Saturday, November 25, 2017

Sambutan Hari Penghapusan Keganasan Keatas Wanita Antarabangsa


Sambutan Hari Penghapusan Keganasan Keatas Wanita Antarabangsa, International Day for the Elimination of Violence against Women disambut pada 25 November setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang fakta bahawa wanita di seluruh dunia terdedah kepada rogol, keganasan rumahtangga dan lain-lain bentuk keganasan.

Hari Penghapusan Keganasan Wanita

Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, isu yang tiada batas sempadan negara, bangsa, agama mahupun warna kulit.

Hampir semua bangsa atau negara berdepan dengan kemelut ini yang umpama tiada titik noktah biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi memartabatkan golongan tersebut.

Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) juga tidak terlepas daripada belenggu ini, sehinggakan AS menjadikan tarikh 25 November sebagai sambutan Hari Penghapusan Keganasan Antarabangsa yang didedikasikan sebagai langkah menentang keganasan berteras jantina.

Sambutan itu sebagai mengesahkan komitmen AS untuk mencegah dan bertindak balas kepada keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di peringkat global.

Keganasan berteras jantina ini merentasi garisan etnik, kaum, sosio-ekonomi, dan agama, serta tidak mengenal sempadan.

Di peringkat global, 35 peratus daripada wanita telah dirogol atau didera secara fizikal, Jika keganasan ini berlaku di rumah, 80 peratus daripadanya dilakukan oleh suami atau pasangan.

Sebahagian besar femisid iaitu pembunuhan sengaja ke atas wanita kerana jantina mereka, berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai hubungan rapat dan dilakukan oleh pasangan atau bekas pasangan mereka.

Keganasan oleh pasangan intim telah dikaitkan dengan pelbagai kesan kesihatan serta-merta dan jangka panjang, termasuk kecederaan fizikal, gangguan ginekologi, kehamilan yang tidak diingini, keguguran, penyakit kelamin, kemurungan, dan tingkah laku membunuh diri.

Kira-kiara 42 peratus daripada wanita yang telah mengalami keganasan pasangan intim melaporkan mereka dicederakan.

Analisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa wanita yang telah didera secara fizikal atau seksual adalah 1.5 kali lebih berkemungkinan mendapat jangkitan penyakit kelamin berbanding wanita yang tidak mengalami keganasan pasangan.

Kajian juga menunjukkan bahawa risiko HIV dalam kalangan wanita yang mengalami keganasan mungkin sehingga tiga kali lebih tinggi daripada kalangan mereka yang tidak pernah mengalaminya.

Keganasan juga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental secara serius bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk kebanyakannya terhadap kesihatan reproduktif mereka.

Angka-angka ini patut merisaukan kita semua, sama ada ia berlaku di kawasan kejiranan kita sendiri, atau di negara asing. Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan memudaratkan kita semua tidak kira lelaki atau perempuan.

Pada asasnya keganasan merupakan satu manifestasi terhadap status rendah yang diberikan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

Mengakhiri keganasan memerlukan kita mengangkat status wanita dan kanak-kanak perempuan dan membebaskan mereka untuk mencapai potensi menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka.

Mencegah dan menghukum mereka yang melakukan keganasan terhadap wanita akan memberi faedah jangka masa panjang dan masyarakat dunia tidak boleh terus membiarkan keganasan ini berterusan.

Dengan membiarkan isu ini tanpa ditangani sewajarnya hanya akan membuatkan sesebuah negara itu kehilangan sumber pendapatan dan produktiviti, perniagaan kehilangan pekerja dan keluarga kehilangan pencari nafkah utama.

Masyarakat antarabangsa, kerajaan, organisasi pelbagai hala, syarikat sektor swasta, dan pejuang peringkat akar umbi perlu berganding bahu menangani dan mencegah keganasan ini daripada berlaku.
Kita perlu meningkatkan sokongan dan interaksi antara pembuat dasar dan mereka yang bekerja di lapangan. Kita juga perlu menguatkuasakan undang-undang untuk menghukum perbuatan jenayah ini.

Undang-undang ini perlu dikuatkuasakan kerana sikap sambil lewa seringkali membantu menggalakkan keganasan.

Selain itu, kita juga perlu menggalakkan kanak-kanak perempuan bersuara untuk diri mereka sendiri, dan mendidik kanak-kanak lelaki bersuara untuk adik perempuan dan kakak mereka.

Kita perlu menyokong penglibatan lelaki dewasa, kanak-kanak, dan golongan penting dalam masyarakat, seperti pemimpin agama, dalam menangani dan mencegah keganasan serta mengubah norma dan sikap terhadap jantina.

Pemerkasaan wanita sangat penting untuk membina masyarakat demokrasi yang stabil, bertanggungjawab memajukan keamanan dan keselamatan.
Apabila wanita dan kanak-kanak perempuan hidup bebas daripada keganasan dan mempunyai peluang yang sama dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan penyertaan politik, mereka sebenarnya meningkatkan taraf keluarga mereka, komuniti dan negara.

Selamat menyambut Hari Penghapusan Keganasan Keatas Wanita Antarabangsa.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon