Wednesday, August 23, 2017

Bunga Tumbuh Di Gurun Paling Kering Di Dunia

Bunga Tumbuh Di Gurun Paling Kering Di Dunia

Pengunjung di gurun paling kering dan gersang di dunia, Atacama, Chile, terkejut apabila menemui lebih 200 spesis bunga dan fauna tumbuh segar.

Atacama

Keadaan itu berlaku susulan hujan lebat yang tidak dijangka semasa musim sejuk di gurun terbabit.

Kebiasaannya, pokok bunga akan tumbuh di gurun Atacama sekali dalam masa enam tahun disebabkan ia tempat paling kering di dunia.

Namun kali ini, disebabkan tambahan hujan, bunga-bunga berkenaan berkembang lebih awal.

Perkembangan ini menjadikan kawasan gurun itu dikunjungi ribuan pelancong yang tidak sabar-sabar untuk melihat bunga berkenaan.

Pada masa sama, mereka juga boleh melihat gunung berapi dan bukit pasir yang membentuk landskap di kawasan gurun Atacama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Luarbiasa! Atacama, Gurun Paling Kering Dihujani Salji

-Sentiasapanas.com

Samseng Osaka Gambaran Sebenar Perangai Rakyat Malaysia?

Samseng Osaka Gambaran Sebenar Perangai Rakyat Malaysia?

Insiden perkelahian melibatkan anak-anak muda di Osaka, Jepun seperti yang tular engundang perhatian awam.

Samseng Osaka

Ramai yang membela si baju biru dan jutaan netizen mengutuk tindakan ala samseng si baju hitam. Insiden itu benar-benar menimbulkan persoalan: sebaik mana sikap kita - rakyat Malaysia - di negara orang?

Hakikatnya, kita yang kadangkala berasa suci ini tidak dapat lari daripada tindakan yang buruk, sama ada menjejaskan orang lain atau tidak.

Apatah lagi jika wujud perasaan bebas daripada aturan biasa dan undang-undang negara. Mungkin persis perasaan seorang anak yang pertama kali beroleh kebenaran ibu bapa untuk keluar berseorangan.

Bezanya kita tidak tertangkap kamera, manakala mereka di Osaka telah dirakam aksinya dan menjadi tular ke seantero alam.

Lantas pelajaran apa yang boleh diambil daripada insiden itu? Satu sahaja - konsistensi sikap. Si baju biru dibela dan dikagumi dek kesabaran yang wujud sepanjang insiden. Sikap sedemikian pastinya tidak terbina sehari dua.

Wajah kita semasa marah

Mereka yang pernah mengenali dirinya rata-rata bercerita tentang kebaikan peribadi beliau. Maka tidak pelik apabila beliau dengan tenang mampu menangani keadaan segenting itu.

Sementara si baju hitam yang tidak disukai ramai orang itu sangat sedikit coretan kisah dan latar belakangnya. Mungkin risau kalau bercerita dikaitkan pula dengan tindakan lelaki tersebut.

Panas baran, samseng, gemuk - semua istilah itu terhambur tanpa bertapis. Seolah-olah memang itulah perangainya sejak lahir.

Akaun Facebooknya ditular dan dia dihamun semahunya. Tidak termasuk nombor telefon peribadi yang berlegar. Pasti dipenuhi mesej-mesej yang tidak sopan bahasanya.

Hakikat yang kadangkala kita tidak nampak ialah - si baju hitam itu adalah wajah kita ketika marah atau berseorangan. Realitinya, perilaku baik dalam situasi biasa bukanlah perkara susah.

Cabarannya, ketika marah. Tengok saja perangai kita di jalan raya. Sesak, berseorangan dan tergesa-gesa untuk pulang. Walau lampu isyarat sudah dinyatakan, masih lagi tergamak pintas-memintas konon untuk menunjukkan kejaguhan.

Ketika itu, silap sedikit sahaja, segala jenis bahasa mak nenek binatang keluar.

Pura-pura baik

Kejadian najis di bilik air Osaka juga diulas ramai orang. Komen di Instagram si baju hitam itu penuh dengan emoticon tahi.

Nasionalisme membuak-buak, tidak mahu negara menanggung malu. Ironinya, berapa banyak tandas awam dalam negara yang penuh dengan 'ketulan terapung' sebaik pintunya kita buka?

Adakah para pelancong tidak melihat gelagat kita di negara ini? Melepaskan hajat di bilik air hostel itu amat melampau. Isunya ialah, adakah kita betul-betul telah berdisiplin di tempat kita?

Berpegang pada falsafah "berpura-pura baik" mungkin boleh diamalkan kalau memang sukar sangat menjaga tatasusila. Ia hipokrasi paling rendah untuk mengelak maki hamun orang.

Namun lebih tinggi, negara memerlukan kita berbudi sentiasa. Ketika berseorangan mahupun di ruang awam, ketika tenang mahupun marah.

Mungkin boleh bermula secara mudah - di jalan raya dan tandas-tandas awam. Nah, berapa ramai boleh senyum dan tenang menghadapi kesesakan petang nanti?

nota editor:
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah naib ketua pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi blog ini.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tahukah Anda Google Membayar AS$3 Bilion Untuk Menjadi Search Engine Apple!

Tahukah Anda Google Membayar AS$3 Bilion Untuk Menjadi Search Engine Apple!

Sebut sahaja Google anda akan membayangkan laman web dengan ejen carian pantas dan terbaik, menguasai YouTube, ejen carian serta sistem operasi Android antara yang membuatkan orang ramai tidak terlepas untuk menggunakan servis mereka hampir setiap hari.

Google+Apple

Meskipun Google berjaya menjadi ejen carian utama untuk hampir kesemua komputer dan smartphone ketika ini, tahukah anda hampir 50% carian yang dibuat di Google datangnya daripada Apple iPhone.

Melihat kepada jumlah pengguna yang ramai ini sekaligus berjaya memberi peluang buat Apple untuk berada di winning side di dalam kes ini.

Berdasarkan laporan terbaru, Google dikatakan perlu membayar sekitar $3 billion (~RM12.88 billion) untuk terus kekal sebagai ejen carian utama atau default search engine buat Apple iPhone.

Perjanjian yang dibuat ini membolehkan Google terus kekal atau sekiranya Google mengingkarinya Apple mungkin terpaksa kepada laman web ejen carian berbeza selepas ini.

Perjanjian yang bakal dibuat ini bukanlah yang pertama dibuat, sebelum ini perjanjian yang sama pernah dibuat sekitar tahun 2014 dengan nilai pembayaran Google kepada Apple sebanyak $1 billion.

Siapakah yang lebih untung didalam perjanjian ini?

Perjanjian yang dibuat ini dilihat sebagai advantage buat kedua-dua belah pihak. Apple berjaya menerima wang yang banyak manakala Google berjaya mengekalkan bilangan pengguna yang ramai.

Google juga bakal memperoleh pendapatan berdasarkan servis yang ditawarkan serta keuntungan 5% daripada jumlah pendapatan operasi iOS.

BACA INI JUGA: Rahsia Carian Google Yang Anda Tidak Pernah Tahu

sumber: thevocket

Berakhirnya Riwayat Elizabeth Dracula Wanita Terakhir

Berakhirnya Riwayat Elizabeth Dracula Wanita Terakhir

Lebih kurang 80 tahun selepas kematian 'Count Dracula' dalam pertempuran terakhir dengan bala tentera empayar Turki, lahir seorang bayi perempuan disebuah daerah Hungry.

Countess Elizabeth Bathory de Ecsed
Gambar hiasan.

Bapanya golongan bangsawan Transylvania manakala keluarga sebelah ibunya pula memiliki reputasi tinggi sebagai golongan Voivode (pegawai tinggi) dan Duke.

Salah seorang moyangnya pula merupakan sekutu Vlad III (Count Dracula) ketika pertempuran melawan Turki.

Bayi perempuan itu dinamakan sebagai Countess Elizabeth Bathory de Ecsed.

Elizabeth banyak menghabiskan masanya di istana keluarga, Istana Esed, sebelum berkahwin dengan Ferenc Nasasday, anak seorang baron Hungry.

Selepas berkahwin, Elizabeth berpindah ke Sarvar, Hungary, namun dia sering kesunyian kerana kerap ditinggalkan suami.

Sebagai hadiah perkahwinan, suaminya menghadiahkan sebuah istana, Istana Cachtice untuk Elizabeth. Istana itu dikelilingi kawasan perkampungan dan pertanian.

Disinilah bermula kisah drakula wanita ini (Countess Dracula).

Pada tahun 1578, suami Elizabeth dilantik menjadi ketua pasukan dalam tentera Hungry dan terlibat dalam kempen peperangan ke atas Empayar Turki.

Kerana itu, Elizabeth ditinggalkan sendirian mengurus ladang dan harta suaminya, termasuk segala urusan berkaitan penduduk kampung yang berkerja di istana.

Kisah hitam Elizabeth mula terbongkar apabila ramai anak bangsawan kelas bawahan yang hilang. Ramai gadis kampung yang pergi bekerja di istana juga didapati hilang.

Namun, kehilangan itu disenyapkan kerana pengaruh Elizabeth yang kuat.

Tambahan pula Elizabeth dihormati masyarakat sebagai anak bangsawan dan wanita terpelajar yang menguasai empat jenis bahasa.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan Elizabeth mula dituduh sebagai punca kehilangan dan pembunuhan beratus-ratus gadis di Sarvar.

Cachtice Palace
Cachtice Palace.

Kononnya terdapat senarai lebih 650 nama gadis yang hilang dengan kebanyakannya bangsawan kelas bawahan.

Senarai ini belum termasuk gadis-gadis dari petani miskin yang bekerja di istana atau diculik dan dibekalkan kepada Elizabeth oleh pihak ketiga.

Misteri kehilangan gadis-gadis ini mula merebak dan menggemparkan seluruh Hungry sehingga mendesak Maharaja Empayar Rom untuk bertindak.

Setelah mengumpul bukti, tentera menyerbu istana Elizabeth dan apa yang ditemui amat mengejutkan. Mayat-mayat gadis di merata-rata tempat di dalam istana itu!

Ada yang terbaring di atas meja makan, ada yang terikat di tiang dengan kulit di sayat, tab mandi juga dipenuhi darah dengan gadis yang sedang nazak terendam di dalamnya.

Di dalam penjara pula, terdapat sekumpulan gadis yang masih hidup dan hanya menunggu masa untuk dibunuh.

Penemuan ini benar-benar menggemparkan penduduk Sarvar. Istana itu rupa-rupanya adalah tempat tinggal 'drakula'.

Akhirnya, cerita di sebaliknya terbongkar. Kesepian hidup kerana sering ditinggalkan suami menyebabkan Elizabeth terlibat dengan skandal.

Skandal itu kemudiannya bertukar menjadi tabiat biseksual. Elizabeth mula meminati gadis-gadis muda namun terus menjalin hubungan sulit dengan lelaki.

Ada versi menceritakan, suatu hari sewaktu seorang dayang menyisir rambut Elizabeth, tanpa sengaja pelayan itu menyisir dengan agak kuat.

Elizabeth yang kesakitan berasa marah lalu merentap gadis itu dengan kuat sehingga berdarah. Beberapa tompok darah mengenai tangan Elizabeth.

Beberapa hari kemudian, Elizabeth mendapati kulit tangannya yang terkena darah gadis itu menjadi lebih lembut dan anjal.

Peristiwa inilah yang kononnya memberi idea kepada Elizabeth untuk menggunakan darah gadis muda bagi mengekalkan kecantikannya.

Versi lain pula, Elizabeth mula mempercayai ritual Satanisme melalui salah seorang pembantu wanitanya.

Apanila umurnya melewati 40an, dia mula trauma dengan kecantikannya yang semakin memudar.

Countess Elizabeth Bathory de Ecsed
Gambar hiasan.

Elizabeth percaya ritual membunuh gadis-gadis muda dengan harapan darah mereka adalah penawar kepada kecantikannya yang mula luntur.

Lagenda menyatakan, darah gadis-gadis muda itu diisi didalam tab mandi istana Elizabeth sebagai mandian.

Elizabeth akhirnya didapati bersalah dan dipenjarakan di dalam istananya sendiri.

Dia hidup selama empat tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ogos 1614 pada usia 54 tahun.

Tamatlah riwayat drakula wanita pertama dalam sejarah peradaban manusia.

BACA INI JUGA: Dracula, Kisah Benar Yang Cuba Disembunyikan

-SENTIASAPANAS.COM

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (23 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (23 Ogos)

Tanggal 23 Ogos merupakan hari ke 235 (hari ke 236 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 130 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

William Wallace Statue Edinburgh.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Antarabangsa Peringatan Perdagangan Hamba dan Penghapusannya dan Hari Bendera di Ukraine.

Peristiwa

1305 - Selepas satu pembicaraan tunjukan, ketua penentang Scotland melawan England William Wallace (gambar patung), digantung di London.

1514 - Angkatan Uthmaniyyah menewaskan Safawiyah dalam Pertempuran Chaldiran, mendapat kawalan terhadap timur Anatolia dan utara Iraq.

1866 - Prusia menewaskan Austria dalam Perang Austria-Prusia, dan membubarkan Gabungan Jerman.

1939 - Pakatan Molotov-Ribbentrop, satu perjanjian tidak menceroboh selama 10 tahun antara Kesatuan Soviet dan Reich Ketiga Jerman, ditandatangani di Moscow.

1944 - Raja Michael memecat kerajaan pro-Nazi Jeneral Ion Antonescu, menjadikan Romania sekutu Pihak Berikat hingga tamat Perang Dunia Kedua.

1966 - Lunar Orbiter 1 NASA mengambil gambar pertama Bumi daripada jarak Bulan.

1989 - Pemberontakan Nyanyian: Sekitar dua juta orang menyambung tangan bagi membentuk rantaian manusia melebihi 600 km merentasi Republik Soviet Estonia, Latvia dan Lithuania.

2011 - Dakwaan serangan seksual terhadap bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa Dominique Strauss-Kahn digugurkan.

2011 - Perang saudara Libya bertambah hebat apabila angkatan anti-Gaddafi menguasai Tripoli.

2011 - Gempa bumi intraplat bermagnitud 5.8, terkuat di timur Amerika Syarikat sejak 1944, terjadi di Virginia.

2016 - Olah citra dilancarkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (22 Ogos)

sumber: wikipedia

Tuesday, August 22, 2017

Vitamin C Rahsia Kunci Kesihatan Tubuh

Vitamin C Rahsia Kunci Kesihatan Tubuh

Vitamin C bersifat larut air dan dikenali sebagai asid askorbik malangnya, manusia tidak boleh menghasilkan sendiri vitamin C di dalam tubuh, oleh itu ia perlu diambil melalui pemakanan atau suplemen.

VITAMIN C

Kebanyakan haiwan boleh menghasilkan vitamin C mereka sendiri untuk keperluan haiwan tersebut.

Berdasarkan kajian terkini, vitamin C mempunyai pelbagai kepentingan kepada kesihatan kita secara umumnya.

Ia menjadi popular kerana dikatakan mampu mencerahkan, menegangkan dan awet muda kepada kulit seseorang.

Aktifkan Antioksidan

Seorang saintis terkenal, Dr Lester Packer menyatakan bahawa di antara punca penyakit kronik zaman moden kini disebabkan oleh kerosakan sel-sel dan dinding pembuluh darah akibat serangan radikal bebas.

Penyakit-penyakit seperti kanser, darah tinggi, sakit jantung, strok dan kencing manis dikaitkan dengan kerosakan sel-sel oleh radikal bebas ini.

Punca radikal bebas yang tinggi adalah daripada faktor luaran seperti pencemaran air, pencemaran udara , bahan pengawet makanan, radiasi, stres, toksin, pancaran sinar ultra ungu (UV) dari matahari dan merokok.

Apabila seseorang sentiasa terdedah kepada serangan radikal bebas setiap hari selama bertahun-tahun lamanya, ia akan menyebabkan terjadinya pelbagai jenis penyakit kronik.

Radikal bebas juga menyebabkan kulit menjadi kendur, berkedut, kusam, masalah pigmentasi dan kasar.

Di sinilah peranan vitamin C yang amat penting dalam jaringan antioksidan yang melindungi kulit dan tubuh manusia daripada kesan radikal bebas.

Vitamin C juga membantu untuk mengaktifkan antioksidan yang lain di dalam tubuh seperti vitamin E, N-asetil sistin, Glutathion, Co Enzim Q10 dan L-Karnitin.

Vitamin C mempunyai sifat sebagai antioksidan. Ia menunjukkan kaitan di antara pengambilan vitamin C dan mengurangkan risiko kanser seperti kanser perut, kanser paru-paru, kanser tekak, kanser pundi kencing.

Sebagai bahan antioksidan, vitamin C melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan oleh radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel tubuh manusia akibat daripada pendedahan yang berterusan kepada radikal bebas.

Kecantikan Kulit

Di antara fungsi utama vitamin C ialah penghasilan kolagen dalam tubuh manusia.

Kolagen ialah protein utama dalam struktur organ manusia seperti saluran darah, tendon, ligamen, tulang, gigi, rambut dan kulit.

Kekurangan kolagen akan menyebabkan kulit menjadi kendur dan berkedut, tulang rapuh, gigi mudah tercabut, rambut gugur dan mudah putus serta mudah berlaku pendarahan di bawah kulit.

Dengan mengekalkan integriti tisu badan seperti kulit dan lapisan mukosa, vitamin C membantu menjadikan kulit menjadi lebih licin, tegang, cerah, berseri, mengurangkan kesan-kesan jeragat dan bintik-bintik hitam pada kulit akibat terdedah pada cahaya matahari.

Vitamin C juga amat penting dalam pemulihan luka, melecur dan kudis (ulser) yang kronik.

Penyakit Kronik

Ia membantu dalam metabolisme kolesterol di dalam penghasilan hempedu oleh hati, jadi ia membantu menurunkan kolesterol dalam darah dan mencegah batu karang pundi hempedu.

Terdapat kajian yang menunjukkan vitamin C membantu mengurangkan paras kolesterol ‘jahat’ LDL dan meningkatkan paras kolesterol baik HDL.

Dengan itu, ia membantu mencegah mendapan kolesterol pada dinding saluran darah yang menyebabkan saluran darah menjadi keras (arteriosklerosis).

Bukan itu sahaja, ia juga membantu mengurangkan risiko penyakit jantung koronari, angin ahmar (strok) dan mengawal tekanan darah tinggi.

Kajian menunjukkan pengambilan suplemen vitamin C secara konsisten mampu mencegah penyakit buta akibat masalah ‘katarak’ pada kanta mata, selain membantu dalam proses nyah-toksin (detoksifi kasi) logam berat seperti raksa, plumbum dan sebagainya di dalam tubuh manusia.

Tidak hanya itu, vitamin C juga penting dalam fungsi saraf dengan membantu menghasilkan bahan pemancar saraf (neurotransmitter) dan hormon norepinefrina yang amat penting dalam fungsi saraf serta otak manusia yang sihat.

Kajian juga mendapati pengambilan vitamin C membantu dalam mengurangkan kesan buruk stres kepada kesihatan.

Jika mengambil suplemen vitamin C secara konsisten, ia turut membantu dalam meningkatkan tenaga dan mencegah rasa keletihan yang melampau akibat stres.

Selain itu, ia juga mempunyai lebih daripada 200 fungsi-fungsi lain dalam proses biokimia tubuh manusia.

Sumber Vitamin C

Kita boleh mendapatkan vitamin C daripada sumber makanan yang kaya misalnya buah-buahan seperti oren, jambu batu, kiwi, mangga, epal serta sayur-sayuran seperti sawi, bayam, kangkung dan cili.

Pengambilan buah-buahan segar dan makan sayur-sayuran segar setiap hari harus dijadikan amalan untuk mendapatkan faedah kesihatan pada vitamin C ini.

Jika anda memilih untuk mengambil pil suplemen vitamin C maka pilihlah daripada sumber organik, berkualiti tinggi dan daripada jenis diesterkan (esterifi ed).

Pengambilan suplemen tambahan sehingga 1000 mg sehari didapati tidak memberikan apa-apa kesan sampingan dan mampu mengurangkan risiko pelbagai jenis penyakit kronik.

Sifat semula jadi vitamin C yang larut air membuatkan ia mudah dikeluarkan dari tubuh melalui buah pinggang jika berlebihan dan tidak akan menyebabkan kesan sampingan yang merbahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

12 Kelebihan Orang Tangan Kiri (Kidal) Berbanding Individu Tangan Kanan

12 Kelebihan Orang Tangan Kiri (Kidal) Berbanding Individu Tangan Kanan

Adakah anda tergolong dalam kumpulan individu yang lebih gemar menggunakan tangan kiri untuk melakukan rutin seharian? Jika ya, jelaslah anda tergolong antara kelompok individu kidal.

Tangan kiri

Kidal, atau bahasa saintifiknya 'sinistrality' bermaksud seseorang individu yang lebih suka menggunakan tangan kiri daripada tangan kanan.

Melakukan rutin harian terutamanya menulis menggunakan tangan kiri menjelaskan perlakuan itu berbeza daripada biasa.

Hari ini kami akan kongsikan kepada anda beberapa fakta keistimewaan orang tangan kiri (kidal) yang bakal membuatkan orang tangan kanan 'benci' orang tangan kidal.

1. Menurut statistik, dari sebuah populasi, 15% daripadanya adalah kidal. Lelaki biasanya dua kali lebih cenderung menjadi kidal berbanding wanita.

2. Orang kidal memiliki kemungkinan lebih besar untuk mejadi genius. 20% dari jumlah anggota organisasi MENSA, sebuah organisasi untuk manusia dengan IQ tertinggi di dunia, dilaporkan kidal.

3. Jika anda seorang lelaki, kidal, dan masih belajar, maka diperkirakan anda akan 15% lebih kaya daripada lelaki yang tidak kidal. Sekiranya sudah tamat pengajian, lelaki kidal akan 20% lebih kaya!

4. Orang kidal memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk ketagih rokok.

5. Jika kedua orang tua kidal, maka ada kemungkinan 50% keturunan mereka juga akan kidal. Sebaliknya, jika kedua orang tua tidak kidal, kemungkinan adalah 2% sahaja.

6. Orang kidal katanya lebih suka membaca buku berjilid dibandingkan dengan mereka yang bukan kidal. Sebab itu kami pandai.

7. Orang kidal dapat merespon stimulasi (rangsangan) dengan lebih baik sehingga kebanyakan orang kidal juara dalam bermain game.

8. 4 dari 5 pereka komputer Mac dilaporkan kidal. Take this!

9. Orang kidal lebih cenderung menjadi ahli sukan, memiliki kesedaran yang lebih istimewa dan berfikir lebih pantas.

10. Orang kidal dua kali lebih berjaya dalam penyelesaian masalah dan memiliki IQ lebih tinggi dari orang yang aktif dengan tangan kanan.

11. Orang dengan tangan kidal relatif lebih cerdas daripada bukan kidal (Guardian UK).

12. Orang Kidal lebih mudah mengawal emosi dibandingkan dengan bukan kidal (National Geographic).

Kehebatan Si Kidal

Mungkin bagi individu kidal, anda pernah tertanya kenapa kebanyakan orang tidak kidal? Atau kenapa wujudnya kidal?

Menurut pakar psikologi dan saintis percaya bahawa individu kidal cenderung mewarisi perilaku ini daripada salah silah keluarga ataupun genetik.

Pada 2007, kumpulan saintis di United Kingdom menemui gen berkaitan kidal bagaimanapun, isu ini terlalu kompleks hinggakan penyelidik menjelaskan mereka mempunyai kesimpulan kukuh mengenainya.

Jangan rasa diri berbeza, tahukah anda terdapat beberapa tokoh terkenal juga bersifat kidal? Antaranya tokoh keagamaan, Mahatma Ghandi, saintis terkenal Albert Einstein, ahli falsafah Aristotle dan presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Malah, The Left Handers Club, sebuah organisasi orang-orang kidal tidak pernah menganggap bahawa kidal itu adalah sebuah kelainan, tapi sebaliknya menganggap kidal adalah satu keunikan.

Terima kasih sebab sudi baca artikel ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: selongkar10

Apa Sebenarnya e-Sukan?

Apa Sebenarnya e-Sukan?

Sukan elektronik (e-sukan) atau lebih dikenali sebagai E-Sport adalah sejenis sukan yang menggunakan elektronik-elektronik yang terdapat di dalam kehidupan seharian.

E-sukan

e-Sukan merupakan sebuah industri baru bukan sahaja kepada pembangunan permainan video tetapi ianya merupakan industri dan sumber ekonomi baru kepada individu yang meminati permainan video secara positif.

Dalam permainan e-Sukan para pemain selalunya akan dibayar apabila bermain permainan video tersebut.

Seterusnya, permainan DOTA ialah salah satu contoh permainan sukan elektronik yang paling popular dan telah mencungkil ramai bakat dalam sukan ini.

Dengan kemunculan versi terbaru, DOTA 2 merancakkan lagi arena e-Sukan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia terutama negara-negara yang menyambut baik sukan elektronik seperti Amerika Syarikat dan China.

Selain itu, pemain-pemain e-Sukan di Malaysia telah banyak menyertai pertandingan di serata dunia seperti pertandingan International 3, Dota 2 Championship yang berlangsung di Amerika Syarikat yang mana pasukan dari Malaysia telah mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan tersebut dengan membawa pulang RM1juta.

Sukan elektronik sebenarnya telah mendapat tempat dihati rakyat Malaysia dari hari ke hari serta sokongan dari pelbagai pihak swasta dan kerajaan.

Justeru itu, satu badan yang memantau sukan elektronik telah melancarkan eSport Malaysia atau ESM yang didaftarkan atas sokongan FELDA sendiri serta ASUS Malaysia selaku jenama peralatan yang disyorkan pada Disember 2014 dengan objektif untuk menaik taraf sukan e-Sukan di Malaysia.

Malah, dengan visi menjadikan Malaysia sebuah hub sukan bertaraf dunia, ESM didaftarkan oleh Suruhanjaya Sukan Malaysia.

Tujuan utama ESM ditubuhkan adalah untuk memastikan sukan e-Sukan terus bertapak di Malaysia dengan dasar membentuk standard e-Sukan, melatih dan mendidik pemain, membantu meningkatkan taraf permainan, mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menjaga kebajikan ahli.

Ini sebagai langkah untuk memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk menceburi sukan elektronik tanpa risau akan masa depan kerjaya mereka dalam arena tersebut.

Selain daripada itu, sebuah sekolah di Norway telah menawarkan kursus e-Sukan kepada para pelajarnya, membuktikan sukan elektronik merupakan sebuah bidang yang berdaya saing dari sudut positif.

Malaysia sememangnya perlu mencari jalan agar dapat memanfaatkan e-Sukan demi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Terdapat lapan Universiti di Malaysia yang menawarkan dan mempunyai kelab e-Sukan, antaranya ialah Uitm Shah Alam dan Universiti Putra Malaysia.

Kesemua kelab e-Sukan di institut pengajian tinggi ini mempunyai hubungan rasmi dengan persatuan Sukan Elektronik Malaysia, ESM.

Sukan elektronik atau E-Sport adalah seperti pisau, kalau disalahguna menjadi tidak baik, tetapi kalau diguna secara berrhemah akan menjadi satu alatan untuk menambah ilmu.

Seperti sedia maklum, sukan elektronik merupakan salah satu industri yang besar dengan pelbagai syarikat menyokongnya, disamping ramai pemain antarabangsa menjadikan ia sebagai kerjaya serius.

Akhir sekali, aspek-aspek penilaian bagi pemain sukan tradisional dan E-Sport tidak ada banyak perbezaannya.

Aspek yang dinilai persamaanya adalah seperti kemahiran berkomunikasi berrkumpulan, perancangan strategi dan juga taktik permainan.

Seharusnya kita tidak perlu ragu-ragu dengan sukan elektronik yang seakan tidak mendatangkan faedah langsung kepada industri lain selain e-Sukan itu sendiri.

Hal ini disebabkan aplikasi yang terdapat di dalam sukan elektronik sebenarnya dapat digunapakai dalam bidang lain seperti ketenteraan, penjelajahan kawasan baru bahkan dalam sukan tradisional.

Malah, e-Sukan baik bagi pembangunan ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran golongan belia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mediawriting342

Tips Dan Cara Bagaimana Mahu Memulakan Bisnes E-dagang

Tips Dan Cara Bagaimana Mahu Memulakan Bisnes E-dagang

Apa itu kedai online? Kedai online adalah tapak anda meniaga di dunia alam siber yang biasa kita panggil e-Dagang dan terma ini diambil daripada kata nama khas e-Commerce.

Bisnes E-dagang

Perniagaan kedai online dijalankan di alam maya dan urusan jual beli boleh dilakukan dengan menggunakan transaksi perbankan atas talian ataupun menggunakan servis e-Wallet seperti PayPal, AliPay atau Maybank.

Jika anda membuka kedai fizikal, lokasi premis dengan pasaran terhad hanya disekitar kawasan tersebut. Tetapi jika anda buka kedai online, pasaran anda tidak terbatas. Itulah yang dinamakan perniagaan global.

Jack Ma pemilik AliBaba mengatakan perniagaan anda tidak akan berkembang tanpa menceburi pasaran global.

Tips 1 – Produk kedai online

Pemilihan produk adalah sangat penting. Anda boleh memilih antara dua kategori iaitu produk unik ataupun produk yang mendapat permintaan tinggi.

Sila lakukan kajian mengenai trend produk-produk terkini. Jangan menjual produk dengan konsep “syok sendiri”.

Cuba test market dengan bertanya kepada keluarga atau kawan-kawan jika mereka berminat membeli produk tersebut. Anda boleh mesej group Whatsapp anda untuk membuat bancian sambutan produk.

Produk unik adalah produk yang sudah diperkenalkan di negara lain tetapi belum ada di pasaran Malaysia.

Selain itu anda juga mungkin terjumpa pembekal dengan produk yang tidak mendapat sambutan kerana kurang promosi dan pasaran terhad.

Anda boleh berbincang dan ambil produk tersebut untuk dipasarkan di kedai online anda.

Produk permintaan tinggi adalah produk yang senang untuk dijual walaupun margin rendah. Contoh paling senang adalah tudung wanita.

Tudung ataupun hijab sudah menjadi trend atau fesyen terbaru wanita Islam di Malaysia. Kalau dahulu sekadar menutup kepala dengan tudung bawal kosong tetapi hari ini kaum hawa malu untuk mengenakan tudung kosong.

Wanita moden yang bekerja mesti hendak ikut perkembangan fesyen terkkini. Jadi ramai pembekal yang muncul dengan fesyen tudung serba-serbi memberi peluang kepada peniaga online membuka kedai online.

Tips 2 – Modal buka kedai online

Jangan buat pinjaman apabila hendak memulakan perniagaan. Ini satu tips yang jarang orang kaya cerita.

Biasanya usahawan akan menggunakan wang orang lain untuk memulakan perniagaan. Anda cuma buat pinjaman perniagaan untuk modal pusingan apabila perniagaan sudah berjalan dan ada sambutan atau pasaran.

Walaupun anda mempunyai modal yang besar, anda masih perlu berhati-hati dalam perbelanjaan.

Perbelanjaan yang membazir akan merugikan anda jika perniagaan tidak menjadi. Contoh paling nyata adalah apabila hendak membuka kedai online.

Ramai orang yang buta IT fikir bahawa cara terbaik adalah membayar pakar IT untuk membina kedai online dengan ciri-ciri e-Dagang. Ini adalah kesilapan besar.

Harga yang dikenakan pakar IT mungkin mahal dan mengambil masa yang lama untuk pembinaan.

Jika harga terlalu murah, anda mungkin ditipu. Anda juga mungkin mendapat produk yang tidak menepati standard pasaran masa kini.

Selalunya harga produk atau kerja pakar IT murah kerana ia hanyalah kerja pemasangan atau install pakej e-Commerce open source sedia ada.

Tahukah anda banyak masalah atau isu yang ada dengan pakej-pakej sedia ada ini. Kebanyakan pakej masih dalam fasa pembinaan.

Banyak bug dan error dan pakej e-Commerce perlu upgrade selalu. Oleh itu anda perlu berulang kali buat bayaran kepada pakar IT apabila pakej e-Commerce tersebut ada upgrade terbaru.

Selalunya operasi kedai online anda akan tergendala apabila syarikat webhosting membuat upgrade sistem terkini dan pakej e-Commerce anda tidak sesuai atau mesra dengan upgrade tersebut.

Jika anda memilih untuk membina sendiri kedai online, anda sebenarnya akan terikat untuk bekerja dengan pakar IT tersebut sampai bila-bila.

Masalah akan timbul apabila pakar IT anda hilang. Mencari pengganti pakar IT yang tahu mengenai pakej e-Commerce tersebut bukannya senang. Pengganti pasti akan mengenakan bayaran mahal kerana tahu anda terdesak.

Tidak ada masalah untuk membayar pakar IT untuk membuat logo, gambar produk, design website dan juga banner promosi.

Bayaran ini adalah sekali sahaja tetapi pastikan anda mendapatkan fail Photoshop atau Illustrator jika perlu membuat apa jua penukaran pada masa akan datang.

Tips 3 – Jenis Kedai Online

Jika anda merupakan syarikat besar, membina kedai online tidak menjadi satu isu. Anda boleh buat pelaburan team web development yang akan membina dan menjaga kedai online tersebut.

Tetapi jika anda adalah individu atau syarikat dengan bajet kecil, pilihan terbaik adalah menggunakan platform kedai online tersedia.

Segala masalah yang disebutkan di atas sebelum ini tidak akan timbul. Semua akan diuruskan oleh syarikat pembekal kedai online.

Anda hanya perlu membuat bayaran langganan setiap bulan sama seperti anda membuat bayaran untuk webhosting. Selepas itu anda boleh fokus dan tumpukan kepada bisnes anda.

Tujuan utama anda memulakan perniagaan adalah untuk mencari duit. Menjual produk dan bukannya memikirkan mengenai permasalahan teknikal kedai online anda.

Teknologi e-Commerce sentiasa berkembang jadi anda boleh serahkan kepada syarikat pakar menjaga kedai online anda.

Kedai online pun ada bermacam jenis ke? Pada mulanya kedai online hanya tertumpu kepada shopping cart jenis laman web atau website.

Selepas pengenalan media sosial, banyak peniaga memilih untuk menjual di Facebook. Kuasa promosi media sosial sudah terbukti dimana ramai peniaga dapat berkembang sehingga mampu membuka kedai fizikal kerana populariti kedai online mereka cukup besar. Dengan media sosial juga anda dapat berikan khidmat pelanggan terbaik.

Apabila masuk zaman teknologi gajet mobile seperti tablet dan smartfon, banyak kedai online lama tidak mampu menembusi pasaran ini kerana kedai online mereka menggunakan teknologi paparan lama yang usang.

Jika anda sudah mulakan perniagaan dahulu seperti mereka, sekarang anda perlu membuat upgrade laman web untuk membenarkan kunjungan pelawat daripada gajet mobile.

Adalah amat rugi jika anda tidak dapat menembusi pasaran gajet mobile kerana mengikut data terbaru pasaran internet dunia 2015, pengguna gajet mobile melepasi pasaran pengguna komputer desktop dan laptop.

Cuba bayangkan pengguna gajet mobile menggunakan smartfon dan tablet untuk membeli produk anda.

Pasaran anda sudah terbuka 2 kali ganda lebih banyak jika kedai online anda menggunakan teknologi terkini ini.

Kajian juga sudah membuktikan dengan jumlah trafik yang sama jualan anda bertambah dengan penggunaan kedai online yang membenarkan pelawat gajet mobile.

Kerugian akibat pelawat yang tidak dapat membuka kedai online anda dapat dikurangkan dengan banyak.

Dengan bajet promosi yang sama untuk menarik trafik ke kedai online anda, pulangan anda akan berlipat ganda jika kedai online anda membenarkan paparan gajet mobile.

Jumlah trafik yang sama tetapi dengan pelawat yang lebih tinggi pasti akan membuahkan jualan yang lebih tinggi.

Tips 4 – Promosi kedai online

Perniagaan online dan offline sama sahaja. Jika anda buka kedai online, anda masih perlu lakukan promosi.

Aktiviti paling penat setelah anda upload keseluruhan katalog produk ke dalam database adalah membuat promosi online. Ia bukan kerja mudah.

Bayaran bulanan syarikat besar adalah sebanyak RM20,000 ke RM40,000 sebulan untuk kerja-kerja promosi SEO. Ini belum dimasukkan dengan kos perbelanjaan pengiklanan berbayar.

Jika modal anda besar, anda boleh buat pelaburan dengan menggunakan khidmat pengiklanan berbayar.

***

Semoga pengalaman anda membuka kedai online selepas ini berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah.

Terima kasih kerana membaca.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Maksud E-Dagang?

sumber: IP

Pelancong Malaysia Kena Ban Di Jepun Selepas Korea dan China?

Pelancong Malaysia Kena Ban Di Jepun Selepas Korea dan China?

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Rasanya perumpamaan itu sesuai digambarkan berkaitan isu tiga orang remaja yang telah berlagak samseng di Osaka, Jepun.

Pelancong Malaysia

Ianya berikutan kenyataan yang dimuat naik, pemilik Vitti Logde di laman Facebook tersebut. Katanya, selepas insiden yang berlaku di rumah persinggahannya, rakyat Malaysia juga akan dilarang untuk menetap di premisnya.

Insiden tersebut juga dipercayai merupakan kali ketiga berlaku di rumah tumpangan tersebut yang mana melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya telah mengharamkan rakyat Korea dan Cina daripada tinggal rumah tamu kami dan kini kami akan melarang rakyat Malaysia juga,” tulisnya di laman Facebook.

Khabarnya, rumah persinggahan itu terkenal dalam kalangan traveller Malaysia kerana kemudahan makanan halal yang senang didapati dan juga harganya yang berpatutan.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata kemungkinan insiden seperti ini berlaku adalah akibat pengaruh rakan sebaya.

“Mereka mungkin tidak didedahkan dengan disiplin yang betul. Kami berharap ketiga-tiganya akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, saya rasa ia adalah kes terpencil dan rakyat Malaysia tidak seharusnya menghukum perbuatan mereka bertiga.

“Orang Jepun memang terkenal dengan budaya sopannya dan banyak nilai murni yang boleh kita contohi,” katanya memetik laporan New Straits Times.

Walaubagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu pihak Vitti Lodge & Family Apartment telah memuat naik satu posting di Facebook yang mampu melegakan traveller Malaysia.

Menerusi posting tersebut, pihak mereka mengalu-alukan kedatangan traveller Malaysia dan boleh menginap di rumah penginapan tersebut.

Dikhabarkan juga, salah seorang daripada tiga remaja yang menumbuk dinding premis berkenaan juga telah meminta maaf secara terbuka dan telah membayar ganti rugi atas perbuatan yang telah dilakukannya.

Jadi, kepada traveller di luar sana, jangan segan untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

Kepada mereka-mereka semua yang bercadang mahu mengembara dan melancong ke negara orang itu, kami di sini nak nasihatkan berhati-hati dan jagalah nama Malaysia walau di mana anda berada.

BACA INI JUGA: 3 Pelancong Malaysia Lagak Samseng Di Osaka Jadi Viral Di Jepun

sumber: mynewshub