Rabu, Mei 20, 2020

SBDJ Siri 141: Pulau Berjalan

Lanun berwajah Arab terus melibaskan ekor pari ke arah Datuk untuk kali kedua. Kalau yang pertama Datuk tidak bersedia dan terpaksa menanggung akibatnya. Tetapi bagi kali kedua Datuk sudah bersedia.

SBDJ siri 139

Sebaik saja ekor pari dilibas ke tubuhnya, Datuk segera menyambar ekor pari itu lalu merentapnya dengan sekuat hati hingga lanun berwajah Arab terdorong ke arah Datuk dan pada saat itu Datuk pun menghentak pangkal sikunya ke bahu lanun berwajah Arab.

Hentakan yang kuat itu membuat darah keluar dari mulut dan hidung lanun.

Belum pun sempat tubuh lanun tersembam atas lantai, Datuk segera memangku dan menjulangnya tinggi-tinggi kemudian terus menghumbannya ke laut.

Tanpa membuang masa Datuk terus menerkam ke arah dua lanun yang mahu melarikan diri. Satu persatu lanun-lanun itu ditangkap dan terus dibuang ke laut.

"Kita mesti cepat meninggalkan tempat ini," kata Nyak Sulaiman kepada Datuk yang masih kelihatan tercungap-cungap kepenatan. Datuk segera angkat tangan.

"Jangan begitu," balas Datuk.

"Kenapa jangan!" Nyak Sulaiman membiakkan biji matanya ke arah Datuk.

Dia terkejut dengan sikap Datuk yang dikiranya tidak lojik sama sekali.

"Kalau kita tak tinggalkan tempat ni, nanti dia orang panggil kawan-kawannya jahanamkan kita nanti," sambung Nyak Sulaiman sambil menyuruh anak buahnya membawa lampu picit dan gasolin ke arahnya.

"Bertenang, kalau mereka datang kita sambut ikut cara mereka datang," tingkah Datuk lalu mengambil lampu suluh dari salah seorang anak buah Nyak Sulaiman.

Datuk suluh ke arah ketua lanun dan anak buahnya yang terkapai berenang menuju ke bot.

Nyak Sulaiman mengambil lampu gasolin diletakkannya di bibir bot. Cahaya dari gasolin menerangi kawasan laut sekitar bot. Dia melihat lanun-lanun itu berenang melawan ombak laut.

"Aku mahu selamatkan mereka," kata Datuk.

"Ah ni kerja gila," bantah Nyak Sulaiman.

"Kita mesti selamatkan."

"Kita menempah maut."

"Aku yakin mereka tak akan membuat perkara tak baik pada kita, biar aku tanggung buruk baiknya," Datuk memberi jaminan.

Ternyata jaminan itu dapat diterima oleh Nyak Sulaiman. Dia pun memerintahkan anak buahnya menghulurkan tali kepada ketua lanun dan anak buahnya yang sedang berenang mengelilingi bot dalam usaha untuk naik.

SAMBUT

Tali yang dihulur terus disambut. Datuk turut sama menarik tali sehingga ketua lanun dan anak buahnya dapat menaiki bot.

Mereka segera duduk berhimpit-himpit sambil memeluk kedua belah lutut menahan kesejukan. Wajah mereka membayangkan keresahan dan ketakutan.

Setiap gerak-geri dan langkah Datuk mereka sorot dengan hati-hati sekali.

"Ampun, jangan mengapa-apakan kami," tiba-tiba ketua lanun bersuara.

Dia bangun lalu membuka baju dan seluar (kecuali seluar dalam) di lengan dan pahanya terdapat belitan tali hitam sebesar anak mancis api.

"Azimat," kata Datuk kepadanya.

"Ya," jawabnya.

"Buat apa?"

"Supaya badan tidak ditembusi senjata tajam."

"Humm..." Datuk menelan air liur.

Anak buah ketua turut membuka baju dan seluar. Mereka juga seperti ketuanya terdapat azimat di paha dan lengan.

Di sebelah lengan kanan mereka terdapat tanda tato dalam bentuk bunga cengkih.

"Duduk," turut Datuk lembut dan serentak dengan itu mereka terus duduk atas lantai bot.

"Kita bawa saja ke Belawan kemudian serah pada polis," Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan.

Datuk tidak memberi kata putus, sebaliknya Datuk menyuruh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mencari kain yang kering untuk di berikan kepada ketua lanun dan anak buahnya.

"Mengapa baik sangat dengan musuh," tanya Nyak Sulaiman.

"Tak mengapa," jawab Datuk lalu membahagi-bahagikan kain kepada para lanun yang terkejut menerima layanan yang begitu baik dari Datuk. Malah mereka diberi minuman kopi panas.

"Sekarang, kamu boleh balik ke bot kamu. Aku harap selepas ini kamu tinggalkan kerja menjadi lanun ni," Datuk tatap wajah para lanun dengan tenang.

"Aku tahu, kamu bukan dari satu tempat," sambung Datuk lagi.

"Pengkalan kamu di mana?"

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh ketua lanun terhadap pertanyaan yang diajukan oleh Datuk.

Mungkin untuk mengawal suasana agar jangan terlalu tegang, Datuk renung muka Nyak Sulaiman seketika. Angin laut yang bertiup agak kencang membuat saya terasa menggigil.

"Cakap dengan baik di mana pengkalan kamu?" ulang Datuk.

"Di pulau-pulau yang tak ada orang," jawab ketua lanun dengan tenang.

Datuk pun menarik nafas dalam-dalam dengan mengalihkan pandangan ke arah hujung bot.

"Di Pulau Sembilan, Perak dan beberapa pulau kecil di kawasan kepulauan Riau," celah Nyak Sulaiman.

Dan saya lihat ketua lanun segera anggukkan kepala. Nyak Sulaiman tersenyum sumbing.

"Kamu dari kumpulan ular laut?" Nyak Sulaiman mula main serkap jarang.

Serkap Nyak Sulaiman mengena, bila saya lihat ketua lanun angguk kepala. Kali ini tanpa membuang masa Nyak Sulaiman terus mencuit bahu Datuk dengan ibu jari.

Dengan langkah yang tenang Nyak Sulaiman melangkah beberapa tapak di depan kumpulan lanun, kemudian kembali mendekati Datuk.

"Kita dalam bahaya, kalau kita biarkan dia hidup," secara mendadak saja Nyak Sulaiman melahirkan rasa kebimbangan.

Mata Datuk ditatapnya dan Datuk terpaksa mengerutkan dahi.

"Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Datuk.

"Kita bunuh saja," salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan.

"Humban ke laut biar semuanya mampus," muncul lagi cadangan.

Datuk gelengkan kepala. Tidak setuju dengan cadangan yang dikemukakan itu.

"Habis, apa yang mesti kita buat?" sanggah Nyak Sulaiman.

Matanya tidak berkedip merenung ke arah ketua lanun seketika, kemudian alihkan renungan ke arah dada laut yang dipeluk kegelapan malam.

Percikan ombak yang memukul badan bot, sesekali jatuh atas lantai bot. Deru angin terus mengaum. Datuk masih belum memberikan keputusan.

Dada anak buah Nyak Sulaiman terus berdebar begitu juga dengan debar dada anak buah ketua lanun.

Kata Datuk adalah kata penentu sama ada nafas anak buah ketua lanun boleh berlanjutan atau terhenti.

"Humm.." dengus Datuk.

Ekor matanya menjeling tajam ke arah muka ketua lanun dan anak buahnya. Ternyata mereka didakap kecemasan. Berdebar menanti kata dari Datuk.

"Sekarang kamu semua balik ke bot kamu,"

Nyak Sulaiman tersentak dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk itu.

Air muka ketua lanun dan anak buahnya segera berubah. Mereka bagaikan terkena kejutan elektrik, berpandangan sesama sendiri, seolah-olah tidak percaya yang kata-kata itu terluncur dari kelopak bibir Datuk.

Kerana itu tiada seorang pun daripada mereka bergerak.

"Balik ke bot kamu," jerit Datuk lagi.

Kali ini suaranya cukup tinggi dan keras sekali. Ketua lanun dan anak buahnya masih terpaku di situ, masih berpandangan sama sendiri. Nyak Sulaiman dan anak buahnya terus gelengkan kepala.

"Sekarang balik ke bot kamu, kalau kamu semua tak bergerak juga dari sini, aku humban kamu satu-satu ke dalam laut," Datuk terus berang. Dua tiga kali dihentakkan kakinya ke lantai bot.

TERIKAT

Melihat tindak-tanduk Datuk yang agak luar biasa itu, menyebabkan ketua lanun dan buahnya segera berlari dan melompat ke dalam bot mereka.

Datuk pun menyuruh anak buah Nyak Sulaiman membuka ikatan tali bot lanun yang terikat dengan bot milik Nyak Sulaiman.

"Sekarang kamu semua boleh pergi, kalau lagi sekali aku jumpa kamu di laut, buruk padahnya. Aku bunuh kamu semua satu-satu," itu amaran dari Datuk. Tidak ada kata-kata balas dari ketua lanun dan anak buahnya.

Apa yang terjadi selanjutnya ialah bunyi enjin bot lanun yang mempunyai kekuatan kuasa enjin laju yang amat tinggi sekali.

Bot lanun itu bergerak perlahan-lahan membetulkan haluan yang arahnya tidak dapat saya tentukan sama ada ke utara atau ke selatan.

Andainya saya memiliki kompas sudah pasti saya dapat mengesan ke arah mana bot lanun itu pergi.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bot lanun itu hilang dalam kegelapan malam membelah ombak Selat Melaka. Cuma yang terdengar deru enjinnya saja.

"Sekarang terpulang kepada kamu, mahu bermalam di sini sampai ke pagi atau meneruskan perjalanan," Datuk mengemukakan cadangan.

"Saya berpendapat, kita teruskan perjalanan ini. Sebelum subuh kita mesti berada di kawasan Muara Jambi," sahut Nyak Sulaiman dengan tenang sambil merenung ke laut lepas.

Angin terus bertiup dan deru ombak terus menggasak lubang telinga penghuni bot besar.

"Kalau itu yang kamu fikirkan bagus, aku mengikut saja," sebuah jawapan pasti Datuk luahkan. Nyak Sulaiman gembira dengan jawapan tersebut.

Nyak Sulaiman pun menyuruh anak buahnya menghidupkan enjin bot. Dia pun mengarahkan haluan bot menuju Pulau Sumatera, kemudian menyusuri pesisir pantai pulau tersebut hingga sampai ke Muara Jambi.

Tugas berat yang mencabar itu di pertanggungjawaban kepada seorang anak muda yang raut mukanya mirip orang Arab, namanya Saladin al-Taif.

"Mengapa ikut pesisir pantai, Pak Juragan? Kenapa kita tidak terus ke Muara Jambi?" tanya Saladin al-Taif.

"Untuk mengelakkan perkara-perkara buruk."

"Maksud Juragan?"

"Menjauhkan diri dari lanun, dari polis laut. Aku tak mahu dia orang memeriksa bot aku. Sekarang kamu dah faham, Saladin?"

"Faham Juragan."

"Ingat Saladin, aku mahu sampai ke tempat yang dituju dengan selamat."

"Dengan izin Allah, kita selamat," sahut Saladin al-Taif dengan penuh keyakinan.

Dan bot besar milik Nyak Sulaiman pun mula bergerak mengikut arahan pemandunya.

Walaupun Datuk yakin yang bot besar milik Nyak Sulaiman tidak akan diganggu-gugat oleh lanun, tetapi Datuk tetap mengingatkan anak buah Nyak Sulaiman supaya berjaga-jaga dan berhati-hati.

"Kita mesti memikirkan perkara yang buruk dulu, sebelum memikirkan perkara yang elok dan baik," tutur Datuk sambil mendongakkan mukanya ke langit.

Datuk melihat bintang yang bertaburan sambil telinganya menangkap bunyi deru ombak yang tidak putus-putus itu.

"Saya setuju dengan pendapat awak tu," Nyak Sulaiman menyokong pendapat Datuk.

Saya lihat Datuk segera mengalihkan pandangan ke arah Nyak Sulaiman, mereka berbalas senyum.

"Kalau kita sudah beringat dan berjaga-jaga, tetapi ditimpa bencana juga, itu namanya sudah takdir," tambah Datuk lagi lalu mendekati Nyak Sulaiman yang duduk di tepi bot.

"Betul cakap awak tu," sambut Nyak Sulaiman.

Kemudian Nyak Sulaiman merenung ke arah laut lepas. Barangkali dia mengawasi bot lanun atau bot nelayan. Mungkin juga melihat kapal dagang yang lalu di Selat Melaka.

JARAK

Saya yang duduk tidak jauh dari mereka menarik nafas panjang. Pada hemat saya, kapal dagang tidak mendatangkan masalah atau berbahaya kepada bot yang saya naik ini.

Sebabnya, lampu kapal dagang yang terpasang di geladaknya dapat dilihat dengan jelas dari jarak yang agak jauh.

"Macam bandar bergerak," keluh saya.

Dan ternyata nada suara saya yang agak meninggi itu dapat didengar oleh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman yang sejak tadi bersendirian menghisap rokok dekat saya.

"Huh, bukannya bandar bergerak, kami menyebutnya pulau berjalan, cuba awak tengok lampu-lampu di deknya macam lampu di pantai Pulau Pinang," katanya dengan tenang.

"Betul juga cakap awak tu," sahut saya.

"Itulah sebabnya bot tak boleh berlanggar dengan kapal barang, kecuali pemandunya tidur. Kamu tahu, bila bot langgar kapal barang, bot hancur berkecai," tambah orang itu sambil menyedut rokok dalam-dalam. Saya terus ketawa.

Datuk dan Nyak Sulaiman rancak berborak. Sesekali mereka ketawa kecil, saya tak tahu apa yang mereka borakkan.

Bot besar milik Nyak Sulaiman terus membelah ombak Selat Melaka, angin yang memukul wajah membuat saya rasa mengantuk.

Dua tiga kali saya menguap panjang. Kelopak mata terasa amat berat sekali.

"Kamu ini dah mengantuk, pergi cari tempat tidur," sergah Datuk setelah melihat saya dua tiga kali tersengguk-sengguk.

Saya jadi serba salah. Di mana harus saya meletakkan kepala? Mestikah saya tidur atas lantai atau di bilik tamu. Wajarkah saya meletakkan badan di bilik masak atau baring di bangku panjang. Persoalan yang timbul secara mendadak membuat saya resah.

"Kamu tidur saja di tempat aku," Nyak Sulaiman menabur budi, matanya tertumpu ke arah saya yang sedang menguap untuk sekian kalinya.

"Bawakan dia ke tempat tidur aku," arah Nyak Sulaiman kepada anak buahnya.

Orang yang menerima arahan segera menghampiri saya, mengajak saya ke tempat yang dikatakan oleh Nyak Sulaiman.

"Selesai saja kamu tunjukkan tempatnya, cepat-cepat kamu datang ke sini semula," Nyak Sulaiman mengingatkan anak buahnya, sebaik saja saya bangun dan mahu mula melangkah.

"Baik Juragan," sahut anak buahnya.

Dan saya mengekori lelaki berambut panjang melepasi bahu menuju ke bahagian bawah bot.

TELUNJUK

"Di situ," si rambut panjang menudingkan jari telunjuk ke arah dinding yang bergantungan dengan perkakas atau alat yang ada hubung kaitnya dengan jentera bot seperti kipas, tali kipas, alat pembuka dan pengetat skru dan macam-macam lagi.

Saya merasa ganjil dan aneh sekali, dahi segera saya kerutkan dan wajah lelaki berambut panjang saya tenung.

Barangkali kamu mahu memperdayakan aku, mungkin juga kamu mahu bergurau, timbul pertanyaan dalam diri saya.

"Kenapa termenung?"

Pertanyaan si rambut panjang tidak saya jawab.

"Awak ragu-ragu," tambahnya.

"Iya," jawab saya.

"Tunggu sekejap."

Lelaki berambut panjang merapatkan dinding dan dinding ditolak ke kanan. Apa yang wujud di depan saya ialah sebuah pintu. Saya bertambah bingung.

Dalam keadaan termangu-mangu itu si rambut panjang menolak saya hingga muka dan badan saya berlaga dengan papan pintu.

Tanpa diduga pintu terkuak dan saya melihat sebuah bilik tidur yang boleh dikatakan serba lengkap.

"Ini bilik persembunyian Nyak Sulaiman, pintunya sengaja di lindung dengan rak barang. Tujuannya untuk menipu musuh. Cuma saya seorang sahaja yang tahu tempat rahsia ini."

"Oh, begitu."

"Awak tidurlah."

"Tidur di sini," tutur saya dengan keraguan.

"Iya," angguk si rambut panjang.

"Tak mahu," kata saya.

"Awak tidurlah, jangan banyak kerenah," si rambut panjang terus menolak saya ke bilik dengan kasar sekali.

Kemudian dia dengan pantas merapatkan daun pintu bilik. Bunyi tapak kakinya jelas kedengaran. Dia meninggalkan saya sendirian dalam bilik rahsia Nyak Sulaiman.

Bila bersendirian dalam bilik, saya rasa lebih bebas. Terus saya jatuhkan atas katil.

Di hujung katil terdapat meja bulat berwarna hitam dan di atas meja itu terdampar sebilah pedang samurai dan labu sayung (yang dibuat dari tanah liat) yang berisi air.

Terdapat juga gelas dan piring di sisi labu sayung. Di bawah katil terletak selaras raifal dan selaras pistol.

Kerana mata amat mengantuk, saya tidak mahu memeriksa dengan lebih teliti lagi apa yang, masih tersembunyi dalam bilik rahsia tersebut. Saya terus terlelap.

Tiba-tiba saya dikejutkan oleh suara seorang tentera Jepun, antara sedar dengan tidak saya cuba membuka mata.

Samar-samar saya melihat tentera Jepun berdiri di depan seorang lelaki Cina yang berusia sekitar tiga puluhan.

Kedua belah tangan lelaki itu diikat ke belakang dengan tali guni, sementara sepasang matanya diikat dengan kain hitam.

Lelaki Cina berdiri lutut dengan kepalanya diletakkan atas meja bulat warna hitam. Bahagian tengkuk lelaki Cina itu betul-betul berada di tepi bibir meja bulat.

Tentera Jepun mengangkat pedang samurai melepasi kepalanya. Mata pedang yang berkilat itu dihalakan ke batang leher lelaki Cina.

Tentera Jepun itu menjerit dengan sekuat hati dan serentak dengan itu mata pedang samurainya terbenam di batang leher pemuda Cina. Badan dan kepala pun berpisah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 141/284

BACA: SBDJ Siri 140: Lawi Ayam Pembelah Perut
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon