Isnin, Mac 24, 2014

Tragedi Charkhi Dadri, Nahas Udara Paling Dahsyat!


Loading...

Kemalangan udara melibatkan nahas pesawat boleh dikatakan antara igauan paling ngeri yang mungkin berlaku.

Charkhi Dadri Disaster

Walaupun risiko kemalangan udara berjaya dikurangkan melalui perkembangan teknologi penerbangan moden, namun risiko kegagalan operasi sesebuah pesawat tidak dapat disangkal.

Kira-kira 18 tahun lalu, satu peristiwa hitam telah menggemparkan dunia penerbangan. Satu kemalangan besar antara dua buah pesawat telah berlaku di ruang udara Charkhi Dadri, India pada 12 November 1996.

Pada pukul 6.32 petang waktu tempatan, pesawat Boeing 747-100 Saudi Arabian Airlines dengan kod penerbangan SVA 763 berlepas dari New Delhi, India untuk perjalanan ke Dahran, Arab Saudi.

Pada masa yang sama, pesawat Ilyushin II-76 Kazakhstan Air dengan kod penerbangan KZA 1907 dilaporkan sedang turun dan bersiap sedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Indra Ghandi, New Delhi.

Kira-kira lapan minit selepas penerbangan SVA 763 berlepas, ia telah naik ke ketinggian 14,000 kaki. Pada masa yang sama pesawat Kazakhstan Airlines penerbangan KZA 1907 telah turun kepada 15,000 kaki.

Tiba-tiba, kedua-dua pesawat tersebut berlanggar antara satu sama lain. Pelanggaran itu telah menyebabkan kedua-duanya jatuh terhempas.

Kesemua 349 orang penumpang terbunuh, menjadikan tragedi ini perlanggaran diatas udara yang paling dahsyat di dunia dan kemalangan ketiga paling teruk dalam sejarah penerbangan.

Tragedi Charkhi Dadri
Gambaran tragedi perlanggaran.

Hasil siasatan mendapati, kemalangan itu berlaku akibat kegagalan juruterbang pesawat Kazakhstan Airlines mengikut arahan menara kawalan trafik udara lapangan terbang New Delhi yang mengarahkannya untuk mengekalkan altitud.

Pesawat KZA 1907 telah turun lebih daripada 1,000 kaki (300 meter) di bawah ketinggian yang ditetapkan iaitu 15,000 kaki (4,600 meter) kerana bergelut dengan awan tebal.

Pada masa itu, menara kawalan mendapati KZA 1907 sudah terlalu hampir dilaluan SVA 763 dan pasti akan bertembung jika tidak kembali ke altitud yang ditetapkan.

Pengawal menara kawalan cuba menghubungi KZA 1907 untuk memberi amaran bahaya yang bakal berlaku. Percubaan gagal dan tiada sebarang respon dari pesawat Kazakhstan Airlines.

Akhirnya, pesawat penerbangan SVA 763 yang sedang terbang naik telah bertembung di ruang udara Charki-Dadri dengan pesawat penerbangan KZA 1907 yang sedang cuba mendarat turun.

Perlanggaran itu menyebabkan sayap kiri dan penstabil pesawat penerbangan SVA 763 musnah. Pesawat yang terbakar itu berpusing-pusing dan jatuh pada kelajuan 1,135 kilometer sejam dan hancur kerana tekanan sebelum mencecah tanah.

Charkhi Dadri KZA 1907

Sementara itu, pesawat penerbangan KZA 1907 turut jatuh terhempas tetapi keadaan pesawat tidak hancur sepenuhnya. Empat penumpang ditemui masih hidup dari bangkai pesawat Kazakhstan, tetapi meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Bangkai pesawat Saudi Arabian Airlines telah ditemui di daerah Bhiwani, Haryana, berhampiran Dhani, manakal bangkai pesawat Kazakhstan Airlines jatuh terhempas di daerah Rohtak, Haryana, berhampiran Birohar.

Sejak nahas yang dahsyat itu, taraf keselamatan bidang penerbangan telah dipertingkatkan dengan sistem Pencegah Perlanggaran Trafik (Tcas) bagi mengelak tragedi hitam itu berulang kembali.

BACA INI JUGA: 10 Kehilangan Pesawat Udara Yang Menggempar Dunia

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Harap ada berita baik dari pencarian MH370

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon