Friday, May 22, 2020

Kenapa Solat Jumaat 12 Orang Sahaja?

Kenapa Solat Jumaat 12 Orang Sahaja?

Beberapa masjid di beberapa buah negeri telah mula mendirikan semula perlaksanaan solat jumaat di kawasan yang terpilih, dengan kebanyakan Jabatan Agama Negeri meletakkan syarat minimum jemaah yang perlu hadir adalah 4 orang, manakala maksimum jemaah pula adalah 12 orang.

Solat Jumaat 12 Orang

Lalu ada yang bertanya, mengapa 4 atau 12 orang sahaja dan bukan 40 orang? Inilah keindahan Islam.

Pengurusan ibadah itu tidak bersifat terlalu rigid sehingga menyusahkan kerana dalam beberapa situasi ada kelonggaran yang dibolehkan.

Pada hakikatnya, pandangan yang membenarkan solat jumaat 4 orang atau 12 orang ini diambil dari pendapat mazhab yang lain.

Di sisi Mazhab al-Syafie, jumlah minimum dalam melaksanakan solat jumaat mestilah dihadiri seramai 40 orang, bersandarkan kepada hadis Saidina Ka'ab bin Malik.

Ka'ab dikatakan sentiasa memuji Saidina Sa'd bin Zurarah ketika azan dikumandangkan.

Lalu beliau ditanya: "Mengapa engkau selalu memuji Sa'd bin Zurarah ketika mendengar azan?"

Ka'ab lalu menjelaskan bahawa: Sa'ad bin Zurarah adalah orang pertama yang mengumpulkan kami untuk mendirikan solat Jumaat.

Lalu beliau ditanya: "Berapa ramaikah bilangan kamu ketika itu? Ka'ab lalu menjawab: 40 orang." (HR Abu Daud)

Daripada hadis Ka'ab bin Malik inilah terbinanya hujah dari mazhab Syafie yang meletakkan syarat minima bagi perlaksaaan solat jumaat adalah 40 orang.

Namun, Mazhab Maliki menggunakan penghujahan yang berbeza. Mereka mengguna pakai hadis Jabir bin Abdullah yang menggambarkan bahawa memadai untuk mendirikan solat jumaat dengan 12 orang sahaja.

Hadis Jabir ini menceritakan bagaimana ketika Rasulullah sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba datang kafilah dagangan dari luar ke Madinah yang menyebabkan ramai sahabat meninggalkan Nabi yang sedang berkhutbah.

Kata Jabir: "Lalu mereka (jemaah solat) berpaling (untuk pergi) ke kafilah dagangan tersebut sehinggakan yang tinggal bersama dengan Rasulullah hanyalah 12 orang sahaja." (HR al-Bukhari)

Manakala Mazhab Hanafi dan sebahagain riwayat dari Mazhab Hanbali pula mengharuskan bilangan minimum solat jumaat adalah 4 orang.

Ini berdasarkan ayat al-Quran yang memerintahkan kita menunaikan solat jumaat yang menyebutkan: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)." (Surah al-Jumu’ah: 9)

Mereka menyatakan bahawa perkataan "fas'au" (iaitu segeralah pergi ke masjid untuk mendirikan solat jumaat) itu menggunakan lafaz jamak (plural).

Mereka menafsirkan bahawa 3 orang sudah memadai untuk menggambarkan lafaz jamak dengan tidak termasuk imam (jika termasuk imam 4 orang).

Begitulah perbezaan pendapat dalam penghujahan bilangan minimum bagi perlaksanaan solat jumaat.

Di Malaysia, Jabatan Agama Negeri terkadang mengharuskan penggunaan mazhab lain dalam beberapa isu yang tertentu.

Ini semua adalah atas kebijaksaan mereka dalam mengendalikan urusan ibadah bagi memudahkan urusan umat Islam.

Semoga Allah membimbing kita.

BACA INI JUGA:

sumber: ismaweb

Wednesday, May 20, 2020

Maksud Mimpi Melihat Rambut, Mata, Hidung, Telinga Dan Bibir

Maksud Mimpi Melihat Rambut, Mata, Hidung, Telinga Dan Bibir

Tentu agak pelik apabila kita bermimpi melihat anggota tubuh seperti rambut, mata, hidung, telinga, bibir dan sebagainya. Tentu kita akan tertanya-tanya apakah maksud mimpi tersebut kan. Apa agaknya maksud disebalik mimpi-mimpi ini.

Mimpi anggota kepala

Mari kita cuba rungkaikan tafsir dan maksud mimpi-mimpi ini.

1. Mimpi Melihat Mata
  • Mimpi sepasang mata yang biru; Akan merasakan atau mendapatkan kasih sayang yang agung.
  • Mimpi sepasang mata yang hitam; Peringatan agar anda waspada, berhati-hati.
  • Mimpi sepasang mata yang juling; Akan kekurangan wang.
  • Mimpi pancaran mata yang hangat, bernafsu; Akan kecewa dalam bercinta.
  • Mimpi sepasang mata yang berwarna hijau; Akan memperoleh teman yang setia.
  • Mimpi tidak mempunyai mata; Alamat sudah dekat ajalnya.
  • Mimpi melihat mata orang lain; Akan memperoleh emas atau perak.
  • Mimpi melihat seorang yang buta; Akan ada sahabat yang meminta pertolongan anda.
  • Mimpi diri sendiri bermata buta; Anda harus berhati-hati dalam pekerjaan.

2. Mimpi Hidung
  • Mimpi hidung berdarah; Akan mengalami keberuntungan walau sekadarnya.
  • Mimpi melihat seseorang yang berhidung besar; Alamat anda harus memikirkan diri sendiri.
  • Mimpi melihat diri sendiri berhidung besar; Anda jangan pedulikan orang lain marah, sewaktu anda sedang menyelesaikan tugas yang sukar.
  • Mimpi sukar bernafas melalui hidung; Akan memperoleh kesulitan tertentu.

3. Mimpi Bibir
  • Mimpi melihat bibir yang merah, sedang tersenyum; Akan terjadi persahabatan yang hangat atau percintaan yang mesra.
  • Mimpi melihat bibir yang jelek, cemberut; Akan terjadi persahabatan atau cinta yang memudar.
  • Mimpi melihat bibir yang terkatup rapat; Akan menderita kerugian kerana rasa iri hati.
  • Mimpi melihat mulut seorang bayi; Akan memperoleh teman yang setia.
  • Mimpi melihat bibir sendiri; Alamat harus waspada dalam berbicara.
  • Mimpi memakai lipstik (pemerah bibir); Akan memperoleh sesuatu yang kurang menyenangkan.
  • Mimpi melihat bibir lawan jenis; Akan memperoleh jodoh, pasangan hidup.
  • Mimpi tak boleh berbicara (bisu); Kata-kata anda tidak dipercayai oleh orang lain.

4. Mimpi Telinga
  • Mimpi melihat telinga; Akan didesas-desuskan orang lain tentang anda.
  • Mimpi melihat seorang bertelinga lebar, besar; Permohonan anda akan dikabulkan.
  • Mimpi diri sendiri bertelinga besar; Akan memperoleh kegembiraan.
  • Mimpi melihat telinga sendiri; Kepercayaan anda akan disalahgunakan orang.
  • Mimpi membersihkan telinga sendiri; Persoalan anda akan terbukti.
  • Mimpi mencubit telinga seseorang; Akan susah, kerana kejahatan kekasih anda.
  • Mimpi telinga anda yang dicubit; Peringatan suatu janji yang tidak anda tepati.

5. Mimpi Rambut
  • Mimpi rambut putih; Akan cepat beruntung dalam usaha dan akan berumur panjang.
  • Mimpi rambut merah; Akan mempunyai perasaan hati yang tidak enak.
  • Mimpi rambut menutup mata; Akan mengalami celaan atau ejekan mendadak.
  • Mimpi melihat rambut palsu; Akan ditipu orang yang disangka teman sendiri.
  • Mimpi rambut seketika menjadi lebat; Akan memperoleh kegembiraan. Apabila sudah berkeluarga, akan memperoleh anak.
  • Mimpi rambut berjatuhan; Alamat kurang baik, akan bersedih hati.
  • Mimpi potong rambut (bercukur); Ada diantara sanak saudara yang terganggu kesihatannya atau akan terpisah, bercerai dengan kekasihnya.
  • Mimpi menyisir rambut; Kesengsaraan dirinya akan segera berubah.
  • Mimpi mencat atau mewarnakan rambut orang lain; Akan memperjuangkan sesuatu tetapi sia-sia.
  • Mimpi mencat atau mewarnai rambut sendiri; Harapan-harapan yang baik dalam bidang usaha.
  • Mimpi mencuci rambut; Akan mendapat gangguan hidup.
  • Mimpi memotong rambut orang lain; Akan memperoleh keuntungan atas usaha orang lain.
  • Mimpi memiliki rambut hitam lebat; Akan memperoleh kesihatan yang baik.
  • Mimpi mengepang rambut; Suatu persahabatan yang retak akan kembali pulih.
  • Mimpi melihat rambut tumbuh di tangan; Suatu alamat yang kurang baik.
  • Mimpi melihat rambut keriting; Akan memperoleh kejayaan dalam masalah cinta.
  • Mimpi melihat seorang lelaki botak; Akan memperoleh penghargaan dan kekayaan.
  • Mimpi melihat seorang wanita botak; Tanda kebencian.
  • Mimpi rambut digunting orang; Akan berpisah dengan kekasih.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Aplikasi Belajar Mengaji Siap Dengan Ciri Bantuan Hukum Tajwid

Aplikasi Belajar Mengaji Siap Dengan Ciri Bantuan Hukum Tajwid

Jika anda khuatir dengan bacaan yang kurang lancar atau tersalah hukum tajwid, aplikasi Tilawah MY, ada untuk membantu anda mengatasi semua masalah ini, dilengkapi dengan ciri bantuan hukum Tajwid untuk anda lebih memahami cara bacaan ayat-ayat al-Quran.

Aplikasi Tilawah My

Malah, anda juga boleh memainkan suara bacaan Imam tanpa perlu muat turun apa-apa. Boleh jimat ruang telefon!

Terjemahan ayat

Tidak cukup dengan itu, aplikasi ini juga lengkap dengan ciri terjemahan ayat ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Ingeris.

Malah, anda boleh letak nota kecil di setiap ayat jika anda mahu menulis sesuatu peringatan, juga boleh meletakkan tanda pada bacaan untuk disambung pada kemudian hari.

Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh memainkan bacaan suci surah-surah al-Quran sambil menggunakan aplikasi lain.

Yang paling penting, aplikasi ini adalah buatan rakyat Malaysia!

Meskipun belajar tanpa guru itu tidak digalakkan di dalam Islam, namun aplikasi ini mungkin boleh menjadi inisiatif untuk kita bantu diri sendiri.

Sila layari laman web www.tilawah.my untuk keterangan lebih lanjut atau muat turun di Google Play Tilawah Malaysia - Quran & Mathurat dwibahasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 141: Pulau Berjalan

SBDJ Siri 141: Pulau Berjalan

Lanun berwajah Arab terus melibaskan ekor pari ke arah Datuk untuk kali kedua. Kalau yang pertama Datuk tidak bersedia dan terpaksa menanggung akibatnya. Tetapi bagi kali kedua Datuk sudah bersedia.

SBDJ siri 139

Sebaik saja ekor pari dilibas ke tubuhnya, Datuk segera menyambar ekor pari itu lalu merentapnya dengan sekuat hati hingga lanun berwajah Arab terdorong ke arah Datuk dan pada saat itu Datuk pun menghentak pangkal sikunya ke bahu lanun berwajah Arab.

Hentakan yang kuat itu membuat darah keluar dari mulut dan hidung lanun.

Belum pun sempat tubuh lanun tersembam atas lantai, Datuk segera memangku dan menjulangnya tinggi-tinggi kemudian terus menghumbannya ke laut.

Tanpa membuang masa Datuk terus menerkam ke arah dua lanun yang mahu melarikan diri. Satu persatu lanun-lanun itu ditangkap dan terus dibuang ke laut.

"Kita mesti cepat meninggalkan tempat ini," kata Nyak Sulaiman kepada Datuk yang masih kelihatan tercungap-cungap kepenatan. Datuk segera angkat tangan.

"Jangan begitu," balas Datuk.

"Kenapa jangan!" Nyak Sulaiman membiakkan biji matanya ke arah Datuk.

Dia terkejut dengan sikap Datuk yang dikiranya tidak lojik sama sekali.

"Kalau kita tak tinggalkan tempat ni, nanti dia orang panggil kawan-kawannya jahanamkan kita nanti," sambung Nyak Sulaiman sambil menyuruh anak buahnya membawa lampu picit dan gasolin ke arahnya.

"Bertenang, kalau mereka datang kita sambut ikut cara mereka datang," tingkah Datuk lalu mengambil lampu suluh dari salah seorang anak buah Nyak Sulaiman.

Datuk suluh ke arah ketua lanun dan anak buahnya yang terkapai berenang menuju ke bot.

Nyak Sulaiman mengambil lampu gasolin diletakkannya di bibir bot. Cahaya dari gasolin menerangi kawasan laut sekitar bot. Dia melihat lanun-lanun itu berenang melawan ombak laut.

"Aku mahu selamatkan mereka," kata Datuk.

"Ah ni kerja gila," bantah Nyak Sulaiman.

"Kita mesti selamatkan."

"Kita menempah maut."

"Aku yakin mereka tak akan membuat perkara tak baik pada kita, biar aku tanggung buruk baiknya," Datuk memberi jaminan.

Ternyata jaminan itu dapat diterima oleh Nyak Sulaiman. Dia pun memerintahkan anak buahnya menghulurkan tali kepada ketua lanun dan anak buahnya yang sedang berenang mengelilingi bot dalam usaha untuk naik.

SAMBUT

Tali yang dihulur terus disambut. Datuk turut sama menarik tali sehingga ketua lanun dan anak buahnya dapat menaiki bot.

Mereka segera duduk berhimpit-himpit sambil memeluk kedua belah lutut menahan kesejukan. Wajah mereka membayangkan keresahan dan ketakutan.

Setiap gerak-geri dan langkah Datuk mereka sorot dengan hati-hati sekali.

"Ampun, jangan mengapa-apakan kami," tiba-tiba ketua lanun bersuara.

Dia bangun lalu membuka baju dan seluar (kecuali seluar dalam) di lengan dan pahanya terdapat belitan tali hitam sebesar anak mancis api.

"Azimat," kata Datuk kepadanya.

"Ya," jawabnya.

"Buat apa?"

"Supaya badan tidak ditembusi senjata tajam."

"Humm..." Datuk menelan air liur.

Anak buah ketua turut membuka baju dan seluar. Mereka juga seperti ketuanya terdapat azimat di paha dan lengan.

Di sebelah lengan kanan mereka terdapat tanda tato dalam bentuk bunga cengkih.

"Duduk," turut Datuk lembut dan serentak dengan itu mereka terus duduk atas lantai bot.

"Kita bawa saja ke Belawan kemudian serah pada polis," Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan.

Datuk tidak memberi kata putus, sebaliknya Datuk menyuruh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mencari kain yang kering untuk di berikan kepada ketua lanun dan anak buahnya.

"Mengapa baik sangat dengan musuh," tanya Nyak Sulaiman.

"Tak mengapa," jawab Datuk lalu membahagi-bahagikan kain kepada para lanun yang terkejut menerima layanan yang begitu baik dari Datuk. Malah mereka diberi minuman kopi panas.

"Sekarang, kamu boleh balik ke bot kamu. Aku harap selepas ini kamu tinggalkan kerja menjadi lanun ni," Datuk tatap wajah para lanun dengan tenang.

"Aku tahu, kamu bukan dari satu tempat," sambung Datuk lagi.

"Pengkalan kamu di mana?"

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh ketua lanun terhadap pertanyaan yang diajukan oleh Datuk.

Mungkin untuk mengawal suasana agar jangan terlalu tegang, Datuk renung muka Nyak Sulaiman seketika. Angin laut yang bertiup agak kencang membuat saya terasa menggigil.

"Cakap dengan baik di mana pengkalan kamu?" ulang Datuk.

"Di pulau-pulau yang tak ada orang," jawab ketua lanun dengan tenang.

Datuk pun menarik nafas dalam-dalam dengan mengalihkan pandangan ke arah hujung bot.

"Di Pulau Sembilan, Perak dan beberapa pulau kecil di kawasan kepulauan Riau," celah Nyak Sulaiman.

Dan saya lihat ketua lanun segera anggukkan kepala. Nyak Sulaiman tersenyum sumbing.

"Kamu dari kumpulan ular laut?" Nyak Sulaiman mula main serkap jarang.

Serkap Nyak Sulaiman mengena, bila saya lihat ketua lanun angguk kepala. Kali ini tanpa membuang masa Nyak Sulaiman terus mencuit bahu Datuk dengan ibu jari.

Dengan langkah yang tenang Nyak Sulaiman melangkah beberapa tapak di depan kumpulan lanun, kemudian kembali mendekati Datuk.

"Kita dalam bahaya, kalau kita biarkan dia hidup," secara mendadak saja Nyak Sulaiman melahirkan rasa kebimbangan.

Mata Datuk ditatapnya dan Datuk terpaksa mengerutkan dahi.

"Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Datuk.

"Kita bunuh saja," salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan.

"Humban ke laut biar semuanya mampus," muncul lagi cadangan.

Datuk gelengkan kepala. Tidak setuju dengan cadangan yang dikemukakan itu.

"Habis, apa yang mesti kita buat?" sanggah Nyak Sulaiman.

Matanya tidak berkedip merenung ke arah ketua lanun seketika, kemudian alihkan renungan ke arah dada laut yang dipeluk kegelapan malam.

Percikan ombak yang memukul badan bot, sesekali jatuh atas lantai bot. Deru angin terus mengaum. Datuk masih belum memberikan keputusan.

Dada anak buah Nyak Sulaiman terus berdebar begitu juga dengan debar dada anak buah ketua lanun.

Kata Datuk adalah kata penentu sama ada nafas anak buah ketua lanun boleh berlanjutan atau terhenti.

"Humm.." dengus Datuk.

Ekor matanya menjeling tajam ke arah muka ketua lanun dan anak buahnya. Ternyata mereka didakap kecemasan. Berdebar menanti kata dari Datuk.

"Sekarang kamu semua balik ke bot kamu,"

Nyak Sulaiman tersentak dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk itu.

Air muka ketua lanun dan anak buahnya segera berubah. Mereka bagaikan terkena kejutan elektrik, berpandangan sesama sendiri, seolah-olah tidak percaya yang kata-kata itu terluncur dari kelopak bibir Datuk.

Kerana itu tiada seorang pun daripada mereka bergerak.

"Balik ke bot kamu," jerit Datuk lagi.

Kali ini suaranya cukup tinggi dan keras sekali. Ketua lanun dan anak buahnya masih terpaku di situ, masih berpandangan sama sendiri. Nyak Sulaiman dan anak buahnya terus gelengkan kepala.

"Sekarang balik ke bot kamu, kalau kamu semua tak bergerak juga dari sini, aku humban kamu satu-satu ke dalam laut," Datuk terus berang. Dua tiga kali dihentakkan kakinya ke lantai bot.

TERIKAT

Melihat tindak-tanduk Datuk yang agak luar biasa itu, menyebabkan ketua lanun dan buahnya segera berlari dan melompat ke dalam bot mereka.

Datuk pun menyuruh anak buah Nyak Sulaiman membuka ikatan tali bot lanun yang terikat dengan bot milik Nyak Sulaiman.

"Sekarang kamu semua boleh pergi, kalau lagi sekali aku jumpa kamu di laut, buruk padahnya. Aku bunuh kamu semua satu-satu," itu amaran dari Datuk. Tidak ada kata-kata balas dari ketua lanun dan anak buahnya.

Apa yang terjadi selanjutnya ialah bunyi enjin bot lanun yang mempunyai kekuatan kuasa enjin laju yang amat tinggi sekali.

Bot lanun itu bergerak perlahan-lahan membetulkan haluan yang arahnya tidak dapat saya tentukan sama ada ke utara atau ke selatan.

Andainya saya memiliki kompas sudah pasti saya dapat mengesan ke arah mana bot lanun itu pergi.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bot lanun itu hilang dalam kegelapan malam membelah ombak Selat Melaka. Cuma yang terdengar deru enjinnya saja.

"Sekarang terpulang kepada kamu, mahu bermalam di sini sampai ke pagi atau meneruskan perjalanan," Datuk mengemukakan cadangan.

"Saya berpendapat, kita teruskan perjalanan ini. Sebelum subuh kita mesti berada di kawasan Muara Jambi," sahut Nyak Sulaiman dengan tenang sambil merenung ke laut lepas.

Angin terus bertiup dan deru ombak terus menggasak lubang telinga penghuni bot besar.

"Kalau itu yang kamu fikirkan bagus, aku mengikut saja," sebuah jawapan pasti Datuk luahkan. Nyak Sulaiman gembira dengan jawapan tersebut.

Nyak Sulaiman pun menyuruh anak buahnya menghidupkan enjin bot. Dia pun mengarahkan haluan bot menuju Pulau Sumatera, kemudian menyusuri pesisir pantai pulau tersebut hingga sampai ke Muara Jambi.

Tugas berat yang mencabar itu di pertanggungjawaban kepada seorang anak muda yang raut mukanya mirip orang Arab, namanya Saladin al-Taif.

"Mengapa ikut pesisir pantai, Pak Juragan? Kenapa kita tidak terus ke Muara Jambi?" tanya Saladin al-Taif.

"Untuk mengelakkan perkara-perkara buruk."

"Maksud Juragan?"

"Menjauhkan diri dari lanun, dari polis laut. Aku tak mahu dia orang memeriksa bot aku. Sekarang kamu dah faham, Saladin?"

"Faham Juragan."

"Ingat Saladin, aku mahu sampai ke tempat yang dituju dengan selamat."

"Dengan izin Allah, kita selamat," sahut Saladin al-Taif dengan penuh keyakinan.

Dan bot besar milik Nyak Sulaiman pun mula bergerak mengikut arahan pemandunya.

Walaupun Datuk yakin yang bot besar milik Nyak Sulaiman tidak akan diganggu-gugat oleh lanun, tetapi Datuk tetap mengingatkan anak buah Nyak Sulaiman supaya berjaga-jaga dan berhati-hati.

"Kita mesti memikirkan perkara yang buruk dulu, sebelum memikirkan perkara yang elok dan baik," tutur Datuk sambil mendongakkan mukanya ke langit.

Datuk melihat bintang yang bertaburan sambil telinganya menangkap bunyi deru ombak yang tidak putus-putus itu.

"Saya setuju dengan pendapat awak tu," Nyak Sulaiman menyokong pendapat Datuk.

Saya lihat Datuk segera mengalihkan pandangan ke arah Nyak Sulaiman, mereka berbalas senyum.

"Kalau kita sudah beringat dan berjaga-jaga, tetapi ditimpa bencana juga, itu namanya sudah takdir," tambah Datuk lagi lalu mendekati Nyak Sulaiman yang duduk di tepi bot.

"Betul cakap awak tu," sambut Nyak Sulaiman.

Kemudian Nyak Sulaiman merenung ke arah laut lepas. Barangkali dia mengawasi bot lanun atau bot nelayan. Mungkin juga melihat kapal dagang yang lalu di Selat Melaka.

JARAK

Saya yang duduk tidak jauh dari mereka menarik nafas panjang. Pada hemat saya, kapal dagang tidak mendatangkan masalah atau berbahaya kepada bot yang saya naik ini.

Sebabnya, lampu kapal dagang yang terpasang di geladaknya dapat dilihat dengan jelas dari jarak yang agak jauh.

"Macam bandar bergerak," keluh saya.

Dan ternyata nada suara saya yang agak meninggi itu dapat didengar oleh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman yang sejak tadi bersendirian menghisap rokok dekat saya.

"Huh, bukannya bandar bergerak, kami menyebutnya pulau berjalan, cuba awak tengok lampu-lampu di deknya macam lampu di pantai Pulau Pinang," katanya dengan tenang.

"Betul juga cakap awak tu," sahut saya.

"Itulah sebabnya bot tak boleh berlanggar dengan kapal barang, kecuali pemandunya tidur. Kamu tahu, bila bot langgar kapal barang, bot hancur berkecai," tambah orang itu sambil menyedut rokok dalam-dalam. Saya terus ketawa.

Datuk dan Nyak Sulaiman rancak berborak. Sesekali mereka ketawa kecil, saya tak tahu apa yang mereka borakkan.

Bot besar milik Nyak Sulaiman terus membelah ombak Selat Melaka, angin yang memukul wajah membuat saya rasa mengantuk.

Dua tiga kali saya menguap panjang. Kelopak mata terasa amat berat sekali.

"Kamu ini dah mengantuk, pergi cari tempat tidur," sergah Datuk setelah melihat saya dua tiga kali tersengguk-sengguk.

Saya jadi serba salah. Di mana harus saya meletakkan kepala? Mestikah saya tidur atas lantai atau di bilik tamu. Wajarkah saya meletakkan badan di bilik masak atau baring di bangku panjang. Persoalan yang timbul secara mendadak membuat saya resah.

"Kamu tidur saja di tempat aku," Nyak Sulaiman menabur budi, matanya tertumpu ke arah saya yang sedang menguap untuk sekian kalinya.

"Bawakan dia ke tempat tidur aku," arah Nyak Sulaiman kepada anak buahnya.

Orang yang menerima arahan segera menghampiri saya, mengajak saya ke tempat yang dikatakan oleh Nyak Sulaiman.

"Selesai saja kamu tunjukkan tempatnya, cepat-cepat kamu datang ke sini semula," Nyak Sulaiman mengingatkan anak buahnya, sebaik saja saya bangun dan mahu mula melangkah.

"Baik Juragan," sahut anak buahnya.

Dan saya mengekori lelaki berambut panjang melepasi bahu menuju ke bahagian bawah bot.

TELUNJUK

"Di situ," si rambut panjang menudingkan jari telunjuk ke arah dinding yang bergantungan dengan perkakas atau alat yang ada hubung kaitnya dengan jentera bot seperti kipas, tali kipas, alat pembuka dan pengetat skru dan macam-macam lagi.

Saya merasa ganjil dan aneh sekali, dahi segera saya kerutkan dan wajah lelaki berambut panjang saya tenung.

Barangkali kamu mahu memperdayakan aku, mungkin juga kamu mahu bergurau, timbul pertanyaan dalam diri saya.

"Kenapa termenung?"

Pertanyaan si rambut panjang tidak saya jawab.

"Awak ragu-ragu," tambahnya.

"Iya," jawab saya.

"Tunggu sekejap."

Lelaki berambut panjang merapatkan dinding dan dinding ditolak ke kanan. Apa yang wujud di depan saya ialah sebuah pintu. Saya bertambah bingung.

Dalam keadaan termangu-mangu itu si rambut panjang menolak saya hingga muka dan badan saya berlaga dengan papan pintu.

Tanpa diduga pintu terkuak dan saya melihat sebuah bilik tidur yang boleh dikatakan serba lengkap.

"Ini bilik persembunyian Nyak Sulaiman, pintunya sengaja di lindung dengan rak barang. Tujuannya untuk menipu musuh. Cuma saya seorang sahaja yang tahu tempat rahsia ini."

"Oh, begitu."

"Awak tidurlah."

"Tidur di sini," tutur saya dengan keraguan.

"Iya," angguk si rambut panjang.

"Tak mahu," kata saya.

"Awak tidurlah, jangan banyak kerenah," si rambut panjang terus menolak saya ke bilik dengan kasar sekali.

Kemudian dia dengan pantas merapatkan daun pintu bilik. Bunyi tapak kakinya jelas kedengaran. Dia meninggalkan saya sendirian dalam bilik rahsia Nyak Sulaiman.

Bila bersendirian dalam bilik, saya rasa lebih bebas. Terus saya jatuhkan atas katil.

Di hujung katil terdapat meja bulat berwarna hitam dan di atas meja itu terdampar sebilah pedang samurai dan labu sayung (yang dibuat dari tanah liat) yang berisi air.

Terdapat juga gelas dan piring di sisi labu sayung. Di bawah katil terletak selaras raifal dan selaras pistol.

Kerana mata amat mengantuk, saya tidak mahu memeriksa dengan lebih teliti lagi apa yang, masih tersembunyi dalam bilik rahsia tersebut. Saya terus terlelap.

Tiba-tiba saya dikejutkan oleh suara seorang tentera Jepun, antara sedar dengan tidak saya cuba membuka mata.

Samar-samar saya melihat tentera Jepun berdiri di depan seorang lelaki Cina yang berusia sekitar tiga puluhan.

Kedua belah tangan lelaki itu diikat ke belakang dengan tali guni, sementara sepasang matanya diikat dengan kain hitam.

Lelaki Cina berdiri lutut dengan kepalanya diletakkan atas meja bulat warna hitam. Bahagian tengkuk lelaki Cina itu betul-betul berada di tepi bibir meja bulat.

Tentera Jepun mengangkat pedang samurai melepasi kepalanya. Mata pedang yang berkilat itu dihalakan ke batang leher lelaki Cina.

Tentera Jepun itu menjerit dengan sekuat hati dan serentak dengan itu mata pedang samurainya terbenam di batang leher pemuda Cina. Badan dan kepala pun berpisah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 141/284

BACA: SBDJ Siri 140: Lawi Ayam Pembelah Perut
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Ketahui Kenapa Penapis Air Di Malaysia Wajib Ada Sijil Halal!

Ketahui Kenapa Penapis Air Di Malaysia Wajib Ada Sijil Halal!

Permintaan penapis air yang tinggi melihatkan kepada keadaan semasa sekali gus membuka peluang buat syarikat-syarikat penapis air dalam dan luar negara menawarkan produk mereka kepada para pengguna di Malaysia.

Penapis Air tidak halal

Walau bagaimanapun, laporan yang dikeluarkan hasil kajian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengejutkan ramai apabila didapati 120 penapis air yang berada di pasaran diragui status halalnya berikutan penggunaan tulang haiwan yang tidak diketahui.

Perkara ini turut disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui pemeriksaan lapangan yang menemui penapis air mengandungi bahan daripada sumber haiwan seperti tulang dan lemak.

Sehubungan dengan itu, pihak JAKIM telah mewajibkan setiap jenama penapis air khususnya yang diimport dari luar negara untuk mendapatkan pengesahan halal sebelum ditawarkan di pasaran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Elak Masalah 'Flat Spot', Tayar Kempis Jika Di Parkir Terlalu Lama!

Elak Masalah 'Flat Spot', Tayar Kempis Jika Di Parkir Terlalu Lama!

Sekiranya kereta terbiar lama, ada pelbagai masalah boleh muncul dan antara masalah paling biasa berlaku adalah kondisi bateri, yang jika terminal atau fius tenaga tidak dicabut, bateri mudah rosak dan tidak tahan lama.

Elak masalah tayar kempis

Selain bateri, ada juga komponen lain yang perlu diawasi pemilik kenderaan. Contohnya, aspek luaran kereta.

Mungkin ada najis burung mengotori badan kereta atau kondisi komponen daripada bahan getah seperti wiper, getah pintu, tayar dan lain-lain.

Sebut mengenai tayar kereta, ini komponen paling penting kerana diperlukan untuk bergerak dan menampung beban kenderaan.

Material tayar dihasilkan berasaskan kompaun getah lembut untuk memberikan keselesaan dan cengkaman ketika memandu.

Salah satu masalah tayar yang biasa dialami pemilik adalah kemunculan kesan rata pada tayar yang juga dipanggil 'flat spot' (atau 'flatspotting').

APA ITU 'FLATSPOTTING'?

Flat spot adalah situasi tayar mengalami kesan rata pada bawah tayar, iaitu bahagian tayar yang menyentuh permukaan jalan di kawasan parkir.

Situasi ini biasanya berlaku jika kereta diletakkan dalam keadaan sama lebih 30 hari secara berterusan.

Tahap permasalahan itu berbeza mengikut kondisi permukaan kawasan parkir, jenis kereta dan tayar.

Masalah jadi lebih ketara sekiranya kereta diletakkan atau permukaan keras sedangkan kompaun tayar pula jenis lembut.

Situasi tayar (yang lembut) perlu menampung dan menyerap semua beban kereta selama mana ia tidak bergerak pada satu-satu posisi, sehingga tayar mula mengempis

LANGKAH PENJAGAAN

Penjagaan tayar

Tukar kedudukan tayar mengikut hari.

Langkah Pertama:

Sentiasa gerakkan kereta setiap dua minggu. Ini boleh dilakukan bersama langkah penjagaan bateri untuk kereta yang tidak dipandu lama.

Seandainya kereta tidak dapat bergerak, cukup sekadar keluar dari parkir kereta dengan mengundur ke depan dan kebelakang.

Bagi penghuni pangsapuri, bolehlah saling tukar petak parkir dengan jiran. Jika di rumah sendiri, boleh cuba keluar parkir dan tukar posisi parkir.

Tindakan menukar kawasan tayar akan mengelakkan kesan rata terbentuk akibat tidak bergerak.

Langkah Kedua:

Ini perlu dibuat bersama langkah pertama. Sekali lagi diingatkan, langkah pertama wajib dibuat kerana kereta anda tidak boleh diparkir dalam satu posisi saja dalam jangka masa lama.

Boleh lihat gambarajah di atas tentang contoh putaran kedudukan tayar yang bersesuaian mengikut bilangan hari.

Pastikan tekanan udara dalam tayar sentiasa mencukupi, atau lebihkan 1 atau 2 PSI. Ini bagi memastikan tayar mempunyai cukup tekanan udara bagi menampung berat kereta.

Langkah Ketiga:

Jangan simpan barang yang tidak berguna dalam kereta kerana boleh menambah beban ke atas tayar. Kereta bukan stor!

Keluarkan semua barang tersebut, cukup sekadar apa yang perlu ada dalam kereta tetapi, janganlah sampai kerusi belakang pun hendak dicabut sebab tiada penumpang.

KAEDAH PEMULIHAN

Cara pemulihan tayar

Kaedah Pertama:

Ada kajian pakar tayar mendakwa masalah flat spot mungkin boleh di atasi dengan memandu kereta lebih 30 minit.

Lihat graf di atas dan ingat, pemanduan dengan tayar tidak bulat sepenuhnya memang tidak selesa.

Namun, ada yang berpendapat, walaupun tayar sudah kembali bulat (selepas dipam atau dipandu) ia cuma bersifat sementara kerana kondisi tayar sudah tidak seelok dulu. Jadi, prestasi tayar sudah tidak sama seperti sedia kala.

Kaedah Kedua:

Tukar tayar baharu. Pedih, tetapi ini sahaja jalan paling selamat dan diyakini 100 peratus boleh memulihkan prestasi tayar kereta anda.

PENUTUP

Langkah pencegahan yang baik pasti lebih elok daripada langkah pemulihan namun, apa dialami setiap pemilik kenderaan adalah berbeza sama ada dari segi bajet, persediaan dan peruntukan masa. Diharapkan artikel ini mampu membantu.

Pastikan tekanan udara dalam tayar kereta ada sentiasa mencukupi dan kereta sentiasa dipantau.

Fakta menarik, tahukah anda tayar jentera Formula Satu (F1) akan dicabut dalam kawasan PIT untuk mengelakkan kesan flat spot.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pandulaju

Eksperimen 'Black Light' Ini Membuktikan Bagaimana Virus Mampu Merebak Dengan Mudah Di Restoran!

Eksperimen 'Black Light' Ini Membuktikan Bagaimana Virus Mampu Merebak Dengan Mudah Di Restoran!

Eksperimen 'black light' telah membuktikan kepada kita semua betapa cepatnya sesuatu wabak itu mampu merebak di restoran dan ruang awam yang lain dan hampir langsung tidak disedari oleh sesiapa.

Black Light Experiment

Eksperimen ini telah menggunakan cat pendarfluor sebagai virus tiruan untuk menggambarkan bagaimana ia mampu merebak dengan mudah.

Eksperimen yang dilakukan oleh saluran TV NHK di Jepun telah menggunakan cat bagi mewakili 'wabak'.

Mereka mahu menunjukkan bagaimana dengan mudahnya jangkitan ini dapat merebak di ruang awam.

Salah seorang daripada sepuluh peserta dipilih untuk 'dijangkiti' dengan menyapu cat neon pada telapak tangannya.

Rakaman video NHK menunjukkan para peserta menikmati makanan mereka selama 30 minit sebelum lampu biru dihidupkan dan menunjukkan sejauh mana 'wabak' itu telah merebak.

Situasi itu telah membuktikan bagaimana wabak berjangkit dengan cepat. Kesan cat itu dijumpai di tangan individu lain, ia juga kelihatan di beberapa barang yang terdapat di sana.

Peserta pula kelihatan terkejut ketika lampu biru dihidupkan setelah mereka menyedari cat tadi telah berpindah kepada mereka.

Tonton video dibawah.

BACA INI JUGA:



sumber: thevocket

HUAWEI Y6p, Bateri 5,000mAh, 4GB RAM, Cuma Berharga RM559!

HUAWEI Y6p, Bateri 5,000mAh, 4GB RAM, Cuma Berharga RM559!

Bateri smartphone tahan lama, skrin besar dan gaya hebat antara kriteria diutamakan dalam pemilihan telefon pintar namun, untuk memiliki tiga aspek penting itu, harganya juga pasti mahal, kini HUAWEI mempunyai telefon pintar diimpikan pada harga yang sangat berpatutan iaitu HUAWEI Y6p, dilengkapi hayat bateri besar, skrin besar dan gaya besar.

HUAWEI Y6p

Huawei mengumumkan kemasukan telefon baharu, Huawei Y6p di pasaran Malaysia pada harga RM 599 seunit dan tidak ketinggalan, model Y5p turut diperkenalkan pada tanda harga RM359.

Huawei Y6p

Menampilkan tiga pilihan warna iaitu, Emerald Green, Phantom Purple, dan Midnight Black, model Y6p mengguna pakai cipset MTK 6765. Ia dipadankan dengan RAM 4GB berserta storan 64GB.

Skrinnya pula seluas 6.3 inci, dengan resolusi 1600×720 HD. Kuasanya dijana oleh bateri sebesar 5,000mAh.

Di bahagian pengimejan, Huawei Y6p mempunyai trikamera belakang dengan sensor 13MP kamera utama, 5 MP (wide-angle) dan 2 MP bokeh. Kamera hadapannya pula mempunyai sensor 8 MP.

Huawei Y5p

Model Y5p mempunyai skrin lebih kecil, iaitu 5.45 inci, TFT LCD dengan nisbah 18:9.

Operasinya dijana oleh cipset Mediatek MT6762R dan dipadankan dengan RAM 2GB serta storan 32GB yang boleh ditingkatkan kepada 512 GB dengan tambahan kad memori SD. Baterinya juga lebih kecil iaitu, 3,020mAh.

Y5p hanya mempunyai satu kamera belakang dengan sensor 13 MP dan 5 MP kamera hadapan untuk swafoto.

Sama seperti Y6p, model ini boleh didapati dalam warna Phantom Purple, Midnight Black dan Mint Green.

Huawei AppGallery

Kedua-dua model ini tidak disertakan dengan stor aplikasi Google Playstore, yang secara langsung ia tidak menyokong Google Mobile Services (GMS).

Namun, HUAWEI dengan pantas mengisi AppGallery dengan lebih banyak aplikasi seperti Maybank2U, RHB Bank, PB Engage, e-dompet Touch n go, shopee, lazada, Facebook, Whatsapp, Astro Go, Here WeGo dan banyak lagi.

Dengan mekanisme pengesanan empat lapisan, ia memastikan aplikasi diperiksa secara menyeluruh untuk mengelakkan perisian hasad sekali gus pengguna akan lebih yakin terhadap keselamatan aplikasi yang dimuat turun dari AppGallery.

AppGallery HUAWEI juga dikenali secara berterusan memberikan faedah tanpa henti kepada pengguna seperti:
  • Pelbagai ganjaran dan faedah yang dapat ditebus daripada AppGallery.
  • Aplikasi yang dibina di seluruh dunia dapat diakses berbanding Google di mana aplikasi tertentu disekat di sesetengah kawasan.
  • AppGallery adalah lebih selamat, lebih banyak simpanan dan lebih ganjaran.

Walaupun HUAWEI sentiasa mengisi AppGallery dengan aplikasi yang banyak, kadang kala pengguna menginginkan aplikasi tertentu yang belum tersedia di platform itu.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi FindApps di AppGallery, yang berfungsi sebagai hub membantu pengguna mencari aplikasi diinginkan dan mengarahkan mereka ke sumber yang ada untuk memuat turun aplikasi terbabit seperti Grab, Facebook, Telegram, Facebook lite dan lain-lain.

Harga Murah

HUAWEI Y6p & Y5p

Untuk mereka yang mencari telefon bajet, Huawei Y6p mempunyai beberapa kelebihan seperti bateri yang besar, RAM dan storan yang agak standard pada harga bawah RM600 serta pemproses yang cukup baik untuk mereka yang juga suka bermain permainan video.

Bagi yang ingin mencari telefon untuk anak kecil, Y5p mungkin lebih sesuai dan murah.

Untuk info lebih lanjut, layari https://huaweitogether2020.3ex.com.my dan https://consumer.huawei.com/en/mobileservices/appgallery/.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soyacincau

Tuesday, May 19, 2020

Persamaan Serangan Virus Covid-19 Dan HIV!

Persamaan Serangan Virus Covid-19 Dan HIV!

Di atas kertas, dikatakan wujud banyak persamaan yang ada di antara virus penyebab wabak SARS pada tahun 2003, SARS-CoV-1 dan 'adiknya', SARS-CoV-2 yang menjadi penyebab jangkitan Covid-19.

How Covid-19 attack

Penyelidikan dan rekod semasa wabak SARS melanda ditambah dengan kajian ke atas jangkitan wabak MERS pada tahun 2012 diharap mampu memberikan kita petunjuk jelas apakah risiko berhadapan Covid-19. Itu pandangan majoriti penyelidik pada mulanya.

Bagaimanapun, hari demi hari pendapat itu nyata disanggah satu per satu, kerana SARS-CoV-2 mula menampakkan sifat sebenarnya yang nyata berbeza berbanding jangkitan virus corona sebelumnya.

Salah satu penemuan terbaharu adalah berkaitan kemampuannya menyerang sistem imuniti tubuh badan kita dalam melawan jangkitan.

Beberapa kajian peringkat awal berjaya menunjukkan bahawa SARS-CoV-2 mempunyai kemampuan yang hampir serupa seperti virus HIV; penyebab utama penyakit AIDS di seluruh dunia.

Kewujudan simptom di luar jangkaan

Pada peringkat awal, apa yang kita tahu tentang virus SARS-CoV-2 adalah virus itu mempunyai 79.5% persamaan dengan virus SARS-CoV-1 yang datang sebelumnya.

SARS-CoV-2 menyerang tubuh melalui reseptor yang digelar angiotensin-converting enzyme 2 atau ACE2 sebagai pintu masuk, menjalani proses inkubasi selama 5 ke 6 hari sebelum mula menyebabkan jangkitan.

Simptom jangkitan yang kelihatan pada pesakit juga berbeza mengikut tahap jangkitan, sama ada ringan, teruk atau kritikal.

Antara simptom-simptom yang kerap berlaku adalah pneumonia iaitu jangkitan pada paru-paru, cirit-birit, sesak nafas atau dyspnea serta kerosakan organ-organ dalaman dan itu adalah perkara-perkara asas yang kita tahu tentang jangkitan Covid-19.

Apa yang membimbangkan, wujud trend di mana berlakunya kadar peratusan pesakit yang menampakkan simptom lymphocytopenia; penurunan kadar sel darah putih dalam darah mula dilaporkan dalam jumlah kes lebih kerap.

Berbanding dengan dua virus lebih awal, hanya virus penyebab jangkitan MERS didapati mempunyai keupayaan serupa dan SARS-CoV-1 tidak menampakkan petanda mampu menyerang sel darah putih.

Ini merupakan satu perbezaan yang sangat besar dan penemuan ini, mengejutkan penyelidik yang menjalankan kajian.

Membunuh sistem imuniti

Kemampuan menyerang sel darah putih atau 'T lymphocytes', lebih popular diklasifikasikan sebagai 'sel T' (T cells) merupakan sesuatu yang tidak dijangka mampu berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, disebabkan oleh pertambahan jumlah laporan tentang pesakit Covid-19 mengalami masalah kekurangan sel T, penyelidik daripada Universiti Fudan di Shanghai dan New York Blood Centre di Amerika Syarikat bekerjasama menjalankan kajian, bagi mengenalpasti punca berlakunya sel darah putih rendah dalam tubuh pesakit.

Sel T memainkan peranan yang sangat penting dalam tubuh badan kita, membolehkan sistem imuniti badan kita mengenalpasti sebarang bentuk jangkitan virus seterusnya mengaktifkan pembentukan antibodi dalam melawan jangkitan.

Apabila seseorang mengalami simptom lymphocytopenia, tubuh mereka tidak lagi mampu menyediakan sistem pertahanan badan sendiri, menyebabkan jangkitan mampu merebak tanpa dapat dikawal secara semulajadi oleh tubuh.

Situasi yang berlaku sama seperti jangkitan yang dihadapi pesakit AIDS.

Terkorban bersama virus

Apa yang membezakan cara serangan dalam kes jangkitan AIDS dengan Covid-19 adalah faktor ketahanan virus yang melakukan serangan.

Virus HIV menyerang sel T, mampu membunuh sel T tanpa mengorbankan dirinya sendiri sebaliknya akan menjadikan sel T sebagai perumah bagi membolehkan virus membiak lebih pesat.

Situasi itulah yang menyebabkan jangkitan HIV pada seseorang manusia kekal berlaku sepanjang hayat dan hanya boleh diperlahankan tanpa mampu disembuhkan (setakat ini).

Bagi virus SARS-CoV-2 pula, kajian yang dijalankan mendapati, apabila virus tersebut menyerang mana-mana sel T, virus dan sel T yang diserang akan sama-sama reput mengakibatkan seseorang mengalami penurunan jangkitan tetapi dalam masa yang sama kehilangan sistem imuniti tubuh.

Sel T yang diuji dilaporkan mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi terhadap kehadiran SARS-CoV-2, tetapi menampakkan sifat sebaliknya apabila didedahkan kepada virus SARS-CoV-1 penyebab jangkitan SARS, walaupun kedua-duanya menyerang sel melalui reseptor ACE2 yang serupa.

Disebabkan inilah semakin ramai pakar perubatan mengatakan punca kematian pesakit Covid-19 bukan saja disebabkan masalah pernafasan seperti yang diketahui sebelum ini, sebaliknya mampu datang daripada bermacam punca lain.

Pesakit kehilangan sistem imunisasi semulajadi badan

Kadar sel T dalam badan sebelum ini memang sudah digunakan sebagai kayu ukur bagi petugas perubatan, dalam meramal tahap jangkitan yang berkemungkinan berlaku pada pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, pada peringkat awal, tidak ada pihak menyangka kadar sel T yang rendah sebenarnya berkait dengan jangkitan virus novel itu.

Ini kerana banyak pihak menghubungkan kadar sel T yang rendah sehingga mampu menyebabkan kematian, berpunca daripada tahap kesihatan pesakit yang sudah agak uzur.

Kajian terbaharu ini mengenalpasti keupayaan virus SARS-CoV-2 menyerang sel T, mampu menjadi petunjuk pertama kepada kita; virus yang kita sangka kita kenal, bukanlah virus biasa-biasa sebenarnya.

Penemuan ini sedikit sebanyak memperkukuhkan beberapa laporan bedah siasat pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia sebelum ini, apabila didapati sistem imuniti tubuh pesakit telah rosak atau gagal berfungsi, tanpa ditemui apa sebabnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

'Matawang Kripto Tiada Nilai' - Warren Buffett

'Matawang Kripto Tiada Nilai' - Warren Buffett

Warren Buffett, seorang billionaire, CEO dan Pengerusi Berkshire Hathaway, kembali mencetuskan kontroversi terbaharu yang tetap bertegas menyatakan pendiriannya seperti sebelum ini berkenaan nilai matawang kripto.

Matawang Kripto Tiada Nilai

Menurut Warren Buffett, matawang kripto tiada nilai dan pelaburan dalam matawang digital itu tidak akan membuahkan apa-apa hasil.

Selain itu, beliau mendedahkan bahawa dia langsung tidak memiliki apa-apa matawang kripto dan tidak akan melibatkan diri dalam matawang tersebut.

Untuk pengetahuan anda, Warren Buffett telah lama mengkritik syiling digital terbesar di dunia iaitu Bitcoin, malah menyifatkannya sebagai 'racun yang merosakkan' dan tidak boleh dianggap sebagai matawang.

Rakan kongsi Warren Buffett iaitu Charlie Munger turut bersetuju dengan dakwaan berkenaan serta menggelar matawang kripto sebagai 'kotoran' yang akan menjejaskan institusi kewangan.

Sebagai usaha untuk mengubah persepsi Warren Buffett terhadap matawang digital, seorang pengasas matawang kripto TRON, merangkap CEO syarikat BitTorrent yang dikenali sebagai Justin Sun, telah memenangi tawaran $4.57 juta dalam lelongan amal untuk majlis makan malam bersama figura hebat berkenaan.

Melalui pertemuan tersebut, Warren Buffett menyatakan bahawa majlis makan malam itu telah dijadikan sebagai medium untuk bertukar-tukar pendapat bersama beberapa individu penting dalam dunia matawang kripto.

Namun begitu, ia tetap tidak dapat mengubah pendirian masing-masing terhadap nilai Bitcoin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: intraday