Nov 3, 2016

Apa Sebenarnya Isteri Mahu Dari Suami?

Dengar. Walaupun anda sudah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri, itu tidak bermakna tugas anda telah selesai.

Romantik

Itu masih belum cukup bagi perempuan yang bergelar isteri.

Sebagai lelaki, kita akui memang sukar untuk memahami apa yang sebenarnya wanita mahukan daripada kita.

Tindakan mereka selalu bercanggah dan kata-kata mereka selalu mengelirukan.

Mereka tidak memberitahu kita apa yang mereka mahu dari kita.

Mereka selalu mengharapkan suami faham sendiri dan sentiasa hidup dengan berteka-teki tentang apa yang mereka rasa.

Perempuan bila tak dipujuk, dia marah. Dan bila dah dipujuk, dia semakin merajuk.

Ada masanya, isteri akan menjadi sangat sensitif. Tiba-tiba boleh menjadi pemarah, keras kepala dan kadangkala menangis tanpa sebab yang pasti.

Memeningkan bukan?

Apa yang perempuan mahu sebenarnya? Mengapa perempuan begitu?

Tapi secara realitinya, memahami hati seorang isteri sebenarnya tidaklah rumit.

Sebenarnya, apa yang wanita mahu adalah ingin berasa selamat, ingin rasa ada ikatan emosi dan merasa yakin bahawa kita akan bersama mereka untuk seumur hidup.

Ada beberapa perkara menarik yang ingin kami kongsikan mengenai wanita, khususnya isteri.

Berminat untuk tahu?

1. Isteri laparkan perhatian

Berapa kali anda buat kerja lain apabila berbual dengan mereka?

Adakah anda selalu menjawab soalan mereka secara sambil lewa dan menjawab lain apa yang ditanya?

Sebenarnya sifat semulajadi wanita adalah mereka sangat menghargai setiap waktu yang mereka luangkan bersama kita.

Mereka mahu kita memberi perhatian dan terlibat sepenuhnya setiap saat dengan mereka. Dengan erti kata lain, mereka laparkan perhatian.

Sebagai suami, seboleh-bolehnya luangkan masa untuk isteri anda. Fokus kepada mereka.

Suami biasanya lebih fokus terhadap kerja, sepanjang hari dan sepanjang malam.

Perkara begini selalu membuatkan isteri rasa terabai.

Sekarang, setelah mengetahui perkara ini, cubalah mengimbangi masa bekerja dan masa untuk isteri.

Alhamdulillah, tindakan ini akan memberi impak kepada kemesraan suami isteri.

Perkara ini mungkin agak sukar bagi suami yang selalu bekerja lebih masa, tetapi luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari akan memberi makna yang besar terhadap isteri.

Yang penting, gunakan waktu tersebut untuk memberi perhatian sepenuhnya terhadap mereka.

2. Suami yang sentiasa tenang

Wanita menghargai seorang suami yang dapat mengawal emosi dan terbuka untuk membincangkan isu-isu tanpa meninggikan suara atau mengelakkan diri.

Kematangan emosi dan fikiran adalah apa yang wanita mahu dari kita lebih daripada apa-apa perkara lain.

Menurut Imam Ghazali, jadilah seorang suami yang halim.

‘Halim’ maknanya ialah “sabar”, tidak cepat marah ketika isterinya kurang akal.

Bilakah seorang isteri kurang akal? Yakni ketika isterinya sedang marah.

Lalu dia bersabar, maka itulah suami yang paling baik..

Jadi, dengar apa yang dikatakan isteri tanpa prejudis dan ambil hati.

Mendengar akan membantu isteri melepaskan perasaan yang terpendam, yang mengganggu emosinya.

Walaupun anda tidak mampu menyelesaikan masalahnya, dengar dan fahamkan mereka dengan sepenuh hati.

3. Mampu merendahkan diri

Kebanyakkan suami (lelaki), kita tidak dapat lari masalah ego.

Memang benar, didalam rumah tangga, kita adalah ketua keluarga. Kita mahu kelihatan lebih dihormati dan membuktikan kita adalah pemimpin terbaik.

Namun, jangan disebabkan ini, kita menjadi seorang yang angkuh, meninggi diri dan kasar.

"Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” Hadis riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani

Apa yang isteri perlukan adalah seorang suami yang merendah diri, adil dan sopan dalam melayani isteri.

Jangan sesekali memandang rendah atau menghina mereka dan juga ahli keluarga mereka.

Isteri adalah sahabat kita, beri mereka penghormatan yang sewajarnya.

Jagalah hati mereka, Insyaa Allah dengan keberkatan akan hadir rumah tangga anda.

4. Boleh mempamerkan kelembutan (gentleman)

Memang bukan dalam sifat kita lelaki untuk lembut dan gemalai.

Secara normalnya, lelaki selalu sedikit kasar. Baik dari segi pergaulan, percakapan dan tindakan.

Tetapi apabila berkisar tentang rumahtangga, lemah lembut dalam perkataan, pemikiran, dan tindakan akan memberi banyak keharmonian dalam rumahtangga.

"Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” Surah al-Nisa’ ayat 19.

Layanlah isteri dengan penuh hormat. Berbuat baik dan bercakaplah dengan perkataan yang lembut.

5. Suami yang kuat

Wanita sukakan lelaki yang kuat, tapi bukan bermakna kita harus memukul orang lain yang buat silap dan tergesa-gesa menyelesaikan masalah.

Kekuatan yang sebenarnya adalah mampu bersabar, mampu mendengar luahan isteri dan berupaya serta tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup yang muncul.

Tunjukkan kepada isteri anda bahawa anda sentiasa ada disisinya untuk setiap waktu.

Inilah kekuatan sebenar yang diperlukan oleh seorang isteri.

6. Sentiasa jelas dalam menyelesaikan masalah

Kebanyakan lelaki cenderung untuk tidak fikir berlebih-lebih atau merumitkan sesuatu perkara.

Kita kurang bimbang tentang apa yang orang lain fikir dan tidak menghabiskan banyak masa risau tentang perkara yang kita tidak pasti.

Teruskan untuk memudahkan sesuatu perkara dengan mencari jawapan yang mudah dalam situasi yang kompleks dan membawa perspektif yang jelas dalam sebarang masalah.

7. Humor

Life’s too serious already. Kadangkala isteri mahu juga ketawa. Humor adalah cara yang baik untuk mengurangkan ketegangan.

Jika anda seorang yang pandai buat lucu, selalulah berjenaka dalam hubungan rumahtangga anda.

Jika anda bukan jenis kelakar, maka berkongsilah perkara-perkara yang anda rasa lucu dengan isteri anda.

Ketawa mampu merapatkan jarak diantara dua hati.

8. Menunjukkan kasih sayang

Isteri sukakan perkara-perkara kecil, seperti gerak isyarat yang menunjukkan kepada mereka bahawa kita berfikir tentang mereka.

Ya, perkara ini mungkin seperti mesej whatsapp yang sweet yang tidak dijangka olehnya

Belikan makanan kegemaran atau membuat sesuatu perkara untuknya tanpa perlu diminta.

Perkara lain yang mungkin boleh dilakukan termasuk memberi hadiah tanpa sebab, menampalkan nota terima kasih di cermin atau bawa dia makan diluar sekali-sekala.

9. Beri penghargaan kepada isteri

Banyak yang pasangan kita lakukan dalam rumahtangga tidak kita sedari.

Kebanyakan suami dan isteri cepat menyalahkan pasangan mereka dengan rungutan dan bebelan, tetapi jarang pula untuk berkongsi apa yang mereka suka dengan pasangan mereka.

Isteri biasanya membahagikan banyak masa pada perkara dalam satu masa dan peranan mereka sering diambil mudah.

Tunjukkan penghargaan anda kepada mereka. Ucapkan terima kasih. Beri mereka pelukan.

Tunjukkan bahawa anda menyedari segala pengorbanan yang dia lakukan akan banyak membantu isteri rasa dihargai dan disayangi.

10. Menerima segala kelemahan Isteri

Daripada mencabar, mentertawakan isteri anda atau mempersoalkan kelemahan isteri, mengapa tidak menerima sahaja semua itu dengan hati yang terbuka?

Jangan tunjukkan kelemahan isteri, jangan disebut mengenai sifat-sifat tertentu yang jelek atau membuat dia berasa sedih tentang sesuatu yang dia sudah tentu merasa kecewa mengenainya.

Secara semulajadi, wanita memang selalu merasakan dinilai oleh orang lain. Dia rasa selalu diperhatikan.

"Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” Hadith riwayat Muslim

Jangan pernah menyesal dengan segala keburukan isteri kita. Jangan sakiti hati mereka.

Berhenti menghakimi mereka dan terimalah mereka seadanya.

Insyaa Allah, perkara ini akan membantu mereka rasa disayangi dan selamat bila bersama-sama kita.

Penutup

Memahami isteri bukannya sukar tapi..

Sebenarnya, bukanlah sukar untuk memenuhi kehendak isteri, cuma kita kadangkala perlu lebih peka dengan mereka.

Mereka ingin perhatian. Mereka ingin disayangi. Mereka ingin sentiasa mahu rasa ada seseorang disisi.

Tunaikan apa yang mereka perlukan, pasti ada kehangatan dan kebahagiaan dalam rumah tangga anda.

"Lelaki ialah pemimpin bagi wanita kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” Surah an-Nisa, ayat 34

Tujuan artikel ini dikongsikan bukanlah untuk mendakwa kita saja suami yang baik, tetapi sebagai peringatan buat diri sendiri (dan kita bersama) agar lebih menghargai isteri kita.

Semoga kasih sayang dalam rumah tangga kita semua membawa hingga ke syurga. Amiin..

BACA INI JUGA: 'Jenazah Isteri Harum Seperti Bunga Ros, Balasan Mentaati Suami'

Sumber: Akuislam

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon