Sabtu, Mac 16, 2019

Caruman PERKESO, Insuran Nyawa 'Paling Murah' Tetapi Terbaik Di Malaysia!


Loading...

Petubuhan Kebajikan Sosial (SOCSO/PERKESO) merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja swasta dan tanggungan mereka.

Caruman PERKESO

Adalah dianggap sebagai satu kesalahan yang melanggar undang-undang jika pihak majikan tidak mendaftarkan syarikat dan pekerja-pekerja di bawah PERKESO, serta tidak membayar caruman. Hukuman saman dan penjara boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Sejarah dan tentang PERKESO

Badan kerajaan ini ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1971.

Semua syarikat swasta di Malaysia diwajibkan berdaftar di bawah PERKESO dalam tempoh 30 hari dari hari pertama pekerja mula bekerja, menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Pencaruman oleh pekerja adalah lebih rendah berbanding majikan, yang di antara kadar 0.5% hingga 3% berdasarkan gaji mereka.

Bagi pekerja yang bergaji lebih daripada RM3,000 sebulan, caruman tidak diwajibkan.

Tujuan penubuhan PERKESO

PERKESO telah diperbadankan untuk memberikan bantuan perubatan dan kewangan kepada pekerja yang mengalami kekurangan keupayaan atau tidak berupaya, disebabkan oleh penyakit atau kemalangan.

Malah, jika pekerja meninggal dunia, tanggungan pekerja berkenaan seperti isteri dan anak-anak akan diberi bantuan melalui pencen.

Individu yang layak

Individu layak didaftarkan di bawah PERKESO jika anda seorang pekerja di bawah 60 tahun dan bekerja di sektor swasta dengan gaji bulanan.

Anda dikecualikan daripada faedah-faedah ini jika tergolong dalam mana-mana satu senarai di bawah:
  • Pekerja tetap di kerajaan negeri ataupun persekutuan.
  • Pembantu rumah.
  • Bekerja sendiri.
  • Pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
  • Pasangan kepada pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
  • Pekerja asing.

Jenis Perlindungan

Perlindungan oleh PERKESO terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Skim Kecederaan Pekerjaan, Skim Pencen Ilat dan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

1. Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.

Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:
  • Kemalangan perusahaan semasa menjalankan pekerjaannya.
  • Kemalangan semasa dalam perjalanan mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya yang dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan.

Nota: Kemalangan yang berlaku dalam masa apa-apa perhentian atau lencongan tidaklah disifatkan terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaannya.

Kemalangan semasa kecemasan

Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.

Penyakit khidmat

Penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Antara contoh penyakit khidmat adalah seperti:
  • Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan.
  • Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada sedutan habuk atau bahan kimia yang berbahaya dan sebagainya.

Faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan:
  • Faedah Perubatan.
  • Faedah Hilang Upaya Sementara.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional.
  • Faedah Orang Tanggungan.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Faedah Pendidikan.

2. Skim Pencen Ilat

Seseorang berinsuran dianggap sebagai menghidap keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan samada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal.

Skim ini memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Faedah di bawah Skim Keilatan:
  • Pencen Ilat.
  • Bantuan llat.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Pencen Penakat.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional dan Dialisis.
  • Faedah Pendidikan.

3. Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

Skim baharu di bawah PERKESO

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri adalah untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya berkuatkuasa pada 13 Jun 2017.

Perlindungan ini disediakan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Tempoh perlindungan selama 12 bulan mulai dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi cetakan pada resit bayaran caruman.

Skim bencana kerja pekerjaan sendiri

PERKESO menyediakan skim perlindungan untuk pemandu teksi atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya di bawah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsuran yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Skim ini menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Perkhidmatan teksi atau seumpamanya di Malaysia

Jenis-jenis perkhidmatan teksi:
  • Teksi Bajet.
  • Teksi Eksekutif.
  • Limosin.
  • Teksi Lapangan Terbang.
  • Kereta Sewa.
  • Perkhidmatan yang seumpamanya (Grab Car/E-Hailing).

Skop liputan dan pelaksanaan

1. Kelayakan Pemandu Teksi atau Perkhidmatan Seumpamanya:
  • Warganegara Malaysia/Permastautin Tetap.
  • Berdaftar dengan JPJ, Agensi yang berkaitan atau LPKP (Sabah dan Sarawak).
  • Lesen memandu yang sah.
  • Kad Pemandu Teksi/Surat Kebenaran yang masih sah laku oleh Agensi yang berkaitan/LPKP (Sabah dan Sarawak).

2. Faedah-faedah yang disediakan:
  • Faedah Perubatan.
  • Fedah Hilang Upaya Sementara.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa.
  • Faedah Orang Tanggungan.
  • Faedah Pengurusan Mayat.
  • Kemudahan Pinjaman Pendidikan.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional dan Program “Return to Work (RTW)”.

3. Cara Pendaftaran

Pendaftaran adalah secara online (web based) menggunakan portal iPERKESO dan dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut;
  • Mempunyai talian telefon bimbit dan emel yang aktif.
  • Memuat naik lesen memandu yang sah.
  • Memuat naik kad pemandu teksi yang masih sah laku dari Agensi yang berkaitan atau memuat naik Surat Izin/Kebenaran dari LPKP(Sabah dan Sarawak).

4. Bayaran Caruman

Pembayaran hanya boleh dibuat secara online melalui perbankan internet bagi perlindungan untuk tempoh setahun.

Langkah-langkah pembayaran adalah seperti berikut:
  • Lengkapkan proses pendaftaran iPERKESO.
  • Pilih pembayaran melalui “Financial Process Exchange” (FPX).
  • Cetak resit sebagai bukti bayaran.

Pilihan caruman

Kadar caruman berdasarkan opsyen pilihan pendapatan diinsuranskan sebanyak 1.25% daripada pendapatan sebulan.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma

PERKESO telah mengeluarkan baucar pemeriksaan kesihatan kepada 2.2 juta rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, keputusan menunjukkan bahawa 1.7 juta (77.3% daripada pencarum) yang layak untuk menerima pemeriksaan kesihatan percuma telah menolak inisiatif ini.

Walaupun ia memerlukan usaha untuk menjalani keseluruhan proses, namun untuk seseorang mengambil cuti untuk hadir ke perkhidmatan percuma ini adalah tindakan yang wajar dan harus digalakkan.

PERKESO juga menawarkan Program Pemeriksaan Kesihatan (HSP) secara percuma untuk ahli berusia 40 tahun dan keatas.

Pemeriksaan kesihatan ini meliputi pemeriksaan penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser serviks, dan kanser payu dara.

Namun, pemeriksaan percuma ini hanya ditawarkan di klinik-klinik panel terpilih sahaja. Sehingga Februari 2016, hanya 450,000 orang dari 2.2 juta ahli PERKESO yang layak telah menjalani pemeriksaan percuma tersebut.

Jadi, jika anda layak, jangan ketinggalan untuk menjalani pemeriksaan tersebut.

KATEGORI CARUMAN PERKESO

Kategori pertama: Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan;
  • Kategori ini untuk semua pekerja di bawah 60 tahun dikehendaki menyertai kategori ini.
  • Hanya 0.5% daripada gaji bulanan pekerja yang harus dicarum. Sekiranya anda menyumbang peratusan yang lebih tinggi, anda perlu laporkan hal ini.

Kategori kedua: Skim Bencana Pekerjaan sahaja;
  • Untuk pekerja yang berusia 60 tahun ke atas dan masih bekerja.
  • Untuk pekerja yang berusia di atas 55 tahun yang telah membuat caruman PERKESO pertama mereka.
  • Orang yang Diinsuranskan yang menerima Pencen Keilatan dan masih bekerja dan menerima kurang daripada 1/3 daripada gaji bulanan purata sebelum ketidaksempurnaan.
  • Majikan menanggung kos caruman kepada PERKESO pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan.

Kenapa PERKESO Sangat Penting?

Antara sebab utama PERKESO amat penting ialah perlindungan yang ditawarkannya boleh dikira menyeluruh, ditambah dengan sumbangan yang diberikan apabila anda terlibat dalam bencana di tempat kerja.

Ini bermakna rawatan dan juga rawatan susulan untuk kecederaan di tempat kerja bakal ditanggung PERKESO.

Sebagai contoh, jika pekerja ditimpa kecederaan kekal ataupun memerlukan rawatan fizikal, kos rawatan tersebut bakal ditanggung PERKESO.

Ini termasuklah fisioterapi, pembedahan, anggota palsu dan juga alatan prostetik seperti kerusi roda atau alat bantuan pendengaran.

Malah, kecederaan yang berlaku di waktu rehat (yang telah ditetapkan oleh majikan) juga akan ditanggung oleh PERKESO.

Bagaimana Membuat Tuntutan PERKESO?

Sekiranya anda ditimpa kemalangan di tempat kerja, ataupun dalam perjalanan pergi atau pulang dari tempat kerja, anda boleh menuntut kos rawatan dari PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku di tempat kerja, majikan perlu memaklumkan hal tersebut kepada PERKESO dengan mengisi borang Laporan Kemalangan (Borang 21) dan Borang Tuntutan (Borang 10).

Anda juga perlu menghantar tag kehadiran ataupun rekod kehadiran kerja, sijil perubatan dan salinan kad pengenalan ke pejabat cawangan PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu anda pergi atau pulang dari tempat kerja, laporan polis dan lakaran peta lokasi kejadian sewaktu kemalangan berlaku juga perlu dihantar.

Maklumat Tambahan Mengenai PERKESO

Jika gaji pekerjaan pertama anda adalah di bawah RM4,000, caruman PERKESO adalah wajib Tetapi, katakanlah anda menerima gaji lebih dari RM4,000 untuk pekerjaan pertama, anda boleh memilih untuk mencarum PERKESO ataupun tidak.

Tetapi, jika gaji pekerjaan pertama anda dibawah RM4,000 dan anda menerima kenaikan sehingga jumlah gaji anda melebihi RM4,000, anda tidak dibenarkan untuk berhenti caruman PERKESO.

Pekerja dengan kontrak sementara ataupun sambilan juga perlu didaftarkan dengan PERKESO sekiranya gaji mereka dibawah RM4,000.

Seperti yang dinyatakan diatas, ia satu kesalahan jika majikan tidak membuat caruman PERKESO, tidak kira apa jua status kontrak pekerjaan ataupun umur pekerja tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon