Friday, April 05, 2019

Kisah Alfonso de Albuqueque, Penjajah Yang Sangat Membenci Islam


Alfonso de Albuqueque dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab menyerang Melaka pada tahun 1511 dan secara umumnya, masyarakat hanya mengenali beliau sebagai orang Portugis yang berjaya menjatuhkan kota Melaka ke tangan penjajah barat.

Alfonso de Albuqueque penjajah Melaka
Alfonso de Albuqueque.

Pencapaian Alfonso ini bolehlah dibanggakan sebagai bangsa barat pertama yang berjaya menduduki kepulauan Melayu. Namun apakah latar belakang Alfonso? Apakah yang menyebabkan begitu bersungguh-sungguh menawan kota Melaka?

Alfonso berasal dari keturunan Raja Portugal. Ia adalah satu keluarga yang sangat ternama di Castile.

Castile adalah salah satu nama kerajaan yang wujud di Portugal-Sepanyol sejak abad ke 10 lagi. Alfonso ialah anak lelaki kedua hasil perkahwinan Goncalo dengan Dona Leonor de Meneses.

Darah Raja yang mengalir dalam tubuh badan Alfonso menyebabkan beliau telah dibesarkan di Istana Raja Afonso V(1438-1481).

Peribadi Alfonso de Albuqueque

Dalam catatan anak Alfonso, ada menyebutkan tentang perbadinya;

“Kapten yang agung ini ialah seorang lelaki yang sederhana tinggi. Mukanya panjang dan mempunyai hidung yang agak besar. Dia sangat berjimat-cermat. Dia juga memahami bahasa Latin dan mempunyai kelebihan luar biasa untuk berdebat. Ketika berunding dengan orang Islam, dia seorang yang pintar. Dia ditakuti dan disayangi oleh semua orang.”

Kebencian terhadap Islam

Pada tahun 1471, Alfonso telah mengambil bahagian dalam pengembaraan, atas arahan Raja Afonso V yang bercita-cita untuk menakluk Maghribi dan mulai menanam kebenciannya terhadap Islam disitu.

Beliau telah mempelajari kaedah-kaedah peperangan yang melibatkan cara untuk menghancurkan bandar, membunuh penduduk, menyeksa dan mencacatkan tahanan dan pesalah dengan cara yang kejam.

Sesiapa yang meninggalkan agama Kristian misalnya, juga akan menerima seksaan yang mengerikan.

Setelah Maghribi ditawan, kebencian Alfonso terhadap orang Islam semakin membuak-buak kerana memang cita-citanya untuk menghapuskan orang Islam di atas muka bumi.

Atas asas inilah Alfonso mengembangkan empayar Portugal dan meletakkan kesetiaannya kepada segala arahan Rajanya.

Dalam tahun 1509, atas arahan Raja Portugal, Alfonso telah diberi tanggungjawab untuk menyerang Goa, India.

Ini kerana Alfonso sendiri yang berkeyakinan bahawa misi menawan Goa adalah suatu usaha yang mesti dijalankan.

Alfonso menulis kepada Raja Portugal;

“Jikalau Tuanku menawan Calicut dan Cambay serta Goa, tiada kuasa Sultan mahupun kuasa Turki yang boleh menghalang kita daripada mengambil rempah dari India, sebagaimana yang tuanku ingini.”

Kenyataan Alfonso ini jelas menunjukkan kegigihannya menawan sebanyak mungkin kawasan yang dikuasai oleh orang Islam.

Menurut strateginya, jika kawasan-kawasan tersebut berjaya ditawan, ia membolehkan kuasa Portugis bertapak kukuh di kawasan Asia dan pada tahun 1510, Goa berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera Portugis.

Ini kerana Sultan Bijapur yang baru, Ismail Adil Shah tiada dalam kawasan pemerintahannya kerana telah pergi ke Laut Merah disebabkan telah diperdayakan oleh Alfonso.

Penduduk Hindu di kawasan Goa sebenarnya ternanti-nantikan kedatangan Alfonso kerana mereka mendakwa mahu melepaskan diri daripada kawalan orang Islam.

Penaklukan Portugis di Goa India telah memusnahkan perikatan antara Gujerat, Mamluk dan Calicut yang semuanya dikuasai oleh orang Islam.

Penawanan Goa ini telah menjadikan Alfonso semakin berkeyakinan untuk menawan Asia dan muncul sebagai kuasa imperial di India.

Kebencian Alfonso terhadap orang Islam telah dizahirkan dalam satu suratnya kepada Raja Portugal;

“Kemudian, saya membakar kota tersebut dan membunuh setiap orang di situ. Selama empat hari orang-orang tuanku tidak henti-henti menumpahkan darah. Di mana sahaja kami pergi tiada seorang pun orang Islam yang terlepas..”

Alfonso bertindak sangat kejam di Goa, bahkan ada dikalangan orang Hindu membantunya untuk membunuh orang-orang Islam yang cuba melarikan diri.

Tiada satu pun bangunan yang dimiliki oleh orang Islam tidak dihancurkan dan sebahagian orang Islam serta orang Kristian yang murtad dibakar hidup-hidup.

Alfonso Menyerang Melaka

Dengan menggunakan pengalaman-pengalamannya di Maghribi dan Goa, Alfonso telah membuat keputusan untuk menyerang Kota Melaka atas restu Raja Portugal.

Alasan Alfonso adalah kerana kerajaan Melaka telah melarang orang-orang Portugis yang datang untuk berdagang.

Pada April 1511, Alfonso pun bertolak dari Goa dengan lapan belas buah kapal termasuk empat buah kapal kepunyaan Diogo Mendes serta satu angkatan kecil seramai lapan ratus askar Portugis dan dua ratus askar Malabar.

Pada 25 Ogos 1511, Alfonso berjaya menawan Kota Melaka dan peristiwa ini dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin;

“Maka Melaka pun alahlah dinaikinya oleh Feringgi dari ejung Berunai. Maka segala Melaka pun larilah. Maka Bendahara Lubuk Batu itu ditandu oranglah dibawa lari. Si Selamat Gagah nama orang yang menandunya itu. Maka Feringgi pun datanglah berikut-ikut. Maka Feringgi pun diamlah di Melaka..”

Kematian Alfonso

Alfonso meninggal dunia semasa berumur enam puluh tiga tahun, selepas memerintah India selama sepuluh tahun. Alfonso dikatakan meninggal dunia pada tahun 1515.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon