Wednesday, January 04, 2017

Bahaya Pneumonia, Jenis Dan Simptom Jangkitan Paru-paru


Pneumonia adalah penyakit jangkitan kuman di dalam paru-paru yang menyebabkan pesakit akan berasa letih dan sukar bernafas, membunuh lebih ramai kanak-kanak daripada penyakit lain, lebih tinggi berbanding AIDS, malaria dan demam campak (measles).

Pneumonia

Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami batuk berkahak yang teruk dan mengalambil masa yang lama, demam panas yang kuat dan pesakit mengalami rasa sukar bernafas.

Biasanya bagi pesakit dapat boleh dirawat di rumah dengan diberikan antibiotik dan insha ALLAH akan sembuh dalam masa seminggu.

Bagi pesakit yang telah berusia 60 tahun ke atas, kanak-kanak terutama bawah umur lima tahun dan pesakit diabetes, jangkitan kuman pada paru-paru selalunya mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Jika tidak dirawat dengan segera, jangkitan kuman dalam paru-paru boleh membawa maut.

Dalam beberapa kes di mana pesakit tidak dirawat dengan sempurna, pesakit akan mengalami komplikasi seperti mengalami nanah di bahagian paru-paru, mengalami kebocoran paru-paru, masalah pertukaran oksigen dalam paru-paru dan akhirnya membawa maut setelah beberapa minggu.

Pesakit perlu terus mengambil ubat antibiotik yang diberikan oleh doktor, rehat yang mencukupi, ubat demam dan minum air secukupnya.

Pastikan berjumpa doktor untuk pemeriksaan berkala sehingga pesakit benar-benar sembuh.

Namun, jika pesakit tiba-tiba mengalami sukar bernafas atau demam yang kuat, bawa terus ke hospital kerana mungkin mengalami komplikasi dalam paru-paru dan memerlukan rawatan di hospital dengan segera.

Tanda-tanda dan gejala Pneumonia

Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.

Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:
  • Demam panas
  • Batuk dengan atau tanpa kahak
  • Sakit dada
  • Tiada selera makan, tidak mahu makan
  • Rasa tidak sihat, sering merengek
  • Pernafasan laju atau susah bernafas
  • Muntah atau cirit-birit

Adakah jangkitan kuman Paru-paru (Pneumonia) ini serius?

Jangkitan kuman pada paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil.

Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.

Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
  • Pernafasan laju
  • Sukar untuk bernafas
  • Bibir menjadi biru
  • Batuk berdarah
  • Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing

Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?

Jenis rawatan Pneumonia bergantung kepada tahap jangkitan. Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini.

Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Untuk jangkitan Pneumonia yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.

Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:
  • Paracetamol
  • Rehat yang secukupnya
  • Minum air yang banyak
  • Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.
  • Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Bahaya Pneumonia Kepada Kanak-kanak

Di Malaysia, pneumonia dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun adalah penyebab kelima kematian dengan empat peratus kematian selain antara 28 peratus dan 40 peratus kemasukan ke hospital.



Pesakit Pneumonia boleh diselamatkan menerusi pengambilan vaksin dan ia bukan sesuatu yang mustahil dijadikan 'wajib' dalam imunisasi kebangsaan seperti vaksin kanser servik (HPV) yang diwajibkan untuk remaja perempuan.

Walaupun terdapat pelbagai kuman yang menyebabkan pneumonia menunjukkan simptom yang sama, kuman streptococcal peneumoniae paling bahaya, namun ia boleh dicegah menerusi pemberian vaksin pneumokokkal.

Vaksin pneumokokkal ada di Malaysia sejak tahun 2005, tetapi ia masih lagi belum dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.

Pada masa ini, vaksin itu hanya boleh didapati di hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta. Bagaimanapun, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mencegah pneumonia kini semakin meningkat dan kebanyakan daripadanya memilih untuk mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka

Lebih 55 negara sudah pun memasukkan jadual vaksin itu ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, termasuk Singapura, Macau, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

Kepentingan imunisasi vaksin ini juga dapat membantu imuniti kelompok yang menyediakan pertahanan sekumpulan individu daripada diserang penyakit, yang mana tujuh daripada 10 kanak-kanak yang mengambil vaksin boleh membantu tiga individu yang tidak mengambilnya.

Pengambilan vaksin pneumokokkal boleh diambil oleh bayi seawal usia dua bulan dan pengambilannya adalah selang masa 10 tahun.

Untuk pesakit yang sudah sembuh dari penyakit ini juga boleh mengambil suntikan vaksin. Mereka yang sudah mendapat vaksin ini jika terkena jangkitan sama pada masa akan datang biasanya hanya jangkitan ringan kerana tubuh mereka sudah ada ‘kubu’ pertahanan daripada kuman berkenaan.

Bagi mereka yang sudah dijangkiti pneumonia, ada kemungkinan mereka juga boleh mendapat jangkitan berulang sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan.

Kanak-kanak yang berisiko tinggi seperti sejarah asma dalam keluarga dan kelahiran pramatang, selain pendedahan di tempat sesak dan ramai orang, tempat berhabuk dan asap rokok turut meningkatkan risiko jangkitan

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman Pneumonia ini?

Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu.

Mengambil imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.

Contohnya:
  • Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara.
  • Vaksin influenza (untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan)
  • Vaksin pneumococcal (juga untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon