Saturday, April 27, 2019

Maksud Negara Dunia Pertama, Kedua Dan Ketiga

Maksud Negara Dunia Pertama, Kedua Dan Ketiga

Negara Dunia Pertama, Kedua Dan Ketiga adalah istilah yang merupakan suatu cara untuk mengkategorikan negara-negara dunia kepada tiga kumpulan berdasarkan pembahagian politik dan ekonomi.

 Negara dunia pertama, kedua, ketiga

Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, negara-negara Eropah Barat dan sekutunya mewakili Dunia Pertama manakala Kesatuan Soviet, China, Cuba dan sekutu mereka mewakili Dunia Kedua.

'Tiga dunia'

Ketika zaman Perang Dingin antara April 1975 dan Ogos 1975.
  1. Dunia Pertama: Amerika Syarikat, United Kingdom dan sekutu mereka.
  2. Dunia Kedua: Kesatuan Soviet, China dan sekutu mereka.
  3. Dunia Ketiga: Negara-negara yang neutral dan berkecuali.

Dikritik

Walau bagaimanapun, teori tiga dunia ini telah dikritik kerana bersifat mentah dan agak ketinggalan zaman kerana konsep turutan nominalnya (1; 2; 3), maka pakar sosiologi kini telah menggunakan kata-kata "maju", "membangun" dan "mundur" sebagai istilah yang lebih sesuai menggambarkan susun lapis dunia—namun, teori ini masih popular digunakan dalam kesusasteraan dan media kontemporari.

Hal ini mungkin juga menyebabkan kepelbagaian semantik istilah antara penggambaran entiti politik sesebuah kawasan dengan para penduduknya.

Negara Dunia Pertama

Blok Kapitalis atau 'negara dunia pertama' merujuk kepada negara-negara yang mengamalkan sistem kapitalis, turut dikenali sebagai Blok Barat.

Dua kuasa besar yang berpihak pada Blok Barat ialah Amerika Syarikat dan Great Britain.

Negara Dunia Kedua

Dunia Kedua (Second World) meliputi negara-negara sosialis yang maju (secara rasminya Blok Timur) yang sebahagian besarnya berada di bawah pengaruh Kesatuan Soviet.

Terdapat 19 buah negara komunis berikutan Perang Dunia Kedua, di mana hanya lima buah negara sosialis sahaja yang tinggal selepas kejatuhan Kesatuan Soviet iaitu China, Korea Utara, Cuba, Laos dan Vietnam.

Istilah ini digunakan bersama-sama dengan 'Dunia Pertama' dan 'Dunia Ketiga' untuk membahagikan negara-negara kepada tiga kategori yang luas.

Konsep 'Dunia Kedua' ini diwujudkan sewaktu Perang Dingin dan masih digunakan sebahagian besarnya untuk menggambarkan negara-negara bekas komunis yang berada antara kemiskinan dan kemakmuran, namun banyak daripadanya sekarang merupakan negara kapitalis.

Negara Dunia Ketiga

Istilah 'Dunia Ketiga' (Third World) muncul semasa Perang Dingin untuk merujuk kepada baki negara yang kekal tidak memihak dengan NATO mahupun Blok Komunis.

Bahagian Dunia ini dilihat termasuk banyak negara dengan sejarah penjajahan di Afrika, Amerika Selatan, Oceania and Asia.

Dunia Ketiga turut dikaitkan dengan negara-negara yang berada dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Dalam teori kebergantungan (dependency theory) yang dipelopori pemikir seperti Raúl Prebisch, Walter Rodney, Theotonio dos Santos dan Andre Gunder Frank, Dunia Ketiga ini juga dikaitkan dengan pembahagian ekonomi dunia di mana sistem dunia yang terbahagi ini terdiri daripada "negara-negara teras" (core countries) yang menguasai "negara-negara pinggiran" (periphery countries).

Disebabkan oleh sejarah kompleks berkembang makna dan konteks ini, tidak ada pentakrifan yang jelas atau dipersetujui mengenai Dunia Ketiga.

Ada beberapa negara dalam Blok Komunis seperti Cuba yang sering dianggap sebagai "Dunia Ketiga".

Keadaan ekonomi banyak negara Dunia Ketiga yang lemah dan tidak maju menyebabkan wujudnya stereotaip bahawa negara-negara miskin dirujuk sebagai "negara-negara dunia ketiga", namun lingkungan "Dunia Ketiga" ini juga sering termasuk negara-negara industri yang baru seperti Brazil, India dan China yang sekarang ini disebut sebagai sebahagian daripada "gabungan BRIC" (Brazil, Rusia, India dan China).

Dari segi sejarahnya, terdapat beberapa negara Eropah berkecuali daripada mana-mana blok politik yang mempunyai tahap ekonomi yang sangat makmur termasuk Ireland, Austria, Sweden, Finland dan Switzerland.

Beberapa dekad sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dan berakhirnya Perang Dingin, istilah Dunia Ketiga digunakan secara bertukar-tukarnya dengan negara-negara yang kurang membangun serta yang sedang membangun, namun konsep ini dengan sendirinya telah dianggap lapuk pada beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia tidak mewakili keadaan politik atau ekonomi dunia semasa.

Penamaan

Istilah Dunia Ketiga dicipta Alfred Sauvy, seorang ahli demografi, ahli antropologi dan sejarawan Perancis dalam satu rencana majalah L'Observateur yang ditulisnya pada 14 Ogos 1952 (istilah asal dalam Bahasa Perancis: Tiers Monde) untuk merujuk kepada negara-negara yang tidak memihak kepada blok Soviet yang berfahaman Komunis mahupun blok NATO yang berfahaman Kapitalis sewaktu Perang Dingin.

Ia merupakan gaya pengibaratannya kepada Estet Ketiga iaitu masyarakat awam yang menentang Estet Pertama pimpinan para agamawan dan Estet Kedua pimpinan pemerintahan beraja Perancis sewaktu sebelum dan semasa Revolusi Perancis.

Sauvy menulis bahawa "dunia ketiga ini yang diabaikan, dipergunakan dan dibenci sepertimana estet ketiga juga mahu menjadi sesuatu."

Beliau memberikan gambaran konsep keberkecualian politik dengan blok kapitalis atau blok komunis.

Bantuan pembangunan

Pada masa Perang Dingin, negara-negara dalam blok ini dipandang sebagai sekutu berpotensi oleh Dunia Pertama dan Kedua.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba-lumba membina hubungan dengan menawarkan bantuan ekonomi dan ketenteraan demi mendapat sekutu strategik (misalnya Amerika Syarikat di Vietnam atau Soviet Union di Cuba).

Pada penghujung era Perang Dingin, banyak negara Dunia Ketiga yang menggunakan model ekonomi kapitalis atau komunis dan terus dibantu oleh pihak yang dipilih negara-negara ini.

Sepanjang berlakunya tempoh Perang Dingin dan sesudahnya, negara-negara Dunia Ketiga menjadi penerima bantuan luar negara Barat dan pembangunan ekonomi melalui teori-teori arus utama seperti teori modenisasi dan teori kebergantungan.

Pada akhir 1960-an, gagasan Dunia Ketiga mewakili negara-negara Afrika, Asia dan Amerika Latin yang dianggap berkembang oleh Barat berdasarkan sejumlah faktor (pembangunan ekonomi rendah, taraf hidup rendah, tahap kemiskinan dan penyebaran penyakit tinggi dan sebagainya).

Negara-negara ini menjadi sasaran bantuan negara-negara yang lebih kaya (pemerintahan, LSM dan individu).

Model tahap pertumbuhan Rostow berpendapat bahawa pembangunan terjadi dalam lima tahap (masyarakat tradisional; menjelang lepas ambang; lepas ambang; kedewasaan ekonomi; tingginya kepenggunaan khalayakl).

W. W. Rostow berpendapat bahawa "lepas ambang" adalah tahap penting yang belum dicapai oleh dunia ketiga.

Lantas, bantuan luar negara diperlukan untuk mendorong industrialisasi dan pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tersebut.

Malaysia Negara Dunia Ketiga

Malaysia adalah sebuah negara Dunia Ketiga. Maka adalah adil untuk saya menerangkan sejelas mungkin kepada para pembaca apakah itu negara Dunia Ketiga dan Malaysia dimasukkan ke dalam bakul Dunia Ketiga.

Pencerahan ini saya harapkan akan mendewasakan pandangan politik kita. Akan membolehkan kita membaca politik dan siasah negara Dunia Ketiga termasuk Malaysia.

Pertama-tama, jangan sesekali tersilap faham, tersilap baca - hanya kerana Malaysia ada bangunan KLCC maka Malaysia dianggap sebagai sebuah negara maju.

Kerana Malaysia ada elektrik dan air paip maka Malaysia negara maju. Kerana ramai warganya menggunakan telefon bimbit maka Malaysia ini bukan negara Dunia Ketiga.

Kerana Malaysia ada kereta Proton dan ada Lebuh Raya Plus maka Malaysia bukan negara Dunia Ketiga. Semua ini tidak betul.

Bangunan tinggi, kereta, telefon bimbit, elektrik atau lebuh raya bukan satu ukuran untuk menilai sesebuah negara itu.

Semua ini adalah benda dan barangan luaran yang dapat dilihat dan dapat dipegang. Benda-benda ini kita panggil infrastruktur atau struktur luaran.

Struktur ini ada di mana-mana dalam dunia ini. Di Dubai, di India, di Tanzania ada jalan raya, ada elektrik tetapi ini bukan bermakna negara ini bukan negara Dunia Ketiga.

Dalam memahami politik sesebuah negara, yang wajib dilihat ialah apa dalaman negara itu.

Melihat luaran sesebuah negara itu samalah seperti pelancong melihat Kuala Lumpur sepintas lalu. Para pelancong ini hanya melihat infrastruktur tetapi gagal melihat 'superstructure'.

Apa itu 'superstructure'?

Superstruktur adalah lembaga-lembaga daulah, jentera daulah, politik, budaya warga, tahap fikrah warga, kesedaran sosial dan tanggungjawab warga.

Apa yang jelas semua ini adalah perkara-perkara yang tidak dapat dilihat, dipegang atau dilukis. Tetapi inilah asas sesebuah negara bangsa. Inilah asas terdirinya sebuah negara.

Jika Malaysia ini ditakrif sebagai negara Dunia Ketiga, apa pula negara Dunia Pertama dan negara Dunia Kedua?

Dalam takrifan politikal ekonomi negara Dunia Pertama ialah Amerika Syarikat dan Rusia. Inilah dua negara super yang memiliki kekuatan ekonomi dan bala tentera.

Negara Dunia Kedua ialah negara-negara Eropah Barat. Selain dari itu, semua negara Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur adalah negara Dunia Ketiga.

Paling jelas, ciri dan watak pertama negara Dunia Ketiga ini wujud atau diwujudkan oleh kuasa kolonial.

Negara penjajah seperti Belanda, Sepanyol, Portugis dan British telah mewujudkan negara-negara Dunia Ketiga ini. Secara jelas negara Asia, Afrika dan Amerika Latin – kesemuanya wujud pascakolonial.

Tanah Melayu, Malaya atau Malaysia diwujudkan oleh British. Tanah Melayu wujud atas runtuhan kerajaan Melayu Melaka. Begitu juga Indonesia diwujudkan oleh Belanda atas keruntuhan kerajaan Jawa Majapahit.

Apa yang jelas pertembungan anak tanah jajahan dengan kuasa kolonial telah melahirkan Dunia Ketiga.

Umum mengetahui bahawa kuasa kolonial menjajah dengan tujuan untuk menjarah ekonomi, memunggah hasil mahsul, merompak bahan galian, emas, perak, bijih dan minyak.

East India Company yang mendahului Baginda Queen telah datang ke Tanah Melayu untuk mencari harta kekayaan.

Apabila mereka berundur maka Britian telah meninggalkan kuasa pentadbiran kepada budak suruhan yang setia untuk menjamin harta kekayaan British – ladang getah dan lombong bijih - akan terus selamat.

Justeru United Malays National Organisation telah dipilih sebagai budak suruhan yang setia.

Perkara yang sama berlaku di India, di Afrika, di Kepulauan Indies Barat dan di negara-negara Timur Tengah termasuk Iran.

Paling jelas untuk memahami hakikat ini ialah melihat begitu banyak negara-negara Arab Teluk diwujudkan oleh British sebelum atau sesudah Perang Dunia Kedua.

Negara Dunia Ketiga memiliki beberapa lagi watak dan perangai yang mengabsahkan kedudukan mereka. Semua watak dan perangai dikongsi bersama.

Di Nigeria, di Kenya, di Indonesia atau di Malaysia, watak, pola dan ciri Dunia Ketiga ini jelas.

Ciri dan pola inilah yang memberi takrifan bahawa Malaysia ini adalah negara Dunia Ketiga.

Asas ekonomi negara Dunia Ketiga ialah mengeksport bahan mentah. Negara Dunia Ketika bukan negara pengeluar tetapi negara pengguna.

Ekonomi negara Dunia Ketiga bergantung kuat dengan ekonomi negara Pertama dan Kedua. Ekonomi negara Dunia Ketiga adalah ekonomi ekor – mengekor keperluan negara Pertama dan Kedua.

Justeru, kerana asas ekonomi yang lemah dan bergantung maka dalam negara Dunia Ketiga semua lembaga-lembaga daulah lemah.

Lembaga daulah seperti badan kehakiman, SPR, SPRM, media, polis, tentera, raja, al-malik atau sheikh semuanya gah dalam bentuk tetapi kosong dan hampeh.

Lembaga-lembaga daulah yang lemah menjemput rasuah. Justeru rasuah adalah ciri yang amat penting dalam negara Dunia Ketiga. Kesemua negara Dunia Ketiga mengamalkan rasuah dalam pelbagai bentuk.

Badan kehakiman, polis, pegawai kerajaan dan apa saja lembaga daulah yang diwujudkan 'boleh dibeli'.

Malah ada lembaga-lembaga ini diwujudkan untuk menjadi lukah dan jerat sebagai cara untuk mengambil duit rasuah.

Cara rasuah berjalan dan tujuan pemberian rasuah ini sama sahaja. Yang berbeza hanyalah rasuah dilakukan dengan dinar, ringgit, rupiah, dolar atau riyal.

Negara Dunia Ketiga semuanya mengakui menjalankan sistem demokrasi. Ada demokrasi berparlimen, ada yang menggunakan sistem presiden, ada yang menggunakan sistem Persekutuan, ada negara raja berperlembagaan.

Dari buku rujukan semuanya memang indah, di Kenya ada pilihan raya. Di Pakistan juga ada pilihan raya.

Tetapi sistem pilihan raya dalam negara Dunia Ketiga semuanya tipu. Pilihan raya itu hanya prosedur sahaja. Bukan satu proses memperkasa warga. Bukan menjalankan pemilihan mengikut suara ramai. Pilihan raya dalam negara Dunia Ketiga hanya sandiwara.

Dalam negara Dunia Ketiga jika pilihan raya itu boleh menukar kerajaan maka pilihan raya itu akan diharamkan. Tak percaya?

Apa itu prosedur demokrasi yang sering di paparkan?

Negara+Dunia+Ketiga

Prosedur demokrasi ini adalah salah satu watak penting Dunia Ketiga. Segala lembaga dan peraturan demokrasi wujud tetapi semuanya hampeh tidak boleh dipakai.

Prosedur, lembaga dan kaki tangan wujud tapi kosong. Inilah garis pemisah negara Dunia Kedua dengan negara Dunia Ketiga.

Contoh yang paling baik untuk kita memahami apa itu prosedur demokrasi dalam Dunia Ketiga ialah kita membuka mata melihat apa yang pernah berlaku di Selangor dan yang terkini, di Johor.

Kerajaan Selangor ditubuhkan melalui PRU13. Ini prosedurnya. Menteri besar dan exco dipilih dari parti yang memiliki suara terbanyak. Ini prosedurnya. MB dan exco yang dipilih oleh undian ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Ini prosedurnya.

Nama-nama yang diundi akan dimaklumkan kepada sultan. Ini prosedurnya.

Semua prosedur akan berjalan baik jika kepentingan kaum pemodal, para perasuah, agen jual kontrak, pencari kontrak tidak tergugat.

Apabila kepentingan ini tergugat maka kita akan melihat demokrasi ini hanya berak lembu. Ini satu watak demokrasi dalam negara Dunia Ketiga.

Tetiba warga Selangor dan rakyat Malaysia diberitahu sultan mahu nama bakal MB Selangor. Ini demokrasi hampeh namanya.

Hampeh kerana Pakatan Rakyat telah memilih sosok yang wajib dinobatkan sebagai MB Selangor. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi suara terbanyak wajib dinobatkan.

Dr Wan Azizah Ismail mendapat sokongan 30 ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. Ini jumlah majoriti. Tetapi dalam negara Dunia Ketiga ini tidak berlaku.

Tetiba dunia diberitahu sultan akan memilih. Perbuatan sultan memilih siapa MB Selangor yang baru ini adalah contoh prosedur demokrasi.

Dari sini maka timbullah soalan hakiki untuk kurun ini. Soalan yang tidak ada jawapan tetapi soalan yang akan mendidik kita semua untuk mengabsahkan bahawa Malaysia ini adalah negara Dunia Ketiga.

Jika sultan yang memilih siapa yang akan menjadi MB Selangor atau siapa yang menjadi PM Malaysia, mengapa kita menghabiskan duit, masa dan tenaga membuat pilihan raya.

Kenapa dari awal lagi tidak kita serahkan nama si polan dan si polan untuk sultan membuat pilihan. Kenapa kita terus berberak lembu kepada orang ramai.

Ops, maaf, berak lembu inilah yang membuktikan bahawa Malaysia ini negara Dunia Ketiga.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4

CuepacsPA Tawar Insuran Perlindungan Maksimum RM440,000 Serendah RM6 Sebulan Untuk Penjawat Awam

CuepacsPA Tawar Insuran Perlindungan Maksimum RM440,000 Serendah RM6 Sebulan Untuk Penjawat Awam

MyCuepacsCare dengan kerjasama Zurich General Takaful Malaysia Bhd. (Zurich) menawarkan perlindungan takaful CuepacsPA mampu milik untuk semua penjawat awam di Malaysia, menawarkan perlindungan sehingga RM440,000 kepada penjawat awam sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan.

CuepacsPA insuran nyawa penjawat awam

Perlindungan CuepacsPA adalah selaras dengan hasrat CUEPACS untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful melalui pelancaran Program Mentakafulkan Penjawat Awam Melalui MyCuepacsCare oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

CuepacsPA menawarkan perlindungan maksimum sehingga RM440,000 dengan kadar sumbangan serendah RM6 dan RM12 sebulan.

Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi sebagai penjawat awam, mereka boleh merancang bagaimana untuk menghadapi kemalangan itu dengan perlindungan sewajarnya, demi meningkatkan kesejahteraan warga penjawat awam.

Berikut merupakan beberapa sebab CuepacsCare dan CuepacsPA merupakan pelan takaful terbaik untuk penjawat awam di Malaysia:

1. Caruman bulanan rendah dan mampu dimiliki

Sumbangan bulanan untuk CuepacsCare adalah pada kadar serendah RM32 untuk individu dan RM85 bagi pakej keluarga.

Melalui CuepacsCare, pemegang polisi dan ahli keluarga layak untuk mendapat rawatan penghospitalan dan pembedahan di lebih 70 hospital pakar swasta di seluruh negara.

Sumbangan bulanan untuk CuepacsPA pula adalah serendah RM6 dan RM12 sebulan bagi setiap pemohon dan pasangan.

CuepacsPA turut melindungi anak-anak pemohon dengan kadar caruman sekitar RM1.59 hingga RM6.36 bergantung kepada umur.

2. Perlindungan komprehensif dan lengkap

Pada kadar RM32 dan RM85 sebulan untuk CuepacsCare, setiap pencarum dan ahli keluarga boleh mendapatkan rawatan penghospitalan dan pembedahan di hospital pakar swasta.

Jumlah perlindungan yang diberikan ialah RM40,000 setahun untuk pelan individu dan RM60,000 untuk pelan keluarga.

Jenis rawatan pula meliputi kemalangan, pembedahan, rawatan dialisis buah pinggang, kanser dan penyakit.

Untuk CuepacsPA, setiap kematian akibat kemalangan sebagai penumpang di dalam kenderaan pengangkutan awam berlesen akan diberikan pampasan sehingga RM440,000 secara one-off.

Untuk kematian akibat pengangkutan sendiri, pampasan yang diberikan sehingga RM220,000. Untuk lain-lain kemalangan boleh rujuk kepada rajah berikut:

Keistimewaan CuepacsPA

3. Mudah disertai dan digunakan

CuepacsCare dan CuepacsPA amat mudah disertai oleh penjawat awam. Mereka boleh mendaftar secara online melalui laman www.cuepacscare.my/registration atau menerusi lebih 500 wakil pemasaran MyCuepacsCare di seluruh negara.

Selain itu, difahamkan terdapat lebih 300 wakil pemasaran di seluruh negara bagi memudahkan penjawat awam mendaftar.

Bayaran bulanan pula adalah secara potongan gaji melalui Biro Angkasa.

Cara penggunaan CuepacsCare pula amat mudah dengan hanya menunjukkan kad CuepacsCare semasa urusan kemasukan untuk mendapatkan surat jaminan.

Semasa urusan keluar, bil hospital akan ditanggung oleh CuepacsCare dan anda boleh pulang ke rumah dengan tenang.

Untuk bantuan dan maklumat lanjut, peserta CuepacsCare dan CuepacsPA boleh menghubungi CuepacsCare melalui laman web, www.cuepacscare.my

4. Lain-lain keistimewaan CuepacsCare dan CuepacsPA boleh rujuk pada rajah di bawah

CuepacsCare

Insuran Penjawat Awam
Insuran Penjawat Awam

CuepacsPA

Insuran Penjawat Awam
Insuran Penjawat Awam

Jadi, tunggu apa lagi. Sebagai penjawat awam, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan Takaful CuepacsCare dan CuepacsPA.

Jika takaful ini dibuka kepada pekerja di sektor swasta, sudah tentu ia menjadi rebutan kerana keistimewaannya dan caruman yang mampu milik.

Penjawat awam yang mahu menyertai boleh mendaftar secara online melalui laman web www.cuepacscare.my/registration atau menerusi lebih 500 wakil pemasaran MyCuepacsCare di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

SBDJ Siri 55: Mamat Bukit Yang Gagah

SBDJ Siri 55: Mamat Bukit Yang Gagah

Saya dan Datuk berpandangan, tahulah kami sebelum kami tiba ke situ, mereka terlebih dahulu sampai. "Lagi apa yang kau dapat?", tanya Mamat Bukit pada Dollah Beranggas sambil merenung muka Samad Perang.

Mamat Bukit Yang Gagah

Mereka berbalas senyum. Dengan tenang Dollah Beranggas mengeluarkan seluar dan baju kelabu yang ada tanda tentera di dadanya. Dia juga mengeluarkan beberapa kerongsong peluru.

"Ini baju dan seluar dalam perempuan. Aku jumpa tiga keping gambar”, Dollah memberikan gambar-gambar itu pada Datuk.

Habis saja Datuk melihatnya diserahkan pada saya.

Saya lihat gambar itu dengan tenang, dua keping gambar menunjukkan dua orang lelaki bersama keluarganya, manakala yang sekeping lagi gambar seorang gadis bersama orang tuanya. Saya kira lelaki tua itu ayahnya.

"Saya fikir barang-barang ni membahayakan diri kita. Kalau kita tertembung dengan orang dalam (komunis) kita akan ditahan dan kita tak boleh mencari rotan di sini”, ujar Mamat Bukit.

"Apa yang nak ditakutkan? Kita jumpa dari bangkai kapal terbang. Orang dalam tu sendiri tentu sudah jumpa lebih dahulu dari kita. Aku ingat orang-orang yang ada di dalamnya sudah dibunuh”, Dollah Beranggas bersuara.

Dia terus memberitahu Datuk yang dia dan kawan-kawannya pernah melihat sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng, kemudian terus hilang.

"Aku melihatnya dari Kampung Cangkat pada satu petang kira-kira tiga bulan yang lalu, dan sekarang kita sudah jumpa”, tambah Dollah Beranggas lagi.

Dia enggan memenuhi permintaan Mamat Bukit yang mahu semua barang-barang itu dibakar.

"Demi keselamatan diri kita, ada baiknya kita bakar”, kata Datuk.

Dan cakap Datuk itu segera dipatuhi. Selepas menunaikan sembahyang Maghrib, semua barang-barang itu jadi bahan unggun api.

Rasa sedih dan hampa terbayang di wajah Samad Perang dan Dollah Beranggas.

Kira-kira dua belas malam, bangsal tempat kami berteduh bergegar, macam digoncang orang.

Datuk yang sedang wirid membaling tasbih segera membangunkan Mamat Bukit dan Mamat Bukit memerintahkan kawan-kawannya memeriksa setiap penjuru bangsal.

Tidak terdapat tanda-tanda kesan orang atau binatang liar yang datang ke situ. Keadaan begini mendatangkan rasa cemas di hati saya.

"Tiga batang rotan semambu saya hilang”, Datuk mengadu kepada Mamat Bukit yang masih tercegat di depan bangsal. Wajah Mamat Bukit saya lihat cemas sedikit.

"Di mana awak letak?"

"Saya letak dekat hujung lutut."

"Awak dah cari?"

"Nak cari apa, masa bangsal ni bergoyang rotan semambu masih ada lagi di situ tak sampai seminit rotan semambu itu hilang dari mata.

Mamat Bukit terdiam mendengar penjelasan dari Datuk.

Dengan lampu picit berubat (bateri) lapan, Mamat Bukit menyuluh tempat Datuk meletakkan rotan semambunya.

Datuk menepuk dahi dua tiga kali, rotan semambunya masih berada di situ. Bila Datuk mahu menjamahnya, Mamat Bukit segera menahannya.

“Jangan, kita tengok dulu”, kata Mamat Bukit tanpa mengubah pancaran cahaya lampu picit nya.

Tiga batang rotan semambu itu bergerak-gerak dan bertukar warna dari hijau menjadi merah, hitam dan kuning macam tembaga.

Dalam beberapa saat pula bertukar menjadi ular tedung yang kepalanya menghala pada kami.

Mamat Bukit terus melompat dan menyambar ranting pokok berdaun hijau di sisinya.

Daun dan ranting dihumbankan pada rotan semambu yang menjadi ular.

Ketika ranting dan daun hijau mengenai rotan semambu, saya terlihat satu pancaran cahaya macam kilat yang datang dari arah kanan bangsal, rotan semambu milik Datuk kembali pada keadaan asalnya.

“Ganjil”, kata Datuk.

"Ganjil pada awak, pada kami tidak. Hal semacam itu selalu terjadi pada pencari rotan”, dedah Mamat Bukit lalu mengajak saya dan Datuk duduk berlonggok dengan kawan-kawannya.

"Kalau awak nak tahu itulah penunggu rotan”, tiba-tiba Udin Candung bersuara.

Kata-kata itu ditujukan pada Datuk.

"Itu syaitan”, balas Datuk.

"Bukan. Itu penunggu”, sahut kawan-kawan Mamat Bukit serentak.

Mereka seolah-olah tidak mahu menerima dengan apa yang diucapkan oleh Datuk.

Saya lihat Datuk tersenyum. Dia tidak marah bila orang tidak mahu menerima pendapatnya.

Kerana takut berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, satu keputusan telah diambil.

Semua yang ada di situ tidak boleh tidur serentak.

Datuk terkecuali dari keputusan itu kerana dia sudah pun tidur selepas menunaikan sembahyang Isyak, kira-kira dua jam lamanya.

Sekarang, Datuk memutuskan untuk berjaga sampai pagi sambil membaca ayat-ayat suci.

"Awak boleh pilih sama ada mahu berjaga atau tidur”, kata Mamat Bukit pada saya sambil tersenyum.

Kerana memikirkan berjaga lebih selamat dari tidur, saya memutuskan untuk berjaga macam Datuk.

Ternyata Mamat Bukit senang dengan keputusan itu.

"Kau orang tidur dulu, biar aku sama Dollah Beranggas berjaga. Bila aku kejut kau orang mesti bangun”, beritahu Mamat Bukit pada Udin Candung dan Samad Perang.

Tidak ada bantahan daripada orang yang menerima arahan. Udin Candung dan Samad Perang pun merebahkan badan masingmasing.

Sudah setengah jam masa berlalu. Dollah Beranggas tidak mampu berjaga. Atas rasa kasihan Mamat Bukit mengizinkan Dollah Berangas tidur.

Tinggallah saya dan Mamat Bukit menghadapi unggun api.

Datuk tidak menghiraukan kami, dia tetap dengan tugasnya membilang tasbih dan membaca ayat-ayat suci dalam bangsal.

Saya terhibur dengan cerita-cerita yang diungkapkan oleh Mamat Bukit tentang pengalaman-pengalaman aneh yang dialaminya ketika bermalam dalam hutan.

Semua cubaan dan rintangan itu dapat diatasinya.

Berdasarkan pada cerita-cerita itu, saya segera membuat kesimpulan bahawa Mamat Bukit bukanlah calang-calang orangnya.

Menurutnya, gelaran Bukit di hujung namanya itu diberi oleh penduduk-penduduk kampungnya kerana kepandaiannya menguasai puncak bukit serta tahu nama-nama bukit di daerahnya.

Memang seronok bercakap atau berborak dengan Mamat Bukit, masa yang berlalu tidak terasa sama sekali.

"Cahaya”, jerit saya bila melihat cahaya api itu datangnya dari salah satu puncak gunung dari barisan Banjaran Titiwangsa.

Saya perhatikan cahaya itu menuju ke arah kami.

"Bertenang”, bisik Mamat Bukit pada saya.

Mamat Bukit pun bangun. Berdiri sambil merenung tajam ke arah cahaya itu. Dia meluruskan tangan kanannya ke arah cahaya itu.

Kelima-lima jarinya terkembang macam menahan sesuatu. Dalam beberapa detik kelima-lima jarinya bergerak macam orang memulas buah kelapa.

"Puhhhhhh...”, katanya sekuat hati.

Saya lihat cahaya sebesar bola tenis bagaikan pecah, berserakan di udara dan akhirnya hilang entah ke mana.

Dahi Mamat Bukit berpeluh dan dia terus jatuh. Dalam beberapa minit saja dia bangun kembali.

Mungkin kerana kedinginan dia terus merapatkan badannya ke unggun api. Datuk masih lagi dengan tugasnya.

Dengkur kawan-­kawan yang tidur bertambah kuat. Lagi sekali saya terkejut, apabila seekor lembu jantan berwarna putih berdiri di sebelah kanan Mamat Bukit, sambil ekornya memukul badannya.

Bila Mamat Bukit bergerak, lembu itu dengan tiba-tiba bersuara, jadi marah dan merenung ke arah saya dan Mamat Bukit.

Belum pun sempat saya dan Mamat Bukit berbuat sesuatu, lembu itu terus mengelilingi unggun api beberapa kali.

Akhirnya, lembu itu naik minyak dan menyerang apa saja yang terdapat di sekelilingnya. Dua tiga kali lembu itu mahu melanggar saya.

Kalau tidak kerana kecekapan Mamat Bukit mempertahankan diri saya dengan gerak dan langkah silatnya yang tangkas, sudah pasti badan saya hancur dipijak lembu tersebut.

"Kau ke sana”, Mamat Bukit menolak badan saya dari berpaut padanya.

Saya terdorong agak jauh juga dari unggun api. Rupanya Mamat Bukit menggunakan kepintarannya, dengan berbuat demikian lembu yang sedang naik minyak itu akan menyerang saya.

Dalam saat begitu memberi kesempatan pada Mamat Bukit melakukan sesuatu.

Ketika lembu itu memburu saya, Mamat Bukit terus menyambar ekor lembu dan terus dipulasnya dengan sekuat hati.

Mamat Bukit dan lembu memperadukan tenaga. Dalam pertarungan itu Mamat Bukit lebih hebat, lembu itu tidak terdaya menarik batang tubuh Mamat Bukit.

Lembu itu terus jatuh dan hilang, tanah tempat lembu itu jatuh berasap dan berlubang.

Seluruh badan Mamat Bukit dibasahi peluh dan nafasnya tercungap-cungap.

"Tempat ni memang keras”, rungut Mamat Bukit sambil merenung lubang yang berasap.

Sebelum saya mengajukan sebarang pertanyaan pada Mamat Bukit, lubang yang berasap itu terus menjadi rata tanpa meninggalkan sebarang kesan.

"Saya mesti mengadakan semah atau jamuan di tempat ini”, Mamat Bukit lalu menandakan tempat itu dengan sebatang kayu yang bercabang dua.

Salah satu cabang itu Mamat Bukit ikatkan dengan kain warna hitam.

Mamat Bukit terus duduk bersila di situ, badannya terus menggeletar, suaranya juga berubah parau dan kasar, kemudian bertukar macam suara orang perempuan.

Mamat Bukit terus menghempas-hempaskan badannya di bumi, macam ayam kena sembelih.

Kelakuan Mamat Bukit itu mengejutkan kawan-kawannya yang sedang tidur. Mereka terus menerkam ke arah Mamat Bukit yang tidak sedarkan diri.

Samad Perang terus mencangkung di depannya.

"Hai Datuk penunggu, kenapa anak cucu yang mencari makan di sini diganggu?”, kata Samad Perang.

Mamat Bukit yang berguling-guling atas tanah berhenti berguling, terus duduk mencangkung sambil menekankan mulutnya ke bumi. Saya lihat bibirnya penuh dengan tanah.

"Datuk mahu makan? Boleh kami beri”, sambung Samad Perang.

"Ya, kambing jantan warna putih, disembelih, tujuh sikat pisang emas”, balas Mamat Bukit dalam suara seorang perempuan, Mamat Bukit terus menggilai.

"Lagi apa tuk penunggu mahu?"

"Adakan jamuan itu pada tiap-tiap tahun, nanti kau orang senang mencari rezeki di sini."

"Baik Datuk penunggu."

"Ingat pesan aku."

Begitulah lebih kurang percakapan Samad Perang dengan penunggu rotan yang meresap ke dalam diri Mamat Bukit.

Bila percakapan itu selesai, Mamat Bukit pun pulih seperti biasa. Datuk tidak campur tangan dalam urusan tersebut.

Pagi itu, setelah Datuk menunaikan sembahyang Subuh serta mandi embun, barulah Datuk bertanya pada Mamat Bukit tentang peristiwa yang dialaminya pada sebelah malam.

Datuk mengakui tentang kehebatan Mamat Bukit, menurut Datuk kalau calang-calang orang tidak mungkin boleh berhadapan dengan kejadian yang aneh itu.

Nampaknya Mamat Bukit kurang senang dengan pujian yang diberikan oleh Datuk.

"Saya buat apa yang saya tahu”, beritahu Mamat Bukit pada Datuk.

"Dari mana kau belajar semuanya ini Mamat?"

"Dari arwah orang tua saya."

"Cuma ada satu saja yang cacatnya dalam perkara ini."

Saya lihat muka Mamat Bukit segera berubah. Dia bagaikan terkejut menerima kata-kata Datuk yang tidak diduga sama sekali terkeluar dari mulut Datuk.

Dengan pandangan yang tajam dia merenung muka Datuk lama-lama.

"Apa maksud dengan cacat yang awak katakan?”, soal Mamat Bukit.

"Saya tahu, ayah awak memang handal di hutan, saya berkawan dengannya. Saya merasa megah kerana awal sedikit sebanyak dapat ilmu darinya.”

"Lagi?"

"Sejak semalam saya belum melihat awak bersembahyang sebagai tanda bersyukur pada pemberianNya, awak menerima rezekiNya, tapi awak tidak pernah mengingatinya.

"Maafkan saya kalau tersinggung, sebagai seorang Islam saya cuma mengingatkan awak. Saya tidak memaksa”, dengan tenang Datuk bersuara. Mamat Bukit tersenyum.

Dan Mamat Bukit tidak mahu memperkatakan perkara yang Datuk sebutkan itu.

Dia mengalih persoalan pada penunggu rotan semambu yang mahukan kambing putih, secara tidak langsung dia membebankan masalah itu pada diri Datuk.

Cara halus dia seolah-olah mahukan Datuk mengadakan kambing putih itu.

Datuk yang mengerti dengan tujuan dan maksud Mamat Bukit itu, menolak permintaan itu dengan secara terhormat.

Dan Mamat Bukit pula tidak merasa hampa atau kecewa dengan sikap Datuk itu, malah kalau Datuk tidak mahu mengadakan, dia sendiri akan berusaha hingga perkara yang dijanjikannya itu pasti terlaksana.

“Usahlah buat kerja membazir tu Mamat. Itu perbuatan syaitan”, kata Datuk dengan tenang. Mamat Bukit gelengkan kepala beberapa kali.

“Ini janji.”

“Janji dengan Syaitan.”

“Tidak, dengan penunggu”, suara Mamat Bukit mula meninggi.

Matanya merah merenung muka Datuk dan kawan-kawannya juga merasa kurang senang dengan tindak-tanduk Datuk itu.

Dollah Beranggas menghampiri Datuk. Dua kali bahu kanan Datuk ditepuknya.

“Awak tak usah masuk campur, ini urusan kami selesaikan sendiri”, kata Dollah Beranggas.

“Tapi perbuatan itu tak kena pada tempatnya, bertentangan dengan hukum agama Islam.”

“Awak tahu, bila hajat penunggu ditunaikan, rotan akan menjadi-jadi dan rezeki kami akan bertambah.”

Datuk menggigit bibir, muka Dollah Beranggas direnungnya. Saya lihat Mamat Bukit, Samad Perang dan Udin Candung tersenyum sinis pada Datuk.

“Kerja mengarut.”

“Mengarut pada awak, pada kami tidak”, sahut Mamat Bukit.

Datuk terus membisu dan beredar dari situ menuju ke belakang bangsal. Tidak siapa yang tahu kenapa Datuk pergi ke belakang bangsal.

Saya tahu, Datuk kurang senang dengan peristiwa yang terjadi, begitu dengan Mamat Bukit dan kawan-kawannya.

Mereka merasakan kehadiran Datuk dalam kumpulan mereka tidak mendatangkan manfaat yang besar.

Samad Perang secara terang-terangan menyalahkan Mamat Bukit yang membenarkan Datuk ikut serta dalam kumpulan mereka.

Mamat Bukit tetap mempertahankan apa yang dibuatnya itu memang kena pada tempatnya.

Mujurlah perbalahan kecil yang terjadi antara mereka tidak sampai didengar oleh Datuk. Kalau Datuk dengar sudah tentu perasaannya tersinggung.

“Jangan beritahu pada Datuk awak, apa yang awak dengar...”, Mamat Bukit mengingatkan saya. Tanpa berfikir panjang saya anggukkan kepala.

Matahari pagi kian meninggi, jalur sinarnya memanah pada daun-daun kering di bumi.

Mamat Bukit dan kawan-kawannya sudah pun memikul gulung rotan ke atas bahu masing-masing. Bersedia untuk pulang.

“Macam mana ni? Kita balik ikut jalan kita datang atau ikut jalan lain?”, Udin Candung bersuara.

“Ikut jalan datang”, balas Samad Perang.

Saya merasa kagum dengan tenaga yang dimiliki oleh mereka. Walaupun tubuh badan mereka agak kecil, tetapi mereka mampu memikul gulung (berkas) rotan yang berat untuk meredah hutan dan paya.

“Nanti dulu, sahabat saya belum bersedia”, suara Mamat Bukit meninggi.

Dan kawan-kawannya terpaksa meletakkan kembali gulung rotan di bahu ke tanah.

Semua biji mata kawan-kawan Mamat Bukit merenung pada Datuk yang muncul dari belakang bangsal. Dia tangan kanannya ada sebatang kayu sebesar ibu jari kaki.

“Buat apa kayu tu?”, tanya Mamat Bukit.

“Buat tongkat, waktu turun dari bukit.”

“Saya dah bertahun masuk hutan, tak pernah bawa kayu bila turun bukit.”

"Itu awak, sudah biasa. Saya tak pandai."

Kawan-kawan Mamat Bukit terus ketawa mendengar jawapan dari Datuk itu.

Datuk terus mengambil rotan semambunya dalam bangsal, tiba-tiba Datuk berpatah balik, mukanya nampak cemas.

"Kenapa?", soal Mamat Bukit.

"Ular tedung dekat rotan semambu saya."

"Itulah, awak tak percaya pada penunggu. Sekarang apa dah jadi?”, cara mendadak saja Samad Perang bersuara yang diakhiri dengan senyum menyindir.

"Jangan timbulkan masalah lagi”, Mamat Bukit menengking Samad Perang dan di wajahnya terpamer rasa kesal atas tindakannya itu.

Mamat Bukit terus mengajak Datuk ke tempat rotan semambu. Saya pun ikut serta.

Apa yang dikatakan oleh Datuk itu memang benar. Seekor ular tedung berlingkar atas batang rotan semambu milik Datuk.

Bila mendengar bunyi tapak kaki kami, ular itu bergerak-gerak dan panggungkan kepala.

Sebenarnya, kalau Datuk tidak memanggil Mamat Bukit pun masalah itu boleh diatasi.

Datuk boleh mengusir ular itu dengan kayu atau membunuhnya.

Ada masalah yang lebih besar dari itu Datuk boleh menyelesaikannya, kenapa masalah sekecil ini Datuk memerlukan tenaga orang lain?

Tindak-tanduk Datuk itu menimbulkan tanda tanya pada diri saya sendiri. Apakah muslihat Datuk yang sebenar?

Apakah dia mahu menguji kemampuan diri Mamat Bukit atau sekadar mahu tahu sejauh mana Mamat Bukit mempercayai perkara tahyul.

Mamat Bukit hulurkan tangan kirinya pada ular itu. Saya lihat badan ular itu bergerak cepat lalu mematuk tangan Mamat Bukit.

Aneh, Mamat Bukit masih tersenyum dan terus menangkap kepala ular. Dengan ibu jari dan telunjuk dia menekan rahang ular hingga mulutnya terbuka.

Siung (gigi) ular jelas kelihatan. Mamat Bukit tekan siung ular itu pada kayu keras hingga siungnya mengeluarkan air jernih yang agak kental.

"Itu bisa ular”, bisik Datuk pada saya.

Ular di tangan Mamat Bukit jadi lemah. Mamat Bukit melemparkan ular itu ke dalam hutan tebal.

Dengan telapak tangannya, Mamat Bukit mengambil bisa ular yang jatuh atas daun kering dan digosokkan pada kedua belah tangannya.

"Dengan cara ini saya akan kebal dari sebarang bisa ular”, beritahu Mamat Bukit pada Datuk.

"Kau memang hebat Mamat."

"Sebenarnya begini, saya belajar perkara ini semasa saya berada di Siam."

"Macam mana awak boleh ke sana?"

"Panjang ceritanya. Saya ditangkap oleh tentera Jepun dan jadi buruh kereta api maut, saya lari dari kem. Berbulan-bulan duduk dalam hutan.

"Masa itulah saya berjumpa dengan seorang sami”, Mamat Bukit berhenti bercerita.

"Apa yang awak buat dengan sami tu?"

"Dialah yang mengajar saya ilmu ini, tetapi, sebelum itu saya terpaksa makan hempedu ular yang bisa."

"Begitu”, keluh Datuk sambil mengerutkan dahi.

Mamat Bukit terus menepuk-nepuk belakang saya berkali-kali. Datuk terus melihat kawasan sekeliling.

"Jadi ular tadi bukan ular penunggu?", saya bertanya padanya.

"Bukan”, sahut Mamat Bukit lalu menyuruh Datuk mengambil rotan semambu.

Datuk terus ambil rotan semambu, kemudian kami pun menuju ke kawasan lapang depan bangsal.

Samad Perang, Udin Candung dan Dollah Beranggas masih duduk mencangkung di situ.

“Mari, kila beredar sekarang”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah.

Kawan-kawannya bangun serentak dan meletakkan gulung rotan ke atas bahu masing-masing.

Mamat Bukit jadi kepala jalan. Datuk berada di belakang sekali. Baru dua tiga rantai melangkah, Mamat memerintahkan kami berhenti.

"Tak seronok rasanya, kawan kita berada di belakang sekali. Kenapa tak ke depan dekat saya”, kata-kata itu Mamat Bukit tujukan pada Datuk.

"Tak apa, biarlah saja jadi ekor jalan."

"Bukan apa-apa, kalau bercerai nanti saya takut awak sesat."

"Dengan izin Allah, saya tak sesat."

Mamat Bukit puas hati dengan penjelasan Datuk itu. Dia meneruskan perjalanan.

Orang yang paling resah sekali dengan sikap Datuk itu ialah Samad Perang. Dia seolah-olah tidak mahu Datuk berada di belakangnya. Kalau boleh biarlah Datuk berada di depannya.

Kenapa Samad Perang bersikap demikian? Saya sendiri pun tidak tahu.

Badan saya mula berpeluh, saya kira orang-orang lain dalam perjalanan juga berpeluh.

Kami sudah pun menuruni tiga buah bukit yang curam. Setiap kali turun bukit saya pasti jatuh kerana tidak pandai mengimbangi badan.

Satu hal yang pasti, dalam perjalanan itu kami tidak banyak bercakap, kecuali ada hal yang penting.

"Sial”, pekik Samad Perang sambil membuangkan gulung rotan di bahu.

Samad Perang terus mencabut golok perak dan mencantas semua pokok-pokok kecil di kelilingnya.

Rambutnya yang digunting pendek kelihatan tegak macam bulu landak, biji natanya mula merah.

Kata-kata yang lahir dari mulutnya tidak menentu dan curang jelas, sukar untuk memahami dengan apa yang dituturkannya.

"Buat bulatan keliling dia. Kalau dia mahu lari, tangkap”, Mamat Bukit mengeluarkan arahan.

Arahan itu segera dipatuhi. Samad Perang terus mengamuk, tidak ada seorang pun yang berani menghampirinya.

"Siapa berani sila rapat, aku keluarkan isi perut kamu semua”, suaranya meninggi.

Golok perak terus diacu-acukan pada kami yang mengelilinginya. Samad Perang gulingkan badan atas tanah.

Habis semua pokok-pokok renek di situ dilanggarnya. Aneh, bajunya tidak koyak, badannya juga tidak luka.

"Aku mahu kambing jantan putih”, suara Samad Perang berlainan benar kali ini.

Parau dan garang. Dia cuba merempuh bulatan yang kami buat.

Dalam masa kelam kabut itu, Mamat Bukit terus mencabut sebatang pokok kecil. Badan Samad Perang dipukulnya bertalu-talu.

Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang kesan pada Samad Perang.

Malah, Samad Perang bertambah berang. Kekuatan yang diperlihatkannya amat luar biasa sekali.

Mamat Bukit tidak boleh menahan sabar lagi, bila Samad Perang menendang perut Udin Candung hingga termuntah-muntah.

Udin Candung tersungkur di bumi.

Mamat Bukit segera bertindak. Dia melompat tinggi dan melepaskan satu tendangan kencang di bahu kanan Samad Perang.

Samad Perang tergolek di bumi. Mamat Bukit terus mengikat kedua belah tangan dan kaki Samad Perang dengan rotan.

Kemudian dia menyuruh Dollah Berangas dan Udin Candung membuat pengusung. Cukup cepat mereka bekerja. Tidak sampai satu jam, pengusung pun siap.

"Nampaknya kita terpaksa pikul sampai ke rumah”, kata Mamat Bukit.

Bagi memastikan Samad Perang tidak melompat dari pengusung, badannya diikat dengan rotan pada gelegar pengusung.

Mamat Bukit dan Dollah Berangas di depan, Udin Candung dan Datuk di belakang.

Saya terkecuali dari tugas itu, tetapi, saya terpaksa memikul tiga batang rotan semambu milik Datuk.

Tiga batang rotan semambu bukanlah berat sangat, tetapi, rotan semambu yang saya pikul ini beratnya agak aneh, macam berat seguni padi.

Saya teringat pesan Datuk katanya, bila hati merasa cemas atau sangsi terhadap sesuatu bacalah ayat Kursi.

Hal itu segera saya lakukan. Rotan semambu yang terasa berat itu menjadi ringan kembali.

Memikul manusia dalam hutan bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana semangat setia kawan yang kental, kerja yang sukar itu menjadi senang.

Lebih kurang pukul dua petang, pengusung yang membawa Samad Perang terdampar di halaman rumahnya.

Kaum keluarganya jadi gempar. Ada yang menangis dan ada yang meratap. Pada sangkaan mereka Samad Perang sudah meninggal dunia.

Bila keadaan sebenar dijelaskan oleh Mamat Bukit, suasana menjadi aman dan tenang.

Samad Perang dibawa ke dalam rumah dan dibaringkan di ruang anjung. Semua ikatannya dibuka. Mamat Bukit meraba pangkal lehernya lalu menekan salah satu urat di situ.

Samad Perang membukakan kedua belah kelopak matanya. Dia senyum seketika dan lepas itu dia terus melompat dan bertempik, semua barang yang ada berada di anjung habis ditendangnya.

Samad Perang menjelirkan lidahnya macam anjing kehausan dan sepasang matanya yang merah merenung tajam ke wajah isterinya yang berdiri tidak jauh darinya.

Gerakannya cukup pantas, dengan sekelip mata sahaja dia menerkam ke arah isterinya dan terus mencekik leher isterinya.

Mamat Bukit segera bertindak. Dia melepaskan satu penumbuk kencang di dagu Samad Perang.

Saya lihat Samad Perang terus jatuh. Udin Candung terus memapah isteri Samad Perang dalam keadaan separuh sedar dan pengsan ke ruang tengah rumah.

Beberapa orang perempuan terus memberi rawatan kilat pada isteri Samad Perang.

Di luar dugaan, Samad Perang yang kena penumbuk kencang itu boleh bangun dengan segera dan terus menyerang Mamat Bukit.

Datuk, Udin Candung serta Dollah Berangas terus menangkap Samad Perang tetapi usaha itu gagal.

Samad Perang terlalu gagah. Dengan sekali pusing sahaja ketiga-tiga orang itu terhumban atas lantai anjung rumah.

Dahi Udin Candung berdarah kena tiang. Bibir Dollah Beranggas pecah kena lantai. Pangkal kening Datuk bengkak kena penumbuk.

Mamat Bukit berhempas mahu melepaskan dirinya dari pelukan Samad Perang.

Setiap kali Samad Perang menggigit tubuhnya, muka Mamat Bukit berkerut menahan kesakitan.

Darah membasahi baju Mamat Bukit. Satu pemandangan yang amat ngeri bagi diri saya.

"Tolong saya, tangkap dia”, jerit Mamat Bukit.

Dengan serentak Datuk dan Dollah Beranggas memeluk tubuh Samad Perang dari belakang.

Kedua-duanya kena penendang, tersungkur atas lantai. Udin Candung pula bertindak dan mengalami nasib yang sama.

"Kita tangkap kakinya”, Dollah Beranggas beri cadangan.

"Ya, mari kita cuba”, jawab Udin Candung.

"Satu cara yang baik”, sahut Datuk.

Serentak mereka bertiga memaut kaki Samad Perang dan Samad Perang pun rebah.

Mamat Bukit berjaya melepaskan dirinya dan terus memeluk tubuh Samad Perang.

Tamat siri 55/284

BACA: SBDJ Siri 54: Penunggu Rotan Semambu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, World Tapir Day disambut pada 27 April setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman kepupusan spesies ini termasuk Tapir Malaya kerana populasi Tapir Malaya (Tapirus Indicus) kian kritikal kesan dari aktiviti pembangunan yang pesat dan bilangannya terus merosot.

Gambar Tapir

Pada Disember tahun 2015 lepas, kerajaan Malaysia telah meminjamkan dua ekor Tapir Malaya kepada Kerajaan Jepun untuk tempoh 10 tahun menerusi Program Konservasi Tapir Malaya dan hasil program tersebut, seekor tapir jantan telah dilahirkan pada 14 Mac 2016 di Nagasaki Biopark, Jepun.

Tapir Malaya juga dikenali sebagai Badak Lampong, Tenuk atau Cipan merupakan spesis tapir terbesar di dunia dan spesis ini boleh didapati di Kemboja, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Punca tapir hampir pupus

Jika menyebut soal tapir, umum sebelum ini mungkin hanya mendengar berita mengenai mamalia hitam putih itu yang kerap mati akibat dilanggar kenderaan.

Namun, tidak ramai menyedari haiwan dikenali sebagai Tapir Malaya itu hakikatnya tergolong daripada kumpulan spesies yang kian pupus berikutan jumlahnya hanya antara 1,200 hingga 1,500 ekor di seluruh Semenanjung ketika ini.

Spesies paling besar dalam keluarga tapir itu memiliki purata berat badan antara 300 hingga mencecah 540 kilogram (kg) dan satu-satunya versi yang memiliki warna berbelang apabila dewasa.

Haiwan Dilindungi

Tapir tidak tergolong sebagai haiwan yang diburu secara haram namun sudah dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mamalia itu berperanan penting dalam ekosistem sebagai ejen penyebaran biji benih di dalam hutan tempatan.

Tenuk Malaysia

Tapir (Tenuk) Malaysia (Tapirus indicus), merupakan tapir terbesar di dunia dan hanya spesies tapirinilah satu-satunya berasal dari Asia. Nama saintifiknya berasal dari Hindia Timur yang bermaksud habitat semula jadi spesies.

Tapir Malaysia menetap di Asia Tenggara khususnya Malaysia, selatan dan bahagian tengah Sumatera (Indonesia), Myanmar (latitud selatan pada titik 18° U) dan Thailand (sepanjang sempadan barat hinggalah ke selatan sempadan Thailand-Malaysia.

Selain itu tapir turut kelihatan di kawasan selatan Kemboja dan Vietnam walaupun tiada pengesahan dibuat dan mungkin juga terdapat di Laos.

Tapir Malaysia hanya tinggal di kawasan pergunungan terpencil dan habitat asalnya sudah pupus akibat pemburuan manusia dan pembangunan.

Corak

Haiwan ini mudah dikenali berdasarkan coraknya iaitu putih dan hitam. Warna putih menyaluti dari bahagian bahu hinggalah ke bahagian punggung. Manakala selebihnya berwarna hitam kecuali hujung telinga di mana sepunya dengan spesies tenuk yang lain yang berwarna putih.

Corak sebegini amat berguna sebagai penyamaran di mana corak tersebut membuatkan ia sukar dikenalpasti sebagai tapir dan pemangsa mungkin mengecamnya sebagai batu yang besar lebih-lebih lagi jika tapir ini duduk telentang untuk berehat mahupun tidur.

Kitaran hidup

Musim mengawan berlaku pada bulan April hingga Jun. Tempoh kehamilan Tapir Malaysia ialah kira-kira 390 hingga 403 hari (lebih kurang 13 bulan), di mana anak pertamanya mempunyai berat sekitar 15 paun (6.8 kg).

Kebiasannya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata 2 tahun sekali. Tapir Malaysia merupakan tenuk terbesar ketika lahir dan membesar lebih cepat berbanding spesies tapir yang lain.

Ketika muda, tapir ini tinggal bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan. Sama seperti spesies tapirmuda yang lain, tapir ini mempunyai bulu berwarna perang dengan bejalur putih dan berbintik-bintik di mana corak ni membolehkan mereka untuk berssembunyi dengan berkesan ketika berada di kawasan hutan yang kelihatan bertelau-telau cahayanya.

Perubahan warna tapir muda kepada perwarnaan tapir dewasa berlaku antara 4 hingga 7 bulan selepas lahir. Tempoh bercerai susu pula berlaku ketika berumur 6 hingga 8 bulan.

Tempoh kematangannya kira-kira 2.5 hingga 3.5 tahun. Tapir Malaysia mampu hidup lebih 30 tahun sama ada hidup dalam kurungan ataupun hidup liar.

Tingkah laku

Tapir Malaysia merupakan haiwan yang suka bersendirian dan mempertahankan kawasan daratan yang luas sebagai wilayahnya walaupun sebenarnya kawasan tersebut pernah dijajah oleh tenuk lain.

Tapir menandakan kawasan wilayahnya dengan mengencing atas tumbuh-tumbuhan terutama batang pokok dan biasanya meredah di kawasan semak.

Tapir ini merupakan haiwan vegetarian, makan pucuk yang lembut serta daun lebih daripada 115 spesies tumbuh-tumbuhan (terutama sekali 30 spesies yang diminatinya), bergerak perlahan meredah hutan dan berjenti sejenak untuk makan serta mengambil perhatian terhadap bau jejak yang ditinggalkan oleh tenuk lain di kawasan ini.

Bagaimanapun, apabila diancam atau takut, tapir mampu berlari pantas meskipun berbadan besar dan juga mempertahankan dirinya dengan cengkaman kuat serta gigi yang tajam. Tapir Malaysia berkomunikasi melalui decitan dan siulan.

Kebiasannya tapir ini lebih suka tinggal berhampiran sungai dan sering membersihkan diri dan berenang serta mempunyai kemampuan untuk memanjat cerun yang curam.

Tapir ini hanya aktif pada waktu malam walaupun tidak tergolong dalam kumpulan haiwan nokturnal. Selain itu, tapir lebih cenderung untuk makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit dan semestinya makan sekejap pada tengah malam. Kelakuan sebegini tergolong sebagai haiwan krekuspul.

Variasi Brevetianus

Sebilangan kecil Tapir Malaysia melanistik telah dikenalpasti dengan seluruh badannya berwarna hitam. Pada tahun 1924, tapir terbabit telah dihantar ke Zoo Rotterdam, Belanda dan diklasifikasikan sebagai subspesies yang dikenali sebagai Tapirus indicus var. brevetianus selepas ditemui oleh Kapten K. Brevet.

Pada tahun 2000, dua ekor tapir melastik telah dikenalpasti ketika sedang membuat kajian tentang harimau di Hutan Simpan Jerangau di Malaysia.

Kemunculan variasi ini mungkin disebabkan oleh keabnomalan genetik di mana kejadian ini serupa dengan kemunculan harimau kumbang di dalam kawasan populasi jaguar bintik. Bagaimanapun, maklumat tentang brevetianus masih kurang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, April 26, 2019

'Avengers: Endgame' Karya Epik Teragung Marvel

'Avengers: Endgame' Karya Epik Teragung Marvel

Hari yang dinanti-nantikan sudah tiba. Filem Avengers: Endgame sudah pun ditayangkan di seluruh Malaysia dan kita bertuah kerana menjadi antara negara terawal yang dapat menonton Endgame pada hari Rabu (22/4/2019).

Avengers Endgame
Avengers: Endgame.

Filem Endgame juga jauh lebih baik jika anda sendiri menontonnya kerana terlalu epik untuk diceritakan di sini.

1. Tiga jam berlalu tanpa sedar

Filem Endgame digarap dengan sangat rapi sehinggakan anda tidak perasan 3 jam berlalu begitu sahaja.

Tiada bahagian meleret yang akan buat anda bosan dan menjadi identiti MCU untuk menyelit humor di sepanjang filem tanpa melebih-lebih.

Setiap babak disusun dengan sangat baik dan tidak mengelirukan. Cuma mungkin anda kena menonton semula Infinity War jika mahu mengingat beberapa butiran yang akan dibawa dalam filem Endgame ini.

2. Sila tonton filem di pawagam 4DX GSC

Jika anda belum membeli tiket Endgame, kami minta tolong untuk anda tonton filem ini di pawagam 4DX . Kenapa? Kerana ianya akan memberikan pengalaman menonton yang lebih awesome untuk anda!

Sebagai contoh, ketika adegan berada dalam kapal angkasa, penonton akan merasa seperti sedang terbang sekali bersama kapal angkasa tersebut.

Jika adegan diserang, akan ada angin yang lalu di telinga anda. Jika ada adegan hujan atau percikan, air juga akan terpercik. Memang real!

3. Thor

Dalam banyak-banyak Avengers, Thor adalah watak yang paling outstanding dalam Endgame. Rupa Thor memang sangat ‘berbeza’ berbanding filem beliau sebelum ini dan dia seperti tidak kisah berpenampilan sedemikian. Tak kering gusi dengan telatah Thor.

4. Jangan lupa bawa tisu

Orang putih kata emotional roller coaster journey ketika anda menonton filem ini. Ketika adegan lucu, terus dipotong dengan adegan yang akan membuatkan mata anda berkaca.

Bukan sekali mata anda akan berkaca, tetapi berkali-kali. Kami yakin, bukan sahaja wanita, tetapi lelaki juga akan mengalami fenomena ini. Tak percaya?

5. Avengers, assemble!

Masih ingat Robert Downey Jr berkata 8 minit terakhir filem ini adalah babak paling hebat dalam sejarah MCU?

Apa yang beliau cakapkan itu benar dan memang ianya sangat epik! 8 minit pertarungan bermula tanpa henti. Memang hebat!

6. Trailer rasmi Avengers: Endgame hanya 3% daripada keseluruhan filem

Seperti juga Avengers: Infinity War sebelum ini, apa yang anda tonton di trailer yang dikongsi Marvel Studios ada yang benar, ada yang tidak.

Dan apa yang anda tonton menerusi trailer tidak langsung menceritakan gambaran sebenar apa yang akan berlaku dalam Endgame nanti. Senang cerita, kita semua kena ‘game’ lagi dengan Marvel.

Terima kasih diucapkan pada Russo Brothers kerana mengekalkan momentum dan hype filem Avengers untuk Endgame.

Endgame menjadi penutup yang hebat untuk fasa ‘The Infinity Saga’ dan walaupun Spider-Man: Far From Home, adalah filem terakhir untuk fasa Infinity Saga tetapi filem berkenaan tidak melibatkan majoriti watak Avengers.

Yang pasti, Endgame adalah karya masterpiece terbaik Marvel Avengers ketika ini.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Pengecas Infinity Gauntlet Milik Thanos Ini Boleh Anda Dimiliki

Pengecas Infinity Gauntlet Milik Thanos Ini Boleh Anda Dimiliki

Apa yang anda sanggup lakukan untuk membuktikan diri sebagai peminat tegar filem-filem Avengers kerana kini, pengecas smartphone iPhone berbentuk Infinity Gauntlet telah dicipta dan akhirnya boleh dimiliki.

Infinity Gauntlet charger

Seperti biasa, produk aksesori mewah ini dihasilkan oleh firma Caviar dari Rusia dan peranti anda boleh dicas di telapak tangan sarung tangan ini yang diperbuat daripada emas.

Terdapat enam batu berharga dalam sarung tangan emas ini iaitu topaz, chrysolite, amethyst, garnet, citrine dan ambar.

Berapakah harga yang perlu dibayar untuk memiliki pengecas wireless Infinity Gauntlet ini? Jawapannya ialah, hanya USD$7660 sebuah dan jauh lebih murah dari mengorbankan nyawa orang tersayang di Planet Vormir!

Pengecas Dengan Infinity Stone

Infinity Gauntlet charger

Pemilik Gautlet akan menyatukan kuasa batu, melihat kekuasaan sebenar di tangannya!

Aksesori dengan rekaan hebat, menyembunyikan pengecas wayarles iPhone ditapak tangan yang akan menggunakan seluruh kuasa batu infiniti untuk mengecas telefon pintar anda dengan pantas.

Jadi, apa tunggu lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

20 Syarikat Penerbangan Paling Selamat 2019

20 Syarikat Penerbangan Paling Selamat 2019

Satu-satunya laman web penarafan keselamatan dan produk di dunia, AirlineRatings.com, telah mengumumkan Qantas sebagai syarikat penerbangan paling selamat untuk tahun 2019.

AirlineRatings juga telah mengumumkan 20 syarikat penerbangan utama paling selamat dan 10 syarikat penerbangan tambang murah paling selamat daripada 405 syarikat penerbangan yang dipantau.

Syarikat Penerbangan Paling Selamat

Syarikat Penerbangan Paling Selamat

Mengikut susunan abjad syarikat-syarikat tersebut adalah:
  1. Air New Zealand
  2. Alaska Airlines
  3. All Nippon Airways
  4. American Airlines
  5. Austrian Airlines
  6. British Airways
  7. Cathay Pacific Airways
  8. Emirates
  9. EVA Air
  10. Finnair
  11. Hawaiian Airlines
  12. KLM
  13. Lufthansa
  14. Qantas
  15. Qatar Airways
  16. Scandinavian Airline System
  17. Singapore Airlines
  18. Swiss Airlines
  19. United Airlines
  20. Kumpulan syarikat penerbangan Virgin (Atlantik dan Australia)

Syarikat-syarikat penerbangan ini berada pada kedudukan depan dalam industri dan berada di barisan hadapan dari segi keselamatan, inovasi dan reka bentuk serta pelancaran pesawat baharu, kata Ketua Pengarang AirlineRatings, Geoffrey Thomas.

Sebagai contoh, Qantas dari Australia telah diiktiraf oleh Persatuan Piawaian Pengiklanan Britain dalam satu kes ujian pada tahun 2008 sebagai syarikat penerbangan paling berpengalaman di dunia.

Ia adalah sesuatu yang luar biasa bahawa Qantas telah menjadi syarikat penerbangan utama di hampir kesemua kemajuan keselamatan operasi dalam tempoh 60 tahun yang lalu dan tidak mempunyai sebarang insiden kematian di dalam era kapal terbang jet.

Akan tetapi, Qantas tidak bersendirian kerana syarikat penerbangan yang sudah lama wujud seperti Hawaiian dan Finnair juga mempunyai rekod yang sempurna di dalam era kapal terbang jet.

Sebagai respon kepada kepentingan awam, editor-editor AirlineRatings juga telah mengenalpasti 10 syarikat penerbangan tambang murah paling selamat di dunia.

Mengikut susunan abjad ia adalah:
  1. Flybe
  2. Frontier
  3. HK Express
  4. Jetblue
  5. Jetstar Australia/Asia
  6. Thomas Cook
  7. Volaris
  8. Vueling
  9. Westjet
  10. Wizz

Dalam membuat pemilihan mereka, AirlineRatings telah mengambil kira pelbagai faktor kritikal termasuk; audit dari badan-badan pentadbiran dan persatuan-persatuan peneraju penerbangan; audit kerajaan; rekod kemalangan dan insiden serius syarikat penerbangan, hayat armada dan keuntungan.

AirlineRatings juga mengumumkan penarafan mereka yang paling rendah bagi syarikat penerbangan (satu bintang dan dua bintang) iaitu:
  1. Ariana Afghan Airlines
  2. Bluewing Airlines
  3. Kam Air
  4. Tara Air
  5. Trigana Air Service

Cara Penilaian

AirlineRatings menilai 405 buah syarikat penerbangan yang dibuat dengan penarafan paling tinggi, tujuh bintang.

Data diperolehi daripada berjuta-juta penumpang semua negara dan telah menjadi standard industri untuk penarafan keselamatan dan produk.

Pasukan pengarang AirlineRatings terdiri daripada individu paling berpengalaman di dunia yang memenangi 50 anugerah dan menerbitkan 28 buku industri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Larangan Merokok Ditangguh Sehingga Disember 2019

Larangan Merokok Ditangguh Sehingga Disember 2019

Berita gembira buat para perokok apabila Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun 2019 ini.

Larangan Merokok Ditangguh

Menteri Kesihatan berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Mesyuarat Jawatankuasa yang terdiri daripada 10 kementerian dan satu wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan yang telah berlangsung pada 16 April 2019 lalu, turut bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

Jawatankuasa ini juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

Kementerian Kesihatan amat berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok sebagaimana yang terdapat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) demi untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya, katanya.

Pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 bermula 1 Januari 2019 lalu, telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Melalui tinjauan yang telah dijalankan, rata-rata masyarakat telah mematuhi larangan ini secara baik dan ia memberikan impak yang positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia ke atas 173 tempat makan yang disenaraikan pada 1 hingga 17 April lalu mendapati, kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

Kajian itu mendapati secara purata 170 (98 peratus) tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan dan 131 (76 peratus) tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.

Selain itu, sebanyak 104 (60 peratus) tempat makan pula adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok manakala 69 (40 peratus) tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok.

Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my, di mana bilangan berdaftar telah meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun-tahun sebelumnya.

Larangan Merokok Punca Kekalahan PH Di DUN Rantau?

Benarkah polisi baharu seperti larangan merokok di premis makanan yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun 2019 ini antara punca rakyat menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Rantau?

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disebabkan oleh janji manifesto dan polisi baharu yang diperkenalkan di bawah kerajaan Malaysia Baharu.

Justeru itu katanya, PH perlu membuat post-mortem berhubung kekalahan parti itu, yang disifatkan beliau sebagai mengejutkan.

Faktor termasuk manifesto atau sesetengah polisi baharu yang tidak boleh diterima di kalangan ramai seperti cara mereka melarang orang merokok (di restoran).

Ini menjadikan orang ramai tidak suka atau rakyat tidak memberi sokongan kepada PH, katanya.

Sebelum ini, Kerajaan PH telah mengumumkan semua tempat makan telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok mulai 1 Januari 2019, di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan ternyata sangat tidak disukai majoriti perokok yang menganggap larangan itu sangat terburu-buru tanpa sebarang ruang perbincangan.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Rantau selepas Datuk Seri Mohamad Hassan, yang juga Timbalan Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi, menewaskan tiga pencabarnya - Dr S. Streram (PH), R. Malarvizhi (Bebas) dan Mohd Nor Yassin (Bebas).

Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor masing-masing memperoleh 83 undi dan 79 undi.

Jumlah Perokok Di Malaysia

49 peratus atau sekitar 4-5 juta orang daripada lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Kebanyakan penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun di sebabkan penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Bilangan ini tidak termasuk orang yang mati kerana pendedahan asap rokok atau dipanggil environmental tobacco smoke (ETS).

Jadi, apa keputusan kerajaan PH, meneruskan larangan merokok atau kehilangan undi?

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Fenomena Aurora, Cantik Tapi Berbahaya

Fenomena Aurora, Cantik Tapi Berbahaya

Cantik tetapi berbahaya! Itulah yang mungkin dapat digambarkan mengenai fenomena aurora yang berjaya dirakam oleh pihak Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (Nasa). Sejurus mendedahkan foto itu, Nasa turut mengeluarkan amaran bahawa ia boleh memberi ancaman kepada hidupan di planet bumi.

Fenomena Aurora
Fenomena Aurora.

Menurut pakar astronomi, pembentukan cahaya itu merupakan petanda kepada fenomena Aurora yang boleh membawa keruntuhan tamadun moden pada hari ini.

Aurora adalah salah satu keindahan alam yang mana ia berlaku daripada ledakan api kecil di matahari sehingga ia sampai ke bumi.

Pada kebiasaannya, ribut solar fenomena Aurora ini tidak perlu dirisaukan.

Namun, ia dikhuatiri membawa ribut kuat yang boleh menyebabkan berlakunya kekacauan di bumi.

Lebih teruk, sistem rangkaian komunikasi juga berisiko terputus jika ia berlaku.

"Kagumi kecantikannya tetapi takut dengan kuasanya. Di sini berlakunya pembentukan pusaran hijau yang hebat.

"Raksasa ini adalah ombak partikel yang membentuk aurora dan mungkin suatu hari nanti, ia memberi kesan kepada masyarakat moden di bumi," ujar NASA.

Ribut solar paling popular pernah berlaku pada 1859 sewaktu 'Carrington Event.'

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul, dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Majlis Kahwin

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Wajib

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya.

Kami ringkaskan seperti berikut:

Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ﺇِﺫَﺍ ﺩُﻋِﻲَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ

Maksudnya: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." (Riwayat Muslim 1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata, ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

1. Sekiranya ada syubhah makanan.

Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya.

Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.

2. Mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

ﺷَﺮُّ ﺍﻟﻄَّﻌَﺎﻡِ ﻃَﻌَﺎﻡُ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻳُﺪْﻋَﻰ ﻟَﻬَﺎ ﺍﻷَﻏْﻨِﻴَﺎﺀُ ﻭَﻳُﺘْﺮَﻙُ ﺍﻟْﻔُﻘَﺮَﺍﺀُ

Maksudnya: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin." (Riwayat Ibn Majah (1913))

3. Majlis perkahwinan dzimmi (orang bukan Islam).

Maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:

ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎﻙَ ﻓَﺄَﺟِﺒْﻪُ

Maksudnya: "Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya)." (Riwayat Muslim (2162))

Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.

Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).)

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320)).

Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
  • Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
  • Kenduri perkahwinan tersebut jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
  • Kesibukan seperti tokoh-tokoh politik, agama dan juga pemimpin masyarakat.
  • Banyaknya jemput dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
  • Kesesakan lalu lintas, hujan lecah dan seumpamanya.

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya." (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622))

Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)." (Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570))

Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ﻭَﻣَﻦْ ﻟَﻢْ ﻳُﺠِﺐِ ﺍﻟﺪَّﻋْﻮَﺓَ ﻓَﻘَﺪْ ﻋَﺼَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻭَﺭَﺳُﻮﻟَﻪُ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat Muslim (1432))

Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.

HUKUM HADIR JEMPUTAN MAJLIS SELAIN PERKAHWINAN ADALAH MUSTAHAB

Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah dan seumpamanya adalah mustahab (iaitu sunat).

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami.

Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab."

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570) .

HUKUM MENJEMPUT HADIR KE MAJLIS PERKAHWINAN MELALUI FACEBOOK EVENT

Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan.

Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini, antaranya:

ﺍﻟﻌﺎﺩﺓ ﻣﺤﻜَّﻤﺔ

Maksudnya: "Adat itu menjadi penentu hukum."

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku.

Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

ﺍﻟﻮَﺳَﺎﺋِﻞُ ﻟَﻬَﺎ ﺃَﺣْﻜَﺎﻡ ﺍﻟﻤَﻘَﺎﺻِﺪ

Maksudnya: "Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid."

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin.

Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang dan kita berada dalam group tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama.

Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whatsapp group) dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook.

Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya.

Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun, jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa.

Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp