Sabtu, Ogos 25, 2018

Fenomena Misteri Langit Berlubang


Sekitar Julai 2012, penduduk Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur gempar melihat kewujudan pelbagai cahaya misteri di langit yang muncul lebih dua jam bermula kira-kira jam 11 malam dan saiznya yang besar menyebabkan fenomena misteri itu dapat dilihat sehingga ke Bandar Sunway yang terletak beberapa kilometer dari lokasi itu.

Fenomena Misteri Langit Berlubang

Kejadian luar biasa itu menyebabkan penduduk meluru keluar untuk menyaksikan sendiri fenomena membingungkan itu.

Tatkala melihat keanehan itu, minda penduduk diresapi kegusaran lantaran gagal memikirkan apakah cahaya itu sebenarnya dan petanda yang bakal berlaku menerusi kesan fenomena berkenaan.

Cahaya itu diyakini bukannya objek terbang tidak dikenali (UFO) atau pesawat terbang lantaran tidak bergerak, sebaliknya terpampang statik di langit selain berkelip-kelip seperti cahaya bintang.

Segelintir penduduk merakamkan foto cahaya misteri sebagai bukti kewujudannya dan tidak lama selepas itu, imej garisan cahaya merah, ungu, biru dan putih mula disiarkan akhbar.

Fenomena seluruh dunia

Siasatan dilakukan pihak berkuasa dan ketika itulah disedari fenomena misteri di langit tidak saja berlaku di Malaysia, tetapi dilaporkan di merata tempat seluruh dunia.

Antaranya pada Oktober 2009, penduduk Moscow, Russia, gempar melihat langit bandar mereka 'berlubang'. Fenomena langit berlubang itu pernah dikesan di Alabama pada tahun 2003 dan Colorado pada tahun 2007.

Gambar langit berlubang disebarkan media sosial sehingga ramai pihak gempar lantaran gagal memahami keanehan fenomena alam itu.

Maka pelbagai spekulasi dan teori konspirasi dikemukakan antaranya ia petanda awal serangan makhluk asing ke bumi, selain tanggapan dunia akan kiamat.

Ribuan tahun dulu, masyarakat silam turut gempar melihat kewujudan api misteri di langit. Mereka menganggap api langit adalah petanda buruk dan serangan makhluk kayangan terhadap hidupan bumi.

Meniti batasan masa yang lama, kewujudan fenomena aneh di langit akhirnya dikaji penyelidik. Lama mengkaji, akhirnya penyelidik menyimpulkan kejadian pelik di langit sebenarnya berpunca daripada tindak balas alam yang luar biasa dan jarang berlaku.

Awan bersuhu

Antaranya, kejadian 'langit berlubang' ditakrifkan sebagai 'Lubang Fallstreak'. Lubang itu terbentuk apabila suhu dalam suatu kawasan awan berada di bawah titik beku manakala kawasan lain memiliki suhu biasa.

Kawasan awan bersuhu di bawah titik beku menyebabkan wap air membentuk kristal ais dan jatuh ke bawah. Hasilnya akan membentuk keadaan seakan langit berawan yang berlubang.

Bagi kes api di langit yang dilihat masyarakat zaman silam, saintis akhirnya mengenal pasti ia sebagai komet dari luar bumi. Lantaran penduduk purba masih tidak mengkaji perihal astronomi, maka pelbagai tanggapan tahyul membabitkan alam mistik dikemukakan dan dipercayai selama ratusan tahun.

Begitu juga keanehan yang membingungkan penduduk tatkala berhadapan dengan situasi 'hujan batu'. Pasti timbul persoalan bagaimana 'ketulan batu' boleh berada di langit?.

Hujan batu

Fenomena Misteri Langit Berlubang

Hujan batu pernah berlaku di Malaysia pada 24 Februari 2007 di Selangor iaitu di Sungai Buloh dan Damansara tetapi kes paling teruk dilaporkan di Jerantut, Pahang pada 28 September 2009.

Dalam kejadian di Jerantut, ketulan ais batu yang jatuh sebesar cawan sehingga menyebabkan bumbung zink banyak rumah berlubang.

Jabatan Meteorologi kemudian menjelaskan hujan batu berpunca daripada penyejukan mendadak air hujan dalam awan sehingga membentuk ais tetapi ais itu gagal cair sebelum mencecah bumi.

Siasatan ANGKASA

Berbalik kepada cahaya aneh di Jalan Klang Lama pada 2012, selepas fenomena itu disiarkan akhbar, maka penelitian segera dijalankan pihak berkuasa.

Antaranya Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mendapati cahaya misteri itu berkemungkinan berpunca daripada 'awan sirus' iaitu lapisan awan nipis yang berperanan memantulkan sebarang cahaya yang menyuluh ke atas dari permukaan bumi.

Awan sirus tidak boleh dilihat mata kasar kerana terlalu nipis dan berpotensi memantulkan kembali cahaya dari permukaan bumi seperti bangunan, lampu jalan dan lampu limpah.

Selain itu, kewujudan cahaya misteri dengan pelbagai warna di langit juga boleh berlaku akibat fenomena aurora yang berpunca daripada perlanggaran medan magnetik bumi dengan partikel dipancarkan matahari. Aurora banyak berlaku di negara berdekatan Artik dan Antartik.

Bagaimanapun, terdapat juga fenomena misteri di langit yang tidak dapat dijelaskan sehingga kini.

Antaranya, April 2009, akhbar melaporkan kewujudan beberapa objek bercahaya hijau dan putih berlegar di ruang udara Larkin, Johor sehingga menggemparkan penduduk.

Perlu kajian

Fenomena Misteri Langit Berlubang

Pihak berkuasa gagal mengenal pasti objek bercahaya itu, malah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) turut menafikan objek itu adalah pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) negara jiran yang menceroboh ruang udara negara ini.

Malah, ANGKASA dilapor turut menafikan objek bercahaya itu ialah cahaya lampu limpah berkuasa tinggi yang dipancarkan ke langit dan tidak menolak kemungkinan objek itu tidak dapat dijelaskan.

Kesimpulan daripada semua kejadian berkenaan menyedarkan kita supaya jangan cepat melatah dan terus memutuskan sesuatu pandangan tanpa mengkaji terlebih dulu.

Masih terdapat banyak kejadian aneh alam yang tidak dijangka manusia tetapi selepas dikaji, maka kita akan mengakui bahawa benarlah firman Allah SWT dalam ayat ke190, surah Ali Imran yang bermaksud, "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon