Tuesday, December 04, 2012

Wang Yang Dibekukan Dalam Skim Haram Tidak Akan Di Pulangkan - Bank Negara


Bank Negara Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengembalikan semula wang yang dibekukan akibat pelaburan yang dibuat dalam skim haram.

Bank Negara

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai sebaliknya berkata, sekiranya terdapat prosiding jenayah terhadap mana-mana kes penyelewengan, segala aset hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

“Pelabur boleh memfailkan kepada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau aset mereka.

Maklumat mengenai sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Chew Lee Giok di Dewan Negara sama ada pelabur skim pelaburan haram yang dibekukan aset boleh mengambil semula wang pelaburan mereka.

Lim turut menegaskan bahawa Bank Negara atau mana-mana agensi penguatkuasaan hanya mengambil tindakan setelah mengenal pasti berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 oleh syarikat pelaburan.

Kepada soalan asal Chew berhubung perbezaan antara skim pelaburan emas yang sah dengan yang haram, beliau berkata kebiasaanya perniagaan jual beli emas haram menggunakan modus operandi menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam jangka masa singkat dan tanpa risiko kepada pelabur.

“Ia (syarikat pelaburan emas haram) juga menggunakan orang kenamaan atau VIP untuk tujuan pemasaran produk syarikat atau menggunakan nama agensi penguatkuasaan tanpa kebenaran untuk meyakinkan orang ramai supaya melabur serta harga emas yang dibeli pelanggan jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.

Justeru, Lim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan awal terhadap latar belakang sesebuah syarikat pelaburan di samping semakan dengan agensi penguatkuasaan sebelum membuat keputusan untuk melabur.

BACA INI JUGA: Ketahui Manipulasi Popular Bisnes MLM Dan Skim Cepat Kaya Elak Tertipu

Sumber: Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon