Saturday, April 06, 2019

Nafkah Couple, Trend Merepek Terbaharu Budak-budak Mabuk Kepayang!

Nafkah Couple, Trend Merepek Terbaharu Budak-budak Mabuk Kepayang!

Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib ke atas seseorang suami atau kepada sama ada isteri, anak dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Ia termasuk keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, keagamaan dan perubatan.

Cinta Monyet

Ianya adalah suatu keperluan dan hukumnya adalah wajib buat setiap suami untuk menyediakan nafkah zahir dan batin secukupnya kepada isteri.

Walau bagaimanapun nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya.

Ada yang lebih berkemampuan untuk menyediakan kesemua keperluan dan ada juga yang sebaliknya. Apa yang penting adalah suami memberikan komitmen dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin dengan kadar yang memberi keselesaan kepada isteri, bukannya kemewahan atau pembaziran yang melampau.

Yang peliknya, pada masa kini, ada satu trend merepek ini iaitu 'nafkah couple' dalam kalangan pasangan muda baru bercinta

Konsep nafkah couple atau kapel ini sama sahaja seperti nafkah suami isteri, yang mana akan diberi setiap bulan dan mengikut kemampuan.

Yang membezakannya adalah nafkah kapel ini untuk pasangan kekasih yang belum lepas lafaz akad nikah, maka tiada ikatan yang sah pun.

Tular beberapa screenshot perbualan tentang nafkah kapel di laman Twitter.

Nafkah Couple
Nafkah Couple
Nafkah Couple
Nafkah Couple

Sudah menjadi lumrah media sosial, setiap kali tertularnya perkara baru, pasti akan ada netizen yang mengecam.

Kecam Nafkah Couple

Tidak kurang juga yang gadis-gadis yang mula meminta nafkah kapel dari boyfriend masing-masing. Yang mencari boyfriend pun ada sebab nak nafkah kapel!

Kecam Nafkah Couple

Sebenarnya tidak dapat dipastikan samada 'nafkah kapel' ini benar-benar wujud dan sudah menjadi trend atau sekadar gurauan dalam kalangan pasangan bercinta.

Tapi kalau betul, tolonglah stop. Merepeknya.

BACA INI JUGA:

sumber: says

SBDJ Siri 34: Berjanji Dengan Syaitan

SBDJ Siri 34: Berjanji Dengan Syaitan

Saya lihat lelaki itu duduk diatas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan datuk hanya memerhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu-talu dari kampung berdekatan.

Siri SBDJ 15

Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang-orang kampung akan datang berjemaah di masjid. Kalau boleh, datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang-orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu.

Kalau orang-orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk.

Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.

"Bagaimana? Apakah lafaz taubat yang kau ucapkan tadi benar-benar ikhlas atau ditekan oleh rasa terdesak?", soal Pak Mardan. Lelaki itu tidak menjawap.

"BertaubatIah dengan hati yang jujur. Janganlah kamu ulangi perbuatan yang terkutuk ini.

"Ilmu dunia tidak ada yang kekal, tidak ada siapa yang gagah dan berkuasa selain daripada Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang lembut.

Sinar mata datuk redup memandang wajah lelaki itu penuh simpati.

"Kalau kau dah sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Allah amat mencintai pada makhlukNya yang insaf”, Pak Mardan terus memberi nasihat.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia tetap tunduk sambil memicit pangkal kening dan datuk sudah tidak boleh bersabar dengan perangai lelaki itu.

Waktu subuh sudah hampir. Dalam beberapa minit lagi orang-orang kampung akan sampai.

Datuk tahu kalau dia tidak bertindak, bererti dia mendedahkan diri lelaki itu pada kecelakaan. Datuk lagi sekali menghampiri lelaki itu.

Angin subuh yang bertiup memberi kesejukan pada diri saya. Kokok ayam terus juga bersahut-sahutan. Bintang timur di kaki langit kian mengecil.

Tiba-tiba saya lihat datuk menekan tulang bahu lelaki itu dengan tangan kanannya sekuat hati.

Saya lelaki itu rebah perlahan-lahan, badannya kelihatan semacam lembik. Datuk pun berhenti menekan bahu lelaki itu.

"Pulanglah sebelum orang-orang kampung datang. Kalau mereka datang kamu akan menerima padah yang buruk”, ujar datuk sambil menampar belakang lelaki itu dengan tapak tangan kirinya.

Lelaki itu bagaikan tersedar dari tidur. Toleh kanan dan mula mahu menyembah kaki datuk. Datuk terus menolak lelaki itu hingga tersungkur ke belakang.

"Jangan perlakukan aku macam itu, antara kita tidak ada siapa yang besar dan harus disembah.

"Menyembah manusia dan patung perbuatan yang salah dari segi hukum Islam”, kata datuk dalam dingin subuh itu.

Lelaki itu bangun, matanya merenung wajah datuk. Dahinya masih berkerut.

Dia membuka mulut sambil berkata, "Jika aku bertaubat kau tidak akan melakukan sesuatu pada aku?"

"Jangan bertaubat kerana takutkan manusia, bertaubatlah kerana insaf dan cinta kau pada Allah”, balas datuk.

Lelaki itu menarik nafas panjang. Matanya masih merenung wajah datuk meminta simpati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dirinya.

Datuk meminta dia bercerita bagaimana puncanya dia boleh menuntut ilmu yang bertentangan dengan agama Islam yang suci.

Menurutnya, dia terdorong menuntut ilmu salah itu berpunca dari masyarakat di kampungnya yang tidak mahu memaafkan atas perbuatan yang dilakukannya.

Meskipun dia mengakui pada mereka, perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak.

"Apa yang kau buat?", tanya Pak Mardan.

"Saya mencuri dua kepul besar padi untuk anak saya yang sakit."

"Bila kau lakukan perkara itu?", datuk pula menyoal.

"Masa mula-mula Jepun datang ke Malaya. Mereka adukan perbuatan saya itu pada Jepun.

"Saya diseksa meskipun saya menyembah kaki orang yang punya beras itu untuk meminta maaf."

"Lagi?" tanya datuk lagi.

"Saya merasa malu, anak isteri saya merasa malu. Akhirnya saya lari ke Selatan Siam dan menuntut ilmu ini dengan harapan saya akan dihormati dan dikagumi”, jelas lelaki itu dengan jujur.

Datuk dan Pak Mardan berpandangan.

"Tetapi, bila sudah ada ilmu kau jadi manusia yang takbur dan mahu tunjuk kuasa lalu memeras orang lain untuk hidup”, ujar datuk lagi.

Lelaki itu terdiam dan termenung panjang. Datuk dan Pak Mardan tidak tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Jangan takut dan merasa malu sesama manusia, tetapi takut dan malulah pada Allah yang memberikan kau nyawa, tubuh badan dan pancaindera yang tidak ternilai harganya buat kau, bersyukurlah pada kuasaNya dengan mengikut segala suruhanNya dan menjauhi dari perbuatan yang ditegahNya”, datuk terus memberikan penerangan.

Lelaki itu kelihatan resah. Dia mundar-mandir di halaman masjid. Duduk di anak tangga masjid kembali.

Tiba-tiba dia batuk bertalu-talu. Dia mengurut-urut dadanya dengan tangan. Nafasnya kelihatan sesak. Bibirnya kelihatan kehitam-hitaman.

Saya mula tercium bau kapur barus, bau sintuk dan limau yang selalu digunakan untuk memandi mayat.

Datuk menghampiri lelaki itu yang mahu merebahkan badannya atas tanah.

Datuk berdiri lutut, kepala lelaki itu diletakkannya atas peha kanan. Pak Mardan dan saya berpandangan.

Subuh sudah pun tiba, sebentar lagi masjid itu akan didatangi oleh orang-orang kampung.

Kokok ayam juga sudah mula berkurangan, tidak serancak tadi. Tetapi rasa sejuk terus menggigit kulit badan bersama hembusan bayu subuh yang tenang.

Langit biru kelihatan bersih, bersama kepulan awan yang berbagai bentuk.

Sesekali saya terdengar bunyi ranting getah dan cempedak yang reput jatuh ke bumi.

Saya menoleh ke arah tanah kubur yang terletak di sebelah kanan masjid. Samar-samar saya lihat batu nisan terpacak kaku.

"Badannya dah lemah, gerak nadinya juga lemah”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Mata lelaki itu tegak memandang langit, mata hitamnya sudah tidak bercahaya lagi. Datuk rasa cuping lelaki itu.

"Dia ni dah parah macam terkena bisa”, tambah datuk sambil meraba seluruh kulit lelaki itu.

Tiba-tiba datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas ubun-ubun kepala.

Mulutnya bergerak-gerak membaca beberapa ayat dari Surah Yasin.

"Ilmu yang dituntutnya memakan dirinya sendiri”, keluh datuk dan dahi datuk kelihatan berpeluh.

Pak Mardan menekan bibir bawahnya dengan gigi atas. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat lelaki itu menarik nafas panjang dan terus mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas.

Sebaik saja dia selesai mengucap, nafasnya terus terhenti dan datuk merapatkan kelopak matanya dengan menggosokkan ibu jari kiri pada kulit matanya.

"Allah sayangkan dirinya dan dia mati sebagai seorang Islam. Pada zahirnya kita lihat dia sesat dan jauh terpesong dari ajaran agama.

"Tetapi dengan kuasa Allah dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah”, keluh Pak Mardan.

Datuk pun mengangkat mayat lelaki itu ke dalam masjid.

"Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan kita sebagai manusia tidak berhak menjatuhkan hukuman pada seseorang itu sebagai murtad atau kafir.

"Yang berhak menentukan semuanya ini adalah Allah. Dan Allah akan menghitung amalan dan kejahatan seseorang," kata datuk pula.

Orang-orang kampung yang ke masjid subuh itu terkejut melihat mayat dalam masjid.

Datuk lalu memberitahu orang kampung apa yang terjadi akibatnya, timbul perbalahan kecil kerana ada orang-orang kampung yang tidak mahu menanam jenazah lelaki itu.

"Kamu harus ingat, tanggungjawab orang yang hidup ialah menguruskan mayat ini dengan sempurna, kalau tidak ada seorang pun yang mahu menyempurnakannya, seluruh penduduk kampung ini menanggung dosa.

"Ini fardhu kifayah. Soal dia membuat dosa itu ialah urusan dia dengan Allah”, suara datuk lantang.

Orang kampung yang baru selesai sembahyang subuh berpandangan sesama sendiri.

Dan perbalahan yang terjadi terus hilang. Semuanya bersetuju menguruskan mayat lelaki itu.

Akhirnya Pak Mardan dapat juga mengetahui asal-usul lelaki itu. Dia berasal dari satu kawasan di Perlis yang letaknya berhampiran dengan sempadan Siam.

Dia datang ke situ kira-kira sepuluh tahun yang lalu, membeli sekeping tanah yang letaknya agak terpencil dari kawasan rumah orang-orang kampung disitu.

Setelah urusan pengkebumikan jenazah selesai, Pak Mardan, saya dan datuk bersiap-siap untuk meninggalkan daerah kampung Sungai Tinggi.

Sebaik saja kami melangkah keluar dari masjid, beberapa orang kampung datang menemui datuk. Mereka minta datuk dan Pak Mardan tinggal beberapa hari lagi di situ.

"Kenapa?", cukup lembut Pak Mardan bertanya pada mereka.

"Kami bimbang kalau ada sesuatu yang buruk terjadi”, balas orang kampung.

Datuk garu pangkal kening kiri dua kali. Datuk renung ke langit melihat awan putih yang berarak tenang. Datuk renung muka orang kampung.

"Kenapa kita mesti takut pada cerita yang belum terjadi? Kenapa kita tidak takut pada pada Allah? Kenapa kita tidak memohon perlindungan dariNya, Allah yang berkuasa.

"Penuhkan masjid dan surau bila sampai waktu sembahyang, bacalah Surah Yasin dengan betul pada setiap malam daripada menghabiskan masa dengan bersembang tidak tentu arah”, terang datuk sambil memasukkan kad pengenalannya ke dalam saku baju.

"Kalau ada awak lagi baik”, balas orang kampung.

"Saya pun memohon dan minta pada Allah. Ingatlah Allah sayangkan orang yang mencintai diriNya. Biarlah kami pulang, saya akan menolong awak jika difikirkan perlu”, datuk pun menarik tangan saya, meninggalkan kawasan masjid dengan diikuti oleh Pak Mardan.

Orang-orang kampung hanya memandang langkah kami yang telah menuju ke tepi jalan raya.

Kerana hari masih awal baru jam dua petang, Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Taiping untuk membeli beberapa helai kain pelekat cap siput.

Datuk pun memenuhi permintaan Pak Mardan dan secara kebetulan pula datuk mahu membeIi beberapa butir kemenyan putih serta pulut hitam.

Sementara menanti bas dari Pantai Remis ke Taiping, datuk dan Pak Mardan terus bercakap-cakap.

"Aneh juga manusia yang meninggal tu”, Pak Mardan memulai bicara.

Datuk tersengih sambil menekan daun rumput dengan hujung kasut capal buatan orang Minang. Saya sudah diatas batu tanda jalan.

"Usahlah dikenang dan disebut orang yang dah mati”, balas datuk.

"Kenapa awak tak berusaha mengubatinya?”, Pak Mardan bertanya.

"Bila ajal seseorang itu sudah sampai, tidak ada siapa yang boleh menahannya."

"Kita boleh berikhtiar."

"Menurut cakap guru aku, seorang dukun atau pawang hanya boleh mengubati dan menyembuhkan penyakit setakat 99 jenis penyakit saja dengan izin Allah”, balas datuk.

Pak Mardan menggosok-gosok batang hidungnya dengan ibu jari kanan. Kerana terlalu lama digosok batang hidungnya yang dempak itu menjadi merah dan berkilat bila dipanah sinar matahari.

"Penyakit ini ada berapa jenis?", soal Pak Mardan sambil berhenti menggosok batang hidung. Matanya tajam merenung wajah datuk.

"Kata guru aku, yang diketahui ada 100 jenis, manusia cuma boleh berikhtiar dan berusaha mengubatinya setakat 99 saja yang satu lagi tetap menjadi hak Allah.

"Di sinilah letaknya timbang rasa dan kasihnya Allah pada manusia, dia cuma mengambilnya satu saja.

"Manusia sudah merasa berat sedangkan yang 99 itu dia suruh manusia berikhtar mencari ubatnya sesuai dengan peredaran masa dan zaman”, datuk bagaikan berkuliah di hadapan Pak Mardan.

Bas yang dinanti pun tiba. Kami pun naik, lebih kurang 45 minit berada dalam perut bas, kami pun sampai diperhentian bas bandar Taiping yang tidak mempunyai bangunan.

Dari situ kami bergerak menuju ke bangunan kedai batu sederet yang terletak dijalan besar, masuk ke kedai menjual kain pelekat kepunyaan India Muslim.

Setelah berlaku tawar menawar antara Pak Mardan dengan penjual kain pelekat, Pak Mardan setuju membeli sehelai kain pelekat cap siput yang bercorak besar.

"Untuk dipakai masjid”, kata Pak Mardan pada saya.

"Cukup cantik warnanya”, balas saya.

“Warna tak penting yang penting berapa lama kain ini boleh digunakan”, sahut datuk, lalu saya dan Pak Mardan ketawa.

Tuan punya kedai tersenyum dan memasukkan wang yang diambil dari Pak Mardan ke dalam laci yang bermeja panjang.

Dari kedai itu, kami menuju ke pasar besar Taiping untuk membeli kemenyan putih dan pulut hitam dari pekedai Melayu.

Memang jadi kebiasaan pada diri datuk lebih suka membeli barang dikedai Melayu. Kalau tidak ada, baru dia pergi ke kedai India Muslim.

Saya kira datuk menyimpan sedikit rasa perkauman tetapi, bila hal itu diajukan padanya datuk menafikan dengan alasan dia berbuat begitu bukan kerana sikap perkauman.

Dia mahu menolong bangsanya yang agak mundur dalam bidang perniagaan.

"Kalau aku tidak tolong bangsa aku, siapa lagi?" katanya.

Memang ada lojiknya cakap datuk itu. Ketika datuk memilih-milih kemenyan putih yang baik, dia bertemu dengan seorang kenalannya dari Gunung Semanggul, seorang ulama terkenaI di Perak dan pengasas sekolah Al-Ehya Al-Shariff, iaitu Ustaz Abu Bakar Al Baqir (sudah meninggal dunia).

Datuk memperkenalkan kawannya itu dengan Pak Mardan. Setelah bertanya khabar tentang anak isteri, datuk terus bercerita pada kawannya itu yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit. Mereka bersalam dan berpisah.

Dari pasar kami bergerak menuju ke sebuah kedai buku. Di kedai buku itu datuk membeli beberapa buah kitab yang bertulis jawi.

“Saya balik dulu”, tiba-tiba Pak Mardan memberitahu datuk dalam perjalanan menuju ke masjid bandar Taiping untuk menunaikan sembahyang Asar.

Datuk tidak menjawab kecuali tersenyum sambiI meneruskan perjalanan ke masjid.

Bila selesai sembahyang dan berdoa, datuk segera menghampiri Pak Mardan dan berkata:

"Adat orang berkawan, kalau datang berdua pulang pun berdua, mesti sabar dan setia serta bertimbang rasa."

"Saya ada hal”, balas Pak Mardan.

"Pelik juga, tiba-tiba saja ada hal. Kita balik bas pukul tujuh sesudah sembahyang Maghrib di sini."

"Saya tak mahu. Saya nak pulang sekarang”, saya lihat muka Pak Mardan berubah. Matanya kelihatan bercahaya. Datuk termenung panjang.

"Terpulanglah pada awak. Cuma yang dikesalkan permintaan awak saya penuhi.

"Tetapi permintaan saya awak hampakan. Langkah dan rentak awak tak sama dengan saya”, datuk meluahkan perasaannya.

Pak Mardan diam. Tangan kanannya menekan jenang pintu. Dia merenung ke arah datuk macam orang mahu bergaduh.

"Saya tak merasa rugi kalau tak berkawan dengan awak”, memang diluar dugaan saya Pak Mardan mahu berkata begitu pada datuk.

Darah saya naik dengan tiba-tiba. Malu rasanya diri, bila datuk diperlakukan demikian. Saya bangun. Tiba-tiba datuk memegang kaki kanan saya.

"Jangan ikut darah muda. Ilmu kau tidak sebanyak mana jangan cuba nak berlagak.

"Inilah salah satu sebabnya aku tidak mahu menurunkan ilmu aku pada kau. Kau terlalu pemanas”, kata datuk. Saya duduk kembali.

"Tak apalah Mardan. Pulanglah semoga Allah memberkati perjalananmu, terhindarlah kau dari sebarang kecelakaan dalam perjalananmu Mardan. Maafkan aku”, cukup lembut suara datuk dalam ruang lingkup masjid Taiping yang sejuk dan nyaman itu.

Pak Mardan tidak membalas cakap datuk itu, sebaliknya dia menghempaskan daun pintu masjid dengan sekuat hati.

Dia melangkah meninggalkan masjid. Datuk termenung panjang, dia memerah otaknya memikirkan sikap Pak Mardan yang tiba-tiba menjadi marah tanpa sebab.

Akhirnya, datuk membuat kesimpulan apa yang dialaminya sebentar tadi sebagai satu pengalaman baru yang aneh dalam hidupnya.

"Ini satu ujian atau sememangnya dia mahu mencabar aku. Kerana dia tahu aku dengannya tidak seguru, bukan sikap aku membeli tidak bertempat”, keluh datuk dalam perut masjid sambil memandang kipas angin yang berputar.

Saya hanya memicit pangkal kening sambil merenung keluar menerusi tingkap masjid yang terdedah.

Kenderaan dan manusia yang berjalan dijalan jelas kelihatan dalam sinar-sinar matahari petang yang kian redup.

"Sabar itu kunci kebaikan dan marah itu punca kecelakaan. Itu pesan guru aku dulu dan pesan itu aku sampaikan pada kau Tamar untuk jadi pelita hidup kamu. Dunia ini penuh dengan misteri”, kata datuk merenung muka saya.

Datuk juga memberitahu saya sebab dia mengambil keputusan untuk pulang lewat kerana menurut gerak rasa pancainderanya, perjalanan yang dibuat sebelum matahari terbenam akan berhalangan besar.

Sementara menanti matahari terbenam datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

Saya pun keluar dari perut masjid menuju ke sebuah kedai yang berdekatan. Saya membeli buku tulisan setebal dua puluh muka dan sebatang pensil yang sudah siap diasah.

Bila buku dan pensil berada di tangan, saya terasa lapang. Ada sesuatu yang mesti saya kerjakan sementara menanti datuk berhenti membaca Al-Quran.

Dengan menjadikan mata tangga masjid sebagai meja, saya terus menulis beberapa rangkap pantun orang tua-tua yang saya minati dalam tulisan jawi yang tidak berapa cantik.

Kebanyakan daripada rangkap pantun itu saya perolehi daripada nenek. Semuanya berunsurkan nasihat dan tunjuk ajar yang baik.

Bila ada masa terluang pantun yang saya tulis itu saya bacakan pada nenek, suka benar hatinya.

Ini salah satu sebab yang mendorong saya untuk menulis pantun.

"Kenapa duduk menulis di sini, kamu anak siapa? Anak peminta sedekah mana pula yang mahu menumpang di sini? Di sini bukan tempat peminta sedekah. Masjid bukan rumah kebajikan”, berdesing telinga saya mendengar kata-kata itu yang keluar daripada mulut seorang lelaki lima puluhan.

Orangnya kurus dan badannya agak bongkok bila berjalan, memakai kain pelekat dan baju Melayu, misainya tebal tidak padan dengan bentuk wajahnya yang kecil dan kering. Dia memakai songkok putih yang sudah bertahi lalat.

"Saya tunggu datuk saya."

"Mana datuk kamu?"

"Dalam masjid baca Al-Quran."

Lelaki itu diam. Dia terus ke dalam masjid, ambil penyapu lalu membersihkan kesan-kesan pasir yang terdapat ditangga masjid dan ruang hadapan.

Tahulah saya bahawa lelaki itu menjadi siak masjid tersebut. Datuk selesai membaca Al-Quran.

Datuk menghampiri saya dan matanya memerhati dengan tajam ke arah Tuk Siak yang menyapu bahagian kiri masjid. Lama juga datuk tenung Tuk Siak yang berbadan melengkung.

"Tamar masuk ke dalam baca kitab atau Surah Yasin dari membuang masa di situ”, suara datuk yang agak tinggi dan keras itu membuat Tuk Siak berpaling ke arahnya.

Tuk Siak datang mendekati datuk sambil membawa menyapu.

"Awak Mail. Dah lama kerja di sini?"

"Dah lama. Sejak bercerai dengan isteri, saya tinggalkan Kampung Paya Takung dan menetap di sini."

"Baguslah”, balas datuk dan mereka pun bersalaman.

Datuk menyatakan pada Mail (Tuk Siak) yang saya ini adalah satu-satunya cucu yang paling disayangi dan selalu dibawa ke mana-mana sebagai teman.

Mail agak terkejut kerana dia memang tidak pemah mengenali saya. Cucu datuk yang lain-lain dikenalinya.

Saya memang jarang merayau dalam kampung walaupun jarak kampung saya dengan Paya Tekung tidaklah begitu jauh, lebih kurang sebatu saja.

"Semalam saya ke rumah. Orang rumah kata awak dah keluar dan belum tentu bila baliknya”, kata Mail.

"Apa halnya?"

"Nak minta awak tolong ikhtiarkan tentang anak saya."

"Apa kenanya?"

"Dah berbulan-bulan terbaring dalam bilik. Kadang-kadang menjerit-jerit dan terpaksa diikat. Dua tiga orang tak boleh terpegang."

"Kita bukan pawang, kita bukan bomoh tapi kalau nak mencuba bolehlah. Kita berikhtiar, yang menentukan Allah,"

Mail terdiam.

Kerutkan mukanya sambil mengigit bibir. Dari gerak matanya, saya kira ada rasa kesangsian bermain dalam hatinya tentang kemampuan datuk.

Sudah berbelas dukun dan pawang yang handal dipanggil, tetapi, semuanya gagal.

Semua doktor yang ditemui mengatakan anaknya tidak mengalami apa-apa penyakit.

Matahari yang tersangkut di langit bandar Taiping kian menurun, sinarnya bertambah redup. Di kemuncak Bukit Maxwell (sekarang Bukit Larut) kelihatan kabus tebal.

"Kita berikhtiar, itupun kalau kau mahu”, datuk bersuara membuat Mail yang termenung itu terkejut.

Dia anggukkan kepala tanda setuju. Dan Mail memberitahu pada datuk, jika anaknya itu diletakkan di bawah pokok asam kumbang besar dibelakang rumah, dia akan segar dan berkeadaan seperti orang biasa.

"Begini saja. Lepas sembahyang Isyak aku ikut kau ke rumah melihat dulu keadaannya”, beritahu datuk pada Mail.

"Saya ingat kita pergi sekarang."

"Boleh juga, dimana rumah kau?"

"Di Kampung Pinang. Saya beli tanah di situ dan buat rumah. Saya dah kahwin dengan orang Kulim."

"Baguslah”, datuk senyum dan Mail menyatakan pada datuk, bahawa nenek saya yang ditemuinya semalam tetap sihat.

Untuk pergi ke rumah Mail, saya dan datuk terpaksa naik lanca (beca roda tiga) yang dikayuh oleh seorang lelaki bangsa India, sedangkan Mail mengekorinya dengan basikal.

Waktu membelok di satu selekoh, beca yang kami naiki berlaga dengan sebuah kereta.

Badan datuk tercampak dari beca menghentak dinding kereta Morris Minor kepunyaan guru besar Sekolah Melayu Selama yang baru dua hari lulus ujian memandu.

Dalam perlanggaran itu, saya tidak apa-apa tetapi, tayar beca sebelah kanan jadi macam angka lapan.

Dinding kereta Morris Minor remuk dan pintunya tidak boleh dibuka, melihat keadaan kereta itu, hati saya berdebar.

Tentu datuk mengalami kecederaan yang parah. Saya tersentak bila melihat

datuk boleh bangun sambil mengibas-ngibas kesan batu-batu kecil yang terletak di pakaiannya. Dia tidak luka dan tidak pula bengkak.

Guru besar segera keluar dari perut kereta dengan wajah yang masam dan mula menyalahkan penarik beca.

Pertengkaran pun berlaku, masing-masing tidak mahu mengaku salah. Penarik beca kepal buku lima. Guru besar lipat lengan baju. Mereka mahu beradu kekuatan. Orang ramai mula berkumpul.

"Mana yang rosak biar saya baik”, ujar datuk lalu memukul dinding kereta dengan tapak tangan kiri.

Bahagian dinding yang remuk elok kembali. Kemudian datuk memegang tayar beca yang jadi angka lapan.

Dia urut tiga kali macam urut tangan yang bengkak. Tayar beca itu kembali elok macam asal.

Dalam keadaan orang ramai kelam-kabut begitu, datuk menarik tangan saya meninggalkan kawasan kejadian sesudah memberi wang pada pemandu beca itu.

Akhirnya kami sampai juga ke rumah Mail dengan beca lain. Di rumah barulah saya mendapat tahu dengan jelas tentang Mail.

Di samping menjadi siak dia juga menguruskan pengebumian jenazah orang yang mati di penjara Taiping kerana hukuman gantung (jika tidak dituntut oleh pihak waris).

Setelah bercerai dengan isterinya yang dulu, dia membawa anak sulungnya tinggal bersamanya.

Setelah anaknya tamat sekolah melalui jasa orang besar Jajahan Larut yang bergelar Tengku Menteri (kalau tak silap saya), anaknya itu dapat bekerja sebagai budak pejabat di Jabatan Ukur.

Sejak bekerja, anaknya tidak tinggal bersamanya lagi. Tinggal bersama-sama kawan-kawan dengan menyewa rumah di pinggir bandar Taiping, tidak jauh dari kawasan perumahan sesak di Tupai.

"Naik”, kata Mail.

Saya dan datuk pun ikut perintahnya. Kami terus masuk ke bilik anaknya terlantar, tidak bergerak kelihatan macam mayat. Badan kurus dengan pipi yang cekung.

"Siapa namanya Mail?"

"Razman, orang panggil Man."

"Jadi nama panggilan sehari-hari Man ya. Emaknya siapa namanya?"

"Munah."

"Umurnya?"

"Umur siapa emak atau anak?"

"Anak."

"Dua puluh tiga tahun."

Datuk rapatkan mulut ke telinga Razman dan membisikkan sesuatu. Tiba-tiba Razman membuka mata dan bangun.

Dia kelihatan gagah berdiri sambil bertempik dan melompat. Tali belati yang mengikat kakinya terputus.

Razman melompat ikut tingkap dan terus lari ke bawah pokok asam kumbang.

Duduk bersila di situ, dengan kedua belah tangannya terletak atas kedua tempurung lutut, macam pelajar silat menerima amanat dari guru silat.

"Anak awak ni dah silap langkah”, beritahu datuk pada Mail sambil turun dari rumah menuju ke bawah pokok asam kumbang.

Beberapa ela lagi mahu sampai ke bawah pokok tersebut, datuk mencabut sebatang pokok kecil.

Dengan pokok itu datuk membelasah belakang Razman hingga lembik. Kemudian datuk dukung Razman pulang.

Di rumah datuk menggosok belakang Razman dengan pucuk pisang nangka hingga kesan berbalar kena pukul itu hilang.

Datuk letakkan Razman betul-betul di bawah tulang bumbung rumah.

"Jangan diubah-ubah hingga saya datang pada sebelah malam nanti”, pesan datuk pada Mail.

"Mahu ke mana pula?"

“Ke masjid tadi, saya nak membuat amalan sedikit. Mudah-mudahan dengan izin Allah sakit anak awak akan pulih."

"Baiklah”, sahut Mail.

Saya dan datuk kembali ke masjid semula. Selepas menunaikan sembahyang Isyak, datuk terus membaca Al-Quran.

Kira-kira pukul tiga pagi sesudah datuk melakukan sembahyang tahajjud dua rakaat, barulah saya dan datuk pergi ke rumah Mail.

Perjalanan pada sebelah malam itu agak berbeza dengan perjalanan waktu siang. Sebelum keluar masjid datuk suruh saya ikat mata dengan kain. Bila kain dibuka saya sudah berada di kaki tangga rumah Mail.

Perkara pertama yang datuk lakukan bila duduk di hadapan Razman ialah meminta segelas air sejuk.

Setelah air itu ditawar jampi datuk basuh muka Razman dengan air itu. Datuk pegang dan tekan tulang rusuk sebelah kanan Razman dengan jari hantu.

"Man, dari mana kau dapat semuanya ni?" datuk menyoal.

Razman membuka mata. Terkelip-kelip macam mata katak puru kena sembur air.

Mulutnya terkumat-kamit tanpa suara. Kemudian Razman rapatkan matanya kembali. Kaku.

Datuk mengulangi perbuatannya itu selama tiga kali berturut-turut. Semuanya gagal.

Datuk lalu meminta Mail mencari seekor ayam jantan putih. Permintaan itu Mail tunaikan.

Bila ayam jantan putih berada dalam tangan datuk, dia segera meninggalkan ruang rumah masuk ke bawah rumah.

Datuk sembelih ayam itu betul-betul di bawah lantai tempat Razman baring. Darah ayam itu datuk isikan dalam cawan putih.

Datuk juga memberitahu Mail apa yang dilakukannya terhadap Razman jangan ditegur, walaupun perbuatan itu nampak kejam dan tidak bertimbang rasa.

Datuk bawa darah ayam dalam cawan putih ke atas rumah. Datuk dekatkan cawan yang berisi darah itu ke hidung Razman.

Bila tercium bau darah ayam, Razman segera bangun macam orang sihat mahu meminum darah.

Datuk tampar muka Razman dengan sekuat hatinya hingga Razman rebah atas tempat tidurnya kembali.

"Setakat ini sahaja. Esok aku ikhtiarkan lagi”, beritahu datuk pada Mail.

Mail anggukkan kepala dan terus masuk ke bilik tidur. Saya dan datuk pergi ke anjung rumah dan tidur di situ.

Malam itu saya tidak mengalami sebarang mimpi yang aneh, tetapi diri datuk saya tidak tahu.

Tamat siri 34/284

BACA: SBDJ Siri 33: Muntahkan Ulat Dan Paku Karat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, April 05, 2019

SBDJ Siri 33: Muntahkan Ulat Dan Paku Karat

SBDJ Siri 33: Muntahkan Ulat Dan Paku Karat

Pak Mardan dan saya terus ke bahagian belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegar-legar di situ. Hujan terus turun mencurah-curah. Petir dan kilat sabung-menyabung di malam yang pekat.

Siri SBDJ 15

Saya dan Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning erat-erat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.

"Kau Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada perintahnya.

Pak Mardan merenung ke muka Halimah yang sudah kelihatan cemas. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak-gerak. Saya tidak tahu apa yang di bacanya.

"Kau jangan tegur apa yang kami buat Halimah. Aku tahu sebahagian dari anak rambut kamu sudah terkena tempias air hujan”, suara Pak Mardan parau.

Matanya mula bersinar garang. Pak Mardan terus bersemadi di depan baldi di plastik berwarna merah.

Dalam masa itu Pak Mardan menumpukan seluruh perhatian pada ilmu yang di tuntut dari gurunya.

Saya lihat baldi dalam air plastik merah bergerak macam air sedang mendidih.

Diluar hujan terus mencurah-curah, cahaya petir jelas kelihatan menyelinap ke dalam bilik pengantin.

Kerana saya ada mendapat petua sedikit dari datuk bagaimana mahu menumpukan seluruh pancaindera pada alam lain, saya segera melakukannya.

Memang saya terasa yang diri saya terpisah dari keadaan keliling. Saya berhadapan dengan satu alam yang sunyi dan tenang.

Lebih kurang setengah jam kemudian, saya terdengar sayup-sayup bunyi berdesing.

Makin lama, makin jelas bunyi itu seperti benda yang sedang terbang menuju ke arah bilik pengantin.

Tidak lama kemudian terdengar bunyi ledakan yang cukup kuat di atas bumbung rumah, bunyinya macam letupan meriam buluh.

Serentak dengan ledakan itu, saya terdengar bunyi besi-besi kecil berlaga sesama sendiri.

Saya juga terdengar bunyi logam berjatuhan dari tulang bumbung berhampiran dengan hujung kaki Halimah.

Bila saya membuka mata, saya dapati Halimah tidak sedarkan diri. Di hujung kakinya terdapat berpuluh-puluh batang paku, kaca dan jarum karat berserakan. Pak Mardan segera menghampiri saya.

"Kalaulah kita terlewat Tamar, aku tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi”, ujar Pak Mardan pada saya sambiI meraba pangkal kening sebelah kiri.

Bunyi suara hujan diluar mula berkurangan. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil betul-betul di hujung kepala lutut Pak Mardan.

Saya lihat Pak Mardan rebah atas lantai, mukanya segera bertukar menjadi kehitam-hitaman.

Saya mengelabah, paku dan besi buruk serta jarum karat bagaikan bergerak-gerak ke arah saya dan Pak Mardan.

"Datukkkk tolongggg”, pekik saya dengan sekuat hati.

Ketika itu saya rasa batang leher saya cukup panas, bila menelan air liur terasa pedih.

Punggung saya bagaikan berada di atas bara api. Dalam keadaan yang gawat itu, saya dapati datuk sudah pun berdiri diambang pintu.

"Bertenang”, kata datuk lalu melemparkan kain hitam yang terselepang di dada atas lantai.

Pak Mardan boleh bergerak dan duduk semula seperti asli. Leher saya tidak terasa panas lagi, punggung saya kembali berada di atas papan lantai.

"Kau saja selesaikan perkara ini Mardan”, kata datuk.

Pak Mardan anggukkan kepala. Datuk terus duduk bersila di tengah pintu.

Halimah masih lagi terkapar di kaki katil macam mayat. Tetapi besi kuning masih berada dalam dalam genggamannya.

"Bantu saya kalau saya tewas”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

"Saya akan bantu mana yang patut, Allah bersama kita”, balas datuk.

Pak Mardan pejamkan mata, saya juga begitu. Tidak ada sesuatu yang aneh berlaku. Pak Mardan menampar paha kanan saya sekuat hati.

"Begini saja. Kau dan aku sama-sama melihat air dalam baldi”, bisik Pak Mardan sambil merenung ke wajah datuk.

Dan datuk bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Pak Mardan pada saya.

Datuk anggukkan kepala kepada saya dengan maksud supaya mematuhi apa yang diperintahkan Pak Mardan.

Saya pun merenung ke arah air di dalam baldi. Saya lihat air di dalam baldi bergerak macam air sedang mendidih, mengeluarkan asap tebal macam asap rokok, berlegar-Iegar di permukanan baldi, asap itu naik meninggi dan akhirnya terus hilang.

Saya mula terhidu bau hamis, seperti bau darah seekor ayam yang baru disembelih.

Kepala saya terasa pening tetapi saya masih lagi dapat mendengar bunyi hujan yang kian berkurangan diluar. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.

Dalam samar-samar itu, saya lihat bayangan wajah seorang lelaki yang tidak saya kenali.

Dalam keadaan saya berkhayal itu, saya lihat Pak Mardan menepuk air di dalam bilik. Kemudian Pak Mardan menutup permukaan baldi dengan kain putih.

Datuk melihat saja apa yang dilakukan oleh Pak Mardan. Halimah mula bergerak dan melepaskan besi kuning yang di genggamnya.

"Kau terlepas dari bahaya Halimah”, kata Pak Mardan dan menyuruh Halimah beredar dari situ.

Hujan berhenti terus. Orang ramai mula membetulkan kain-kain khemah yang jatuh dirempuh angin. Pancaragam dari Taiping diminta meneruskan permainannya kembali.

Pak Mardan terus menemui ayah Halimah dan minta meneruskan acara yang telah ditetapkan.

Walaupun acara bersanding agak lewat diadakan dari masa yang ditetapkan, orang ramai tidak merasa kecewa malah memuji pihak tuan rumah yang sanggup mengadakan majlis tersebut. Upacara bersanding berjalan dengan penuh kemeriahan.

"Semuanya sudah selamat”, kata datuk pada Pak Mardan yang ketawa kecil melihat pengantin perempuan dan lelaki di atas pelamin.

Bila upacara bersanding selesai, Pak Mardan terus menerpa ke bilik Halimah untuk mengutip paku dan besi yang berserakan.

Malam itu saya dan datuk serta Pak Mardan tidur di masjid. Pada mulanya pihak tuan rumah melarang kami tidur di masjid.

Setelah diberitahu oleh Pak Mardan bahawa tindakan itu bukanlah berniat mahu memalukan tuan rumah, tetapi bertujuan menghindarkan sesuatu yang buruk terjadi kalau Pak Mardan masih ada di situ.

Orang yang berniat jahat terhadap Halimah akan mengulangi perbuatan terkutuknya.

Alasan itu, dapat diterima oleh pihak tuan rumah dengan baik.

Banyak perkara yang ditanya oleh datuk pada Pak Mardan berhubung dengan ilmu menahan hujan.

Saya lihat datuk cukup berminat belajar sesuatu dari Pak Mardan. Rasa meluat mula datang dalam hati saya terhadap sikap datuk itu.

Apa perlunya datuk mencari ilmu lagi? Apakah dia tidak terfikir usianya sudah lanjut? Apakah ilmunya yang ada tidak mencukupi? Tanya saya dalam hati sambil menyandarkan badan pada pada tiang seri masjid.

"Saya bukan apa-apa, sekadar mahu tahu saja. Bukankah belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan itu memang dituntut oleh agama Islam”, saya terdengar suara datuk agak meninggi.

"Memang”, sahut Pak Mardan.

"Saya teringat tentang Surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud lebih kurang begini: Wahai para jin dan manusia! Kalau kamu sanggup menembus sempadan langit dan bumi, maka tembuslah. Kau tak akan sanggup melintasi melainkan dengan kekuatan”, ujar datuk dengan tenang.

Pak Mardan tersenyum seraya berkata, "Maksud kekuatan dari ayat itu ialah ilmu pengetahuan."

"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.

Kedua-duanya saling tepuk menepuk antara satu sama lain. Melihat dari cara mereka bercakap itu, saya segera membuat kesimpulan antara datuk dan Pak Mardan memang terdapat rasa persefahaman.

Tetapi secara tidak langsung antara mereka masih mahu menunjukkan yang diri masing-masing sama-sama tahu.

Dan saya kira kalau datuk masih meneruskan sikapnya itu, Pak Mardan tidak begitu mudah mahu melahirkan sesuatu yang dia tahu pada datuk.

Suasana di luar masjid cukup gelap. Suara cengkerik dan katak bersahut-sahutan.

Saya merasa kedinginan dan kelopak mata mula rasa agak berat. Dua kali saya menguap panjang.

Barangkali datuk mula sedar bahawa Pak Mardan tergolong dalam golongan orang yang agak sombong dan membanggakan diri, yang mengakui dirinya tidak begitu pandai tentang hal-hal ilmu dunia.

"Saya ni baru sangat dalam hal ini. Ilmu dunia tidak sebanyak mana, ilmu akhirat lagi kurang, saya masih belajar”, begitu lemah nada suara datuk.

Ekor matanya menjeling ke arah saya dalam sinaran lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap gelap.

Mendengar kata-kata datuk itu, Pak Mardan termenung panjang. Dia kerutkan kedua belah keningnya, macam memikirkan sesuatu.

“Saya tidak ada kuasa untuk menahan hujan”, katanya lemah.

"Jadi apa yang awak buat?", sanggah datuk.

"Awak ini macam tak tahu pula, bukankah AIlah berkuasa atas segala-galanya. Saya mohon doa pada Allah minta hujan jangan turun di suatu kawasan."

"Lagi apa yang awak buat?"

"Mengamalkan beberapa petua dari nenek moyang itu saja. Setakat ini permohonan saya diberkati, itu saja yang buat."

Datuk anggukkan kepala mendengar keterangan dari Pak Mardan, tetapi datuk merasakan Pak Mardan menyembunyikan sesuatu darinya.

Kerana itu datuk agak keberatan bila Pak Mardan menyuruh dia baring di atas lantai masjid.

Datuk terus melawan dia bercakap hingga Pak Mardan memberitahu datuk yang dia memang menuntut ilmu menahan hujan dari seorang bomoh hujan yang berasal dari Selatan Siam, iaitu di negeri Patani.

"Tiga tahun aku tinggal di sana”, Pak Mardan memberi keterangannya pada datuk.

Menurut Pak Mardan, ayahnya dulu salah seorang pendekar yang terkenal di Perak. Berjaya memotong leher pihak lawan dalam perang Larut.

Ayahnya telah diberikan 50 ekar tanah sawah oleh Sultan Perak masa itu, sebagai mengenangkan jasanya. Tanah itu dikecualikan dari sebarang cukai.

Bila tanah itu bertukar pada dirinya, Pak Mardan menjual tanah itu pada seorang jutawan Melayu dari Kuala Kangsar.

Hasil wang dari jualan tanah itu, Pak Mardan membeli tanah lain di Kampung Kota.

Saya tidak tahu, bagaimana datuk memujuk Pak Mardan hingga dia sanggup memberikan pada datuk beberapa petua dan amalan yang mesti dilakukan untuk menahan hujan.

Pak Mardan juga memberitahu datuk yang dirinya ada menyimpan ilmu melompat yang dituntutnya dari arwah ayahnya dulu.

"Ilmu tu dinamakan lompat sekayu kain. Masa perang Larut dulu, ilmu itu telah digunakan oleh ayah saya bagi menewaskan pihak lawan”, Pak Mardan tersenyum bangga menceritakan tentang keperwiraan ayahnya.

Datuk mengurut-urut dada. Kemudian dia tersenyum sinis. Pak Mardan kurang senang dengan sikap datuk itu, lalu dia menentang biji mata datuk lama-lama.

Datuk juga berbuat demikian. Dari gerakan dan kelipan mata Pak Mardan, datuk dapat membaca pembawa atau peribadi Pak Mardan. Datuk tahu Pak Mardan orangnya pantang dicabar.

Kesempatan itu datuk gunakan untuk menguji sejauh mana kebenaran kata-kata Pak Mardan.

"Aku tak yakin kau ada ilmu melompat sekayu kain”, amat lantang suara datuk.

Tiba-tiba saja Pak Mardan bangun. Dia beliakkan mata ke arah datuk.

"Awak mahu saya buktikan?"

"Itulah yang sebaiknya."

"Mari keluar."

Pak Mardan keluar dari masjid. Datuk pun begitu. Saya jadi serba salah. Dalam samar-samar lampu gasolin saya lihat jam tua yang tersangkut di tiang seri.

Jarum pendek dan panjang menunjukan ke angka dua belas. Rasa dingin cukup hebat menggigit kulit badan saya. Bibir saya mengeletar.

Suara katak dan cengkerik kian bertambah hebat. Datuk menghampiri Pak Mardan dengan tenang.

"Begini saja, sekarang pukul dua belas tepat. Pesan guru saya, tidak baik melakukan sesuatu tepat jam dua belas malam atau siang, banyak buruk dari baiknya”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Nampaknya Pak Mardan tidak membuat sebarang bantahan pada datuk.

Sementara menanti jarum jam berganjak dari pukul 12.00 ke pukul 12.02 minit, datuk duduk di kaki tangga masjid.

Pak Mardan berdiri di halaman masjid. Dia sudah pun memakai baju hitam dan seluar serta berselepang kain kuning. Dia membelakangi datuk.

"Datuk mahu bergaduh?", tanya saya pada datuk.

"Tidak. Sekadar mahu menguji. Setahu aku seorang pendekar atau pahlawan tidak akan menunjukkan kebolehannya di khalayak ramai. Pahlawan selalu bersikap macam harimau menyimpan kuku”, kata datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Sudah setengah jam masa berlalu Pak Mardan tidak juga menunjukkan kebolehan dan kemampuannya.

Datuk pun mula bertindak. Dia mencabar Pak Mardan dengan membalingkan sebilah sundang ke arah belakang Pak Mardan.

Dalam gelap itu Pak Mardan berjaya menyambar sundang dengan tangan kanannya lalu membalingkan ke arah datuk kembali dan datuk bagaikan kilat menangkap hulu sundang lalu ditikamkan ke batang pisang. Sundang terus melekat di situ.

Saya segera masuk ke masjid dan membawa lampu gasolin keluar. Saya letakkan di atas simen kolah tempat orang mengambil air sembahyang.

Cahaya dari gasolin itu menerangi sebahagian daripada halaman masjid. Datuk terus menyerang Pak Mardan.

Tujuan datuk berbuat demikian supaya Pak Mardan naik semangat. Tujuan datuk memang berjaya. Pak Mardan lalu membuat serangan balas yang cukup hebat, buah silat yang dilepaskan pada datuk cukup tajam dan cepat.

Datuk terus mengelak dan menepis hingga buah-buah silat yang ditujukan padanya tidak menjamah badan.

Datuk lalu mencabut sundang dari batang pisang, menerkam ke arah Pak Mardan. Cepat-cepat Pak Mardan melompat separas kepala datuk lalu menyepak pergelangan tangan datuk dari udara.

Pak Mardan tidak berjaya, saya lihat dia bagaikan terapung-apung di udara membuka silat baru, kemudian kakinya menjamah kaki bumi.

Saya lihat datuk melepaskan sesuatu macam bola api ke arah kaki kiri Pak Mardan. Dia menjerit lalu melompat melepasi bumbung masjid. Pak Mardan bagaikan terbang di udara.

Tubuhnya nampak bulat macam seketul kayu itu menuju ke arah pokok pisang tempat sundang terletak tadi.

Lebih kurang dalam jarak empat kaki mahu sampai ke perdu pokok pisang, Pak Mardan hulurkan kaki kanannya.

Dari kaki kanannya itu saya lihat keluar cahaya bulat dan memanjang, macam api andang.

Saya terdengar pekikan dari Pak Mardan cukup lantang, serentak dengan itu terdengar satu letupan kecil.

Saya lihat pokok pisang rebah ke bumi dan terbakar. Dalam beberapa saat saja saya lihat Pak Mardan dan datuk berdakap-dakapan di halaman masjid.

"Jangan menguji saya sampai macam itu. Nasib baik saya dapat arahkan pada perdu pokok pisang, kalau pada awak sudah lain jadinya”, ucap Pak Mardan sambiI menukar baju hitam kepada baju kemeja putih.

"Saya tahu. Saya cuma menguji bukan bergaduh, awak bukan calang-calang orang," balas datuk.

"Ah, tiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Macam kau dengan aku ni ada kelebihan dan ada kekurangannya.

"Yang sempurna dan gagah hanya Allah yang Maha Besar”, sebaik saja mengakhiri cakap itu, lagi sekali Pak Mardan memeluk tubuh datuk.

Kami masuk ke masjid. Ketika saya mahu merebahkan badan di sisi datuk. Pak Mardan menghampiri saya, muka saya direnungnya lama-lama.

"Belajarlah sesuatu dari datuk kamu."

"Datuk kedekut dengan ilmu."

"Betulkah cakap cucu awak ini? Tak patut buat begini”, Pak Mardan mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum.

"Tak betul tu. Ada saya curahkan ilmu penjaga diri dan beberapa petua untuknya. Saya rasa itu sudah cukup, yang lain tak mustahak.

"Saya dah pesan gunakan ilmu itu bila ada musuh atau masa terdesak, tidak boleh digunakan sebarangan”, ternyata penjelasan datuk itu memuaskan hati Pak Mardan.

"Zaman kami muda-muda dulu, kalau tak cukup syarat dengan ilmu di dada kami tidak merantau.

"Tetapi, anak -anak muda sekarang ini lain pula. Adat budaya dan cakap orang tua-tua di lupakan, sudah mahu merantau.

"Baru ada ilmu tak sampai sebuku sudah tunjuk pandai”, Pak Mardan macam merungut.

Datuk anggukkan kepala mengiakan cakapnya.

Saya menguap lagi, kelopak mata terasa cukup berat. Suara datuk dan Pak Mardan yang sedang bercakap saya dengar kian lama, kian jauh dan akhirnya saya tidak terdengar apa-apa lagi.

"Bangun, bangun”, saya dengar suara datuk meninggi dan badan saya digoncang oleh Pak Mardan.

Saya membuka mata dalam gelap. Lampu gasolin tu sudah lama padam. Rasa marah mula datang dalam hati, bagaimana saya tidak marah, kalau tengah sedap tidur terpaksa bangun.

"Kenapa tok?"

"Bangun, jangan banyak cakap."

Hasrat saya untuk mengajukan pertanyaan mati bila terdengar nada suara datuk begitu keras.

Datuk menyuruh saya dan Pak Mardan berpisah. Saya disuruh merangkak ke arah utara masjid, Pak Mardan ke selatan dan datuk sendiri merangkak ke arah pintu masjid.

Suara katak dan cengkerik di luar masjid berambah hebat. Saya mula terdengar deru angin melanggar ranting dan dahan kayu. Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak.

Dari tingkap masjid yang terbuka di tolak oleh angin, saya lihat ada api bergerak dalam gelap mengelilingi masjid.

Tiba-tiba pintu masjid terbuka dengan lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya, macam ada tenaga manusia menolaknya dari luar.

"Apa hajat?", teriak datuk sekuat hati.

Dan api yang bergerak mengelilingi masjid terus padam.

"Apa hajat?", ulang datuk lagi.

Saya lihat cahaya api itu datang kembali berada betul-betul di luar pintu masjid. Teriakan datuk tidak mendapat jawapan.

Pak Mardan tanpa disuruh terus menghidupkan lampu gasolin. Lampu itu dibawa ke pintu masjid.

Bila melihat cahaya lampu gasolin itu hati saya mula rasa tenteram. Kerana Pak Mardan sudah berdiri di samping datuk, saya segera menghampiri mereka.

"Kau nampak apa tu?", Pak Mardan menepuk bahu saya.

Dengan pertolongan cahaya lampu gasolin, saya dapat melihat dengan jelas sebatang kayu terpacak di halaman masjid, di hujung kayu bahagian atas terletak tengkorak manusia.

Saya pandang wajah datuk. Dia nampak serius, saya pandang wajah Pak Mardan, ada tanda-tanda keresahan dimukanya.

"Datanglah, apa hajat kamu?", pekik datuk lagi dan lampu gasolin terus malap.

Kayu di tengah halaman masjid mengeluarkan cahaya api. Bunyi tapak kaki manusia memijak dahan dan ranting-ranting kering mula kedengaran dari tiap penjuru masjid, saya terasa bagaikan ada beribu manusia yang bergerak di sekeliling masjid.

Datuk terus bertafakur lebih kurang lima minit. Bila dia membuka mata, lampu gasolin yang malap bersinar terang.

Di halaman masjid terdapat seorang manusia berdiri di sisi kayu yang ada tengkorak.

"lnilah orang yang saya lihat dalam baldi di rumah pengantin tadi”, bisik Pak Mardan pada datuk.

Dengan tenang datuk anggukkan kepala lalu keluar dari masjid. Datuk berdiri berhadapan dengan orang itu.

Suara katak dan cengkerik kian hebat. Angin juga mula bertiup agak ganas. Bila angin berhenti bertiup, hujan pun turun menambahkan rasa sejuk pada diri saya.

Titik hujan yang halus itu terus menjadi kasar. Pak Mardan segera menarik tangan datuk. Orang yang berdiri dengan kayu itu terus memeluk tubuhnya. Titik-titik hujan tidak mengenai tubuhnya.

"Masuk, orang ini mahu membalas dendam”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

Saya lihat datuk termenung sejenak. Dengan tenang datuk memegang kain hitam di kepala. Kain hitam itu dibukanya.

Datuk simpulkan kain hitam itu hingga menjadi seketul, macam buku benang.

"Kalau niat kau baik, engkau tidak apa-apa. Tetapi kalau niat kau buruk kau akan binasa”, ujar datuk pada lelaki ditengah halaman dari muka pintu masjid.

Datuk lemparkan kain itu ke arah lelaki tersebut. Bila kain itu jatuh di hujung kaki lelaki itu, kelihatan asap berkepul-kepul naik ke udara.

Batang tubuh lelaki itu hilang dalam kepulan asap. Pak Mardan terus duduk lalu membaca beberapa mentera hingga hujan yang mula teduh berhenti sama sekali.

Bila kepulan asap itu hilang, tengkorak yang yang berada di hujung kayu jatuh ke atas tanah.

Batang tubuh lelaki itu segera bertukar menjadi hitam. Lidah lelaki itu terjujur keluar macam lidah anjing yang kehausan, biji matanya mula merah.

Datuk menepuk tangan kanannya tiga kali ke bendul masjid. Orang lelaki di tengah halaman mula batuk dan muntah darah dua kali.

Pak Mardan segera mengambil air dari dalam kolah satu gayung dan menyerahkan pada datuk.

"Tawarkan dia”, Pak Mardan menyarankan dan datuk terus menunaikannya.

Setelah datuk membaca sesuatu pada air didalam gayung, saya pula ditugaskan menyimbah air ke badan lelaki itu.

Bila air dalam gayung terkena badan lelaki itu, kulitnya yang hitam segera bertukar macam biasa, dia sudah tidak muntah lagi. Pak Mardan menghampiri lelaki itu.

Sebelum berdiri di hadapan lelaki tersebut, Pak Mardan terlebih dahulu membaca beberapa mentera.

Dia mengunci semua pancaindera lelaki tersebut. Saya merasa terkejut, bila secara tiba-tiba Pak Mardan mendapatkan datuk semula.

"Awak tengok apa kerja maksiatnya selama ini”, suara Pak Mardan lemah.

Datuk terdiam, dia terus bertafakur lagi. Bila semuanya selesai datuk terus memberitahu Pak Mardan bahawa lelaki itu pernah meminang Halimah untuk dijadikan isteri mudanya.

Pinangan itu di tolak oleh ayah Halimah kerana lelaki itu sudah beristeri sepuluh kali. Enam isterinya sudah diceraikan, empat masih dipakainya lagi.

Dia hanya mengharapkan hasil dari titik peluh isterinya untuk menyarai dirinya. Dia tidak pernah mahu melakukan sebarang pekerjaan.

Dia lebih senang duduk di rumah atau berjalan ke sana ke mari dengan pakaian yang kemas.

Walau pun usia sudah hampir lima puluh tahun, tetapi dia kelihatan muda, macam anak teruna yang berusia dua puluhan. Gagah dan tampan.

Datuk juga memberitahu Pak Mardan lelaki itu tidak pernah mandi, kecuali kalau dia bertemu danau di tengah hutan yang ada teras kayu terendam di dalamnya.

Kalau dia mandi, hanya memadai dengan sekali selam tanpa memakai kain basahan.

Bila air di badannya kering dengan sendiri barulah dia memakai baju dan seluar. Lepas itu, dia akan mengurung diri dalam bilik selama satu minggu.

Masa dia mengurung diri dalam bilik itu dia akan melumurkan seluruh kulitnya dengan najisnya sendiri.

Bila Pak Mardan mendapat penjelasan itu dari datuk, dia segera berdiri di hadapan lelaki itu.

"Kenapa kau berbuat begitu pada Halimah?", pertanyaan dari Pak Mardan dijawab oleh lelaki itu dalam bahasa yang tidak dapat saya dan datuk faham.

Pak Mardan segera memberitahu datuk yang lelaki itu bercakap dalam bahasa Siam.

Kerana Pak Mardan boleh bercakap Siam, lelaki itu terus dilawan bercakap dalam bahasa itu.

Perbuatan itu tidak menyenangkan hati datuk. Datuk membuka tapak tangan kirinya dan terus membaca sesuatu.

"Orang ini menuntut ilmu bomoh Siam. Biar saya kembalikan hati dan perasaannya kepada bangsanya sendiri”, rungut datuk lalu melangkah ke arah lelaki itu.

Sebaik saja datuk sampai di hadapan lelaki itu, dia terus menampar perut lelaki itu dengan tapak kanannya.

Lelaki itu menjerit lalu membongkok sambil memegang perutnya. Ketika itu juga lelaki tersebut muntah.

Dari mulutnya terkeluar segumpal kain kuning yang penuh dengan ulat, sebesar ulat nangka. Bau kain kuning itu macam bau bangkai.

Datuk menekan kain kuning itu dengan jari telunjuk kirinya hingga kain itu pecah.

Bila kain itu pecah bertaburan, kaca, batu dan ketul-ketul daging jatuh keatas tanah. Ular hidup berserakan atas kawasan muntah orang lelaki itu.

Pak Mardan mencari daun kayu lalu memukul tubuh lelaki itu dengan sekuat hatinya.

Wajah lelaki yang tampan berubah menjadi kendur dan bergaris-garis macam orang lelaki yang berumur lima puluh tahun. Lelaki itu rebah ke tanah.

Datuk segera menghentakkan pangkal siku kirinya ke belakang lelaki itu dengan sekuat hatinya. Lelaki itu dengan tiba-tiba bangun.

"Kau orang Islam?" tanya datuk.

"Ya saya orang Islam."

"Rukun Islam berapa perkara?"

"Lima perkara."

"Pertama apa dia?"

"Mengucap dua kalimah syahadah."

"Cuba kau mengucap dua kalimah syahadah."

Ternyata orang itu tidak dapat menunaikan permintaan datuk. Mata orang itu terkebil.

Toleh kiri, toleh kanan macam orang ketakutan. Pak Mardan mengheret lelaki itu ditepi kolah.

"Kita mandikan dia sekarang”, kata Pak Mardan.

"Aku setuju”, balas datuk.

Saya pun menjiruskan air ke tubuh lelaki dengan gayung. Lelaki itu menggeletar. Dalam kedinginan dinihari bibirnya kelihatan biru. Lututnya berlaga sama sendiri.

Datuk membuka seluar yang dipakai oleh lelaki itu, digantikan dengan kain dan baju Melayu kepunyaan Pak Mardan.

Bila lelaki disuruh masuk ke masjid dia enggan. Perbuatan itu membuat datuk naik darah.

"Kenapa?", tanya datuk.

"Saya sudah bersumpah dengan guru saya. Tidak akan masuk masjid atau membaca Al-Quran."

"Awak mengarut”, datuk mendorong lelaki ke pintu masjid.

Bila lelaki itu melangkah bendul dia jatuh dan dari tubuhnya keluar kepulan asap nipis.

Serentak dengan itu terdengar deru angin yang amat kuat diluar masjid. Deru angin itu makin kurang dan akhirnya terus hilang.

Datuk terus mengajarkan lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan meminta dia bertaubat.

Cukup sukar untuk menyuruh lelaki itu bertaubat, dia begitu fanatik dangan ajaran gurunya.

Sesudah pelbagai pandangan diberikan padanya oleh Pak Mardan barulah dia mahu bertaubat.

"Awak tidak akan membalas dendam pada saya?", tanyanya pada Pak Mardan.

"Tidak. Aku mahu kau bertaubat dan jangan sekali-kali mengulangi perbuatan yang lalu."

Mendengar cakap Pak Mardan lelaki itu terdiam. Walau bagaimanapun, datuk memberikan kesempatan pada lelaki itu membuat keputusan sendiri. Datuk tidak mahu memaksa dia.

Datuk mahu dia kembali ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan dan kesedaran.

Tamat siri 33/284

BACA: SBDJ Siri 32: Bomoh Hujan Kena Uji
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Kisah Alfonso de Albuqueque, Penjajah Yang Sangat Membenci Islam

Kisah Alfonso de Albuqueque, Penjajah Yang Sangat Membenci Islam

Alfonso de Albuqueque dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab menyerang Melaka pada tahun 1511 dan secara umumnya, masyarakat hanya mengenali beliau sebagai orang Portugis yang berjaya menjatuhkan kota Melaka ke tangan penjajah barat.

Alfonso de Albuqueque penjajah Melaka
Alfonso de Albuqueque.

Pencapaian Alfonso ini bolehlah dibanggakan sebagai bangsa barat pertama yang berjaya menduduki kepulauan Melayu. Namun apakah latar belakang Alfonso? Apakah yang menyebabkan begitu bersungguh-sungguh menawan kota Melaka?

Alfonso berasal dari keturunan Raja Portugal. Ia adalah satu keluarga yang sangat ternama di Castile.

Castile adalah salah satu nama kerajaan yang wujud di Portugal-Sepanyol sejak abad ke 10 lagi. Alfonso ialah anak lelaki kedua hasil perkahwinan Goncalo dengan Dona Leonor de Meneses.

Darah Raja yang mengalir dalam tubuh badan Alfonso menyebabkan beliau telah dibesarkan di Istana Raja Afonso V(1438-1481).

Peribadi Alfonso de Albuqueque

Dalam catatan anak Alfonso, ada menyebutkan tentang perbadinya;

“Kapten yang agung ini ialah seorang lelaki yang sederhana tinggi. Mukanya panjang dan mempunyai hidung yang agak besar. Dia sangat berjimat-cermat. Dia juga memahami bahasa Latin dan mempunyai kelebihan luar biasa untuk berdebat. Ketika berunding dengan orang Islam, dia seorang yang pintar. Dia ditakuti dan disayangi oleh semua orang.”

Kebencian terhadap Islam

Pada tahun 1471, Alfonso telah mengambil bahagian dalam pengembaraan, atas arahan Raja Afonso V yang bercita-cita untuk menakluk Maghribi dan mulai menanam kebenciannya terhadap Islam disitu.

Beliau telah mempelajari kaedah-kaedah peperangan yang melibatkan cara untuk menghancurkan bandar, membunuh penduduk, menyeksa dan mencacatkan tahanan dan pesalah dengan cara yang kejam.

Sesiapa yang meninggalkan agama Kristian misalnya, juga akan menerima seksaan yang mengerikan.

Setelah Maghribi ditawan, kebencian Alfonso terhadap orang Islam semakin membuak-buak kerana memang cita-citanya untuk menghapuskan orang Islam di atas muka bumi.

Atas asas inilah Alfonso mengembangkan empayar Portugal dan meletakkan kesetiaannya kepada segala arahan Rajanya.

Dalam tahun 1509, atas arahan Raja Portugal, Alfonso telah diberi tanggungjawab untuk menyerang Goa, India.

Ini kerana Alfonso sendiri yang berkeyakinan bahawa misi menawan Goa adalah suatu usaha yang mesti dijalankan.

Alfonso menulis kepada Raja Portugal;

“Jikalau Tuanku menawan Calicut dan Cambay serta Goa, tiada kuasa Sultan mahupun kuasa Turki yang boleh menghalang kita daripada mengambil rempah dari India, sebagaimana yang tuanku ingini.”

Kenyataan Alfonso ini jelas menunjukkan kegigihannya menawan sebanyak mungkin kawasan yang dikuasai oleh orang Islam.

Menurut strateginya, jika kawasan-kawasan tersebut berjaya ditawan, ia membolehkan kuasa Portugis bertapak kukuh di kawasan Asia dan pada tahun 1510, Goa berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera Portugis.

Ini kerana Sultan Bijapur yang baru, Ismail Adil Shah tiada dalam kawasan pemerintahannya kerana telah pergi ke Laut Merah disebabkan telah diperdayakan oleh Alfonso.

Penduduk Hindu di kawasan Goa sebenarnya ternanti-nantikan kedatangan Alfonso kerana mereka mendakwa mahu melepaskan diri daripada kawalan orang Islam.

Penaklukan Portugis di Goa India telah memusnahkan perikatan antara Gujerat, Mamluk dan Calicut yang semuanya dikuasai oleh orang Islam.

Penawanan Goa ini telah menjadikan Alfonso semakin berkeyakinan untuk menawan Asia dan muncul sebagai kuasa imperial di India.

Kebencian Alfonso terhadap orang Islam telah dizahirkan dalam satu suratnya kepada Raja Portugal;

“Kemudian, saya membakar kota tersebut dan membunuh setiap orang di situ. Selama empat hari orang-orang tuanku tidak henti-henti menumpahkan darah. Di mana sahaja kami pergi tiada seorang pun orang Islam yang terlepas..”

Alfonso bertindak sangat kejam di Goa, bahkan ada dikalangan orang Hindu membantunya untuk membunuh orang-orang Islam yang cuba melarikan diri.

Tiada satu pun bangunan yang dimiliki oleh orang Islam tidak dihancurkan dan sebahagian orang Islam serta orang Kristian yang murtad dibakar hidup-hidup.

Alfonso Menyerang Melaka

Dengan menggunakan pengalaman-pengalamannya di Maghribi dan Goa, Alfonso telah membuat keputusan untuk menyerang Kota Melaka atas restu Raja Portugal.

Alasan Alfonso adalah kerana kerajaan Melaka telah melarang orang-orang Portugis yang datang untuk berdagang.

Pada April 1511, Alfonso pun bertolak dari Goa dengan lapan belas buah kapal termasuk empat buah kapal kepunyaan Diogo Mendes serta satu angkatan kecil seramai lapan ratus askar Portugis dan dua ratus askar Malabar.

Pada 25 Ogos 1511, Alfonso berjaya menawan Kota Melaka dan peristiwa ini dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin;

“Maka Melaka pun alahlah dinaikinya oleh Feringgi dari ejung Berunai. Maka segala Melaka pun larilah. Maka Bendahara Lubuk Batu itu ditandu oranglah dibawa lari. Si Selamat Gagah nama orang yang menandunya itu. Maka Feringgi pun datanglah berikut-ikut. Maka Feringgi pun diamlah di Melaka..”

Kematian Alfonso

Alfonso meninggal dunia semasa berumur enam puluh tiga tahun, selepas memerintah India selama sepuluh tahun. Alfonso dikatakan meninggal dunia pada tahun 1515.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

5 Cara Dan Tips Lebatkan Bulu Kening Secara Semulajadi

5 Cara Dan Tips Lebatkan Bulu Kening Secara Semulajadi

Bagi mereka yang mempunyai bulu kening nipis, pastinya penampilan diri akan dirasa kurang meyakinkan dan kelihatan sedikit tidak menarik. Walaupun kening boleh dilukis menggunakan pensil kening, tetapi ada beberapa cara semulajadi yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kening tebal.

Lebatkan Bulu Kening
Gambar hiasan.

Ini adalah cara paling mudah untuk melebatkan kening anda secara semulajadi.

1. Minyak Kelapa

Untuk mendapatkan kening penuh berani dan tebal, anda boleh menggunakan minyak kelapa. Ini membantu mempercepatkan proses pertumbuhan dan menggalakan pertumbuhan bulu kening yang tebal.

Caranya, dengan menyapu terus ke kening dan biarkan semalaman.

2. Vaseline

Vaseline atau jeli petroleum berkesan untuk membuat kening anda tebal. Sapukan bahagian kecil di kening anda 3 hingga 4 kali sehari dan anda boleh lihat hasil yang positif dalam tempoh 3 bulan.

3. Urut

Mengurut kening adalah cara yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan bulu kening. Urut di kawasan sekitar kening anda dengan minyak zaitun selama 5 minit setiap hari.

4. Vitamin B & D

Ini penting kerana ia memberi kesan kepada organ dalaman dan penampilan fizikal anda. Makan makanan yang kaya dengan vitamin B & D untuk meningkatkan pertumbuhan rambut.

Ia akan membantu menguatkan bulu mata dan kening, malah dapat menentang kesan bahaya produk berasaskan kimia seperti maskara dan celak.

5. Minum Air

Air adalah baik untuk kesihatan anda secara keseluruhan kerana dapat membantu membuang semua bahan toksik daripada tubuh anda melalui air kencing.

Mula minum sekurang-kurangnya 8-10 gelas air setiap hari. Ini akan meningkatkan sistem imun badan dan meningkatkan pertumbuhan bulu kening.

6. Elakkan Losyen dan over-plucking

Apabila anda menyapu krim atau losyen di wajah, kalau boleh elakkan dari terkena di kening.

Hal ini kerana bahan kimia pada losyen atau krim boleh merosakkan folikel bulu kening dan menghentikan pertumbuhannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hijabista

Kisah Misteri Ketika Mendaki Bukit Batu Putih

Kisah Misteri Ketika Mendaki Bukit Batu Putih

Misteri kehilangan seorang pemuda, Mohamad Ashraf Hasan, yang lebih dikenali sebagai Acap, peserta larian Gopeng Ultra Trail dengan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui, terus menjadi bualan netizen di media sosial. Pelbagai teori timbul dengan rata-rata netizen menyifatkan kehilangan Acap, ada kaitan dengan alam mistik.

Misteri Bukit Batu Putih
Reiz Lan.

Terbaharu seorang pemuda tampil berkongsi pengalaman menyeramkan semasa mendaki Bukit Batu Putih, Gopeng kira-kira dua tahun lalu di lokasi sama Acap dipercayai 'ghaib'.

Menurut Reiz Lan, dia nyaris masuk semula ke dalam kawasan hutan tebal itu selepas mendakwa dipanggil 'seorang budak' dekat lorong gelap.

"Bila dah keluar dari hutan tu, dah masuk kereta dan tukar kasut, masa tu saya tiba-tiba keluar dari kereta semula. Saya dah berjalan sebab dekat lorong nak masuk tu ada budak panggil.

"Masa tu saya dah tak sedar apa. Saya sendiri pun tak tahu kenapa saya nak pergi dekat budak tu. Nak kata tertarik bukan, tapi saya rasa macam nak pergi dekat dia," katanya.

Bagaimanapun, pemuda berusia 24 tahun itu bersyukur kerana kelakuan peliknya pantas disedarinya dua rakannya yang menaiki kereta sama.

"Kawan saya yang perempuan cakap dekat Jep (kawan seorang lagi) pergi tengok Lan. Dia (Jep) terus tarik saya masuk semula ke dalam kereta.

"Jep kata jom blah, jom blah. Itulah kira kali terakhir saya pergi hiking," katanya.

Ditanya mengenai kelibat yang melambai ke arahnya, Reiz Lan yang juga seorang jurusolek memberitahu dia hanya nampak bayang-bayang seorang budak.

"Waktu tu saya pandang ke kawasan hutan tiba-tiba tengok ada budak lambai-lambai ke arah saya. Dia tidak menyerupai manusia tapi saya hanya nampak bayang-bayang.

"Saya bersyukur kerana kawan saya pantas tarik saya masuk semula ke dalam kereta. Kalau saya masuk ke dalam hutan tu, tak tahulah apa jadi dekat saya selepas itu," katanya.

Reiz Lan berkata mereka memulakan pendakian selepas Asar dan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke puncak.

"Laluan agak mencabar sebab keadaan bukit mencanak sedikit. Jadi kami terpaksa berjalan secara menyenget.

"Walaupun jarak tak jauh mana tapi kami ambil masa lama nak sampai ke puncak. Kami perlu tolong satu sama lain sepanjang perjalanan itu," katanya.

Dalam pada itu, Reiz Lan yang berasal dari Batu Gajah, Perak, turut mendedahkan dia turut ternampak beberapa kelibat menyerupai manusia menemani mereka menuruni kawasan berbukit itu.

"Kami turun pun lepas habis solat Magrib di puncak bukit. Semasa nak turun tu keadaan agak gelap dan kami hanya bertemankan lampu suluh di kepala. Kami sering perhati kawan masing-masing kat belakang ada ke tak.

"Masa separuh perjalanan tu saya perasaaan sesuatu, saya pandang belakang dan beritahu kawan kenapa macam ramai dekat belakang dalam lima orang, ada geng lain ke? Kawan saya ni dia tahu saya jenis senang nampak benda pelik-pelik.

"Dia cakap jangan pandang belakang, tengok je depan. Saya dah rasa tak sedap hati. Saya pandang kiri pandang kanan saya nampak macam ada orang lalu tapi sekali imbas dia hilang," katanya.

Reiz Lan mendedahkan dia sebenarnya mempunyai kelebihan boleh melihat makhluk halus.

"Saya pernah kena banyak kali, dekat kedai makan, pergi kem pun kena juga. Saya ni sebenarnya lemah semangat.

"Jadi bila selalu kena terutamanya selepas kes hiking di Bukit Batu Putih, saya terus berubat. Sejak dari itu saya dah lama tak nampak benda bukan-bukan," katanya.

Sementara itu, Reiz Lan berkata dia terpanggil berkongsi pengalaman menyeramkan tersebut kerana sedih apabila orang ramai melemparkan pelbagai teori tidak benar mengenai kehilangan Acap.

"Ada orang kata saya nak popular tapi sebenarnya saya hanya ingin berkongsi kisah benar yang saya pernah lalui sendiri. Kalau kita tengok orang komen bukan-bukan pun ada.

"Orang boleh cakap apa sahaja kerana mereka sendiri tidak pernah melalui situasi itu. Saya sebak bila tengok video mak dia (Acap). Dalam hati pun terfikir macam manalah situasi dia sekarang ini," katanya.

Pada masa sama, pemuda itu turut berharap agar Acap dapat ditemui segera.

"Saya sentiasa mendoakan agar Acap ditemui segera. Kasihan dekat mak dia walaupun sakit tetapi tetap gigihkan diri naik bukit untuk cari anak dia.

"Saya juga ingin kongsikan nasihat arwah Opah saya kalau masuk hutan kena beringat. Jangan sesekali ingkar. Nak mula sesuatu bacalah Bismillah," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Thursday, April 04, 2019

Gadis Abai Persepsi Tinder Lubuk Orang Gatal, 'Kalau Cara Betul Dapatlah Jodoh Yang Baik'

Gadis Abai Persepsi Tinder Lubuk Orang Gatal, 'Kalau Cara Betul Dapatlah Jodoh Yang Baik'

Mula berkenalan dalam aplikasi Tinder sekitar Mac 2017, siapa sangka pasangan ini akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada minggu lalu dan kisah mempelai yang diijabkabulkan pada Sabtu lalu (24/3/2019) menjadi tular dan menerima hampir 2,500 retweet, setelah dimuat naik ke laman Twitter.

Jodoh Tinder

Menurut Natasshia Azirah Abdul Aziz, dia dan suaminya, Muhammad Sa'id Abdul Razak bermula sebagai kawan dalam aplikasi berkenaan sebelum mula menjalinkan hubungan serius, lima bulan kemudian. Dia bersyukur dipertemukan dengan suaminya dalam aplikasi itu.

“Kawan yang perkenalkan Tinder kepada saya, selepas itu saya match dengan dia dalam tu.

“Bulan kedua baru jumpa dan selepas itu kami mula serius sehinggalah bertunang pada 2018 dan akhirnya berkahwin,” katanya.

Mengulas persepsi negatif segelintir pihak terhadap Tinder yang disifatkan sebagai lubuk 'orang gatal', Shia menepis tanggapan itu.

Dalam hal ini bukan aplikasi yang patut dipersalahkan sebaliknya ia bergantung kepada niat setiap indvidu.

"Kita tak boleh salahkan Tinder, kalau kita guna cara betul, dapatlah yang baik-baik. Kalau nak cakap ramai orang gatal dalam tu, kat Twitter pun ramai. Jadi ia bergantung kepada niat individu.

"Saya dan suami pun dah uninstall Tinder selepas kami mula serius bercinta dulu,” ujar Shia lagi.

Dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di Puchong, Selangor, dua pasangan ini yang masing-masing berusia 25 tahun itu selamat dinikahkan dengan sekali lafaz sahaja.

Jodoh Tinder

Dalam pada itu, Sha turut mengakui hakikat bahawa cara mencari jodoh juga sudah berubah, seiring perubahan zaman dan teknologi.

“Sekarang ni mana ada yang jumpa tengah jalan baru nak kenal atau berlaga bahu macam dalam drama.

“Sebab kita habiskan masa dengan telefon, jadi kecenderungan untuk bertemu jodoh dalam laman sosial atau aplikasi itu tinggi.

“Saya tak malu pun pasal Tinder ni. Bila fikir balik saya boleh ubah persepsi negatif mengenainya sebab saya sendiri dah buktikan,” katanya lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

JPJ Perkenal e-Bidding, Sistem Bidaan Nombor Plat Online Mulai 15 April 2019

JPJ Perkenal e-Bidding, Sistem Bidaan Nombor Plat Online Mulai 15 April 2019

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding) bermula 15 April ini, bagi membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ.

e Bidding Jpj Malaysia

Sistem ini diperkenalkan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73, 'Digitalisasi Ke Arah Integriti'.

e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC* bermakna, nombor itu akan ditender melalui online.

Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja tetapi ia akan dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana saja secara dalam talian.

Pada tahun 2018 lalu, keputusan tender bagi siri nombor plat FB menunjukkan harga paling mahal ialah RM660,000 bagi siri FB 1, yang mirip kepada singkatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI).

Sementara itu, Nombor plat khas MALAYSIA 1 mencatat sejarah sebagai nombor paling tinggi dibida, dengan nilai bidaan sebanyak RM1,111,111.00 oleh Aldi International Sdn Bhd.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

PUBG Mohon Maaf Rekaan Kotak Menyerupai Kaabah

PUBG Mohon Maaf Rekaan Kotak Menyerupai Kaabah

Permainan berkonsepkan 'Battle Royal' PUBG Mobile sekali lagi dihimpit kontroversi apabila dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam. Isu itu tercetus apabila PUBG atau nama sebenarnya 'Player Unknown's Battlegrounds' memperkenalkan rekaan baru bagi 'Birthday Crate' atau kotak ganjaran yang menyerupai Kaabah.

PUBG Kaabah

Lebih teruk lagi, kotak terbabit boleh ditembak oleh pemain, sekali gus menimbulkan kemarahan pemain PUBG beragama Islam.
undefined

Malah ramai telah menandatangani petisyen supaya PUBG tampil memohon maaf.

Akur dengan kesalahan mereka, PUBG kemudian mengeluarkan permohonan maaf di Twitter dan berjanji akan mengeluarkan rekaan baru bagi 'Birthday Crate' dalam tempoh terdekat.

Untuk pengetahuan anda, penghasilan rekaan baru terutama dari segi grafik itu bersempena dengan ulang tahun PUBG yang pertama.

Sehingga kini PUBG Mobile telah dimuat turun 200 juta kali dan dimainkan 30 juta pengguna setiap hari.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kelleth Cuthbert, Gadis Penghidang Air Anugerah Golden Globe Yang Mengalahkan Artis

Kelleth Cuthbert, Gadis Penghidang Air Anugerah Golden Globe Yang Mengalahkan Artis

Siapa yang tidak teruja apabila mendapat peluang menghadiri majlis yang penuh gilang gemilang apatah lagi dapat melihat dan bertemu ramai artis ternama seperti Anugerah Golden Globe yang berlangsung dengan sungguh meriah.

Anugerah Golden Globe

Tidak terkecuali juga seorang gadis penghidang air yang tidak melepaskan peluang keemasan untuk menjadi bintang di permaidani merah.

Menerusi laman Twitter Enews!, gadis tersebut sempat 'photo bomb' di dalam setiap gambar selebriti di Anugerah Golden Globes.

Enews! dengan kapsyenya “Wanita yang memegang FIJI Water di #GoldenGlobes benar-benar datang untuk menghidang”.

Gambar yang dimuat naik oleh Enews itu telah menarik perhatian masyarakat dan telah mendapat 100 ribu likes dan 22,400 ribu Retweet.

Wartawan dari The Guardian, Benjamin Lee juga menjangkakan bahawa gadis tersebut akan mempunyai akaun parodi, juga menjadi kenyataan selepas gambarnya tersebar luas di internet.

Anugerah Golden Globe

Kelleth Cuthbert, gadis yang menghidangkan Air Fiji kepada semua selebriti itu, merupakan seorang model di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Golden Globe 2019 diadakan di Beverly Hilton, Los Angeles dan ia dihoskan oleh Andy Samberg dan Sandra Oh yang turut membawa pulang trofi Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Terbaik Televisyen (Drama) menerusi Killing Eve.

Berikut adalah senarai pemenang trofi utama Golden Globe 2019;

1. Kategori Filem
  • Filem Terbaik (Drama): Bohemian Rhapsody
  • Filem Terbaik (Mizukal atau Komedi): Green Book
  • Filem Terbaik (Animasi): Spider-Man: Into the Spiderverse
  • Persembahan Terbaik Aktres Dalam Filem (Drama): Gleen Close (The Wife)
  • Persembahan Aktor Terbaik Dalam Filem (Drama): Rami Malek (Bohemian Rhapsody)
  • Persembahan Aktres Terbaik Dalam Filem (Muzikal atau Komedi): Olivia Colman (The Favourite)
  • Persembahan Terbaik Aktor Dalam Filem (Muzikal atau Komedi): Christian Bale (Vice)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Pembantu Wanita Dalam Filem: Regina King (If Beale Street Could Talk)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Pembntu Lelaki Dalam Filem: Mahershala Ali (Green Book)
  • Pengarah Terbaik Filem: Alfonso Cuaron (ROMA)
  • Lagu Terbaik Filem: Shallow (A Star Is Born)

2. Kategori Televisyen
  • Drama Bersiri Terbaik: The Americans
  • Drama Bersiri Terbaik (Muzikal atau Komedi): The Kominsky Method
  • Filem Televisyen Terbaik: The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story
  • Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Terbaik Televisyen (Drama): Sandra Oh (Killing Eve)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Lelaki Terbaik Siri Televisyen (Drama): Richard Madden (Bodyguard)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Siri Televisyen (Muzikal atau Komedi): Rachel Brosnahan (The Marvelous Mrs. Maisel)
  • Persembanah Terbaik Pelakon Lelaki Siri Televisyen (Musical atau Komedi): Michael Douglas (The Kominsky Method)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Dalam Filem Televisyen: Patricia Arquette (Escape at Dannemora)
  • Persembahan Terbaik Pelakon Lelaki Dalam Filem Televisyen: Darren Criss (The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani