Monday, August 19, 2019

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Perbincangan mengenai perkara cabang dalam isu agama semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat Islam ketika ini dan pada asasnya ia positif kerana dapat meningkatkan pemahaman kepada aspek agama itu sendiri.

Adab Berbeza Pandangan Dalam Islam

Namun, sudah lumrah apabila bercakap tentang perkara cabang pasti akan muncul perbezaan pandangan sama ada dikalangan agamawan apatah lagi khalayak awam.

Perbezaan pandangan dalam isu khilafiah ini perlu diuruskan sebaik mungkin agar tidak menjadi barah dalam kalangan masyarakat Islam.

Perkara pokok atau utama sudah disepakati bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dibenarkan.

Umpamanya, dalam isu keEsaan Allah tidak boleh ada perbezaan pandangan, begitu juga dengan kedudukan dalil-dalil yang bersifat definitif atau qatie perlulah diterima seadanya.

Namun, fleksibiliti diberikan di dalam perkara cabang dengan meraikan pandangan yang berbeza selagi tidak melibatkan perkara akidah ataupun perkara pokok.

Walaupun demikian kita perhatikan terdapat kegagalan dikalangan orang Islam meraikan perbezaan pandangan sama ada pandangan antara mazhab atau ulama di sesuatu tempat.

KEGAGALAN RAI PERBEZAAN

Misalnya, apabila Mufti Kerajaan Negeri Perlis mengeluarkan fatwa zikir menari adalah haram di sisi hukum syarak, tetapi Mufti Negeri Sembilan pula memfatwakan sebagai harus.

Maka, hebohlah seluruh negara membincangkan perkara ini dengan masing-masing memberi pelbagai hujah sama ada menyebelahi Mufti Perlis atau Mufti Negeri Sembilan.

Kita bukanlah orang yang layak membincangkan hal fatwa ini kerana tidak mempunyai kelayakan formal di dalam bidang agama dan tidak ada kuasa memberi pandangan berkaitan hukum.

Tetapi, apa yang ingin dikupas di ruangan ini ialah dari sudut menguruskan perbezaan pandangan atau pun adab al ikhtilaf.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak perbezaan pandangan muncul dalam Islam dan sepatutnya bukan merupakan kelemahan tetapi kekuatan untuk agama Islam itu sendiri.

Sudah lazim kita ketahui terdapat empat mazhab fikah yang besar di dalam Islam iaitu Mazhab Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Kemunculan empat mazhab besar ini menzahirkan simbol perbezaan pandangan dikalangan ulama.

Malah, Imam Shafie pun mempunyai perbezaan pandangan yang disebut sebagai qaul al qadim dan qaul al jadid.

Dahulu perbezaan pandangan antara mazhab dan ulama ini diraikan dengan baik, tidak timbul sumpah seranah, momokan atau hinaan terhadap suatu pandangan yang asing bagi seseorang itu.

Namun, sejak kebelakangan ini hilangnya penghormatan terhadap perbezaan pandangan ini semakin menjadi-jadi.

Perbezaan pandangan sebegini bukan hanya terjadi di dalam agama Islam sahaja, Kristian umpamanya juga mempunyai perbezaan dalam kalangan pengikutnya yang mengakibatkan munculnya pelbagai aliran Kristian seperti Katolik, Protestan, Ortodoks, Methodist dan banyak lagi namun, mereka semua mengakui mereka adalah Kristian.

Antara perbezaan yang sangat ketara iakah perayaan Krismas yang disambut pada 25 Disember setiap tahun.

Penganut Kristian Ortodoks tidak menyambut perayaan tersebut pada 25 Disember, tetapi pada 7 Januari, perbezaan sambutan selama dua minggu tetapi tidak menjadi masalah besar kepada penganut Kristian.

Bagi kalangan umat Islam pula apabila umat Islam di Malaysia menyambut hari raya lebih dahulu daripada umat Islam di Indonesia umpamanya ataupun sebaliknya pelbagai reaksi diperoleh dengan menghujahkan tidak ada kesatuan di dalam agama Islam.

TIDAK PERLU DIPERBESARKAN

Islam mengajar menghormati perbezaan pandangan dalam perkara berkenaan dan mungkin sebahagian golongan tidak lunak duduk bersama dengan orang yang berbeza pandangan dengan mereka tetapi haruslah disedari perbezaan pandangan inilah yang menjadikan agama Islam itu lebih anjal dan dapat diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Di dalam kitab Jaami Bayan al ilm, Umar Abdul Aziz berkata, “Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeza pendapat kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan.”

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mohd. Zin pernah menggariskan adab-adab berbeza pandangan di dalam perkara khilafiah di mana beliau merangkumkan ke dalam empat perkara besar iaitu:

Perbezaan pendapat janganlah membawa kepada perpecahan umat Islam.

Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam, tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam.

Menjaga hak-hak persaudaraan Islam

Hasan al-Banna menegaskan: “Perbezaan pendapat dalam masalah furu’ (cabang) tidak boleh dijadikan sebab untuk berpecah dalam agama yang membawa kepada permusuhan dan pertengkaran kerana setiap mujtahid ada ganjarannya."

Menghormati pendapat berbeza

Imam al-Shafie adalah antara tokoh yang sangat terbuka, bertoleransi dan menghormati pendapat serta pandangan orang lain.

Beliau sangat terkenal dengan ungkapannya ‘pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul.’

Boleh dianggap taksub melulu dalam kalangan umat Islam sekiranya terlalu menghendaki orang lain menerima pendapatnya.

Kerana mereka percaya pendapat mereka sahaja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya salah dan tidak menepati kebenaran.

Golongan ini lupa bahawa pendapat mereka hanya satu ijtihad sahaja, hanya merupakan satu pandangan yang boleh jadi salah dan boleh jadi betul.

Oleh itu kenapa mereka fanatik dan memperbodohkan pendapat orang lain. Adakah mereka dijamin ismah (tidak melakukan kesalahan) seperti Rasulullah SAW?

Tidak menggunakan perkataan keras dan kasar

Orang Islam hendaklah menjadi orang beradab dengan adab-adab Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak al-Quran dan al-Sunah, mengelakkan daripada membuat dakwaan palsu dan tuduhan liar dalam ucapan dan tulisan serta kata-kata kesat dan kasar yang boleh ‘meliarkan’ orang ramai.

Gunakanlah perkataan yang lembut dan membuat takwilan yang wajar dan munasabah.

Menguruskan perbezaan pandangan ini amatlah penting bagi umat Islam kerana kegagalan menguruskannya mungkin akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kancah perpecahan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Ayam Kampung Kacuk: Potensi Lumayan, Cepat Membesar Dan Mudah Diternak

Ayam Kampung Kacuk: Potensi Lumayan, Cepat Membesar Dan Mudah Diternak

Ayam Kampung Kacuk merupakan ayam ternakan yang paling sesuai dan lumayan diternak kerana kadar tumbesarannya yang amat pantas, iaitu antara 75 hingga 90 hari berbanding ayam kampung asli iaitu 6 hingga 7 bulan.

Ayam Kacuk Kampung
Ayam Kacuk Kampung.

Ayam Kampung Kacuk dihasilkan daripada pembiakan terancang, namun rupa dan bentuk badannya mirip ayam kampung asli.

Prestasi pertumbuhannya juga amat cepat dan dianggap lebih baik berbanding ayam kampung asli yang terdapat di kampung-kampung.

Apa yang istimewa adalah, ternakan Ayam Kampung Kacuk tidak menggunakan sebarang suntikan antibiotik kerana ia hidup sama seperti ayam kampung biasa tetapi pembesarannya lebih cepat.

Ciri-ciri Ayam Kacuk

Ciri-ciri menarik yang terdapat pada ayam Kampung Kacuk ialah warna kulit dan warna kakinya yang berwarna kuning.

Ayam Kampung Kacuk mempunyai balung tunggal dan tidak pandai bergaduh, tidak melompat atau terbang melebihi lima kaki tinggi.

Jadi, hanya dengan menggunakan pagar mata punai pun, ayam Kampung Kacuk hanya akan berlegar-legar disekitar reban.

Kepada bakal penternak atau para penternak yang mencari ciri-ciri terbaik seekor ayam Kampung Kacuk, ingat pesanan ini; jangan sekali-kali membeli anak ayam yang paruh telah dipotong (paruh atas lebih pendek). Jangan beli anak-anak ayam Kampung Kacuk yang dijual di pasar-pasar.

Ingat juga pesanan kedua ini; kualiti anak ayam bukan di tentukan oleh nombor kod seperti SASSO 154 atau KH B1 atau lain-lain berbentuk nombor, tetapi kualitinya anda sendiri yang menentukan setelah anda menternak sehingga boleh dijual.

Analisis perkara berikut ini;
  • Kadar kematiannya kurang 5%.
  • Kaki dan kulit berwarna kuning.
  • Paruh tidak dipotong.
  • Tumbesarannya sekata.
  • Dagingnya pejal dan rasanya sedap.
  • Kalau mahu menternak untuk jual daging, pilihlah ayam Kampung Kacuk sebab lebih berat (2–3 bulan: >1.5 kg ).
  • Kalau bela ayam kampung biasa, kena tunggu 6-7 bulan, itu pun lebih ringan kecuali guna baka sabung atau baka komersial seperti KH B1 (Super Kedah).

CARA PEMAKANAM AYAM KAMPUNG KACUK

Disini saya sertakan jadual pengiraan ringkas untung-rugi dalam menternak ayam Kampung Kacuk.

Walaupun begitu, jadual ini adalah sangat asas dan hanya sesuai sebagai rujukan untuk membina jadual anda sendiri mengikut keupayaan ladang masing-masing.

Berdasarkan kiraan sebenar bagi 200 ekor Ayam Kampung Kacuk yang dipelihara selama 2 bulan, berat akhir ayam adalah sekitar 1.4-1.7 kg per ekor menjadikan purata berat adalah sekitar 1.55 kg per ekor.

Pemakanan

Komersial:
  • 1-14 hari - Starter.
  • 14 - 32/35 hari - Grower.
  • 32/35 - sehingga jual - Finisher.

Jika anak ayam berada pada minggu ke-2, maka cara kira pemberian jumlah dedak adalah seperti berikut;
  • Seekor ayam perlu 25 gram sehari, ada 200 ekor ayam, maka 25g x 200 ekor = 5 kg sehari; iaitu 2.5 kg diberi pada sebelah pagi dan 2.5 kg diberi pada sebelah petang/malam.

Jika anak ayam berada pada minggu ke-5, maka cara kira pemberian jumlah dedak adalah seperti berikut;
  • Seekor ayam perlu 50 gram sehari, ada 200 ekor ayam, maka 50g x 200 ekor = 10 kg sehari; iaitu 5 kg diberi pada sebelah pagi dan 5 kg diberi pada sebelah petang/malam.

Harga dedak di anggarkan RM100 per guni. Anda bebas memilih harga dedak anda sendiri berdasarkan per guni 50kg.

Jadual ini dihasilkan dengan menggunakan dedak yang mengandungi protein 19-21%. Jika kurang dari ukuran itu, dikhuatiri keputusan adalah sangat jauh berbeza.

*Cara kiraan juga sama untuk makanan ayam berasaskan jagung dsb.

DAUN KETUM AYAM TINGGI PROTEIN

Ayam Kacuk Kampung Kaki Kuning

Ketika ini cabaran utama industri ternakan ayam adalah harga makanan yang terlalu mahal sehingga menyebabkan ada pengusaha kecil-kecilan gulung tikar.

Sumber makanan utama ayam seperti jagung umpamanya agak mahal dan kerajaan perlu mengimport kira-kira RM3 bilion untuk tujuan itu.

Melihat kepada masalah tersebut, seorang pengusaha ternakan tempatan memulakan kajian bagi mencari makanan alternatif mengantikan dedak.

Pengusaha terbabit, Supardi Bai, menggunakan daun Madre de Agua (Trichanthera gigantean) yang mengandungi protein yang tinggi sebagai alternatif yang baik kepada penternak ayam untuk mengurangkan kebergantungan kepada dedak.

Nama ''Ketum Ayam'' ini sebenarnya bukanlah Pokok Ketum Biasa (Mitragyna speciosa), yang ada unsur kimia Mitragyne dan boleh memabukkan dengan kesan seakan mengambil dadah.

Daun berkenaan yang beliau namakan sebagai `ketum ayam’ dikatakan tidak beracun dan tidak mengandungi antinutritif yang membolehkan proteinnya diserap terus ke dalam badan untuk membantu mempercepatkan tumbesaran.

Berkongsi lebih lanjut inisiatifnya untuk menghasilkan makanan ayam sendiri, Supardi memberitahu, antara faktor yang mendorongnya adalah harga makanan ayam terlalu mahal.

Selain itu, beliau inginkan makanan ayam yang diketahui kandungan nutrisi sekiranya dihasilkan sendiri.

Beliau mendakwa daging ayam yang diberi ketum ayam kurang lemak dan teksturnya lebih kenyal serta rasanya lebih manis berbanding ayam yang diberi dedak 100 peratus manakala telurnya mengandungi lebih Omega-3.

Pengilang dedak yang juga penternak sudah semestinya mengutamakan ternakan mereka dari segi nutrisi dan jangka-hayat dedak sebelum menjual ‘baki ’dedak mereka.

Dalam industri ternakan ayam, penternak-penternak kecil tidak mempunyai pilihan melainkan membeli dedak dari syarikat-syarikat besar dengan harga hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga kos mereka setelah diambil kira dengan kos bahan mentah, pekerja, fasiliti, pengurusan, pengedaran, peruncit dan margin keuntungan.

Berkelulusan ijazah dari Okayama Universiti Jepun, Supardi yang mesra dipanggil Pak Tam menjalankan kajian tentang daun berkenaan sejak tahun 2012.

Bermula dengan adaptasi terhadap cuaca dan persekitaran di Malaysia, seterusnya kajian penambahbaikan untuk makanan ayam telah dijalankan.

Pelbagai cubaan antaranya merebus dengan ikan masin, rebus dengan perencah sup, kisar dan gaul dengan dedak, kisar untuk minuman, biskut atau cekodok dan banyak lagi cuba dan jaya dijalankan.

Percubaan-percubaan ini diberikan kepada sejumlah ayam kacuk dalam beberapa siri ternakan.

Berasaskan keputusan percubaan-percubaan ini, sampel terdiri daripada campuran daun tua, sedang dan muda telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dianalisis pada November 2015.

Beliau mendakwa, hasil analisis menunjukkan kandungan protein kasar yang tinggi iaitu sebanyak 23.3 peratus sebaliknya nilai lemak kasar adalah rendah iaitu 2.6 peratus, malah menurut data-data kajian di luar negara juga menunjukkan kandungan protein melebihi 20 peratus.

Kandungan protein ini jauh lebih tinggi berbanding rumput napier sekitar 14 peratus, daun kelapa sawit 15 peratus dan dedak (antara 10 peratus hingga 21 peratus).

Walau bagaimanapun, perlu dingat bahawa sama seperti semua tumbuhan lain, kandungan nutrisi adalah berkadar terus dengan kesuburan.

Pokok ini ditanam pada jarak minimum 5 x 5 kaki, sesuai ditanam di tanah yang agak lembab, subur dan agak terlindung seperti di celah pokok pisang, durian dan sebagainya.

Pengairan yang konsisten juga dapat membantu kesuburan dan memaksimumkan kandungan protein.

Pokok Madre membesar sehingga 5-10 meter, mempunyai dahan yang agak kuat dan daun yang lebar mencecah 35x17cm berbentuk oval berhujung tirus. Ianya hanya mengeluarkan bunga apabila cukup matang.

Kandungan protein tertinggi didapati pada tempoh 2-3 minggu dari daun mula bertunas. Anda disarankan untuk memetik daun pada setiap 2-3 minggu.

Pokok yang berumur 4 bulan selepas penanaman boleh menghasilkan sehingga 250gram daun segar pada setiap penuaian. Cantas pangkal pokok apabila meningkat tinggi sekitar 5 kaki.

Ini membolehkan tunas baru tumbuh di pangkal pokok dan tunas ini lebih segar berbanding tunas yang tumbuh di dahan! Ia juga bertujuan untuk menyenangkan penuaian.

Pokok berdahan lembut ini cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian lima kaki dalam tempoh empat bulan.

Walau bagaimanapun, menurut pengalamannya, pokok tidak akan naik subur di tanah yang kering dan tidak bernutrisi.

Sekiranya berminat, dapatkan khidmat nasihat Jabatan Pertanian untuk memastikan kesesuaian tanah sebelum menanam. Pokok berkenaan boleh mencecah ketinggian antara 10 hingga 15 kaki.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja mencantas perlu dibuat untuk menghasilkan tunas baru yang subur di samping memudahkan memetik daun. Penjagaan pokok tersebut amat mudah.

Selain siput babi yang amat menyukai tunas muda, pada peringkat awal ia boleh dikatakan hampir tiada musuh.

Sekiranya terdapat kuye (kulat putih seperti tanaman cili dan sayur-sayuran), semburkan racun serangga sekali-sekala apabila perlu.

Pembajaan sekali sekala menggunakan najis ternakan sudah memadai dam berbeza dengan kelapa sawit atau getah, daun ini boleh mula dituai seawal dua bulan selepas penanaman.

Petik daunnya sahaja dan biarkan pucuk mengeluarkan daun muda yang baru. Daunnya yang lebar mempercepatkan kerja penuaian sama ada menggunakan gunting atau dengan tangan.

Pohon yang berusia setahun boleh menghasilkan 500 gram atau lebih daun segar sekali tuai bergantung kepada kesuburan.

Sehektar tanah boleh menghasilkan lebih 20 tan daun segar setahun mengatasi hasil kelapa sawit mahupun getah.

Pemberian kepada ternakan

Ayam Kacuk Kampung Betina

Buat masa ini, ternakan yang sesuai diberi makan daun ini ialah ayam kampung dan kambing yang tidak lepas bebas, ayam kacuk, itik dan ayam belanda, burung puyuh, ikan lampam dan tilapia.

Pada peringkat permulaan mungkin ada penolakan disebabkan ternakan telah biasa dengan makanan rutin.

Bagi mengatasinya, tarik perhatian ternakan dengan menggunting memanjang daun pada saiz satu milimeter tetapi tidak putus pada urat tunjang dan kemudian gantungkan. Ia akan bergoyang dan akan menarik perhatian ayam untuk mematuk.

Ulang selama dua hari dan boleh diracik dan berikan terus pada hari ketiga, dengan tujuan supaya senang dimakan dan mengelakkan kerja-kerja tambahan untuk mengoyakkan daun, kerana daun berkenaan agak tebal dan sedikit liat untuk dikoyak.

Selain diberikan dalam bentuk segar, ia juga boleh diproses menjadi sumber protein dengan menggaulkan dengan ubi kayu dan lain-lain.

Pada peringkat awal, antara satu hingga empat minggu, berikan secara berperingkat pada kadar kurang daripada 30 peratus keperluan makanan harian. Ini kerana pada peringkat ini tulang belum dapat menampung kadar kenaikan berat ayam.

Ternakan Ayam Kampung Kacuk yang dijalankan di Johor mendapati ayam menjadi lebih sihat dengan kadar kematian 0.3 peratus.

Kadar tumbesaran meningkat kepada dua kilogram (jantan) dan 1.7 kilogram (betina) pada umur 10 minggu.

Menurut beberapa tukang masak dan penggemar ayam kampung, dagingnya lebih kenyal dan manis berbanding Ayam Kampung Kacuk yang diberi dedak secara berterusan.

Daun ini telah digunakan sebagai makanan ternakan sejak sekian lama di negara-negara tropika dan difahamkan tiada simptom negatif seperti keracunan dilaporkan.

Pada masa ini, masih belum ada kajian spesifik berkaitan manfaatnya dalam bidang perubatan.

Kajian juga sedang dijalankan bagi membuat percubaan menambahkan lemak kasar dan kalsium kepada tumbuhan ini dengan kaedah tut dengan harapan daun ini akan lebih hampir kepada nutrisi lengkap untuk ternakan.

Matlamat utama kajian tersebut adalah menjadikan daun berkenaan sebagai sumber protein makanan ternakan bagi menggantikan hampas kacang soya yang diimport.

Dengan campuran ubi kayu sebagai sumber karbohidrat, maka pengusaha dapat memenuhi 80 peratus keperluan nutrisi ternakan dan semuanya produk tempatan.

MASALAH AYAM LAMBAT MEMBESAR

Kenapa penternak komersial boleh menjual ayam dengan berat 1.5 kg atau lebih dengan hanya pelihara selama 35-40 hari, tetapi ada penternak ini telah pelihara hampir dua bulan tetapi masih tidak mencapai berat seperti berat komersial?

Di sini kami akan cuba terangkan beberapa faktor yang mempengaruhi pemakanan dan tumbesaran ayam.

Ransum Pemakanan

Syarikat pengeluar makanan ternakan komersial telah mengeluarkan dedak mengikut kegunaan penternakan kita. Perbezaan yang nyata dari kandungan protien, kalsium dan lain-lain lagi.

Bagi ayam pedaging, makanan dirumus khas mengandungi kandungan protien yang tinggi bagi tujuan penggemukan. Bagi ayam baka dan penelur, makanannya pula dirumus mengandungi kandungan protien yang rendah berbanding dedak pedaging dan mengandungi unsur kalsium bagi pembentukan cengkerang telur.

Jenis dedak

Pastikan sebelum membeli, kita kena tahu dedak yang sesuai mengikut ternakan kita:
  • Anak (Pedaging /Penelur/Baka): Selalu ditulis perkataan starter/pemula dll.
  • Pedaging: Selalu diguni dedak akan ditulis perkataan Starter, Grower, Feeder, Penggemuk dll. Dedak ini khusus diformulasi bagi meningkatkan kadar tumbesaran dalam masa yang singkat.
  • Penelur: Selalu di guni akan tertulis perkataan layer.
  • Baka: Selalu di guni tertulis perkataan breeder.

Bentuk dedak
  • Anak (Pedaging /Penelur/Baka): Dalam bentuk mash (serbuk) dan crumble (dedak kasar).
  • Pedaging: Dalam bentuk crumble (dedak kasar) atau pellet.
  • Penelur dan Baka: Dalam bentuk mash (serbuk). Selalunya akan kelihatan jagung-jagung hancur dalam dedak tersebut.

Warna dedak

Pedaging:
  • Kuning: Ransum pemakanan mempunyai kandungan protien dari unsur-unsur tumbuhan.
  • Hitam: Ransum pemakanan mempunyai kandungan protien dari unsur-unsur haiwan (ikan dll). Penggunaan dedak hitam amat digalakkan untuk memaksimum tumbesaran (ayam cepat besar).
  • Baka dan Penelur: Dedak berwarna kuning dan kelihatan jagung atau kulit jagung bersama-sama dedak ini.

Waktu makan
  • Pedaging: Pada masa sekarang, dah ada guideline jumlah pemakanan sehari dari umur sehari hingga umur pasaran. Cuma pemberian biasanya dibuat dua kali iaitu sekali pagi dan sekali petang.
  • Penelur/Baka: Selepas 14 hari, dicadangkan memberi makan terus menerus sehingga umur hampir ke 16 minggu (dedak bentuk crumble). Lampu jika boleh dipasang pada waktu malam sehingga umur 1 bulan. Selepas itu, ayam diberi makan pada waktu siang sahaja.
  • Penelur/Baka: Pada umur 16 minggu, ayam boleh diasuh untuk mula menggunakan makanan baka/penelur. Makanan baka/penelur diberi dengan kadar yang bersesuaian. Tidak boleh diberi makan terus menerus. Hanya sekali di waktu pagi dan sekali di waktu petang. Jika diberi makan tanpa had, ayam akan menjadi gemuk dan produktiviti telur akan berkurang atau terhenti.

Pertukaran makanan

Pastikan sewaktu mahu menukar makanan ke bentuk yang lain atau jenama yang lain, makanan tersebut ditukarkan secara beransur-ansur selama beberapa hari sebelum bertukar sepenuhnya kepada makanan yang baru bagi mengelakkan ayam tersebut terkejut dengan perubahan makanan kerana kesannya, ayam tersebut perlu menyesuaikan makanan tersebut dan mungkin akan murung kerana makanan bertukar dan hilang selera makan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, August 14, 2019

10 Mitos Popular Apabila Menaiki Kapal Terbang

10 Mitos Popular Apabila Menaiki Kapal Terbang

Seperti semua jenis pengangkutan, perjalanan udara juga mempunyai bahayanya, jadi tidak hairanlah sesetengah orang akan gementar setiap kali menaiki pesawat, tetapi jika anda seorang yang fobia untuk terbang, anda perlu tahu bahawa kebimbangan itu mungkin tidak masuk akal atau tidak seteruk yang anda fikirkan.

Mitos Kapal Terbang

Ahli terapi, Christopher Paul Jones telah menyenaraikan 10 mitos paling biasa mengenai perjalanan udara, bagi membuktikan kepada golongan ini bahawa mereka tidak perlu bimbang untuk menaiki pesawat.

Paul Jones, juga dikenali sebagai 'The Breakthrough Expert', pakar dalam membantu orang ramai mengatasi ketakutan dan kebimbangan terbesar mereka dan panduan ini mungkin dapat membantu anda.

Mitos 1: Terbang itu bahaya

Munasabah untuk berfikir terbang di udara pada kelajuan 500 batu sejam, 36,000 kaki dari darat berbahaya, tetapi hakikatnya, perjalanan udara sebenarnya jauh lebih selamat berbanding mod pengangkutan darat.

Menurut Paul, kemungkinan untuk anda meninggal dunia dalam kemalangan pesawat adalah satu dalam 11 juta.

Mitos 2: Ia boleh berlaku kepada seseorang

Realitinya, bernasib malang kerana nahas kapal terbang masih ada dan seseorang pasti akan terjejas dengannya, tetapi jika anda adalah salah seseorang itu, ia dianggap sangat tidak bernasib baik.

Paul berkata, jika anda menggunakan logik untuk menjelaskan tentang takut mati dalam kemalangan pesawat, maka secara logiknya anda perlu 220 kali lebih prihatin tentang kematian kemalangan kereta.

Malah, tidur adalah lebih bahaya kerana kemungkinan untuk anda mati di atas katil semasa tidur adalah lima kali berbanding ketika berada di udara.

Mitos 3: Kalau terhempas, semuanya berakhir

Anda mempunyai 95.7 peratus peluang berkemungkinan terselamat dari nahas pesawat kerana kemahiran juruterbang yang mampu mendaratkan pesawat dengan ketepatan dan keselamatan luar biasa.

Mitos 4: Kemalangan, syarikat penerbangan tak terjejas

Sebuah pesawat jumbo menanggung kos penerbangan komersial sekitar £100 juta, jadi jika kapal terbang terhempas, begitu jugalah keuntungan mereka menjunam.

Belum lagi dikira berjuta-juta ringgit pampasan yang perlu diketepikan untuk mangsa dan keluarga mangsa.

Oleh itu, tidak masuk akal untuk berfikir bahawa syarikat tidak akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan salah satu pesawat mereka terhempas.

Mitos 5: Gelora udara bahaya

Juruterbang yang paling berpengalaman pun tidak mampu mengalahkan gelora udara yang kuat, tetapi ia sebenarnya tidak menimbulkan kemungkinan kemalangan.

Pesawat bergoyang hanyalah disebabkan ia melanggar 'poket udara' dan juruterbang anda sepenuhnya bersedia untuk itu.

Menurut Patrick Smith dari 'Ask The Pilot', jumlah kemalangan pesawat yang disebabkan oleh pergolakan boleh dihitung dengan jari sebelah tangan.

Mitos 6: Kegagalan enjin, pesawat terhempas

Enjin rosak semasa penerbangan adalah salah satu mimpi buruk, tetapi sebuah pesawat sebenarnya hanyalah sebuah luncur besar, yang bermaksud ia boleh diterbangkan dengan mudah dan mampu mendarat tanpa enjin.

Walaupun mustahil juruterbang anda untuk mendaratkan pesawat tanpa enjin, tetapi pendaratan tanpa satu enjin adalah tugas yang jauh lebih mudah.

Mitos 7: Kilat buat pesawat terhempas

Pesawat terhempas disebabkan kilat adalah fantasi Hollywood yang lebih besar berbanding realiti.

Paul mendakwa tiada pesawat moden pernah terhempas disebabkan kilat, kerana pesawat semasa direka untuk menahan kilat.

Mitos 8: Sayap pesawat mungkin jatuh

Kemungkinan sayap pesawat terjatuh semasa penerbangannya hampir sama dengan sifar kerana semua sayap telah diuji sebelum pesawat dibenarkan untuk berlepas, jadi jika akan jatuh, ia akan berlaku di darat.

Boeing mempunyai 'ujian pergerakan sayap' di mana sayap Boeing 787 dinaikkan ke atas pada ketinggian 25 kaki, membuktikan bahawa ia boleh berdepan sehingga 150 peratus pergerakan semasa peristiwa paling melampau.

Mitos 9: Bimbang buat saya terkawal dan bersiap sedia

Pakar 'Breakthrough' menyatakan bahawa adalah tidak rasional untuk cuba mengawal setiap elemen dalam hidup anda dan berbuat demikian boleh membawa kepada tahap tekanan yang tinggi.

Satu dalam setiap tiga orang mempunyai serangan jantung kerana tekanan dan kebimbangan, jadi anda sebenarnya jauh lebih cenderung untuk mati kerana bimbang tentang kemalangan pesawat.

Mitos 10: Berita tunjuk nahas pesawat banyak berlaku

Mitos ini mungkin yang paling mudah untuk disangkal kerana kita melihat kemalangan pesawat dalam berita disebabkan ia sangat jarang berlaku.

Jika kemalangan perjalanan udara begitu biasa, agensi berita tidak akan mempedulikannya lagi.

Paul mencatatkan bahawa, terdapat kira-kira 100,000 penerbangan setiap hari di seluruh dunia dan walaupun dengan bilangan yang tinggi, kita tidak akan mendengar kemalangan komersial walaupun satu, setiap hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Khasiat Dan Manfaat Kulit Manggis Untuk Kesihatan

Khasiat Dan Manfaat Kulit Manggis Untuk Kesihatan

Kulit manggis banyak manfaat. Kajian saintifik menunjukkan kulit manggis mengandungi pelbagai bahan bioaktif seperti asid fenolik dan flavonoids yang mempunyai aktiviti antipengoksida yang lebih tinggi daripada buah naga dan pisang.

Kulit Manggis

Komponen-komponen diatas ini telah diakui sangat penting untuk merendahkan risiko penyakit kanser, kardiovaskular dan saraf.

Walaupun isi buah manggis sangat digemari ramai, namun ramai yang tidak mengetahui manfaat kulit manggis.

Selain itu, kulit manggis juga mempunyai sifat antibakteria untuk merencatkan pertumbuhan bakteria.

Satu kajian saintifik yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Diagnostic Research pada 2017 menunjukkan bahawa kulit manggis boleh merencatkan pertumbuhan bakteria kerosakan gigi.

Namun, kajian seterusnya perlu dilakukan untuk melihat komponen utama yang berpotensi untuk merencatkan pertumbuhan bakteria tersebut.

Kulit manggis juga mempunyai komponen fitokimia-mangostin dan mangostin yang mempunyai aktiviti antikeradangan.

Aktiviti antikeradangan sesuatu komponen adalah sangat penting untuk merendahkan risiko penyakit radang usus, Alzheimer serta pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada universiti tempatan juga membuktikan kulit manggis boleh dijadikan satu bahan utama bagi penghasilan ubat terapeutik dan ubat antikerengsaan gigitan nyamuk.

Komponen fitokimia yang memberi warna merah ungu kepada kulit manggis adalah antosianin.

Antosianin merupakan pigmen semula jadi yang stabil terhadap haba dan telah lama digunakan dalam industri tekstil sebagai pewarna dalam pembuatan fabrik dan lebih stabil pada keadaan berasid berbanding beralkali.

Namun, warna merah ungu antosianin akan berubah kepada biru pudar apabila berada dalam persekitaran beralkali.

Justeru, antosianin pada kulit manggis akan memberikan warna yang berbeza jika digunakan sebagai pewarna dalam makanan yang berbeza sifat keasidan atau kealkalian

Dalam industri kosmetik, ekstrak kulit manggis juga banyak digunakan sebagai ramuan asas bertujuan membantu menghaluskan kulit wajah, menghilangkan parut muka serta mencerahkan kulit wajah yang kusam.

Secara tradisional, kulit manggis dijadikan masker wajah dengan mengisar kulit manggis bersama air secukupnya, yang boleh disapu pada wajah selama 20 hingga 30 minit atau sehingga kering.

Kini, terdapat beberapa produk kosmetik di pasaran yang sudah dibuat kajian saintifik dan dipatenkan untuk pengguna.

Sewajarnya, kulit manggis boleh dimanfaatkan dalam industri farmaseutikal, makanan, tekstil, serta kosmetik.

Manfaat Dan Khasiat yang dapat kita perolehi dari kulit manggis, jika rutin meminumnya.

Untuk Kesihatan Tubuh:
  • Menguatkan sistem kekebalan tubuh.
  • Menyembuhkan radang.
  • Memperbaiki sel tubuh.
  • Mengurangkan masalah insulin.
  • Membantu menurunkan berat badan.
  • Menyembuhkan kerosakan urat saraf.
  • Menyeimbangkan sistem kelenjar endokrin.
  • Menyembuhkan buasir.
  • Membantu menurunkan kadar gula dalam darah (hypoglycemia).
  • Meringankan penyakit kulit kemerah-merahan/bersisik (psoriasis).
  • Membantu menyembuhkan luka.
  • Meringankan sakit akibat carpal tunnel syndrome (penyakit yang terjadi pada pergelangan tangan serta jari yang disebabkan oleh tekanan yang sering terjadi pada bagian tersebut. Dan biasanya sering diakibatkan kerana sering memakai keyboard dan mouse).
  • Menghilangkan penyakit kulit kering bersisik kronis (neurodermatitis).
  • Kandungan anti oksidan manggis dapat mengurangkan sisik dan gatal pada penyakit kulit.

Untuk Kesihatan Jantung:
  • Membantu mencegah penyakit jantung.
  • Memperkuat pembuluh darah.
  • Menurunkan kolesterol LDL.
  • Menurunkan tekanan darah tinggi.
  • Membantu mencegah arteriosclorosis.

Kesihatan Pencernaan:
  • Membantu mengatasi penyakit GERD.
  • Membantu menyembuhkan bisul.
  • Meringankan syndrome kelainan usus besar (IBS).
  • Membantu menghentikan diare.
  • Meringankan peradangan usus besar ataupun kecil, Crohn's disease.
  • Nencegah salah satu penyakit radang usus besar (diverticulitis).

Lebih Awet Muda:
  • Menambah tenaga, meningkatkan kegembiraan dan menaikkan stamina.
  • Melambatkan proses penuaan.
  • Membantu menghindari penyakit kemerosotan pada otak (dementia dan Alzheimer).
  • Membantu mencegah batu karang ginjal.
  • Membantu mencegah penyakit sistem saraf (parkinson).
  • Meredakan sakit akibat radang sendi.
  • Memperbaiki kerosakan dari penggunaan ubat penahan sakit (NSAID).
  • Membantu kesihatan mata.

Kesihatan keluarga:
  • Menurunkan demam panas.
  • Mengatasi keracunan makanan.
  • Menyembuhkan luka.
  • Mengatasi sesak nafas.
  • Membantu mengurangkan migran.
  • Mengurangkan sakit gigi.
  • Alat bantu tidur semulajadi.
  • Meningkatkan kemampuan untuk mengatasi stess.
  • Meningkatkan mood dan menurunkan depresi.
  • Alat bantu kesihatan otot dan sendi.
  • Menghilangkan jerawat dan cacat pada kulit.
  • Menghilangkan bekas gigitan, terbakar dan keracunan.
  • Meringankan ketegangan otot dan sendi.
  • Meringankan sakit perut.
  • Meringankan radang paru-paru (bronchitis), pembengkakan paru-paru (emphysema) dan radang paru-paru (pneumonia).
  • Bekerja sebagai ubat penghilang rasa sesak/mampat pada hidung (decongestant).

Kesihatan Lelaki:
  • Membantu mencegah kemandulan.
  • Membantu mencegah pembesaran prostat.

Kesihatan Wanita:
  • Meringankan kesulitan buang air kecil.
  • Sebagai pencuci perut yang lembut.
  • Meminimumkan gejala sakit sebelum menstruasi (PMS).
  • Menurunkan pembengkakan saat menstruasi.
  • Meringankan gejala menopause.
  • Meringankan sakit pada otot, ligamen, atau tendon (fibromyalgia).
  • Meringankan sakit akibat penyakit osteoporosis.

Kesihatan Anak-Anak:
  • Membantu meringkan penyakit asma.
  • Mencegah gangguan hyperaktif dan kurang perhatian (ADHD) dan alergi makanan.
  • Membentuk gigi dan tulang yang lebih kuat.

Mengatasi Penyakit:
  • Mencegah penyakit gusi.
  • Membenteras penyakit TBC.
  • Menurunkan kesan sampingan ketidaktoleranan laktosa.
  • Membantu mencegah disentri.
  • Membantu mencegah penyakit sistem saraf pusat (multiple sclerosis).
  • Mencegah kanser.
  • Meringankan penyakit inflamasi kronik (peradangan bertahun) yang menyerang struktur tulang belakang, terutama sendi pinggul (Ankylosing Spondylitis).
  • Membantu mencegah jangkitan paru-paru dan pernafasan kronik (cyctic fibrosis).
  • Mencegah gejala yang berkaitan dengan penyakit lupus.
  • Mengurangkan penyakit lemas otot yang parah (Myasthenia Gravis).

Cara Merebus Kulit Manggis:
  • Ambil 3 biji kulit manggis.
  • Cuci sehingga bersih.
  • Kemudian, rebus dalam 1-2 liter air, sehingga airnya tinggal separuh.
  • Ketika merebus kulit manggis, tutup kuali jangan ditutup.
  • Air rebusan kemudian disaring dan minum secara rutin 2 kali sehari, ketika perut kosong, pagi dan petang/malam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Adakah Mempelajari Jawi Itu Mengkhianati Kaum, Bahasa Dan Budaya Cina?

Adakah Mempelajari Jawi Itu Mengkhianati Kaum, Bahasa Dan Budaya Cina?

Keputusan tegas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meneruskan cadangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam buku teks sekolah untuk kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bagi sekolah vernakular melegakan banyak pihak.

Tulisan Khat

Tun Mahathir berkata, dia percaya kepada dasar kemakmuran bersama kerana kerajaan turut tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam bahasa Cina di negara ini.

Langkah tersebut juga ialah suatu yang istimewa di Malaysia berbanding di negara serantau yang lain, kerana tulisan dalam bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam proses pendidikan.

Isu itu menjadi bualan hangat apabila seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun Empat.

Memetik laporan akhbar Sin Chew Daily, subjek jawi akan diperkenalkan dalam kurikulum bahasa Melayu Darjah Empat di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Tambahan pula, cadangan tersebut dibantah dua pertubuhan pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Merujuk kepada kandungan dalam Dokumen Standart Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun Empat untuk kegunaan 2020 seperti dalam Standard Kandungan 4.4 yang menyebut 'mengaplikasikan, menghayati dan menghasilkan unsur keindahan dalam seni khat,' maka cadangan kerajaan itu bukanlah langkah yang dianggap mendatangkan implikasi negatif kepada sesetengah pihak.

Perkara itu jelas selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching ketika merasmikan Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 memberitahu tulisan jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak 2016 dan jika diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, tulisan itu akan diperkenalkan tahun depan memandangkan perancangan untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum sekolah sudah pun dimulakan sejak 2014 lagi.

Pencerahan

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu wawancara bersama sebuah portal menegaskan langkah kementerian memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah Empat bukannya bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular.

Ujarnya, masyarakat sewajarnya melihat pengenalan jawi sebagai suatu usaha mengenali warisan dan identiti negara.

Kerajaan juga tidak mengarahkan pembelajaran tulisan jawi secara menyeluruh malah ia tidak dimasukkan dalam peperiksaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, “Bukan semua (yang membantah) itu adalah ahli DAP tapi ada satu bahagian daripada DAP yang menentang jadi saya ingat kita boleh teruskanlah."

Perkara itu terbukti apabila Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman dilaporkan bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan menyifatkan pelaksanaan modul itu hanya bertujuan mengekalkan warisan seni khat di negara ini.

Selaras dengan usaha bagi memupuk warisan sejarah itu, beliau menyarankan agar semua pihak perlu bertenang dan mengelakkan daripada menjadikan isu itu satu sentimen yang boleh menakutkan mana-mana pihak.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendedahkan beliau pernah mempelajari sendiri tulisan jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969.

Ujarnya, usaha mempelajari tulisan tersebut tidak menjadikan beliau 'kurang Cina' sebaliknya mengukuhkan jati dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Lim Kit Siang sendiri pernah berkata, “Adakah seseorang yang mempelajari jawi itu mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina? Bagi saya, jawapannya tidak."

Langkah itu juga disokong tokoh bahasa di Malaysia antaranya Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dan Profesor Datuk Dr Nik Safiah Karim yang menyatakan pengenalan tulis khat dalam buku teks sekolah tidak akan menggugat kestabilan kaum dan agama.

Malah, ia adalah dasar budaya dan bahasa yang mempunyai nilai mendalam dalam tinggalan khazanah Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Kehilangan Nora Anne
Nora Anne.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5km dari resort beliau dilapor hilang, dalam kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar, antaranya pakar penjejak yang terdiri daripada anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan, turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

KRONOLOGI KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN

3 Ogos 2019

Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019

Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019

Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019

Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

5 Ogos 2019

Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019

Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019

Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019

Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019

Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019

Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019

Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019

Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019

Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

11 Ogos 2019

Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019

Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam)

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

Apa sebenarnya yang terjadi? Nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Tuesday, August 13, 2019

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

Usahawan ternama dan pengasas Virgin Group menawarkan tip-tip untuk memulakan perniagaan dan kata beliau, "Saya sering ditanya jikalau telah menemui rahsia – atau sekurang-kurangnya jawapan yang konsisten – untuk membina perniagaan selama karier saya."

Rahsia Berjaya Dalam Perniagaan
Richard Branson.

Maka saya telah mengambil masa untuk berfikir tentang ciri-ciri kejayaan yang telah banyak dikecapi oleh Virgin dan yang paling penting sekali, apakah kegagalan yang ditempuhi atas pilihan yang kurang bijak. Mengimbau semula 40 tahun tersebut, saya dapat merumuskan lima “rahsia”.

1. Sukai Apa Yang Anda Buat

Disebabkan memulakan sesuatu perniagaan memerlukan ketekunan dan waktu yang lama, anda seharusnya menyukai apa yang anda lakukan.

Semasa saya mulakan perniagaan Virgin di basement rumah pangsa saya di Barat London, saya tidak bermimpi untuk membina suatu empayar perniagaan.

Saya hanya mahu memulakan sesuatu yang saya suka buat dan mampu membayar bil-bil saya. Tiada perancangan yang besar atau strategi, malah nama itu diilhamkan tanpa banyak berfikir.

Suatu malam, saya bersama sahabat saya sedang sedang berborak sambil minum-minum dan mengambil keputusan untuk menamakan kumpulan perniagaan kami Virgin, kerana kami semua pendatang baru dalam perniagaan. Nama itu kekal dan mempunyai bunyi yang unik.

Bagi saya, membina suatu perniagaan adalah sesuatu yang harus dibanggakan, mengumpulkan orang-orang yang berbakat dan mencipta sesuatu yang dapat mengubah hidup orang lain.

Sekiranya ahli perniagaan berhasrat untuk benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan orang lain dan mencapai hasrat tersebut, dia akan mampu membiayai hidupnya dan juga memiliki perniagaan yang berjaya.

2. Mulakan Sesuatu Yang Lain Daripada Yang Lain

Tidak kisahlah jika kamu mempunyai sesuatu produk, perkhidmatan atau jenama, tidak mudah untuk memulakan sesebuah syarikat yang mampu bertahan dalam dunia moden ini.

Kamu perlu melakukan sesuatu yang radikal untuk menjadi berjaya di zaman dan lihatlah ahli perniagaan yang berjaya dalam jangka masa 20 tahun yang lepas.

Microsoft, Google atau Apple, contohnya, menggegarkan sesebuak sektor dengan melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan terus berinovasi. Mereka sekarang mempunyai kuasa dominan.

3. Mulakan Sesuatu Yang Akan Dibanggakan Oleh Semua Orang Yang Bekerja Dengan Kamu

Perniagaan biasanya dijalankan oleh sekumpulan orang dan mereka adalah aset kamu yang paling berharga.

4. Jadilah Pemimpin Yang Baik

Sebagai seorang pemimpin, kamu harus menjadi pendengar yang baik. Kamu perlu tahu pendirian kamu sendiri, tetapi tiada guna juga jika kamu memberi pandangan kepada orang lain tanpa adanya perdebatan.

Tiada sesiapa mempunyai monopoli dalam idea yang baik dan nasihat yang baik.

Bergaullah. Dengarkan pandangan orang lain, biarkan orang menampilkan diri dan belajarlah dari mereka. Sebagai seorang pemimpin, kamu juga harus pandai memuji orang lain.

Jangan mengkritik orang secara terbuka; jangan menunjukkan panas baran dan sentiasalah memuji rakan sekerja kamu atas kejayaan mereka dalam melakukan tugas.

5. Sentiasa Kelihatan

Seorang pemimpin yang baik tidak seharusnya duduk di meja sahaja. Saya tidak pernah bekerja di pejabat – saya selalu bekerja dari rumah – tetapi saya selalu keluar dan bergaul dengan orang.

Saya banyak berjalan dan saya sentiasa membawa buku nota untuk mencatit soalan, kebimbangan dan idea yang baik.

Jika saya berada dalam penerbangan Virgin Atlantic, saya pasti meluangkan masa untuk keluar bertemu dengan semua pekerja dan kebanyakan penumpang.

Jika kamu bertemu dengan sekumpulan ahli kru Virgin Atlantic, kamu akan mendapat sekurang-kurangnya sepuluh cadangan dan idea.

Jika saya tidak mencatatnya, saya cuma akan ingat satu sahaja keesokan hari, tetapi dengan mencatatnya, saya akan ingat kesemuanya.

Apabila keluar dan berjabat tangan dengan semua penumpang pesawat, sekali lagi, akan ada orang yang memberikan pendapat dan menyatakan masalah mereka.

Catat dan tuliskan nama dan alamat e-mail mereka dan keesokan harinya kamu harus memberi maklum balas.

Sudah tentu, saya cuba untuk memastikan pengarah urusan yang dilantik mempunyai falsafah yang sama.

Dengan itu kita dapat menguruskan kumpulan syarikat sebagaimana peniaga kecil yang diuruskan kaum keluarga – sentiasa responsif dan mesra.

Apabila mula-mula membina perniagaan, frasa penting untuk beberapa tahun pertama adalah “kemampuan untuk bertahan”.

Sememangnya sukar untuk bertahan kerana pada mulanya kamu tidak mempunyai masa dan tenaga untuk memikirkan tentang perkara seperti bagaimana hendak menyelamatkan dunia.

Kamu hanya akan terus berjuang untuk memastikan yang kamu dapat menjaga pengurus bank dan dapat membayar bil-bilnya.

Pendek kata, sepenuh konsentrasi kamu hanyalah bagi memastikan kamu tetap bertahan.

Walau bagaimanapun, sekiranya kamu tidak mampu bertahan, ingatlah bahawa kebanyakan perniagaan gagal dan pengajaran terbaik adalah belajar daripada kesilapan.

Kamu tidak seharusnya terlalu patah semangat. Bangkit semula dan cuba lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

SBDJ Siri 102: Rahsia Sebuah Rumah Tinggal

SBDJ Siri 102: Rahsia Sebuah Rumah Tinggal

Sejak kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah. Lelaki India itu merasa amat kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya dan akhirnya, lelaki India itu mengambil keputusan gantung diri dalam rumah hingga mati.

Toyol jadi-jadian

Mulai dari tarikh itu, rumah yang sebuah itu terus kosong. Hanya anjing peliharaannya sahaja yang masih setia menunggu rumah.

Biasanya, kalau saya yang lalu di situ anjing peliharaan tidak menyalak atau mengejar saya. Mungkin anjing itu sudah biasa dengan bau badan saya.

Berdebar juga ketika melintas rumah kosong, maklumlah hari sudah samar-samar. Matahari sudah berada di kaki langit.

Pepohon getah yang rapat dan berdaun lebat membuat cuaca di jalan tanah merah yang saya lalui bertambah suram.

Kalau saya ikut jalan raya (jalan jauh) saya tidak menghadapi masalah sesulit ini.

Angin yang bertiup terus menggerakkan dedaun dan reranting getah. Dedaun getah yang tua gugur ke bumi.

Beberapa kali langkah saya terhenti, diganggu oleh monyet liar yang melompat di dahan getah.

Saya kian mendekati rumah usang dan cara mendadak darah saya tersirap. Suara salakan anjing bertalu-talu membuat tubuh saya gementar.

Buah getah dan reranting getah berguguran, macam ada kuasa yang menggugurkan.

Monyet-monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan macam dikejar sesuatu.

Dedaun getah yang bergerak macam disentuh ribut mengeluarkan bunyi yang amat menggerunkan.

Dari celah-celah daun yang lebat itu, saya melihat ke dada langit. Awan nampak bersih, cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi.

Saya cuba berlari tetapi, tidak terdaya saya lakukan. Sepasang lutut saya terasa cukup lemah.

Saya cuba bertenang dan cuba menguasai perasaan gementar supaya tidak bertambah kuat. Usaha saya itu berhasil, saya berjaya mengawal perasaan cemas dan takut.

Akal fikiran saya mula terbuka, bersedia untuk bertindak untuk menghadapi sesuatu.

Memang betul, cakap Datuk yang pernah menasihatkan saya supaya bersikap tenang, gunakan fikiran, jangan panik bila berdepan dengan suasana yang mencemaskan.

SALAKAN

Suara salakan anjing terus menguasai kawasan ladang. Saya sudah bersedia untuk melawan anjing-anjing tersebut, sekiranya saya diserang.

Saya segera mengambil sepotong dahan getah yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Kayu itu tetap saya jadikan senjata untuk mempertahankan batang tubuh saya dari digigit oleh gigi anjing yang tajam itu.

Lama saya menunggu, anjing-anjing yang dijangka menyerang saya itu tidak datang.

"Kenapa? Mesti ada sesuatu," bentak batin saya.

Seluruh pandangan saya tujukan ke arah pondok usang. Saya lihat dua ekor anjing menyalak ke arah rumah usang. Dua tiga ekor lagi mengelilingi rumah tersebut.

Biasanya, bila anjing menyalak mesti ada sesuatu. Anjing tidak akan menyalak tanpa sebab.

Siapakah yang berada di dalam rumah usang waktu senja begini? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Rasa cemas kembali menguasai hati, bila saya terdengar bunyi suara gagak atas bumbung rumah tersebut.

Serentak dengan itu saya terlihat pintu rumah usang yang tertutup rapat, terbuka perlahan-lahan.

Saya juga melihat cahaya lampu minyak tanah. Ada bebayang manusia bergerak dalam rumah. Saya terhidu bau tembakau rokok.

Bila saya amati ternyata bau tersebut datang dari arah rumah usang. Dua kali saya terdengar suara orang batuk dan dituruti dengan suara orang bercakap.

Saya pasti yang bercakap itu seorang lelaki Melayu dan seorang lagi lelaki India. Mereka bercakap tentang masalah kewangan.

Beberapa ekor anjing meluru ke arah saya. Kayu di tangan saya pegang erat-erat dan bersedia untuk dihayunkan ke arah anjing-anjing tersebut.

Apa yang mengejutkan, bila anjing-anjing itu berada dalam jarak yang dekat dengan saya, terus berhenti menyalak, seolah-olah memperlihatkan sikap persahabatan.

Semua anjing-anjing itu menggoyang-goyangkan ekor sambil mengelilingi saya.

Salah seekor dari anjing tersebut yang berwarna kuning, berbadan besar dan tegap, berlari berulang kali ke arah rumah usang sambil berbunyi. Kemudian datang ke arah saya.

Tiga kali saya biarkan anjing itu berbuat demikian, hingga timbul dalam hati saya yang anjing tersebut mahu menyatakan sesuatu tentang apa yang ada di dalam rumah usang.

Saya nekad untuk pergi ke rumah usang. Hati saya tiba-tiba sahaja jadi berani, beberapa ekor anjing yang mengelilingi saya terus meluru ke depan, seolah-olah menjadi kepala jalan yang sekali gus melindungi saya.

Langkah kian teratur menuju ke pintu rumah. Sebaik sahaja saya berdiri di depan pintu, secara mendadak pintu rumah terbuak perlahan sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring akibat engselnya sudah berkarat kerana sudah lama tidak digunakan.

Sarang labah-labah dan sawang yang bergantungan di muka pintu bergerak-gerak lembut dan akhirnya pecah akibat di terpa angin.

Saya terpaku di muak pintu, tidak tahu, apa yang harus saya lakukan. Cahaya lampu minyak tanah terus menerangi ruang depan rumah.

Anjing-anjing yang mengiringi saya segera duduk di tanah sambil merendah-rendahkan muncungnya macam mahu menyondol tanah.

Anjing-anjing itu tidak menyalak lagi tetapi, bersuara mendayu-dayu.

Beberapa minit kemudian semua anjing-anjing itu melengking dengan suara yang tinggi dan melompat lalu lari ke arah kawasan pinggir ladang getah.

Saya yakin, semua anjing-anjing itu dipukul. Tekaan saya tidak salah, bila melihat beberapa ekor badan anjing itu berdarah dan berlari terjingkit-jingkit. Siapa yang memukulnya?

"Siapa di dalam?" jerit saya.

"Aku, kenapa? Apa yang kau mahu?"

"Ha....." saya gagal meneruskan kata-kata kerana terkejut menerima jawapan yang di luar jangkaan saya.

Suara orang ketawa memanjang dalam rumah usang jelas kedengaran.

Keadaan cuaca terus beransur gelap dan saya berazam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Saya maju setapak, berdiri tidak jauh dari ambang pintu. Bila saya sudah melangkah setapak ke depan, ertinya saya sanggup menerima sebarang risiko.

Saya jenguk ke dalam rumah. Lampu minyak tanah terlekap di dinding. Sesekali terdengar suara orang berbisik.

"Ya Allah...", saya separuh menjerit.

Ranjan (pemilik rumah usang) berdiri di depan saya. Bagaimana orang yang sudah mati boleh hidup semula? Tanya hati kecil saya.

Walaupun demikian, tubuh Ranjan yang terpacak di depan terus saya renungi. Saya lihat di batang lehernya terdapat kesan luka akibat dijerut dengan tali belati.

Saya tidak mengizinkan sepasang mata saya merenung lehernya lama-lama. Suara raungan anjing-anjing terdengar sayup-sayup di hujung ladang getah.

Entah mengapa saya jadi berani secara tiba-tiba sahaja. Bagaikan ada sesuatu kekuatan yang tersendiri datang dalam diri saya.

Ranjan terus merenung saya sambil membuka mulutnya perlahan-lahan.

Bila mulutnya sudah ternganga lebar. Saya lihat lidah pucatnya bergerak-gerak dalam rongga mulut.

Lidah itu kelihatan membesar dan menjulur sedikit demi sedikit hingga sampai ke paras dada.

Lidah tersebut kelihatan terbuai-buai ke kiri ke kanan, macam daun pisang dara dirempuh angin.

Serentak dengan itu terdengar suara orang bersorak dengan gamat yang datangnya dari arah kiri dan kanan rumah. Suara tanpa manusia itu mendebarkan hati.

Bunyi dengung lalat, langau bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga. Saya segera menekup telinga dengan sepasang telapak tangan.

Ranjan mengangkat kedua belah tangannya lalu menghalakan ke arah batang leher saya.

Sampai di sini keberanian tidak dapat saya pertahankan, semuanya hancur berderai. Badan saya berpeluh dan menggigil.

Segera saya pusingkan tubuh ke kanan sambil merendahkan badan. Tanpa membuang masa, saya terus melompat dalam jarak dua kaki sebelum berdiri untuk membuka langkah lari seribu langkah.

SUARA

Saya terus berlari, suara cengkerik, suara katak dan bunyi burung tukang, bagaikan mempersenda-sendakan langkah saya. Hati terus dibalut rasa cemas dan takut.

"Hai, nanti dulu Tamar," saya segera toleh ke kanan, ke arah suara itu datang.

Kali ini langkah saya benar-benar kaku. Amjal Kamal berdiri senang di bawah pohon cempedak. Sepasang matanya yang hampir tersembul merenung ke arah saya.

Kulit dahinya terkoyak hingga menampakkan kedua belah tulang keningnya.

Darah merah segar mengalir di kedua belah pipinya. Daging pipi sebelah kirinya terkeluar, bergantungan macam daging lembu yang digantung di pasar untuk dijual.

Tulang dagunya terkopak macam dihentak atau terhempas pada benda yang keras.

Telinga kirinya terkoyak dan bibir bawahnya pecah.

Hidungnya tiada dan kulit di batang lehernya terkopak, urat dan tulang leher jelas kelihatan, buah halkumnya bergerak lemah bercampur dengan darah.

Baju yang dipakainya semuanya koyak rabak, begitu juga dengan seluarnya.

Saya tidak tahu apa yang wajar saya lakukan? Apakah saya perlu memberikan pertolongan padanya?

Jangan cari penyakit, cara yang paling baik dan selamat tinggalkan dia sendirian di situ.

Sebelum saya memulakan langkah, lagi sekali wajah Amjal Kamal yang aneh itu saya tatap.

Sepasang matanya yang tersembul tetap merenung sayu ke arah saya. Seolah-olah minta pertolongan dan simpati.

Renungannya begitu sayu dan bersahaja sekali. Dia menangis, kata saya bila melihat air matanya mengalir atas daging pipinya lalu bersatu dengan darah.

Saya jadi simpati. Rasanya, tidak sampai membiarkan dia sendirian.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Rasa simpati yang datang dalam hati, membunuh rasa takut dan cemas dalam diri saya.

Setiap kali melihat kelopak matanya yang tersembul berkelip, rasa mahu menolongnya kian menjadi-jadi dalam hati.

"Kenapa kamu jadi macam ini?" tanya saya.

Tidak ada jawapan yang saya terima, cuma renungannya kian redup, kian sayu, minta dikasihani.

"Kenapa kamu lari, waktu orang ajak kamu pergi ke masjid?" soal saya.

Macam tadi juga, jawapannya tidak saya perolehi. Matanya tetap meraut seluruh wajah saya.

Bila saya terlalu lama merenunginya begitu tanpa berkedip, membuat hati saya jadi cemas kembali.

Saya terpaksa menggunakan senjata terakhir, iaitu membuka langkah untuk pulang ke rumah.

Suara lolongan anjing sudah lama berhenti tetapi, suara cengkerik, katak dan burung hantu tetap menyanyi tanpa irama yang tertentu.

Sambil berlari, saya terus menoleh ke belakang, saya lihat Amjal Kamal yang sudah berubah bentuk itu tetap berada dekat saya. Dia seolah-olah mengapai-gapai tangannya untuk berpaut pada baju saya.

Ketika itu juga saya teringat cakap orang tua ganjil bahawa, Amjal Kamal yang mati akan kembali dalam bentuk dan cara lain untuk menjahanamkan siapa sahaja yang pernah menghalang cita-citanya.

Malangnya, orang tua itu tidak memberitahu saya bagaimana cara-cara untuk menghancurkan penjelmaan kembali Amjal Kamal itu.

"Tamar, ke mana kamu nak pergi?"

Saya pasti itu suara Datuk. Tetapi saya tidak mampu memperlahankan langkah kaki yang sedang berlari.

Terasa sekujur tubuh Amjal Kamal dengan wajah yang mengerikan tetap mengekori saya.

Datang lagi suara Datuk. Saya segera menoleh ke kiri tanpa disangka tubuh terlanggar pohon petai.

Bahu kiri, terasa seperti mahu tercabut. Amjal Kamal dengan wajah yang menakutkan terus hilang entah ke mana.

GELAP

Cuaca bertambah gelap. Dalam keadaan yang terhuyung-hayang itu, sepasang tangan kasar memeluk tubuh dengan kuat.

Saya terus meronta-ronta dan suara Datuk terus memukul gegendang telinga saya. Wajahnya tidak dapat saya lihat.

Usaha saya berhasil, sepasang tangan yang memaut tubuh dapat saya buka dengan membantingkan tubuh orang itu ke perdu petai.

Orang itu mengerang kesakitan, saya tidak dapat memastikan siapakah yang jadi mangsa saya.

Apakah orang itu patah atau pengsan bukanlah urusan saya.

Apa yang penting, saya harus berlari ke mana sahaja mengikut kata hati. Saya halakan tubuh ke arah matahari jatuh sambil memulakan langkah.

"Uhhhhh...," pekik saya sekuat hati.

Sepasang tangan saya gawangkan ke kiri dan ke kanan. Saya tidak dapat berdiri dengan baik.

Ada yang menaburkan jala besar ke arah saya. Sepenuh tenaga saya melompat hingga jala yang menyerkup saya pecah berderai.

Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terasa ada orang menyarungkan guni padi ke kepala saya.

Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah di rusuk kanan. Saya tidak dapat berdiri lalu jatuh terduduk.

Sepasang kaki saya ditarik dan dada saya ditekan. Saya terbaring dan tubuh yang sudah dibalut dengan guni itu terus di golek ke mana-mana. Tubuh saya diangkat dan diusung.

Akhirnya, dihumbankan ke dalam sebuah kolam. Saya mual kelemasan dan terus menelan air kolam, tekak terasa payau. Terasa ada orang merentap guni yang membalut tubuh.

Telinga saya masih menangkap suara orang bercakap. Entah apa yang dicakapkan, saya sendiri tidak tahu.

Fikiran saya sekejap berada di satu tempat lain dan sekejap berada di tempat apa yang sedang saya alami sekarang.

Tubuh saya diangkat dari perut kolam. Diletakkan di atas tanah. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, saya masih mampu melihat api jamung dari daun kelapa menerangi sekitar kolam.

Sukar untuk mengenali orang-orang yang mengelilingi saya. Pandangan saya agak kabur kerana air kolam masih lagi menguasai kelopak mata. Badan saya menggeletar kesejukan.

"Apa dah jadi dengan kamu, Tamar?"

Perlahan-lahan saya pusingkan leher ke kiri. Untuk seketika, wajah Datuk yang duduk mencangkung itu saya tatap.

Entah, mengapa saya tidak berminat mendengar suara dan wajahnya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan ke langit.

Saya tatap gumpalan awan dan bintang di langit. Tidak semena-mena, muncul Amjal Kamal di awang-awangan.

Bergerak bebas ke sana ke mari sambil melambai-lambaikan tangan ke arah saya.

"Hei, nanti dulu Tamar," katanya.

Dia berhenti betul-betul di depan mata saya.

Aneh, saya tidak berlari atau berjalan tetapi, kenapa dia menyuruh saya menantinya.

Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu. Amjal Kamal terus mendekati saya. Dia membaling seketul tanah di muka saya.

Bila tanah menyentuh kulit muka, terasa panas macam kena api. Buat beberapa detik saya tidak tentu arah.

"Kamu sekarang, tunduk dengan aku, kamu faham!" ujarnya.

"Faham," jawab saya.

"Kamu ikut perintah aku, tunduk dengan kata-kata ini: Dari hati, dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh,"

"Saya faham," nada suara saya lembut.

Amjal Kamal yang berada di awang-awangan itu ketawa berdekah-dekah.

Saya tidak tahu, apakah ketawanya didengar oleh Datuk dan rakan-rakannya.

"Kamu kenal siapa ini?" Amjal Kamal mengeluarkan sebuah patung dari celah ketiaknya.

Patung itu ditayangkan pada saya seketika. Saya gelengkan kepala.

Memang sukar untuk mengenali patung tersebut berwajah siapa dari jarak jauh.

"Baiklah, sekarang kau lihat dengan teliti," kata Amjal Kamal lalu membesarkan patung itu seperti bentuk manusia biasa.

"Kau kenal, siapa orangnya, Tamar?"

"Kenal."

"Siapa dia, Tamar?"

"Datuk saya."

"Sebenarnya, dia musuh kamu."

"Bukan, dia bukan musuh saya, dia Datuk saya," begitu yakin saya mengucapkan kata-kata itu.

Amjal Kamal gelengkan kepala beberapa kali.

"Cuba kau perhatikan dengan teliti Tamar."

Saya pun mematuhi arahan Amjal Kamal. Saya perhatikan dan saya telek patung sebesar manusia itu dengan teliti.

Memang bukan Datuk, cuma bentuk tubuh dan wajahnya hampir menyamai Datuk.

"Kau puas Tamar?"

"Ya. Saya puas hati, bukan Datuk saya."

Saya segera anggukkan kepala. Amjal Kamal tersenyum. Dia suruh saya merenung ke arah dada kiri patung. Apa yang disuruhnya saya patuhi.

Bila saya renung ke arah dada kiri patung itu, kelihatan cahaya berkelip-kelip macam cahaya batu delima.

Betul-betul berada di bahagian jantung. makin lama direnung, mata jadi silau dan kepala terasa pening.

Timbul keinginan dalam diri saya untuk memiliki benda yang memancar seperti batu delima itu.

"Tamar, dengar sini. Ini perintah, dari hati, dari perasaan dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh, Tamar," terdengar suara Amjal Kamal bergema dari setiap sudut. Wajahnya tidak dapat saya lihat.

Suara Amjal Kamal makin lama, makin kuat dan nyaring. Saya kira, kalau tidak dijawab, suara itu tidak akan berhenti lalu saya membuat keputusan:

"Ya, aku patuh pada perintah kamu.

"Bagus, kau pengikut yang setia."

"Apa perintah untuk aku?"

"Kamu mesti menikam ke atas dada orang yang bercahaya itu."

"Mahu ditikam dengan apa?"

"Dengan pisau."

"Dengan pisau? Perintah bodoh. Mana ada pisau pada aku?"

"Ada, kau raba bawah ketiak kamu."

RABA

Perintah itu saya turuti. Memang benar, sebilah pisau pendek saya temui di bawah ketiak sebelah kanan. Hulu pisau saya pegang erat-erat.

Suara ghaib terus bergema memerintah saya menikam ke arah benda bercahaya.

Saya tidak ada pilihan lain. Dengan sepenuh tenaga, saya balingkan pisau ke arah benda yang berkelip itu. Tepat pada sasarannya.

Terdengar jeritan dan benda yang berkilat itu hancur berkecai, badan patung berkecai dan berterbangan.

Melihat kejadian yang tidak pernah diduga, saya terkejut. Seluruh badan saya menggeletar.

Badan saya terasa kecil dan mula terpisah dari keadaan yang saya alami. Telinga saya mula terdengar suara orang bercakap.

Antara sedar dengan tidak, saya cuba menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan. Tidak mahu memandang ke langit lagi.

"Curahkan air ke mukanya, dia masih khayal," saya mendengar suara Datuk.

Belum pun sempat saya mengeluh atau bersuara. Satu baldi air tercurah ke muka. Saya seperti terpinga-pinga melihat jamung yang marak menyala.

Saya ditempatkan atas pengusung yang dibuat dari buluh. Kedua belah tangan dan kaki saya diikat dengan rotan.

Saya lihat Mat Daud dan Azizi Jabar masih berdiri di tepi kolam ikan milik Haji Sulung. Kedua-duanya membimbit baldi kosong.

Salah satu dari baldi itu digunakan untuk mencurahkan air dari kolam ikan ke muka saya.

"Macam mana saya boleh berada di sini?" tanya saya pada Uda Lamat yang berdiri dekat pengusung.

Orang tua itu tersenyum. Saya cuba menggerakkan jejari tangan dan kaki yang terasa kaku dan kebas.

"Kamu lari satu ladang ni sambil bertempik macam gajah hilang anak," ujar Uda Lamat, disambut dengan ketawa oleh beberapa orang yang berada di situ.

"Nak tangkap kamu terpaksa di jala." celah Mat Daud yang tiba-tiba diri dekat Uda Lamat.

"Kemudian dihumban ke dalam kolam ikan, lepas itu diikat pada pengusung, kalau tak dibuat macam ni, entah kaki gunung mana kamu pergi," tambah Uda Lamat lagi.

Dalam keadaan terkapar atas pengusung, saya terus mengingati punca kejadian itu berlaku.

Semuanya jelas terbayang tetapi saya tidak menduga sama sekali yang saya mengalami keadaan seperti ini.

Menggemparkan orang kampung hingga mereka terpaksa menggunakan kemampuan apa yang ada pada mereka untuk menangkap saya.

"Huh...," saya mengeluh dan tubuh mulai terasa sejuk.

"Kenapa Tamar?" Uda Lamat mendekati saya.

"Sejuk, saya sejuk," kata saya pendek.

"Pukul berapa sekarang?"

"Entah, aku tak ada jam," Uda Lamat terus memandang ke arah Mat Daud yang menyeluk saku.

Mat Daud mengeluarkan jam sakunya. Jam saku yang bulat dan berantai itu dibawanya ke bawah api jamung yang marak.

"Lagi sepuluh minit pukul sepuluh," jerit Mat Daud ke arah saya dengan kuat.

Lagi sekali saya mengeluh, sesungguhnya saya sudah membuat masa yang begitu lama dalam ladang getah," tidak mendatangkan apa-apa hasil yang menguntungkan.

Andainya saya ikut jalan raya, tentu peristiwa semacam ini tidak terjadi.

DIRI

Secara spontan timbul pertanyaan dalam diri saya. Apakah semua yang saya alami ini benar-benar terjadi atau hanya khayalan dari perasaan saya sahaja?

Lagi sekali saya menarik nafas atas pengusung.

"Bawa saja ke rumah, sampai di rumah boleh dikisahkan mana yang patut." beritahu Datuk pada Mat Daud.

Selesai sahaja Datuk bercakap, pengusung pun diikat dan malam itu saya bagaikan putera raja diarak dalam kebun getah dengan diterangi cahaya dari jamung.

Sampai di rumah saya disambut oleh nenek dengan tangisan. Atas kemahuan Datuk, saya diletakkan di anjung rumah.

Jiran tetangga dari kaum perempuan dilarang menghampiri saya. Hati nenek bertambah hiba bila Datuk mengeluarkan perintah demikian.

Lebih dari sepuluh minit saya dibiarkan terkapar atas pengusung di anjung. Kemudian Datuk meletakkan telapak tangan kirinya atas dahi saya.

Dari dahi telapak tangan kiri itu digerakkan ke bawah menyentuh dada, perut dan akhirnya berhenti di hujung ibu jari sebelah kanan.

Rotan yang mengikat sepasang kaki dan tangan pun dibuka. Saya disuruh duduk dan dipaksa meneguk air dingin dari labu tanah.

"Sekarang kamu jangan memikirkan apa yang sudah kamu rasakan," ujar Datuk dengan tenang.

Saya terdiam, sukar untuk saya melupakan sesuatu keanehan yang saya alami.

Walaupun, permintaan Datuk tetap saya patuhi meskipun perkara itu sukar untuk saya lakukan.

"Kamu faham dengan apa yang aku cakapkan tadi, Tamar?" Datuk renung seluruh wajah saya.

"Faham."

"Sekarang pergi mandi," Datuk keluarkan perintah.

Matanya tertuju ke wajah nenek. Dan nenek bagaikan mengerti dengan renungan Datuk itu. Tanpa membuang masa nenek segera mendekati saya.

Pergelangan kaki dan tangan saya disapunya dengan sejenis minyak. Tujuan nenek berbuat demikian supaya bekas ikatan rotan di tempat tersebut tidak bengkak atau luka. Nenek memapah saya ke bilik mandi.

Nenek tidak membenarkan saya memegang gayung dan menjirus air ke tubuh sendiri. Saya disuruh meniarap atas simen dengan dagu berlapikkan tempurung jantan.

Tiga kali nenek jiruskan air atas pusat. Setiap kali air menyentuh pusat, sejuknya bukan kepalang, terasa meresap hingga ke tulang belakang.

Saya tidak berani membantah, mungkin apa yang nenek lakukan itu, sudah diberitahu oleh Datuk terlebih dahulu kepadanya.

Upacara mandi malam itu diakhiri dengan mandi air daun pandan yang sudah direbus. Dijirus mulai bahu sebelah kanan, membawa ke kiri. Air itu tidak boleh menjamah kulit telapak kaki.

Setelah itu tubuh saya dibalut dengan kain pelekat. Saya dibawa ke anjung kembali.

Kawan-kawan Datuk yang membantunya menangkap saya di ladang getah, sudah pulang kecuali Uda Lamat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 102/284

BACA: SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

HarmonyOS: Sistem Operasi Rasmi Android Huawei

HarmonyOS: Sistem Operasi Rasmi Android Huawei

Beberapa bulan yang lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pernah mengumumkan untuk menyekat sebarang dagangan Huawei di Amerika Syarikat sekali gus membuatkan Huawei gagal menggunakan Android.

HarmonyOS Huawei

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut telahpun ditarik balik dan secara tidak langsung membolehkan Huawei beroperasi di Amerika Syarikat seperti biasa.

Disebalik sekatan yang dikenakan pada tempoh tersebut, syarikat dari China ini telah hadir dengan pelan altenatif, memperkenalkan sistem operasi mereka sendiri.

Pelan sistem operasi mereka berjaya direalisasikan apabila Huawei secara rasmi telah melancarkan Harmony OS pada Huawei Developer Conference 2019.

Harmony OS dipilih sebagai nama sistem operasi mereka bagi peringkat antarabangsa dimana sebelum ini dinamakan sebagai Hong Meng OS.

Uniknya tentang Harmony OS adalah, ianya dibina berasaskan kernel-mikro dimana sistem operasi ini mampu digunakan secara selari pada beberapa peranti berbeza merangkumi desktop, telefon pintar, jam tangan pintar serta tablet.

Meskipun masih pada peringkat awal, Huawei turut mengesahkan sistem operasi yang diperkenalkan ini mampu beraksi dengan lebih pantas berbanding sistem operasi yang berada di pasaran pada ketika ini.

Harmony OS bakal ditawarkan secara open source dimana orang ramai mampu menggunakannya secara percuma sekali gus membina aplikasi untuknya dengan mudah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket