Sabtu, Februari 01, 2020

Apa Itu MERS-CoV, Punca, Simptom Dan Rawatannya


MERS, juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) yang bermula di Arab Saudi dan beberapa Negara Timur Tengah yang lain, mula dilaporkan WHO pada September 2012.

Apa Itu MERS-CoV

Sehingga 2 Disember 2016, sejumlah 1841 kes MERS- CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan di seluruh dunia melibatkan 27 buah negara, di mana 80% kes adalah dari negara Arab Saudi.

Individu dari seluruh dunia adalah berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah yang tinggi.

Tindakan berwaspada adalah diperlukan untuk mencegah jangkitan MERS-CoV.

Kes MERS DI MALAYSIA

Di Malaysia, satu (1) kes kematian yang disahkan dijangkiti MERS-CoV melibatkan seorang lelaki Melayu warga Malaysia berusia 54 tahun, berasal dari Batu Pahat, Johor.

Hasil siasatan mendapati, beliau baru pulang ke Malaysia dari mengerjakan umrah dan tiba di Malaysia pada 29 Mac 2014.

Pada 8-9 April 2014, beliau mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas.

Pada 10 April 2014, beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Keadaan beliau menjadi semakin tenat dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2014, jam 9:57 pagi.

Hasil siasatan mendapati punca kematian adalah Severe Pneumonia Secondary to MERS-CoV.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi potensi penularan jangkitan MERS-CoV di Malaysia di setiap peringkat fasiliti kesihatan.

Semua Pintu Masuk Antarabangsa di Malaysia juga telah mengedarkan 'Kad Amaran Kesihatan' (Health Alert Card – HAC) kepada pelawat yang tiba dari negara terlibat MERS-CoV yang mempunyai transmisi aktif seperti di negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea.

Disemua pintu masuk ketibaan (gate) Antarabangsa utama negara iaitu KLIA, pihak kesihatan telah mengedarkan kad HAC bagi penerbangan yang tiba secara terus dari negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea.

Tanda dan Gejala

MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut dalam kalangan manusia.

Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas.

Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia), namun jangkitan MERS-CoV adalah ringan.

Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical) (WHO (2015).

Punca Jangkitan

Menurut WHO, punca dan cara jangkitan bagi pesakit MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti.

Pihak WHO juga menegaskan, buat masa ini tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan MERS-CoV.

WHO juga tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.

Pencegahan

Orang awam yang ingin mengerjakan Haji/umrah di Tanah Suci atau mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah yang melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, hendaklah menitik beratkan perkara berikut:

1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan ( hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.

2. Semasa dalam tempoh mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.

3. Semasa dalam tempoh mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan, elakkan dari menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.

4. Mereka yang pulang ke Malaysia dari mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan ke Negara-negara yang terlibat, khususnya dari negara di rantau Timur Tengah dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask).

Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

Kesimpulan

Secara amnya, semua Jemaah Haji/Umrah mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus MERS-CoV ini.

Kerjasama pihak agensi pelancongan khususnya yang menguruskan Jemaah Haji/umrah adalah perlu agar dapat memperkukuhkan kesedaran mengenai kejadian jangkitan MERS-CoV melalui hebahan maklumat secara berterusan kepada para Jemaah Haji/umrah yang diuruskan.

Bagi tujuan ini, agensi terbabit dipohon untuk merujuk kepada nasihat kesihatan sebagaimana yang disarankan di atas.

Pemantauan oleh KKM mengenai situasi kejadian penyakit ini adalah perlu bagi pengambilan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

alhamdulillah..kembali dari Umrah, memang banyak ujian

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon