Friday, February 21, 2020

Kebencian Ideologi Komunis Terhadap Islam

Kebencian Ideologi Komunis Terhadap Islam

Darwinisme yang turut menjadi asas kepada komunisme, telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels, kedua-duanya merupakan ateis, melihat penghapusan ke­percayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme.

Ideologi Komunis

Kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.

Tidak berapa lama selepas buku teori Darwin diterbitkan, Engels menulis surat kepada Karl Marx yang berbunyi, "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."

Pada 19 Disember 1860, Karl Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah untuk rujukan kita."

Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Karl Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah."

Maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.

Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin.

Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis, yang mana semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme.

Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah; "sekumpulan haiwan, tidak bernyawa, makhluk yang dungu, mesin manusia-haiwan dan tidak berguna."

Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang", telah menjadi asas pemerintahan.

Mereka yang cacat dan tidak berupaya bekerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati.

Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan dan kesetiaan.

Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki.

Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka dan kebencian menjadi satu perkara lumrah.

Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama.

Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, bekerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme.

Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, mereka akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut.

Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.

Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan.

"Agama Adalah Candu Masyarakat"

Di dalam "The Attitude of the Workers' Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:

"Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya."

Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama.

Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut.

Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki. Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal.

Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran, dan seterusnya menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan.

Dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri.

Kebenaran ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:

"Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui." (Ad-Dukhan, 38-39)

Penindasan Komunis

Kuasa-kuasa komunis menyebabkan umat Islam terus menderita dengan menyerang mereka yang tidak bersenjata: baik lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi di ribaan.

Mengikut pandangan ideologi komunis, yang dipengaruhi oleh teori evolusi Darwin, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan."

Manusia adalah sebuah jentera industri yang tidak bernyawa, yang terletak di antara makhluk manusia, haiwan dan juga mesin.

Kekejaman di Chechnya telah dilakukan oleh Rusia – yang masih diperintah oleh bekas komunis – adalah bukti berlakunya amalan sistem tersebut.

Dan saat ini penindasan yang maha luar biasa terhadap etnik Uighur oleh kerajan Komunis China.

Oleh itu, setiap individu harus memikirkan pertama sekali tentang tujuan penciptaannya, dan kemudian tentang makhluk atau jasad yang dilihat di alam ini dan juga yang akan dijumpai sepanjang kehidupan mereka. Seseorang yang gagal berfikir hanya akan dapat memahami kebenarannya setelah dia mati, di hadapan Allah, tetapi ketika itu segalanya sudah terlewat.

Berfikirlah sementara kita masih punya masa, dan kemudian buatlah kesimpulan. Ia pasti akan memberikan faedah kepada kita di Hari Akhirat nanti.

Itulah sebabnya Allah menyeru manusia, dengan menggunakan utusan-utusan dan juga kitab-kitab-Nya, untuk berfikir tentang tujuan penciptaannya dan seluruh alam semesta ini.

"Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan untuk waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya ramai manusia yang ingkar tentang pertemuan dengan Tuhannya." (Ar-Ruum, 8)

Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir.

Namun, seperti yang telah kita lihat, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.

Kesimpulan

Secara ringkas, telah jelas bahawa ideologi komunisme yang memusuhi dunia Islam telah berakar-umbi dari budaya ateis yang telah menguasai dunia Barat pada kurun kesembilan belas.

Hal ini sekali lagi menunjukkan bahawa betapa pentingnya perang intelektual dilakukan untuk menentang segala fahaman ateisme, yang mana ia bukan sahaja suatu kuasa yang cuba membinasakan kehidupan manusia di Akhirat dengan menghapuskan kepercayaan beragama.

Sebaliknya ia juga, pada masa yang sama, turut bertujuan untuk memusnahkan dunia ini, menukarkannya menjadi sebuah tempat yang dipenuhi kekacauan dan peperangan, dan ia melihat umat Islam sebagai sasaran utama.

Inilah sebabnya mengapa perang intelektual adalah baik kerana ia suatu tindakan untuk meningkatkan keimanan dan juga sebagai satu "perang moral" menentang "korupsi" yang sedang menguasai bumi ini.

Kewujudan ramai umat Islam yang sedang ditindas oleh sistem ateis di seluruh dunia telah menyedarkan kita betapa pentingnya perjuangan tersebut.

Setiap kejayaan ideologi menentang ateisme (dan juga falsafah-falsafah, ideologi-ideologi dan yang kononnya merupakan teori saintifik seperti Darwinisme yang bersandarkan kepada dasar-dasar ateis) juga merupakan kejayaan moral yang dapat membantu umat Islam yang sedang ditindas di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Kenapa Venezuela Negara Kaya Minyak Tetapi Miskin?

Kenapa Venezuela Negara Kaya Minyak Tetapi Miskin?

Negara Venezuela begitu kaya dengan hasil petroleum sehinggakan kerajaan di bawah pimpinan mendiang Presiden Hugo Chavez membelanjakan wang yang besar dalam program negara dan pernah menyumbang minyak secara percuma kepada rakyat Amerika yang miskin.

Venezuela muflis

Suatu ketika dahulu, Venezuela adalah negara demokrasi yang stabil, memiliki rizab minyak mentah terbesar dunia dan merupakan salah satu ekonomi paling pesat berkembang di Amerika Latin.

Namun, negara itu mula mengalami kejatuhan yang mengejutkan pada tahun 2014.

Produk domestik mereka menurun lebih banyak berbanding ketika Amerika berada dalam zaman Great Depression.

Sebahagian besar daripada 32 juta penduduk tidak mampu lagi membeli makanan, manakala hospital pula tidak mempunyai peruntukan untuk membeli sabun dan antibiotik.

Sementara itu, sistem politik Venezuela juga semakin meruncing. Presiden Nicolas Maduro yang dipilih semula pada 2018 telah dicemari dengan pelbagai insiden dan tuduhan seperti salah guna kuasa.

Protes besar-besaran dan pemberontakan juga berlaku di negara bergolak itu.

Bagaimana Venezuela boleh jatuh seteruk ini dalam masa begitu singkat?

Pakar berkata, kebangkitan dan kejatuhan negara ini adalah disebabkan oleh kombinasi beberapa faktor.

Menurut profesor sains politik dan Kajian Amerika Latin, Jo-Marie Burt, Venezuela telah lama bergantung kepada hasil minyak dan revolusi yang dibawa oleh Hugo Chavez pada dasarnya telah mengubah keadaan itu.

Menurut Jo-Marie lagi, beberapa lagi faktor lain seperti penurunan harga minyak, perbelanjaan sosial yang besar oleh kerajaan Chavez dan Maduro, sekatan daripada A.S, salah urus ekonomi dan rasuah di peringkat atasan adalah penyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara itu.

Krisis Venezuela semakin buruk akibat sekatan Amerika terhadap industri minyak negara itu namun, Amerika juga menguasai industri perlombongan emas Venezuela.

Amerika juga telah mengenakan sekatan terhadap Bank Negara Vanezuela dan memotong aksas institusi itu kepada mata wang A.S serta mengehadkan keupayaannya untuk melakukan transaksi antarabangsa.

Ia dilakukan supaya memberi lebih banyak tekanan terhadap rejim Presiden Maduro.

Menurut satu kajian sekumpulan universiti terkemuka Venezuela, 60 peratus rakyat negara itu kehilangan berat badan sebanyak purata 11 kilogram kerana diet kurang protein, salah satu nutrien utama dalam daging.

Sesetengah rakyat Venezuela juga menyalahkan masalah mereka ke atas Amerika Syarikat kerana sekatan terhadap negara mereka yang menyukarkan Venezuela menyusun semula hutangnya.

Kemelesetan selama bertahun-tahun itu menyakasikan tiga juta orang melarikan diri dari Venezuela - yang penduduknya hampir 32 juta menurut data Bank Dunia - sejak 2014, mewujudkan krisis migrasi di negara-negara berdekatan.

Berikut adalah beberapa detik penting dalam sejarah negara itu.

1922: Minyak ditemui

Sebuah telaga minyak di lembangan Maracaibo dari Venezuela barat mula menghasilkan 100,000 tong minyak sehari, menunjukkan rizab yang besar di bawah permukaan negara itu.

Diktator negara itu, Juan Vicente Gomes, membenarkan lebih daripada 100 syarikat minyak asing datang ke negara itu. Pada tahun 1928, Venezuela merupakan pengeksport petroleum kedua terbesar dunia.

Kebanjiran hasil minyak itu telah memperkuatkan rejim tentera Venezuela, terutamanya setelah undang-undang 1943, yang mengarahkan syarikat asing menyerahkan separuh daripada keuntungan mereka.

Namun, wang itu hanya memburukkan lagi masalah yang mula timbul di negara itu. Sebelum kebanjiran minyak, Venezuela tidak mempunyai sektor pertanian yang produktif.

Tanah-tanah dimonopoli oleh segelintir keluarga yang berkuasa, infrastruktur kurang dan negara tidak mempunyai ekonomi bersepadu.

Namun, minyak telah menyebabkan bandar seperti Caracas membangun dan penduduknya keluar daripada kemiskinan.

1958: Venezuela melantik Presiden Romulo Betancourt

Selepas penggulingan diktator Marcos Perez Jimenez, tiga parti politik utama bersetuju dengan Perjanjian Punto Fijo menerima keputusan pilihan raya apabila ketua pembangkang Romulo Betancourt dilantik sebagai presiden terbaharu negara itu.

Seorang ahli antropologi, Iselin Asedotter Stronen, menulis bahawa perjanjian perkongsian kuasa itu membantu mewujudkan satu sistem di mana setiap pihak dijamin sebahagian kementerian dalam kerajaan, pekerjaan, kontrak dan mereka dapat menyimpan hasil daripada minyak negara.

1973: Sekatan OPEC membawa keuntungan berbilion

Larangan mengeksport dagangan OPEC terhadap A.S dan negara-negara lain menyebabkan harga minyak meningkat sebanyak empat kali ganda dan Venezuela mendapat faedahnya.

Ketika lebihan berbilion dollar mengalir masuk ke dalam perbendaharaan negara, DGP per kapita Venezuela meningkat sepanjang dekad.

Dua tahun kemudian, Presiden Carlos Andres Perez menandatangani undang-undang untuk menasionalisasikan industri minyak, mewujudkan sebuah syarikat minyak milik negara yang dinamakan Petroleos de Venezuela S.A (PDVSA).

Ini memaksa syarikat-syarikat asing memberikan 60 peratus saham pemilikan mereka dalam projek minyak.

1989: Ikat jamin IMF

Selepas harga minyak merosot pada akhir 1980-an, kerajaan Presiden Perez bergelut dengan hutang luar negeri sebanyak RM137 bilion.

Akhirnya, Venezuela dipaksa menerima ikat jamin Tabung Kewangan Antarabangsa dan terpaksa berjimat cermat dan mengenakan cukai yang tinggi.

Perkara ini mengakibatkan kenaikan mendadak dalam harga barangan pengguna dan tambang pengangkutan awam.

Penunjuk perasaan mula membanjiri jalanan untuk melakukan mogok yang akhirnya bertukar menjadi ganas. Ini membawa kepada pengisytiharan darurat dan perintah berkurung di seluruh negara.

1998: Hugo Chávez dipilih sebagai presiden

Hugo Chavez merupakan bekas ketua leftenan yang pernah memimpin tentera Venezuela dalam cubaan rampasan kuasa yang gagal, namun enam tahun kemudian, dia dipilih sebagai presiden.

Selama sedekad setengah, Chavez telah memulakan perbelanjaan sosial yang besar. Kerajaannya membiayai program pendidikan, kesihatan, makanan dan perumahan untuk penduduk, yang melebihi 30 juta orang.

Walaupun pentadbirannya berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tetapi negara itu menjadi lebih bergantung kepada hasil minyak.

Walaupun Chavez cuba mempelbagaikan ekonomi Venezuela, strateginya yang mahal itu meningkatkan kebergantungan terhadap minyak yang dieksport.

Dia juga cuba membina pengaruh Venezuela dengan menyediakan minyak bersubdisi ke Cuba sebagai pertukaran untuk perkhidmatan doktor dan guru.

Dia juga menjual minyak di bawah harga pasaran kepada negara-negara Amerika Selatan dan China.

Pada masa yang sama, Chavez mengabaikan perbelanjaan untuk membaik pulih fasiliti minyak sehingga menyebabkan hasil menurun.

2013: Nicolas Maduro dicabar Ketua Pembangkang

Nicolas Maduro
Nicolas Maduro.

Selepas Hugo Chavez mati akibat kanser, dia digantikan oleh pilihannya sendiri iaitu Nicolas Maduro - bekas pemandu bas yang memenangi jawatan presiden dengan majoriti tipis dalam pilihan raya 2013 yang dipertikai - menyalahkan musuh politiknya bagi keadaan negara itu yang kini menyedihkan.

Namun, Nicolas gagal untuk menghentikan penurunan harga minyak dan kepincangan ekonomi negara.

Untuk mengatasi krisis hiperinflasi dan krisis kewangan Venezuela, Nicolas Maduro menghilangkan lima sifar daripada mata wang bolivar pada Ogos tahun 2018 lalu dan menambatkannya pada sebuah mata wang kripto (cryptocurrency) yang dipanggil Petro.

Nicolas juga menaikkan gaji minimum bulanan puluhan kali sepanjang tempoh presidennya, termasuk lima kali tahun 2018 lalu. Semakan terbaru - kenaikan 300 peratus - yang diumumkan pada 14 Januari 2019, menyaksikan gaji minimum naik daripada 4,500 bolivar kepada 18,000 bolivars ($2,450)

Rakyat miskin Venezuela bertambah marah setelah tersebar sebuah video Nicolas Maduro menikmati hidangan daging lazat di sebuah restoran milik seorang cef selebriti Turki.

BANTAHAN DAN TINDAKAN KERAS

Juan Guaido
Juan Guaido.

Satu gelombang bantahan antipemerintah pada Februari 2014, di tengah-tengah krisis ekonomi teruk, meletus menjadi pertempuran selama empat bulan dan pemerintah cuba menghentikannya dengan tindakan ganas, menyebabkan 43 orang terbunuh.

Pusingan baru bantahan jalanan dicetuskan dari April hingga Julai 2017 apabila Mahkamah Agung pro-Maduro mengambil alih fungsi Dewan Negara.

Ratusan ribu orang menunjuk perasaan di jalan-jalan di seluruh Venezuela, mengutuk kesulitan ekonomi dan menuntut pilihan raya presiden. Sekurang-kurangnya 125 orang mati dalam kekacauan selama berbulan itu.

Disokong oleh Juan Guaido, ketua Dewan Negara, bantahan baru meletus di ibu negara Caracas dan seluruh negara bulan lalu, dengan 13 kematian dilaporkan.

Pada 21 Januari 2019, 27 askar melancarkan pemberontakan di pos komando di Caracas, sambil menggesa orang ramai supaya mengadakan tunjuk perasaan dalam video yang diedar di media sosial.

Mereka dengan cepat ditangkap. Menteri Pertahanan Vladimir Padrino berkata mereka menyerang pos keselamatan lain, menahan empat tebusan dan mengambil "senjata perang".

Pada 23 Januari, Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai 'pemangku presiden' negara itu, dan mempertikai keabsahan penggal kedua Encik Maduro selepas beliau memenangi pilhan raya presiden pada Mei tahun 2018 lalu.

Amerika dan negara utama Amerika Selatan, termasuk Brazil, mengiktiraf Encik Guaido sebagai pemimpin sementara Venezuela, sementara Kesatuan Eropah (EU) menggesa diadakan pilihan raya bagi memulihkan demokrasi.

Mexico, Russia dan Cuba, bagaimanapun, menegaskan pengiktirafan mereka bagi Encik Maduro.

Amerika dikatakan sedang menimbangkan lebih banyak sekatan terhadap Venezuela, menyasarkan barangan seperti minyak dan emas, untuk menjatuhkan Encik Maduro, yang masih disokong oleh kebanyakan tentera negara itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Pembohongan Teori Evolusi Charles Darwin

Pembohongan Teori Evolusi Charles Darwin

Pada tahun 1859, penyelidik amatur Inggeris, Charles Robert Darwin, mengemukakan Teori Evolusi hidupan yang rentetannya mencetuskan tanggapan kontroversi kononnya manusia berasal daripada keturunan monyet!

Teori Charles Darwin

Menerusi bukunya The Origin of Species, By Means of Natural Selection, Darwin antara lain menjelaskan semua haiwan dan tumbuhan pada hari ini berasal daripada spesies hidupan purba yang berevolusi sejak jutaan tahun lalu.

Secara umumnya, Darwin berpandangan segala spesies makhluk hidup tidak diciptakan secara terpisah oleh Tuhan tetapi berasal daripada nenek moyang yang sama dan menjadi berbeza antara satu sama lain akibat keadaan alam. Darwin menamakan proses ini sebagai 'evolusi melalui seleksi alam'.

Contoh berdasarkan Teori Evolusi, Darwin menolak tanggapan burung sememangnya diciptakan sebagai burung tetapi haiwan itu pada awalnya berasal daripada dinosaur purba yang berevolusi selama jutaan tahun sehingga menjadi burung pada masa kini.

Contoh lain yang lebih kontroversi ialah manusia kononnya tidak wujud pada jutaan tahun lalu sebaliknya yang wujud pada zaman purba itu ialah spesies monyet primat.

Melewati masa yang amat lama sehingga menjangkau jutaan tahun, spesies monyet itu berevolusi menjadi makhluk separuh manusia dan separuh monyet seterusnya secara beransur-ansur menjadi manusia moden pada hari ini. Darwin juga menyatakan manusia adalah hasil paling maju daripada proses evolusi ini.

Tanggapan sesat berkenaan mencetuskan konflik kepercayaan yang berpanjangan lantaran ramai manusia terutama umat Islam mempercayai bahawa asal kejadian manusia ialah daripada Nabi Adam a.s. dan bukannya monyet.

Bagaimanapun, ada segelintir penyelidik dan saintis fanatik yang meyakini Teori Evolusi Darwin dan berusaha selama ratusan tahun untuk membuktikan pandangan itu sebagai benar.

Teori Evolusi Darwin Tiada bukti saintifik!

Penyelidik Islam, Adnan Oktar, dalam bukunya Penipuan Teori Evolusi menjelaskan teori Darwin itu tidak berdasarkan sebarang penemuan saintifik sebagai bukti sebaliknya berdasarkan tanggapan akal semata-mata.

Menurutnya, sejak Teori Evolusi dikemukakan, saintis yang taksub dengan Darwin cuba melakukan pelbagai eksperimen dan penyelidikan arkeologi untuk cuba membuktikan bahawa teori berkenaan berasas.

Akan tetapi sehingga kini, segala eksperimen dan penyelidikan arkeologi itu gagal sekali gus membuktikan Teori Evolusi sebenarnya satu tanggapan yang sesat dan menyesatkan.

Secara logiknya, jika benar manusia berasal daripada keturunan monyet, pasti penyelidikan arkeologi akan menjumpai fosil makhluk peralihan separuh manusia dan separuh monyet yang wujud jutaan tahun lalu.

Tiada evolusi monyet

Manusia Piltdown

Penyelidikan arkeologi tidak pernah menjumpai bukti terpenting itu di mana-mana lokasi di dunia ini sekali gus membuktikan monyet tidak pernah berevolusi menjadi manusia atau mana-mana makhluk purba tidak pernah berubah menjadi haiwan moden.

Jika makhluk peralihan evolusi seperti ini memang pernah ada, maka seharusnya mereka muncul dalam jumlah dan variasi sampai berjuta banyaknya. Lebih penting lagi, tinggalan makhluk aneh ini seharusnya ada pada catatan fosil.

Jumlah bentuk peralihan ini pun semestinya jauh lebih besar daripada spesies binatang masa kini dan fosil tinggalan mereka seharusnya ditemui di seluruh penjuru dunia.

Akan tetapi, lantaran terlalu taksub kepada Teori Evolusi Darwin, penyelidik evolusi terus berusaha melakukan penggalian untuk mencari makhluk peralihan itu di seluruh penjuru dunia sejak pertengahan abad ke-19.

Walaupun penyelidik terbabit bekerja keras, tiada satu pun fosil makhluk peralihan itu yang ditemui. Sebaliknya, semua fosil yang ditemui membuktikan bahawa kehidupan muncul di bumi dalam bentuk yang sudah lengkap.

Bagaikan enggan mengakui kegagalan mereka, pendokong Teori Evolusi terus menghidupkan propaganda menerusi lukisan gambaran kewujudan makhluk separuh manusia dan separuh monyet yang disebarkan ke seluruh dunia.

Cipta rangka palsu

Malah, mereka juga menghasilkan rangka palsu kononnya sebagai fosil makhluk peralihan monyet kepada manusia yang didakwa ditemui mereka.

Antara skandal paling popular ialah dakwaan penemuan rangka 'Manusia Piltdown' pada tahun 1912 yang didakwa kononnya bukti kewujudan makhluk separuh monyet dan separuh manusia.

Manusia Piltdown terdiri daripada rangka rahang seakan monyet tetapi gigi dan serpihan tengkorak seakan manusia dan ditemui dalam lubang di Piltdown, England. Rangka itu didakwa berusia 500,000 tahun.

Penipuan Manusia Piltdown

Selama lebih 40 tahun, ratusan tesis doktor falsafah (PhD), artikel ilmiah dan penafsiran mengenai Manusia Piltdown ditulis kononnya fosil itu ialah bukti penting evolusi manusia daripada monyet.

Akhirnya, sekitar tahun 1949, ujian lanjutan dilakukan terhadap Manusia Piltdown menggunakan teknologi terkini dan hasil yang diperoleh ternyata amat mengejutkan!

Dalam analisis terperinci, didapati tengkorak berkenaan milik manusia berusia 500 tahun tetapi rahang pula milik kera yang baru sahaja mati. Tengkorak dan rahang itu dicantum dan diwarnakan supaya kelihatan usang.

Penipuan itu kemudian diumumkan pada tahun 1953 menyebabkan Manusia Piltdown kemudian segera disingkirkan daripada Muzium British walaupun sudah lebih 40 tahun dipamerkan dengan bangga di situ.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Thursday, February 20, 2020

Komunis China Arah Rogol Wanita Uyghur!

Komunis China Arah Rogol Wanita Uyghur!

Amalan 'rogol besar-besaran' terhadap wanita etnik Uyghur di Xinjiang menjadi pendedahan terbaru mengenai penderaan dan kekejaman yang dikenakan pihak berkuasa Komunis China terhadap etnik minoriti Islam itu dengan alasan untuk perpaduan etnik.

Rogol Wanita Uyghur

Pada tahun 2019 lalu, media Barat melaporkan lelaki China etnik Han diarah mengawasi rumah wanita Uyghur yang suami mereka ditahan pihak berkuasa.

Laporan rogol besar-besaran itu muncul selepas seorang pegawai kerajaan China memberi temuramah dengan Radio Free Asia mengesahkan wujudnya program dikenali sebagai 'Dijodohkan dan Menjadi Keluarga (Pair Up and Become Family).

Menurut laporan, lelaki etnik Han diarah tinggal dan tidur sekatil dengan wanita Uyghur melalui program itu yang menurut kerajaan China, bertujuan 'mempromosikan perpaduan etnik.'

Pegawai-pegawai Komunis China difahamkan akan tinggal di kediaman warga Uyghur sehingga enam hari pada satu masa dan bekerja serta makan bersama keluarga Uyghur sambil membincangkan ideologi politik Parti Komunis.

Namun, menurut aktivis Uyghur, Rushan Abbas, yang anggota keluarganya ditahan di Xinjiang, ia adalah rogol sistematik yang dilaksanakan kerajaan China bagi menghapuskan identiti etnik itu.

'Ia rogol besar-besaran. Kerajaan menawarkan wang, rumah dan pekerjaan kepada lelaki Han untuk datang dan 'berkahwin' dengan wanita Uyghur.

"Wanita Uyghur atau keluarga mereka tidak boleh menolak perkahwinan itu kerana jika menolak, akan dianggap sebagai pelampau Islam kerana enggan mengahwini ateis Han. Mereka tiada pilihan.

"Sudah bertahun-tahun lelaki Han yang berselindung di sebalik perkahwinan itu, merogol wanita Uyghur. Ia hanya disedari media pada tahun 2018 lalu," katanya.

Anda juga boleh membaca pendedahan seorang mangsa kekejaman komunis China yang kini tinggal di Sweeden, yang menyaksikan bagaimana tahanan wanita Uyghur di rogol depan semua tahanan. (https://www.dailymail.co.uk/news/article-7599941/Whistleblower-escaped-Chinese-education-camp-reveals-horrors.html)

Pegawai kerajaan China itu memberitahu Radio Free Asia, program berkenaan bagi 'membantu keluarga Uyghur dengan ideologi, membawa idea baru, berbincang mengenai kehidupan bagi mewujudkan perasaan antara satu sama lain.'

"Biasanya seorang atau dua tidur sekatil tetapi jika cuaca sejuk, tiga orang tidur bersama. Sekarang dianggap normal jika wanita tidur bersama dengan 'saudara lelaki' pasangan mereka," kata pegawai itu.

Menurutnya, mereka mendakwa wanita tidur satu meter jauhnya dari 'saudara lelaki' berkenaan, yang sebenarnya adalah pegawai Parti Komunis.

Namun, menurut Rushan, semua itu adalah pembohongan kerana ramai wanita Uyghur hamil.

Kekerasan dan kekejaman terhadap etnik Uyghur sudah berlaku sejak berdekad lalu, namun ia memuncak mendadak ketika pemerintahan Xi Jinping.

Kerajaan Xi berusaha membanteras semua amalan agama di China dan Islam menjadi sasaran utama kerana Islamofobia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

SBDJ Siri 125: Berbalut Kain Kuning

SBDJ Siri 125: Berbalut Kain Kuning

Nenek ketawa terkekeh melihat telatah saya yang melucukan itu. Saya turun ke halaman mengutip dedaun kering yang bertaburan. Pergerakan yang dilakukan membuat badan terasa ringan. Saya tidak mengalami sesak nafas atau rasa penat akibat kekenyangan. Perut yang membuncit kembali dalam keadaan normal.

Toyol jadi-jadian

"Apa rasanya, Tamar?"

"Rasanya nek, ya begini rasanya..."

"Kamu tak rasa mengantuk dan malas, badan terasa ringan, bukan begitu Tamar," belum sempat saya menyambung kata-kata, nenek segera memotong.

Tentu saja saya akur dengan apa yang dituturkannya itu.

"Betul cakap nek tu."

"Petua orang tua-tua ada khasiat, Datuk nenek kita tidak keluarkan petua ikut suka hati. Dicuba dulu, baru dipesan pada anak cucu," nada suara nenek agak meninggi.

Di wajahnya terpamer rasa bangga kerana berjaya mempengaruhi diri saya supaya yakin dengan petua.

Akhirnya saya naik ke rumah. Cari bantal lalu baring di ruang tengah dengan naskhah akhbar UTUSAN MELAYU terbentang di depan mata.

Akhbar itu saya letakkan di sisi kiri badan. Dari ruang tengah saya lihat nenek duduk di bendul pintu dapur. Dia menjahit kain pelekat.

Saya segera duduk, apa yang saya buat semuanya serba tidak kena. Sekejap-sekejap saya terfikir tentang Khoja Lisut dan Datuk. Apakah yang dilakukan waktu ini.

Dalam saat yang lain saya terkenangkan sahabat Datuk di Balik Pulau. Fikiran nakal saya terus menerawang, saya cuba menggambarkan suasana kampung di tanah Palembang.

Mana mungkin saya dapat menggambarkannya kerana saya sendiri tidak pernah sampai ke sana. Menanti waktu Asar tiba adalah sebuah penyeksaan bagi saya.

Saya terus memeluk sepasang kepala lutut. Saya memang tidak betah duduk di rumah.

Biasanya waktu begini, saya pergi ke pekan kecil atau dewan bacaan, membaca majalah dan buku novel percintaan terutama buku-buku novel dari negara tetangga Indonesia terutama karya HAMKA.

Memang sukar membaca karya dari penulis tanah seberang, kerana ejaannya tidak seragam.

Masih mengikut cara ejaan lama umpamanya ejaan YANG dieja JANG tetapi, kesulitan itu dapat saya atasi.

Kalau saya tidak merayap ke tempat tersebut, saya akan merayau ke hutan kecil melihat jerat pelanduk atau kijang.

"Hummmmm..."

Saya melepaskan sebuah keluhan. Arahan Datuk yang telah menetapkan waktunya membuat saya seperti dibelenggu. Takut mahu bergerak ke mana-mana.

"Tidurlah Tamar, Asar nanti nenek gerakkan."

"Mata tak mahu pejam."

"Nenek tahu, kamu tak suka duduk di rumah. Pergilah ke mana-mana, dekat Asar balik."

"Saya tak berani nek."

"Kenapa pula?" nenek seakan-akan terkejut.

"Takut asyik merayau-rayau nanti lupa pula nak pergi ke tempat Datuk."

"Terpulanglah pada kamu," nenek meneruskan kerjanya dan saya berpindah ke anjung. Duduk berehat di situ.

KAIN

Selesai saja menunaikan solat Asar. Saya tukar pakaian dan bersedia untuk memulakan tugas seperti yang diamanahkan oleh Datuk pada saya.

Waktu saya menuju ke pintu tengah, saya lihat ada beberapa bungkusan tersedia dekat bendul.

Bungkusan pertama dibalut dengan kain hitam, bungkusan kedua kain hitam. Bungkusan ketiga dibalut dengan kain kuning. Bentuk bungkusan yang ketiga agak berbeza dengan bentuk dua bungkusan yang lain.

Bungkusan ketiga (berbalut kain kuning) bentuknya memanjang dan tingginya kira-kira enam inci.

Saya yakin yang dibalut dengan kain kuning adalah botol. Saya lihat semua bungkusan itu dengan hati-hati.

Barangkali semua bungkusan yang ada ini, barang-barang dipesan oleh Datuk pada saya tadi, fikir saya dalam hati.

"Apa yang dimenungkan, bawa saja."

Saya menoleh ke kanan, nenek tercegat di situ dengan raga buluh di tangan. Nenek maju dua tiga tapak lantas duduk bersila di depan bungkusan.

"Dengan ini memudahkan kamu membawanya, Tamar."

Nenek pun memasukkan bungkusan-bungkusan tersebut ke dalam raga. Disusun dengan begitu cantik sekali.

Nenek bangun dan terus ke dapur. Dia datang semula ke muka pintu bersama dengan kulit-kulit durian kering dan seludang kelapa kering.

"Buat apa kulit durian kering dan seludang kelapa kering tu nek?" tanya saya setelah melihat nenek memasukkan barang-barang tersebut ke dalam raga.

"Nak halau nyamuk, Datuk kamu nak tidur di situ sepanjang malam ni."

"Hai, Datuk tak cakap pun pada saya nek," kata saya terkejut.

"Takkan semua perkara nak beritahu kepada kamu. Ini kerja orang tua-tua, kamu tak boleh tahu. Kamu tolong-tolong sudahlah, buat apa nak tahu."

"Barang dalam bungkusan ini pun saya tak boleh tahu nek?"

"Boleh tapi, nenek tak boleh bagi tahu. Orang yang boleh bagi tahu pada kamu cuma Datuk kamu sendiri. Kalau dia tak bagi tahu kamu boleh tengok masa dia buka bungkusan itu."

"Agaknya, perkara begini jadi pantang-larang."

"Entahlah nenek sendiri tak tahu. Apa yang Datuk kamu bagi tahu itulah yang aku bagi tahu pada kamu," nenek segera menolak bakul rotan ke depan saya.

Dari tindakannya itu, saya dapat menduga yang nenek menyuruh saya berangkat segera.

Dia tidak mahu saya mengemukakan berbagai-bagai soalan berhubung dengan barang-barang yang ada di dalam raga.

"Tak apalah nek, biar saya pergi dulu."

Saya pun memegang rangka raga. Bangun dan mula memijak anak tangga.

Baru tiga mata anak tangga saya pijak, nenek bersuara:

"Bawa terus jangan singgah di mana-mana, jangan menyusup di bawah ranting mati dan laluan binatang."

"Kenapa nek?"

"Jangan banyak tanya, itu pesan Datuk kamu pada aku untuk disampaikan pada kamu."

Saya menarik nafas dalam-dalam. Masih keberatan mengangkat kaki untuk memijak anak tangga seterusnya. Hati masih ingin tahu, kenapa mesti ada pantang larang begitu.

"Datuk tak beritahu sebab-sebab perkara itu tak boleh dibuat," saya cuba memancing nenek.

"Dah aku katakan tadi, jangan banyak soal. Apa kamu tak faham lagi, Tamar?" nenek jegilkan biji mata.

Langkah yang terhenti segera saya sambung kembali.

Saya sarungkan sepatu getah ke kaki. Sebelum memulakan perjalanan, lagi sekali saya tatap wajah nenek di ambang pintu. Dia memberikan senyuman selamat jalan.

REDUP

Perjalanan di bawah sinar matahari yang kian redup amat menyenangkan. Peluh tidak begitu cepat membasahi tubuh.

Beberapa rantai lagi mahu sampai ke pohon jati, saya berhenti sebentar. Tangan kanan saya terasa lenguh kerana terlalu lama membimbit raga. Saya tukar ke tangan kiri pula.

Saya panjangkan leher merenung ke arah pohon jati. Saya cemas. Datuk tidak kelihatan di situ. Tetapi, perjalanan saya teruskan.

Saya letakkan raga atas akar pokok jati dan waktu mata saya arahkan ke kawasan lapang (berpasir) saya lihat ada dangau (pondok) pisang sesikat yang jaraknya tidak sampai lima belas kaki dari tempat Khoja Lisut tertanam.

Atapnya dari daun bertam muda. Dindingnya cuma di bahagian belakang, kiri dan kanan. Tingginya kira-kira sekaki. Dibuat dari daun salak tua yang sudah dianyam rapi. Manakala bahagian depan terus terdedah.

Di bawah sinaran matahari petang yang kian runduk itu, saya lihat Khoja Lisut terkapar tidur atas pasir.

Kepalanya terlentuk atas permukaan pasir dengan kedua belah tangannya tergedang. Datuk duduk bersila di sebelah kanannya, dalam jarak dua kaki.

Melihat saya berada di bawah pohon jati, Datuk segera bangun. Dia melangkah ke arah saya.

"Ada kamu bawa barang-barang yang aku pesan," itu yang Datuk utarakan, sebaik saja dia berdiri di depan saya.

"Ada dalam raga tu tuk," saya segera meluruskan jari telunjuk ke arah raga.

"Hum...," Datuk anggukkan kepala.

Sepasang matanya tertumpu ke arah raga. Ada kepuasan terbayang di wajahnya.

"Kamu ikut pantang larang yang nenek kamu cakap Tamar."

"Ya, tuk."

Datuk terus mengambil raga yang berisi barang-barang itu, dibawa ke pondok pisang sesikat. Disangkutnya pada bahagian atas pondok. Datuk datang semula kepada saya.

"Kamu dah sembahyang Asar?"

"Dah tuk."

"Aku belum lagi, aku tak mahu meninggalkan Khoja seorang diri di pasir. Kamu dah datang, hati aku senang. Sekarang giliran kamu menunggunya."

"Tuk nak ke mana?" tanya saya cemas.

"Aku nak ke tebing sungai, aku nak ambil air wuduk."

"Ke sungai?" mulut saya terlopong.

"Kenapa Tamar?" Datuk menyoal.

Tiada jawapan dari saya. Datuk hayun kaki ke sungai dan debaran di dada saya kian kencang.

Saya masih lagi berdiri di bawah pokok jati. Saya renung ke arah Khoja Lisut. Kepalanya terkulai atas pasir dengan mukanya menghala ke arah pondok pisang sesikat.

Perlahan-lahan saya atur langkah mendekatinya. Saya berdiri di depannya. Tidak ada sebarang reaksi dari Khoja Lisut. Saya lihat kedua belah matanya terpejam.

Saya dekatkan telapak tangan kanan saya ke hidungnya, ternyata dia masih bernafas dan pada saat itu juga dia mendengkur. Sudah pasti, Khoja Lisut tidur nyenyak, fikir saya.

Orang tidur jangan diganggu. Kasihan, Khoja Lisut menempuh satu penyeksaan yang panjang kerana mahu mengubati penyakit yang dideritainya. Saya menarik nafas panjang-panjang sambil menatap wajahnya.

Kerana Khoja Lisut tidur nyenyak, saya segera terfikir, tidak ada gunanya menjaga orang tidur. Saya membuat keputusan untuk meninjau Datuk yang berada di tebing sungai mengambil air sembahyang.

Khoja Lisut saya tinggalkan. Dengan tenang saya melangkah ke arah tebing. Datuk membongkok di gigi sungai mengambil wuduk.

Saya terus melangkah dan berhenti dekat pokok bunga tanjung. Jarak saya dengan Datuk lebih kurang lima kaki saja. Saya segera berlindung di balik pokok bunga tanjung.

Cukup di sini saja. Kalau diteruskan pasti menimbulkan kesulitan diri sendiri. Paling kurang kena maki hamun dari Datuk.

Begitulah saya memujuk diri sendiri dan terus melihat gerak geri Datuk dari balik pokok bunga tanjung. Sesungguhnya, niat saya baik demi keselamatan diri Datuk.

Saya sedar, Datuk berdiri di gigi sungai menghadapi lubuk yang ada buaya. Nyawa Datuk dalam bahaya, saya perlu membantunya bila buaya itu melakukan serangan mengejut padanya.

Kerana itulah saya mengekorinya dan mengawasi Datuk dari balik pokok bunga tanjung. Kini, seluruh perhatian saya tertumpu pada lubuk buaya dan Datuk.

"Haaa..."

Mulut saya ternganga. Jantung saya berdebar. Buaya timbul di permukaan lubuk, macam batang buruk yang terapung di permukaan air.

"Tamar, aku tahu kamu ada di balik pokok bunga tanjung, kamu duduk diam-diam di situ, jangan menjerit dan jangan datang ke sini," Datuk menujukan kata-kata untuk saya.

Dengan perlahan-lahan saya menarik dan melepaskan nafas. Saya terpaksa patuh dengan arahan Datuk itu. Terpaksa bertahan di bawah pokok bunga tanjung.

MUNCUL

Datuk bagaikan tidak ambil kisah dengan kemunculan buaya di permukaan lubuk. Dia terus ambil wuduk hingga selesai, kemudian sarung selipar jepun ke kaki.

Berdiri di tebing dengan membelakangi buaya yang kelihatan bergerak ke arah tebing sungai.

Tiba-tiba buaya itu membedal ekornya ke arah Datuk, waktu ekor buaya itu menghempap tebing sungai, Datuk sudah pun berada di perdu pisang hutan.

Cukup pantas Datuk bergerak hinggakan saya tidak dapat melihat gerakan itu berlaku meskipun mata saya tidak berkedip merenung ke arahnya.

Datuk memusingkan badannya, berdiri tegak menghadapkan wajahnya ke sungai. Buaya masih menimbulkan badannya di permukaan lubuk, terapung macam batang buruk, bergerak lemah mengikut gelombang air.

"Hai buaya, aku bukan habuan kamu kali ini," pekik Datuk seraya mematah ranting dari pokok kecil di kirinya. Ranting itu dilemparkan ke sungai.

Sebaik saja ranting yang dilemparkan mengenai permukaan air sungai, buaya terus menyelam ke dasar lubuk.

Beberapa saat kemudian muncul kembali bersama riak gelombang air yang besar dan kuat menguasai permukaan lubuk.

Serentak dengan itu buaya terus menghempaskan ekornya berkali-kali ke permukaan air.

"Kamu marah," suara Datuk keras.

Dan buaya terus memukulkan ekornya ke air seolah-olah memberikan jawapan terhadap kata-kata Datuk.

"Jangan ganggu, aku ke mari bukan niat nak kacau kawasan kamu, aku ke mari nak menolong orang yang sakit," Datuk terus bercakap.

Biji matanya tertumpu ke arah buaya di air yang kelihatan tidak tenang. Sekejap menyelam, sekejap timbul. Ekornya terus memukul air.

"Selamat tinggal kawan," Datuk lambaikan tangan ke arah buaya.

Dan saya lihat buaya itu mengangakan mulutnya lalu dihalakan ke arah Datuk. Dua tiga detik kemudian buaya terus menyelam dan tidak timbul-timbul lagi.

Datuk meneruskan perjalanan ke pondok pisang sesikat tanpa menghiraukan saya yang berada di bawah pokok bunga tanjung.

Saya jadi serba salah, apakah saya masih terikat dengan pesan Datuk? Mungkin Datuk menghukum saya kerana mengekorinya dari belakang, jadi dia sengaja membiarkan saya di sini sendirian.

Kalaulah itu rencana dalam dada Datuk, dia memang seorang yang kejam. Timbul bermacam-macam pertanyaan dalam diri saya.

Saya renung ke arah pondok pisang sesikat. Datuk sedang menunaikan solat Asar. Saya sudah tidak mampu bertahan di bawah pokok bunga tanjung.

Saya jadi cemas dan tidak tentu arah. Sesekali saya terasa seram. Bulu tengkuk saya terasa tegak.

Dan saya mengambil keputusan yang amat nekad, saya langgar pesanan Datuk. Pokok bunga tanjung saya tinggalkan, berlari ke arah pondok pisang sesikat.

Saya berdiri di luar pondok pisang sesikat, menunggu Datuk menyelesaikan solat dan berdoa.

Saya tetap berharap tindakan yang saya lakukan tidak mendatangkan apa-apa kemarahan terhadap Datuk.

"Masuk Tamar,"

Nada suara Datuk cukup mesra. Ada senyum di wajahnya.

Saya masuk ke perut pondok. Duduk bersila di depan Datuk.

"Nenek kamu dah jual pisang dan keledek?"

Saya menggigit bibir, sukar untuk saya memberikan jawapan. Nenek tidak beritahu apa-apa dan saya tidak pula bertanya apa-apa pada nenek.

Secara spontan saya teringatkan kesan tayar lori di halaman rumah.

Saya yakin itu adalah kesan tayar lori peraih yang mengambil pisang dan keledek.

"Semuanya nenek dah jual tuk," tutur saya penuh yakin. Datuk anggukkan kepala.

Mungkin terasa lenguh duduk bersila, Datuk pun meluruskan sepasang kakinya sambil menyandarkan badannya ke tiang pondok.

Datuk mengerakkan jejari kakinya dan pada saat itu terdengar suara jeritan Khoja Lisut. Cepat-cepat Datuk gerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.

"Kamu pergi jiruskan air ke kepalanya, kemudian kamu korek pasir kelilingnya, keluarkan kedua belah tangannya," saya kerutkan dahi, kerana tugas yang diserahkan oleh Datuk pada saya bukannya tugas yang mudah.

"Saya buat seorang saja tuk?"

"Yalah, takkan kerja semudah itu aku nak tolong. Pergi buat sekarang."

Saya segera bangun dengan rasa yang amat malas. Sebaik saja berada di luar pondok pisang sesikat, lagi sekali saya tatap wajah Datuk.

Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi dan saya terus melangkah menuju ke arah Khoja Lisut ditanam.

"Korek gunakan pelepah kelapa."

Saya berhenti melangkah dan menoleh ke arah Datuk. Belum pun sempat saya bertanya, Datuk pun melemparkan pelepah kelapa ke arah saya. Dengan tangkas saya menyambutnya.

Saya terus membelek-belek pangkal pelepah yang ditarah rata dan nipis. Bentuknya macam sudip yang sering digunakan untuk mengacau nasi dalam kawah besar.

Panjang pelepah kelapa itu lebih kurang empat kaki lebih. Bahagian hujungnya diikat dengan kain tiga warna, merah kuning dan hitam.

Pelepah kelapa itu segera saya lurutkan dengan telapak tangan kanan.

"Jangan buat macam tu, Tamar."

Saya segera berhenti melurut pelepah kelapa. Biji mata saya arahkan kepada Datuk. Dia berdiri di pintu pondok pisang sesikat. Tangan kirinya digerakkan ke kiri dan ke kanan.

"Maafkan saya, saya tak tahu tuk."

"Hum, kenapa tercegat lagi di situ? Pergi sekarang buat apa yang aku suruh," suara Datuk cukup keras, mengganggu penumpuan saya terhadap pelepah kelapa di tangan.

Melihat saya masih terpaku di situ, Datuk terus bersuara:

"Pergilah cepat jangan terpacak di situ."

"Ya tuk, saya pergi sekarang," jawab saya tersekat-sekat.

Tanpa toleh kiri kanan saya aturkan langkah mendekati Khoja Lisut.

MATA

Saya berdiri di depan Khoja Lisut. Kemudian terus duduk bersila. Sepasang mata Khoja Lisut yang tidak bermaya itu menatap wajah saya.

"Dahaga, aku dahaga Tamar."

Saya segera menyumbatkan muncung botol ke mulutnya. Tergesa-gesa Khoja Lisut menyedutnya hingga menyebabkan dia tersedak.

Air yang berada dalam mulutnya berhamburan keluar. Hampir-hampir mengenai tubuh saya. Saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap.

Muncung botol segera saya pisahkan dari bibirnya. Lidah Khoja Lisut menjilat kesan air di bibir dan dagu. Perbuatannya itu amat mengharukan perasaan saya.

"Pak cik minum pelan-pelan sikit," kata saya penuh hormat.

"Ya, ya, aku tahu Tamar," sahutnya penuh ghairah.

Matanya tetap merenung muncung botol yang berada dalam tangan saya.

"Minum pakcik."

Muncung botol saya sumbatkan ke mulutnya. Khoja Lisut menyedut air dengan hati-hati, cakap saya dipatuhi dengan baik sekali. Dia berhenti meneguk air dalam botol.

"Hilang dahaga, pakcik?"

Dia terus anggukkan kepala. Cepat-cepat saya menjirus air dari dalam botol ke atas kepalanya.

Khoja Lisut terus bersin, mungkin lubang hidungnya dimasuki air yang saya tuangkan di kepalanya.

"Kalau dah bersin jangan buat lagi."

Saya lihat ke arah Datuk. Dia angkat tangan kanannya tinggi-tinggi dan dijatuhkannya perlahan-lahan.

"Sekarang koreklah pasir tu."

"Baiklah tuk."

"Mulakan dari sebelah kanan, baca Bismillah dan selawat Nabi tiga kali berturut-turut," lanjut Datuk lagi. Suaranya cukup nyaring. Arahan Datuk segera saya patuhi.

Mengorek pasir dengan menggunakan pelepah kelapa memang memenatkan, sekejap saja seluruh badan saya berpeluh, sedangkan pasir yang dikorek seperti tidak menampakkan sebarang kesan.

"Kau nak keluarkan aku dari pasir ni Tamar?"

Tidak saya jawab pertanyaan dari Khoja Lisut.

"Datuk kamu suruh keluarkan aku."

Seperti tadi, saya tetap membisu. Terus mengorek pasir.

"Agaknya, Datuk kamu melarang aku bercakap dengan kamu Tamar, agaknya ini jadi pantang larang."

Saya berhenti mengorek pasir dengan pelepah kelapa. Saya menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.

"Eh, jangan berhenti," pekik Datuk dari pondok.

Saya kembali meneruskan kerja yang terhenti. Saya tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh Khoja Lisut. Mungkin kerana kecewa dengan sikap saya, Khoja Lisut terus membisu.

"Tamar, tangan kiri aku dah keluar."

Saya terkejut, memang tidak saya duga tangan kiri yang keluar. Saya korek sebelah kanan, sepatutnya tangan kanan yang keluar.

Saya termenung sejenak memikirkan keanehan yang terjadi di depan mata.

Khoja Lisut merewang-rewangkan tangan kirinya sesuka hati. Setiap kali tangan kirinya dipusingkan, pasir yang berada di sekeliling tengkuknya turut sama bergerak hingga kedua belah sayap bahunya tertonjol di permukaan pasir.

"Tuk, tolonnnnngggggg!"

Pelepah kelapa saya tikamkan kedada pasir. Sepasang kaki saya bagaikan ditarik sesuatu. Terbenam dalam perut pasir separas lutut.

Pasir sekitar tempat saya berdiri menjunam ke bawah, seolah-olah jatuh ke dalam lubang gaung yang dalam.

Saya jadi panik dan terus berpaut pada pelapah kelapa.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 125/284

BACA: SBDJ Siri 124: Badi Ekor Buaya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 19, 2020

Isteri Masih Terima Jambangan Bunga, Walau Jasad Suami Telah Hancur Di Mamah Bumi

Isteri Masih Terima Jambangan Bunga, Walau Jasad Suami Telah Hancur Di Mamah Bumi

Walaupun jasadnya sudah lapan tahun terkubur, namun cinta dan kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi sebagai seorang suami tetap diterjemah tanpa batasan, buat seorang wanita bergelar isteri yang amat dikasihinya.

Tracey Rich Cox

Rich Cox tetap menghantar jambangan bunga kepada isterinya, Tracey, setiap kali tibanya ulang tahun wanita itu, yang hanya berselang sehari dengan Hari Kekasih.

Kali pertama menerimanya pada tahun 2013, Tracey mengakui cukup terkejut dengan perancangan mendiang suaminya.

"Ia membuatkan saya beremosi.

"Memang menyedihkan, tetapi saya gembira kerana ia membuatkan saya tahu dia sentiasa bersama saya," kata Tracey kepada CNN.

Tracey Rich Cox

Penghantaran bunga itu tidak terhenti di situ. Setiap tahun, akan ada jambangan bunga bersama nota cinta dikirimkan kepadanya.

"Walaupun awak tidak nampak, tetapi saya sentiasa berada di sisi awak," itu yang tertulis pada nota yang dikirim pada 2018.

Setiap tahun, mesej pada nota itu berbeza, kata Tracey.

Selama 26 tahun berkahwin, Tracey menyifatkan Rich sebagai lelaki yang penyayang, mengambil berat dan sensitif.

"Dia lelaki yang akan memberi kejutan dan beri saya bunga tanpa ada sebab pun," tambah Tracey yang kini tinggal di Kentucky, Amerika Syarikat bersama empat anaknya.

Tracey Rich Cox

Rich meninggal dunia pada tahun 2012 pada usia 53 tahun akibat kanser tekak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Stres Punca Maut Serangan Sakit Jantung Orang Muda!

Stres Punca Maut Serangan Sakit Jantung Orang Muda!

Pakar kesihatan mendedahkan stres menjadi faktor utama golongan muda maut akibat serangan jantung dan bukan hanya dipengaruhi oleh faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti, bahkan telah dibuktikan berdasarkan penemuan baharu oleh pakar perubatan.

Stress bawa maut

Stres berlaku kepada kebanyakan orang, akan menyebabkan jantung tidak berfungsi dengan normal. Degupannya laju. Tak cukup tidur, asyik bermimpi, naik baran tetapi mengaku tiada stres, kerana ia sukar dikesan. bukan seperti penyakit kronik yang lain.

Stres dalam golongan orang muda ini berpunca dari keadaan pekerjaan, kewangan, hubungan sesama kawan dan masalah persekitaran. Masalah ini akan menjadi penyebab kepada stres dan bahaya. Cuma, tidak ada orang yang merasakan dia stres.

Ada juga contoh beberapa pesakit kronik yang disebabkan oleh stres, kes seorang lelaki yang merupakan pengajar kecergasan di gimnasium yang disebabkan banyak bekerja, tidak cukup rehat, mengaku terkena serangan strok.

Begitu juga dengan selebriti dan pelakon. Mereka banyak terlibat dengan penggambaran. Tidak cukup tidur. Itu menyebabkan stres pada diri dan mungkin ditambah dengan stres sekeliling. Anak dan isteri terpaksa ditinggalkan. Ini menyebabkan jantung mengalami masalah fungsi.

Sekiranya stres dibiarkan tanpa diubati, dalam tempoh lima hingga 10 tahun, seseorang pesakit akan berdepan dengan kesannya.

Stres ini mengambil masa. Bukan hari ini kita stres dapat serangan jantung. Sebenarnya mengambil masa yang sama dengan serangan jantung. Kita tidak tahu kita ada penyakit kronik. Kalau mengikut kajian, stres dalam kalangan rakyat Malaysia sudah semakin tinggi. Dalam 50 peratus.

Stres juga boleh menyebabkan masalah mental, kemurungan dan boleh menjadi punca pesakit mempunyai keinginan untuk membunuh diri.

Artis dan ahli sukan Malaysia yang meninggal dunia kerana serangan jantung

Ashraf Sinclair, 40

Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, dilaporkan meninggal dunia pada 18 Februari 2020 dipercayai akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair meninggal dunia kira-kira jam 3.45 waktu tempatan.

Ashraf yang lahir di London, England pada 18 September 1979 mengahwini penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari pada 2008 dan mempunyai seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

Mohd Faizal Yusuf, 33

Pelakon Mohd Faizal Yusuf, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam, Kuala Lumpur kira-kira jam 1.45 petang akibat serangan jantung pada 1 Januari 2011.

Faizal dikatakan pengsan di rumahnya di Anjung Villa Bandar Baru Sentul di sini kira-kira 9 pagi akibat serangan jantung sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham pernah berkahwin sebelum bercerai dengan penyanyi Siti Nordiana dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayyan Nakhaie.

Hani Mohsin, 41

Pelakon, penerbit dan hos program TV, Hani Mohsin, 41, meninggal dunia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 25 Julai 2006.

Hani disahkan menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung oleh Hospital Serdang selepas beliau dibawa dari Klinik Pusrawi di LCCT.

Allahyarham ketika itu sedang menunggu penerbangan ke Alor Setar, Kedah sebelum pergi ke Langkawi.

Shamrin Fotograf, 45

Vokalis kumpulan Fotograf, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abd Samad, 45, meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 6.40 petang pada 11 November 2010 ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sulatan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an mengadu kekejangan otot semasa bermain bola sepak sebelum terduduk di atas padang.

Sebelum meninggal dunia, dia mengadu kepenatan kerana menghadiri pertunjukan pentas malam sebelumnya.

Mohd Suffian Abd Rahman, 41

Penjaga gol nombor satu Terengganu FC, Mohd Suffian Abd Rahman meninggal dunia akibat serangan jantung pada 17 Ogos 2019.

Pemergian pemain berusia 41 tahun itu mengejutkan ramai pihak berikutan pasukan yang diwakilinya akan menentang Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia pada malam berkenaan.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Jacky Ng Kiat Kee, 25

Pemain bola keranjang kebangsaan, Jacky Ng Kiat Kee, 25, meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung ketika menyertai satu kejohanan jemputan di China pada 28 Julai 2013.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan pada ketika itu, Chey Tat Woon.

Mendiang dilaporkan pengsan ketika berada di bangku pemain simpanan pada kira-kira 4.30 petang waktu tempatan di Jinjiang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

'Abu Dhabi Pearl' Berusia 8,000 Tahun Mutiara Tertua Di Dunia

'Abu Dhabi Pearl' Berusia 8,000 Tahun Mutiara Tertua Di Dunia

Sebiji mutiara semula jadi berusia 8,000 tahun yang ditemui di lantai sebuah bilik yang semasa proses menggali di Pulau Marawah di luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dianggap binaan arkitek terawal di negara itu, menjadi bukti objek yang didagangkan sejak zaman Neolitik.

Abu Dhabi Pearl
Abu Dhabi Pearl.

Lapisan mutiara tersebut mengandungi karbon dari tahun 5600 hingga 5800 sebelum Masihi, dipamerkan buat pertama kali dalam pameran 10,000 tahun kemewahan di Louvre Abu Dhabi 30 Oktober 2019 lalu.

Pakar sejarah UAE percaya, mutiara itu didagangkan dengan Mesopotamia, Iraq Purba sebagai pertukaran dengan seramik dan barangan lain.

Pedagang permata Venetian Gasparo Balbi yang mengembara ke rantau itu menyebut pulau di luar perairan Abu Dhabi sebagai sumber mutiara pada abad ke-16.

Abu Dhabi Pearl 8000 Years Old

Industri mutiara pernah menguasai ekonomi UAE namun perdagangannya merosot pada tahun 1930-an dengan kedatangan mutiara Jepun selain konflik yang menjejaskan ekonomi global.

Negara Teluk kemudiannya beralih kepada industri minyak yang menguasai ekonomi mereka sehingga hari ini.

Mutiara Akoya

Akoya Pearl

Mutiara Akoya juga dikenali sebagai Japanese Pearl, dihasilkan oleh kerang pinctada fucata, merupakan mutiara paling terkenal di jepun.

Keunggulan mutiara ini adalah kerana ia memiliki kilauan yang jauh lebih bersinar dan menarik berbanding mutiara lain, selain harganya lebih murah.

Mutiara Akoya juga berkilau dengan cahaya mawar, tampak anggun dan lembut, dianggap antara mutiara terbaik dan paling popular di dunia.

Ukuran mutiara Akoya hanya sekitar 2mm-10mm, namun warna yang dihasilkannya bervariasi dari warna emas, perak, cream, pink hijau dan biru.

Pink adalah warna yang paling diminati di Jepun kerana lebih sesuai dengan warna kulit mereka seperti warna pokok terkenal disana iaitu pohon sakura.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Negeri Sabah Dan Chow Kit Tersenarai 52 Tempat Di Dunia Mesti Dilawati Pada Tahun 2020

Negeri Sabah Dan Chow Kit Tersenarai 52 Tempat Di Dunia Mesti Dilawati Pada Tahun 2020

Akhbar terkemuka dunia dari Amerika Syarikat, New York Times, telah mengeluarkan senarai 52 tempat-tempat menarik diseluruh dunia yang perlu dilawati pembaca mereka untuk sepanjang tahun 2020.

Keindahan Lembah Danum
Lembah Danum.

Paling membanggakan, dua tempat dari Malaysia, Chow Kit dan Sabah juga turut tersenarai bersama-sama dengan destinasi pelancongan ternama seluruh dunia di kedudukan ke 20 dan 28.

Antara lokasi menarik di Sabah:

Umum sudah mengetahui Sabah memang menjadi destinasi pelancongan pilihan pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara kerana kepelbagaian tarikan semulajadi yang terdapat di negeri di bawah bayu itu.

Namun, kejayaan Chow Kit berada di kedudukan ke 20 sebagai tempat yang mesti dilawati membuatkan kita tertanya-tanya, adakah kita terlepas sesuatu yang menarik di sana sehinggakan ia disenaraikan bersama-sama destinasi pelancongan utama dunia yang lain.

Chow Kit market

52 Tempat Wajib Di Kunjungi Pada Tahun 2020 Di Seluruh Dunia:
  1. Washington, US
  2. British Virgin Islands, Caribbean
  3. Rurrenabaque, Bolivia
  4. Greenland
  5. Kimberley Region, Australia
  6. Paso Robles, California, US
  7. Sicily, Italy
  8. Salzburg, Austria
  9. Tokyo, Japan
  10. Caesarea, Israel
  11. National parks, China
  12. Lesotho
  13. Colorado Springs, US
  14. Cracow, Poland
  15. Jodhpur, India
  16. Western Sweden
  17. Egypt
  18. La Paz, Mexico
  19. Grand Isle, Louisiana, US
  20. Chow Kit, Kuala Lumpur, Malaysia
  21. Jevnaker, Norway
  22. The Bahamas
  23. Kampot, Cambodia
  24. Christchurch, New Zealand
  25. Asturias, Spain
  26. Haida Gwaii, British Columbia, Canada
  27. Austin, Texas, US
  28. Sabah, Malaysia
  29. Churchill, Manitoba, Canada
  30. Uganda
  31. Paris, France
  32. Lake District, England
  33. Tajikistan
  34. Antakya, Turkey
  35. Leipzig, Germany
  36. Lima, Peru
  37. Molise, Italy
  38. Copenhagen, Denmark
  39. Richmond, Virginia, US
  40. Mount Kenya, Kenya
  41. Minorca, Spain
  42. Oberammergau, Germany
  43. Plymouth, England
  44. Atlantic Forest, Brazil
  45. Belle-Île, France
  46. Val d’Aran, Spain
  47. Mongolia
  48. Juliana Trail, Slovenia
  49. Addis Ababa, Ethiopia
  50. Transylvanian Alps, Romania
  51. Urbino, Italy
  52. Glacier National Park and Whitefish, Montana, US

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2