-Isteri Dalam Islam

Memahami Hak Suami-Isteri Dalam Islam

Jikalau kita mencinta janganlah sampai kita merasa memiliki kerana apabila yang kita cintai tiada, maka kita akan merasa kehilangan yang teramat sangat. Ikhlaskanlah segalanya pada Allah dan yakin akan janjinya. Apa pun yang diberikan, itulah yang terbaik untuk kita.

Hak Suami-Isteri
Gambar hiasan.

Begitulah juga dalam kehidupan rumahtangga. Bukanlah peranan isteri 100% memastikan semua orang dalam rumah gembira dan mendapat layanan ‘first class’.

Sebaliknya, tugas ini turut dikongsi dengan suami yang bertindak sebagai pemimpin rumah tangga.

Yang penting, suami isteri perlu berfungsi sebagai satu unit yang saling menjaga maruah dan integriti masing-masing, kerana dengan jalinan kasih sayang dan persefahaman, anda akan merasa bahagia walaupun penat.

HAK SUAMI-ISTERI

Hak Suami atas isteri

Wahai isteri yang solehah, ini adalah hak-hak suami atasmu. Bersungguh-sungguhlah dalam menunaikan hak-hak tersebut dan lupakanlah jika suamimu kurang dapat memenuhi hak-hakmu kerana sesungguhnya yang demikian itu akan dapat merapatkan cinta dan kasih sayang di antara kalian, dapat memelihara keharmonian rumah tangga sehingga dengannya masyarakat akan menjadi baik pula.

1. Wanita yang cerdas dan pandai akan mengagungkan apa yang telah diagungkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan menghormati suaminya dengan sebenar-benarnya, ia bersungguh-sungguh untuk selalu taat kepada suami kerana ketaatan kepada suami termasuk salah satu di antara syarat masuk Surga.

Rasulullah SAW, “Apabila seorang wanita mahu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat terhadap suaminya, maka akan dikatakan kepadanya (di akhirat), ‘Masuklah ke Syurga dari pintu mana saja yang engkau kehendaki.” [Shahih: Shahiih al-Jaami'ish Shaghiir (no. 660), Ahmad (XVI/228, no. 250)]

Maka kewajibanmu sebagai seorang isteri, wahai para wanita solehah, adalah untuk selalu mendengar dan taat terhadap setiap perintah suami selama tidak menyelisihi syari’at.

Akan tetapi berhati-hatilah, jangan sampai engkau berlebih-lebihan dalam mentaati perintah suami sehingga mahu mentaatinya dalam kemaksiatan.

Kerana sesungguhnya jika melakukan hal tersebut, maka engkau telah berdosa.

2. Di antara hak suami atas isteri, seorang isteri harus menjaga kehormatan dan memelihara kemuliaannya serta mengurus harta, anak-anak dan segala hal yang berhubungan dengan pekerjaan dirumah.

Sebagaimana firman Allah Ta’ala, “Sebab itu, maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” [QS. An-Nisaa': 34]

Dan sabda Rasulullah SAW, “Dan seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” [Muttafaq 'alaih: Shahiih al-Bukhari (II/380 no. 893), Shahiih Muslim (III/1459 no. 1829)]

3. Berhias dan memperindah diri untuk suami, selalu senyum dan jangan bermuka masam di depannya dan jangan sampai menampakkan keadaan yang tidak ia sukai.

At-Thabrani telah mengeluarkan sebuah hadits dari ‘Abdullah bin Salam r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik isteri ialah yang engkau senang jika melihatnya, taat jika engkau perintah dan menjaga dirinya dan hartamu di saat engkau pergi.” [Shahiih: Shahiih al-Jaami'ish Shaghiir (no. 3299)]

Janganlah engkau sekali-kali menampakkan perhiasan pada orang yang tidak boleh melihatnya, kerana hal itu adalah merupakan perkara yang diharamkan.

4. Isteri harus selalu berada di dalam rumahnya dan tidak keluar meskipun untuk pergi ke masjid kecuali atas izin suami.

Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.” [QS. Al-Ahzaab: 33]

5. Janganlah seorang isteri memasukkan orang lain ke dalam rumah kecuali atas izinnya. Rasulullah SAW bersabda, “Hak kalian atas para isteri adalah agar mereka tidak memasukkan ke dalam kamar tidur kalian orang yang tidak kalian sukai dan agar mereka tidak mengizinkan masuk ke dalam rumah kalian bagi orang yang tidak kalian sukai.” [Hasan: Shahiih Sunan Ibni Majah (no. 1501), Sunan at-Tirmidzi (II/315 no. 1173), Sunan Ibni Majah (I/594 no. 1851)]

6. Isteri harus menjaga harta suami dan tidak menginfaqkannya kecuali dengan izinnya.

Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang isteri menginfaqkan sesuatu pun dari harta suaminya kecuali atas izinnya.” Kemudian ada yang bertanya, “tidak juga makanan?” Beliau menjawab, “bahkan makanan adalah harta yang paling berharga.” [Hasan : Shahiih Sunan Ibni Majah (no. 1859), Sunan at-Tirmidzi (III/293 no. 2203), Sunan Abi Dawud (IX/478 no. 3548), Sunan Ibni Majah (II/770 no. 2295)]

Bahkan di antara hak suami atas isteri adalah agar ia tidak menginfaqkan harta miliknya jika ia mempunyai harta kecuali jika suami mengizinkannya kerana dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang isteri menggunakan sesuatu pun dari hartanya kecuali dengan izin suaminya."

[Dikeluarkan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah (no. 775), beliau berkata, "Telah dikeluarkan oleh Tamam dalam al-Fawaa-id (II/182 no. 10) dari jalan 'Anbasah bin Sa'id dari Hammad, maula (budak yang dibebaskan). Bani Umayyah dari Janaah maula al-Walid dari Watsilah, ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda, kemudian ia menyebutkan hadis tersebut." Beliau (al-Albani) berkata, "Sanad hadis ini lemah, akan tetapi ada beberapa riwayat penguat yang menunjukkan bahawa hadis ini adalah tsabit."]

7. Janganlah seorang isteri melakukan puasa sunat sedangkan suami berada di rumah kecuali dengan izinnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Tidak boleh bagi isteri melakukan puasa (sunat) sedangkan suaminya ada kecuali dengan izinnya.” [Mutaffaq 'alaih: Shahiih al-Bukhari (IX/295 no. 5195), Shahiih Muslim (no. 1026)]

8. Janganlah seorang isteri mengungkit-ungkit apa yang pernah ia berikan dari hartanya untuk suami mahupun keluarga kerana menyebut-nyebut pemberian akan dapat membatalkan pahala.

Allah Ta’ala berfirman, “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan (si penerima).” [QS. Al-Baqarah: 264]

9. Isteri harus redha dan menerima apa adanya, janganlah ia membebani suami dengan sesuatu yang ia tidak mampu.

Allah Ta’ala berfirman, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” [QS. Ath-Thalaq: 7]

10. Isteri harus bersungguh-sungguh mendidik anak-anaknya dengan kesabaran. Janganlah ia marah kepada mereka di depan suami dan jangan memanggil mereka dengan kejelekan mahupun mencaci-maki mereka kerana yang demikian itu akan menyakiti hati suami.

11. Isteri harus dapat berbuat baik kepada kedua orang tua dan kerabat suami kerana sesungguhnya isteri tidak dianggap berbuat baik kepada suami jika ia memperlakukan orang tua dan kerabatnya dengan kejelekan.

12. Janganlah isteri menolak jika suami mengajaknya melakukan hubungan intim kerana Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tapi ia menolak untuk datang lalu sang suami marah sepanjang malam maka para Malaikat melaknatnya (isteri) hingga datang waktu pagi.” [Muttafaq 'alaih: Shahiih al-Bukhari (IX/294 no. 5194), Shahiih Muslim (II/1060 no. 1436), Sunan Abu Dawud (VI/179 no. 2127)]

Dan di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang suami mengajak isterinya untuk berhubungan intim, maka hendaknya isteri melayaninya meskipun ia sedang berada di atas unta.” [Shahih: Shahiih al-Jaami' as-Shaghiir 534, Sunan at-Tirmidzi (II/314 no. 1160)]

13. Isteri harus menjaga rahsia suami dan rahsia rumah tangga, janganlah sekali-kali ia menyebarluaskannya.

Dan di antara rahsia yang sering diremehkan oleh isteri sehingga ia menyebarluaskannya kepada orang lain, iaitu rahsia yang terjadi di ranjang suami isteri. Sungguh Rasulullah SAW telah melarang hal demikian.

14. Isteri harus selalu bersungguh-sungguh dalam menjaga kelangsungan kehidupan rumah tangga bersama suaminya, janganlah ia meminta cerai tanpa ada alasan yang disyari’atkan.

Dari Tsauban r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Isteri mana saja yang minta cerai dari suaminya tanpa adanya alasan, maka ia tidak akan mencium bau wanginya Surga.” [Shahih: Irwaa-ul Ghaliil (no. 2035), Sunan at-Tirmidzi (II/329 no. 1199), Sunan Abi Dawud (VI/308 no. 2209), Sunan Ibni Majah (I/662 no. 2055)]

Dan dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Para isteri yang minta cerai adalah orang-orang yang munafik.” [Shahih: Shahiih al-Jaamii'ish Shaghiir (no. 6681), Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah (no. 632), Sunan Tirmidzi (II/329 no. 1198)]

Hak Isteri Atas Suami

Berikut ini adalah beberapa hak-hak isteri atas suami, namun ketahuilah wahai para isteri yang solehah, hendaknya engkau melupakan kekurangan suami dalam hal memenuhi hak-hak mereka.

Kemudian, hendaklah menutupi kekurangan suami tersebut dengan bersungguh-sungguh dalam mengabdikan diri untuk suami kerana dengan demikian, kehidupan rumah tangga yang harmonis akan dapat kekal dan abadi.

Dan hak-hak istri atas suaminya adalah:

1. Suami harus memperlakukan isteri dengan cara yang ma’ruf kerana Allah Ta’ala telah berfirman, “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.” [QS. An-Nisaa': 19]

Iaitu, dengan memberinya makan apabila ia juga makan dan memberinya pakaian apabila ia berpakaian. Mendidiknya jika takut ia akan derhaka dengan cara yang telah diperintahkan oleh Allah dalam mendidik isteri, iaitu dengan cara menasihatinya dengan nasihat yang baik tanpa mencela dan menghina mahupun menjelek-jelekannya.

Apabila ia (isteri) telah kembali taat, maka berhentilah, namun jika tidak, maka pisahkanlah ia di tempat tidur. Apabila ia masih tetap pada kederhakaannya, maka pukullah ia pada selain muka dengan pukulan yang tidak melukai sebagaimana firman Allah: “Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” [QS. An-Nisaa': 34]

Dan juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW tatkala ditanya apakah hak isteri atas suaminya? Beliau menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan, engkau memberinya pakaian jika engkau berpakaian, janganlah memukul wajah dan janganlah menjelek-jelekkannya serta janganlah memisahkannya kecuali tetap dalam rumah.” [Shahih: Shahiih Sunan Ibni Majah (no. 1500), Sunan Abi Dawud (VI/180, no. 2128, Sunan Ibni Majah (I/593 no. 1850)]

Sesungguhnya sikap lemah lembut terhadap isteri merupakan indikasi sempurnanya akhlak dan bertambahnya keimanan seorang mukmin, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling bagus akhlaknya dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” [Hasan Shahih: Shahiih Sunan at-Tirmidzi (no. 928), Sunan at-Tirmidzi (II/315 no. 1172)]

2. Suami harus bersabar dari celaan isteri serta mahu memaafkan kekhilafan yang dilakukannya kerana Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang mukmin membenci mukminah. Apabila ia membencinya kerana ada satu perangai yang buruk, pastilah ada perangai baik yang ia sukai.” [Muttafaq 'alaih: Shahiih al-Bukhari (IX/253 no. 5186), Shahiih Muslim (II/ 1091 no. 1468 (60)]

Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Ketahuilah bahawasanya tidak disebut akhlak yang baik terhadap isteri hanya dengan menahan diri dari menyakitinya namun dengan bersabar dari celaan dan kemarahannya.”

3. Suami harus menjaga dan memelihara isteri dari segala sesuatu yang dapat merosak dan mencemarkan kehormatannya, iaitu dengan melarangnya dari berpergian jauh (kecuali dengan suami atau mahramnya).

Melarangnya berhias (kecuali untuk suami) serta mencegahnya agar tidak berikhtilath (bercampur baur) dengan para lelaki yang bukan mahram.

Suami berkewajiban untuk menjaga dan memeliharanya dengan sepenuh hati. Ia tidak boleh membiarkan akhlak dan agama isteri rosak.

Ia tidak boleh memberi kesempatan baginya untuk meninggalkan perintah-perintah Allah ataupun bermaksiat kepada-Nya kerana ia adalah seorang pemimpin (dalam keluarga) yang akan diminta pertanggungjawaban tentang isterinya.

Ia adalah orang yang diberi kepercayaan untuk menjaga dan memeliharanya.

4. Suami harus mengajar isteri tentang perkara-perkara penting dalam masalah agama atau memberinya izin untuk menghadiri majlis-majlis taklim.

Kerana sesungguhnya keperluan isteri untuk memperbaiki agama dan mensucikan jiwanya tidaklah lebih kecil dari keperluan makan dan minum yang juga harus diberikan kepadanya.

5. Suami harus memerintahkan isterinya untuk mendirikan agamanya serta menjaga solatnya, berdasarkan firman Allah Ta’ala, “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” [QS. Thahaa: 132]

6. Suami mahu mengizinkan isterinya keluar rumah untuk keperluannya, seperti jika ia ingin solat berjama’ah di masjid atau ingin mengunjungi keluarga, namun dengan syarat menyuruhnya tetap memakai hijab dan melarangnya untuk tidak bertabarruj atau sufur.

Sebagaimana ia juga harus melarang isteri agar tidak memakai wangi-wangian serta memperingatkannya agar tidak ikhtilath dan tidak bersalam-salaman dengan lelaki yang bukan mahram, melarangnya menonton tv dan mendengarkan muzik serta nyanyian-nyanyian yang diharamkan.

7. Suami isteri tidak boleh menyebarkan rahsia dan menyebutkan kejelekan-kejelekan isteri di depan orang lain.

Kerana suami adalah orang yang dipercaya untuk menjaga isterinya dan dituntut untuk dapat memeliharanya.

Di antara rahsia suami isteri adalah rahsia yang mereka lakukan di atas ranjang. Rasulullah SAW melarang keras agar tidak mengumbar rahasia tersebut di depan umum.

8. Suami mahu bermusyawarah dengan isteri dalam setiap permasalahan, terlebih lagi dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan mereka berdua, anak-anak, sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Beliau selalu bermusyawarah dengan para isterinya dan mendengar pendapat mereka.

9. Suami harus segera pulang ke ruamh isteri setelah solat Isya. Janganlah ia berada di luar rumah sampai larut malam.

Kerana hal itu akan membuat hati isteri menjadi gelisah. Apabila hal itu berlangsung lama dan sering berulang-ulang, maka akan terlintas dalam benak isteri rasa waswas dan keraguan.

Bahkan di antara hak isteri atas suami adalah untuk tidak keluar malam dan jauh dari isteri walaupun untuk melakukan solat sebelum dia menunaikan hak isterinya.

10. Suami harus berlaku adil terhadap isterinya jika ia mempunyai lebih dari satu isteri.

Iaitu berbuat adil dalam hal makan, minum dan pakaian, tempat tinggal dan dalam hal tidur seranjang. Ia tidak boleh sewenang-wenang atau berbuat zalim kerana sesungguhnya Allah Ta’ala melarang yang demikian.

Sumber: ‘Al-Wajiiz fii Fiqhis Sunnah wal Kitaabil ‘Aziiz’ edisi Bahasa Indonesia ‘Panduan Fiqih Lengkap Jilid 2′ karya ‘Abdul ‘Azhim bin Badawi al-Khalafi, Pustaka Ibnu Katsir

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, August 19, 2019

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Perbincangan mengenai perkara cabang dalam isu agama semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat Islam ketika ini dan pada asasnya ia positif kerana dapat meningkatkan pemahaman kepada aspek agama itu sendiri.

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Namun, sudah lumrah apabila bercakap tentang perkara cabang pasti akan muncul perbezaan pandangan sama ada dikalangan agamawan apatah lagi khalayak awam.

Perbezaan pandangan dalam isu khilafiah ini perlu diuruskan sebaik mungkin agar tidak menjadi barah dalam kalangan masyarakat Islam.

Perkara pokok atau utama sudah disepakati bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dibenarkan.

Umpamanya, dalam isu keEsaan Allah tidak boleh ada perbezaan pandangan, begitu juga dengan kedudukan dalil-dalil yang bersifat definitif atau qatie perlulah diterima seadanya.

Namun, fleksibiliti diberikan di dalam perkara cabang dengan meraikan pandangan yang berbeza selagi tidak melibatkan perkara akidah ataupun perkara pokok.

Walaupun demikian kita perhatikan terdapat kegagalan dikalangan orang Islam meraikan perbezaan pandangan sama ada pandangan antara mazhab atau ulama di sesuatu tempat.

KEGAGALAN RAI PERBEZAAN

Misalnya, apabila Mufti Kerajaan Negeri Perlis mengeluarkan fatwa zikir menari adalah haram di sisi hukum syarak, tetapi Mufti Negeri Sembilan pula memfatwakan sebagai harus.

Maka, hebohlah seluruh negara membincangkan perkara ini dengan masing-masing memberi pelbagai hujah sama ada menyebelahi Mufti Perlis atau Mufti Negeri Sembilan.

Kita bukanlah orang yang layak membincangkan hal fatwa ini kerana tidak mempunyai kelayakan formal di dalam bidang agama dan tidak ada kuasa memberi pandangan berkaitan hukum.

Tetapi, apa yang ingin dikupas di ruangan ini ialah dari sudut menguruskan perbezaan pandangan atau pun adab al ikhtilaf.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak perbezaan pandangan muncul dalam Islam dan sepatutnya bukan merupakan kelemahan tetapi kekuatan untuk agama Islam itu sendiri.

Sudah lazim kita ketahui terdapat empat mazhab fikah yang besar di dalam Islam iaitu Mazhab Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Kemunculan empat mazhab besar ini menzahirkan simbol perbezaan pandangan dikalangan ulama.

Malah, Imam Shafie pun mempunyai perbezaan pandangan yang disebut sebagai qaul al qadim dan qaul al jadid.

Dahulu perbezaan pandangan antara mazhab dan ulama ini diraikan dengan baik, tidak timbul sumpah seranah, momokan atau hinaan terhadap suatu pandangan yang asing bagi seseorang itu.

Namun, sejak kebelakangan ini hilangnya penghormatan terhadap perbezaan pandangan ini semakin menjadi-jadi.

Perbezaan pandangan sebegini bukan hanya terjadi di dalam agama Islam sahaja, Kristian umpamanya juga mempunyai perbezaan dalam kalangan pengikutnya yang mengakibatkan munculnya pelbagai aliran Kristian seperti Katolik, Protestan, Ortodoks, Methodist dan banyak lagi namun, mereka semua mengakui mereka adalah Kristian.

Antara perbezaan yang sangat ketara iakah perayaan Krismas yang disambut pada 25 Disember setiap tahun.

Penganut Kristian Ortodoks tidak menyambut perayaan tersebut pada 25 Disember, tetapi pada 7 Januari, perbezaan sambutan selama dua minggu tetapi tidak menjadi masalah besar kepada penganut Kristian.

Bagi kalangan umat Islam pula apabila umat Islam di Malaysia menyambut hari raya lebih dahulu daripada umat Islam di Indonesia umpamanya ataupun sebaliknya pelbagai reaksi diperoleh dengan menghujahkan tidak ada kesatuan di dalam agama Islam.

TIDAK PERLU DIPERBESARKAN

Islam mengajar menghormati perbezaan pandangan dalam perkara berkenaan dan mungkin sebahagian golongan tidak lunak duduk bersama dengan orang yang berbeza pandangan dengan mereka tetapi haruslah disedari perbezaan pandangan inilah yang menjadikan agama Islam itu lebih anjal dan dapat diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Di dalam kitab Jaami Bayan al ilm, Umar Abdul Aziz berkata, “Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeza pendapat kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan.”

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mohd. Zin pernah menggariskan adab-adab berbeza pandangan di dalam perkara khilafiah di mana beliau merangkumkan ke dalam empat perkara besar iaitu:

Perbezaan pendapat janganlah membawa kepada perpecahan umat Islam.

Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam, tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam.

Menjaga hak-hak persaudaraan Islam

Hasan al-Banna menegaskan: “Perbezaan pendapat dalam masalah furu’ (cabang) tidak boleh dijadikan sebab untuk berpecah dalam agama yang membawa kepada permusuhan dan pertengkaran kerana setiap mujtahid ada ganjarannya."

Menghormati pendapat berbeza

Imam al-Shafie adalah antara tokoh yang sangat terbuka, bertoleransi dan menghormati pendapat serta pandangan orang lain.

Beliau sangat terkenal dengan ungkapannya ‘pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul.’

Boleh dianggap taksub melulu dalam kalangan umat Islam sekiranya terlalu menghendaki orang lain menerima pendapatnya.

Kerana mereka percaya pendapat mereka sahaja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya salah dan tidak menepati kebenaran.

Golongan ini lupa bahawa pendapat mereka hanya satu ijtihad sahaja, hanya merupakan satu pandangan yang boleh jadi salah dan boleh jadi betul.

Oleh itu kenapa mereka fanatik dan memperbodohkan pendapat orang lain. Adakah mereka dijamin ismah (tidak melakukan kesalahan) seperti Rasulullah SAW?

Tidak menggunakan perkataan keras dan kasar

Orang Islam hendaklah menjadi orang beradab dengan adab-adab Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak al-Quran dan al-Sunah, mengelakkan daripada membuat dakwaan palsu dan tuduhan liar dalam ucapan dan tulisan serta kata-kata kesat dan kasar yang boleh ‘meliarkan’ orang ramai.

Gunakanlah perkataan yang lembut dan membuat takwilan yang wajar dan munasabah.

Menguruskan perbezaan pandangan ini amatlah penting bagi umat Islam kerana kegagalan menguruskannya mungkin akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kancah perpecahan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Tuesday, August 13, 2019

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Suatu hari, seorang dari Bani Israil menemui Musa dan kemudian bertanya, “Wahai Nabiyullah, adakah di dunia ini orang yang lebih berilmu darimu?” Tersentak, Nabi Musa a.s. pun menjawab, “Tidak”.

Kisah Nabi Khidir
Gambar hiasan.

Tentu saja, siapa yang mampu menandingi ilmu Nabi Musa, utusan Allah kala itu. Sumber tuntunan agama dan sumber pengetahuan wahyu Allah ada di genggaman Musa. Ia memiliki Taurat dan pelbagai mukjizat dari-Nya.

Namun, rupanya Allah memiliki hamba lain selain Musa yang lebih berilmu. Allah pun menegur dengan mewahyukan pada Musa bahawa tak seorang pun di muka bumi yang mampu menguasai semua ilmu.

Selain Nabi Musa, di bumi ini terdapat seseorang yang memiliki ilmu luar biasa. Ilmu yang tidak dimiliki Nabi Musa sekalipun.

Mengetahui hal tersebut, Nabi Musa pun ingin berguru kepada orang tersebut. Ia bersemangat ingin menuntut ilmu dan menambah pengetahuannya.

Walau bagaimanapun, Nabi Musa yang mempunyai ilmu syariat sekalipun bingung dengan tiga tindakan Nabi Khidir yang nampak seperti bersalahan dengan syariat tetapi mempunyai hikmah mendalam yang tidak difahami oleh Nabi Musa.

Tiga tindakan Nabi Khidir tersebut adalah seperti berikut:

1. Tindakan pertama Nabi Khidir ialah merosakkan perahu yang mereka tumpangi

Hikmah yang terkandung di dalam tindakan ini ialah perahu tersebut dimiliki oleh orang miskin dan di hujung sungai tersebut terdapat seorang raja yang akan merampas perahu yang elok dan perahu yang telah rosak tersebut tidak akan dirampas oleh raja tersebut.

Tindakan Nabi Khidir ini sebenarnya mempunyai pesanan yang tersirat untuk umat akhir zaman.

Di akhir zaman ini, ramai orang yang sudah kaya seperti seorang raja, tapi masih lagi ingin bertambah kaya dengan mengambil harta orang lain.

Walau bagaimanapun, cara mereka mengambil harta orang lain tersebut bukanlah dengan secara kasar seperti merampas bahkan dengan secara halus seperti riba.

Sistem riba adalah sistem yang diharamkan oleh Allah SWT tetapi umat akhir zaman sudah menjadi biasa dengan sistem tersebut lalu menerima sistem riba sebagai keperluan hidup.

Tahukah anda hutang rumah yang berharga RM500,000 setelah dibayar kembali melalui sistem riba hutang selama 40 tahun, anda akan membayar sebanyak RM1,500,000?

Dan bunga sebanyak satu juta itu dibayar oleh orang miskin yang tidak mampu membeli rumah secara tunai kepada orang yang sudah kaya iaitu pemilik bank yang sudah kaya-raya.

Oleh yang demikian, lebih baik kita umat akhir zaman ini bersederhana dalam memiliki harta, umpama memiliki perahu yang sudah bocor.

Dan sekurang-kurangnya perahu kita yang bocor itu tidak akan dirampas oleh raja yang zalim.

2. Tindakan kedua Nabi Khidir ialah membunuh seorang budak yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan

Hikmah yang terkandung di dalam perbuatan ini ialah budak tersebut apabila dewasa akan menjadi seorang yang jahat dan akan menyusahkan ibu bapanya.

Sedangkan ibu bapa budak tersebut akan mendapat seorang anak lain yang apabila dewasa akan menjadi seorang yang soleh dan menggembirakan ibu bapanya.

Pesanan yang tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang kesusahan ibu bapa di akhir zaman ini untuk mendidik anak agar menjadi seorang yang soleh.

Terdapat banyak cabaran bagi ibu bapa untuk mendidik anaknya di akhir zaman kerana perkara yang buruk dan negatif sangat senang diperolehi di akhir zaman, melalui televisyen, internet dsb.

Kanak-kanak akhir zaman akan terdedah kepada budaya negatif seperti couple, zina, gay, lesbian, dadah, bohsia, bohjan, rempit dan bermacam-macam lagi.

Sekiranya anak yang dididik dengan nilai agama oleh ibu bapanya menjadi seorang yang jahat, apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapanya?

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah tertakluk kepada hukum syariat dan tidak boleh membunuh seorang jiwa tanpa hak kecuali melalui hukum Qisas dsb.

Oleh yang demikian, perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tersebut adalah memutuskan hubungan dengan anak tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan nabi Khidir ini adalah peringatan kepada umat akhir zaman bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat berat dalam mendidik anak-anak mereka.

3. Tindakan ketiga Nabi Khidir ialah membaiki tembok yang hampir runtuh di sebuah kampung di mana penduduk kampung tersebut sangat kedekut dan tidak memberikan mereka makanan mahupun tempat berlindung

Hikmah disebalik tindakan Nabi Khidir ini ialah di bawah tembok tersebut tertanam harta anak yatim.

Sekiranya tembok itu runtuh, harta anak yatim tersebut akan dijumpai oleh penduduk kampung tersebut dan akan dirampas mereka.

Dengan membaiki tembok tersebut, anak yatim tersebut akan menjumpai harta tersebut setelah mereka dewasa.

Pesanan tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang sedikit sekali orang yang amanah di akhir zaman ini.

Seumpama bapa anak tersebut yang terpaksa menanam hartanya di bawah tembok kerana tiada seorangpun yang amanah di kampungnya yang boleh diamanahkan harta tersebut.

Kita sebagai umat akhir zaman lebih baik mengamanahkan harta yang kita ada kepada institusi yang kukuh seperti Tabung Haji, Amanah Raya dan sebagainya, yang diumpamakan sebagai tembok yang kukuh daripada kepada seorang individu kerana sangat sedikit individu yang amanah di akhir zaman ini.

Walau bagaimanapun, insitusi yang kukuh seperti Tabung Haji pun sebenarnya hampir runtuh selepas dipegang oleh mereka yang tidak amanah.

Surah Al Kahfi pelindung dari Dajjal

Nabi Khidir yang mempunyai ilmu Laduni iaitu ilmu tentang masa hadapan yang diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, kisah tentang Nabi Khidir dan Nabi Musa ini mempunyai pesanan tersirat untuk umat akhir zaman.

Semoga kita sebagai umat akhir zaman mendapat manfaat dari kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa ini.

(Ceramah Sheikh Imran Hosein - Khidr and Akhirulzaman)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, July 19, 2019

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing.

Gangguan Was-was

Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya?

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan

Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was

Tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing

Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan

Dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94)

Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid).

Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat

Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?

Jawab Nabi SAW:

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira.

Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini

Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua?

Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah.

Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah

Firman Allah:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

Maksudnya, “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: "Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. (Surah Taha: 120-121)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook