Wednesday, March 08, 2017

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, International Women's Day


Susur galur Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA) atau Hari Wanita Sedunia disambut pada tanggal 8 Mac setiap tahun semenjak 1911 lagi.

Women's Day

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini disambut dengan matlamat sebagai hari untuk memberi sokongan dan mengiktiraf sumbangan serta peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia.

Tema yang menekankan kepentingan kesaksamaan atau kesetaraan gender dalam pembangunan masyarakat, telah sekian lama menjadi asas perjuangan gerakan wanita peringkat global dalam kerangka perjuangan hak asasi.

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan negara masih lagi mengamalkan dasar atau undang-undang yang mendiskriminasi wanita.

Wanita bergelut dengan kerjaya demi menyara keluarga dan diri, sedangkan pada masa yang sama, turut menjadi seorang ibu mahupun isteri di rumah.

Golongan wanita mahu diberikan hak serta peluang yang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahupun sebagai pembuat keputusan.

Wanita terpaksa bertungkus-lumus mencari nafkah bersama-sama suami mahupun bersendirian dan ada ketikanya, wanita tidak dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab membesarkan anak sepenuhnya.

Ibu yang bekerja bimbang tentang keselamatan serta kebajikan anak yang ditinggalkan di pusat-pusat jagaan tambahan pula, kos menghantar anak ke pusat jagaan atau didikan awal yang menawarkan perkhidmatan atau kemahiran tambahan agak tinggi.

Umumnya, perkhidmatan jagaan anak mahupun didikan awal kanak-kanak yang berkualiti merupakan pra-syarat penting kepada wanita yang bekerjaya.

Perjuangan membela nasib wanita yang tertindas dan dinafikan haknya perlu dilihat bukan sahaja dari prinsip kesamarataan atau kesetaraan tetapi juga dari sudut kesaksamaan yang bermaksud berlaku ADIL dalam menentukan hak dan tanggungjawab serta meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak berlaku sebarang bentuk diskriminasi.

Asal-usul Sambutan Hari Wanita

Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!

Hari Wanita Antarabangsa mula disambut pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland.

Idea ini bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dijayakan bersama-sama dengan lelaki.

Hari Wanita Antarabangsa telah disambut buat pertama kali di Malaysia pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, pada 8 Mac 1975 Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa telah dilancarkan.

Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun.

Namun begitu, tarikh 25 Ogos ini hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu UMNO sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.

Tuntutan wanita

Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, wanita menyarankan perkara-perkara berikut, antaranya:

1. Cuti bersalin yang lebih untuk menjaga dan menyusukan anak.

2. Insentif kepada suri rumah sepenuh masa.

3. Ujian saringan kesihatan asas percuma setiap dua hingga tiga tahun sekali.

4. Sistem kehakiman yang lebih `mesra wanita' dan cekap dalam menangani kes-kes berkaitan keluarga. Malangnya, hakim wanita masih belum dilantik di mahkamah syariah. Ramai yang tidak bersetuju perlantikan wanita menjadi hakim di mahkamah syariah.

5. Keselamatan wanita dan kanak-kanak terjamin dan terpelihara serta bebas dari ancaman mat rempit dan ragut. Contohnya kes pembunuhan adik Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie.

6. Menghentikan semua bentuk keganasan terhadap wanita dan usaha-usaha pembelaan kepada wanita perlu diuruskan dalam suasana yang harmoni, memudahkan dan tidak membebankan atau menyusahkan kaum wanita untuk memperolehi bantuan dan sokongan yang diperlukan.

7. Pembentukan dasar dan polisi yang melibatkan pembangunan dan pembelaan wanita dibuat mengambilkira peranan, tanggungjawab dan hak wanita khususnya bagi memelihara kestabilan institusi keluarga yang merupakan unit penting dalam masyarakat dan tanggungjawab asas wanita sebagai anak, isteri dan ibu tidak terabai.

8. Wanita terus memperkasakan dirinya dengan ilmu untuk mengenal matlamat hidup, membina jati diri, melaksanakan tanggungjawab, menuntut hak dan membuat keputusan dalam hidupnya sesuai dengan tuntutan Islam. Ruang dan peluang terus diberi kepada wanita untuk mencapai cita-cita dan potensi penuh mereka dengan mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan kaum wanita.

9. Sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dinilai dengan lebih holistik dengan juga melihat kepada pencapaian indek kesejahteraan keluarga, kadar jenayah dan gejala sosial, keruntuhan akhkak generasi muda dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kualiti hidup rakyat keseluruhannya.

10. Wanita yang memilih untuk mengurus sendiri rumah tangga, anak-anak dan keluarganya, wajar diberikan pengiktirafan dan penghargaan di atas sumbangan mulia ini, tanpa memperkecilkan dan merendah-rendahkan pilihan yang diambil. Wanita ini juga wajar diberikan imbalan yang tertentu dan pengiktirafan ekonomi, selaras dengan usaha dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat dan negara dengan mendidik generasi masa depan negara

11. Masyarakat terus dididik untuk menghormati wanita dan menghargai perbezaan gender dalam menentukan peranan dan tanggungjawab masing-masing samada di dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat

Cabaran Wanita Hari Ini

Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial, ekonomi dan politik.

Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil.

Ada yang menjadi suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti peguam, doktor, jurutera, ahli politik, aktivis sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup terpaksa menjadi pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status dan hidup mewah.

Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah, dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup “terpenjara”, ada yang terpaksa menjadi “hamba” khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab.

Ada yang terperangkap dengan “cinta nafsu”, akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.

Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Inilah realiti wanita kita pada hari ini justeru, semua kaum wanita seharusnya sedar pelbagai cabaran besar sedang menunggu baik pada masa kini hatta pada masa akan datang.

Bahkan, sepanjang tarikan dan hembusan nafas juga, pada setiap derap dan langkah adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.

Cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak maka hanya adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan para pejuang wanita yang nantinya akan memastikan kaum wanita berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan.

Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, wanita tidak mungkin akan berupaya menjadi pencorak dan penentu generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat pada esok hari.

Selamat menyambut Hari Wanita Antarabangsa.

BACA INI JUGA: Hanya 4 Syarat Untuk Wanita Masuk Ke Syurga

Sumber: fb | wikipedia | ikram

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon