Tuesday, June 11, 2019

Peluru Berpandu S-400 Rusia Mampu Menjatuhkan Jet Pejuang Tercanggih AS

Peluru Berpandu S-400 Rusia Mampu Menjatuhkan Jet Pejuang Tercanggih AS

Negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), terutama AS, melihat rancangan Turki membeli sistem pertahanan peluru berpandu dari Rusia dengan penuh kecurigaan, namun Ankara yang juga anggota NATO berkata, mereka memerlukannya bagi menghadapi ancaman di wilayah itu.

S-400 missile
S-400 missile.

Perjanjian S-400 itu, dilaporkan bernilai kira-kira AS$2.5 bilion (RM10.15 bilion) mencetuskan kebimbangan di Barat kerana Turki adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan sistem itu tidak boleh disepadukan dalam persekitaran Nato.

S-400 adalah sistem pertahanan peluru berpandu mudah alih generasi terbaharu yang mampu membawa tiga jenis misil berlainan dan berupaya memusnahkan pelbagai sasaran udara dari jarak dekat mahupun jauh.

Sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dinaiktaraf secara besar-besaran daripada S-300 dan disebabkan kemampuannya, negara China, Arab Saudi, Turki, India dan Qatar mahu membelinya.

Peluru berpandu S-400 boleh mengesan sejumlah besar ancaman, termasuk menyasarkan pesawat tersembunyi, termasuklah jet pejuang tercanggih F-35 AS.

Keinginan negara-negara terbabit memiliki S-400 bagaimanapun berdepan dengan ancaman, termasuk dari segi diplomatik, oleh AS dan negara NATO.

Penyelidik kanan Stockholm International Peace Research Institute’s (SIPRI), Siemon Wezeman berkata, S-400 adalah antara sistem pertahanan udara canggih yang ada sekarang ini, berbanding apa yang terbaik mampu Barat tawarkan.

Sistem radar dan sensornya, juga peluru berpandu, boleh menjangkau jarak yang luas, menjangkau julat sekurang-kurangnya 600 kilometer, sementara peluru berpandunya mencapai 400 kilometer.

S-400 tepat dan dapat mengesan sejumlah besar sasaran yang berpotensi, termasuk sasaran tersembunyi.

Kelebihan lain sistem pertahanan S-400 ialah dari segi persediaan modular dan mobiliti tinggi, yang bermakna ia mudah dipasang, ditembak dan digerakkan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

S-400 menjadi sistem satu saiz untuk peluru berpandu, boleh dikonfigurasi menjadi sistem senjata untuk jarak jauh, sederhana jauh, sederhana dan dekat, bergantung kepada kehendak pengguna, kata penganalisis ketenteraan, Kevin Brand.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tahun 2018 lalu berkata, Ankara akan berusaha mendapatkan S-400 secepat mungkin, selepas menandatangani pembeliannya pada 2017.

Mampu Menjatuhkan F-35

F-35, jet pejuang generasi kelima terbaharu Amerika Syarikat yang dilengkapi teknologi ‘menghilangkan diri daripada radar’ berdepan ancaman sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

F-35 adalah jet pejuang generasi kelima terbaharu AS, menggabungkan teknologi ‘menghilangkan diri daripada radar’ dan memiliki kelajuan serta ketangkasan.

Tiga varian F-35 akan menggantikan pesawat A-10 dan F16 Tentera Udara AS; F/A-18 Tentera Laut AS; dan AV-8B Harrier Marin AS.

F-35 dioptimumkan untuk menjadi jet pejuang pelbagai fungsi, dengan keupayaan untuk melaksanakan misi memusnahkan udara ke udara, udara ke darat, perisikan, pengawasan dan tinjauan.

F-35 juga direka untuk mengalahkan mana-mana sistem teknologi canggih yang memberi ancaman sama ada di udara atau darat namun, kewujudan sistem pertahanan udara S-400 Russia menimbulkan kebimbangan kepada AS.

S-400 yang dijuluki sebagai Triumf atau Triumph, kod NATO ialah SA-21 Growler, adalah sistem peluru berpandu jarak jauh darat ke udara yang dihasilkan oleh Almaz-Antey, dan ia mampu mengesan F-35 walaupun pesawat itu berada dalam mod ‘menyembunyikan diri’.

Ketakutan AS

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Turki supaya tidak meneruskan hasrat membeli sistem pertahanan peluru berpandu canggih Russia – S-400 – yang dipercayai Pentagon mampu memberi ancaman kepada pesawat tempur termajunya, F35.

Jabatan Negara AS memberi amaran itu selepas Komander Pusat Pemerintah AS Eropah (EUCOM), Jeneral Curtis Scaparrotti memberitahu ahli politik di Capitol Hill dan berkata Turki sepatutnya menimbang semula hasrat memperoleh S-400 Rusia.

EUCOM adalah salah satu daripada 10 pusat pemerintah tempur AS, berpangkalan di Stuttgart, Jerman.

Dengan jelas, kami memberi amaran kepada Ankara terhadap hasratnya untuk membeli S-400 akan menyebabkan penyertaan Turki dalam program F-35 akan dinilai semula, dan merisikokan pemindahan senjata lain ke negara itu pada masa depan, kata jurucakap Jabatan Negara, Robert Palladino.

AS sebelum ini bersetuju menjual 100 pesawat pejuang generasi kelima terbaharu F-35 kepada Turki dan setakat ini sudah menghantar dua jet berkenaan namun, tahun 2018 lalu Kongres AS mengarahkan penghantaran berikutnya ditangguhkan.

Tapi, apa sebenarnya yang menggerunkan AS tentang peluru berpandu S-400?

Sudah pasti kerana kelajuan misil ini 'mengejar' sasaran pada kepantasan 14 Mach kerana  jet pejuang F-35 hanyalah 1.60 Mach dan Raptor-22, 2.25 Mach. Menakutkan bukan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: ismaweb

Samsung Sudah Mulakan Kajian Internet 6G Ketika China-AS Masih Dalam Perang Perdagangan!

Samsung Sudah Mulakan Kajian Internet 6G Ketika China-AS Masih Dalam Perang Perdagangan!

Disaat dunia masih lagi heboh dengan teknologi 5G dan belum pun dilaksanakan secara meluas, Samsung nampaknya sudah mengambil pendekatan berbeza dengan mengusahakan teknologi yang lebih canggih dan baharu untuk para pengguna masa depan, 6G.

6G-Samsung

Pasukan semasa mengenai standard teknologi telekomunikasi telah diperluas untuk memulakan penyelidikan utama rangkaian 6G, kata seorang pegawai Samsung.

Selain itu, Samsung melalui Samsung Research juga sedang memfokuskan kepada teknologi melibatkan robotik dan AI dimana ramai yang menjangka ianya bakal menjadi fokus teknologi pada masa hadapan.

Melihat kepada perkembangan teknologi 5G yang masih baharu, teknologi ini mungkin bakal diperkenalkan secara rasmi seawal 10 tahun akan datang.

Walaupun teknologi 6G masih belum menghasilkan apa-apa data prestasi yang ketara, Jurnal Penyelidikan Internasi Kejuruteraan dan Teknologi mencatatkan bahawa 6G akan dapat mencapai kelajuan pemindahan melebihi 10Gbps dan akan dapat diintegrasikan dengan rangkaian satelit.

Jadi, kalau dengan kelajuan 5G mampu mendownload movie hanya dalam tempoh 4 minit, berapa pantas agaknya 6G nanti?

BACA INI JUGA:

sumber: denaihati

12 Aplikasi Buat Duit Yang Benar-benar Membayar Anda Wang

12 Aplikasi Buat Duit Yang Benar-benar Membayar Anda Wang

Menurut laporan, daripada 30 juta penduduk di Malaysia, seramai 20 juta orang adalah pengguna aktif menggunakan media sosial melalui telefon mudah alih mereka, hampir 65 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

Aplikasi-buat-duit

Secara puratanya, rakyat Malaysia melayari Internet melalui komputer peribadi atau tablet selama 8 jam 31 minit sehari, manakala jumlah masa purata yang dihabiskan bagi melayari Internet melalui telefon mudah alih pula adalah 3 jam 43 minit sehari.

Tidak cukup dengan itu, satu laporan oleh TechCrunch menunjukkan masyarakat dunia secara puratanya menggunakan sebanyak 30 aplikasi telefon pintar dalam sebulan.

Jika penggunaan sebegitu banyak aplikasi dan masa yang dihabiskan, mengapa anda tidak mengambil peluang untuk menjana pendapatan tambahan?

Jangan risau, di sini kami bukan mahu usulkan anda menjual barang di Facebook ataupun mengikuti skim 'multi-level' di internet.

Sebaliknya, semua aplikasi telefon pintar ini menawarkan wang kepada anda dengan cara melengkapkan kaji selidik, menonton video, berkongsi gambar, melakukan pekerjaan mudah dan lain-lain lagi.

Malah, aplikasi yang boleh didapati di iTunes dan Google Play Store ini telah mendapat liputan secara meluas di media barat seperti Forbes, New York Times, Good Morning America, CNBC, TechCrunch, CBS This Morning, Huffington Post dan lain-lain lagi.

1. ShopBack: DAPAT BALIK DUIT SETIAP KALI MEMBELI BELAH

ShopBack adalah salah satu syarikat yang memulangkan semula sehingga 30 peratus wang apabila anda membuat sebarang pembelian atas talian dengan mana-mana syarikat yang berdaftar dengan mereka.

Anda boleh membeli tiket penerbangan, menempah bilik hotel, membeli pakaian ataupun buku, merancang perjalanan, membeli makanan dan bermacam-macam lagi kerana terdapat lebih 500 gedung dan servis atas talian yang berdaftar dengan mereka.

Antaranya ialah Lazada, Zalora, eBay, Amazon, Taobao, Agoda, Booking.com, Expedia, Malaysia Airlines, AirAsia, Qatar Airways, Singapore Airlines, Foodpanda, Samsung, Grab, Nike, Kinokuniya dan lain-lain lagi malah, senarai syarikat ini bertambah saban hari.

Bagaimana pula mereka mampu memulangkan kembali sebahagian daripada wang pembelian anda?

Sebenarnya, syarikat yang terbabit dalam aktiviti urusniaga tersebut memberi komisen kepada ShopBack kerana telah membawa anda ke laman sesawang mereka untuk melakukan pembelian.

Sebahagian daripada komisen inilah yang digunakan oleh ShopBack untuk diberikan kepada anda!

Anda juga akan memperolehi wang percuma sekiranya berjaya merujuk rakan untuk menggunakan ShopBack.

Wang akan dibayar kepada selepas sejumlah nilai pembelian yang ditetapkan dilakukan oleh rakan anda itu.

Malah, mereka juga akan menerima wang bonus permulaan kerana mendaftar melalui rujukan anda.

ShopBack boleh dilayari samada melalui komputer peribadi ataupun telefon pintar.

2. MANIS: JANGAN BUANG DULU RESIT ANDA

Seandainya anda bukan seorang yang suka membuat pembelian secara atas talian tetapi sebaliknya gemar pergi sendiri ke tempat yang diingini, anda boleh mencuba aplikasi Manis.

Cara untuk mendapat ganjaran adalah cukup mudah, anda hanya perlu membelanjakan wang di mana-mana syarikat yang terlibat dengan Manis dan kemudian menangkap gambar resit pembelian anda menggunakan telefon mudah alih.

Kemudian, selepas memasukkan maklumat yang diperlukan dan memuat naik gambar resit tadi, anda akan menerima mata ganjaran (RM1 perbelanjaan di resit bersamaan 1 mata).

Mata ganjaran tersebut kemudian boleh ditebus untuk mendapatkan barangan seperti top up prepaid, tiket wayang, baucar membeli belah dan lain-lain lagi.

Mata ganjaran juga diperolehi apabila anda berjaya merujuk rakan anda untuk menggunakan aplikasi ini.

Setakat ini, Manis sudah mendapat penarafan 3.8 bintang di Google Play Store dan 2.8 bintang di iTunes.

3. TAPCASH: DAPAT DUIT SAMBIL MENCUBA APLIKASI DAN PERMAINAN

Tap Cash Rewards adalah aplikasi Android yang mempunyai penarafan yang tinggi di Google Play Store iaitu 4.3 bintang.

Anda hanya perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi dan permainan mudah alih percuma yang ditawarkan oleh Tap Cash Rewards.

Sesudah itu, anda akan menerima mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk wang melalui PayPal ataupun baucar hadiah.

Sekiranya mendaftar sebagai VIP, anda juga akan mendapat mata ganjaran harian apabila login menggunakan aplikasi ini setiap hari.

Ahli VIP memerlukan anda untuk menggunakan akaun Facebook bersama dengan Tap Cash Rewards.

4. LOOT: JANGAN LUPA TANGKAP GAMBAR

Populariti laman sosial seperti Instagram dan hashtag seperti #OOTD membuktikan bahawa masyarakat gemar memuat naik gambar pelbagai barangan dan jenama.

Hanya dengan menggunakan aplikasi Loot anda boleh dapat wang dan ganjaran dalam bentuk yang lain.

Anda perlu menangkap gambar barangan atau jenama terpilih, kemudian memuat naik gambar tersebut di media sosial.

Setelah jumlah ganjaran anda mencapai nilai AS$10, anda boleh menebus keluar wang anda melalui akaun PayPal.

Setakat ini, aplikasi Loot! mendapat penarafan sebanyak 3.5 bintang di Google Play Store.

5. MOOLA: TAMPAL, PANDU DAN DAPAT WANG

Satu kajian yang dijalankan oleh McGill University, Canada, mendapati bahawa memandu kereta merupakan kaedah pengangkutan yang memberikan tahap tekanan yang paling tinggi.

Jadi, apa kata anda kurangkan sedikit tekanan memandu tersebut dengan menjana sedikit wang?

Aplikasi Moola membolehkan anda memilih sesuatu kempen dan selepas itu memasang pelekat berdasarkan kempen tersebut di kereta anda untuk dibawa berjalan.

Bagaimanapun, terdapat proses penilaian dan saringan terlebih dahulu sebelum anda diterima untuk mengambil bahagian dalam kempen tersebut.

Terdapat pelbagai jenis kempen yang ditawarkan oleh Moola dan terdapat di seluruh Malaysia tetapi kebanyakan lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang.

Jumlah bayaran adalah berbeza mengikut kempen tetapi secara kebiasaannya, jika anda memandu sejauh 35km sehari (pada waktu siang), anda boleh memperolehi sehingga RM800 sebulan.

6. MatDespatch: DARI JADI MAT REMPIT, BAIK JADI MAT DESPATCH

Anda suka menghabiskan masa anda di jalan raya? Sama ada menunggang motorsikal, memandu kereta mahupun lori, anda boleh memohon untuk menjadi seorang 'despatch' (tukang hantar barang) mengikut kesuaian masa anda melalui aplikasi MatDespatch.

Aplikasi Android ini menawarkan servis penghantaran barang pada hari yang sama di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini penarafan yang diterima di Google Play Store adalah 3.8 bintang.

Jika tempat kerja anda banyak menerima barang penghantaran setiap bulan, ada baiknya menggunakan aplikasi ini untuk menambah pendapatan!

7. MOBROG: BERI PENDAPAT DAN JANA PENDAPATAN

Terdapat pelbagai syarikat dan penyelidik di universiti yang memerlukan pendapat dari orang ramai untuk membangunkan mahupun memperbaiki sesuatu produk ataupun servis.

Anda boleh mendaftarkan diri secara percuma di aplikasi MOBROG (Malaysia) dan mengambil bahagian dalam pelbagai kaji selidik yang ditawarkan.

Secara puratanya, satu kaji selidik membolehkan anda menerima bayaran di antara RM2 dan RM10.

Pembayaran akan dilakukan oleh pihak MOBROG melalui akaun PayPal.

Aplikasi MOBROG (Malaysia) boleh di dapati di kedua-dua iTunes dan Google Play Store.

8. MoneyMachine: MARI MENONTON VIDEO

Satu lagi aplikasi yang hanya memerlukan anda melakukan tugasan yang mudah adalah Money Machine yang terdapat untuk peranti Android.

Melalui aplikasi ini, anda akan memperolehi mata ganjaran setelah menyempurnakan tugasan yang ditawarkan seperti menonton video atau memuat turun aplikasi mudah alih.

Anda juga akan mendapat mata ganjaran seandainya berjaya merujuk rakan anda untuk turut sama menggunakannya.

Mata ganjaran boleh ditebus dalam bentuk wang melalui akaun PayPal anda.

9. GoGet: MARI SAYA TOLONG AWAK

Seandainya anda memerlukan pertolongan untuk tugasan yang agak remeh seperti pergi membeli makanan, beratur untuk mendapatkan tiket, menghantar atau mengambil barangan, membawa binatang peliharaan bersiar-siar, mengemas rumah dan sebagainya, anda boleh menggunakan aplikasi GoGet.

Anda juga boleh menjadi seorang ‘GoGetter’ di mana anda akan dibayar untuk melakukan tugasan seperti yang dinyatakan di atas.

Anda terlebih dahulu perlu menjalani ujian atas talian, hadir pada sesi latihan dan membuat pembayaran pendaftaran sebanyak RM15.

Setelah memilih dan menyelesaikan sesuatu tugasan, anda boleh membuat pilihan menerima bayaran secara tunai ataupun pembayaran akaun bank.

Aplikasi GoGet boleh di dapati di kedua-dua iTunes dan Google Play Store.

10. Pact: MARI KITA AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

Seandainya anda memerlukan motivasi untuk menjadi seorang yang sihat dan cergas, anda boleh mencuba aplikasi Pact.

Melalui aplikasi ini, anda boleh membuat pertaruhan untuk mencapai sasaran kesihatan anda, sama ada bersenam ataupun diet makanan yang sihat.

Aktiviti anda akan disahkan oleh aplikasi ini melalui penggunaan GPS, gambar dan pelbagai servis yang lain.

Secara puratanya, sekiranya anda berjaya mencapai sasaran kesihatan, anda boleh memperolehi wang di antara AS$0.30 (RM1.27) sehingga AS$5 (RM21.10) seminggu.

Tetapi awas, sekiranya gagal mencapai sasaran, anda pula yang perlu membuat pembayaran! Kedua-dua senario tersebut pastinya memberikan anda motivasi, bukan?

11. CashMe

CashMe adalah aplikasi android dan iTunes yang memberikan mata ganjaran setiap kali kita menggunakan aplikasi ini dan sebarang promosi dalam aplikasi tersebut.

Mata yang terkumpul kemudiannya boleh ditukarkan kepada tunai (melalui Paypal) atau kita boleh tebus sebagai giftcard.

Semasa pendaftaran, anda dikehendaki membuat pengesahan menggunakan nombor telefon, bertujuan untuk mengesahkan identiti sebagai manusia dan bukannya robot/bot.

12. WowApp

WowApp adalah aplikasi yang menggabungkan beberapa ciri menarik seperti permainan, messenger, video, enjin carian dan lain-lain.

Dengan menggunakan WowApp, anda boleh berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga sama seperti menggunakan WhatsApp tetapi, kelebihan utama WowApp berbanding WhatsApp adalah setiap kali anda menggunakan WowApp untuk berkomunikasi, anda akan diberikan ganjaran dalam bentuk Coins.

Coins yang terkumpul kemudiannya boleh di tukar kepada topup kredit, duit tunai terus ke Paypal atau ke akaun bank anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: rojakdaily

Durian Kanyao Buah Paling Mahal Di Dunia Berharga RM199,289

Durian Kanyao Buah Paling Mahal Di Dunia Berharga RM199,289

Durian Kanyao dikatakan durian paling mahal di dunia, mencatatkan rekod baharu dengan harga jualan 800,000 baht (RM106,118) dalam festival buah yang menarik perhatian puluhan pencinta buah yang kaya-raya dan durian-durian yang didatangkan dari ladang berdekatan.

Durian paling mahal di dumia

Seorang ahli perniagaan yang kaya sanggup membayar 1.5 juta baht (RM199,289) untuk membeli sebiji durian jenis Kanyao pada sesi lelongan di festival Raja Buah 2019 di Nonthaburi, Thailand.

Lelongan untuk buah durian tersebut bermula pada harga 20,000 baht dengan sembilan buah dipilih kerana saiz dan bentuk yang sempurna serta ranum.

Selain Kanyao, antara durian lain adalah jenis Monthing dan Kop Med Tao, yang terjual lebih 300,000 baht (RM39,794) setiap satu.

Peladang, Maliwan Han Chai Thai yang mencatatkan jualan durian pecah rekod itu tidak menjangka harga durian tersebut mencecah lebih 1 juta baht.

"Saya tahu ia adalah durian yang sangat istimewa tetapi saya kagum berapa tinggi harga yang dijual. Saya menjangkakan 1 juta baht, jadi kalau terjual lebih tinggi adalah sangat baik.

"Saya berharap pembida dengan harga tertinggi menikmati durian tersebut. Variasi ini adalah yang paling enak di dunia dan kita akan mengembangkannya," katanya.

Lelongan itu mengumpul hasil jualan 4.5 juta baht (RM596,624), yang akan diberikan kepada ladang dan disumbangkan kepada badan amal tempatan untuk membeli kelengkapan perubatan hospital.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, June 10, 2019

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Bintang seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov kini merupakan atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC selepas memperbaharui kontrak dengan organisasi itu untuk kemunculannya di UFC 242, September 2019 nanti.

Khabib Nurmagomedov UFC
Khabib Nurmagomedov.

Memetik laporan MMAFighting, pengurusnya, Ali Abdelaziz berkata, dia dan Khabib teruja dan berpuas hati dengan kontrak baharu itu, sambil menyifatkannya sebagai adil dan telus.

"Kami sangat gembira. Kami dijaga dengan baik. Kami tidak minta lebih dari itu. Kami sangat bersyukur. Rundingan paling mudah yang pernah saya lakukan.

"Ia adil, telus. Ini adalah salah satu tawaran terbesar dalam sejarah UFC," katanya seperti dipetik portal MMAFighting.

Khabib, 30 tahun, akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Abdelaziz, antara sebab Khabib menerima bayaran sedemikian adalah kerana dia (Khabib) merupakan petarung MMA yang paling hebat ketika ini dan belum pernah tewas.

"Pendapat saya sekarang, Khabib adalah petarung 'pound-for-pound' paling hebat yang pernah kita lihat. Dia tidak pernah kalah. Dia menguasai setiap pusingan terhadap hampir kesemua lawannya. Tidak ada (dadah), tiada apa-apa.

"Inilah sebabnya dia atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC hari ini. Percayalah. Dia adalah atlet dengan bayaran tertinggi di UFC hari ini.

"Dan saya katakan sekali lagi kerana saya melihat segala-galanya. Mereka sudah tunjukkan kepada saya. Khabib atlet dengan bayaran tertinggi di UFC dan kami gembira. Kini masa untuk bertarung," katanya lagi.

Khabib kini sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan MMA selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229 pada Oktober tahun 2018 lalu.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 dan digantung perlawanan enam bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kontroversi Pelantikan Latheefa Beebi Koya Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Kontroversi Pelantikan Latheefa Beebi Koya Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Sudah lebih dari setahun Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan dan berikutan itu, pelbagai perubahan yang telah dilakukan bagi membina negara yang lebih berdaya saing dan bebas rasuah namun, segala tindakan yang dilakukan sudah tentu mempunyai penyokong dan mereka yang tidak berpuas hati.

Latheefa Beebi Koya SPRM
Latheefa Beebi Koya.

Terbaharu adalah pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Boleh dikatakan ramai yang masih tidak mengenali beliau yang juga merupakan seorang peguam.

Kami ingin kongsikan serba sedikit biodata dan pengalaman tentang Ketua SPRM yang terbaharu ini.

Latheefa Beebi Koya juga dikenali sebagai Kak Lat lahir pada 4 Februari 1973 di Kerala, India, tetapi berpindah ke Kuala Lumpur ketika berusia 3 bulan bersama keluarganya dan membesar di Petaling Jaya.

Latheefa menamatkan pelajaran di University of London dengan Ijazah Undang-Undang pada tahun 1997 dan beliau memperoleh Sijil Amalan Perundangan Malaysia 2 tahun kemudian, membolehkan Latheefa berkhidmat sebagai seorang peguam di Malaysia.

Sejak Mei 2002, beliau telah mengamalkan undang-undang di Messrs Daim & Gamany, yang diasaskan oleh Tun Abdul Daim bin Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia, sebagai peguam bela dan peguam cara.

Antara Jun 2008 dan Julai 2012, Latheefa adalah ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tetapi berhenti dari jawatannya selepas khabar angin muncul mengenai pengusirannya dari majlis itu.

Latheefa kemudiannya mengasaskan Peguam untuk Liberty (LFL) bersama Anggota Parlimen Padang Serai (MP), N. Surendran, pada tahun 2011.

Beliau berkhidmat sebagai penasihat LFL sehingga tahun 2018 sebelum berkhidmat sebagai pengarah eksekutif.

Penglibatan dan kontroversi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Latheefa pernah berkhidmat sebagai ketua biro maklumat untuk Sayap Belia PKR dan ketua biro hal ehwal undang-undang untuk PKR.

Beliau juga pernah mendedahkan tujuan di sebalik langkah yang dirancang oleh Rafizi Ramli untuk menghalang Mohamed Azmin Ali dari menjadi Menteri Besar Selangor, walau bagaimanapun, Langkah Kajang gagal mencapai motif sebenar.

Pada Jun 2018, Latheefa mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menggalakkan seorang remaja menderma kepada dana Tabung Harapan.

Sebulan kemudian, beliau mengkritik Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, kerana didakwa menangguhkan pendakwaan terhadap seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis bawah umur.

Pada November 2018, Latheefa menggelar lawatan Presiden PKR Wan Azizah ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak sebagai "tidak sesuai" kerana penggunaan jentera kerajaan dan pengumuman peruntukan dengan kehadiran salah seorang calon, Julau MP Larry Sng.

Dia kemudian menggesa PKR untuk menggantung pemilihan yang akan datang untuk Julau berikutan peningkatan besar-besaran keahlian bahagian dari 603 hingga lebih 13,000 sehari kemudian, mendakwa pemimpin parti itu "whitewashing" dan menghalalkan penipuan.

Pada 17 Disember 2018, Latheefa melancarkan serangan terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, atas pelantikan ketua-ketua perhubungan negeri PKR dengan mendakwa "kronisme dan nepotisme" selepas banyak pilihan-pilihan tersebut tidak menerima sokongan majoriti dari ketua-ketua bahagian negeri masing-masing.

Apa yang dilakukannya menerima teguran daripada ahli partinya sendiri, kerana mengkritik presiden parti secara terbuka dan mengemukakan aduan disiplin terhadapnya kepada parti itu.

Latheefa menjawab dengan mengatakan bahawa penggunaan "taktik gaya UMNO" untuk mendiamkan beliau tidak akan berjaya.

Tidak lama selepas komen beliau, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletak jawatan dari semua jawatan parti manakala Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menolak tawaran itu untuk menjadi ketua penguatkuasa PKR Johor.

Pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Pada 4 Jun 2019, Latheefa dilantik sebagai pengganti Mohamad Shukri Abdull sebagi ketua pesuruhjaya SPRM dalam kontrak 2 tahun berkuatkuasa 1 Jun 2019.

Rakan anggota PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menyeru Latheefa untuk meletakkan jawatan dari parti itu untuk mengelakkan konflik kepentingan.

Latheefa kemudiannya memberikan respon bahawa beliau sudah mengemukakan perletakan jawatannya sebagai anggota PKR biasa pada 3 Jun 2019, setelah dimaklumkan tentang lantikannya yang akan berlaku.

LFL juga mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan bahawa pengasasnya telah melepaskan kedudukan dan keahlian dalam organisasi tersebut.

Pelantikan ini menjadi sejarah dalam SPRM kerana Latheefa adalah wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu, namun menerima reaksi bercampur-campur dari ahli-ahli politik dan orang awam.

Beliau menerima pujian kerana dikenali dengan pendekatannya yang tegas dan tidak bertolak ansur tetapi dikritik oleh yang lain kerana pelantikannya tidak melalui parlimen serta disebabkan oleh latar belakang politiknya.

Antara mereka yang memuji tetapi mempersoalkan proses pelantikannya termasuklah bekas pengerusi Gabungan Pemilihan Bersih dan Adil (Bersih) yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Pengarah Eksekutif Pusat Pengawasan Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.

Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Wee Ka Siong menggelar pelantikannya sebagai "mengejutkan" manakala ADUN Muara Tuang, Idris Buang dari Parti Warisan Bersatu Bumiputera (PBB) melabelkan pelantikan itu sebagai "tidak boleh diterima".

Pemimpin masyarakat lain termasuk Marina Mahathir dan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, memuji pelantikannya.

Ketua Jawatankuasa Pilihan Utama Pelantikan Awam, Ahli Parlimen Selayang William Leong, kemudiannya mengesahkan bahawa jawatankuasa pilihan parlimen tidak dirujuk atas pelantikan Latheefa.

Peguam hakim dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Gopal Sri Ram, mengatakan bahawa badan perundangan "tidak mempunyai peranan" dalam pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Kontroversi dan misteri SPRM

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad memilih tarikh yang luar biasa untuk membuat pengumuman penting bagi satu jawatan yang penuh rahsia.

Sehari sebelum sambutan hari raya Aidilfitri, kerajaan mengumumkan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Pelantikan ini sangat luar biasa kerana Latheefa bukan penjawat awam seperti mana ketua-ketua SPRM sebelum ini.

Walaupun terdapat ketua dari luar, namun mereka yang dilantik ke jawatan tersebut mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, siasatan jenayah dan undang-undang jenayah.

Sebaliknya Latheefa tidak mempunyai apa-apa merit tinggi untuk menguruskan sebuah suruhanjaya yang begitu penting dan kritikal kepada negara.

Satu-satunya kebolehan Latheefa ialah beliau mempunyai suara lantang dan tidak takut bersuara sama ada di pihak yang benar atau tidak dan ini kali pertama dalam sejarah SPRM mendapat ketua melalui lantikan politik.

Adalah sangat misteri dalam sebuah negara yang telah matang demokrasi, kerajaan memilih ahli politik sebagai ketua agensi penyiasat dan penguat kuasa.

Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa lantikan itu merupakan lantikan politik kerana tiada alasan pentadbiran langsung untuk pelantikan tersebut.

Walaupun kebanyakan media menyebut Latheefa sebagai Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, namun beliau ialah bekas ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan masih merupakan aktivis politik parti tersebut.

Sehingga dilantik juga, Latheefa diketahui sebagai aktivis politik pro-sosialis melalui Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Selepas penggabungan PRM dan PKR, beliau memegang beberapa jawatan penting dalam PKR dan turut menjadi Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya 2008-2012 sebelum meletak jawatan dan menuduh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim merancang memecat beliau.

Sejak itu, Latheefa dilihat sebagai jurucakap dan penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau antara individu paling lantang menentang Langkah Kajang Rafizi Ramli untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kemudiannya Datuk Seri Wan Azizah) sebagai Menteri Besar Selangor.

Latheefa juga lantang menyerang kem Anwar Ibrahim terutama ketika pemilihan PKR yang lalu dengan menuduh kem Rafizi terbabit rasuah.

Beliau juga tidak segan silu mengkritik secara keras keputusan yang membabitkan kementerian di bawah Wan Azizah.

Latheefa juga merupakan peguam kepada Azmin Ali dalam saman Puncak Niaga ke atas Menteri Besar Selangor, dengan kata lain, dalam politik atau profesion guaman Latheefa akan dilihat sebagai orang Azmin.

Latheefa juga merupakan bekas peguam di firma guaman Daim and Gamany yang berkaitan dengan supremo politik negara sekarang, Tun Daim Zainuddin.

Maka, daripada bacaan politik parti kerajaan, ada sesuatu yang sedang bergolak apabila Tun Mahathir memilih untuk melantik seorang individu tanpa merit jelas, tetapi penentang kuat kem Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Latheefa dilahirkan di Kerala, India dan sepanjang kerjaya sebagai aktivis politik, beliau mempunyai pendapat yang sering bercanggah dengan pihak berkuasa agama Islam.

Justeru, setelah melantik Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bukan Islam, Dr Mahathir memilih wanita Muslim yang dilihat sentiasa mempertikaikan pandangan pihak berkuasa agama Islam sebagai ketua sebuah agensi.

Apa pun kontroversi pelantikan ini, akhirnya tindakan dan kenyataan Latheefa semasa menjalankan tanggungjawab beliau sebagai ketua SPRM akan dinilai orang.

Setiap keputusan dan kenyataan SPRM selepas ini akan mudah mengundang banyak prejudis.

Malah, bukan sahaja pelantikan Latheefa yang kontroversi, pengunduran Mohd Shukri Abdull juga sangat misteri.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020 namun, Mohd Shukri mengambil keputusan mengundur diri sebelum tamat kontrak.

Daripada seorang yang berpendirian teguh dan mempunyai azam yang kuat, tiba-tiba Mohd Shukri menjadi tidak berdaya sehingga memohon berhenti awal.

Khabar angin kononnya Mohd Shukri tidak lagi sependapat dengan kerajaan apabila beberapa kes yang disiasat oleh SPRM dan diperakui untuk pendakwaan telah disenyapkan begitu sahaja.

Khabar angin ini hanya sekadar desas-desus kecualilah jika tiba-tiba Mohd Shukri menemui semula keberanian seperti mana beliau menentang Perdana Menteri sebelum ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Waris Pemilik Tanah Bukit Chagar Tuntut RM300 Bilion Dari Kerajaan Johor

Waris Pemilik Tanah Bukit Chagar Tuntut RM300 Bilion Dari Kerajaan Johor

Waris keturunan Mohammed Salleh Perang menuntut tanah di Bukit Chagar yang terletak di bawah nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan wakil waris pentadbir keluarga terbabit, Mohd Zaini Aris, mendakwa tanah itu diberikan kepada keturunannya oleh sultan kedua Johor moden, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Waris Dato' Bentara

Menurutnya, ada banyak lagi tanah di seluruh Johor diberikan kepada Mohammed Salleh sebagai tanda penghargaan atas khidmatnya sebagai Datuk Bentara Luar dan ketua jabatan tanah dan ukur di negeri itu.

Beliau turut menyertakan satu salinan geran dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor sebagai bukti pemilikan keluarga Mohammed Salleh ke atas Lot 204 di Bukit Chagar, yang merangkumi tanah yang dipertikaikan.

Geran tersebut dilihat ditulis dalam bahasa jawi lama, antara terjemahannya ialah seperti berikut:

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor yang dikurniakan Allah bagi kerajaan di atas tanah Johor serta segala jajahan daerah takluknya mudah-mudahan dilanjutkan Allah esanya serta bertambah-tambah daulatnya dan memperolehkan kemenangan dunia akhirat amin.

“Ketahui olehmu dengan fikiran yang sempurna kita dan keturunan waris-waris ganti kita dengan sebenarnya mengurniakan kepada Mohd Salleh bin Perang, Dato Bentara Johor.

“Hingga menurun kepada waris-waris gantinya mempunyai sekeping tanah yang ada di dalam daerah bandar Johor selama-lamanya.”

Mengikut pemerhatian, geran itu ditulis pada 11 Rabiul Awal 1333 Hijrah bersamaan bertarikh 27 Jan 1915.

"Jadi, bagaimana pihak sultan Johor kata tanah itu dia punya, kerajaan pusat pula kata dia punya sedangkan dalam geran tanah itu Mohamed Salleh bin Perang punya," katanya.

Menurut Zaini, geran itu menjadi bukti bahawa tanah yang dituntut mereka memang menjadi milik Datuk Bentara Luar Johor.

“Jadi, bagaimanakah pihak Sultan Johor mengatakan bahawa tanah itu adalah milik mereka? Pemberian itu mengatakan bahawa ia adalah milik Mohamad Salleh Perang,” katanya.

Mengapa Bukit Chagar penting?

Tanah yang beralamat di Lot 204 itu meliputi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor serta lot PTB 23354.

Lot PTB 23354 ialah laluan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang seharusnya dimiliki oleh Putrajaya selepas perjanjian pertukaran tanah bersama Johor pada 2010 lalu.

Bagaimanapun, ia telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 November 2017, iaitu dua hari selepas baginda bersetuju untuk menyusun semula projek RTS.

Sultan Ibrahim menjelaskan beliau tidak menyedari tanah itu diperuntukkan untuk projek RTS.

Sejak itu, baginda berjanji akan mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan dengan syarat projek tersebut dibina dengan segera.

Tidak dapat dipastikan sama ada Putrajaya bersetuju dengan penyelesaian itu kerana projek RTS yang dimaksudkannya ditangguh selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan meneroka pilihan lain.

Pampasan RM300 billion

Bukit Chagar 300 Bilion

Sementara itu, Zaini berkata waris Mohamed Salleh - yang dianggarkan seramai 4,000 orang - menjelaskan mereka tidak berminat untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan sebaliknya, mereka mahu supaya diberikan pampasan dalam bentuk kewangan.

Zaini juga mendakwa Lot 204 serta lot-lot lain lain di sekitar Bukit Chagar kini bernilai kira-kira RM3 bilion.

Kadar itu adalah sebahagian daripada pampasan sebanyak RM300 bilion yang dituntut keluarga Mohamed Salleh daripada kerajaan Johor untuk tanah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Gunung Pulai, Sungai Tiram dan Iskandar Puteri.

Tambah Zaini lagi, bekas menteri besar Johor, Osman Sapian, sebelum ini berkata beliau akan meneliti tuntutan keluarga itu terbabit.

Namun begitu, Zaini menjelaskan, bahawa pihaknya belum berjaya mengadakan pertemuan bersama menteri besar baru, Dr Sahruddin Jamal.

Pada 2017 yang lalu, keluarga terbabit memulakan tuntutan ke atas tanah tersebut di mahkamah.

Bagaimanapun, mereka berdepan beberapa halangan dalam kes mahkamah itu, antaranya terdapat dokumen yang menyatakan Mohamed Salleh menyerahkan semula Lot 204 berkenaan kepada istana Johor.

Dokumen itu bertarikh April 1915, iaitu tiga bulan selepas Mohamed Salleh mendapat tanah terbabit.

Zaini bagaimanapun mendakwa, dokumen itu dipalsukan kerana tandatangan Mohammed Salleh serta saksi dilihat tidak sepadan dengan dokumen asli lain yang dimilikinya.

Atas alasan tersebut, Zaini melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang berkenaan.

Keluarga itu juga berdepan masalah melantik seorang pentadbir berikutan pertikaian pada sijil kematian birokrat tersebut yang melibatkan umur Datuk Bentara Luar berkenaan.

Pada sijil kematian berkenaan, katanya, Mohammed Salleh didakwa berusia 67 tahun semasa menghembus nafas terakhirnya pada 2 Julai 1915.

Sepupu Zaini, Diah Khalid, menjelaskan jika mengikut umur yang dinyatakan pada sijil kematian berkenaan, bermakna Mohamed Salleh berusia 11 tahun semasa dia mendapat anak pertama pada 1859.

“Ini tidak masuk akal,” katanya.

Keluarga itu juga memaklumkan bahawa mereka menyaman Jabatan Pendaftaran Negara untuk mencabar kesahihan sijil kematian tersebut.

Untuk rekod, Mohamad Salleh adalah tokoh terkenal atas jasanya yang telah membuat peta lengkap pertama Johor serta ditugaskan oleh sultan pertama Johor moden, Sultan Abu Bakar, untuk membangunkan Batu Pahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Rihanna Penyanyi Wanita Paling Kaya Di Dunia 2019

Rihanna Penyanyi Wanita Paling Kaya Di Dunia 2019

Rihanna, 31 tahun, muncul sebagai penyanyi wanita dengan pendapatan paling tinggi di dunia, kini bernilai AS$600 juta, jauh meninggalkan Madonna sebanyak AS$30 juta, Celine Dion AS$150 juta dan Beyoncé AS$200 juta.

Rihanna Paling Kaya

Walaupun Rihanna terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Umbrella, Diamonds dan What's My Name, muzik bukanlah satu-satunya sumber kekayaannya.

Menurut Forbes, majoriti pendapatannya diperoleh daripada perkongsiannya dengan LVMH, syarikat barangan mewah Perancis yang turut memiliki Christian Dior, Givenchy dan Louis Vuitton.

Bulan April 2019 lalu, bintang kelahiran Barbados itu melancarkan label fesyennya, Fenty, menjadikannya wanita kulit hitam pertama yang memiliki jenama asli bersama LVMH.

Selain Fenty, pemilik nama sebenar Robyn Rihanna Fenty ini turut memiliki jenama pakaian dalam, Savage X Fenty, yang dilancarkan tahun 2018 lalu dan jenama kosmetiknya, Fenty Beauty, yang ditubuhkan pada tahun 2017.

Fenty Beauty menjana pendapatan kira-kira AS$570 juta (RM2.37 bilion) dalam tempoh 15 bulan pertama, dengan anggaran perolehan keuntungan setakat ini mencecah AS$3 bilion.

Rihanna bercuti bersama jutawan Arab Saudi

Rihanna and Hassan Jameel

Sementara itu, Rihanna dilaporkan bercuti bersama-sama teman lelakinya, Hassan Jameel dan keluarga di Itali.

Pasangan tersebut dilihat menaiki bot dan menikmati makan tengah hari di Restoran Lo Scoglio di bandar Nerano, Pantai Amalfi, di pusat peranginan Capri, memetik laporan Arab News.

Pengasas jenama Fenty Beauty dengan nilai kekayaan sekitar AS$600 juta (RM2.4 bilion) itu memakai dress mini ‘off shoulder’ dan kelihatan santai dan gembira dengan Hassan.

Hubungan percintaan Rihanna dan Hassan mula mencuri perhatian selepas foto kemesraan mereka berdua tersebar sekitar Julai 2017.

Hassan Jameel merupakan seorang usahawan muda dan juga pewaris kekayaan keluarganya Abdul Latif Jameel Company, syarikat memegang hak pengedaran kenderaan jenama Toyota di Arab Saudi, merupakan antara keluarga terkaya di Arab.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Misteri Kematian Orang Asli Di Kampung Kuala Koh

Misteri Kematian Orang Asli Di Kampung Kuala Koh

Sejak 2 Mei hingga 7 Jun 2019 yang lalu, 14 penduduk Asli Kaum Batek di Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang meninggal dunia dan berdasarkan laporan dari ketua masyarakat Orang Asli, sebab kematian adalah akibat penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Kematian Orang Asli

Penghulu Kampung Kuala Koh Mamat Pokok berkata, penduduk mula diserang penyakit sejak Ramadhan dan mengesyaki ia berpunca daripada pencemaran sumber air.

Tiada Tindakan

Masalah jangkitan kuman yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh telah dimaklumkan kepada banyak pihak sejak awal bulan Mei lepas.

Namun, menurut guru agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fazdzli Mahmok, tiada tindakan diambil sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.

"Mungkin jika perkara itu diambil tindakan awal keadaan akan menjadi lebih terkawal dan tidak seramai itu yang menjadi mangsa kerana kampung ini jauh dari bandar," kata Mohd Fazdzli.

Jangkitan Paru-paru

Sementara itu, pemeriksaan klinikal Jabatan Kesihatan Negeri mendapati, semua mangsa mempunyai tanda-tanda jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia) dan bukanlah penyakit tibi atau penyakit bawaan air dan bukan disebabkan keracunan bahan kimia.

Seramai 33 orang pesakit ditempatkan di Hospital Gua Musang dan 14 orang di Hospital Kuala Krai dan sedang dirawat adalah terkawal dan telah menunjukkan keadaan semakin pulih.

Pencemaran Bahan Kimia?

Tahun 2018 lalu, lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini mendakwa sungai berhampiran penempatan mereka tercemar sehingga ada yang gatal-gatal dan sakit perut selepas menggunakannya.

Kualiti air sungai tersebut juga terjejas, dipercayai berpunca daripada aktiviti perladangan, pembalakan dan perlombongan di kawasan berhampiran perkampungan itu sejak lima tahun kebelakangan ini.

Masalah kekurangan bekalan air bersih juga dikatakan semakin meruncing di kampung berkenaan, akibat aktiviti pe­nerokaan tanah menyebabkan sungai yang menjadi nadi utama penduduk suku kaum Batek terus tercemar tanpa sebarang kawalan.

Air sungai yang menjadi keperluan penduduk semakin ditimbus tanah dan sisa kayu akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan berhampiran kawasan kampung.

Penduduk Orang Asli juga terpaksa menggunakan air dari anak Sungai Lebir yang terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit, yang menjadi punca ramai mengadu sakit perut dan gatal di badan selepas menggunakan air sungai itu.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Sunday, June 09, 2019

5 Punca Kenapa Kucing Membunuh Anak Baru Lahir

5 Punca Kenapa Kucing Membunuh Anak Baru Lahir

Sekiranya anda membela kucing atau seorang peminat kucing, pasti pernah mendengar satu fenomena pelik dimana seekor ibu kucing membunuh anaknya sendiri. Kalau difikirkan secara logik, bagaimanakah tergamaknya seekor ibu kucing sanggup membunuh anak yang baru dilahirkan?

Kucing makan anak

Sekiranya pernah bertanya soalan ini kepada pemilik dan pencinta kucing, anda pasti pernah mendengar beberapa jawapan popular bagi menjawab peristiwa yang dianggap pelik ini.

Kali ini, kami ingin berkongsi 5 teori sebab mengapa seekor ibu kucing sanggup membunuh anaknya sendiri.

Sengaja kami gelarkannya "teori" memandangkan kebanyakannya adalah andaian pemilik kucing itu sendiri berdasarkan beberapa alasan atau pemerhatian yang dilakukan.

1. Anak kucing sudah mati sejak dilahirkan

Seekor ibu kucing biasanya akan memilih tempat yang tersembunyi daripada orang ramai untuk melahirkan anaknya.

Kebiasaannya tempat sunyi seperti dalam kotak, belakang almari dan bawah katil menjadi tempat pilihan untuk melakukan proses kelahiran.

Disebabkan pemilik kucing sendiri kebanyakannya tidak melihat dengan mata sendiri proses kelahiran tersebut, terdapat kemungkinan sebenarnya anak kucing yang dilahirkan memang sudah tidak bernyawa lagi sebaik sahaja dilahirkan.

Dalam erti kata lain, anak kucing memang sudah mati ketika dilahirkan dan bukannya dibunuh oleh ibu kucing itu.

2. Anak kucing mempunyai kecacatan

Seperti manusia, ibu kucing juga mempunyai naluri keibuan terhadap anaknya sendiri. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ibu kucing sebenarnya mempunyai naluri bahawa anaknya sakit atau mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkannya tidak mampu untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, ibu kucing mengambil pendekatan untuk membunuh anak kerana tidak mahu anaknya terseksa dan beranggapan anaknya tidak mampu untuk bertahan lama.

Dengan membunuh anaknya itu, ia dapat menghalang anaknya yang lain turut dijangkiti penyakit yang sama.

3. Bau tangan manusia

Kita seringkali mendengar larangan daripada pemilik kucing agar tidak memegang anak kucing kerana dikhuatiri bau tangan manusia akan melekat pada anak kucing tersebut.

Sekiranya bau tangan manusia melekat pada anak kucing, ibu kucing mungkin tidak lagi mengenali anaknya lalu bertindak membunuhnya kerana menganggapnya sebagai makanan atau ancaman kepada anak-anaknya yang lain.

Teori ini mungkin benar memandangkan kucing sangat sensitif terhadap bau, termasuklah bau anak-anaknya untuk mengenali mereka.

Sekiranya anda sebagai pemilik terpaksa memegang anak kucing disebabkan perkara-perkara tertentu, disarankan menggunakan kain atau sarung tangan.

Selain itu, pemilik kucing juga dilarang sama sekali untuk menyentuh hidung anak kucing yang baru dilahirkan kerana menjadi salah satu punca ibu kucing membunuhnya.

4. Terpaksa bunuh untuk meneruskan kehidupan sendiri

Teori ini mungkin logik bagi kucing-kucing jalanan yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kesukaran mendapatkan makanan menyebabkan ada ibu kucing yang sanggup membunuh anak sendiri dan menjadikannya makanan bagi membolehkan ibu kucing itu terus hidup.

Di luar negara terutamanya ketika musim sejuk dimana kucing jalanan sukar mendapatkan makanan, mereka mungkin membunuh dan memakan anaknya sendiri kerana beranggapan anaknya itu tidak mampu hidup di kawasan yang terlampau sejuk dan ibu kucing itu sendiri terdesak untuk mendapatkan makanan untuk terus hidup.

5. Dibunuh bapa kucing kerana berasa terancam

Terdapat juga kemungkinan bahawa anak kucing tersebut bukan dibunuh oleh ibu kucing sebaliknya oleh kucing jantan yang lain atau bapa kucing itu sendiri.

Secara umumnya, kucing jantan dewasa memiliki pangkat tertinggi dalam hierarki kucing dan bersifat seperti Raja.

Terdapat pendapat kucing jantan dewasa akan membunuh anak-anak kucing kerana beranggapan mereka seperti sebuah ancaman yang akan menggganggu gugat kedudukan mereka sebagai raja.

Kucing jantan juga mungkin membunuh anak kucing untuk mengurangkan persaingan merebut kawasan dan pasangan untuk mengawan.

Walau apa pun sebabnya seekor ibu kucing membunuh anak mereka, itulah lumrah alam seekor kucing. Teori-teori di atas mungkin juga terguna pakai untuk haiwan-haiwan yang lain juga.

Sekiranya anda membela kucing pastikan kucing peliharaan anda mendapat perhatian secukupnya sekiranya mereka bunting dan bakal melahirkan anak.

Sekiranya anda tidak mampu memelihara kucing dalam jumlah yang ramai, pastikan anak-anak kucing tersebut diberikan kepada orang lain dan bukannya sewenang-wenangnya membuangnya di pasar, tempat pelupusan sampah dan sebagainya.

Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab dan sekiranya tidak mahu kucing anda terus beranak, dinasihatkan untuk mengkembiri kucing tersebut agar tidak banyak lagi kucing-kucing domestik yang terpaksa menjadi kucing jalanan akibat sifat tidak 'berperikucingan' pemiliknya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi