Friday, June 05, 2020

Pemuda al-Qassam, Generasi Pemburu Syahid

Pemuda al-Qassam, Generasi Pemburu Syahid

Kewujudan para pemuda gagah dan mencintai syahid yang memperjuangkan kemuliaan Islam di bumi Gaza dan Tebing Barat untuk membebaskan bumi Palestin dari kejahatan Zionis Yahudi bukanlah suatu yang rahsia lagi.

Pemuda al-Qassam

Merekalah sebenarnya angkatan tentera yang menjadi perisai di barisan hadapan yang mempertahankan Palestin daripada terus dijajah dan diratah oleh regim Zionis Israel selama ini.

Briged Izzuddin al-Qassam atau lebih dikenali sebagai al-Qassam adalah barisan pejuang bersenjata Palestin yang telah diasaskan penubuhannya oleh Sheikh Ahmad Yassin (Pengasas HAMAS), Dr Ibrahim al Maqadema dan Sheikh Salah Shehada sejak tahun 1984 lagi.

Pasukan bersenjata HAMAS yang begitu digeruni oleh Israel ini telah diberikan nama sebagai Briged al-Qassam bersempena dengan nama Sheikh Izzuddin al-Qassam, seorang tokoh pejuang berasal dari Syria yang telah terkorban syahid di Ya'bad, Palestin, bagi mempertahankan bumi ini daripada penjajahan Inggeris pada tahun 1935.

Briged al Qassam adalah satu pergerakan ketenteraan yang bekerja dengan kerahsiaan yang tinggi dan mampu membuat pelbagai kejutan.

Semangat Jihad

Tujuan utama penubuhan al Qassam adalah untuk menaikkan semangat jihad di kalangan orang-orang Palestin, orang-orang Arab dan juga umat Islam sejagat.

Briged ini bertanggungjawab untuk mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan dan kezaliman Zionis, seterusnya membebaskan Palestin dan keseluruhan tanahnya yang telah dirampas oleh penjajah Zionis Israel.

Mempunyai ahli batalion yang terlatih seramai kira-kira 25,000 orang setiap masa di kalangan pemuda-pemuda yang berumur antara 18-30 tahun.

Sejak intifadah al Aqsa yang berlaku pada tahun 2000, seramai kira-kira 800 ahli briged ini telah syahid bagi mempertahankan Palestin.

Briged al Qassam amat mementingkan latihan dan kualiti ahli yang menjadi tulang belakang perjuangan pembebasan Palestin.

Di antara syarat utama yang dikenakan sebelum mereka dipilih ialah:
  • Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
  • Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
  • Menjaga solat 5 waktu secara berjamaah.
  • Mengimani perjuangan pembebasan al Aqsa dan Palestin.
  • Berdisiplin dan mentaati kepimpinan.
  • Mencintai dan bersedia untuk syahid.

Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di wilayah Gaza, ia bukanlah kerana serangan tentera Israel sebaliknya adalah latihan al Qassam.

Briged al Qassam juga sangat terkenal dengan roket artileri al-Qassam yang merupakan roket buatan sendiri.

Roket ini sering membawa kemusnahan kepada musuh di tanah suci Palestin yang dijajah serta memberikan kesan trauma mental kepada masyarakat penjajah Israel.

Bersujud syukur selepas menjalani operasi

Setiap kali selesai, semua pemuda-pemuda ini akan berkumpul dan bersujud syukur sebagai amalan penting pada setiap kali tamat selesai latihan.

Pastinya, mereka adalah generasi pemuda perindu syahid yang begitu digeruni oleh pasukan tentera Zionis Israel yang mempunyai pelbagai kelengkapan teknologi ketenteraan yang canggih.

Merekalah generasi anak muda yang merindui kemuliaan mati syahid dan masing-masing bekerja kuat bagi menagih keistimewaan syahid seperti sabda Rasulullah SAW.

Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:
  • Diampuni dosanya sejak mula pertama darahnya meluncur keluar.
  • Melihat tempatnya di dalam syurga.
  • Dilindungi dari azab kubur.
  • Terjamin keamanannya dari malapetaka besar.
  • Merasakan kemanisan iman.
  • Dikahwinkan dengan bidadari.
  • Dapat memberikan syafa'at kepada 70 orang kerabatnya.

Wallau a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 04, 2020

2 Tindakan 'Terbaik' Malaysia Berjaya Bendung Covid-19

2 Tindakan 'Terbaik' Malaysia Berjaya Bendung Covid-19

Pengasingan individu yang positif COVID-19 walaupun tidak bergejala dan mengkuarantin rakyat yang pulang dari luar negara adalah dua tindakan 'unik' Malaysia yang terbukti berjaya membendung penularan wabak itu di negara ini.

Malaysia Terbaik Cegah Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia juga adalah negara pertama dan paling cepat dalam kalangan negara di rantau ini yang mengawal pergerakan rakyat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, bagi memutuskan rantaian virus itu dalam kalangan masyarakat.

"Kes positif kita asingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan walaupun tidak bergejala atau bergejala ringan kerana mereka ada kebolehjangkitan.

"Ini berbeza dengan di luar negara, yang mana bagi mereka yang tiada gejala atau bergejala ringan, mereka hanya dikuarantin dan diasingkan di rumah saja.

"Bagi rakyat yang pulang dari luar negara, kita pastikan mereka dikuarantin selama 14 hari dan kita jalankan ujian swab pada hari pertama dan ke-13. Dengan pengawalan sebegini, kita dapat membendung penularan sama ada di dalam negara dan dari luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dihoskan menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah dan disiarkan secara langsung di beberapa stesen TV dan laman Facebook KKMM.

Dr Noor Hisham berkata, apabila PKP satu, dua dan tiga dilaksanakan, terbukti pada 18 April 2020 lalu, kes COVID-19 tidak mencapai kemuncak 6,300 kes seperti yang diramalkan JP Morgan, sekali gus membuktikan Malaysia berjaya melandaikan lengkuk kes jangkitan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menerima nasihat Kementerian Kesihatan, selain memberi kepercayaan kepada penjawat awam sebelum membuat keputusan melaksanakan PKP melalui penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Tindakan ini diambil walaupun negara jiran belum lagi melaksanakannya. Kita mengawal sempadan dan rakyat luar tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, sebelum kita melihat bagaimana untuk kita dapat memutuskan penularan jangkitan dalam negara," katanya.

Cegah Covid-19

Dr Noor Hisham memaklumkan, walaupun masih tiada kes COVID-19 di Malaysia ketika peringkat awal kemunculan virus berkenaan di Wuhan, China pada penghujung tahun lalu, Malaysia sudah memulakan persediaan seawal Januari lalu melalui perancangan strategik dengan mengenal pasti kaedah mengesan jangkitan, menambah baik respon kepada virus baharu dan persediaan kemudahan perubatan.

Sementara itu, ditanya mengenai jadual harian beliau dan pasukan Kementerian Kesihatan sejak COVID-19 melanda negara, Dr Noor Hisham berkata, pasukannya memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pada jam 8 pagi.

"Selepas jam 9 pagi, kita bermesyuarat dengan Menteri Kanan dan menteri-menteri, dan melihat tindakan secara bersepadu membabitkan pendekatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan.

"Kadangkala, kita bermesyuarat dengan Perdana Menteri sehingga jam 1 tengah hari atau 2 petang dan kemudian kembali ke kementerian untuk melihat data kita. Perancangan kita adalah berdasarkan data.

"Kita juga selalu bermesyuarat sehingga tengah malam terutama jika kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD)," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Menurut Kajian Wanita Lebih Bahagia Jika Pasangan Tidak Kacak!

Menurut Kajian Wanita Lebih Bahagia Jika Pasangan Tidak Kacak!

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Florida State University mendapati bahawa dalam sesebuah perhubungan yang berjaya, kebiasaannya pasangan wanita akan lebih cantik dan menawan daripada pasangan lelaki.

Pasangan Tidak Kacak
Gambar hiasan.

Dalam bahasa mudahnya, wanita akan lebih gembira dengan lelaki yang kurang kacak dan kurang menarik!

Dalam kajian yang melibatkan 113 pasangan yang baru sahaja berkahwin, hasil menunjukkan jika pasangan lelaki mendapati dia kurang kacak dan tidak menarik, lelaki tersebut akan berusaha dengan cara yang lain untuk menambat hati wanita.

Sebagai contoh, membersihkan rumah, berpakaian kemas dan pandai dalam mengambil hati pasangan.

Berbanding dengan lelaki kacak yang sesetengah daripada mereka hanya menggunakan paras rupa sahaja untuk menambat hati pasangan.

Malah, pasangan wanita juga merasakan mereka tidak perlu lagi bersaing dengan wanita lain untuk kelihatan cantik jika mempunyai pasangan yang kurang menarik.

Betul ke? Cuba periksa pasangan di sekeliling anda.

PASANGAN CURANG TIDAK SEMESTINYA DENGAN ORANG LEBIH CANTIK ATAU KACAK

Namun, sebenarnya banyak kes pasangan di luar sana yang curang dengan seseorang yang dianggap tidaklah "lebih baik" dari pasangan sahnya.

Malah ada juga yang curang dengan seseorang yang "lebih teruk" dari pasangan asal! Contohnya seperti seorang isteri curang dengan lelaki yang menganggur, sedangkan suaminya bergaji besar.

Ada juga suami yang curang dengan wanita yang lebih tua dan tidak bekerja, sedangkan isteri mereka lebih muda, cantik dan berkerjaya.

Jadi, anggapan yang mengatakan setiap orang hanya akan curang dengan orang yang lebih menarik dari pasangan masing-masing adalah tidak benar.

Sebuah kajian dari laman web Victoria Milan telah membuktikan perkara ini.

Laman web tersebut telah menyediakan perkhidmatan untuk orang yang sudah berkahwin, bagi mencari hubungan sulit "di luar" pernikahan mereka.

Victoria Milan kemudiannya telah melakukan polling terhadap 4,000 orang ahli laman webnya itu dan mendapati kebanyakan orang yang menggunakan perkhidmatan laman web tersebut menganggap isteri dan suami mereka JAUH lebih menarik daripada "kekasih gelap" mereka.

Menariknya, responden lelaki mengatakan selain penampilan, isteri mereka juga jauh lebih superior berbanding kekasih gelap mereka.

Hanya 30% responden lelaki yang memiliki kekasih gelap lebih muda dari isteri mereka. Manakala hanya seperempat dari para lelaki tersebut mengatakan "kekasih gelap" mereka lebih menarik dari pasangan asal.

Jadi, kenapa mereka curang? Responden lelaki ini mengaku mereka curang kerana "kekasih gelap" mereka lebih ghairah berbanding pasangan, malah lebih memberi perhatian dan mahu mendengar berbanding isteri mereka.

Sementara itu buat wanita pula, lebih dari setengah responden wanita mengatakan bahawa suami mereka jauh lebih tampan daripada kekasih gelap yang mereka pilih.

Namun, 50% dari mereka juga mengatakan kekasih gelap mereka memiliki badan yang lebih tegap berbanding si suami.

Tak jauh berbeza dari responden lelaki, responden wanita juga mengatakan kekasih gelap mereka adalah pendengar yang lebih baik, malah lebih passionate berbanding suami.

Ditambah lagi, 89.6% dari responden wanita mengatakan kekasih gelap mereka lebih bijak menghargai berbanding suami sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

15 Makanan Untuk Pesakit Darah Rendah

15 Makanan Untuk Pesakit Darah Rendah

Perubahan tekanan darah menjadi rendah secara tiba-tiba adalah sangat berbahaya kerana kesan apabila kepala berpinar dan pening boleh menyebabkan otak gagal menerima aliran darah yang mencukupi.

Makanan Pesakit Darah Rendah

Ramai berpendapat bahawa tekanan darah rendah terjadi disebabkan anda tidak suka makan atau tidak berapa makan banyak.

Itu boleh jadi sebabnya juga tetapi anda boleh makan makanan yang disarankan untuk mengatasi masalah darah rendah.

Apakah makanan untuk darah rendah yang boleh anda amalkan setiap hari? Jom kami kongsikan 15 jenis makanan untuk darah rendah wajib anda tahu.

1. Telur

Telur mempunyai vitamin B12 yang menjadikan anda kuat dan bertenaga. Sebagai pesakit tekanan darah rendah, telur adalah makanan utama penting untuk anda makan. Ia juga dapat mengurangkan anemia dan tekanan darah rendah anda.

2. Sayur Bayam

Bayam kaya vitamin E, asam folat, lutein dan natrium. Khasiat bayam adalah mencegah kerosakan sel, melawan radikal bebas dan bersifat antioksidan.

Sayur bayam juga menjadikan darah anda sihat dan badan lebih bertenaga. Amalkan sayur bayam seminggu 2 kali atau setiap hari, tiada masalah.

Anda boleh makan bayam hijau dan bayam merah. Khasiatnya juga lebih kurang sama dan sesuai sebagai makanan untuk darah rendah.

3. Delima

Perbanyakkan makan buah delima sama ada delima muda atau tua yang sudah merekah, kerana ia sangat antioksida dan mempunyai vitamin yang banyak.

Anda tidak akan letih, pening dan mudah pengsan lagi dengan pengambilan buah delima.

4. Daging Merah

Selain telur, daging merah adalah makanan kedua terbaik untuk darah rendah. Daging merah juga boleh mengatasi anemia dan meningkatkan tenaga.

Makanan untuk darah rendah terbaik ini boleh anda ambil dalam kuantiti yang secukupnya atau banyak asalkan tidak lemak berlebihan.

5. Seledri

Seledri adalah daun yang boleh anda tambah dalam masakan atau minuman, juga boleh dijadikan sebagai penambah rasa.

Kandungan natrium sebanyak 96 mg dan kaya dengan pelbagai vitamin dapat mengatasi masalah darah rendah.

Anda boleh mengamalkan seledri daun dan batangnya kerana keduanya sangat berkhasiat untuk diamalkan.

6. Lemon

Lemon bukanlah semata-mata penghapus lemak, tetapi juga dapat mengatasi darah rendah, juga kaya dengan vitamin C dan bersifat antioksidan.

Anda boleh menjadikan lemon sebagai jus ataupun boleh tambah dalam masakan yang bersesuaian.

Jika dimakan begitu sahaja, masam sangat rasanya. Darah anda akan lebih terkawal justeru dapat mengatasi tekanan darah rendah.

7. Madu

Apa kata anda amalkan makanan untuk darah rendah yang ringkas ini? Dengan 2 sudu madu setiap hari, tekanan darah rendah anda akan berkurangan.

Madu adalah makanan sunnah yang pastinya mempunyai khasiat terkuat untuk darah dan tenaga.

8. Ikan Bakar

Ikan bakar boleh mengatasi darah rendah jika anda sering memakannya. Pastikan ikan yang anda masak adalah ikan yang tidak menyebabkan gatal-gatal.

Gunakan ikan yang sering dimakan oleh mereka yang berpantang seperti ikan selar.

9. Hati Ayam

Makanan untuk darah tinggi yang boleh anda amalkan adalah hati ayam, kerana ia mengandungi vitamin B12 dan kaya dengan asam folat.

Banyak menu makanan yang boleh anda gunakan bagi hati ayam. Mungkin dengan resepi yang sedap, anda akan mudah untuk makan selalu.

10. Timun

Ramai yang tidak sangka bahawa timun boleh mengatasi darah rendah. Timun boleh dijadikan acar, kerabu, makan bersama nasi lemak, sebagai ulam-ulaman dan lain-lain lagi.

Untuk pengetahuan anda, timun mempunyai 96% air yang bakal menjadikan tubuh anda bertenaga, menguatkan imun tubuh dan mengatasi darah rendah.

11. Asparagus

Makanan untuk darah rendah seterusnya adalah asparagus, yang boleh dimakan dalam masakan sayur dan lauk-pauk yang lain.

Ia menjadi amalan masyarakat cina dalam masakan, penuh dengan asam folat yang membantu menguatkan tekanan darah.

12. Kismis

Kismis boleh dimakan begitu sahaja dan juga boleh direndam ke dalam air masak selama 10 hingga 20 minit.

Kismis yang direndam boleh dibiarkan semalaman dan boleh diminum pada keesokan pagi. Anda boleh lakukannya selama seminggu.

13. Tomato

Tomato sangat berkhasiat sehingga ada yang memakannya begitu sahaja sebagai ulam, kerana dengan kandungan air 94%, makanan untuk darah tinggi ini dapat mengawal tekanan darah rendah anda dengan mudah.

Untuk mengelakkan tekak terasa mual, anda boleh amalkan makan tomato digaul bersama dengan mayonis.

14. Zaitun

Anda boleh mencuba makan buah zaitun juga untuk mengatasi darah rendah, kerana ia adalah makanan yang penting untuk darah rendah.

15. Tembikai

Siapa yang tak kenal buah tembikai? Buah yang mengandungi air yang banyak ini adalah makanan untuk darah rendah dan mudah didapati.

Selain dapat mengatasi darah rendah, tembikai juga dapat melawan bakteria dan kuman dalam tubuh serta menghapuskan penyakit-penyakit lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bidadari

Kenali Wasabi, Ramuan Sushi Yang Sangat Rare Dan Mahal

Kenali Wasabi, Ramuan Sushi Yang Sangat Rare Dan Mahal

Jika anda seorang penggemar makanan Jepun tentunya kenal dengan wasabi, sejenis makanan berwarna hijau yang selalunya dijadikan sos pencicah dan dimakan bersama sushi. Tetapi, tahukah anda wasabi diperbuat daripada apa? Sebenarnya wasabi dihasilkan daripada bahagian akar pokok dan pokok wasabi ialah sejenis herba Jepun.

Wasabi sangat mahal
Wasabi.

Ada yang kurang menggemari wasabi kerana rasanya yang pedas, tajam dan kuat, tetapi tidak kurang juga yang menyukainya untuk menyeimbangkan rasa hanyir sushi.

Wasabi adalah antara tumbuhan yang sangat sukar untuk ditanam, kerana selain mengambil masa setahun 3 bulan untuk matang, wasabi sangat sensitif dengan cuaca dan memerlukan air yang banyak untuk terus hidup.

Dan tahukah anda bahawa pes hijau yang anda makan selama ini bersama-sama sushi bukanlah wasabi yang sebenar?

Cuba semak bahan-bahan pada paket tersebut dan anda akan dapat lihat ia merupakan gabungan sorbitol (pemanis), lobak pedas dan mungkin peratusan kecil wasabi sebenar.

Wasabi sebenar sangat sukar ditemui dan harganya boleh mencecah RM1,000 sekilogram.

Jadi, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wasabi dan mengapa ia sangat mahal?

Wasabi adalah tumbuhan hijau kecil dalam keluarga Brassica yang bermakna ia mempunyai kaitan dengan banyak tumbuhan murah dan mudah didapati seperti lobak pedas, kubis dan brokoli.

Namun, tidak seperti tumbuhan-tumbuhan lain, wasabi tersangat mahal dan boleh mencapai harga 25 kali ganda berbanding lobak pedas segar.

Dan sebab utama bagi harga yang sangat mahal ini adalah kerana proses penanamannya yang terkenal sebagai tanaman paling sukar ditanam secara komersial di dunia.

Satu-satunya tempat di dunia di mana ia boleh ditemui tumbuh secara semula jadi adalah di sepanjang sungai pergunungan di Jepun yang mana kawasan ini mempunyai keadaan yang sangat spesifik untuk wahabi tumbuh.

Wasabi memerlukan bekalan mata air yang berterusan, sukakan kawasan yang rendang dan tanah berbatu serta hanya boleh tumbuh dengan suhu sekitar 8 hingga 20 darjah celcius sepanjang tahun.

Kelembapan yang terlalu tinggi atau mineral yang tidak bersesuaian juga boleh menyebabkan masalah untuk tumbuhan ini dan ia mudah terdedah kepada haiwan perosak serta penyakit.

Walapun wasabi kebanyakannya tumbuh dan ditanam di Jepun, The Wasabi Company adalah syarikat pertama yang menanam tumbuhan ini secara komersial di Eropah.

Apabila kesemua syarat-syarat untuk menanam wasabi dipenuhi, ia masih memerlukan masa yang lama iaitu 18 bulan sebelum boleh dituai.

Malah, proses ini memakan masa yang sangat lama kerana semuanya harus dilakukan menggunakan tangan. Tiada mesin yang boleh digunakan untuk menuainya.

Rasa Wasabi

Sushi Wasabi

Mesti anda tertanya-tanya apakah rasa wasabi yang sebenar dan adakah ia berbeza dengan pes yang biasa kita makan?

Menurut mereka yang pernah merasa wasabi sebenar, ia mempunyai rasa yang lembut, manis dan semulajadi serta sangat berbeza dengan pes wasabi.

Terdapat satu lagi sebab mengapa anda jarang menjumpai produk wasabi di pasar raya atau restoran.

Rempah wasabi berasal daripada tindak balas kimia yang berlaku apabila anda memecahkan sel-selnya tetapi tindak balas ini adalah sangat singkat.

5 minit selepas anda memarus wasabi, rasa pedas wasabi akan memuncak dan jika ia dibiarkan selama 30 minit, hampir kesemua rasanya akan hilang.

Sebaik sahaja anda dapat merasa wasabi sebenar, baru anda akan memahami perbezaannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Bahaya Pembawa Senyap Covid-19 Dan Ketahui Bagaimana KKM Mengatasinya

Bahaya Pembawa Senyap Covid-19 Dan Ketahui Bagaimana KKM Mengatasinya

Jumlah virus yang terkandung dalam badan individu tanpa gejala COVID-19 seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas setakat ini didapati rendah, sekali gus mengurangkan risiko penularan jangkitan.

Pembawa Senyap Covid-19

Bagaimanapun, jumlah atau muatan virus dalam badan individu yang turut dikategorikan sebagai 'pembawa senyap' itu dikesan meningkat secara mendadak, dua hari sebelum gejala COVID-19 mula menjelma.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu tanpa gejala lazimnya berupaya menyebarkan wabak berkenaan pada minggu pertama tempoh pengeraman.

"Tetapi kalau kita asingkan mereka untuk tempoh lapan hingga 10 hari atau kuarantin 14 hari, maka kebolehjangkitan akan berkurangan atau hampir menjadi sifar selepas 14 hari.

"Jadi, sekarang kita kena bezakan yang tiada gejala ini, sama ada terus tiada gejala, tiada masalah sebab tiada kebolehjangkitan.

"Tetapi kita bimbang terhadap kes pragejala yang mana kebolehjangkitan mereka tinggi kerana virus banyak dalam badan mulai dua hari sebelum gejala dikesan," katanya pada sidang media harian COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perangkaan semasa kes yang menunjukkan golongan individu tanpa gejala, tetapi positif COVID-19 di Malaysia adalah lebih ramai, termasuk membabitkan kumpulan tahfiz, pasar awam, pusat jagaan warga emas, pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI).

Statistik merekodkan 86 peratus individu dalam kumpulan tahfiz didapati tidak bergejala, pasar awam (86.4 peratus), pusat jagaan warga emas (84.6 peratus) dan PATI (kira-kira 80 peratus).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, June 03, 2020

Hidayah Allah Buat 'Free Thinker', Ucap Dua Kalimah Syahadah Di Hujung Nyawa!

Hidayah Allah Buat 'Free Thinker', Ucap Dua Kalimah Syahadah Di Hujung Nyawa!

"Tiga kali saya suarakan supaya dia berdoa kepada tuhan minta kurangkan kesakitannya sepanjang kira-kira tiga minggu dia tinggal di Subang Jaya, memandangkan dia seorang free thinker , dia hanya diam.

Allahyarham Tan Foo Hock
Allahyarham Tan Foo Hock (kanan).

"Akhirnya, kira-kira 9 pagi Selasa (26/5/2020) lalu ketika saya bangkitkan hal sama, dia minta penjaganya, Nurin, untuk ajar dia mengucap dua kalimah syahadah," kata Suzie Tan, 59.

Suzie adalah adik kepada Tan Foo Hock, 66, yang tular di media sosial selepas dikatakan memeluk Islam sebelum meninggal dunia kurang 24 jam kemudian.

Tan Foo Hock dipercayai menggunakan Mohammad Ridzuan Tan Abdullah sebagai nama Islamnya, meninggal dunia akibat kanser di kediaman Suzie di Subang Jaya, Selangor, 27 Mei 2020 lalu.

Menurut Suzie, meskipun berlainan agama, dia dan adik-beradik lain tiada masalah dengan keputusan abangnya untuk memilih Islam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Malah, Suzie sebaliknya mengakui lega melihat riak wajah abangnya berbeza, malah kelihatan lebih tenang sebaik selesai melafazkan kalimah itu.

"Amat menakjubkan selepas mengucap, arwah kelihatan sangat tenang dan kemudian menghabiskan masa berbual dan bergelak ketawa bersama anak dan menantunya sepanjang hari.

"Menjelang malam, anak dan menantu arwah pulang ke rumah mereka dan pada waktu Subuh, saya dapati abang saya sudah tiada. Dia meninggal dalam tidur," demikian kata Suzie kepada Harian Metro.

Sementara itu, adik bongsu arwah, Mohammed Khairi Tan Abdullah, 54, berkata, keputusan abangnya untuk memeluk Islam agak mengejutkan memandangkan Foo Hock dikatakan tidak menunjukkan minat selama ini.

Namun, Mohammed Khairi juga tidak menafikan abangnya sering dipanggil dengan pelbagai nama Melayu seperti Ridzuan dan Azlan oleh rakannya memandangkan Foo Hock banyak bergaul dengan masyarakat Melayu.

"Jika diikutkan minat, mungkin saya lebih minat untuk memeluk Islam apabila saya sendiri pernah dipuji oleh ustazah kerana boleh menulis jawi dan membaca ayat suci al-Quran dengan baik walaupun saya orang Cina.

"Manakala, arwah, selain banyak bergaul dengan masyarakat Melayu, dia memang fasih berbahasa Melayu, malah fizikalnya juga bermisai menampakkan seperti orang Melayu, namun tiada tanda-tanda dia ingin memeluk Islam.

"Cuma pernahlah ketika umur saya sekitar 12 tahun, saya terjumpa buku Fardu Ain yang mengajar cara solat dan sebagainya di dalam laci arwah.

"Ketika itu arwah berusia 24 tahun dan saya pun tidak mengesyaki apa-apa ketika saya masih kecil, sekadar selongkar barang abang-abang dan saya tidak tanya atau mengadu kepada sesiapa mengenai perkara itu," katanya.

Mohammed Khairi berkata, memeluk Islam bukanlah asing dalam keluarga mereka memandang dia dan kakaknya yang menetap di Singapura sudah sekian lama menganut agama itu.

"Daripada 14 beradik seibu sebapa, saya dan kakak saya di Singapura sudah pun memeluk Islam sejak zaman muda lagi yang mana kakak saya kini juga seorang ustazah di sana.

"Jadi, perkara ini bukanlah asing. Kakak saya (Suzie) pun beritahu saya dalam keadaan bersahaja, 'Khairi, abang kau (Foo Hock) dah masuk Islam' sebaik arwah selesai lafaz dua kalimah syahadah.

"Kakak saya kata, arwah cakap 'aku nak masuk Islam, aku nak mati dalam Islam' sambil suruh Nurin ajar dia mengucap tapi Nurin teragak-agak kerana bimbang dengan respons orang lain, namun dia lakukan juga apabila semua ahli keluarga tidak membantah.

"Ketika itu saya sangat bersyukur dan apabila dia meninggal dunia keesokannya, saya hanya mendoakan yang terbaik untuk dia.

"Dapat memandikan mayatnya memberikan saya pengalaman indah terakhir bersamanya," katanya.

Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Kartel Sinaloa, Organisasi Dadah Terbesar Dan Paling Ganas Di Dunia

Kartel Sinaloa, Organisasi Dadah Terbesar Dan Paling Ganas Di Dunia

Perang dadah di antara kartel dan kerajaan Mexico telah melalui suatu masa yang sangat panjang dan isu ini tidak pernah diselesaikan, malah beribu orang telah menjadi korban termasuk ahli politik, pelajar, wartawan dan orang awam.

Sinaloa Cartel

Lebih 300,000 orang telah menjadi korban sejak perang anti dadah dimulakan pada 2006 dan budaya ini terus-menerus menguasai Mexico dan semakin ramai telah menjadi korban nyawa dalam usaha untuk membanteras kartel yang semakin hari, semakin berkuasa.

Negara jiran, Amerika Syarikat telah menghabiskan berbilion dolar untuk membantu Mexico memerangi perang, tetapi sehingga sekarang kartel dadah terus menjadi kuat dan semakin berkembang.

Salah satu usaha Donald Trump untuk memerangi dadah adalah membina tembok tinggi untuk menghalang dadah masuk ke Amerika Syarikat, walaupun kebanyakan orang melihat tembok ini hanya berfungsi sebagai diskriminasi kepada negara jiran.

Amerika Syarikat bertungkus lumus mahu memerangi dadah disebabkan negara uncle sam adalah lubuk paling besar untuk pasaran dadah.

Drug Enforcement Administration (DEA) dalam laporan yang dikeluarkan menyatakan bahawa dadah seperti heroin, methamphetamine, dan cocaine banyak diimport masuk secara haram ke AS.

Tapi sebenarnya, kartel Mexico memegang pasaran heroin dan methamphetamine, manakala untuk kokaine, kebanyakannya datang dari Bolivia, Colombia dan Peru.

Sinaloa Kartel, Organisasi yang sukar dijatuhkan

Joaquín 'El Chapo' Guzmán

Amerika Syarikat menyatakan bahawa Kartel Sinaloa adalah sebuah organisasi terbesar dunia dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ditubuhkan pada 1980-an dan selama penubuhan mereka, Kartel Sinaloa telah dipimpin oleh seorang 'tokoh' dadah terkenal, Joaquín 'El Chapo' Guzmán.

Untuk pengetahuan anda, El Chapo itu bermaksud pendek, pernah dianggap sebagai lelaki terkaya di dunia.

Kehidupan El Chapo adalah berkisarkan pengedaran dadah dan dia juga telah menjadi subjek dalam pelbagai siri buku dan juga drama televisyen.

Selama dipimpin oleh El Chapo, Kartel Sinaloa mendapat reputasi yang tinggi dan dianggap sebagai kartel paling ganas di Mexico.

Mereka telah menjalinkan hubungan yang kuat untuk mendapat akses kepada senjata-senjata berbahaya, seperti peluru berpandu dan senjata api AK-47.

Mereka telah menculik, menyeksa dan menyembelih ahli-ahli kumpulan lain yang tidak bersefahaman dengan mereka.

Pantang sahaja bertemu, kartel di Mexico akan berperang bagi menuntut kawasan jajahan mereka.

CNN pernah menulis bahawa pada tahun 2014 sahaja, El Chapo telah membunuh kira-kira 2,000 ke 3,000 orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulan ini.

El Chapo pernah ditangkap pada pada Mei 1993 dan dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun di atas kesalahan mengedar dadah, menculik dan membunuh.

Tetapi dia berjaya meloloskan diri dengan merasuah pegawai-pegawai di penjara dan menurut Malcolm Beith, El Chapo menghabiskan $2.5 juta untuk merasuah semua orang yang terlibat.

Tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Mexico menangani isu El Chapo, Amerika Syarikat pada tahun 2004 mengumumkan wang sebanyak $5 juta akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat ke atas El Chapo.

AS juga telah membekukan semua aset sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan El Chapo, termasuk isteri beliau yang melahirkan anak kembar mereka di Los Angelas pada 2011.

Salah seorang anak El Chapo, Edgar meninggal dunia pada Mei 2008 selepas di tembak di kawasan parkir kereta.

El Chapo sekali lagi berjaya ditangkap dan ditempatkan di penjara dengan sekuriti paling ketat di Toluca, Mexico.

Seperti biasa, dia sekali lagi berjaya meloloskan diri dengan cara paling terkenal, dengan menggunakan terowong bawah tanah yang dikorek di sebuah rumah berhampiran penjara.

Selepas berjaya melarikan diri dengan cara paling licik di dunia, El Chapo sempat berjumpa dengan Sean Penn dan telah ditemuramah oleh majalah popular, Rolling Stone, di mana dia mengakui mempunyai kapal terbang, kapal selam dan berjuta harta.

Dalam temuramah tersebut, El Chapo mengakui bahawa dia telah menjadi lelaki paling berkuasa apabila menguasai pasaran dadah dan menjadi antara orang yang paling ditakuti.

Tetapi pada tahun 2016, El Chapo ditangkap sekali lagi oleh pihak berkuasa Mexico dalam satu kejadian tembak menembak yang telah membunuh lima orang yang paling rapat dengan El Chopa.

Dia dihantar terus ke Amerika Syarikat pada 2017 selepas kerajaan AS memohon kepada kerajaan Mexico untuk mengadili El Chapo di mahkamah Amerika Syarikat.

Dalam keterangan mahkamah, El Chapo mengakui bahawa dia pernah merasuah bekas Perdana Menteri Mexico, Peña Nieto sebanyak $100 juta tetapi dinafikan oleh pihak Nieto.

Guzmán telah disabitkan dengan 10 tuduhan, termasuk terlibat dalam usaha jenayah yang berterusan, konspirasi narkotik, pengedaran dadah antarabangsa jenis kokain, heroin, ganja dan ubat-ubatan haram. Dia juga disabitkan dengan kesalahan penggunaan senjata api.

Pada Julai 2019, El Chapo dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, keputusan yang telah mengakibatkan keganasan berterusan di Mexico apabila beberapa kumpulan mengambil kesempatan untuk menguasai Sinaloa.

Tetapi, Kartel Sinaloa menjadi semakin kuat dan terus menguasai barat laut Mexico dan sekarang diketuai oleh anaknya, Ovidio Guzmán Lopez.

Ovidio Guzmán Lopez

Apabila anaknya ditangkap oleh pasukan keselamatan Mexico pada Oktober 2019, tentera yang mewakili Kartel Sinaloa telah bertindak ganas dengan mengisytiharkan perang ke atas pasukan tentera kerajaan.

Anggota-anggota Kartel Sinaloa dikerahkan ke seluruh bandar tersebut yang dilengkapi dengan senjata-senjata gred tentera.

Mereka berperang dengan tentera, membakar kenderaan, bahkan cuba menyerang penjara sebelum pemimpin mereka akhirnya terpaksa dibebaskan oleh kerajaan Mexico.

Pihak berkuasa Mexico memutuskan untuk membebaskan Ovidio berikutan tindak balas dahsyat daripada kartel yang menjadikan bandar itu seperti 'medan peperangan'.

Ia merupakan bukti bahawa Kartel Sinaloa akan terus berkembang dan menjadi lebih kuat, biarpun dengan ketiadaan El Chapo.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

SBDJ Siri 148: Membuang Ancak

SBDJ Siri 148: Membuang Ancak

Kononnya ada nelayan sungai yang memancing waktu malam terserempak dengan jembalang sungai menjilat dalam tulang-tulang dan memakan bunga yang terdapat dalam ancak di kawasan lubuk.

SBDJ siri 139

Mereka melihat jembalang itu timbul di permukaan sungai dengan badan sebesar kerbau, mempunyai belalai macam gajah, kepalanya macam kepala sotong dan bermata satu yang memancarkan cahaya macam bara api menerangi keseluruhan bahagian lubuk.

Sebahagian dari kulitnya menggerutu dan sebahagian lagi bersisik tenggiling. Dari hujung belalai terkeluar lidah yang cukup panjang berwarna kehijau-hijauan.

Dari bawah lidahnya menitik air liur yang menyerupai buih sabun. Lidah yang panjang itu terus menjilat-jilat tulang hingga nipis.

Masa jembalang sungai itu menjilat tulang, udang dan ikan berlompatan bagaikan bermain-main di sisinya yang jumlahnya cukup banyak.

Semua ikan, udang dan ketam besar-besar belaka. Buaya pun menimbulkan badan seolah-olah menjaga keselamatan diri jembalang sungai. Air sungai segera berombak dan melimpah ke atas tebing.

Bila semua tulang dijilat, bunga dimakan, jembalang sungai terus mengibas-ngibas belalainya ke tepi sungai.

Pokok dan tumbuhan yang kena libasan belalainya tunduk ke bumi.

Sebelum menghilang diri dalam perut sungai si jembalang berpusing-pusing di lubuk menghempas-hempaskan badan di permukaan sungai hingga melahirkan gelombang yang besar mengkara kiri kanan tebing sungai.

"Begitulah ceritanya, entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri pun tak tahu. Saya juga tidak berhajat untuk menyiasatnya. Buat apa cari penyakit," kata Fuad Hassan dengan nada suara yang melucukan. Datuk dan saya tersenyum panjang.

"Sekarang, semuanya sudah terang. Kamu sendiri dah dengar cerita dari Pak Cik Fuad. Lain kali, kalau tengok benda-benda ganjil, janganlah gatal tangan pergi mengusiknya," ungkapan itu Datuk tujukan kepada saya.

"Betul apa yang Datuk kamu cakapkan tu, Tamar," Fuad Hassan mencelah.

Saya terdiam menelan air liur.

LANCAR

Bot terus membelah arus Sungai Batanghari tetapi, tidak selancar tadi.

Barangkali, demi keselamatan perahu-perahu kecil milik orang kampung yang berada di dada sungai menyebabkan Nurul Hayat memperlahankan laju bot yang dikendalikannya.

Sampan yang dinaiki oleh pemancing nampak terumbang-ambing di sungai, dilambung oleh alun hasil dari gerakan bot yang kami naiki.

Saya makin terhibur melihat pokok kelapa dan pepohon bacang yang sedang berbunga di sepanjang perkampungan di kiri kanan tebing.

"Pelik," kata saya.

"Apa yang peliknya, Tamar?" sahut Fuad Hassan yang mendengar keluhan saya.

"Siapalah yang buat kerja syirik, jamu hantu jembalang, hanyut ancak di sungai," saya hadapkan pertanyaan itu kepada Fuad Hassan.

Saya kira, dia wajar menjawapnya kerana dia tahu selok-belok, perangai dan budi bicara, adat dan pantang larang orang-orang yang mendiami perkampungan di sepanjang Sungai Batanghari.

Fuad Hassan ketawa kecil, dia menepuk bahu saya beberapa kali. Datuk hanya melihat saja gerak geri saya dan Fuad Hassan.

Dengan tenang Fuad Hassan menarik dan melepaskan nafas. Dia merenung ke arah tebing sebelah kiri. Saya masih menanti jawapan darinya.

"Hanyut ancak atau sesajian di sungai, sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk di sini.

"Lebih-lebih lagi kalau terjadi kemalangan di sungai, mati lemas, sampan karam, ditangkap buaya atau kampung dilanda banjir.

"Penduduk yang terbabit terus mengadakan jamuan atau sesajian," begitu tenang Fuad Hassan memberi penjelasan.

Di bawah hembusan angin sungai, saya anggukkan kepala. Datuk tidak memberikan sebarang komentar.

"Sepatutnya, perkara semacam tu tak patut terjadi. Bertentangan dengan agama," secara spontan terpancut ungkapan itu dari kedua belah bibir saya.

Fuad Hassan tersenyum, saya tak tahu sama ada semua itu tanda gembira atau senyum mengejek.

"Benar cakap kamu, memang tidak patut perkara macam itu dilakukan. Semua orang tahu.

"Cara itu salah tetapi, ada juga yang membuatnya. Ini menunjukkan yang mereka kurang mendalam pada ajaran agama Islam, mereka lebih percaya pada kuasa ghaib, hantu syaitan dan ancak," saya kira Fuad Hassan melahirkan pendapat yang cukup jujur dan ikhlas.

"Kita harap lama-kelamaan perkara begini akan hilang. Diharapkan apa yang kita tengok dan lihat ini, adalah sisa sisanya yang akhirnya terus lenyap. Kita yang tahu harus membetulkan langkah mereka yang silap," sahut Datuk.

Fuad Hassan mengangguk, setuju dengan pendapat yang Datuk hamburkan.

"Tak apalah, kita cuba menghapuskan kerja-kerja syaitan ni, kita datangkan tokoh-tokoh agama yang handal, luas pengetahuannya tentang kemajuan zaman moden, boleh bercakap dalam dua tiga bahasa.

"Orang-orang yang suka membuat kerja-kerja begini biasanya orang yang pandai bercakap, jumlahnya tak sebanyak mana tetapi boleh mempengaruhi penduduk kampung di pendalaman," Fuad Hassan begitu ghairah apa yang tersirat dalam dirinya.

Datuk tidak memberi komen sama ada menyokong atau membantah cadangan dari Fuad Hassan.

Datuk hanya tersenyum menyembunyikan seribu rahsia.

Secara mengejut saja Fuad Hassan meninggalkan saya dan Datuk di atas bot.

Dia menyelinap ke bahagian bawah. Lima minit kemudian dia muncul kembali di sisi kami.

"Ke mana tadi?" tanya Datuk.

"Beritahu anak saya supaya memperlahankan lagi laju bot dan cuba rapat ke tebing. Kota menyusur tebing hingga sampai ke tempat yang kita hajat."

"Begitu, jauhkan lagi," tanya saya.

"Tak jauh lagi, kau duduk diam-diam, jangan nakal-nakal," Fuad Hassan merenung ke arah saya dengan kerlingan yang agak luar biasa.

Tiba-tiba saja saya merasakan gerak-geri yang diperlihatkan oleh Fuad Hassan kurang menyenangkan. Terasa diri seperti disindir dan dipermainkan.

Bagi mengelakkan rasa marah berpanjangan dalam hati, saya mengambil keputusan mahu menjauhkan diri dari Datuk dan Fuad Hassan.

Belum pun sempat rancangan itu dilaksanakan, Fuad Hassan dengan nada suara yang agak tinggi memberitahu Datuk yang dia mahu turun ke bahagian enjin bot.

"Kenapa?" soal Datuk.

"Dah lama sangat aku membiarkan si Nurul Hayat bawa bot, dia dah letih tu."

"Kenapa dah dekat nak sampai, baru kamu sedar anak kamu letih. Kenapa tak bergilir-gilir membawanya sejak tadi. Bukannya bila dah nak sampai baru bertindak."

"Aku terlupa, dia pula tak merungut. Kau tengok haluan bot dah tak tentu arah, dia dah penat, boleh jadi dia dah mengantuk."

"Kalau begitu cepat bantu dia," kata Datuk.

Fuad Hassan bergegas ke bahagian bawah. Datuk pun mengekorinya dari belakang.

RIANG

Apa yang terjadi membuat saya merasa riang. Pada hemat saya, bersendirian lebih aman dan menyenangkan.

Tanpa mahu membuang masa saya pun mengatur langkah untuk menuju ke bahagian ekor bot.

Saya terus duduk di situ melihat bebuih dan gelombang bagaikan hasil dari putaran kipas di dalam air.

Bebuih dan gelombang bagaikan muncul dari bawah lalu berputar di bahagian ekor bot.

Keadaan dan suasana yang saya nikmati itu memberikan kepuasan kepada diri saya.

Kali ini, saya berazam tidak akan mengganggu sesuatu yang saya nampak ganjil atau abeh di permukaan sungai. Sesungguhnya, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Keasyikan saya tergugat oleh bunyi derap tapak kaki. Saya pun menoleh ke belakang.

"Nurul Hayat..." bisik batin penuh debar.

Dada terasa cemas dan nafas juga jadi sesak. Suara yang mahu diluahkan bagaikan tersekat di kerongkong.

Cuma sepasang anak mata saja yang mampu merauti seluruh wajah Nurul Hayat yang tersenyum.

Nurul Hayat terpacak di depan mata menatang dulang (dibuat dari kayu meranti bukit) yang berisikan dua cawan kopi dan sepiring kuih.

Barangkali kuih jemput-jemput kerana bentuknya kecil dan bulat.

Tanpa mengucapkan sesuatu, Nurul Hayat meletakkan dulang kecil di depan saya. Dia terus duduk.

Darah gemuruh mulai menguasai saluran urat saraf seluruh badan. Sepanjang yang saya ingat, inilah kali pertama saya duduk di sisi gadis. Keadaan kami hampir berlaga kepala lutut.

Dua tiga helai anak rambutnya yang terkeluar dari tepi kain tudung terbuai buai di main angin, menambahkan seri kejelitaan Nurul Hayat. Begitulah menurut hemat saya.

Dalam usaha menghalau rasa gementar, saya menggigit bibir dan menggosok-gosok pangkal hidung.

Sesekali saya menggigit kuku di ibu jari. Saya jadi resah semacam.

Tetapi anehnya, dalam rasa gementar itu saya masih mampu menjeling ke arah kulit pipi Nurul Hayat yang kemerah-merahan.

Bau peluhnya amat menyenangkan, mungkin kerana terdapat karangan bunga cempaka dan tanjung tergantung di lehernya.

Direnung sekali imbas memang tidak dapat dikesan atau dilihat karangan bunga tersebut kerana ditutup oleh hujung kepala (selendang) yang terdampar di bahagian hadapan bajunya.

Tetapi, mata jahat saya dapat menyorot kuntum-kuntum bunga yang dicucuk dengan benang daun nenas dan dijadikan seperti kalung.

"Kenapa kamu nakal sangat?"

Tiba-tiba saja Nurul Hayat menghalakan wajah ke arah saya. Kami bertentang wajah, bertentang mata.

Saya bertambah menggelabah, semuanya serba tidak kena. Sekejap meraba pipi, sekejap garu pangkal telinga.

"Kenapa resah gelisah saja, teringatkan kampung halaman," datang pertanyaan dari Nurul Hayat.

Saya masih macam tadi, masih membisu. Cepat-cepat saya alihkan wajah ke arah lain, saya tidak mahu merenung wajahnya.

Tidak mahu menentang anak matanya yang saya kira mempunyai kuasa yang boleh membuat perasaan saya sedikit tidak tentu arah, membuat jantung saya berdegup hebat.

"Kamu tahu, syaitan dan iblis jika dipuja memang menjadi, kalau kita minta bantuan memang cepat dibantunya.

"Maklum sajalah, dia nak menarik hati kita supaya percaya dengannya. Bila kita dah percaya dan keyakinan kita kepada Allah bertambah goncang, kuasanya semakin kuat."

Nurul Hayat bagaikan memberi ceramah kecil kepada saya dan sepasang matanya yang jernih merenung bebuih dan alun air dibuntut bot yang bergerak.

"Apa yang awak cakap ni?" sengaja saya tinggikan nada suara untuk menutup rasa gementar di hati.

"Tak usah berdalih, saya tahu semuanya."

"Tahu apa?"

"Ayah saya dan Datuk awak dah ceritakan pada saya. Lucu. Saya ketawa dan simpati dengan awak."

"Haaaaaa..." mulut saya separuh ternganga. Nurul Hayat terus tersenyum.

Bot yang dinaiki terus bergerak, air sungai terus menghanyutkan dedaun dan reranting kering yang jatuh di permukaannya. Sekali sekala terlihat kilasan ikan di air yang jernih.

"Minum, kamu dahaga."

Saya segera menyambut cawan berisikan air kopi yang dihulurkan oleh Nurul Hayat kepada saya. Air kopi segera saya teguk. Terasa segar sekali.

"Kuihnya," hulur Nurul Hayat.

Segera saya sambut dan suapkan ke mulut, lalu saya telan.

"Sedap?" tanyanya.

"Saya anggukkan kepala."

"Apa rasanya?" soalnya lagi.

"Macam rasa ubi kentang goreng, tapi baunya macam bau bawang putih," jawab saya.

"Kamu suka?"

Pertanyaan terakhir yang diajukan itu membuat saya berada dalam serba salah. Apa yang harus saya ucapkan.

Apakah saya mesti mengatakan SUKA, pada hal memang saya tidak menyukainya.

Wajarkah saya berpura-pura untuk menyenangkan hati seorang gadis? Semuanya berlegar-legar dalam tempurung kepala.

Saya berperang dengan perasaan saya sendiri. Kuih yang sudah hancur dikunyah terus saya telan.

Nurul Hayat masih merenung gelombang air di ekor bot. Barangkali dia menanti jawapan dari saya.

Air kopi saya teguk lagi tetapi, saya tidak memberikan jawapan terhadap pertanyaan Nurul Hayat.

Kalau terus terang, saya bimbang perasaannya tersinggung. Kalau saya berpura-pura, perasaan saya pula yang terseksa.

BOHONG

Dalam keadaan fikiran dan perasaan yang kacau bilau itu, secara spontan saya teringatkan kata-kata yang sering Datuk ucapkan kepada saya:

"Jangan membohongi diri sendiri untuk memberi kepuasan pada orang lain. Perbuatan itu secara tidak langsung merendahkan martabat diri kamu sebagai seorang lelaki. Kamu harus jujur pada diri sendiri, katakan sesuatu yang benar, cara itu tidak akan merugikan diri kamu dan orang lain. Jujur dan ikhlas pada diri sendiri, adalah sikap yang baik."

"Kenapa lambat sangat nak jawab, asyik menung aje. Nak jawab SUKA atau TAK SUKA pun nak fikir-fikir panjang," Nurul Hayat menyindir.

Mungkin dia berbuat demikian kerana bosan menanti jawapan dari saya.

"Tak suka, tak sedap," sahut saya keras.

"Memang tak sedap. Mana ada ubat yang sedap," balasnya selamba.

"Ubat?"

"Iya, kuih ubat."

Saya kerutkan dahi, cawan di tangan saya letakkan atas dulang semula. Barangkali, Nurul Hayat mahu mempermainkan saya.

Kali ini rasa gemuruh dan gementar sudah hilang. Saya jadi berani. Saya jegilkan sepasang biji mata ke arah Nurul Hayat.

"Kamu mempermainkan aku?"

"Tidak," Nurul Hayat terus senyum.

"Aku tak faham."

"Apa yang kamu rasa macam ubi tu, sebenarnya bawang putih yang digaulkan dengan tepung beras huma. Kemudian digoreng," dengan serius Nurul Hayat memberikan penjelasan.

Melihatkan kepada gerak-geri dan gelagatnya membuatkan saya yakin dengan apa yang diucapkannya.

"Apa khasiatnya?"

Nurul Hayat mengambil sebatang ranting kayu, sebesar jari kelingking yang panjangnya tidak sampai sekaki.

Ranting kayu yang tersadai di bucu (entah dari mana datangnya) segera dilemparkan ke dalam sungai.

Ranting kering itu terapung-apung dibawa ke hilir. Angin yang bertiup lemah menyentuh kulit muka saya, terasa amat menyegarkan.

"Apa khasiatnya?" ulang saya lagi.

Macam tadi juga, Nurul Hayat tidak memberi jawapan segera. Dia cuma tersenyum. Sikapnya itu membuat saya hati panas.

Dan saya mula ragu-ragu dengan kebenaran kata-kata yang dituturkannya berhubung dengan kuih yang sudah masuk ke dalam perut.

"Apa khasiatnya?" saya mengulanginya untuk kali yang ketiga.

"Begini. Tepung beras huma untuk mengenyangkan perut, menambahkan tenaga, menghilangkan lenguh-lenguh sendi dan melambatkan rasa penat.

"Khasiat bawang putih goreng pula, apa dia?"

"Khasiat bawang putih goreng pula menghilangkan lemak, menghalau angin jahat dari dalam tubuh kita, mencegah dari sakit pinggang, menguatkan urat saraf.

"Sebenarnya, bawang putih kalau kita boleh makan dengan tidak digoreng lagi bagus khasiatnya."

"Makan bawang putih mentah boleh tapi, ramai yang tak tahan dengan baunya," kata saya.

"Fasal tu tadi digoreng. Menggoreng mesti pandai, jangan sampai rentung, tak payah pakai minyak," demikian Nurul Hayat memberikan penjelasan.

"Bagus," kata saya sambil menegakkan ibu jari kanan ke arahnya. Nurul Hayat tersenyum.

Kemudian, kami sama-sama menghirup kopi. Sama-sama mengunyah kuih yang tidak dinyatakan namanya kepada saya oleh Nurul Hayat.

Laju bot terasa makin perlahan dan makin hampir dengan tebing. Kami masih lagi duduk berdekatan.

Kalau tadi berlaga lutut, sekarang kami berlaga bahu, sudah saling jeling menjeling. Hati kecil mula terpikat dengan Nurul Hayat.

"Kamu perempuan hebat, pandai bersilat dan tinggi ilmu agama," saya mula memuji diri Nurul hayat.

"Huuuuuuuhhhh..." suara Nurul Hayat meninggi dan dia menjeling tajam sambil mempamerkan wajah yang agak bengis.

Saya terperanjat dengan tindak balasnya itu. Buat seketika kami tidak berkata-kata.

"Jangan puji aku, kalau kamu mahu aku duduk di sini," bentak Nurul Hayat dengan tiba-tiba.

Dia terus bangun sambil kedua belah tangan menggenggam penumbuk. Matanya merenung ke arah dada sungai. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan resah sekali.

"Maafkan aku," kata saya tersangkut-sangkut. Nurul Hayat membuka genggam penumbuk tangan kanan. Nafas resahnya nampak berkurangan.

"Maafkan aku, sebenarnya aku tak berniat nak menyinggung perasaan kamu," rayu saya lagi.

Genggaman penumbuk di tangan kirinya terbuka. Nurul Hayat terus duduk kembali di sisi saya.

Aduh! Senangnya rasa hati. Perempuan yang keras hati dapat dilembut dengan rayuan. Saya senyum megah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 148/284

BACA: SBDJ Siri 147: Diusik Penunggu Sungai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com