Monday, April 20, 2020

Bila Wabak Covid-19 Akan Berakhir?


Bermula dari Kota Wuhan, jangkitan Covid-19 telah menular ke seluruh dunia menyebabkan peningkatan pesat pada angka jangkitan dan kes kematian dan telah diisytiharkan sebagai pandemik pada pertengahan bulan Mac 2020, oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Covid-19 Akan Berakhir

Dan kini, ramai yang tertanya-tanya, bagaimana wabak Covid-19 ini bakal berakhir, dengan beberapa teori telah dikemukakan.

1. Tiada Pengakhiran Bagi Wabak COVID-19

Jika anda pernah membuka laman sesawang Worldometer, anda akan sedar, kadar penularan wabak COVID-19 adalah sangat pantas.

Ia berkait rapat dengan nilai R-naught (R0) iaitu jumlah individu sihat yang boleh dijangkiti oleh virus tersebut daripada seseorang yang telah dijangkiti.

Kini, nilainya masih berada di antara 2 hingga 3, yang bermakna seorang individu berjangkit boleh menyebarkan COVID-19 kepada 2-3 individu sihat pada satu masa.

Sebelum ini, terdapat seorang pesakit di Hospital Wuhan telah menyebarkan jangkitan Covid-19 tersebut kepada lebih daripada 57 individu lain.

Ini menjadikan COVID-19 sebagai virus yang lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan virus sindrom pernafasan timur tengah (MERS).

Menurut Dr Amesh Adalja, Pakar Penyakit Berjangkit dari Universiti Hopkins, jika dilihat pada model penyebaran jangkitan, berkemungkinan ia tidak mempunyai penghujungnya, yang telah diterbitkan di laman jurnal terkemuka Annals of Internal Medicine.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak semestinya bermaksud wabak COVID-19 akan menjadi lebih teruk.

Terdapat 2 kemungkinan berkaitan dengan hal itu:
  • Seperti jangkitan influenza, COVID-19 berpotensi untuk menjadi jangkitan bermusim. Maknanya, vaksin dan ubat antiviral bagi mereka yang mengalami simptom teruk memainkan peranan penting.
  • Jangkitan COVID-19 masih ada namun ia tidak akan menyebabkan simptom teruk. Ini boleh berlaku jika ia mengalami proses mutasi yang menurunkan keupayaannya menyebabkan simptom teruk.

2. Kadar Jangkitan COVID-19 Berkurangan Dengan Sendiri

Perkara yang pernah berlaku ketika wabak SARS suatu ketika dahulu boleh berulang dengan COVID-19. Kedua-duanya berasal daripada keluarga yang sama.

Terdapat pakar yang meramalkan wabak COVID akan menemui nasib yang sama seperti wabak SARS. Ia akan perlahan-lahan menjadi kurang agresif dan akhirnya lenyap.

Namun, usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu dilakukan secara aktif bagi memastikan COVID-19 dapat dikawal dan penularannya dapat dihentikan.

Ketika wabak SARS sedang merebak, badan autoriti kesihatan global menggalakkan proses pengesanan, pemeriksaan dan pengisolasian pesakit yang dijangkiti oleh virus tersebut. Tujuannya sama, untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Oleh sebab SARS tidak seagresif wabak COVID-19, langkah yang diambil itu berkesan dengan cepat.

Mungkin perkara ini sukar bagi wabak COVID-19 apabila kita melihat keupayaannya untuk merebak kepada individu lain dengan mudah, namun ia tidak mustahil.

Jika tindakan yang sama ditambah dengan amalan jarak sosial terus dilakukan oleh individu di segenap penjuru dunia, kita bakal menyaksikan penurunan kes sepesat ia sedang meningkat sekarang.

Kemudian, sehinggalah ke satu tahap, ia akan menunjukkan corak penurunan yang lebih kurang sama dengan kes influenza H1N1, virus Zika dan SARS.

Jangkitan tersebut masih wujud di persekitaran, namun kadar penularannya tidak tinggi seperti pada peringkat permulaan wabak.

3. Vaksin Dan Ubat Antiviral Tersedia Untuk Melawan Wabak Covid-19

Banyak syarikat di serata dunia sedang giat berusaha menyediakan vaksin dan ubat antiviral virus korona yang selamat digunakan oleh orang awam.

Gilead, salah sebuah syarikat farmasi terbesar di Amerika Syarikat, mempatenkan ubat antiviral remdesivir dan Malaysia merupakan salah satu negara yang akan menggunakan ubat tersebut dalam fasa ujian klinikal.

Syarikat-syarikat terkemuka di dunia seperti Johnson & Johnson dan Novavax juga sedang bertungkus lumus menyediakan vaksin wabak COVID-19.

Namun, walau secanggih mana pun teknologi, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun sebelum disahkan selamat untuk kegunaan kepada manusia, berikutan fasa ujian klinikal bagi vaksin mempunyai beberapa peringkat.

Saintis juga perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti keberkesanan dan kesan sampingan ubat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon