Friday, April 26, 2019

Larangan Merokok Ditangguh Sehingga Disember 2019


Berita gembira buat para perokok apabila Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun 2019 ini.

Larangan Merokok Ditangguh

Menteri Kesihatan berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Mesyuarat Jawatankuasa yang terdiri daripada 10 kementerian dan satu wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan yang telah berlangsung pada 16 April 2019 lalu, turut bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

Jawatankuasa ini juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

Kementerian Kesihatan amat berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok sebagaimana yang terdapat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) demi untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya, katanya.

Pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 bermula 1 Januari 2019 lalu, telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Melalui tinjauan yang telah dijalankan, rata-rata masyarakat telah mematuhi larangan ini secara baik dan ia memberikan impak yang positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia ke atas 173 tempat makan yang disenaraikan pada 1 hingga 17 April lalu mendapati, kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

Kajian itu mendapati secara purata 170 (98 peratus) tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan dan 131 (76 peratus) tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.

Selain itu, sebanyak 104 (60 peratus) tempat makan pula adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok manakala 69 (40 peratus) tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok.

Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my, di mana bilangan berdaftar telah meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun-tahun sebelumnya.

Larangan Merokok Punca Kekalahan PH Di DUN Rantau?

Benarkah polisi baharu seperti larangan merokok di premis makanan yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun 2019 ini antara punca rakyat menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Rantau?

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disebabkan oleh janji manifesto dan polisi baharu yang diperkenalkan di bawah kerajaan Malaysia Baharu.

Justeru itu katanya, PH perlu membuat post-mortem berhubung kekalahan parti itu, yang disifatkan beliau sebagai mengejutkan.

Faktor termasuk manifesto atau sesetengah polisi baharu yang tidak boleh diterima di kalangan ramai seperti cara mereka melarang orang merokok (di restoran).

Ini menjadikan orang ramai tidak suka atau rakyat tidak memberi sokongan kepada PH, katanya.

Sebelum ini, Kerajaan PH telah mengumumkan semua tempat makan telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok mulai 1 Januari 2019, di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan ternyata sangat tidak disukai majoriti perokok yang menganggap larangan itu sangat terburu-buru tanpa sebarang ruang perbincangan.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Rantau selepas Datuk Seri Mohamad Hassan, yang juga Timbalan Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi, menewaskan tiga pencabarnya - Dr S. Streram (PH), R. Malarvizhi (Bebas) dan Mohd Nor Yassin (Bebas).

Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor masing-masing memperoleh 83 undi dan 79 undi.

Jumlah Perokok Di Malaysia

49 peratus atau sekitar 4-5 juta orang daripada lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Kebanyakan penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun di sebabkan penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Bilangan ini tidak termasuk orang yang mati kerana pendedahan asap rokok atau dipanggil environmental tobacco smoke (ETS).

Jadi, apa keputusan kerajaan PH, meneruskan larangan merokok atau kehilangan undi?

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon