Wednesday, August 23, 2017

Samseng Osaka Gambaran Sebenar Perangai Rakyat Malaysia?


Insiden perkelahian melibatkan anak-anak muda di Osaka, Jepun seperti yang tular engundang perhatian awam.

Samseng Osaka

Ramai yang membela si baju biru dan jutaan netizen mengutuk tindakan ala samseng si baju hitam. Insiden itu benar-benar menimbulkan persoalan: sebaik mana sikap kita - rakyat Malaysia - di negara orang?

Hakikatnya, kita yang kadangkala berasa suci ini tidak dapat lari daripada tindakan yang buruk, sama ada menjejaskan orang lain atau tidak.

Apatah lagi jika wujud perasaan bebas daripada aturan biasa dan undang-undang negara. Mungkin persis perasaan seorang anak yang pertama kali beroleh kebenaran ibu bapa untuk keluar berseorangan.

Bezanya kita tidak tertangkap kamera, manakala mereka di Osaka telah dirakam aksinya dan menjadi tular ke seantero alam.

Lantas pelajaran apa yang boleh diambil daripada insiden itu? Satu sahaja - konsistensi sikap. Si baju biru dibela dan dikagumi dek kesabaran yang wujud sepanjang insiden. Sikap sedemikian pastinya tidak terbina sehari dua.

Wajah kita semasa marah

Mereka yang pernah mengenali dirinya rata-rata bercerita tentang kebaikan peribadi beliau. Maka tidak pelik apabila beliau dengan tenang mampu menangani keadaan segenting itu.

Sementara si baju hitam yang tidak disukai ramai orang itu sangat sedikit coretan kisah dan latar belakangnya. Mungkin risau kalau bercerita dikaitkan pula dengan tindakan lelaki tersebut.

Panas baran, samseng, gemuk - semua istilah itu terhambur tanpa bertapis. Seolah-olah memang itulah perangainya sejak lahir.

Akaun Facebooknya ditular dan dia dihamun semahunya. Tidak termasuk nombor telefon peribadi yang berlegar. Pasti dipenuhi mesej-mesej yang tidak sopan bahasanya.

Hakikat yang kadangkala kita tidak nampak ialah - si baju hitam itu adalah wajah kita ketika marah atau berseorangan. Realitinya, perilaku baik dalam situasi biasa bukanlah perkara susah.

Cabarannya, ketika marah. Tengok saja perangai kita di jalan raya. Sesak, berseorangan dan tergesa-gesa untuk pulang. Walau lampu isyarat sudah dinyatakan, masih lagi tergamak pintas-memintas konon untuk menunjukkan kejaguhan.

Ketika itu, silap sedikit sahaja, segala jenis bahasa mak nenek binatang keluar.

Pura-pura baik

Kejadian najis di bilik air Osaka juga diulas ramai orang. Komen di Instagram si baju hitam itu penuh dengan emoticon tahi.

Nasionalisme membuak-buak, tidak mahu negara menanggung malu. Ironinya, berapa banyak tandas awam dalam negara yang penuh dengan 'ketulan terapung' sebaik pintunya kita buka?

Adakah para pelancong tidak melihat gelagat kita di negara ini? Melepaskan hajat di bilik air hostel itu amat melampau. Isunya ialah, adakah kita betul-betul telah berdisiplin di tempat kita?

Berpegang pada falsafah "berpura-pura baik" mungkin boleh diamalkan kalau memang sukar sangat menjaga tatasusila. Ia hipokrasi paling rendah untuk mengelak maki hamun orang.

Namun lebih tinggi, negara memerlukan kita berbudi sentiasa. Ketika berseorangan mahupun di ruang awam, ketika tenang mahupun marah.

Mungkin boleh bermula secara mudah - di jalan raya dan tandas-tandas awam. Nah, berapa ramai boleh senyum dan tenang menghadapi kesesakan petang nanti?

nota editor:
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah naib ketua pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi blog ini.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

1 comment

  1. memang tindakan mereka memalukan tapi perlu kita jadi cerminan juga kerana tak mustahil kita akan berubah jadi gergasi mcm tu juga

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon