Friday, July 06, 2018

Adab Menziarahi Orang Meninggal Dunia


Menziarahi jenazah bukanlah perbuatan yang selalu kita lakukan sehari-hari, oleh itu, adalah normal jika kadang-kadang kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Adab Menziarahi Orang Meninggal Dunia

Sebenarnya, dalam ajaran Islam, terdapat adab-adab untuk setiap yang kita kerjakan, termasuklah adab-adab menziarahi jenazah.

Apabila kita menerima berita tentang kematian seseorang Muslim, sama ada yang kita kenali mahupun tidak kita kenali, adalah sunat kita menyebut, “Innaalillaahi wa innaa ilaihi ro ji'uun”, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Adab-adab menziarahi jenazah seperti:

1. Dilarang Bercakap Kosong

Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain.

Tidak digalakkan meninggikan suara ketika berbual-bual.

Perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan keluarga tersebut, hormatilah ahli keluarga jenazah yang bersedih.

Mereka tidak mungkin akan faham kenapa orang lain masih boleh tersenyum dan ketawa apabila mereka sedang berduka.

Kita haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan, “Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal.”

2. Membaca Al-Qur'an

Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud, “Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca surah Yasin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

3. Mendoakan Si Mati

Berdoa supaya jenazah mendapat keampunan Allah SWT dengan mengucapkan, “Allahummaghfirlahu warhamhu” yang ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmat-Mu ke atasnya.”

4. Membantu Keluarga Si Mati

Memberi pertolongan kepada keluarga jenazah dalam urusan pengkebumian atau menyediakan makanan untuk keluarga si mati.

Digalakkan agar menghulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.

5. Membantu Menyediakan Keperluan

Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut.

Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.

6. Mengucapkan Takziah

Melahirkan perasaan dukacita kepada waris di atas kembalinya ke rahmatullah.

Mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan perasaan dukacita keluarga jenazah.

8. Saling mengingatkan

Mengingatkan keluarga jenazah dengan kesabaran di atas ujian Allah.

9. Menutup Aib

Tidak menceritakan aib jenazah kepada orang lain.

10. Membaca Al-Qur'an

Disunatkan membanyakkan membaca al-Quran dan berdoa sebelum jenazah dikebumikan.

11. Uruskan Jenazah

Segerakan pengurusan jenazah. Sembahyangkan dan mengiringinya ke kubur.

Terdapat pula perkara-perkara yang tidak dibolehkan dan tidak digalakkan kita membuatnya, seketika kita menziarahi jenazah.

Perkara yang tidak beradab ketika menziarahi jenazah.

1. Membuat perkara yang menyinggung perasaan keluarga jenazah seperti menumpat jenazah atau bergurau senda dan berbual-bual dengan nada suara yang tinggi.

2. Jangan sesekali bercerita tentang keburukan jenazah. Ingatlah dosa kita dengan manusia hanya boleh diampunkan oleh orang itu sahaja.

3. Jangan bercerita hal-hal dunia seperti jualan langsung, kerja-kerja kosong dan lain-lain (hal-hal begini memang sering berlaku).

4. Merasa kesal terhadap kematian seperti meratap atau meraung seperti orang jahiliyah.

5. Membebankan keluarga jenazah dengan permintaan yang mereka tidak mampu.

6. Tidak redha dengan takdir Allah.

Beberapa hikmah yang boleh kita perolehi sekiranya kita menziarahi jenazah.

Antaranya:

1. Kita berpeluang menzahirkan perasaan simpati kepada keluarga jenazah.

2. Mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli keluarganya.

3. Dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah.

4. Menunaikan fardu kifayah iaitu memberikan hak sebagai seorang muslim keatas muslim yang lain.

5. Menziarahi jenazah dapat melahirkan rasa keinsafan dalam diri kita tentang kematian itu pasti menjemput kita suatu hari nanti.

6. Kematian adalah sebahagian daripada qadha Allah yang wajib diterima oleh semua makhluknya.

7. Kita juga dapat bermuhasabah diri tentang ibadat yang telah kita lakukan selama ini. Kita akan terfikir, adakah ibadah kita selama ini mencukupi untuk di buat bekalan di akhirat nanti.

“Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmat-Mu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaan-Mu”.

Amiin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: laman-seri

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon