Monday, January 28, 2019

Perokok vs Menteri Yang Megah Dengan Kuasa

Perokok vs Menteri Yang Megah Dengan Kuasa

Di Malaysia, merokok bukan hak. Ia merupakan sebahagian daripada budaya masyarakatnya, terutama di restoran mamak dan warung-warung, yang sudah wujud lama—bahkan boleh dikatakan perkembangan perniagaan premis makan terbuka menjadi begitu unik disebabkan oleh orang yang berkumpul, nongkrong sambil sebahagiannya merokok.

Larangan Merokok

Di sebalik budaya unik ini, orang Malaysia juga tidaklah sampai menjadi biadab. Tidaklah sampai di restoran atau warung terbuka disisihkan pula mereka yang tidak merokok.

Secara budaya jugalah, kedua kelompok itu saling menghormati—yang tidak merokok tidak sampai terganggu oleh yang merokok.

Selalunya kawasan dalam restoran ‘dikhaskan’ kepada mereka yang tidak merokok. Di kawasan luarnya, kepada mereka yang merokok.

Jarak ruang dalam berbanding kawasan luar yang terbuka, tak perlu diukur dengan tali ukur sama ada tiga meter atau kurang, seperti jarak yang ditetapkan kementerian kesihatan hanya tiga meter sahaja.

Kalau angin bertiup ke arah anak kecil, misalnya, jarak tiga meter pun boleh terkena pada anak tersebut, maka faktor tiupan angin—yang tidak wujud dalam peraturan kementerian kesihatan—juga diambil kira.

Begitulah hebatnya masyarakat yang berdiri dengan otak yang tak mati, yang membentuk apa yang kita sebutkan sebagai “budaya.”

Budaya membentuk keteraturan” dan bukannya “peraturan”.

Peraturan yang bertulis, yang nampak teratur atas kertas—walaupun bagaimana besar pun denda yang dikenakan—selalunya pula membuatkan masyarakat tidak teratur.

Masyarakatlah yang mengharmonikan diri mereka sendiri dan bukannya undang-undang.

Disebabkan masyarakat yang berbudaya ini jugalah maka kebanyakan restoran di dalam pusat beli-belah tidak ‘diganggu’ atau menjadi tempat merokok—walaupun tak ada sebarang undang-undang larangan.

Restoran di sana menjadi tempat yang lebih mesra keluarga, waktu operasi restoran juga terikat dengan waktu operasi pusat-beli belah.

Tidak elok untuk ibu-bapa membawa anak-anak melebihi jam sepuluh malam—begitu selepas pukul sepuluh, di restoran-restoran bukan pusat beli belah pula dipenuhi mereka yang merokok.

Lebih-lebih lagi kepada peminat bola sepak, mungkin bukan kerana mereka tidak ada televisyen di rumah, tapi menonton bola bersama kawan-kawan lebih memuaskan selepas anak-isteri berehat atau lena di rumah.

Kita percaya menteri kesihatan tidak menjiwai semua budaya dan keteraturan yang telah wujud dalam masyarakat kita.

Konsep “rahmatan lil alamin” bagi menteri dan pemimpin kerajaan baru ini bererti membela mereka yang tidak merokok sahaja, sementara perokok wajib dihukum, disisih atau diketepikan sama sekali!

Sistem budaya terganggu

Apabila sistem budaya yang sudah teratur sekian lama diganggu, di situlah punca kekalutan.

Sebenarnya apa yang disisihkan atau dihukum bukanlah perokok, tapi budaya dan sikap tolak ansur yang telah menjadi sebahagian keunikan dan kekuatan masyarakat.

Walaupun ada juga perokok yang tak faham bahasa, biadab dan menghembus asap ke muka anak kecil atau ibu mengandung, perkara sedemikian tentunya kes terpencil.

Sama jugalah kes-kes terpencil di mana ada yang meludah sesuka hati di restoran.

Kelakuan begitu lebih menjijikkan—dan kalau perlu undang-undang, maka undang-undang larangan meludah di restoran adalah lebih perlu!

Budaya tahu segan dan saling-menghormati di dalam masyarakat ini juga boleh di lihat sampai ke kenduri-kendara.

Selepas yasinan, ada yang berpindah ke anjung atau tangga rumah untuk merokok walaupun tiada larangan merokok dalam ruang tamu rumah.

Di awal pembentukan Malaysia, dalam dewan rakyat pun ketika berbahas, perdana menteri, menteri dan ahli-ahli parlimen boleh merokok.

Sekurang-kurangnya tiga-empat orang perdana menteri terawal di negara ini adalah perokok—selain mereka juga tidak malu-malu menari.

Sebagai contoh, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj seorang perokok dan sebelum beliau, Onn Jaafar yang berjuang memerdekakan Tanah Melayu juga seorang perokok.

Merokok tidak menjadikan mereka kurang sebagai seorang pemimpin dan pejuang.

Di kalangan PM yang merokok itu, tidak seorang pun tercalit sebarang skandal, apatah lagi isu rasuah, salah guna kuasa atau melanggar adab sebagai seorang pemimpin yang sayangkan negaranya.

Tunku Abdul Rahman tidak terlibat dengan kes 1MDB atau Razak Hussein pun tidak sampai tergamak menyelamatkan syarikat anak atau kroninya ketika negara dilanda krisis parah seperti 13 Mei 1969.

Semua pemimpin yang merokok—dan juga menari itu—dikenang bukan sahaja sebagai pejuang, tetapi pemimpin yang kasihkan rakyatnya—dan tidak kiralah rakyatnya itu perokok atau tidak.

Lihatlah! Sejak Malaysia diambil alih oleh PM yang tidak merokok, keadaan demokrasi di negara ini pun semakin menguncup.

Kebejatan politik termasuk rasuah besar-besaran dilakukan termasuk oleh menteri dan PM yang tidak merokok.

Saya percaya, ada pegawai tinggi di kementerian kesihatan juga perokok. Dia punya ‘hak’ merokok kerana dia pegawai tinggi, atau mungkin juga pemimpin politik berjawatan.

Maknanya, orang biasalah yang akan menjadi mangsa pertama larangan merokok dan bukannya pegawai tinggi atau menteri. Begitulah munafiknya masyarakat ini bakal terbentuk nanti.

Keadaan ini samalah dengan hukuman hudud seperti yang dicadang oleh PAS yang akan menghukum rakyat biasa—sementara elit dan raja akan terlepas.

Begitulah munafiknya apabila golongan LGBT pun diberikan hak, tapi perokok disisihkan!

Bayangkan..

Di negara maju sekalipun, kerajaannya mengambil masa cukup lama untuk mendidik masyarakat agar mengurangkan tabiat merokok.

Kawasan atau “kontena” khas disediakan di sebalik undang-undang larangan, sementara itu, sistem kesihatan juga gigih ditingkatkan termasuklah kualiti hospital dan perkhidmatan kesihatan rakyat.

Rakyat tidak bodoh dan sedang memerhatikan dan apabila PH dijangka kalah, mereka kalah bukan kerana rakyat menyukai BN, tetapi kerana yang diharapkan lain, perkara lain pula yang dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah memulihkan ekonomi, melaksanakan manifesto dan membela masyarakat bawah, namun yang dilakukan mewujudkan kemunafikan serta membunuh budaya tolak-ansur yang telah wujud sekian lama di dalam masyarakat ini.

Budaya itulah yang sebenarnya menjadi rahsia kekuatan Malaysia.

Bukannya menteri yang di tangannya seolah-olah ada belantan besi. Megah dengan kekuasaan. Galak memukul masyarakat.

***

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, January 27, 2019

10 Jenis Perniagaan Haram Paling Menguntungkan Di Dunia

10 Jenis Perniagaan Haram Paling Menguntungkan Di Dunia

Ia bukan lagi rahsia bahawa perniagaan haram adalah salah satu bentuk perniagaan paling menguntungkan di seluruh dunia. Aktiviti-aktiviti haram ini sentiasa menjadi cabaran besar bagi kerajaan sesebuah negara dan memberi ancaman besar kepada ekonomi dan alam sekitar.

Perniagaan Haram

Walaupun kebanyakan negara mempunyai undang-undang yang ketat terhadap aktiviti haram ini, ia tetap berkembang pada kadar yang membimbangkan.

Berikut ada senarai perniagaan haram terbesar di seluruh dunia.

1. Penyeludupan arak

Penyeludupan arak yang terawal dikenal pasti adalah pada sekitar tahun 1860-an di Amerika Syarikat ketika berlakunya Perang Saudara.

Kapal-kapal pedangang mula membawa masuk arak murah dari Caribbean ke Amerika melalui Florida.

Walaupun aktiviti ini sudah lama dilakukan, penyeludupan arak masih lagi diamalkan di kebanyakan negara oleh kumpulan penjenayah terancang.

Mereka mengedar arak secara haram untuk mengelak cukai yang dikenakan pada minuman yang mengandungi alkohol.

Kerajaan United Kingdom gagal mengutip cukai yang dianggarkan bernilai RM8 billion akibat aktiviti ini.

Arak yang diseludup ini juga diketahui menyebabkan beribu-ribu kematian setiap tahun akibat kualitinya yang tidak menepati piawaian.

2. Penyeludupan organ manusia

Perdagangan organ adalah melibatkan pembelian atau penjualan haram organ manusia bagi tujuan transplantasi dalam perubatan.

Pemerdagangan organ secara komersial ini adalah dilarang di seluruh dunia kecuali Iran.

Menurut laporan berita, kira-kira 2000 orang rakyat India menjual buah pinggang mereka secara haram dengan harga serendah RM20,000.

Buah pinggang itu kemudian dijual di pasaran gelap dengan harga ratusan ribu.

Global Financial Integrity telah mengeluarkan satu laporan bahawa, anggaran perdagangan organ haram ini menjana keuntungan antara RM 2.5 billion sehingga RM 5 billion setahun.

3. Penyeludupan senjata api

Pengedar senjata haram berurusan dengan pelbagai jenis senjata seperti bahan letupan, pistol kecil, senjata ringan hinggalah kepada mesingan berat.

Perdagangan senjata haram secara langsung bertanggungjawab atas peningkatan aktiviti keganasan di seluruh dunia.

Menurut satu laporan, dianggarkan lebih kurang 63 juta senjata telah diseludup masuk ke India dan Pakistan sahaja.

Sangat sukar untuk meneka saiz sebenar pasaran perdagangan senjata haram ini.

Amerika Syarikat dan Afrika pula dianggap sebagai negara paling banyak memiliki senjata tidak sah.

Nilai anggaran penyeludupan senjata haram dianggarkan bernilai RM 250 bilion setahun, iaitu kira-kira 20% daripada jumlah perdagangan senjata komersial peringkat global.

4. Perdagangan haram minyak

Perdagangan haram minyak merupakan masalah utama di beberapa negara termasuk di Afrika dan Asia. Dianggarkan lebih daripada 100,000 tong minyak diseludup setiap hari di setiap penjuru dunia.

Di Mexico, syarikat minyak kerugian sebanyak RM 2.9 bilion setiap tahun akibat aktiviti ini. Di Afrika, sebahagian besar syarikat minyak sering diserang oleh lanun Somalia dan dianggarkan menjana keuntungan sebanyak RM62.6 billion setahun.

5. Penyeludupan hidupan liar

Perdagangan haram hidupan liar melibatkan banyak bahagian termasuk haiwan peliharaan eksotik, daging dan kulit haiwan liar, kura-kura dan juga sirip ikan yu.

Antara tahun 2007 hingga 2012, pemburuan haram badak telah meningkat sehingga 5000%. Beberapa contoh perdagangan utama ini termasuk gigi gajah dan kulit harimau.

Pada tahun 2015, keuntungan yang dihasilkan melalui aktiviti ini dianggarkan bernilai RM133 bilion.

6. Aktiviti perikanan haram

Aktiviti perikanan yang tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak diatur kerap berlaku dan kapal nelayan sering melanggar undang-undang yang ditakrifkan oleh kerajaan tempatan dan pusat untuk aktiviti perikanan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan juga Jabatan Perikanan dan Akuakultur, penangkapan ikan secara haram telah menyebabkan kerugian sebanyak RM 96 bilion setahun.

Daripada jumlah global itu, 30% daripadanya berlaku di Indonesia sahaja.

7. Pemerdagangan manusia

Pemerdagangan manusia adalah bertujuan untuk menjadikan mangsa sebagai buruh paksa, mangsa pencurian organ, pelacuran atau perkahwinan paksa.

Pemerdagangan manusia merupakan salah satu aktiviti haram yang paling cepat berkembang di seluruh dunia.

Pada tahun 2010, pemerdagangan manusia di peringkat antarabangsa dianggarkan bernilai lebih daripada RM 125 bilion.

Antara keseluruhan jumlah mangsa aktiviti haram ini, 30% daripadanya melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 18 tahun.

8. Penyeludupan dadah

Pengedaran dadah adalah salah satu perniagaan haram terbesar dan paling berbahaya di dunia.

Menurut laporan PBB, pada tahun 2003, perdagangan dadah haram global menjana keuntungan sebanyak kira-kira RM 1.3 trilion dan jumlah itu meningkat kepada lebih daripada RM 2 trilion pada tahun 2016.

Walaupun penyeludupan telah menjadi satu fenomena yang tidak boleh dielakkan di seluruh dunia, namun negara-negara membangun seperti Amerika Syarikat adalah yang paling terjejas teruk oleh jenayah berkaitan dadah.

Berdasarkan laporan FBI, pada tahun 1990-an sekitar 5% dari jumlah penduduk Amerika meninggal setiap tahun akibat penyalahgunaan dadah. Pengedaran dadah kecil dan sederhana secara dalam talian juga dilihat semakin meningkat saban tahun.

9. Aktiviti pemalsuan dan tiruan

Mana-mana replika produk yang tidak mendapat kebenaran adalah sebahagian daripada pemalsuan.

Antara produk palsu yang sering disalin daripada produk asli termasuk pakaian, kasut, produk elektronik, perisian komputer, filem, logo dan juga jemana syarikat terkenal.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, pasaran barangan tiruan melebihi daripada RM1 trilion sejak tahun 2007 dan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Pemalsuan wang

Pemalsuan wang menjadi kebimbangan di seluruh dunia dan dialami oleh banyak negara maju dari masa ke semasa.

Aktiviti pemalsuan wang ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ahli sejarah percaya bahawa pemalsuan wang ini mungkin sama usia dengan mata wang mula diperkenalkan sejak dahulu lagi.

Secara ringkasnya, wang palsu ini dihasilkan tanpa kebenaran undang-undang dari kerajaan negara yang berkaitan.

Sekiranya ia berlaku, mata wang tiruan boleh meruntuhkan ekonomi sesebuah negara dengan menyebabkan inflasi dan pelbagai lagi masalah ekonomi lain.

10. Serangan siber

Pernah suatu masa dahulu ketika "mastermind" komputer memecah masuk ke dalam sistem lain untuk mencapai agenda peribadi mereka dan hanya sekadar untuk berseronok.

Kini pada abad ke-21 segala-galanya berubah. "Hacking" menjadi lebih kepada suatu perniagaan, di mana pasukan penggodam profesional akan menggodam syarikat-syarikat besar dan menuntut wang tebusan.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan, serangan siber di peringkat global pada 2016 telah mengakibatkan syarikat-syarikat dari seluruh dunia kerugian lebih daripada RM 1.9 bilion.

Selain itu, jutaan dokumen dan rekod juga turut dicuri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Majoriti umat Islam kini terutamanya yang bukan rakyat Turki pasti akan membenci tokoh kontroversi bernama Mustafa Kamal Ataturk. Dia dikatakan sebagai punca terhapusnya Khilafah Turki Uthmaniyyah namun hakikatnya, hampir seluruh rakyat Turki dahulunya menganggap Mustafa Kamal Ataturk sebagai hero bangsa.

Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kini, separuh rakyat Turki masih lagi mengagungkan Ideologi Kemalis terutama dalam kalangan tentera.

Kalau tak percaya, pergilah tengok sendiri di Turki, gambar-gambar Mustafa Kamal Ataturk digantung disana-sini dan jangan cuba-cuba menghina, nanti orang Turki belasah anda!

Sepertimana orang Malaysia menyayangi Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan Malaya, begitu juga anggapan rakyat Turki kepada Mustafa Kamal yang digelar AtaTürk (Bapa Turki) kerana memperjuangkan kemerdekaan Turki.

Tulisan ini bukanlah untuk menyanjung Mustafa Kamal Ataturk, tetapi ianya adalah penulisan yang mewakili pandangan rakyat Turki.

Mari kita lihat rasional rakyat Turki dalam isu taboo ini.

1. HERO KEMERDEKAAN

Tunku merupakan kerabat DiRaja Kedah yang keluar istana untuk aktif dalam politik. Beliau menggantikan Onn Jaafar seorang pemimpin Melayu yang mempunyai darah Turki Uthmaniyyah sebagai pemimpin UMNO.

Dulu-dulu, banyak pihak politik Melayu berusaha melawan penjajah Jepun atau British seperti PKMM, Rejimen Melayu ke-10 PKM, KMM, MPAJA, PUTERA-AMCJA, Hizbul Muslimin dan UMNO.

Ada yang lawan secara perang dan ada secara rundingan. Perjuangan sayap kiri kebanyakannya diharamkan oleh British.

Tunku adalah salah seorang pejuang Nasionalis sayap kanan dan setelah menjadi wakil kerajaan tempatan melalui Pilihanraya Persekutuan 1955, Tunku memimpin kerajaannya untuk membuat Rundingan London pada 1956 bagi menuntut kemerdekaan dan seterusnya menggubal perlembagaan persekutuan melalui Suruhanjaya Reid sebulan kemudian. Kemerdekaan tercapai pada 1957, 2 tahun setelah kerajaan Tunku dibentuk.

Mustafa Kamal Ataturk pula merupakan seorang Komander Perang dalam angkatan tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Pada 1918, Turki Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Tentera Bersekutu iaitu British, Perancis, Itali dan Rusia yang memenangi peperangan itu telah mencarik-carikkan wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Khalifah ketika itu tidak lagi menguasai empayar Islam sebaliknya hanya menjadi Sultan yang mampu berkuasa di sekitar Turki sahaja.

Bahkan Tentera Bersekutu mencengkam hampir 70% wilayah Turki untuk dijajah pula.

Pada 1920, Mustafa Kamal Ataturk membentuk kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Turki (MKT) di Ankara.

Mustafa Kamal Ataturk dilantik menjadi Perdana Menteri kerajaan MKT.

Kesultanan Turki Uthmaniyyah ketika itu sangat lemah dan perlu tunduk kepada kuasa Barat.

Oleh itu, wakil kerajaan Sultan Turki Uthmaniyyah di Istanbul menandatangani Perjanjian Sevres yang membolehkan kedaulatan Turki tergadai kerana menjadi negara taklukan barat.

Mustafa Kamal Ataturk tak bersetuju dengan Perjanjian Sevres lalu memimpin sebuah revolusi politik dan ketenteraan yang dipanggil Gerakan Nasional Turki bagi menentang penjajahan Turki.

Maka berlakulah Perang Kemerdekaan Turki antara Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk melawan gabungan Britain, Perancis, Itali, Yunani dan Armenia.

Rakyat Turki amat takut ketika itu kerana perlu berhadapan dengan gabungan tentera barat yang baru saja memenangi Perang Dunia Pertama.

Namun keajaiban berlaku apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menewaskan gabungan tentera barat itu pada 1922.

Setelah itu, Mustafa Kamal Ataturk di Ankara memutuskan secara rasmi bahawa bentuk pemerintah baharu akan digunakan di Turki.

Mustafa Kamal Ataturk dipilih sebagai pemimpin Turki lalu dia memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Ankara.

Pada 1923, Kerajaan Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk menghadiri Muktamar Luzan di Switzerland lalu tertubuhlah Republik Turki baharu dengan beliau menjadi Presidennya.

Kemerdekaan Turki pada 1923 ini adalah 3 tahun setelah MKA membentuk kerajaannya.

Akhirnya, pada 3 Mac 1924, dengan rasminya Mustafa Kamal menghapuskan sistem Khalifah.

Republik Turki berjaya membebaskan diri dari dijajah oleh Barat tidak seperti negara Islam lain yang dijajah oleh kuasa barat dan hanya mencapai kemerdekaan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Sebab itu orang Turki menganggap Mustafa Kamal Ataturk ini hero nasionalis yang bijak tidak seperti Raja-Raja Arab.

2. POLITIK PRO BARAT

Dasar luar Malaya ketika zaman pemerintahan Tunku lebih bercorak Pro-Barat Anti-Komunis memandangkan negara baru sahaja merdeka dan pada waktu ini ancaman komunis masih kuat.

Namun, pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk di Turki adalah lebih ekstrim pro baratnya berbanding Malaya.

Kononnya, bagi menolak unsur Autokratik tertutup, Mustafa Kamal Ataturk mengamalkan pemerintahan bercorak Demokrasi Liberal dengan nilai-nilai sekular yang lebih bebas dan sama rata buat rakyatnya.

Hasilnya, kemelesetan ekonomi Turki mula mengukuh kembali.

3. BUDAYA HIDUP ALA BARAT

Suatu ketika dahulu di Malaya, budaya hidup ala Barat adalah perkara normal. Ustazah sekolah pun hanya memakai skarf dan skirt.

Isu aurat hanya mula dititik beratkan ketika zaman al-Arqam yang disebut sebagai unsur “Talibanisasi” oleh masyarakat.

Pada zaman Mustafa Kamal Ataturk memerintah, Turki ketika itu mengalami Revolusi Fesyen bagi melambangkan masyarakat berketamadunan moden.

Walaupun isteri dan ibu Mustafa Kamal Ataturk sendiri bertudung, tetapi majoriti masyarakat Turki pada ketika itu tidak bertudung.

Pemakaian skarf dalam urusan rasmi tidak dibenarkan, bagi meraikan hak kebebasan dan mengangkat darjat hak kewanitaan.

Bahkan, Turki antara negara terawal di eropah yang membenarkan wanita untuk mengundi.

Orang lelaki pula dilarang memakai penutup kepala berunsur keagamaan.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk memakai topi “koboi”.

4. PENGHAPUSAN TULISAN ARAB

Dahulu penulisan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu Klasik manhaj Hamzah Fansuri sepertimana yang terkandung dalam kitab-kitab Turath Jawi.

Kemudian, Bahasa Melayu Klasik ini dimodenkan dengan menggunakan tulisan Jawi moden.

Seterusnya pada era Tunku, tulisan Jawi dihapuskan sepenuhnya dalam urusan rasmi oleh seorang ahli politik dari Kedah iaitu Khir Johari pada tahun 1966.

Di Turki, Mustafa Kamal Ataturk juga menghapuskan penggunaan tulisan Arab dan menggantikan sistem huruf dan tulisan yang dicipta olehnya sendiri.

Sebelum kedatangan Islam ke Turki dahulu, Turki merupakan sebahagian dari wilayah Yunani dan kemudiannya Rom Byzantine.

Oleh itu, sistem tulisan yang berteraskan tulisan Latin atau Rumi ini lebih sesuai digunakan untuk bunyi bahasa Turki berbanding penggunaan huruf Arab.

Hasilnya, Mustafa Kamal Ataturk berjaya mengurangkan kadar buta huruf di Turki.

Selain memperkenalkan tulisan Turki Moden, Mustafa Kamal Ataturk juga memperkenalkan Bahasa Turki Moden bagi menggantikan bahasa Turki Klasik yang banyak dipengaruhi unsur Arab dan Parsi.

Al-Quran serta Azan diterjemah dan dibaca dalam bahasa Turki Moden agar mudah difahami oleh rakyat.

Namun, tindakan ini ditentang kuat oleh golongan konservatif terutama dari kalangan agamawan.

Sistem pengajian tradisi seperti Turath Islami dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengajian Saintifik Kontemporari.

Semua ini berlaku kerana rakyat Turki telah lama meninggalkan cara hidup Islam dan mengamalkan budaya hidup ala barat.

Oleh itu, dasar-dasar kerajaan perlu diubah mengikut situasi semasa masyarakat agar mereka tidak keciciran dari mengejar arus pemodenan.

5. KAITAN FREEMASON

Menurut sesetengah dakwaan, seorang ahli politik dari Kedah iaitu Sanusi Junaid mendedahkan bahawa Tunku merupakan ahli Freemason yang ketika itu popular dengan buku bertajuk, “Apa Salahnya Masuk Freemason.”

Manakala di Turki, amat masyhur bahawa Mustafa Kamal Ataturk merupakan ahli Freemason dengan banyaknya bukti yang tersebar.

Bahkan, Mustafa Kamal Ataturk dikatakan seorang yang gemar minum arak dan berzina.

Namun, fokus penulisan ini bukan nak cerita pasal Freemason, hanya sebagai sisipan sahaja.

Tulisan ini bukan nak menyamakan antara Tunku dan Mustafa Kamal, tetapi untuk menggambarkan bagaimana pandangan orang Turki terhadap Mustafa Kamal Ataturk adalah sama seperti pandangan orang Malaysia terhadap Tunku Abdul Rahman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Asal-usul Dan Maksud Sebenar Perkataan 'Bossku'

Asal-usul Dan Maksud Sebenar Perkataan 'Bossku'

Bossku, bosku atau sebutan yang paling tepat adalah 'Busku' sebenarnya sangat sinonim dengan masyarakat Sabah apabila bertemu dengan seseorang terutamanya kepada individu tidak dikenali dan tahukah anda panggilan ini sebenarnya merujuk kepada individu berbangsa suluk atau filipina yang ramai di Sabah!

Malu apa bossku

Permulaan sebutan Busku ini bermula dengan penjual jalanan berbangsa 'filipina' yang apabila bertemu seseorang dan mereka mahu menjual barang dagangan seperti jam, cermin mata hitam dan sebagainya, mereka akan menegur seperti ini, "Busku, ini jam/cermin mata murah-murah."

Bagi mereka, ia lebih kepada maksud 'kawan' atau sapaan terhadap orang lain.

Jadi, bagi orang tempatan, apabila digunakan, panggilan ini sebenarnya lebih merujuk kepada bangsa filipina.

Ia juga sama seperti perkataan 'Ipar' yang orang tempatan merujuk kepada seseorang yang berbangsa Timor (Indonesia).

Contohnya, apabila kita bertemu dengan seseorang yang berbangsa Timor dimana-mana dan mahu menegur beliau, kita akan berkata, 'Ipar, mau pigi mana" (Ipar, awak hendak ke mana) dan dalam perbualan kita seharian bermaksud pertanyaan, "Awak hendak ke mana."

Uniknya, perkataan Ipar bukanlah bermaksud orang itu abang ipar atau kakak ipar, tetapi sama seperti penggunaan 'Busku', ia tiada maksud apa-apa dan lebih kepada merujuk individu berbangsa Timor dan tidak bangsa lain.

Begitu juga dengan maksud Busku, yang secara khususnya merujuk kepada bangsa filipina apabila membuat sapaan.

Sebutan Yang Agak Kasar Dan Tidak Sopan

Bagi rakan-rakan dari luar Sabah, perkataan Busku dan Ipar sebenarnya agak kasar untuk digunakan apabila kita menyapa seseorang dikalangan rakan-rakan atau individu lebih tua, malah tidak sopan dalam keadaan tertentu terutamanya dalam perbualan dan perbincangan formal.

Ia lebih sesuai digunakan apabila kita berbual dengan kedua-dua bangsa tadi dan bukannya dikalangan warga tempatan berbangsa lain.

Ada yang tidak kisah dan boleh menerima panggilan ini tetapi ia juga boleh menjadi punca perbalahan atau menimbulkan rasa marah jika terlalu kerap digunakan atau secara sengaja dengan tujuan menyindir.

Bayangkan seseorang memanggil anda dikhalayak ramai dengan panggilan Buskuuu atau Iparrr, dan anda terbayangkan diri sebagai seseorang dari negara luar! Kan.

Bukanlah bermaksud anda tidak boleh menggunakannya langsung, tetapi berpada-padalah dan lihatlah dengan siapa anda bergurau. Ia lebih kepada sindiran dan kadang-kadang sebagai ejekan sebenarnya.

Selain itu, orang Sabah juga sebenarnya sangat terkenal kerana suka memanggil seseorang sebagai BOS. Siapa pun anda, bila sampai ke Sabah, darjat anda mungkin berubah sekelip mata, tiba-tiba jadi BOS. Haha.

Panggilan BOS masih lagi diamalkan di Sabah dan lebih kepada sebutan hormat terhadap orang lain.

'Malu apa bossku'

Itu tiga perkataan yang ditulis pada sebuah poster dengan gambar bekas Perdana Menteri, Najib Razak menunggang sebuah motosikal yang menjadi tular di media sosial memetik artikel akhbar online, Utusan.

Bossku atau bosku merupakan bahasa slanga yang kini digunakan oleh kalangan anak-anak muda terutama golongan bermotosikal.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menerangkan, slanga adalah kata-kata (ungkapan dan sebagainya) yang tidak tergolong dalam percakapan tidak rasmi.

Bagi individu yang sentiasa mengikuti trend terkini di lama sosial, sudah pasti melihat fenomena penggunaan bahasa slanga ini dengan lebih jelas lagi.

Berasal dari Sabah

Perkataan ini asal dari Sabah dan Sabahan guna perkataan bossku terutama bila berjual beli. Orang Semenanjung yang tak tau function 'bossku' ni acah-acah nak pakai dalam daily conversation.

Seorang pengguna Twitter @InjangNation pula mendakwa perkataan 'bossku' mula digunakan oleh masyarakat Sabah terutama di daerah Tawau.

"Perkataan 'bos' orang Sabah selalu guna untuk merujuk seorang yang kita tak tahu/kenal nama orang tu. Contoh ayat 'Bos, boleh tanya ke?' Dia sama macam 'bro' juga la. Di sabah semua orang 'bos', tak kisah la kau bos betul ke, kuli ke, bangla ke, panggilan 'bos' memang biasa.

Sebuah laman sesawang Yoodo Community turut medakwa perkataan 'bossku' merupakan bahasa slanga yang berasal dari negeri Di Bawah Bayu itu.

"Bossku sana bossku sini? Tahukah korang perkataan bossku ini dari Sabah, ianya bermaksud 'kawanku'. Ianya digunakan kepada teman supaya nampak lebih akrab? Malahan dengan orang tidak dikenali, barulah nampak mesra gitu dan macam biasalah menjadi tular di Semenanjung Malaysia," tulis laman sesawang tersebut.

Sementara sebutan 'malu apa bossku” mula menjadi sebutan yang popular selepas video pendek yang tular di Facebook menampilkan seorang pemuda merakam video bersama Najib.

Pemuda tersebut kedengaran menyebut 'bosku' dan disambut oleh Najib dengan menyebut, 'Malu apa bosku'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, January 25, 2019

SBDJ Siri 15: Dikejar Mayat

SBDJ Siri 15: Dikejar Mayat

Dalam pergelutan yang hebat itu, ternyata datuk tidak dapat menandingi tubuh lembaga yang berbulu lebat itu. Datuk sering saja tercampak. Dan memang perangai datuk tidak mudah mengaku kalah. Dia terus bergelut.

Siri SBDJ 15

Saya dan ketua kampung didakap rasa cemas. Di langit saya lihat tidak ada sebiji bintang pun bersinar. Pokok-pokok di kiri kanan bagaikan dilanda taufan.

Suara burung hantu bagaikan orang berlagu mengiringi petarungan datuk dengan lembaga itu.

Tiba-tiba, saya lihat berpuluh-puluh ekor burung gagak hinggap di ranting pokok. Berbunyi bersahut-sahutan. Kemudian burung-burung gagak itu terus turun ke tanah lapang. Tanah itu menjadi gelap dengan burung gagak.

Saya benar-benar berada dalam keadaan cemas. Lembaga yang berbulu lebat terus mencampakkan tubuh datuk ke pangkal pokok pisang.

“Bacalah ayat al-Qurshi,” bisik ketua kampung pada saya.

Saya terdiam, dalam saat-saat cemas begitu, saya jadi terlupa untuk mengingati ayat tersebut.

Bila saya cuba, pembacaan saya banyak yang silap. Saya menggelabah tidak tentu arah. Datuk tidak juga bangun dari perdu pikok pisang.

Saya teringat pesan datuk, bahawa ayat al-Fatihah adalah ibu segala ayat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Jadi, kalau kita berhadapan dengan musuh dan sudah tidak ada cara lain untuk mempertahankan diri, bacalah ayat tersebut sambil berusaha melepaskan diri dari musuh dengan bertawakal pada Allah yang maha besar.

Jadi, al-Fatihah pun saya baca dengan teliti supaya tidak silap. Bila sudah selesai dibaca saya mula terasa semacam ada semangat baru dalam diri saya.

Fahamlah saya, bahawa tidak ada kuasa yng lebih gagah dan kuat dari kuasa Allah. Saya perhatikan ketua kampung masih terus membaca ayat al-Qurshi.

Di tanah lapang lembaga hitam yang berbulu, berdiri gagah dikelilingi oleh berjuta-juta burung gagak.

Saya renung ke langit. Saya lihat ada benda terbang separas pucuk pokok kekabu, berkilau-kilau. Benda itu seakan-akan bentuk batang buruk, di bahagian bawahnya keluar sejenis benda semacam tali, berwarna merah.

Benda itu berlegar-legar atas bumbung rumah Timah dan akhirnya hilang lalu diganti oleh suara perempuan ketawa manja.

Saya raba telinga, hidung dan mata bagi memastikan apakah perkara yang saya alami, satu khayalan saya sendiri.

Saya meraba bumi dan rumput. Ternyata saya tidak berkhayal. Saya berhadapan dengan satu dunia yang cukup ganjil dan aneh sekali.

Dalam samar-samar malam itu, secara kebetulan di langit bulan mula bersinar. Saya lihat datuk bangun menuju ke arah kami. Di tangannya masih tergenggam batang serai dan bulu burung gagak.

“Hebat,” sepatah perkataan keluar dari mulut datuk.

Dia terus duduk, kemudian mencangkung, macam orang mahu memulakan perlumbaan lari. Lepas itu bergerak lagi. Kedua belah tangannya diletakkan ke depan, kaki diluruskan ke belakang.

Dengan perintah datuk, ketua kampung mencacakkan bulu burung gagak dan batang serai di depannya.

Datuk merenung ke arah lembaga berbulu hitam, saya lihat datuk bagaikan harimau yang mahu menerkam mangsanya. Sepuluh jarinya mencakar-cakar tanah.

Dia pejamkan matanya lalu mulutnya bergerak-gerak. Saya terdengar datuk membaca sepotong ayat al-Quran. Saya amati pembacaannya, memang datuk membaca ayat yang pernah dibaca oleh nabi Allah Yunus ketika ia berada dalam perut ikan.

Datuk menyerahkan hati dan perasaannya pada Allah yang maha besar. Memang semua kepandaian yang ada padanya tidak terdaya melawan hantu raya jelmaan syaitan itu.

Datuk terus berdiri. Bulu gagak diangkatnya. Serentak dengan itu dia menyuruh saya membakar kertas. Bila api sudah menyala. Ketua kampung lalu menghimpunkan daun-daun kering atas api yang membara itu.

Entah dari mana datuk mendapat kemenyan, dalam tempoh beberapa saat saja kawasan kami penuh dengan bau kemenyan.

Makin kuat bau kemenyan masuk lubang hidung, kian kuat bunyi pokok-pokok di sekeliling kami dirempuh angin, dahan-dahan bagaikan jatuh mahu menimpa, tetapi bila dilihat ke atas pokok pun tidak bergoyang. Suara gagak tetap bersahut-sahutan.

Datuk membongkok dan terus menumbuk tanah. Semua burung gagak di tanah lapang berterbangan. Hilang dengan sekelip mata. Deru angin tidak sekuat tadi. Semuanya terasa menyepi.

Saya lihat lembaga hitam hilang. Lebih kurang antara lima hingga tujuh minit kami dipeluk sepi. Datuk meletakkan bulu gagak atas lengan. Ditiup tiga kali berturut-turut.

“Kau,” tempik ketua kampung, bila di depan kami muncul batang tubuh suami Timah.

Bila datuk mahu menerpa ke arahnya, batang tubuh suami Timah segera hilang. Tempatnya digantikan dengan kain putih. Kain itu bergerak dan mengelembung.

Saya, ketua kampung dan datuk terus melihatnya dengan penuh teliti.

“Mayat,” kata saya.

“Ya,” memang dalam kain itu mayat,” jawab datuk.

“Mayat siapa?” tanya ketua kampung.

“Mayat suami Timah,” pendek datuk menjawab, sambil menyinsing lengan baju.

Mayat yang terbujur itu begerak lalu mengoyakkan kain kapannya. Mayat itu terus duduk. Kain kapan berkumpul di bahagian pinggang.

Ketua kampung memberitahu saya bahawa itulah mayat suami Timah yang telah ditanam oleh orang-orang kampung saya dulu.

Mayat itu memusingkan badannya sambil duduk. Merenung ke arah datuk dengan pandangan yang cukup tajam. Bau busuk mula menguasai kawasan tempat kami bernaung. Saya bagaikan mahu terkeluar isi perut.

Angin malam terus bertiup. Macam-macam bunyi yang kami dengar. Dalam suasana begitu, saya terdengar bunyi suara orang lelaki merintih menahan kesakitan. Saya tidak tahu dari mana suara itu datang.

“Kau orang jangan bercakap walau sepatah pun,” datuk mengingatkan kami.

Dia maju selangkah ke depan. Saya perhatikan mata mayat itu lama-lama. Saya terkejut, memang di bahagian mata itu terdapat lubang yang boleh mengeluarkan cahaya, kalau seimbas pandang lubang itu tidak mudah kelihatan terpelohong, kelihatan macam mata manusia yang sempurna.

Datuk undur ke belakang. Dia membuka baju dan mengenakan ke tubuhnya kembali dalam keadaan terbalik. Dari rusuk baju sebelah kirinya datuk mengambil sebatang jarum panjang.

Mayat yang sudah berbau itu berpusing-pusing di atas tanah. Datuk membaca mentera dan menepuk bumi tiga kali.

Batang serai dibuang ke arah kanan manakala bulu burung gagak dipijaknya dengan kaki kiri. Datuk melangkah dua tapak ke depan.

"Kau suami Timah,” cukup lantang suara datuk.

Mayat itu angguk kepala dan menutup kepalanya dengan kain kapan semula.

“Kau kenal ketua kampung,” tambah datuk.

Mayat itu membuka kain kapan lalu merenung ke muka ketua kampung. Mayat anggukkan kepala.

Saya merasa cukup seram. Datuk menggawang-gawangkan tangan di depan matanya.

Mayat itu berpusing ke arah datuk kembali. Datuk menumbuk tanah dan mayat suami Timah di depannya terus menjerit.

Bergema ke seluruh kawasan, pokok-pokok kecil bagaikam mahu tercabut. Mayat itu cuba bangun, tetapi tidak boleh. Punggungnya seperti melekat pada bumi.

Datuk pun mengangkat kedua belah tangannya ke ats. Lalu diturunkan perlahan-lahan. Berhenti separas dada.

Sepuluh jari tangan datuk kelihatan kembang macam menahan sesuatu. Saya perhatikan kaki kanan datuk terbenam ke dalam bumi separas buku lali. Mayat di depannya terus berhempas pulas.

Mulut datuk berkumat-kamit. Fahamlah saya datuk sedang berdialog dengan mayat.

Kerana selalu saja mengikut datuk dan selalu pula melihat dia bercakap dengan makhluk ganjil, saya dapat membaca dan mentafsir apa yang dicakapkan oleh datuk menerusi gerak bibirnya.

Lebih kurang datuk berbicara;

“Kenapa kau datang ke dunia ini?”

“Menuntut sesuatu.”

“Apa yang kau tuntut?”

“Isteriku.”

“Engkau dengannya tidak boleh bersama.”

“Aku tahu, tapi aku mahu pulang padanya, aku mahu dia membela dan memberi aku makan.”

“Kalau dia tidak mahu bagaimana?”

“Aku akan mencari keluarga aku yang terdekat untuk meminta perlindungan.”

Datuk berhenti bercakap. Timah yang sedar dari pengsan menerkam ke arah kami. Mayat itu masih terkapai-kapai. Timah terus berlindung di belakang ketua kampung.

“Apa pesannya pada kau sebelum dia mati?”

Dengan mendadak saja datuk mengajukan pertanyaan pada Timah. Timah termenung sejenak mengingati sesuatu.

“Tak ada apa-apa,” sahut Timah.

“Mesti ada, kalau tidak hantu suami kau tidak pulang,” sanggah datuk. Timah mengigit bibir.

Mayat suami Timah kelihatan berhempas pulas mahu bangun. Bila mayat itu boleh bangun, datuk menekan kaki kirinya yang terdapat bulu burung gagak di bawahnya.

“Kalau kaki ini terangkat, syaitan yang menyerupai suami Timah akan lari, kemudian mengacau semua penduduk kampung,” ujar datuk pada ketua kampung. Serentak saya dan ketua kampung angguk kepala.

Dalam keadaan yang serba gawat itu, dengan tiba-tiba Timah bersuara;

“Dia ada pesan, sebelum dimandikan dan dikapan, dia suruh saya tikamkan tapak kakinya dengan jarum.”

“Kau buat apa yang disuruhnya,” datuk memotong cakap Timah.

“Tidak.”

“Sebab?”

“Tak sampai hati.”

“Kalau kau membuatnya dulu, semua ini tidak akan terjadi.”

“Saya tak faham.”

“Suami kau yang sebenarnya sudah mati, apa yang kau lihat dan kita lihat ini ialah kapitnya.”

“Maksudnya,” soal Timah macam orang bodoh.

“Suami kau masa hidupnya berkawan dengan syaitan, bila dia mati, kapit atau kawannya itu mencari tuan yang lain.”

Dengan cakap datuk itu, Timah mengerti tentang keadaannya yang sebenar. Dan dia mula faham, kenapa masa suaminya hidup dulu, tanah sawah dan kebun tidak pernah dijenguk, tetapi habis ditebas dan dicuci orang.

Bila ditanya pada suaminya. Dia hanya mendapat jawapan begini, "Sahabat kita yang mengerjakannya."

Dan sekarang fahamlah Timah, siapakah sahabat suaminya yang sebenar. Dia juga mula faham kenapa suaminya selalu bercakap seorang diri waktu dinihari.

Ketua kampung terus tercengang melihat keadaan yang tidak pernah dimimpikan untuk melihatnya.

Datuk menyuruh saya memijak bulu burung gagak. Saya akur dengan perintahnya itu. Bila dipijak, tapak kaki saya terasa cukup panas.

Datuk terus meluru ke arah mayat. Datuk merentap kain kapan yang membalut bahagian kaki mayat itu. Mayat terus menghulurkan kedua belah tangannya pada datuk, seolah-olah minta tolong.

Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. Saya lihat datuk terus menarik kaki mayat. Dia memasukkan sesuatu di situ. Lagi sekali mayat itu menjerit.

Bila gema jerit mayat itu berakhir, saya lihat datuk duduk berdirikan lutut. Di atas kepala saya terdengar bunyi sesuatu yang berat dan keras melanggar pokok.

Saya terus meniarap. Bila saya bangun dari meniarap. Saya lihat mayat suami Timah sudah tidak ada lagi di situ, tetapi bau busuk tidak juga hilang dari tempat yang kami duduki.

Datuk datang ke arah kami. Di kaki langit cahaya kemerah-merahan mula naik. Tidak lama sepelas itu, terdengar suara beduk dipalu orang bertalu-talu dan diikuti dengan suara Azan memecahkan kedamaian subuh hening.

Datuk menyuruh Timah kembali ke rumahnya, kami bertiga terus menuju ke surau.

Selepas mandi dan menunaikan fardhu subuh, datuk mengadu pada saya kepalanya terasa pening.

Sebaik saja datuk melangkah mahu keluar dari surau, dia terjatuh. Orang-orang kampung mengusung datuk ke rumah ketua kampung.

Seorang dukun dipanggil untuk merawat datuk, setelah minum air panas bercampur limau nipis, sakit kepala datuk beransur kurang, kemudian dukun itu mengurut seluruh badan datuk hingga pulih.

“Angin,” kata dukun itu pada datuk, sebaik saja datuk sendawa dan kentut bertalu-talu.

Semua orang yang berada di rumah riuh rendah. Bila ketawa sudah berakhir, ketua kampung menceritakan apa yang kami alami malam semalam.

Ada yang mengerutkan muka dan ada pula yang geleng kepala. Tetapi, mereka tidak menolak untuk diajak pergi tempat kejadian malam semalam.

Semuanya terpaksa mengalah pada ketua kampung yang meminta mereka sarapan pagi di rumahnya.

Kira-kira dua belas orang penduduk kampung, termasuklah saya, datuk dan ketua kampung terpaksa duduk bersila di anjung rumah ketua kampung menikmati kopi dan rebus pisang pagi itu.

Badan terasa segar, bila perut sudah diisi barulah sedap mengatur perjalanan.

Matahari pagi terus bersinar ketika kami meninggalkan anjung rumah ketua kampung.

Sepanjang perjalanan tidak banyak orang yang bertanya sesuatu daripada datuk atau saya, semuanya melangkah dengan tenang.

Kira-kira dua rantai mahu sampai ke tempat kejadian tersebut, semua orang menekup hidung. Bau busuk mula tercium. Dua tiga orang kampung tidak mahu meneruskan perjalanan. Mereka muntah dan terus pulang.

“Bau bangkai apa?” saya terdengar suara bertanya pada datuk.

Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh datuk. Dia cuma tersenyum.

“Entah, cuba tanya ketua kampung,” sebaik saja datuk habis bercakap dia berdehem dua tiga kali.

“Itulah bau yang kami cium sepanjang malam,” sahut ketua kampung sebelum orang yang bertanya mengemukakan pertanyaan padanya.

Bila saja kami masuk ke tempat kejadian malam tadi. Bau busuk itu bertambah kuat. Datuk terus menunjukkan pada orang-orang kampung tempat mayat itu duduk.

Tanah di situ kelihatan berlubang. Di sekelilingnya terdapat sejenis serbuk berwarna putih seperti hampas kelapa. Bau busuk yang cukup meloyakan tekak itu berpunca dari situ.

Tiba-tiba datuk mengambil secebis kain putih yang terdapat di situ. Bila diangkat kain itu, ia bertukar menjadi habuk macam tepung.

Tangan datuk yang memegang kain itu digosokkan ke tapak kaki kiri. Tujuan datuk berbuat begitu mahu menghilangkan bau busuk yang terdapat di tapak tangannya.

“Ini membuktikan, bahawa syaitan tu memang wujud, dia mempengaruhi anak adam mengikut keadaan,” ujar datuk tenang.

Matahari pagi kian meninggi, sudah melampaui pucuk getah. Dari situ, kami terus ke rumah Timah. Sampai saja di kaki tangga rumahnya, Timah terus mengadu bahawa dia tidak boleh duduk di dalam rumah peninggalan suaminya.

“Kenapa?” Ketua kampung menyoal.

“Seluruh rumah berbau busuk, macam bau bangkai, hingga beras dalam tempayan pun berbau busuk tok,” suara Timah sayu.

Dengan perintah datuk, saya disuruh naik ke rumah. Sebaik saja saya berada di muka pintu , saya terus termuntah. Semua yang saya makan pagi itu habis keluar. Cepat-cepat saya turun.

Atas persetujuan orang-orang kampung sebuh rumah lain didirikan untuk Timah. Rumah lamanya ditinggalkan terbiar.

Rumah baru Timah didirikan berhampiran dengan rumah ketua kampung, dengan usaha ketua kampung itu sendiri (tiga bulan selepas itu) Timah dijodohkan dengan seorang nelayan yang tinggal di Telok Gadung, Pulau Pangkor.

Habis dari perkongsian hidup Timah dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Dan anak lelaki itu kini sudah bekerja dengan Bank Bumiputra. Dalam tahun 1977, anak lelaki Timah itu telah ditukarkan dari Bank Bumiputra Ipoh ke Bank Bumiputra Batu Pahat, Johor dan sekarang bertugas di Kuala Lumpur.

Masa orang-orang kampung mendirikan rumah Timah, saya dan datuk turut membantunya malah, sebelum Timah pindah ke rumah barunya, datuklah orang pertama tidur di situ.

Tujuan datuk berbuat begitu untuk menjamin rumah itu tidak didatangi oleh sebarang hantu syaitan, di samping datuk mencari sesuatu alamat.

Menurut datuk, setiap orang yang mahu menduduki rumah baru, sekurang-kurang satu malam mesti ditidur oleh orang lelaki terlebih dulu dengan membawa sebungkus gula, susu dan segenggam beras. Orang yang tidur di situ, mestilah dirinya dalam keadaan bersih.

Sebaik-baiknya melakukan sembahyang hajat di rumah itu, mohon petunjuk dari Allah atau memohon padaNya supaya orang yang akan mendudukinya kelak tetap selamat serta melakukan sesuatu yang baik dan teguh iman serta kuat beribadat.

Pada hari Timah menaiki rumah barunya, orang-orang kampung telah mengadakan pembacaan doa selamat.

Dua hari selepas Timah duduk di rumah baru, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Cangkat Cermin.

Sebaik saja datuk sampai ke rumahnya, dia lagi sekali jatuh pengsan. Bila datuk sedar dari pengsan seluruh badannya lebam.

Dia tidak boleh berdiri. Datuk terpaksa merangkak dari muka pintu hingga ke tempat tidur. Seluruh sendinya tersa sakit, macam ditikam-tikam dengan jarum.

Bila malam, datuk menjerit sendiri. Anehnya datuk saya, bila dibawa ke doktor ternyata dia tidak mengalami sebarang sakit dan bila dia masuk ke dalam rumah, sakitnya datang semula.

Dan datuk tidak mengizinkan saya atau nenek mencari dukun untuk mengubatinya.

Sakit datuk itu berlanjutan hingga ke bulan puasa, tetapi yang peliknya datuk dapat meneruskan puasanya dengan sempurna.

Pada malam dua puluh tujuh likur, datuk memanggil saya dan nenek. Dia menyuruh kami mencari limau tiga serangkai yang mengarah ke matahari terbit.

Limau itu harus dipetik sendiri tanpa mengunakan galah atau tangga. Akhirnya apa yang dikehendaki oleh datuk itu saya perolehi. Dia suruh saya meletakkan limau itu di atas pinggan putih bersama pinang kering.

Lebih kurang pukul dua belas malam. Rumah datuk didatangi oleh bau yang cukup wangi. Saya lihat pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri.

Tidak berapa lama selepas itu, saya terdengar bunyi suara orang perempuan membaca Quran, suaranya cukup merdu yang datangnya dari tempat tidur datuk.

Perkara itu berlaku tiga malam berturut-turut. Saya tanyakan hal itu pada nenek. Kata nenek isteri muda datuk datang mengubatnya.

Kadang-kadang saya terdengar orang bercakap dengan datuk. Pernah saya terdengar orang itu bertengkar dengan datuk. Bila pertengkaran itu berakhir suasana menjadi sepi.

Kemudian dengan jelas saya mendengar suara orang perempuan barkata begini pada datuk, "Al-Quran yang diturunkan oleh Allah sudah cukup lengkap untuk manusia. Di dalamnya tersembunyi seribu rahsia perubatan, apa salahnya kita mengambil ayat-ayat darinya untuk penawar."

Dan saya tidak pernah bertanyakan hal itu pada datuk. Walau bagaimanapun saya merasa gembira, bila pagi Syawal tiba, saya lihat datuk sudah sihat.

Dia bangun pagi-pagi dan membaca al-Quran sebelum pergi sembahyang hari raya. Di masjid datuk duduk di barisan hadapan membaca takbir bersama orang ramai.

Setelah selesai sembahyang hari raya, saya dan datuk terus menziarahi rumah seluruh penduduk kampung. Bila saya dan datuk kembali ke rumah, saya terkejut melihat dua orang perempuan duduk di anjung rumah.

Perempuan yang berusia agak lanjut itu tersenyum pada saya bila saya melintas di depannya, manakala perempuan muda yang berselindang lingkup itu wajahnya terlalu manis, air mukanya cukup bersih.

Saya bertanya dalam diri, siapakah gerangan perempuan itu?

Dalam keadaan yang kebingungan itu saya lihat perempuan itu mendekati datuk lalu mencium tangannya dengan diperhatikan oleh perempuan di sebelah. Nenek cuma tersenyum saja.

Tamat siri 15/284

BACA: SBDJ Siri 14: Bersuamikan Hantu Raya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Maksud Sebenar Perkataan HOSPITAL

Maksud Sebenar Perkataan HOSPITAL

Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa maksud sebenar perkataan HOSPITAL ialah “House Of Sick People Including Treatments And Labour”? Atau adakah ia hanyalah sekadar gurauan semata-mata?

Asal usul Hospital

Sebenarnya, istilah hospital (rumah sakit) berasal dari kata Latin, hospes (tuan rumah), yang juga menjadi akar kata hotel dan hospitality (keramahan).

Perkataan "hospital" berasal dari kata Latin, hospes, bermaksud orang asing atau tetamu. Satu lagi kata nama berasal dari ini, hospitium, menandakan keramahan, iaitu hubungan antara tetamu dan pengawal, perhotelan, keramahan, dan penerimaan yang ramah.

Hospes adalah akar untuk kata-kata Inggeris, tuan rumah (di mana p telah digugurkan untuk memudahkan sebutan) perhotelan, hospis, asrama dan hotel.

Asal-usul Perkataan Ambulan

Sementara itu, istilah ambulance pula berasal dari perkataan bahasa Latin yang bermaksud "ambulare" yang bermaksud "untuk berjalan atau bergerak" iaitu merujuk kepada rawatan perubatan awal di mana pesakit dipindahkan dengan mengangkat.

Perkataan asalnya bermaksud hospital bergerak, yang mengikut tentera dalam pergerakannya.

Ambulans (Ambulancias dalam bahasa Sepanyol) pertama kali digunakan untuk pengangkutan kecemasan pada 1487 oleh pasukan tentera Sepanyol semasa pengepungan Málaga oleh Raja Katolik terhadap Empayar Granada.

Dalam bahasa melayu pula, Ambulan dipinjam dari bahasa Inggeris, Ambulance.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

23 Kawasan Larangan Merokok

23 Kawasan Larangan Merokok

Dengan kenaikan cukai barangan tembakau yang akan pada November 2018 dan larangan di premis makanan yang akan berkuat kuasa pada tahun 2019, nampaknya Malaysia bakal mengikut jejak langkah negara-negara jiran Thailand dan Singapura dalam mengawal undang-undang dan peraturan merokok.

Larangan Merokok

Anda mungkin masih tertanya-tanya bagaimana kita akan tahu di manakah kawasan undang-undang larangan akan dikuatkuasakan?

KAWASAN LARANGAN MEROKOK YANG DIWARTAKAN BERMULA 2019

1. Rumah Kedai

Bagi kedai makan yang terletak dalam rumah kedai, jarak 3 meter ini bermula dari sempadan premis tersebut hingga ke jarak 3 meter di sisinya, termasuklah ruang pejalan kaki dan kawasan tempat parking.

2. Tempat Makan Terbuka

Sekiranya restoran atau kedai makan tersebut turut menyediakan tempat makan terbuka, maka kawasan larangan merokok juga meliputi kawasan terbuka tersebut.

Jarak 3 meter dikira dari lingkungan kerusi dan meja makan yang paling luar.

3. Gerai Makan

Begitu juga halnya dengan keadaan di gerai-gerai makan. Jarak 3 meter bukan saja dikira dari gerai, tetapi 3 meter dari kerusi dan meja yang disediakan.

4. Food Truck

Food truck atau gerai makanan juga begitu.

5. Restoran Atas Tanah Lot

Bagi restoran yang terletak di atas tanah lot, keseluruhan kawasan dalam perimeter lot tersebut adalah kawasan larangan merokok.

Jadi tak kiralah makan di luar atau dalam, kedua-duanya tetap tak boleh merokok.

6. Kedai Makan Dalam Sungai

Kedai makan dalam sungai mungkin ada yang rasa pelik, tapi memang ada di Malaysia.

Apapun, kedai begini pun tak terlepas daripada kawasan larangan merokok juga.

7. Kenderaan

Tempat makan dalam kenderaan seperti kantin dalam KTM, ERL serta bot-bot cruise juga diisytihar sebagai kawasan larangan merokok sepenuhnya.

8. Kedai Makan Atas Awan

Akhir sekali, yang ini mungkin melucukan sedikit. Mungkin maksudnya kedai makan atas awan macam restoran di KL Tower agaknya. Korang rasa?

23 KAWASAN LARANGAN MEROKOK YANG TELAH DIWARTAKAN DI BAWAH PERATURAN KAWALAN HASIL TEMBAKAU

Bagi yang tak tahu, restoran bukanlah satu-satunya tempat yang tak dibenarkan merokok.

Sebenarnya Malaysia telahpun mengisytiharkan 23 kawasan larangan merokok mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

2 daripadanya baru dikuatkuasakan, iaitu Bangunan Parlimen dan premis/kedai makan terbuka.

Maka, kesemua 23 kawasan larangan merokok kini adalah:

1. Di dalam pusat hiburan atau teater, kecuali pub, disko, kelab malam atau kasino, pada bila-bila masa apabila tempat itu dibuka kepada orang awam.

2. Di mana-mana kawasan hospital atau klinik.

3. Di dalam lif atau tandas awam.

4. Di dalam tempat makan atau kedai berhawa dingin.

5. Di dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam.

6. Di dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta bawah peraturan 22.

7. Di dalam mana-mana lapangan terbang.

8. Di dalam mana-mana premis kerajaan.

9. Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.

10. Di mana-mana kawasan di dalam suatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.

11. Di mana-mana kawasan di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak.

12. Di dalam mana-mana bas sekolah.

13. Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di dalam bangunan bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd.

14. Di dalam mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli-belah.

15. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stesyen minyak.

16. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium.

17. Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan.

18. Di mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan.

19. Di mana-mana kawasan di dalam kafe internet.

20. Di mana-mana kawasan di dalam suatu tempat latihan khidmat negara.

21. Di dalam mana-mana tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat.

22. Bangunan Parlimen.

23. Di mana-mana restoran dan kedai makan terbuka.

Peraturan larangan merokok ini dikuatkuasakan bermula Januari tahun 2019.

Menurut undang-undang, sesiapa yang melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siraplimau

Tiada Arahan Halang Remaja Dan Kanak-kanak Keluar Malam

Tiada Arahan Halang Remaja Dan Kanak-kanak Keluar Malam

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan arahan tidak membenarkan golongan remaja keluar rumah selepas pukul 10 malam dan meminta agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu tersebut.

Larangan keluar malam

KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berkaitan maklumat berkaitan perkara tersebut.

Maklumat palsu yang tersebar menerusi media sosial itu kononnya remaja berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar rumah melebihi pukul 10 malam dan kanak-kanak berusia 12 tahun pula tidak dibenarkan keluar.

"Mulai malam ini berkuatkuasa serta-merta adik-adik di bawah umur 18 tahun (13 - 16) tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi jam 10 malam.

"Manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan," kata mesej palsu yang tular itu.

Cadangan Perintah Berkurung Remaja Bawah 18 Tahun

Perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun ke bawah pastinya berita yang menggembirakan ibu bapa seusia itu sementelah ia bagi mengelak anak-anak terlibat sebarang gejala negatif.

Cadangan ini biarpun wajar dilakukan, namun perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Anak Kelahiran Negeri Pahang (PAKP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, cadangan itu tidak seharusnya dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu dikaji dengan teliti dengan mengambil contoh beberapa negara yang telah melaksanakannya.

Menurutnya, perintah berkurung kanak-kanak di Iceland mungkin boleh dikaji kerana dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.

Di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas jam 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa.

Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas jam 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.

Sejak undang-undang itu dilaksanakan, Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.

Usia seperti mereka bukan sahaja terlalu mentah, bahkan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya serta yang lebih dewasa.

Menurutnya, ini juga dapat menyelesaikan isu merayau dan penglibatan belia dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah.

Jika mahu dilaksanakan, boleh dimulai pada jam 10 malam sehingga 5 pagi bagi memastikan pengawasan lebih baik oleh ibu bapa.

Bagaimanapun, perkara ini tidak terpakai kepada mereka yang belajar di pusat pengajian tinggi kerana mereka perlu menghadiri kelas serta pelbagai aktiviti lain sehingga larut malam.

Jadi, perintah berkurung ini harus ditumpukan kepada remaja di bawah usia 17 tahun di samping tidak melarang remaja yang keluar rumah bersama ibu bapa mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Benarkah Asal-Usul Logo Chevrolet Adalah Simbol Salib?

Benarkah Asal-Usul Logo Chevrolet Adalah Simbol Salib?

Sekilas pandang, Chevrolet adalah antara pengeluar automobil yang memiliki logo jenama cukup dikenali ramai, tetapi juga pada masa sama disalah erti, terutama di negara-negara majoriti muslim dan dikatakan bahawa, logo tersebut diilhamkan daripada bentuk tali bow atau bowtie dan bukannya simbol salib yang disangka ramai orang.

Chevrolet Logo

Mungkin ada sudah tahu, tetapi ramai juga yang belum tahu apakah kisah di sebalik logo pengeluar automotif dari Amerika Syarikat itu - Chevrolet.

Bowtie Chevrolet diperkenalkan oleh pengasas bersama syarikat itu, William C Durant pada lewat 1913 yang diinspirasi daripada kertas dinding (wallpaper) di sebuah hotel Perancis.

REKABENTUK KERTAS DINDING HOTEL?

Di Barat, versi Durant tentang bagaimana logo itu tercipta memang sudah diketahui ramai orang.

Walaupun kisahnya agak panjang, tetapi kesimpulan cerita yang disahkan sendiri Durant ialah logo tersebut ialah ilham daripada rekabentuk kertas dinding di Hotel Parisian.

Menurut penerbitan rasmi pengeluar itu, The Chevrolet Story (1961) sempena meraikan ulang tahun ke-50:

Ia berasal daripada imaginasi Durrant sebagai seorang pengembara pada 1908. Beliau melihat corak bergerak menuju infiniti sebagai rekabentuk kertas dinding di sebuah hotel Perancis.

Beliau kemudian mengoyak sekeping kertas dinding tersebut dan disimpannya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan dengan anggapan ia akan jadi tanda nama yang baik untuk kereta."

-The Chevrolet Story (1961)

Bagaimanapun, muncul beberapa kenyataan bercanggah yang masing-masing cuba menjelaskan misteri di sebalik logo Chevrolet itu. Dua daripada asal-usul logo tersebut datang daripada keluarga Durant sendiri.

Pada 1929, anak perempuan Durant, Margery menerusi buku autobiografi berjudul, My Father menceritakan tentang tabiat bapanya yang kadangkala merekabentuk tanda nama di atas beberapa helai kertas di meja makan.

"Saya fikir ia antara satu makan malam dengan hidangan sup dan ayam goreng, di mana beliau melakar rekabentuk yang digunakan pada kereta Chevrolet hingga hari ini."

-Margery, buku autobiografi 'My Father' (1960)

ILHAM IKLAN AKHBAR

Chevrolet from Coalettes

Lebih separuh abad kemudian, satu lagi kisah asal usul logo bowtie muncul pada 1986, dikeluarkan majalah Chevrolet Pro Management berasaskan temubual dengan balu Durant, Catherine yang mengimbas semula detik percutian dia dan suaminya di Hot Springs, Virginia pada 1912.

Menurut Catherine, ketika Durant membaca akhbar di bilik hotel, beliau terkesan dengan satu rekabentuk iklan dan terus berkata;

"Saya fikir ini akan jadi lambang yang sangat bagus untuk Chevrolet"

Malangnya, kenyataan itu tidak cukup kuat kerana Catherine tidak pula mengesahkan apakah motif di sebalik logo tersebut dan bagaimana ia digunakan.

Bagaimanapun, sejarahwan dan editor The Chevrolet Review, Ken Kaufmann menemui rahsia di sebalik kesahihan asal-usul logo tersebut.

Pada 12 November 1911, beliau terbaca senaskhah akhbar lama, The Constitution (1910-1917) terbitan Atlanta yang menyiarkan iklan sejenis jenama arang, 'Coalettes'.

Kebetulan pula, logo Coalettes dalam iklan akhbar itu juga berbentuk bowtie condong dan sangat mirip kepada bentuk logo ikonik Chevrolet.

Persoalannya, apakah Durant dan isterinya melihat iklan yang sama, sepanjang tahun penerbitan akhbar itu?

Malah, edisi akhbar tersebut didapati bertarikh cuma sembilan hari selepas penubuhan Chevrolet Motor Company.

TEORI BENDERA SWISS

Switzerland for Chevrolet

Satu lagi versi penjelasan adalah mengaitkan logo Chevrolet dengan lambang salib pada bendera Switzerland.

Ini kerana pengasas bersama Chevrolet, Louis Chevrolet dilahirkan dalam kalangan keluarga Perancis di La Chaux-de-Fonds dalam wilayah kecil Neuchâtel di Switzerland pada Krismas 1878.

Walaupun ada pelbagai versi sejarah tentang asal usul logo Chevrolet, tetapi kisah bowtie diiktiraf sebagai versi paling sahih.

Chevrolet 1913

The Washington Post pada 2 Oktober 1913 menjadi premis pertama menggunakan simbol itu sebagai iklan Chevrolet.

WARNA DAN REKABENTUK

Logo chevrolet

Ada banyak variasi warna dan perincian bowtie Chevrolet yang digunakan sepanjang beberapa dekad lalu sejak diperkenalkan pada lewat 1913, tetapi bentuk utama kekal tidak pernah berubah.

Pada 2004, Chevrolet mula mengadaptasikan warna emas yang kini menjadi identiti jenama itu bagi semua model yang dipasarkan seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pandulaju

17 Tanda-tanda Kematian Yang Baik

17 Tanda-tanda Kematian Yang Baik

Setiap manusia di dunia ini telah di tetapkan oleh Allah akan tempoh masa hidupnya akan tetapi, Allah merahsiakan 3 perkara kematian kepada hambanya iaitu bila, dimana mahupun bagaimana.

Tanda tanda kematian yang baik

Hal ini di jelaskan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud, "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." (Q.S an-Nisa: 78).

Ada yang mati ketika masih kanak- kanak, ada yang mati ketika remaja, ada yang mati ketika usia tua dan semuanya berada didalam pengetahuan Allah SWT.

Namun secara puratanya, umur umat akhir zaman berkisar antara 60-70 tahun, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya umur umatku di antara 60 ke 70 tahun." (HR. Ahmad)

Dalil di atas menunjukkan bahawa kita wajib bersiap sedia untuk menyambut datangnya kematian pada bila-bila masa sahaja, hal ini bertujuan agar ketika kematian datang, kita mendapatkan cara mati yang baik.

Adapun tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan yang baik di antaranya adalah:

1. Sempat Mengucapkan Dua Kalimah Syahadat

"Orang yang meninggal dunia dalam keadaan sempat mengucap dua kalimah syahadat, akan dimasukkan ke dalam syurga Allah." (HR Ahmad)

2. Keluar Peluh di Dahi

Orang yang beriman ketika nazak, apabila melihat peluh di dahinya, menunjukkan bahawa dia sedang bertarung dengan rohnya yang akan keluar dari badan.

Namun rasa sakit bagi orang yang beriman akan diganti oleh Allah setelah dia meninggal dunia.

3. Mati Pada Malam atau Siang Hari Jumaat

"Barang siapa yang meninggal dunia pada siang hari dan malam Jumaat, melainkan Allah akan memeliharanya dari fitnah kubur." (H.R Ahmad & Tarmidzi)

4. Mati Dalam Peperangan Membela Agama Allah

Orang yang meninggal dunia dalam keadaan mati Syahid, akan dijanjikan balasan dengan syurga kerana berjuang menegakkan kebenaran.

5. Orang Yang Mati Akibat Peperangan Fisabilillah

"Barangsiapa yang terluka dalam medan peperangan kemudian dia meninggal dunia, maka dikira sebagai mati syahid." (HR Abu Daud, Hakim & Baihaqi)

6. Orang yang Mati Akibat Wabak Taun

"Sesungguhnya taun adalah azab Allah yang dikirimkan kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan rahmat bagi orang yang beriman. Dan matinya dikira sebagai mati syahid." (HR Bukhari)

7. Orang Yang Mati dalam Keadaan Sakit Perut

"Barang siapa yang mati dalam keadaan sakit perut (dalam keadaan dia redha dan sabar), maka matinya dikira sebagai mati syahid." (HR Muslim)

8. Orang Yang Mati tertimpa Benda Keras Atau Mati Lemas

"Barangsiapa yang mati kerana tertimpa benda keras atau tertimbus bangunan serta mati lemas (tenggelam), maka dikira sebagai mati yang husnul khatimah." (H.R Bukhari)

9. Orang Yang Mati Kerana Melahirkan

"Seorang wanita yang mengandung dan melahirkan bayi kemudian dia meninggal, maka dikira sebagai mati syahid, di akhirat kelak akan di bawa oleh anaknya masuk ke dalam syurga." (H.R Ahmad & Dailamy)

10. Mati Terbakar

"Orang yang meninggal dalam keadaan terbakar, maka dikira sebagai mati syahid." (H.R Abu Daud & Nasai)

11. Wanita Yang Meninggal Dalam Keadaan Nifas

"Nifas adalah darah yang keluar selepas melahirkan bayi. Dan wanita yang meninggal dunia dalam keadaan nifas, ia mendapat mati syahid." (H.R at Tabrani)

12. Orang Yang Meninggal Kerana Penyakit TB

Penyakit TB adalah salah satu penyakit kronik yang amat sukar untuk diubati.

"Barang siapa yang meninggal dunia kerana TB, dianggap sebagai mati syahid." (H.R at-Tabrani)

13. Mati kerana Mempertahankan Harta

"Barang siapa yang mati kerana membela harta bendanya, maka matinya adalah syahid." (H.R Bukhari & Muslim)

14. Mati Kerana Membela Diri

"Barang siapa yang terbunuh kerana mempertahankan diri, maka matinya adalah mati syahid." (H.R Ahmad & Nasa'i)

15. Orang Yang Mati Dalam Keadaan Bersiap Sedia Untuk Berperang

"Setiap amalan manusia akan terputus melainkan orang yang bersiap sedia untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dibangkitkan sebagai orang yang mati syahid." (H.R Muslim, Nasa'i, Abu Daud & Tarmidzi)

16. Mati ketika Sedang Beramal Sholeh

"Barang siapa yang sedang membaca kalimah tayyibah dan mati dalam keadaan berpuasa untuk mencari Redha Allah, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (H.R Ahmad).

17. Mati Dalam Berdakwah

"Barang siapa yang berdakwah dan mengislamkan orang dengan mengajak kebaikan, maka pasti dia akan masuk ke dalam syurga." (H.R at-Tabrani)

Mudah-mudahan Allah akan mematikan kita dengan cara yang Husnul Khatimah, serta mendapatkan syurga yang dijanjikan kepada hambaNya yang beriman dan bertakwa. Aamiinn Ya Rabbal 'Alamiin!

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM