Monday, June 10, 2019

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Bintang seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov kini merupakan atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC selepas memperbaharui kontrak dengan organisasi itu untuk kemunculannya di UFC 242, September 2019 nanti.

Khabib Nurmagomedov UFC
Khabib Nurmagomedov.

Memetik laporan MMAFighting, pengurusnya, Ali Abdelaziz berkata, dia dan Khabib teruja dan berpuas hati dengan kontrak baharu itu, sambil menyifatkannya sebagai adil dan telus.

"Kami sangat gembira. Kami dijaga dengan baik. Kami tidak minta lebih dari itu. Kami sangat bersyukur. Rundingan paling mudah yang pernah saya lakukan.

"Ia adil, telus. Ini adalah salah satu tawaran terbesar dalam sejarah UFC," katanya seperti dipetik portal MMAFighting.

Khabib, 30 tahun, akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Abdelaziz, antara sebab Khabib menerima bayaran sedemikian adalah kerana dia (Khabib) merupakan petarung MMA yang paling hebat ketika ini dan belum pernah tewas.

"Pendapat saya sekarang, Khabib adalah petarung 'pound-for-pound' paling hebat yang pernah kita lihat. Dia tidak pernah kalah. Dia menguasai setiap pusingan terhadap hampir kesemua lawannya. Tidak ada (dadah), tiada apa-apa.

"Inilah sebabnya dia atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC hari ini. Percayalah. Dia adalah atlet dengan bayaran tertinggi di UFC hari ini.

"Dan saya katakan sekali lagi kerana saya melihat segala-galanya. Mereka sudah tunjukkan kepada saya. Khabib atlet dengan bayaran tertinggi di UFC dan kami gembira. Kini masa untuk bertarung," katanya lagi.

Khabib kini sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan MMA selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229 pada Oktober tahun 2018 lalu.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 dan digantung perlawanan enam bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani